Saturday, August 27, 2011

Ramadhan dan Kaitannya dengan Fitrah

Ramadhan biasanya dikaitkan dengan pelbagai antaranya:

1. Bulan yang disediakan seribu satu macam;

a. Lubuk mencari bekalan dan sebaik-baik bekalan adalah taqwa

b. Lubuk untuk mencari keuntungan samada dunia atau akhirat, awalnya rahmat, maghfirah dan `itqun minan nar.

c. Kenyataannya semakin hujung semakin kurang maka jadilah seperti yang dinyatakan oleh P. Ramlee, “Banyak-banyak, sikit-sikit, jarang-jarang, kadang-kadang (Mula-mula banyak..ramai yang ke masjid, namun di pertengahan sikit-sikit, hujung-hujung jarang-jarang, akhirnya kadang-kadang. Penghujungnya samakin ramai ialah memenuhi pasaraya, surau dan masjid sikit-sikit)..


2. Apa lebihnya Ramadhan?

a. Isinya, padanya diturunkan al Qur’an, lihat botol yang jadi mahal kerana isinya (Puasa, tadarrus, qiyamullail, sedekah dsb. Rujuk no. 5).

b. Begitu juga manusia mahalnya kerana… maka kalau manusia nak mahal mesti pastikan isi Ramadhan dapat ditunaikan sebaik mungkin.

3. Bulan kemenangan;

a. Kemenangan terhadap musuh (Hampir semua peperangan di bulan Ramadhan; Badar, Ahzab, Fathu Makkah, Tabuk, Yaman, Pembukaan Sepanyol oleh Thariq bin Ziyyad, pembebasan Baitul Maqdis, 10 Ramadhan Mesir lawan Israel).

b. Kemenangan melawan hawa nafsu, satu jenis musuh yang tidak pernah berpisah dengan diri manusia.


4. Ramadhan adalah salah satu program yang disediakan oleh Allah agar manusia mencapai kemenangan..

a. Puasa juga adalah satu fardhu yang disebut mudhaiyyiqun (مضيق), suatu jenis kefardhuan yang waktunya sama sendat dengan tuntutan, tidak sepertu sembahyang yang waktunya panjang, namun pelaksanaannya mungkin sekejap lebih kurang lima atau sepuluh, waktunya masih berbaki. Puasa dituntut dari terbit fajar sampai jatuh matahari, waktu dan pelaksanannya sama banyak dan pasti waktu tidak berbaki lagi.

b. Dari segi rukun pula, puasa hanya ada dua rukun, namun dari segi memenuhi tuntutannya amat sukar kerana kena kekang semua iaitu nafsu, pancaindera (mata, telinga, hidung, mulut, tangan, kaki dsb). Termasuk juga di sana hati dan pemikiran agar semuanya menjurus untuk membantu kembali kepada maksud difardhukan puasa, supaya menjadi orang yang bertaqwa.

5. Sebab itu proses penyempurnaan puasa adalah sepanjang hari dan malam, sepanjang sebulan Ramadhan dan ianya melibatkan;

a. Kawalan diri untuk tidak makan minum.

b. Kawalan diri zahir dan batin.

c. Kawalan kawalan dari segi pemikiran dan sikap agar tidak tergolong dalam mazmumah.

d. Disiplin diri semasa berbuka dan bersahur sehingga disebut menjadi sunnah untuk cepat berbuka dan lambatkan sahur serta menyedikitkan makan.

e. Aktiviti qiyam Ramadhan (Tarawih, tahajjud, hajat, taubat, witir dsb).

f. Aktiviti zikir dan tadarrus al Qur’an.

g. Digalakkan bersifat pemurah melebih bulan-bulan biasa.

h. Menunaikan zakat yang tentunya sebagai program pelepasan agar amalan puasa Ramadhan itu tidak terhalang untuk berada di tempat yang sewajarnya di sisi Allah.

6. Kesemuanya ini adalah merupakan program yang sengaja disediakan oleh Allah agar hambanya mampu untuk mencapai kelayakan maksud asal umat manusia dijadikan (وما خلقت الجن والإنس الا ليعبدون). Setelah semuanya sempurna maka layaklah dianugerahkan:

a. Ijazah pada penghujungnya satu Syawwal dengan ijazah `Idulfitri.

b. Layak untuk berhari raya dan disambut raya, layak berbuka (fitri) kerana mereka sudah bersungguh-sungguh sebulan mengerjakannya. Sebab itu perhatikan ucapan yang ditradisikan oleh Islam pada hari Raya: may Allah accept from us and from you - Semoga Allah menerima dari kami dan darimu, yang bahasa Arabnya: taqabalallahu minna wa minkum.

7. Fokus Kemenangan melawan hawa nafsu sehingga di hujungnya disediakan satu hari yang disebut `Idulfitri. Ada dua pendapat yang boleh diketengahkan mengenai idulfitri iaitu:

a. Ust. Zainudin Hashim (FH 26-28 Ramadhan/Ogos 2011, F23), menyebut, Idulfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah yang suci seperti dilahirkan oleh sang ibu, atau fitrah manusia makan di waktu siang.

Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadhan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarrus al Qur’an, bersolat jema`ah samada solat-solat fardhu dan tarawih, bersedekah, beri`tikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.

Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah selepas Ramadhan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.


b. Prof. Dr. Nasaruddin Umar Guru Besar bidang Tafsir yang juga Pembantu Rektor III di UIN Syarif Hidayatullah Jakarta, menyatakan tentang ‘Idul fitri Secara etimologis, Idul Fitri berarti “kembali berbuka.” Ini mungkin juga sekaligus meluruskan pemahaman kita tentang al-fitr. Selama ini, Idul Fitri diartikan “kembali ke fitrah.” Sebenarnya yang tepat adalah “kembali berbuka.” Fitr berbeda dengan fitrah. Satu fatarah, satu fitrah memakai ta’ marbutah, sedangkan al-fitr dalam kata Idul Fitri tidak memakai ta’ marbutah.....

Dari hasil penelusuran ini saya semakin yakin bahwa berpuasa itu bukan untuk mensucikan diri ataupun bermaaf-maafan seperti yang selama ini Muslim Indonesia kenali. Hal itu tidak tercantum dalam al quran dan hadist. Itu sebabnya salam: 'Mohon maaf lahir (zahir) dan bathin' itu dan ini hanya ada di sekitar Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunai sahaja.

Tentu saja saling memaafkan itu hal yang bagus, dan kalau mau melakukannya pada hari Idul fitri tidak ada salahnya menurut saya.

Pemahaman yang cukup risaukan adalah mengenai pensucian dosa. Kemungkinan untuk mendapat pemutihan dosa setiap tahun cukup berbahaya, menurutku. Umat yang meyakininya akan melakukan dosa dengan lebih lega, mengingat bahwa dosanya sudah hilang setiap lebaran. Dan juga, bahwa barangkali keyakinan ini lebih dekat dengan keyakinan umat Yahudi pada Yom kippur (hari penebusan dan pertaubatan) dimana Tuhan menutup buku dosa dan membuka lembaran buku yang baru.

Tambahan:
Tentang penghilangan dosa saya sudah dapat hadistnya
Hadist riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim, begitu juga dengan Ashab al-Sunan, yang maknanya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu”. Kalau menggunakan perkataan fitrah (suci) mungkin boleh disebut, manusia asalnya lahir layak masuk syurga, kerana mereka dilahirkan secara fitrah. Namun selepas dilahirkan, proses didikan ibubapanya menjadikan mereka Yahudi, Nasrani atau Majusi. Menyebabkan mereka terpaksa berjuang untuk kembali kepada fitrah.

Di Dalam al Qur’an Allah berfirman: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada diin; fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. Diin yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Catatan: Penulis melihat perbezaan ini adalah mengambilkira fakta secara akademik, amat cantik untuk dipertimbangkan dan dibahaskan mengikut disiplin ilmiah. Teruskan mudah-mudahan akan terserlah banyak lagi rahsia yang kini terpendam. Penemuan ini kelak akan memperkayakan lagi bidang ilmu kita.

8. Persiapan Menyambut Aidilfitri. Kemuliaan hari raya `Idulfitri diterangkan oleh Allah di dalam al Qur’an dan Hadis Nabi saw. Di antaranya:

Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat. Sebab itu antaranya;

a. Digalakkan menyambut hari raya dengan bertahmid (alhamdulillah), lihat hadis Nabi saw tentang perkara ini. Hiasilah kedua-dua hari raya kamu dengan takbir, tahmid dan tasbih. Ertiknya disunnahkan menghidupkan malam-malamnya dengan amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

b. Tidak menjadi kesalahan, malah digalakkan untuk mengemas rumah, menjahit pakaian yang belum siap, menggosok pakaian raya, menggantungkan langsir untuk persiapan raya, dengan niat mencantikkan rumah, membesarkan Allah, mera`ikan anugerah Allah, kerana Allah suka kepada kecantikan dan keindahan.

c. Menyediakan juadah untuk hari raya, tetapi tidaklah sampai bertukr dengan pesta makan-makan. Kerana Islam menggalakkan umatnya melakukan sesuatu perkara secara sederhana.

d. Melahirkan rasa gembira dengan anugerah Allah pada hari tersebut.

9. Perkara-perkara yang sepatutnya dilakukan di pagi Hari Raya (Zainudin Hashim F23):

a. Disunatkan bersarapan terlebih dahulu, baginda saw tidak akan keluar kecuali setelah memakan beberapa biji tamar dan bilanganya diganjilkan.

b. Mengenakan pakaian yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi lelaki. Pakaian cantik di sini mengikut kemampuan individu itu sendiri. Tidaklah bererti dengan berjenama dsb.

c. Bersegera pergi ke tempat solat samada di masjid, surau, dewan terbuka atau tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.

d. Antara lain ialah ziarah menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan sambil bermaaf-maafan. Ini kerana hari raya adalah hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

e. Juga mengunjungi pusara saudara mara yang telah mendahului kita sambil menghadiahkan al Fatihah atau Yasin untuk mereka(Zainudin Hashim F23.

Sekian wassalam.

Artikel Penuh...

Wednesday, August 10, 2011

Demikianlah Ramadhan

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam tazkirahnya menyebut: “Tidak usah disebut Ramadhan sebagai bulan puasa, kerana akan menjadikan kita hanya sebagai menahan lapar dan dahaga semata-mata, sehingga lupa mengerjakan tuntutan Ramadhan. Ini merupakan suatu kesilapan dalam menyambut Ramadhan”

Untuk itu beberapa perkara yang perlu diperhatikan ketika menyambut Ramadhan ialah:

1. Mempastikan pencapaian matlamatnya iaitu taqwa.
i. Taqwa tidak lahir kecuali dengan hidayah dan hidayah hanya akan tumpah dengan izin Allah.
ii. Hati yang mendapat hidayah akan memandu anggota melakukan kebaikan.
iii. Hidayah adalah suatu perkara yang tidak diajar oleh sekular, kominis, kapitalis mahupun sosialis.
iv. Hidayah adalah suatu perkara yang amat penting dalam hidup kita, sebab itulah sekurang-kurang 17 kali sehari semalam kita bermohon kepada Allah. Dalam surah al fatihah kita membacanya berulang kali, tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus.
v. Hidayah juga suatu ni`mat dari Allah yang diberikan kepada para nabi, shiddiqin,syuhada’ dan orang-orang yang sholeh.

2. Selain hidayah dan taqwa, perlu disemarakkan dengan membaca al Qur’an yang perlu di dalamnya;

i. Fahami ma`na
ii. Beramal dengan isi kandungan yang terdapat di dalam al Qur’an.
iii. al Qur’an adalah manual yang diturunkan oleh Allah di atas muka bumi.
iv. Memahami al Qur’an akan membawa kita mengenali dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu suluh untuk menerangi kegelapan malam.
v. Meninggalkan al Qur’an akan membawa mala petaka yang amat dahsyat. Di Uzbekistan, masjid besar, namun anak-anak bawah 18 tahun tidak dibenarkan atas alasan tidak cukup umur. Padahal bumi itu pernah melahirkan ulama’ besar seperti Bukhari, Abu al Laits as Samarqandi, Imam Bahau’ddin, Imam Muslim, Nasai, Tarmizi dsb. (Tn. Guru Haji Nik Abdul Aziz, Fikrah Harakah, 1-4 Ramadhan, hal. F5).

3. Prof. Muni’ Abdul Halim Mahmoud dari Fakulti Usuluddin Universiti al Azhar menyebut, sekurang-kurangnya terdapat tiga kaedah mempersiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan (Ust. Zainuddin Hashin, Fikrah Harakah 29-30 Julai, hal. F23);

i. Bertaubat kepada Allah dengan penuh ikhlas dari segala dosa yang pernah dilakukan
ii. Dan berjanji kepada Allah agar tidak mahu mengulanginya dosa-dosa yang pernah dilakukan.
iii. Bersungguh-sungguh untuk mengetahui hukum-hukum Islam khususnya berkaitan dengan Ramadhan.

4. Dr. Aminah Nusair, Profesor di Fakulti Akidah dan Falsafah Universiti al Azhar menegaskan bahawa orang yang berpuasa itu;

i. Sedang memperbaiki dirinya dengan Allah.
ii. Berusaha untuk menjernihkan hatinya dari segenap penyakit hati yang boleh mematikan hubungannya dengan Allah.
iii. Melakukan muhasabah diri bagi mencapai status orang-orang yang bertaqwa kepadaNya.

5. Dr. `Ezzat `Athiyyah, Profesor Hadis dari Universiti al Azhar pula berpendapat, sebelum seseorang Muslim memulakan langkah menerima kedatangan Ramadhan,

i. Terlebih dahulu hendaklah bersedia dirinya dengan aspek luar (zahir) dan dalaman (bathin) dengan memelihara lidahnya dari mengungkapkan kata-kata bersifat maksiat kepada Allah.
ii. Membiasakan diri menahan kemarahan, menggantikan perkara buruk dengan kebaikan.
iii. Menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji.
iv. Menghayati konsep puasa sebenar menurut hukum syarak.
v. Memperbanyakkan zikir dan paling penting bertadarrus al Qur’an iaitu berdiskusi isi kandungannya.

6. Dr. Mahjah Ghalib, Profesor di Universiti al Azhar pula berpendapat, bahawa bulan Ramadhan adalah peluang yang cukup bermakna bagi Muslim

i. Untuk membekalkan dirnya engan keberkatan al Qur’an yang berlimpah ruah,
ii. Membiasakan diri dengan menjaga lidah daripada keceluparannya.
iii. Mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai bentuk kebaikan yang teridiri daripada zikir, wirid, tazkirah, tadarrus, sedekah, solat berjama`ah yang kurang pada bulan-bulan yang lain.

7. Dalam satu hadis Nabi saw bersabda yang lebih kurang bermaksud: perbanyakkan Ramadhan dengan empat perkara, dua perkara adalah untuk mendapatkan keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak kamu mesti melakukannnya;

i. Dua perkara untuk mendapat keredhaan Tuhan kamu adalah
a) Dengan mengucapkan La Ilaha illal Llah
b) Memperbanyakkan istighfar

ii. Dua perkara yang mesti kamu lakukannya ialah
a) Memohon kepada Allah untuk memasukki syurga-Nya
b) Minta dijauhkan daripada neraka (Zain Hashim).

Artikel Penuh...