"U
Wednesday, April 26, 2017
“Tak usah belajarlah hari ni”
Saturday, January 14, 2012
Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk
Sabtu: 7 Januari 2012 lepas penulis sekeluarga sempat menghadiri Majlis Sambutan 100 tahun Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Untuk makluman, Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk merupakan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang digubal pada tahun 1911 dan diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin III dengan dibantu oleh ulama’ dan pembesar negeri Terengganu yang bersumberkan ajaran Islam serta mengandungi 53 fasal.
Pihak penganjur juga mengeluarkan satu naskhah buku ‘Penerbitan Khas Sempena Sambutan 100 Tahun “Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk yang diusahakan oleh Sidang Redaksi yang diketuai oleh al Fadhil Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah. Dalam catatan pendahuluannya dinyatakan “Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk adalah sebuah Perlembagaan Bertulis Negeri Terengganu. Ia bermaksud ‘Pemerintah Yang Bersungguh-sungguh Dengan Akhlak Yang Adil’ dan dikenali sebagai ‘Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Perlembagaan ini digubal dan dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 11 Zulkaedah 1329H bersamaan 2 November 1911M atas nama Sultan Zainal Abidin III dengan ditandatangani oleh baginda dan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan serta dicop dengan cop Sultan Zainal Abidin III sebagai tanda kelulusan, ketetapan dan persetujuan” (Itqan, hal. 5).
Tiga tokoh dijemput untuk menyampaikan pidato khas bersempena dengan program tersebut mereka terdiri dari YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, Presiden PAS Pusat, YB Salehuddin bin Ayob, Naib Presiden PAS Pusat dan Prof Datuk Mohamad Bakar, Pakar Sejarah dari Universiti Malaya.
Berdasarkan kepada deria telinga anugerah Allah, penulis juga sempat mencatat beberapa isi penting yang telah dinyatakan ketiga-tiga tokoh tersebut di antaranya ialah:
Prof Datuk Mohammad Abu Bakar
1. Itqan adalah merupakan titik mula perkembangan Islam di Terengganu, malah di Asia.
2. Pada tahun 1928 telah berlaku Pemberontakan Kaum Tani di Terengganu yang dirangsang oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong. Ini merupakan salah satu dari manifestasi kebencian rakyat Terengganu terhadap penjajah.
3. Kira-kira 700 tahun lalu, Batu Bersurat merakamkan undang-undang Islam yang asal, ini bererti telah ada usaha kearah penanaman cita-cita Islam. Kuala Berang telah menjadi Bandar besar yang menghubungkan bukan sahaja tempatan malah di peringkat antarabangsa
4. Tulisan jawi pada Batu Bersurat merupakan pertama kali digunakan, sementara di tempat lain menggunakan bahasa lain.
5. Sebab itulah sumbangan Kuala Berang amat besar kepada kebangkitan Islam di Asia.
6. Soalannya sedar atau tidak, atau mampu atau tidak kita di hari ini hendak menyambung semula perjuangan ini?. Apakah ada perjuangan untuk memertabatkan kembali Pendidikan Islam di Kuala Berang?. Mampu atau tidak kita mewujudkan institusi Pendidikan Islam di sini?..(lihat juga Harakah bil. 1710,29 Safar - 2 Rabi`ul Awwal 1433/23-26 Januari 2012, hal. N21 bertajuk: Kuala Berang terpinggir arus pendidikan).
7. Majlis Sambutan Itqan yang diadakan pada hari ini adalah menjadi mercu penghubung dengan 100 tahun yang lalu. Batu Bersurat menjadi landasan penghubung seawal 700 tahun lalu. Untuk itu, agar ianya lebih berkesan maka kita amat memerlukan sokongan Ulama, umara', dan umum (3U).
8. Gabungan Tok Pulau Manis dengan Sultan Zainal Abidin, Islam terbentuk dalam acuan pengislaman untuk zaman sesudah itu. Iaitu menggerakkan ke arah satu tujuan sejak dari Sultan Zainal Abidin I, Sultan Mansur, Sultan Omar hinggalah kepada Sultan Zainal Abidin III.
9. Keretapi ini perlu diterus, perlu bergerak menuju haluan ke arah pemenuhan Islam yang sebenarnya.
Persoalannya
1. Gangguan sentiasa ujud, barat sedang masuk untuk menggangu rakyat Terengganu selepas Sultan Zainal Abidin III. Dengan itu terguballah Itqan untuk mempastikan Terengganu terus kekal di bawah orang yang mahukan Islam. Baginda merupakan raja terawal ke Makkah untuk menunaikan Iabadat Haji. Malah pegawai British pernah menyebut bahawa ‘Sultan ini tidak ada cacat celanya’... dan kini kita dapat menikmati warisan ini sekarang.
2. Seandainya rakyat Terengganu di hari ini mengenepikan tanggungjawab ini (menegakkan Islam di bumi Terengganu) maka kita bimbang azab Allah akan menimpa kepada kepada kita semua, untuk kita tidak ada pilihan. kita perlu terus menggerakkan keretapi ini agar terus berjalan.
3. Halangan pasti banyak, kita kena terus berjalan. Wamakaru wamakaral Llah, wallahu khairul makirin.
4. Kita perlu tambah kelajuan tenaga – pernyataan, sumbangan dan saham amat perlu untuk sampai ke matlamatnya iaitu mencari keredhaan Ilahi.
YB Salehuddin Ayub
Kesan pilihanraya merupakan platfom terbaik untuk menyuarakan isu-isu Islam.
1. Batu Bersurat merupakan mercu tanda kedatangan Islam, kebanyakan tulisan berasaskan bahasa Sanskrit Ramayana dan Mahabarata. Allah masih digunakan Sang Maha Dewa.
2. Dr. Burhanuddin pernah menyatakan dalam berda`wah, “Ulama telah menggunakan strategi muwajahah as Silmiyyah. Pendekatan secara aman, antaranya teknik mengambilalih di samping menawarkan Islam untuk masyarakat. Contohnya dalam aktiviti tertentu secara tradisi, apabila mendapat anak disyairkan, marhaban dan sebagainya. Ini evolusi yang dimasukkan dalam minda masyarakat. Selawat Nabi digunakan sebagai ganti kepada syair Hindu, dan ianya sangat berkesan. Jampi tukar dengan doa, selawat. Cuma yang masih kekal seperti inai dsb. Strategi ini hampir sama yang digunakan oleh Wali Songo. Kerajaan Sriwijaya dapat menerimanya. Hasilnya masyarakat menerima dan menganut Islam, dan kita adalah warisannya.
3. Berdagang adalah tujuan kedua para ulama, yang utamanya ialah da`wah Islam. Inggeris kata mereka nak cari rempah, sama seperti mereka. Sengaja dipadamkan fakta Islamnya.
Halangan dalam Perlembagaan terhadap pelaksanaan Islam
1. Perlembagaan Negara digubal oleh sekumpulan pakar yang dipengerusikan oleh Lord Reid. Namun jangan lupa salah seorang ahlinya ialah Hakim Abd. Hamid Abd Rahman dari Pakistan yang memasukkan Islam sebagai agama Persekutuan, jasanya ini menjadi asas perlembagaan.
2. Ada empat perkara yang perlu diambilkira iaitu: Sistem beraja, Islam, bahasa dan Hak keistimewaan Orang Melayu. Apa pun kita mahu berbicara selepas ini jangan sampai melanggar empat perkara asas ini.
3. Asas ini menjadi menarik, dan perlu diyakini bahawa sifatnya perlembagaan sentiasa anjal, dinamik dan berkembang. Soalannya boleh atau tidak boleh, bila dikatakan Islam sebagai agama persekutuan, maka tidak ada halangan. Ada yang mengatakan boleh dilaksanakan Islam. Namun bagi yang memegang kepada comon law mengatakan tidak boleh.
4. Soalannya siapakah yang berhak, maka kita perlu ujudkan mahkamah perlembagaan, kita ada mahkamah persekutuan seperti India dan Thailand untuk dipinda dan diubahsuai. Indonesia juga berlaku.
5. Negara kita bagaimana? Maka ini terpulang kepada parti yang kuasai 2/3, cukup dengan kata-kata Islam sebagai agama persekutuan.
6. Kita perlukan perlembagaan untuk menyelesaikan beberapa isu seperti Lina Joy, isu hudud Kelantan , Terengganu yang telah dluluskan dalam DUN dan telah diwartakan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.
7. Sekarang terpulang kepada kuasa politik, di Kelantan ada beberapa perkara yang diperlukan seperti anggota keselamatan, penjara dan sebagainya. Ini adalah kuasa pusat dan perlu kerjasama kerajaan pusat. Namun kita percaya ruang-ruang ini tetap ada, untuk menyuarakan pandangan di parlimen dsb. Kerana inilah kita perlu mendapatkan sokongan sepanjang masa.
YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Hj. Awang
1. Memulakan dengan ayat al Qur’an yang menyatakan baginda Nabi saw yang terlalu inginkan supaya semua orang menjadi Islam dan mati dalam Islam (laqad ja ‘akum rasulun min anfusikum), dan jika mereka berpaling, cukuplah Allah sebagai wali, ni`mal wakil, yang menguasai bumi yang saiznya hanya seperti debu sahaja di bawah `arasy Allah.
2. Batu Bersurat dan Itqanul Muluk adalah dua dalil yang jelas bahawa pendakwah telah bawa Islam dengan sempurna di Terengganu, seperti yang dibawa oleh Nabi saw. Bukan Islam separuh seperti yang difahamkan oleh sebahagian masyarakat kini. Ertinya Islam telah diletakkan sebagai asas sebuah kerajaan dan negara di Terengganu..
3. Itqan bermaksud, ‘Ketekunan dan ketelitian raja-raja untuk menghukum rakyat, ini merupakan tanggungjawab yang amat berat yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah.
4. Hukum bernegara adalah wajib berdasarkan nas al Qur’an dan Hadis Nabi saw. Antaranya seperti yang firman Allah dalam surah an Nisa’. Dan Hadis yang lebih kurang bermaksud: Tidak harus bagi tiga orang berjalan, melainkan mesti ada pemimpin. Dalam ungkapan lain baginda saw bersabda yang bermaksud: Adalah Bani Israel dipimpin oleh nabi-nabi mereka. Kanat banu Israel tasusuhumul ambiya’
5. Untuk menjalankan sesuatu hukuman mesti ada kerajaan. Sebab itulah dalam sunnah, Nabi saw menolak tawaran menjadi pemimpin Makkah kerana tawaran tersebut hanya sekadar menjadi pemerintah tetapi tidak boleh melaksanakan Islam. Kerana itulah baginda sanggup berhijrah ke Madinah.
6. Di Madinah baginda telah mengajak, mengajar bagaimana cara untuk mendirikan kerajaan. Baginda mengajak semua kaum yang ada di Madinah untuk mendirikan negara.
7. Kewajipan mendirikan negara juga merupakan ijma` atau sepakat ulama` sahabat (yang belajar dengan Nabi saw), lihat bagaimana tingkahlaku mereka ketika Nabi wafat.. Rujuk kata-kata Imam al Ghazali yang lebih kurang menyebut, ‘addinu ussu was sultanu harisun...
8. Untuk membina sesebuah kerajaan, maka lima rukun ini tidak boleh diabaikan iaitu:
i. Tanah,
ii. Rakyat,
iii. Pemimpin,
iv. Perlembagaan (itqan),
v. Kedaulatan sebagai sebuah negara yang sah, yang diktiraf oleh negara asing. Ini merupakan syakhsiyyah atau kewibawaan sebagai sebuah kerajaan seperti yang ada di Kelantan dan Kedah sekarang.
9. Sultan Zainal Abidin III ada kumpulan yang disebut ahlul halli wal aqdi, mereka adalah ulama`, pemimpin kerajaan, ahli mesyuarat, lihat ayat dalam surah al Hajj: Walaula daf`ul Llahu nnasa ba`dhuhum).
10. Sekarang kita perlu beristiqamah, bila dapat kuasa kena lihat ayat: allazina in makkannahum fil ardh.. perlu orang yang takut kpd. Allah.
11. Zakat: tu’khazu min aghniya’ihim waturaddu ila fuqara’ihim. Inilah perlu tanggungjawab. Agar tidak menjadi Kaila yakuna dulatan baina aghniya’ minkum.
12. Perlu laksanakan nas-nas yang terdapat dalam al Qur’an, kutiba `alaikums siyam, kutiba `alaikumul qisas.
13. Pernah timbul satu soalan dari orang Kristian, kenapa Islam potong tangan pencuri, sedangkan Krstian Tuhan seperti bapa. Kita jawab Tuhan dalam Islam bukan ayah dan Dia sayang kepada hambanya lebih dari ayah sayang kepada anaknya. Kerat tangan, kerana mencuri adalah penyakit dalam masyarakat. Lihat kenapa kencing manis kena kerat kaki, kerana nak selamat tubuh badan, kalau tidak semua tak selamat. Begitu juga pencuri, nak selamat orang lain. Kita juga jangan fikir satu kena kerat orang lain kena jugak, apa yang penting ialah timbul kegerunan. Bila gerun orang akan takut melakukan jenayah. Ini yang penting. Bukan bererti semua yang kena kerat tangan. Lihat di Arab Saudi masa solat mereka hanya tutup barang-barang dengan kain saja. Tidak ada orang yang nak ganggu.
14. Di Kelantan setiap tahun dibuat seminar untuk memberi kefahaman kepada rakyat.
15. Kita kena sedar banyak hikmat yang timbul di sebalik Hudud antaranya:
i. Hudud hanya untuk orang Islam, orang bukan Islam tidak kena hudud, kepada mereka terpulang mengikut kepada cara yang ditentukan di dalam agama mereka.
ii. Bila dilaksanakan hudud orang Islam menjadi perkasa, dan menjadi contoh kepada orang lain.
Catatan: Semua fakta di atas ialah apa yang dapat dicatit oleh penulis semasa menyertai majilis tersebut, hanya sekadar deria telinga samata-mata. Mungkin terdapat fakta yang tidak betul atau kurang menepati kehendak sebenar, untuk itu tambahan dan pembetulan amat diharapkan daripada mereka yang lebih `arif.
Akhirnya penulis juga ingin memetik Fasal Kelima Puluh Satu yang menyebut:
“Sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya kerajaan Terengganu ini kerajaan Islamiyyah Malayuwiyyah ialah dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadi dan disebut agama negeri, sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu” (Itqan, hal. 24).
Demikianlah halnya negeriku Terengganu Darul Iman. Maka menjadi kewajipan bagi kita semua untuk menyumbang tenaga, berjuang terus bagi menggerakkan semula keretapi yang telah terhenti begitu lama agar dapat menuju ke destinasi 'Baldatun Thoyyibatun war Rabbun Ghafur'. Allahumma Amin!.
Sunday, March 21, 2010
Islam yang terlindung.
A
gak lama saya tidak menghubungi abang aji (Tuan Haji Harun). Namun abang aji tidak jemu-jemu menghantar sms kat saya. Seperti biasa sms abang aji dengan kata-kata yang ‘power’ dan boleh memantul HOKA dan HOKI saya. Yang terbaru abang aji menyebut, “Islam terbaik dalam segala hal, tapi sayang umatnya lemah dalam segala hal. Di mana silap? Guane weh?” , demikian bunyinya.
Hebat sekali abang aji, kenyataan tu!. Memang tidak dapat dinafikan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw adalah terbaik yang sering disebut sebagai ‘kamil dan mutakamil’, sempurna lagi menyempurnakan. Secara peribadi saya mengakui memang banyak hal yang disebut oleh abang aji tu boleh berlaku dan sentiasa berlaku. Ini ditambah pula bahananya dengan kelakuan di kalangan orang-orang yang belajar dan pengkhususannya dalam bidang Pendidikan Islam pun berkarekter negatif. Jadi mana satu yang boleh dicontohi!. Belajar lain, buat lain.
Bila-bila begitu saya teringat kepada salah satu hadis yang diungkapkan oleh Nabi Muhammad saw. “Keindahan Islam itu terlindung di sebalik tingkahlaku orang Islam”. Memang benar dari segi teorinya Islam, tidak ada yang mempertikaikan keindahan dan kebaikannya. Tetapi bila dilihat perangai sesetengah penganutnya, menyebabkan kita terpaksa angkat tangan dengan mengatakan benar pada kenyataan abang aji tadi. As Syahid Sayyid Qutb pernah mengungkapkan, “Saya tidak pernah melihat Islam wujud di dalam negara Islam, namun saya melihat ianya wujud dalam negara bukan Islam”. Apa ertinya ini?. Sepintas lalu mungkin kita merasakan bahawa kenyataan in agak ekstrem. Namun bila direnung secara mendalam memang terasa benar kenyataannya. Lihatlah sekarang?. Kalau berjanji siapa yang suka memungkirinya?, Kalau bercakap siapa yang selalu bohongnya?. Kalau diberi amanah, siapakah yang suka memecah amanahnya. Siapakah yang kuat makan rasuahnya?. Siapakah di antara yang tercekap dalam mengumpulkan harta secara haram?. Siapakah yang tidak dapat membebaskan diri dari semua jenis skandal seksnya sampai kepada ekonomi? Seakan-akan kita boleh mengatakan adalah diwakili oleh umat Islam. Tidak kira dari individu kecil sampai kepada yang besarnya. Malah kadangkala pada musim-musim tertentu merekalah yang menjadi perasmi majlis-majlis yang berkaitaan dengan keislaman, merekalah jaguh untuk membicarakan peribadi nabi, ajaran nabi yang perlu dicontohi. Namun hariannya kadangkala tidak terlepas dari perangai-perangai mazmumah. Saya ni bukanlah menuduh, tapi dah nampak sangat terlonggok di depan mata, dan ianya bukan menjadi rahsia lagi. Malah sudah jadi macam kelaziman pulak. Takkan nak pejamkan mata pulak. Tak kena gaya boleh jadi syaitan bisu. Namun jauh di sudut hati saya tidak pernah putus asa dengan mengharapkan apa yang diucapkan di depan rakyat jelata itu disedari dan dimuhasabah selalu.
Dari satu segi lagi, kadang kala kita juga terasa sampai bilalah mereka dengan gelagat gila ini terus bermaharajalela. Malah kalau dilihat dari segi indeks integriti, Malaysia bukanlah berada dalam lingkungan negara yang bebas dari rasuah. Kita terus merudum dari no. 25, 40, 47 dan kini ke tangga ke 56. (Siasah 21 - 27 Mac 2010), jangan lupa, semakin besar angka menunjukkan semakin parah rasuahnya.Berbanding dengan Singapura, kita kalah dari segi indeks integriti . Malah negara-negara seperti Bangladesh, Arab Saudi, pakistan adalah di antara negara yang berada dalam senarai negara-negara yang menjuarai indeks rasuah yang tertinggi.
Lihat pula angka anak haram, Berita Minggu 21 Mac 2010 melaporkan, Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2009.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.
Sebab itu tidaklah menghairankan, bila penyanyi Yusuf Islam (Cat Steven) pernah menyebut ‘seandainya saya melihat perangai sesetengah penganut Islam, saya tidak akan masuk Islam, tetapi apabila saya melihat Islam itu dari sudut ajarannyalah yang menyebabkan saya menganut Islam’. Alhamdulillah rupa-rupanya Yusuf Islam merupakan salah seorang dari jutaan manusia yang mampu berfikir dan membezakan di antara Islam, sebagai ajaran yang terbaik, berserta dengan tingkat-tingkat penganutnya yang pelbagai, ada yang muqarrabin, ada yang abrar ada yang masih lagi sebagai awam dan ada pula yang kadangkala melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam (kumpulan yang fasiq dan `asi).
Pada awal cuti persekolahan Mac 2010 baru-baru ini, saya sempat beberapa ketika balik Nogoghi, menziarahi mertuo den yang berado di Soromban. Alhamdulillah, Abah sihat dan masih ceria, senyum manis tidak pernah lekang menyambut ketibaan anak menantu beserta dengan cucu-cucu. Selain dari itu, Pantai Port Dickson juga menjadi salah satu tempat tumpuan kami, menemani anak-anak yang merindui suasana lautnya yang tidak segarang musim-musim tertentu di Pantai Timur. Hari itu agak sederhana, pengunjungnya tidaklah begitu ramai. Untuk mempastikan program santai kami lebih ceria dan selesa sambil menemani anak-anak yang bermandi manda, kami menyewa sebuah khemah dengan harga RM 20.00. Alhamdulillah, agak selesa. Cukup untuk keluarga kecil macam saya. Di sebelah depan telah tersedia dua buah khemah yang dihuni oleh satu keluarga yang agak besar. Melayu Islam, macam juga saya sekeluarga. Dari geraklaku dan pertuturannya, saya dapat agak dari negeri mana, tak apalah itu rahsia.
Tidak lama selepas itu berdepan dengan khemah saya dan bersebelahan dengan khemah keluarga tadi datang satu keluarga ‘mat saleh’ (warga Amerika), suami isteri dengan empat orang anak. Tidak menyewa khemah, hanya sekadar membawa sebidang tikar, dan terus menghamparkannya. Barangkali untuk merasai nikmat keperitan cahaya matahari di sekitar Nusantara yang jarang diperolehi di negaranya. Sama seperti saya, suami isterinya tidak mandi, sekadar menemani anak-anak yang galak bermandi-manda. Dalam kesibukan begitu tiba-tiba saya terlelap, dan tidak sedar bilakah keluarga Melayu Islam yang berada di depan kami berangkat balik. Apabila saya tersedar, khemah tersebut telah pun kosong dan yang tinggal hanya sampah-sampah serta sisa makanan yang sememangnya saya pasti jelas, itu adalah milik keluarga tersebut.
Tidak lama selepas itu sekumpulan pelajar UPM yang mengadakan kajian tentang alam sekitar. Untuk memenuhi keperluan salah satu kursusnya di UPM. Keluarga ‘mat saleh’ dan saya tidak terkecuali menjadi sasaran untuk ditemuramah. Di antara soalan yang dikemukakan ialah mengenai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Saya mempunyai pandangan yang tersendiri tentang persekitaran. Contohnya oleh kerana Port Dickson berada di bawah Majlis Daerah, pihak majlis daerah perlu mempunyai beberapa tanggungjawab tertentu menjaga persekitaran, di samping menyediakan dan mempertingkatkan beberapa kemudahan awam yang tertetntu seperti bilik air, bilik persalinan, surau dan tempat-tempat bersantai yang sesuai dengan persekitaran kita di timur. Tidak ketinggalan pula dengan keperluan papan tanda yang merangsang kepada pengunjung agar sama-sama menjaga kebersihan pantai.
Apa yang menarik ialah selepas sahaja pelajar-pelajar tersebut beredar, warga Amerika tadi bertindak mengutip semua sampah yang ditinggalkan oleh keluarga Melayu Islam tadi dan memasukkannya ke dalam beg plastik, sehingga tempat yang ditinggalkan oleh keluarga Islam tadi kembali ceria seperti biasa. Selepas itu mereka kembali berada di atas tikarnya tadi. 'Terkesima' juga saya memerhatikannya. 'Orang duduk tengah panas tolong bersihkan sampah sarap yang ditinggalkan orang yang berada di tempat teduh'. Suatu bukti hidup dan nyata di depan mata lendir sendiri. Saya memerhatikan. Keluarga Melayu Islam yang sedia diasuh dengan konsep toharah, kebersihan sejak kecil, membiarkan sampahnya begitu sahaja. Keluarga yang agak asing pula dengan keislamannya bertindak membersihkan dan mengamalkan konsep toharah seperti yang diajar oleh Islam.
Kalau tadi saya menyebut kata-kata As Syahid Sayyid Qutb yang beliau tidak pernah melihat Islam wujud di dalam negara Islam, namun beliau melihat ianya wujud dalam negara bukan Islam, sekarang saya melihat dengan mata lendir sendiri bahawa ada beberapa aspek Islam yang wujud dalam diri keluarga bukan Islam. Masakan tidak, mereka yang Islam meninggalkan khemah sewaan tersebut dengan sampah sarap tanpa rasa bersalah, tanpa merasakan bahawa kebersihan itu adalah sebahagian dari Iman. Sementara orang bukan Islam menjadi pembersihnya. Tidaklah saya pasti keluarga 'mat saleh' ini faham atau tidak dosa pahala. Namun mereka melakukan sesuatu yang boleh dikira berpahala, paling tidak berkebajikan.
Demikianlah halnya, bila dihubungkan dengan pertanyaan abang aji, “Islam terbaik dalam segala hal, tapi sayang umatnya lemah dalam segala hal. Di mana silap? Guane weh?” , Benarlah hadis Nabi saw menyebut, “al Islamu mahjubun bilmuslimin... Islam terlindung di sebalik tingkahlaku orang Islam. Wallahu a`lam.
Akhirnya, saya suka kemukakan beberapa persoalan untuk direnung bersama:
01. Bila disebut keindahan Islam terlindung oleh di sebalik umatnya, siapakah di antara kita yang tergolong dalam kumpulan yang menyebabkan Islam begitu cantik terlindung?.
02. Adakah saya dan anda juga terlibat menjadi orang yang menyebabkan keindahan Islam itu tidak dapat dilihat oleh orang lain?.
03. Kalau saya dan anda terlibat, apakah tindakan yang perlu dilakukan sekarang?. Takkan nak seronok dengan cara itu. Kerana menjadi penghalang kepada generasi yang mahu memahami Islam sebenarnya adalah penjenayah. Sanggupkah kita berada dalam kumpulan tersebut.
04. Kalau rasa terlibat, apakah aspek-aspek yang menyebabkan keindahan Islam itu dihalang oleh saya dan anda?. Kena carilah, kalau dah jumpa, buang penghalangnya supaya saya dan anda menjadi salah satu laluan Islam yang selamat dan kita menjadi 'Duta Allah' yang sebenarnya di muka bumi ini sebelum dijemput ke perut bumi.
Demikianlah adanya, wassalam.
Monday, January 25, 2010
Gaya Bebas
T
epat jam 03.40 petang Khamis 17 Disember 2009, Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Ustaz Salleh bin Jusoh bangun dan memulakan selawat dan diikuti secara beramai-ramai oleh rakan-rakan yang ada dalam Bilik Rehat Pensyarah IPG KDRI
Mahu tak mahu penulis terpaksa bangun bagi menunaikan tanggungjawab, clock out yang terakhir apabila terpaksa akur dengan usia bakal menjelang 56 tahun pada keesokan harinya 18 Disember 2009. Namun kerana negeri di sebelah Pantai Timur hari minggunya Jumaat dan Sabtu, Khamis 17 haribulan merupakan hujung minggu bagi kami.
Seperti yang dijanjikan. Memang kita manusia hanya merancang, namun Tuhan maha perancang. Rupa-rupanya hari terakhir clock out penulis bersamaan dengan hari terakhir tahun Hijrah 1430. Besoknya Jumaat adalah awal Muharram. Maka penulis boleh menyebut dengan senang hati. Sambutan tahun baru juga adalah meraikan persaraan penulis. Punyalah hebat dan sangat bererti rasanya.
Sebenarnya tarikh tersebut ialah tempoh cuti semester, walaupun begitu KDC (Kursus Dalam Cuti) tetap berjalan. Pada mulanya penulis nak diamkan saja. Namun Encik Muhammad Ngah, Pengarah IPG KDRI mintak juga penulis datang untuk upacara clock out terakhir. Apakan daya, penulis kenalah ikutlah. Untuk simpanan dan didokumentarikan katanya. Beria-ia pengarah menyebut, “Mu kena gi jugok tu, jangan dok gi, penting untuk dijadikan bahan dokumentari”. Penulis hanya mampu menyebut, “Terima kasihlah Tuan Pengarah di atas segala kera`ian ini”.
Di satu sudut lain masih penulis teringat beberapa SMS yang dihantar oleh Tuan Haji Harun Muhammad (Abang Aji) beberapa ketika dulu, bertanyakan penulis, bilakah tarikh persaraan sebenar. Sengaja penulis pendamkan tanpa sebarang jawapan, hinggalah kini. 19 Disember 2009 barulah rasa nak jawab. Kenapa?. Kerana itulah tarikh sebenar persaraan. Minta maaflah Abang Aji, agak lama soalan Abang Aji tak terjawab. Saja nak bagi abang aji suspen. Tapi tak lama. Kini dah sampai masanya. Masuk kelab YB (Yang Bersara), dulunya masa abang aji tanya, penulis masih lagi berstatus YAB (Yang Akan Bersara). Ok! Abang Aji, Puas hati tak.
Sebelumnya, pada hari Sabtu 12 Disember 2009, jam 3.00 petang JAPIM mengadakan majlis perpisahan di Hotel Primula. Dalam ucapan terakhir, penulis menyebut kepada Pengarah IPG KDRI, Timbalan, KJ dan rakan-rakan JAPIM: “Untuk pengetahuan saya tinggalkan di JAPIM seorang kakak dan beberapa orang adik. Di atas bahu anda semua terletak segala harapan yang telah dihadafkan bersama oleh JAPIM, IPG KDRI dan BPG. Mudah-mudahan segala-galanya dapat diteruskan dengan cara yang bijaksana”.
Secara tradisi di IPG KDRI JAPIM sebenarnya menjadi qudwah dan uswah bagi semua warga IPG KDRI. Nak tanya masalah al Qur’an, JAPIMlah tempatnya. Nak tanya masalah Feqah, JAPIMlah tempatnya. Nak tanya masalah sirah JAPIMlah tempatnya. Ertinya apa-apa masalah berkaitan dengan Pendidikan Islam, pastilah JAPIM menjadi sasarannya. Tradisi ini sangat cantik andainya dapat diteruskan. Penulis berdoa mudah-mudahan Allah memberi keberkatan diatas usaha ini.
Dari sudut silatur Rahim, memang dari dulu anggotanya berganding bahu persis satu keluarga dan semangat adik beradik. Untuk itu tidak salah strategi begini diteruskan sampai bila-bila. Sesuatu yang baik eloklah diteruskan. Tradisi ini telah pun diasaskan oleh orang-orang terdahulu. Demikianlah halnya.
Baru-baru baru ini penulis sempat bersembang dengan seorang dua sahabat yang sudah menjadi YB. Antara soalan yang dikemukakan ialah tak teringat ke kat tempat kerja. Tak jenguk semula ke tempat lama?. Katanya Bukan tak ingat. Tempat kita cari rezeki tetap jadi ingatan. Kalau macam tu kenapa tak jenguk-jenguk?.
Sahabat pertama menyebut:
“Memang sepatutnya kita kena jenguk jugak sekali-sekala, tempat kerja, tempat cari rezeki. Cuma bila kita ke sana, kena ingat kita ni siapa?. Kita ni orang yang sudah merdeka, dah jadi YB, tugas tidak sama dengan orang yang masih terikat dengan perjawatan. Kalau nak melepaskan rindu pun jangan sampai mengganggu mereka. Kadangkala adik-adik kita tu memang seronok dengan kunjungan kita sekali-sekala. Namun jangan berlarutan. Jangan sampai mereka serba salah. Dia orang pulak, tak layan nanti bimbang dikatakan sombong. Silap-silap layan, kuliah mereka pula melayang. Pelajar komplain pulak. Jadi kalau nak jenguk pun kenalah berpada-pada. Jangan terlalu lama, jangan sampai terganggu orang nak bekerja. Awak tu dah tak kerja, kena sedarlah diri sikit”.
Penulis: “Betul juga apa yang dikatakan tu!, jangan tak sedar diri dan kita kenalah menyedarkan diri kita siapa!”.
Sahabat kedua pula menyebut:
“Secara mudahnya ambillah apa yang pernah disabdakan oleh Rasul s.a.w. dalam maksudnya Sesungguhnya Allah suka kepada seseorang kamu yang apabila melakukan sesuatu kerja maka dilakukannya dengan bersungguh-sungguh (itqan). Apakah yang dimaksudkan dengan itqan. Maksud ‘itqan’ dalam bahasa Arab adalah melakukan sesuatu dengan penuh komitmen, kemahiran yang tinggi dan iltizam. Oleh itu, memberi tumpuan atau fokus pada setiap perkara bukan sahaja akan menjamin kecemerlangan kerja yang dilakukan, sebaliknya perbuatan itu juga mengundang kesukaan Allah pada kita. Untuk itu, senang cerita, supaya mudah faham, masa belajar, belajarlah bersungguh-sungguh, masa bekerja pula, bekerjalah bersungguh-sungguh, nanti setelah bersara, bersaralah dengan sepenuh hati, anda tidak akan menyesal”.
Ada satu lagi penulis nak tambah, iaitu, “Bila dah mati, matilah dengan bersungguh-sungguh, jangan pula minta nak hidup kembali, untuk lebih lanjut sila rujuk ayat 12 surah as Sajdah”.
Untuk mudah faham, syarahnya lebih kurang begini; semasa ditakdirkan menjadi pelajar, belajarlah dengan cara yang itqan, bersungguh-sungguh, supaya kita dapat menguasai ilmu dan kemahiran dengan sebaik-baiknya. Kerana apa yang dipelajari pasti menjadi bekal untuk bekerja. Dalam satu pesanan Sayyidina Umar al Khattab pernah menyebut yang lebih kurang bermaksud: “Belajarlah sebelum kamu dijadikan pemimpin”. Kerana masa belajar kita dilatih, dipimpin sepenuhnya untuk menjadi pekerja dan pemimpin.
Setelah bekerja, tidak ada lagi ruang untuk belajar, paling tinggi setakat mendengar saja. Maka untuk itu, tempoh kerja, bekerjalah dengan itqan, penuh amanah, dedikasi, minat dan iltizam yang tinggi, dan jangan anda merasa sebagai suatu ‘kebodohan’ seandainya anda kena datang awal, balik lewat, paling tidak mesti amanah dari segi masa, (Kecuali ada halangan dan dengan kebenaran!). Itu adalah hak masa, jangan mulut je pandai baca suratul `Asr, tapi amalannya tidak ada. Walaupun kadangkala dibuli orang, sebagai lurus bendul dan sebagainya. Jangan lupa itu adalah termasuk dalam itqan.
Sahabat tadi menyambung lagi,
“Janganlah anda berbangga sebagai orang yang cerdik, hebat, curi tulang, belum sampai masa lagi dah balik, mungkin ketua Jabatan tak tahu, tapi Allah tetap tahu, atau mintak tolong kawan rakamkan (clock in & out) masuk dan keluar anda. Wah! Bukan main hebat sendiwara anda!. Kerana bila anda bersara ia pasti akan mengganggu situasi persaraan anda. Masa-masa yang anda tipu, yang anda curi bila nak bayarnya? Setelah bersara, nak datang lagi ke pejabat, sorrylah! Nak bayar masa-masa yang telah anda curi dan tipu, sapa nak layan. Seandainya anda dah bersara, hari-hari pergi pejabat itu orang gila namanya!”.
“Sebab itu, jika anda dah tunaikan amanah dengan sebaik-baiknya, berserahlah kepada Allah, dan pohonlah keampunan di atas segala kekhilafan dan ketelanjuran, dan masa bersara, hayatilah persaraan dengan sebaik mungkin. Panjatlah kesyukuran kepada Allah yang masih lagi mengizinkan anda merasai sedikit lagi denyut nadi pemberianNya semasa anda tidak bekerja dengan Kerajaan manusia. Teruskanlah khidmat anda dengan Kerajaan Allah, kerana khidmat kita dengan Kerajaan Allah tidak akan ada tempoh persaraannya”.
Sangat menarik dan berhikmah sekali bicara dua orang sahabat ini. Pada air mukanya pun penulis dapat bayangkan sememangnya mereka berdua adalah orang yang termasuk dalam golongan itqan semasa bekerja dulu. Bayangkanlah, sekali-sekala sempat juga penulis bersembang semasa mereka bertugas dulu, merekalah yang sering memberi peringatan tentang masa, amanah, hidup dan mati. Menyebabkan pesanan keduanya sentiasa terpaku rapat dalam ingatan penulis.
Penulis sendiri merasa sangat teruja dengan persaraan ini. Pertama kerana dapat memperuntukkan masa yang sangat berkualiti terhadap Allah. Bayangkanlah selama ini, lepas solat subuh, nak duduk lama sikit atas sejadah pun sering dirasuk kebimbangan dengan urusan kerja yang menuntut segera bersedia untuk berlepas ke destinasi menjalankan tugas dan mencari rezeki. Bukanlah kata selama ni tak buat. Tapi dari segi masanya sangat terhad. Terasa sayu juga melihat masjid yang ‘terpaksa’ ditinggalkan begitu cepat pada pagi hari, seakan-akan terdengar keluhan masjid, “Cepat sekali engkau berpermisi dari perutku, tak rela ke berlama-lama di sini, agar dapat sedikit lagi keberkatan selama aku ditakdirkan menjadi rumah Allah di atas muka bumi ini!”.
Tidak dinafikan, ada di antara sahabat-sahabat kita yang mampu membahagikan masa dengan begitu baik, walaupun masih berkhidmat dalam kerjaya mereka. Tahniah!. Memang mereka ni jenis hebat orangnya. Teringat juga, kadangkala ada golongan dengan seronoknya solat berjama`ah di masjid atau surau, kita masih lagi terkebil-kebil, terkulat-kulat dengan mesyuarat. Kadangkala terpaksa minta kebenaran supaya ditangguhkan mesyuarat kerana nak solat. Hai punyalah hebat mesyuarat. Pengerusi mesyuarat jugak ada sekali sekala jenis suka mengundi, angkat tangan samada nak tangguh, supaya dapat solat sekarang atau nak teruskan mesyuarat dan lewatkan sikit solat. Bukan kata tak solat. Solat juga, tapi dah penghujung. Kalau ibarat kenduri, pergi lewat mungkin lauknya dah sejuk, atau separuh habis!. Apatah lagi solat berjama`ah sering disebut ‘kenduri ketuhanan’. Hai itulah kerja punya fasal. Malam-malam Ramadhan, ada masanya orang dapat tunaikan solat tarawikh dengan selesa, awak pulak dengan tugas-tugas rasmi yang kena selesaikan hingga ke malam. Bukan selalu. Kadangkala ada. Demikianlah amanah. Itulah halnya.
Kedua, dengan masa yang terluang sedikit sebanyak dapat juga menjeguk mak yang memang sudah berumur dan sering sakit-sakit. Penulis sedar selama ini banyak masa diberikan untuk bekerja. Kadangkala sekali-sekala menjenguk mak. Memang mak dah sedia faham suasana anaknya yang sorang ni. Tapi takkanlah dengan alasan kerja sepanjang masa. Sebab itu tempoh dah dapat bersara, kira okeylah. “Anak mak yang sorang ni akan bersaralah. Mudah-mudahan mak sedia memaafkan kekhilafan anak mak selama ni!. Kesian mak yang selama ini membesarkan anaknya, tiba masa bekerja, jarang pula nak jenguk mak!. Mak pun bukanlah nak suruh anaknya tercegat depan matanya setiap saat, paling tidak dalam satu hari tu ada jenguk kejap pun jadilah. Tenguk, tanya dah makan ke belum, apa khabar?, itu saja. Senang juga hati mak yang dah berumur ni!”.
Ketiga, dapat baca semula kitab-kitab yang diminati, yang selama ini agak terabai dan terbengkalai. Maklumlah masa bekerja dulu, pantang jumpa kitab-kitab dan buku-buku yang menarik perhatian. Beli saja. Tapi nak baca tak ada masa. Bukan apa!, kadangkala buku-buku tersebut hanya diperolehi masa pameran-pameran dan ekspo bercorak akademik sahaja, tak beli takut susah nak jumpa lain kali. Jadi beli dulu, baca kemudian. Kadangkala terpaksa penulis menyebut: “Maafkan daku wahai kitab-kitab dan buku, maafkan daku yang sangat kesuntukan masa. Kini insya` Allah adalah ruang sikit. Dapatlah dimanfaatkan sedikit”.
Begitulah halnya kita dengan suasana ilmu. Sebab itulah terdapat rangsangan dalam Islam supaya belajar dari buaian sampai ke liang lahad. Penulis amat bersetuju.
Keempat, rumah tangga kitalah, selama ni kalau ada yang itu tak kena, paip bocor ke, lampu tak nyala ke, mana-mana yang tak kemas, kira panggil tukang je, upah tukang je, janji balik kerja karang semuanya beres!. Sekarang kenalah belajar ‘repair’ sendiri, kemaskan sendiri, lagi puas hati. Mana-mana yang tak begitu mahir kena dapatlah kemahirannya. Kena belajarlah, bila lagi. Jangan nak goyang kaki saja. Itu pemalas namanya. Allah pun tak suka.
Sekali peristiwa, semasa penulis berada di perkarangan rumah, seperti biasalah, sambil baca kitab dan buku yang ada, penulis didatangi oleh seorang jurujual perabot kayu jati (Berkenderaan jenis vagon), katanya nak jual perabot kayu jati, antaranya ‘kerusi malas’. Jurujual tersebut mintak kebenaran untuk masuk dan tunjukkan produknya. Tapi penulis terpaksa menolak dengan baik, tak mahu beli. Beriya-ia benar mempelawa supaya tengok model ‘kerusi malas’, sangat cantik katanya. Bukan apa, bila disebut ‘kerusi malas’, dalam hati penulis menyebut, “Kalau aku pakai kerusi malas, nanti aku pula jadi pemalas, aku memang dah sedia malas, takut jadi lebih pemalas, buncit lagilah perut aku ni”.
Baru-baru ni, dalam satu majlis tahlil kematian jiran sekampung, penulis berjumpa dengan Tuan Haji Che Mansor Kerma, salah seorang pensyarah IPG KDRI. Lepas tahlil, sambil berbaris nak mengambil juadah yang disediakan, sempat juga beliau menyapa penulis dengan suatu pertanyaan yang biasa kepada golongan pesara: “Macam mana sekarang banyak rehat ke?”. Penulis sekadar menjawab: “Setakat ni tak ada lagi masa untuk menengung (bermenung)”. “Eh ingat nak bagi satu slot ceramah, kalau macam tu tak boleh lagi lah”. Sampuk beliau.
Memang, bagi penulis, sejak jadi YB, setakat ini masih berpada dengan agenda tersendiri. Cuma tidaklah seperti yang dijadualkan di IPG. Keseronokan membaca buku dan kitab-kitab yang ada dalam perpustakaan peribadi datang kembali. Seringkali bila terluang, ke mana-mana berjumpa dengan sahabat-sahabat, masing-masing tanya: “Apa buat sekarang?”. Selamba je penulis jawab. “Rehatlah! Dah orang bagi peluang berehat, kerja pun dah lama dah”. Mungkin juga jenis yang tanya tu memang kaki kerja, sehinggakan pelik kalau orang bersara tak kerja. Baguslah tu. Tak terfikir pulak penulis untuk membuat apa-apa kerja selain daripada empat jenis kerjaya di atas. Mudah-mudahan Allah permudahkan jalan. Allahumma Amin.
Dua minggu lepas, semasa menemani Aini Munirah (anak) untuk berjumpa dengan bekas guru-guru di SK MPKT, sekolah lamanya, penulis sempat bersembang dengan Abang Aji yang secara kebetulan ke IPG KDRI di Kedai Pak Pin (depan IPG KDRI). Alhamdulillah! Banyak kata-kata nasihat yang diberikan oleh Abang Aji untuk panduan penulis. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga penulis Abang Aji menyebut: “Tak usah dok fikir lainlah, duit dah ada, uruskan keluarga dengan baik, lebihnya masuk Tabung Haji, fikir nak pegi Makkah je lah!, inilah peluangnya kita nak beribadat sepenuhnya dengan Allah, bila lagi!”.
Terima kasihlah Abang Aji, tak jemu-jemu memberi pesanan yang sangat berguna untuk penulis. Selain itu SMS Abang Aji selalu penulis dapat, antaranya: 18 Januari 2010,
“Ramai orang bekerja untuk bekal hari tua, tapi lupa untuk bekal hari akhirat”.
Waduh! Waduh! Punyalah menyengat Abang Aji. Bukan main-main tu!. Pesanan yang pastinya diambil dari kata-kata hukama`. Ada lagi, pada 11 Januari 2010, sebelum itu Abang Aji tuliskan,
“Alangkah ruginya dunia apabila pengalaman 56 tahun tidak dirumuskan sebaik mungkin untuk tatapan umum..!”.
Dalam respon balas penulis sebut pulak.
“Hak 56 tahun Abang Aji tu bagaimana? Abang aji lagi hebat!”.
Tapi Abang Aji jawab pulak.
“Dah tulis dah, tapi untuk tatapan anak cucu je. Adik aji tu biarlah tersebar seantero dunia, lantaran kemuliaan tak dituntut dan kekayaan tak diharap cukuplah sekadar berbicara di lingkungan keluarga ... harap tuan tidak seperti hamba”.
Terlalu merendah diri rupanya Abang Aji ni, tabiklah penulis dalam hal ini. Tapi jangan lupa abang aji sebelum tu pada 9 November 2009, tahun lepas! Abang aji pernah SMSkan. “Walaupun pena itu tak berat, tapi jarang-jarang yang tahu bahawa itulah satu jihad dan ibadat, jika kena caranya”. Jadi nampaknya Abang Aji, jangan lupa. Menulis juga satu ibadat. Mudah-mudahan Abang Aji dapat memperkayakan lagi khazanah ilmu dan pengalaman dalam lautan penulisan yang ada di negara kita. Kerana ada orang menyebut: “Jika anda mahu dipanjangkan usia, menulislah. Kerana penulisan akan kekal dan dan tidak akan hancur seperti mana hancurnya pembangunan dan kehidupan. Setiap orang yang membaca hasil karya tersebut akan terus berbicara dengan penulisnya, walaupun penulisnya telah meninggal dunia”.
Tertarik juga dengan apa yang dicatatkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib al Attas: “Tanpa berlengah-lengah lagi saya membuat keputusan bahawa sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku; kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus” (Shahrom TM Sulaiman: Pembacaan dan Peningkatan Budaya Ilmu - hal. ix).
Ayuh Abang Aji, Penulis pasti banyak perkara yang dapat kita sumbangkan bersama, apatah lagi menjelang usia untuk menikmati acara renang dalam lautan luas dan lepas dengan kepelbagaian gaya bebas agar ia menjadi lebih bermakna. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kita semua. Allahumma Amin!.
Thursday, December 17, 2009
Itulah Haji: Suatu Catatan Bebas
J
umaat malam Sabtu, lepas Maghrib, 28 November 2008, bersamaan dengan 1 Zulhijjah 1429, semasa mengadap komputer , penulis dikejutkan dengan isyarat SMS telefon bimbit peribadi. Daripada siapa, tak dinyatakan, tetapi beritanya mengenai kematian Datuk Haji Razali bin Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland. Inna lilLahi wainna ilaihi raji`un. Tergamam rasanya, macam tidak percaya!. Penulis terus menghubungi Encik Mohammad bin Ngah Pengarah IPKT (kini IPG KDRI) untuk mempastikan berita dan beliau mengesahkannya.
Itulah hakikatnya kehidupan ini. Terlalu singkat, semuanya terserah pada Allah. Kerjanya sahaja yang mutlak dan semua kita tertakluk di bawah segala pentadbirannya.
Terlalu cepat masa berlalu. Walaupun sudah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran dan mendapat anugerah datuk, tetapi penulis tetap memanggilnya dengan 'Haji". Panggilan mudah yang kami gunakan semasa Allahyarham menjadi Pengetua Institut Perguruan Kuala Terengganu.
Seakan-akan baru dua tiga hari lepas 'Haji' bersama kami di IPKT menjadi Pengetua, dengan cara kerja yang begitu dedikasi. Sering disebut sebagai pemandu Bas Ekspress Neila di suatu ketika dulu, serba cepat dan tangkas untuk sampai ke destinasi. Itulah tingkahnya memimpin organisasi sehinggga kami kadangkala sedikit lelah untuk turut bersama. Tapi seronokl. Bidang akademik berkembang pesat, yang benar-benar menggambarkan kerancakan dengan seminar, kolokium, forum dan... Kami menjalankan tugas semampu mungkin. Alhamdulillah ada yang berjaya dan ada yang tertangguh.
Terkeluar dari sebarang kepentingan peribadi, secara rasmi penulis mengenali Allahyarham dengan lebih dekat semasa Allahyarham menjadi Pengetua IPKT, sebelum itu sekali sekala berjumpa dalam kursus, tapi tak sempat bersemuka secara lebih dekat. Di antaranya ialah menganjurkan forum sempena Hari Raya Qurban. Allahyarham menjadi pengerusi, sementara penulis dengan Tuan Haji Ahmad Zahari menjadi panel. Terdetik juga rasa sedikit kurang yakin, maklumlah orang sehebat beliau menjadi pengerusi, kita yang tak seberapa ni jadi panel. Tapi kerana itu kehendak beliau apa boleh buat, teruskan sajalah. Alhamdulillah jadi jugaklah. Terima kasih kerana Haji sudi memberi kepercayaan kepada penulis.
Dedikasinya dalam kerjaya pendidikan menyebabkan beliau menjadi orang yang cepat naik dan mudah laluannya. Daripada seorang pensyarah biasa, menjadi Ketua Jabatan, Pengetua, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru. Jawatan terakhir sebelum dicalonkan untuk menjadi wakil rakyat dalam pilihanraya Umum dan menukarkan kerjayanya dari bidang profesional kepada bidang politik. Namun sepanjang penglibatannya dalam bidang politik, setiap kali bertemu dengan penulis, tidak pernah sepatah pun terkeluar dari mulutnya bicara politik. Seingat penulis kami sering bertanya buku apa yang dibaca dan gagasan akademik apa yang terbaru yang diperolehi. Jawapannya masih sama, 'I sedang baca buku......., tunggu nanti akan I tuliskan sesuatu yang terbaru, I akan bagi kat you untuk di teliti', jawapan yang menggambarkan jiwa akademik sentiasa tetap mengalir dalam pemikirannya, walaupun kerjayanya sekarang dalam bidang poliitk.
Masih teringat tegur sapanya yang bersahaja, tetapi mesra. Sebagai seorang pentadbir dan pengurus organisasi yang membentuk ketamaddunan ilmu. Tidak lokek mencurah idea dari perhimpunan pagi para pelajar di dataran sukan, dataran ilmu sehinggalah ke bilik-bilik simposium yang berhawa dingin. Malah dalam program LDK yang penulis pernah pimpin. Beliau datang untuk merasai bersama, walaupun sejenak.
Masih segar dalam ingatan, suatu ketika dalam aktiviti mengenali dan mengecam suara rakan sepasukan. Pelajar yang kena teka ditutup matanya, rakan-rakan lain akan menyebut 'saya' dan pelajar sasaran akan menyebut nama berdasarkan pengecaman suara tersebut. Haji datang singgah sebentar, walaupun beliau adalah pengetua, namun sudi sejenak dan melibatkan diri sambil juga menyebut 'saya' untuk menjadi tekaan kepada pelajar sasaran. Apabila dibuka mata dan diberitahu itu suara pengetua, pelajar tersebut tersipu-sipu malu dan kami berkongsi gelak untuk keceriaan bersama. Haji, haji!. Mengenangkan ini kami tersenyum.
Semasa perkuliahan, seperti biasa Haji sebagai pengetua memantau kelas yang sedang, bukan apa kadangkala secara sukarela menggantikan pensyarah yang tidak ada kerana bertugas diluar. Kerap juga mengintai kuliah yang berjalan dan masuk bersama dalam rangka perkongsian ilmu atau menjalankan pengajaran dan pengajaran secara kolaborasi. Itulah Haji.
Malam ini! Berita mengejutkan, Haji telah pergi, banyak lagi agenda yang belum selesai. Siapa penerusnya. Bagaimanakah cara untuk meneruskannya dan apakah indikator yang menjadi penentu kejayaan agenda tersebut masih samar-samar. Haji sudah pergi, mungkin Haji sudah nampak jawapannya, tetapi Haji sudah tidak dapat meneruskannya. Haji sudah berlalu dengan penentuan yang satu. Siapakah bakal menjawabnya.
Oleh kerana kerjaya terakhir Haji adalah politik, penulis sempat membelek-belek respon para politikus pembangkang, dan secara profesional mereka antaranya menyebut:
01. "Allahyarham adalah seorang ahli parlimen dan Timbalan Menteri yang baik dan sangat komited dalam menjalankan tugas-tugasnya terutama semasa sesi sidang dewan di Parlimen," Tn. Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang dari Makkatul Mukarramah (30 N0v. 2008).
02. "Allahyarham Razali bagi saya adalah seorang Timbalan Menteri yang professional dan mengatasi politik kepartian walaupun beliau datang dari negeri yang sangat kuat mendiskriminasikan rakyat yang menentang Umno dan negeri Wang Ehsan (setelah royalti minyak disekat)," En.Mohammad bin Sabu.
03. "Kementerian Pelajaran kehilangan Timbalan Menterinya yang sangat berwibawa, komited dan dedikasi kepada tugasnya, Allahyarham Razali, sangat memahami dan menguasai bidang pendidikan dan sentiasa memberikan jawapan yang bersemangat mengenai pendidikan di Dewan Rakyat. Selain sifatnya yang diakui ramai Ahli Parlimen kerajaan dan juga pembangkang sebagai baik dan berbudi bahasa, cara Razali Ismail menjawab soalan yang dikemukakan kepada kementeriannya juga menyebabkan beliau dihormati. Bila menjawab, beliau begitu bersemangat. Saya rasa hampir tidak pernah berlaku ahli-ahli Parlimen pembangkang bercakap dengan kasar kepada beliau dalam Dewan. Mungkin ada, tetapi amat sukar diingati perkara sedemikian pernah berlaku," YB Mahfoz bin Omar.
04. Bagi pihak Pimpinan dan ahli-ahli Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), saya merakamkan ucapan takziah kepada Y.Bhg. Datin serta ahli keluarga di atas kembalinya kerahmatullah Allahyarham Dato' Haji Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada hari semalam. Kembalinya kerahmatullah Allahyarham adalah kehilangan besar dalam sistem pembangunan pendidikan negara. Allahyarham banyak memberikan perkembangan positif dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara untuk generasi yang akan datang. Kami berharap dan mendoakan agar Y.Bhg. Datin serta ahli keluarga Allahyarham bersabar dan tabah di atas ujian yang telah melanda. Kami juga mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang soleh jua. Amin. Salahuddin Ayob dari Makkatul Mukarramah (30 N0v. 2008).
05. Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato Mustafa Ali merakam ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato' Razali Ismail yang meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highland pada jam 6.30 petang, Jumaat lalu.
Katanya, pemergian Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu diketahui melalui ipar Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azmi Lop Yusuf.
Beliau turut melahirkan rasa terkejut dengan pemergian Allahyarham Razali kerana hubungan yang rapat serta mempunyai pertalian keluarga. “Saya memang terkejut dan memang tak pernah tahu tentang penyakitnya, memang saya rapat dengan dia (Razali) dan saya ada hubungan keluarga di antara isteri saya dengan isteri beliau”.
“Bagi pihak PAS Terengganu, mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan berharap masing-masing bersabar,” ujarnya ketika ditemui di rumah Allahyarham, semalam.
Mustafa berpendapat Allahyarham Razali juga mempunyai komitmen yang tinggi serta bersungguh dalam melaksanakan tugasnya. Menurutnya, sepanjang Razali diamanahkan sebagai Timbalan Menteri Pelajaran didapati beliau boleh melaksanakan tugasnya dengan baik.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak dapat turut serta menziarahi keluarga Allahyarham kerana berada di tanah suci Mekah bersama Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayob.
Allahyarham Razali meninggalkan seorang balu, To’ Puan Nooraini Lop Yusuf serta lima orang anak lelaki yang berumur antara 15 hingga 30 tahun. Beliau memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu dengan menewaskan calon PAS, Haji Muhamad Sabu dan calon Bebas, Puan Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.
Hadir sama menziarahi Allahyarham Razali, Bendahari PAS Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut dan Naib Yang Dipertua PAS Kuala Nerus, Haji Shukrimun Shamsudin./wann_
Selepas ini penulis ingin menyebut:
Haji!
Pemergianmu mengejutkan kami
Dunia pendidikan bagai sepi kini
Namun itulah ketentuan Ilahi
Rasanya belum puas engkau berbakti
Tika ranjau, onak dan duri masih belum dibasmi
Entah terpijak pula dikaki generasi
Demikianlah besarnya agenda murni
Kementerian dengan menteri
walau diketahui itu bukan kerja Haji seorang
Generasi tetap dibangun bersama
Memikul beban denyut nadi
Tenanglah haji mengadap Ilahi
Apa yang tinggal usah dikesali
al Fatihah.
Berita Pemergian Haji:
Utusan Melayu (30 November 2008)
KUALA TERENGGANU 29 Nov. - Jenazah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara di sini kira-kira pukul 2.30 petang ini. Jenazah Allahyarham yang telah siap dikafankan dibawa dari Hospital Bentong, Pahang dan tiba di kediaman beliau di Jalan Kenanga, Batu Burok, kira-kira pukul 5.30 pagi ini.
Ia kemudiannya dibawa dari rumahnya untuk disembahyangkan di Masjid Sultan Zainal Abidin di sini selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan.Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menziarah jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Tuanku Mizan yang diiringi Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman tiba di rumah Allahyarham kira-kira pukul 10.45 pagi.Turut menziarah jenazah ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadhillah Yusof turut kelihatan.
Beberapa pemimpin Pas turut dilihat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham antaranya Pesuruhjaya Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut.Tidak ketinggalan warga pendidikan iaitu Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran negeri, Ariffin Embong.
Lihat pula Komen PAK Lah
Razali Ismail's Death A Great Loss
KUALA LUMPUR, Nov 28 -- The death of Deputy Education Minister Datuk Razali Ismail is a big loss to Umno and his ministry, said Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
He said Razali was a highly talented person and had discharged the responsibilities entrusted to him very well.
Abdullah also described him as a person with vast experience and a Member of Parliament of calibre.
He said, as deputy minister, Razali was well versed in his ministry's policies.
"He had proven himself as a deputy minister and was able to understand government policies well.
"I had placed high hopes that one day he could become Education Minister. But what to do, fate has intervened," he told reporters after attending the Malaysian Investment Banking Association's 29th annual dinner here today.
Abdullah also extended his condolences the bereaved family.
"I was shocked to hear the news of his death. I never knew he had any illnesses or heart problems," he said.
Razali, 59, who was also the Member of Parliament for Kuala Terengganu, collapsed and died at 6.30pm today while playing badminton at Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands near here.
He leaves behind a wife and five children.~ Bernama