Monday, April 19, 2010

Agama dan Negara.

B

aru-baru ini penulis telah membeli satu nakhah Majalah I. Bil. 90, April 2010, terbitan Syarikat Karangkraf, dan sempat membaca salah satu tajuk yang tertulis “Hasan al Banna, Tokoh Pembaharuan Islam Abad ke 20. Di dalamnya tercatat sebahagian daripada kata-kata peninggalan as Syahid Hasan al Banna yang lebih kurang berbunyi “Sebahagian besar umat Islam menginginkan akidah tanpa syariah, agama tanpa negara, kebenaran tanpa kekuatan dan perdamaian tanpa perjuangan. Apa yang diajar oleh baginda saw ialah akidah dan syariah, agama dan negara, kebenaran dan kekuatan, perdamaian dan perjuangan”.

Sangat menarik kata-kata tersebut bila direnungkan kembali, terutama bila dikatakan agama tanpa negara, kebenaran tanpa kekuatan, perdamaian tanpa perjuangan. Sekaligus menggambarkan kepada kita betapa sebahagian ummat kini telah jauh terpesong dari ajaran yang dibawa oleh baginda saw. Perkara kedua, juga menggambarkan kepada kita bahawa sebahagian umat kini amat menyenangi Islam dalam bentuk yang mudah, tanpa bersusah payah. Dengan lain perkataan kalau boleh biarlah Islam yang dianutinya itu tidak menghadapi sebarang halangan dan cabaran. Biarlah Islam itu dianuti tanpa sebarang titik peluh dan tumpah darah. Untuk itu carilah apa yang ada dalam Islam perkara-perkara yang tidak menyinggung perasaan orang. Kalau tidak susah. Senang cerita, tinggalkan apa-apa yang agak menyusahkan. Sebab itu jalan yang paling selamat, tidak usah bercakap tentang negara, tidak usah bercakap tentang politik, tidak usah bercakap tentang perjuangan.

Semasa bertugas di salah sebuah negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, penulis sendiri pernah diberi amaran sebelum memulakan satu ceramah, “Ustaz, kalau boleh ustaz bercakap tentang syurga saja, jangan cakap tentang neraka, takut orang jadi negatif. Cerita yang baik-baik sudahlah, tak usah cerita yang menakutkan.”

Dalam satu program lain, selepas ceramah, di negeri yang sama pernah juga penulis ditegur, lembut saja nadanya, “Ustaz, apa yang you sampaikan ok, Cuma kalau boleh jangan nampak sangat kePASan tu. Apa yang I lihat selalunya penceramah kita nampak sangat kePASannya tu.”

Ini adalah di antara dua kenyataan yang pernah penulis terima, sebenarnya banyak lagi, Cuma nak sebut dua saja sebagai contoh. Terkedu juga penulis dengan dua jenis kenyataan tersebut. Pertamanya disuruh sebut yang menyenangkan saja, jangan yang menakutkan, nanti jadi negatif. Keduanya di sebut kePASan. Fikir punya fikir terjumpalah penulis dengan ungkapan as Syahid Hasan al Banna tadi. Benarlah manusia kini, sebahagiannya nak cari jalan pintas, nak ambil mudah. Padahal kalaulah ada jalan pintas, sudah tentu Nabi Muhammad saw adalah orang pertama yang mengajar kita jalan pintas tersebut. Namun hingga kini penulis tak pun berjumpa dengan ayat atau hadisnya. Cuma dari segi teknikal penyampaian adalah, disebut supaya permudahkan, jangan dipayah-payahkan. Gembirakan, jangan jadikan mereka liar. Tetapi dari segi kandungan kena sampaikan semuanya tak boleh sembunyikan.

Bila dikatakan kePASan teringat juga kadangkala bila beri ceramah tu penulis sering menyebut kesyumulan Islam, termasuk agama dan negaranya. Inilah agaknya yang dikatakan kePASan. Alahai sensitifnya manusia kini. Kesiannya kat Islam. Serba tak kena. Inilah agaknya maksud apa yang pernah disebut oleh as Syahid Sayyid Qutb bahawa Islam tidak boleh bertenggek di atas pokok jahiliyyah. Selama mana ia bertenggek di atas pokok jahiliyyah, selama itulah ia akan mengancam dan mengacau program jahiliyyah tersebut. Untuk itu Islam mesti dibebaskan, biar ia berdiri sebagai agama dan negara di atas pokok Islam itu sendiri.

Bila-bila begitu penulis juga sentiasa mencari dan mencari jalan terbaik untuk memecahkan persolan ini. Akhirnya keputusan yang terdetik ialah mesti diadakan juga tajuk agama dan negara dalam mana-mana kuliah atau tazkirah di masjid. Supaya umat kini tidak buta hakikat Islam sebenarnya. Kalau tidak selamanya umat ini akan dibuai dengan keenakan agama dan negara tidak boleh bersatu, lanjutan dari fahaman yang serba pincang. Cari punya cari dalam khazanah lama, penulis berjumpa dua jilid kitab yang dikarang oleh Syaikh Abdul Hamid al Khatib yang bertajuk `Asma ar Risalat’, yang bila diterjemahkan bermaksud Ketinggian Risalah Nabi Muhammad saw.

Sangat menarik kandungan yang dimuatkan dalam kitab ini. Jilid pertama menceritakan kronologi kehidupan baginda saw dari kelahiran sampai kepada kewafatan. Sementara jilid kedua menceritakan kandungan risalah yang dibawa oleh baginda saw. Kitab ini sudah pun ada terjemahannya di dalam bahasa Indonesia, namun bahasa Malaysia penulis tak pasti. Naskah yang ada pada tangan penulis ialah cetakan pertama tahun 1976. Penulis pun dah lupa beli kat kedai buku mana. Tak kisahlah tu. Apa yang penting, Islam sebagai agama yang lengkap, sudah pasti Allah tidak akan mewafatkan nabiNya sebelum sempurna tatacara kehidupan di dunia dan akhirat.

Perlu dipaparkan di sini ialah bagaimana Syaikh Abdul Hamid al Khatib menjelaskan satu tajuk `Agama Politik’ dalam jilid kedua, halaman 374 beliau menyebut: “Politik (siyasah) menurut bahasa artinya ialah usaha memperbaiki keadaan (masyarakat) manusia, dengan memberi petunjuk kepada mereka jalan yang membawa kebahagiaan dalam masa yang dekat dan masa yang jauh ke hadapan.

Dari segi istilah ialah penelitian terhadap keadaan umum, agar berakibat baik dan mendatangkan kebahagiaan kepada negara, dan menyusun (mengatur) hubungan antara bangsa dengan bangsa, supaya orang ramai dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Bererti secara ringkas maksud Politik Islam adalah pengurusan atas segala urusan seluruh umat Islam. Dan ini merupakan suatu kewajipan yang terbeban di atas bahu umat Islam sampai bila-bila.

Sebab itu mengikut Syaikh Abdul Hamid al Khatib, urusan politik perlu diberikan kepada orang-orang tertentu, tidak semua orang yang dapat. Ini terpulang kepada kewibawaan seseorang sesuai dengan anugerah Allah kepada mereka. Mana-mana yang tidak berwibawa perlu jadi pengikut dan penyokong untuk menjayakan program Ilahi tersebut. Dalam satu maksud hadis, baginda saw pernah menyatakan bahawa Bani Israel itu dipimpin oleh para nabi mereka (tasusuhumul ambiya’). Ini menunjukkan penting orang yang nak memimpin itu ada wibawa. Program ini bukan saja dalam bentuk membina kepimpinan negara,membina negara, malah ianya mesti berterusan dan perlu dijaga agar tidak jatuh ke tangan orang-orang yang bukan ahlinya. Lihat amaran Nabi:

إذا وسد الأمر الى غير اهله فانتظر الساعة

Selanjutnya al Fadhil Syaikh menyebut tujuan-tujuan siyasah:

• Memerdekakan manusia dari semua jenis perhambaan, kecuali kepada Allah. Tuhan yang menguasai alam ini.

• Memerangi kediktatoran iaitu kekuasaan perorangan dan menundukkan manusia mentaati akan undang-undang umum yang sudah ditetapkan Allah untuk mengatur hambanya.

• Mematuhi ulil amri (orang yang memegang tampuk pemerintahan) dengan menjalankan semua perintahnya, menurut akan semua aturan yang ditetapkan, selama perintah-perintah itu tidak bertentangan dengan undang-undang Ilahiy. Kekuasaan pemerintah perlu dibatasi dengan syarat-syarat berikut:

 Bermesyuarat dengan Ahlul Hilliy wal Aqdi (Golongan yang berilmu) dalam setiap tindakan atau hukum berkaitan dengan masyarakat, seperti arahan Allah:
وأمرهم شورى بينهم (الشورى: 38)

 Meminta pendapat orang-orang yang berpengalaman menurut keahlian atau pengalaman masing-masing berdasarkan firman Allah:
فسئلوا اهل الذكر ان كنتم لاتعلمون - الأنبياء: 7

 Menjadikan hak seorang penguasa memilih mana-mana yang dianggap benar di antara banyak pendapat berdasarkan firman Allah:
وشاورهم فى الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله -آل عمران: 159

Untuk mempastikan segala objektif dapat dicapai dengan baik, beberapa strategi perlu diambilkira semasa melaksanakannya, di antaranya ialah:

• Menarik jiwa manusia dengan kebajikan, lunak, akhlak yang mulia berdasarkan sabda Rasul saw;
إنكم لا تَسَعُونَ الناسَ بأموالكم ولكن لِيَسَعُهُمْ منكم بَسَطُ الوجهِ وحَسَنُ الخُلُقِ
Kamu tidak akan dapat menolong semua manusia dengan hartamu, tetapi hendaklah sebahagian dari kamu menolong mereka dengan mukamu yang jernih dan perangai yang baik.

• Berusaha menjinaki musuh dan menyenangkan hati mereka dengan pelbagai cara, lihat contoh yang dilakukan oleh Rasul saw selepas peperangan Hunain, memberi harta dengan begitu besar jumlahnya yang tidak terduga kepada para muallaf Makkah. Sehingga semua orang tahu, bahawa jika Rasulullah saw memberi, baginda tidak khuatir akan jadi miskin.

• Menjaga kehormatan seseorang, sekalipun tidak seagama (menganut agama lain). Lihat sabda baginda saw:

أنزلوا الناس منازلهم, وإذا أتاكم كريمُ قومٍ فاكرِموه, وارْحَموا عزيزَ قومٍ ذَلَّ وغَنِيٍّ اِفْتَقَرَ, ومِنْ اِجْلاَلِ الله اكرامُ ذِى الشَّيْبَةِ المسلمِ
“Tempatkanlah manusia di tempat mereka, dan bila datang kepada kamu seorang yang mulia di kalangan kamumnya, hendaklah kamu muliakan dia, sayangilah bekas penguasa yang telah jatuh, bekas orang kaya yang telah jatuh miskin, dan termasuk memuliakan Allah ialah menghormati orang muslim yang sudah beruban.”

Nabi saw pernah menghamparkan serban baginda untuk dijadikan tempat duduk utusan Najran yang datang berjumpa baginda, sedangkan mereka adalah orang-orang Kristian. Dan ketika `Adiy bin Hatim at Ta`iy yang masih musyrik datang menemui baginda, dengan rela hati baginda menyerahkan bantal tempat duduknya kepada `Adiy sehingga baginda sendiri duduk tanpa bantal. Melihat keadaan itu seorang lelaki meminta izin lalu bertanya, “Apakah seorang manusia yang paling jahat itu perlu diperlakukan sebagai saudara sendiri?. Setelah ia masuk, Rasulullah mengucapkan selamat datang dan menghormatinya. Dalam hal ini Rasulullah saw pernah bersabda:

إنا لنَهُشُّ فى وجوه قومٍ وقلوبنا تلعَنُهم
“Kita sepatutnya berlaku sopan di hadapan satu kaum, sekalipun hati kita mengutuk mereka”

Dalam satu hadis lain baginda saw bersabda;
إن من شرارِ الناسِ مَن تَرَكَ اِتِِّقَاءَ أذاهُ
“Sungguh termasuk manusia yang paling jahat, orang yang meninggalkan kewaspadaan terhadap bahaya dari musuhnya.”

• Berusaha menyelesaikan permasalahan ummah dan membetulkan suasana, agar dapat membantu penyebaran agama ini dengan penuh pengertian dan ketertiban. Bukan dengan cara kekerasan atau kekasaran. Sementara bagi orang yang tidak menerima Islam, di sana Allah telah menjelaskan dengan prinsip tidak ada paksaan dalam beragama.
Dalam satu isyarat lain baginda saw menjelaskan:
أمرت أن أخاطب الناس على قدر عقولهم
“Aku diperintahkan untuk bercakap dengan manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka”

Senangnya ialah, bila akal mereka tidak mampu mempercayai ajaran Islam, untuk apa mereka dipaksa memeluk Islam?.

Pernah suatu ketika baginda saw menjenguk seorang anak Yahudi yang sedang sakit, kerana baginda mengenali anak tersebut. Sangatlah gembira anak tersebut melihat kedatangan baginda. Anak Yahudi itu sangat kagum dengan kebaikan Rasulullah saw dan kerendahan hati baginda. Lalu anak yang sedang sakit itu dengan spontan saja mengakui akan kerasulan baginda saw, serta menyatakan keislamannya.

Demikianlah serba sedikit apa yang dapat dikemukakan beberapa perkara yang berkaitan dengan fakta Siyasah Islamiyyah, yang pada penulis amatlah disayangi andainya keindahan-keindahan begini tidak dipaparkan di masjid dan di surau-surau tanahair kita. Ingatlah fakta-fakta begini sebenarnya sangat suci dan mulia. Sangat bertepatan dengan masyarakat kini yang dahaga untuk memahami Islam yang sebenar.

Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk kita sendiri mendedahkan fakta-fakta begini secara jelas agar tidak selama-lamanya Islam dan politik itu menjadi teka-teki yang tidak pernah terjawab. Cuma dari segi teknikal penyampaiannya perlulah secara yang berhikmah. Maklumlah takut terbatuk pula setengah-setengah pak imam, bilal atau jawatankuasa masjid. Manalah tahu. Kerana kadangkala setengah-setengah mereka lebih suka diajar tentang haidh, nifas dan wiladah saja. Biarpun yang menjadi pendengarnya dah putus haidh, nifas atau dah habis tempoh wiladahnya. Demikianlah halnya.

*Untuk rujukan : Sila dapatkan Buku Teori Politik Islam, oleh Dr. Dhiauddun Rais, Terjemahan:Abdul Hayyie al Kattani, juga boleh dilawati"alkattani"

Sekian, wassalam

Artikel Penuh...

Wednesday, March 24, 2010

KONSEP PIMPINAN DALAM ISLAM

P

endahuluan
Berkata Imam Al-Shafiee Rahimahullahutaala (Al Umm juz VII ms 04) bahawa telah berfirman Allah Taala yang bermaksud:
"Hai Daud! Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan"
(Surah Shaad ayat 26)


Firman Allah kepada nabi s a.w. mengenai ahli al-kitab

"Jika mereka orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta putusan) maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka" sampai kepada "Dan jika kamu memutuskan perkara mereka maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil."
(Surah Al-Maidah ayat 49)
Firman Allah lagi
"dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu menurut hawa nafsu mereka. Dan berhatihatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan . kamu dari sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu"
Firman Allah Taala selanjutnya:
"Dan (menguruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil",
Berkata Imam Al-Shafiee Rahmatallah:
Sesungguhnya Allah telah memberitahu nabiNya s.a.w. untuk mewajibkan kepadanya, kepada orang-orang sebelumnya dan seluruh manusia bilamana memutuskan hukuman hendaklah dengan adil.
Makna "adil" ialah mengikut hukum yang diturunkan Allah. Allah telah berfirman kepada nabiNya s.a.w. ketika memerintahkan Baginda memutuskan hukuman di antara ahli al-Kitab dengan hukuman yang diturunkan oleh Allah dan meletakkan nabiNya s.a.w, daripada agama dan umatNya mengikut keterangan dari kitab Allah iaitu apa yang dikehendaki Allah dan mewajibkan taat kepadanya (nabi).
Firman Allah:
"Sesiapa yang taat kepada , Rasul sesungguhnya telah taat kepada Allah".
Firmannya lagi .
"Maka demi Tuhanmu (mereka pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan"
dan berfirman lagi:
"Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahnya "takut".
Maka hendaklah diketahui bahawa yang hak itu ialah kitab Allah kemudian sunnah NabiNya s.a.w. Tidak boleh seseorang Mufti atau seorang hakim memberi fatwa atau menghukum sehingga masing-masing mengetahui kedua-duanya. Tidak boleh seseorang menyalahi kedua-duanya atau salah satu dari keduanya"
Jika menyalahi keduanya seseorang itu telah menderhaka dan hukumnya ditolak. Jika tidak terdapat "nas-nas dari keduanya barulah ijtihad."
Keterangan Imam Al-Shafiee ai dalam bab kehakiman itu boleh dijadikan panduan selanjutnya di dalam membicarakan"konsep pimpinan dalam Islam" selain daripada memerhatikan ayat-ayat dah hadith-hadith yang lain, dalam semua peringkat dan golongan pimpinan merangkumi ketua negara, menteri, ulama' penghulu, guru-guru, da'ai, pemi.mpin masyarakat, pertubuhan, rumahtangga dan lain-lain. Kerana sumber pimpinan yang tertinqgi ialah
1. Al-Quran,
2. Al-sunnah
3. Ijtihad dan perkara yang hendak disuburkan dari pimpinan itu ialah keadilah ilahi dan matlamatnya kesejahteraan di dunia dan di akhirat dengan mendapat keredhaan Allah.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w. tiap-tiap kamu pengembala dan tiap pengembala bertanggungjawab terhadap apa yang digembala."
Megujudkankan pimpinan yang diredhai Allah
Meujudkan pimpinan yang seumpama itu dituntut oleh syara' berdasarkan kepada ijamaa'ulummah, di antara ayat-ayatnya

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan menyeru kepada yang maaruf dan mencegah dari yang munkar mereka itulah orang-orang yang beruntung"
maksud ayat (A1-Imran 104).
Imam Al-Ghazali menerangkan bahawa perkataan "hendaklah ada di antara kamu" merupakan perintah , yang dzahirnya menunjukkan wajib, "mereka itulah orang yang beruntung" menunjukkan Fardhu tugas tersebut merupakan fardhu kifayah bukan fardhu a'in yaitu bilamana sebahagian umat melaksanakan terlepaslah kewajipan ke atas yang lain.

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang maaruf dan menegah yang mungkar. Mendirikan sembahyang ..."
Maksud ayat (Al-Taubah 71)
Imam A1-Ghazali menjelaskan: Bahawa orang-orang mukmin itu telah mensifatkan mereka itu menyuruh yang maaruf dan menegah yang munkar. Bermakna seseorang yang lari dari tugas itu telah terkeluar dari sifat seseorang mukmin yang dinyatakan.
Sabda Rasulullah s.a.w. "Wahai manusia Allah berfirman menyuruh kamu melakukan yang maaruf dan menegah dari yang munkar, sebelum kamu berdoa di mana tidak dimakbulkan permohonan tersebut "
maksud hadith riwayat Ahmad dan al-Baihaki.
Ditanya kepada Khudzaifah r.a. siapakah bangkai bernyawa. Jawab beliau: "ialah orang yang tidak mencegah kemungkaran baik dengan tangannya mahupun dengan lidah dan hatinya.
Pemimpin Islam menegak yang maaruf dan mencegah yang mungkar
Perkara yang maaruf merangkumi semua perkara yang dituntut dan yang diharuskan oleh syara' meliputi soal-soal akidah, syariah, akhlak dan kemanusiaan seluruhnya zahir dan batin.
Perkara yang "mungkar" ialah semua perkara yang bertentangan dengan akidah, dengan syariah, akhlak dan kemanusiaan seluruhnya zahir dan batin.
Selanjutnya kadi Al Khudah Abdul Jabar bin Ahmad menjelaskan bahawa
"yang maaruf" itu terbahagi kepada apa yang wajib dan kepada apa yang sunat. Menyuruh yang wajib adalah wajib , dan menyuruh yang sunat adalah sunat. Kerana keadaan perintah tidak akan menambakan ; atas hal-perbuatan yang disuruh, pada-wajib. Adapun kemungkaran itu semuanya merupakan satu jenis sahaja di mana semua ianya wajib ditegah. Oleh itu pimpinan Islam dalam mana peringkat dan bahagian pun haruslah menjadi matlamat utamanya menegakkan kemaarufan dan mencegah kemunkaran di mana dan bila-bila masa sekalipun jika berbeza pada cara dan tindakan.
Pimpinan Islam mestilah digerakkan oleh iman dan amal saleh
Satu perjuangan yang diberi nama "perjuangan Islam" hanya dapat diakui bilamana perjuangan itu digerakkan oleh iman dan amal saleh oleh para pemimpinnya samada perjuangan itu dalam bentuk kebajikan, ekonomi, ilmu pengetahuan, politik, kemasyarakatan dan lain-lain. Pimpinan yang digerakkan oleh kepentingan diri, warna kulit, kedudukan, kemewahan dan seumpamanya bukanlah merupakan perjuangan Islam sekalipun diberi nama yang berbentuk keislaman.
Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan di dalam sabdanya dalam peristiwa hijrah daripada Mekah ke Madinah siapa yang berhijrah kepada Allah dan rasulnya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan rasulnya. Siapa yang berhijrah kepada dunia atau wanita yang dicintai olehnya maka ia berhijrah kepada perkara yang menjadi tujuannya.
Maka hadith ini menjalankan bahawa suatu perjuangaan sekalipun sukar dan penuh sengsara seumpama berhijrah tadi. namun bilamana tidak digarapkan oleh iman dan amal saleh tidaklah memenuhi kehendak perjuangan dan pimpinan yang sebenarnya menjadikan perjuangan itu tidak tercapai matlamatnya.
Pimpinan berkesan dapat dilihat bilamana bertambah yang maaruf dan semakin berkurangan mungkar
Itulah tanda-tanda dan kesan-kesan yang menunjukkan sesuatu kejayaan dalam mana-mana pimpinan pada mana-mana peringkat dan bahagian. Keseluruhan kesan-kesan tersebut hanya akan tercapai bilamana terlebih dahulu dapat dicapai pada bahagian-bahagian tertentu samada dalam bentuk peribadi atau jamaah. Umpamanya kesan sembahyang ialah meninggalkan kejahatan dan kemungkaran. Kesan puasa menimbulkan ketakwaan. Kesan tauhid menimbulkan kesabaran dan keberanian. Kesan jemaah merapatkan persaudaraan dan seterusnya. Di dalam keadaan kesan- kesan tersebut tidak dapat dirasakan oleh pemimpin, apatah lagi oleh yang dipimpin maka hendaklah masing-masing mengkoreksi dan merenungi dimanakah kecacatan yang ada dalam pimpinan tersebut. Kerana yang maaruf akan menerbitkan yang maaruf dan yang mungkar menimbulkan yang munkar.
Ambillah contoh mendirikan rumahtangga berdasarkan kepada firman Allah:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaannya ialah dia menciptakan untukmu isteri, dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir."
(Surah Al-Rum ayat 21).
Suami sebagai pemimpin rumahtangga haruslah memerhatikan samada tujuan perkahwinan itu telah berhasil denqan tercapai ketiga-tiga perkara tadi atau belum mengikut cara-cara yang dikehendaki oleh Islam. Jika belum berhasil tentulah ada kecacatan di dalam pimpinan tersebut.
Contoh yang lain Allah berfirman

Maksudnya: "Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang husyu' dalam sembahyangnya dan orang-orang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, Dan orang-orang yang menunaikan zakat. Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, Kecuali terhadap isteri- isteri mereka atau budak-budak yang mereka miliki maka sesungguhnya dalam hal itu tiada tercela. Maka barang siapa yang mensari yang dibalik itu mereka itulah orang yang melampaui batas, Dan orang-orang yang memelihara amanah, (yang dipikulnya) dan janjinya: Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang yang mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya,'
(surah al-Mu'minun ayat 1 - 11)
Contoh yang lain Allah berfirman: " Dan (hamba hamba yang baik dari Tuhan) yang maha penyayang itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka (dengan kata- kata yang tidak sopan) mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan, Dan orang yang melalui malam hari denqan bersujud dan berdiri kerana Tuhan mereke. Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhanku! kami jauhkan azab jahanam dari kami (kerana) sesungguhnya azabnya itu ialah kebinasaan yang kekal." Sesungguhnya jahanam itu seburuk tempat menetap dan tempat kediaman.
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, tetapi adalah (perbelanjaan) itu di tengah-tengah antara yang demikian. Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diiaaramkan Allah (membunuhnya) kecuali yang hak dan tidak berzina. Barang siapa yang melakukan demikian itu nescaya dia mendapat pembalasan (dosanya). (Yakni) akan dilipatgandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal di dalam azab itu, dalam keadaan terhina, kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh, maka mereka itu, kejahatan mereka diqanti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. Dan orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang) yang mengerjakan perbuatan yang tidak berfaedah,mereka, lalui )sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya. Dan orang-orang yang bilamana diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, meraka tidak menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

Dan orang-orang yang berkata: `Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai biji mata (kami), dan jadikan kami pemuka bagi, (orany-orang yang bertakwa). Mereka itulah yang dibalas dengan mertabat yang tinggi (dalam syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya."
(Surah al-Furqan ayat 63-75)
Contoh-contoh itu adalah kesan-kesan yang maaruf dari pimpinan iman yang seharusnya meresap ke dalam jiwa, rumahtangga, pertubuhan dan sebagainya yang ditanam oleh pemimpin-pemimpin yang berkaitan. Tanpa ujud kesan-kesan yang seumpama ini keseluruhan atau sebahagian darinya adalah menunjukkan kegagalan pimpinan tersebut. Dari aspek itu, kejayaan kebendaan sahaja, sudah pasti tidak mencerminkan kejayaan sebenarnya menurut pandangan Islam dalam satu- satu pimpinan.
Syarat-syarat menjadi seorang pemimpin
Samada seorang itu menjadi amir, mufti, kadi (hakim) dikenal da'i atau seorang yang pada hari itu sebagai mehteri, wakil rakyat, penghulu dan lain-lain lagi, ia haruslah tertakluk kepada syarat-syarat asas lainnya daripada syarat khas dan am yang berkaitan dengan tugas dan jawatan masingmasing boleh dikatakan syarat-syarat asas itu telah ijma' ulama' al-wmcrah nengenainya. Diantaranya ialah:
1. Muslim,'akil baligh dan laki-laki
2. Adil
Ertinya ia tidak fasik seumpama tidak meninggalkan salat beramal apa yang ia ketahui. Tidak menyalahi katanya akan perbuatannya. Tidak menyalahi akan kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.
3. Berilmu
Ertinya ia mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan fardhu ai'n dan fardhu kifayah sehingga dapat membezakan diantara yang maaruf dan yang,munkar. Mengetahui perkara-perkara'yang berkaitan dengan pimpinan.
4. Mempunyai kudrat, kemampuan.
Ertinya boleh bertindak bagi menyelesaikan sesuatu urusan samada menggunakan tenaga; perkataan, tulisan atau flkiran di dalam apa suasana pun.
5. Beradab mengikut akhlak Islam,
Ertinya seseorang pemimpin haruslah mampu memberi cantoh tauladan mengikut akhlak Islam kepada diri dan orang di bawah pimpinannya. Selain itu di dalam dirinya mengandungi sifat ikhlas, jujur tidak angkuh, ria' dan sebagainya. Ringkasnya terkumpul di dalam dirinya sifat-sifat terpuji dan jauh dari sifat-sifat terkeji.
6. Sempurna pancaindera dan sihat tubuh badan.
Memahami Al-Quran dan Al-Sunnah
Ciri terpenting dalam perjuagan dan pimpinan Islam Bagi meluaskan sedikit huraian syarat ketiga di atas maka seorang pemimpin yang menamakan dirinya sebagai barisan pemimpin Islam, tahap yang paling minima haruslah ia mampu membaca ayat al-Quran dan petikan-petikan hadith serta memahami maksudnya. Lebih jauh dapat menghafal ayat-ayat dan hadith-hadith tersebut.
Lebih jauh lagi memahami (ilmu Al-Quran) dan ."Mustalihul Hadith". Membaca Siratul Rasul, sahabat-sahabat, salaful salihan,dan riwayat hidup ulama-ulama. Membaca dan mengenali kitab-kitab yang Muktabar di bidang Tauhid, Fikah, Tasauf, Tafsir, Hadith. Dapat memahami mana yang ijmak dan mana yang ikhtilaf, mana yang usul dam mana yang furu'. Berkaatan dengan ini sedapat mungkin haruslah seseorang pemimpin itu mengetahui bahasa arab, Kerana kitab-kitab yanq original yang berkaitan dengan perkara tersebut kebanyakannya ditulis di dalam bahasa Arab. Akibat daripada tidak memahami dan mengetahui hal-hal tersebut, kadang-kadang boleh menimbulkan berbagai-bagai kesan yang tidak baik dalam pimpinan, hingga merebak kepada masysrakat yang lebih besar, yang boleh mencacatkan kesempurnaan Islam.
Kewajipan dan hak-hak pemimpin dalam neqara Islam
Al-Farra' Rahimahallah menyebutkan beberapa kewajipan dan hak hak pemimpin di antaranya:
1. Menjaga agama mengikut usul-usul yang telah disepakati ulama-ulama
2. Memutuskan hukum ke atas dua pihak yang bertelingkah
3. Menjaga kesejahteraan umat
4. Melaksanakan hudud bagi menjaga berlakunya perkara yang diharamkan Allah
5. Mengawal kampung negeri dari dicerobohi musuh
6. Melakukan jihad ke atas penentang Islam selepas diajak kepada Islam samada masuk Islam atau berlindung di bawah negara Islam.
7. Memungut cukai dan zakat seperti yang diwajibkan oleh syara'.
8. Membelanjakan harta baitulmal mengikut yang seperlunya tanpa membazir atau mengikat dan membayar pada waktu yang ditetapkan.
9. Menyerahkan tanggungjawab kepada orang-orang yang amanah dan ikhlas bagi melaksanakan tugas-tugas negara supaya segala kerja boleh dibuat dengan sempurna dan harta terpelihara.
10. Melibatkan dirinya melihat keadaan umat dan keperluan mereka.
Jika sepuluh kewajipan ini dilaksanakan oleh pemimpin maka wajiblah bagi umat taat dan menyokong pemimpin tersebut.
Pimpinan dalam rumahtangga
Pimpinan di dalam Islam bermula daripada rumahtangga. Masyarakat yang sejahtera bermula daripada rumahtangga yang sejahtera. Kesejahteraan suami isteri hanya tercapai bilamana kehendak Islam itu terlaksana di dalam rumahtangga tersebut.
Di antara hak-hak suami yang harus ditaati oleh isteri ialah:
1. Mentaati suaminya bilamana diajak ke tempat tidur.
2. Tidak harus menunaikan puasa sunat kecuali dengan keizinan suami.
3. Tidak harus membelanjakan harta suami kecuali dengan izinnya.
4. Tidak harus keluar rumah kecuali dengan keizinan suami.
5. Hendaklah isteri beradab kepada suaminya di antaranya jangan mengumpat dan memaki suaminya. Di antaranya jangan bermegah dengan kecantikannya kepada suaminya. Dan jika suaminya huduh jangan pula merendahkannya. Di antaranya sentiasa bertakwa dan'menjaga diri di waktu ketiadaan suami di rumah dan melaksanakan tugas tumahtangga sebaik baiknya.
Di antara hak-hak isteri yang harus dilaksanakan oleh suami nya ialah:
1. Hendaklah suami menghormati isterinya dan hidup bersamanya dengan "maaruf" dan "ikhsan".
2. Hendaklah suami sentiasa berada di dalam keadaan yang mengembirakan isterinya.
3. Hendaklah suami sentiasa berlapang dada jika berlaku sesuatu perselisihan dengan isterinya.
4. Hendaklah suami menjadi ikutan yang baik kepada isteri dan keluarganya.
5. Melaksanakan tanggungjawab rumahtangga dengan sebaik baiknya.
Pimpinan ibu bapa terhadap anak-anak
Hak anak-anak yang harus dihormati oleh ibu-bapa seperti yang diterangkan oleh Al-Imam Ghazali di dalam kitab "Ikhya' ulu muddin" seketika lahirnya di antaranya ialah:
1. Janganlah seseorang itu terlalu bergembira mendapat anak lelaki dan merasa dukacita mendapat anak perempuan.
2. Setelah anak itu lahir hendaklah diazankan di telinga kanannya dan dikamatkan di teli.nga kirinya. Bilamana anak tersebut pandai bercakap sunat di ajarkan "La ilaha illallah".
3. Hendaklah diberi nama yang baik. Sabda rasulullah s.aow. yang inermaksud: "Sesungguhnya kamu akan dipanggil nama kamu dan nama bapa kamu pada hari kiamat. Sebab itu bagusilah nama-nama kamu".
Sebab itu sesiapa yang mempunyai nama-nama yang tidak baik digalak menukarkannya kepada nama-nama yang baik.
4. Melakukan akikah pada hari ke tujuh kelahiran anak.
Hendaklah ibu-bapa memberi didikan yang baik kepada anak-anak mereka. Ajarlah mereka bersembahyang ketika berumur tujuh tahun. Pukullah secara mengajar jika mereka malas ketika berumur sepuluh tahun, marah dan berilah amaran jika mereka tidak menurut selepas itu. Tunjuklah kepada mereka contoh tauladan yang baik di dalam pergaulan sehari-hari, supaya mereka menjadi insan yang baik di masa hadapan.
Kewajapan ini tersimpul di dalam Firman Allah bermaksud "Selamatkanlah diri kamu dan kaum keluargamu dari api neraka."
Pimpinan ketua terhadap orang-orang di bawahnya
Di antaranya:
1. Hendaklah memulakan "kebaikan" maaruf daripada dirinya sendiri.
2. Tidak bersikap angkuh dan sombong. Boleh jadi ada orang-orang lain yang lebih baik daripadanya di bidang ilmu dan pimpinan.
3. Bersikap adil iaitu sentiasa meletakkan sesuatu di tempatnya.
4. Bersimpati dengan masaalah-masaalah yang dihadapi oleh orang-orang di bawah jagaannya dan menyelesaikannya dengan cara yang baik.
5. Dan bagi seseorang majikan hendaklah "membayar upah sebelum kering keringat pekerjanya."
Piminan ketua tentera
Seperti yang dipesankan oleh Saidina Abu Bakar r.a.
1. Bilamana kamu datang kepada perajurit kamu janjilah kepada mereka dengan kebaikan. Bila kamu berjanji penuhilah janji tersebut.
2. Perbaikilah dirimu nescaya orang-orang di bawahmu menjadi baik:
3. Jika datang kepada kamu utusan musuh muliakanlah , kedudukan mereka, janganlah mereka itu terlalu dikawal biarlah mereka bebas sedang mereka tidak mengetahui rahsia kedudukanmu.
4. Jangan biarkan orang lain bercakap dengan utusan musuhmu kamu sendirilah yang bertutur dengan mereka.
5. Jangan jadikan rahsiamu sama dengan perkara yang tidak rahsia nescaya gagal tugasmu.
6. Sekiranya kamu bermesyuarat selidiki lah berita nescaya berhasillah mesyuaratmu.
7. Sekiranya sampai sesuatu berita musuh kepadamu hendaklah kamu rahsiakan dahulu sehingga kamu menyeledikinya. Jangan hebohkan berita tersebut kepada tenteramu. Hendaklah bersiap sedia
8. Banyakkanlah pemeriksaan mengejut terhadap perajuritmu siang dan malam.
9. Berilah semangat bila bertemu dengan tenteramu. Janganlah kamu pengecut nescaya yang lain akan menjadi pengecut:
Pimpinan guru terhadap muridnya
seperti yang disebutkan oleh A1-Imam Ghazali
1. Kasihan dan bertimbangrasa terhadap muridnya supaya terselamat daripada malapetaka.
2. Memandu muridnya ke jalan yang diredai syara'
3. Tidak membiarkan muridnya menerima sebarang nasihat yang tidak baik dari orang lain.
4. Mengingatkan dengan baik kepada muridnya mengenai bahaya akhlak yang tidak baik.
5. Mengingatkan muridnya jangan merendah-rendahkan ilmu yang lain yang tidak dipelajarinya.
6. Menyampaikan ilmu mengikut kadar kemampuan murid.
7. Kepada murid yang tercicir berilah kepadanya penjelasan yang sesuai sehingga jangan menimbulkan kebosanan belajar kepadanya.
8. Hendaklah guru beramal dengan ilmunya. Jangan lain apa yang dibuat daripada apa yang dikata.
Kesimpulan
Dari contoh yang ditunjukkan di atas dapatlah disimpulkan sebagas berikut:
1. "Konsep pimpinan dalam Islam" merangkumi semua tingkatan hidup bermula daripada negara membawa kepada masyarakat, dan rumahtangga.
2. Pimpinan di dalam Islam mengajak manusia kepada yang maaruf dan menegah yang mungkar.
3. Sumber pimpinan Islam ialah Al-quran dan Al-Sunnah
4. Ajaran Islam hendaklah diresapkan bermula daripada ,individu seterusnya ke dalam keluarga seterusnya negara.
5. Pimpinan Islam pada setiap masa dan tempat hendaklah memahami dan mengetahui dasar ajaran Islam dan mengamalkannya terlehih dahulu.
6. Makna pimpinan melibatkan semua pihak daripada ketua negara yang memerintah membawa kepada menteri-menteri; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai. kanan, ulama-ulama, guru-guru, suami-isteri, ketua pertubuhan, penghulu dan lain-lain.
7. Timbulnya krisis, keruntuhan masyarakat, rasuah, dadah, kezaliman, pengelapan harta benda, penipuan dan lain keburukan adalah disebabkan manusia lari dari pimpinan Ilahi lalu mengambil pimpinan selainnya.
Penutup

".........Ya Tuhan kami janganlah engkau hukum kami jika kami lupa. atau kami tersalah.
Ya Tuhan' kami jangahlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat
sebagaimana engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami.
Ya Tuhan kami janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya.
Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami.
Engkau penolong kami maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. "
(Maksud surah Al-Baqarah ayat 286.)
Wallahu a'lam

Kertas Kerja ini disediakan oleh : Abdul Wahab b Hj Zakaria, UTM. KL.

Artikel Penuh...

Sunday, March 21, 2010

Islam yang terlindung.

A

gak lama saya tidak menghubungi abang aji (Tuan Haji Harun). Namun abang aji tidak jemu-jemu menghantar sms kat saya. Seperti biasa sms abang aji dengan kata-kata yang ‘power’ dan boleh memantul HOKA dan HOKI saya. Yang terbaru abang aji menyebut, “Islam terbaik dalam segala hal, tapi sayang umatnya lemah dalam segala hal. Di mana silap? Guane weh?” , demikian bunyinya.

Hebat sekali abang aji, kenyataan tu!. Memang tidak dapat dinafikan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw adalah terbaik yang sering disebut sebagai ‘kamil dan mutakamil’, sempurna lagi menyempurnakan. Secara peribadi saya mengakui memang banyak hal yang disebut oleh abang aji tu boleh berlaku dan sentiasa berlaku. Ini ditambah pula bahananya dengan kelakuan di kalangan orang-orang yang belajar dan pengkhususannya dalam bidang Pendidikan Islam pun berkarekter negatif. Jadi mana satu yang boleh dicontohi!. Belajar lain, buat lain.

Bila-bila begitu saya teringat kepada salah satu hadis yang diungkapkan oleh Nabi Muhammad saw. “Keindahan Islam itu terlindung di sebalik tingkahlaku orang Islam”. Memang benar dari segi teorinya Islam, tidak ada yang mempertikaikan keindahan dan kebaikannya. Tetapi bila dilihat perangai sesetengah penganutnya, menyebabkan kita terpaksa angkat tangan dengan mengatakan benar pada kenyataan abang aji tadi. As Syahid Sayyid Qutb pernah mengungkapkan, “Saya tidak pernah melihat Islam wujud di dalam negara Islam, namun saya melihat ianya wujud dalam negara bukan Islam”. Apa ertinya ini?. Sepintas lalu mungkin kita merasakan bahawa kenyataan in agak ekstrem. Namun bila direnung secara mendalam memang terasa benar kenyataannya. Lihatlah sekarang?. Kalau berjanji siapa yang suka memungkirinya?, Kalau bercakap siapa yang selalu bohongnya?. Kalau diberi amanah, siapakah yang suka memecah amanahnya. Siapakah yang kuat makan rasuahnya?. Siapakah di antara yang tercekap dalam mengumpulkan harta secara haram?. Siapakah yang tidak dapat membebaskan diri dari semua jenis skandal seksnya sampai kepada ekonomi? Seakan-akan kita boleh mengatakan adalah diwakili oleh umat Islam. Tidak kira dari individu kecil sampai kepada yang besarnya. Malah kadangkala pada musim-musim tertentu merekalah yang menjadi perasmi majlis-majlis yang berkaitaan dengan keislaman, merekalah jaguh untuk membicarakan peribadi nabi, ajaran nabi yang perlu dicontohi. Namun hariannya kadangkala tidak terlepas dari perangai-perangai mazmumah. Saya ni bukanlah menuduh, tapi dah nampak sangat terlonggok di depan mata, dan ianya bukan menjadi rahsia lagi. Malah sudah jadi macam kelaziman pulak. Takkan nak pejamkan mata pulak. Tak kena gaya boleh jadi syaitan bisu. Namun jauh di sudut hati saya tidak pernah putus asa dengan mengharapkan apa yang diucapkan di depan rakyat jelata itu disedari dan dimuhasabah selalu.

Dari satu segi lagi, kadang kala kita juga terasa sampai bilalah mereka dengan gelagat gila ini terus bermaharajalela. Malah kalau dilihat dari segi indeks integriti, Malaysia bukanlah berada dalam lingkungan negara yang bebas dari rasuah. Kita terus merudum dari no. 25, 40, 47 dan kini ke tangga ke 56. (Siasah 21 - 27 Mac 2010), jangan lupa, semakin besar angka menunjukkan semakin parah rasuahnya.Berbanding dengan Singapura, kita kalah dari segi indeks integriti . Malah negara-negara seperti Bangladesh, Arab Saudi, pakistan adalah di antara negara yang berada dalam senarai negara-negara yang menjuarai indeks rasuah yang tertinggi.

Lihat pula angka anak haram, Berita Minggu 21 Mac 2010 melaporkan, Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2009.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Sebab itu tidaklah menghairankan, bila penyanyi Yusuf Islam (Cat Steven) pernah menyebut ‘seandainya saya melihat perangai sesetengah penganut Islam, saya tidak akan masuk Islam, tetapi apabila saya melihat Islam itu dari sudut ajarannyalah yang menyebabkan saya menganut Islam’. Alhamdulillah rupa-rupanya Yusuf Islam merupakan salah seorang dari jutaan manusia yang mampu berfikir dan membezakan di antara Islam, sebagai ajaran yang terbaik, berserta dengan tingkat-tingkat penganutnya yang pelbagai, ada yang muqarrabin, ada yang abrar ada yang masih lagi sebagai awam dan ada pula yang kadangkala melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam (kumpulan yang fasiq dan `asi).

Pada awal cuti persekolahan Mac 2010 baru-baru ini, saya sempat beberapa ketika balik Nogoghi, menziarahi mertuo den yang berado di Soromban. Alhamdulillah, Abah sihat dan masih ceria, senyum manis tidak pernah lekang menyambut ketibaan anak menantu beserta dengan cucu-cucu. Selain dari itu, Pantai Port Dickson juga menjadi salah satu tempat tumpuan kami, menemani anak-anak yang merindui suasana lautnya yang tidak segarang musim-musim tertentu di Pantai Timur. Hari itu agak sederhana, pengunjungnya tidaklah begitu ramai. Untuk mempastikan program santai kami lebih ceria dan selesa sambil menemani anak-anak yang bermandi manda, kami menyewa sebuah khemah dengan harga RM 20.00. Alhamdulillah, agak selesa. Cukup untuk keluarga kecil macam saya. Di sebelah depan telah tersedia dua buah khemah yang dihuni oleh satu keluarga yang agak besar. Melayu Islam, macam juga saya sekeluarga. Dari geraklaku dan pertuturannya, saya dapat agak dari negeri mana, tak apalah itu rahsia.

Tidak lama selepas itu berdepan dengan khemah saya dan bersebelahan dengan khemah keluarga tadi datang satu keluarga ‘mat saleh’ (warga Amerika), suami isteri dengan empat orang anak. Tidak menyewa khemah, hanya sekadar membawa sebidang tikar, dan terus menghamparkannya. Barangkali untuk merasai nikmat keperitan cahaya matahari di sekitar Nusantara yang jarang diperolehi di negaranya. Sama seperti saya, suami isterinya tidak mandi, sekadar menemani anak-anak yang galak bermandi-manda. Dalam kesibukan begitu tiba-tiba saya terlelap, dan tidak sedar bilakah keluarga Melayu Islam yang berada di depan kami berangkat balik. Apabila saya tersedar, khemah tersebut telah pun kosong dan yang tinggal hanya sampah-sampah serta sisa makanan yang sememangnya saya pasti jelas, itu adalah milik keluarga tersebut.

Tidak lama selepas itu sekumpulan pelajar UPM yang mengadakan kajian tentang alam sekitar. Untuk memenuhi keperluan salah satu kursusnya di UPM. Keluarga ‘mat saleh’ dan saya tidak terkecuali menjadi sasaran untuk ditemuramah. Di antara soalan yang dikemukakan ialah mengenai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Saya mempunyai pandangan yang tersendiri tentang persekitaran. Contohnya oleh kerana Port Dickson berada di bawah Majlis Daerah, pihak majlis daerah perlu mempunyai beberapa tanggungjawab tertentu menjaga persekitaran, di samping menyediakan dan mempertingkatkan beberapa kemudahan awam yang tertetntu seperti bilik air, bilik persalinan, surau dan tempat-tempat bersantai yang sesuai dengan persekitaran kita di timur. Tidak ketinggalan pula dengan keperluan papan tanda yang merangsang kepada pengunjung agar sama-sama menjaga kebersihan pantai.

Apa yang menarik ialah selepas sahaja pelajar-pelajar tersebut beredar, warga Amerika tadi bertindak mengutip semua sampah yang ditinggalkan oleh keluarga Melayu Islam tadi dan memasukkannya ke dalam beg plastik, sehingga tempat yang ditinggalkan oleh keluarga Islam tadi kembali ceria seperti biasa. Selepas itu mereka kembali berada di atas tikarnya tadi. 'Terkesima' juga saya memerhatikannya. 'Orang duduk tengah panas tolong bersihkan sampah sarap yang ditinggalkan orang yang berada di tempat teduh'. Suatu bukti hidup dan nyata di depan mata lendir sendiri. Saya memerhatikan. Keluarga Melayu Islam yang sedia diasuh dengan konsep toharah, kebersihan sejak kecil, membiarkan sampahnya begitu sahaja. Keluarga yang agak asing pula dengan keislamannya bertindak membersihkan dan mengamalkan konsep toharah seperti yang diajar oleh Islam.

Kalau tadi saya menyebut kata-kata As Syahid Sayyid Qutb yang beliau tidak pernah melihat Islam wujud di dalam negara Islam, namun beliau melihat ianya wujud dalam negara bukan Islam, sekarang saya melihat dengan mata lendir sendiri bahawa ada beberapa aspek Islam yang wujud dalam diri keluarga bukan Islam. Masakan tidak, mereka yang Islam meninggalkan khemah sewaan tersebut dengan sampah sarap tanpa rasa bersalah, tanpa merasakan bahawa kebersihan itu adalah sebahagian dari Iman. Sementara orang bukan Islam menjadi pembersihnya. Tidaklah saya pasti keluarga 'mat saleh' ini faham atau tidak dosa pahala. Namun mereka melakukan sesuatu yang boleh dikira berpahala, paling tidak berkebajikan.

Demikianlah halnya, bila dihubungkan dengan pertanyaan abang aji, “Islam terbaik dalam segala hal, tapi sayang umatnya lemah dalam segala hal. Di mana silap? Guane weh?” , Benarlah hadis Nabi saw menyebut, “al Islamu mahjubun bilmuslimin... Islam terlindung di sebalik tingkahlaku orang Islam. Wallahu a`lam.

Akhirnya, saya suka kemukakan beberapa persoalan untuk direnung bersama:

01. Bila disebut keindahan Islam terlindung oleh di sebalik umatnya, siapakah di antara kita yang tergolong dalam kumpulan yang menyebabkan Islam begitu cantik terlindung?.

02. Adakah saya dan anda juga terlibat menjadi orang yang menyebabkan keindahan Islam itu tidak dapat dilihat oleh orang lain?.

03. Kalau saya dan anda terlibat, apakah tindakan yang perlu dilakukan sekarang?. Takkan nak seronok dengan cara itu. Kerana menjadi penghalang kepada generasi yang mahu memahami Islam sebenarnya adalah penjenayah. Sanggupkah kita berada dalam kumpulan tersebut.

04. Kalau rasa terlibat, apakah aspek-aspek yang menyebabkan keindahan Islam itu dihalang oleh saya dan anda?. Kena carilah, kalau dah jumpa, buang penghalangnya supaya saya dan anda menjadi salah satu laluan Islam yang selamat dan kita menjadi 'Duta Allah' yang sebenarnya di muka bumi ini sebelum dijemput ke perut bumi.

Demikianlah adanya, wassalam.

Artikel Penuh...

Beberapa Fakta Menarik

Z

aman Dr. Mahathir Indeks Rasuah merudum dari angka 25 ke 40.
Zaman Pak Lah menjunam lagi ke tangga 47, walaupun tidak dapat dinafikan beliau ingin membuat perubahan melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zaman kini terus lagi menjunam ke tangga 56, iaitu paling singkat dalam sejarah. Ini membuktikan sistem dalam negara kita sudah rosak...akibatnya negara kehangusan belanja sebanyak RM28 bilion, demikian angka yang didedahkan oleh Ketua Odit Negara.

Ini ada satu lagi, 17,303 anak luar nikah didaftar 2009:

KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.
“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” Katanya (BM 21 Mac 2010).

Kan menarik ni! Aduhai Malaysiaku yang sering disebut negara Islam.


Artikel Penuh...

Tuesday, March 9, 2010

Maulidur Rasul: Beberapa Perkara Yang Perlu Diambilkira (I)

B

ila membicarakan tentang 'Maulidur Rasul', beberapa soalan mungkin boleh dikemukakan di antaranya;

1. Siapa sebenarnya Nabi Muhammad itu?


i. Baginda adalah manusia pilihan Allah yang sengaja dibangkitkan, bukan secara kebetulan, tetapi berdasarkan perancangan yang sangat rapi oleh Allah, lihat firman Allah:
"Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap ummatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar) dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberinya; dan sebagai lampu yang menerangi" (al Ahzab – 45/46).
*Catatan: Kepada sesiapa yang mampu berbahasa Arab sila lihat penjelasan ayat di atas dalam Tafsir Ibn Kathir, 3:102.

ii. Baginda merupakan manusia yang ma`sum, bukan sahaja sejak dilahirkan sampai kepada kewafatan, tetapi juga insan-insan yang dipilih untuk membawa zuriat ini juga dijaga oleh Allah daripada menyembah selain dari Allah, (termasuk bapa Nabi Ibrahim as. dikatakan khilaf. Ada ulama` mengatakan bahawa bapa Nabi Ibrahim sebenarnya ialah Tarukh, bukan Azar, dan Tarukh wafat semasa Nabi Ibrahim masih kecil, sementara Azar dikatakan bapa tiri Nabi Allah Ibrahim). Mereka semuanya beragama dengan agama ‘Hanif’. Wallahu a`lam.


2. Kenapa nama baginda saw itu menjadi sebutan dan masyhur sepanjang zaman?

i. Kerana nama baginda saw telah diisytiharkan secara rasmi oleh Allah sebelum dijadikan semua makhluk di atas muka bumi, lihat dalam satu Hadis Qudsi, Allah berfirman yang lebih kurang bermaksud: “Kalaulah tidak kerana kamu (wahai Muhammad), kalaulah tidak kerana kamu (wahai Muhammad), nescaya tidak akan aku jadikan semua makhluk di atas muka bumi ini”.

ii. Kerana ucapan ini dimasyhurkan dalam siri kenabian dan kerasulan yang sebelum baginda. Semua nabi dan rasul mengucap dua kalimah syahadah dengan ucapan yang sama seperti yang diucapkan oleh ummat Nabi Muhammad saw.

iii. Baginda sendiri pernah menyebut dalam Hadisnya yang lebih kurang bermaksud: “Aku adalah hasil dari keberkatan do`a Ibrahim dan berita gembira yang dibawa oleh Isa as”. (Sila rujuk al Baqarah:129 dan as Saf :6)

iv. Allah telah pun memperkenalkan nama baginda saw kepada makhluk yang berada di langit. Untuk lebih jelas, sila rujuk kepada peristiwa Isra’ dan Mi`raj. Di mana semuanya memberi ucap selamat dan baginda saw menjadi imam untuk solat di Baitul Maqdis.

v. Kelahiran baginda bukan sahaja dinantikan oleh manusia, malah juga oleh makhluk jin. Di antaranya, sila rujuk pertemuan baginda saw dengan jin yang bernama Hamat bin Him bin Laqis bin Iblis. Anak cucu Iblis boleh tunggu begitu lama untuk beriman dengan Nabi Muhammad saw. Amat malang bagi kita anak cucu Adam as yang menolak keimanan terhadap Nabi Muhammad saw dan nabi-nabi sebelumnya.

vi. Di kalangan tokoh-tokoh tertentu seperti Waraqah bin Naufal, Salman al Farisi dan Buhaira`, sentiasa menanti kedatangan Nabi akhir zaman ini. Untuk lebih jelas sila baca kisah Islamnya Salman al Farisi. Lihat juga tokoh Yahudi seperti Ibnul Haiban yang menjadi sebab kepada Islamnya Tha`labah bin Sa`yah, Usaid bin Sa`yah dan Asad bin Usaid. (sekadar menyebut beberapa nama dan kisah).

vii. Bersamaan dengan hampirnya masa kelahiran baginda saw, terdapat tiga keluarga yang menamakan anak dengan Muhammad antaranya Muhammad bin Sufyan at Taimi, Muhammad bin Bilal al Ausi dan Muhammad bin Himran al Juhfi dengan harapan anak mereka dipilih untuk menjadi nabi terakhir, namun takdirnya Allah memilih Muhammad bin Abdullah al Hasyimi al Quraisyi (al Husaini – Sirah al Mustofa, hal: 209).

iix. Nama baginda sebagai nabi terakhir telah pun di nyatakan dalam kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu:

a. Taurat, Injil dan Zabur.

b. Dalam kita Dasatir dan Zend Avesta (Farsi) Sasan berkata: “Apabila orang-orang Farsi terjerumus ke dalam budi pekertiyang begitu rendah, seorang akan dilahirkan di Tanah Arab yang pengikut-pengikutnya akan membalikkan takhta kerajaan, agama dan segala harta benda mereka” (Dasatir 14).

c. Kitab Veda: “Hai sekelian manusia! Dengarkanlah berita penting ini. Nanti ada bangun seorang lelaki yang terpuji (Muhammad) di antara sekelian manusia”.

d. Bahapesiya Porana: “Pada ketika itu datanglah seorang lelaki dari penduduk tanah Arab namanya Muhammad, yang bergelar Ahmad dan dia akan mendapat penolongnya”.


3. Apakah hubungan dan sumbangan baginda Nabi saw dengan kita semua?....

i. Kelahiran baginda saw merupakan permulaan petunjuk (kebijaksanaan) dan berakhirnya kebodohan (jahiliyyah). Dalam masa dua puluh tiga tahun baginda saw berjaya membasmikan semua jenis penyembahan lain dari Allah di atas muka bumi Arab dan usaha itu diteruskan oleh para khalifah pewaris baginda.

. Untuk lebih jelas lihat pengakuan Sayyidina `Umar al Khattab, ada dua perkara di zaman jahiliyyah, pertama menggelikan hati iaitu menyembah berhala yang diperbuat daripada tamar dan memakannya ketika keputusan bekalan makanan semasa mengembara dan kedua ialah menjadikan beliau menangis, iaitu menanam anak perempuannya hidup-hidup (sekadar menyebut satu dua kisah).

. Ucapan Rub`iey bin `Amir kepada Panglima Rustum Farsi:

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد الى عبادة الله وحده ومن ضيق الدنيا الى سعتها ومن جورالأديان الى عدل الإسلام

“Allah membangkitkan kami untuk mengeluarkan mereka yang mahu daripada menyembah sesama makhluk kepada menyembah Allah yang satu, daripada sempitnya dunia kepada keluasannya, daripada ketidakseragaman dan serba menyimpangnya agama-agama kepada keadilan Islam”

ii. Memunculkan peradaban baru yang paling baik dari Allah swt di atas muka bumi dan menghapus terus peradaban jahiliyyah sebelumnya

• Tanpa Nabi saw mungkin kita dalam suasana yang primitif tanpa peradaban dalam semua segi liha saja cara berpakaian, pergaulan, makanan mungkin kita akan buat mengikut kehendak kita, ikut apa yang terlintas, tetapi datangnya Islam, diajarnya menutup aurat, jaga batasan pergaulan, makan ikut tata susilanya lihat sabda baginda kepada Abdullah bin Abbas:

يا غلام اذا اكلت فسم الله وكل بيمينك وكل ما يليك فإن البركة تنزل من الوسط

iii. Baginda merupakan contoh manusia terbaik, termulia, terhormat, jujur, yang terpelihara dan memiliki semua sifat kesempurnaannya. Mempunyai kemampuan yang sangat tinggi dan melebihi kemampuan manusia biasa, baik dari segi ketajaman mata hati, akal budi dan daya kesabaran untuk bertindak. Untuk lebih jelas lihat kisah di bawah:

• Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya".
Setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abubakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abubakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan!, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. "Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w." Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia...". Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a.

iv. Sikap baginda saw tidak pernah memaksa seseorang untuk memeluk Islam, namun mengajukan hujjah, penjelasan dan pemikiran bebas, membawa orang berfikir dan akhirnya dengan rela hati menganut Islam.

• Sila rujuk kepada peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, Suhail bin Amru selaku Ketua delegasi Musyrikin Mekkah, bukan sahaja menolak Islam tetapi tidak mahu perkataan Muhammad Rasulullah digunakan dalam perjanjian, malah anaknya sendiri Abu Jandal yang telah memeluk Islam pun ditamparnya muka Abu Jandal di hadapan baginda saw sambil menyebut: “Hai saudara-saudaraku kaum muslimin, inilah yang pertama yang anda harus kembalikan kepada kami” (Husaini, hal. 668), Namun semasa Haji Perpisahan, Suhail inilah yang dari jauh dengan penuh penyesalan dan keinsafan, memerhati tingkahlaku baginda bertawaf, bersai`iey kemudian bercukur. Setelah baginda beredar Suhail bersendirian, dengan penuh teliti dan berhati-hati mengutip setiap helai rambut baginda saw yang mulia, kemudian sambil mengusapnya keseluruh badan, barangkali untuk menghilang rasa bersalah, keceluparan mulutnya yang menolak apa sahaja kebaikan dari Nabi saw dalam Perjanjian Hudaibiyyah tempohari.

v. Membina peradaban yang keagungannya akan tetap kekal sepanjang masa. Lihatlah contoh yang ada sekarang, semua jenis ilmu yang ada di atas muka bumi adalah hasil pancaran yang bermula dari gua Hira’:

• Kesan daripada wahyu pertama Iqra’, dan ayat-ayat seterusnya, menjadikan baginda saw tidak lagi menoleh ke belakang demi meneruskan program risalah da`wah kenabiannya sehingga kini, tanpa segan silu kita dengan penuh tawadhuk boleh menyebut, bahawa semua institusi ilmu yang ada di atas muka bumi, samada timur, barat, utara atau selatan adalah kesan lanjutan dari pancaran Iqra’ itu sendiri.
Dr. Hasan Langgulung menyebut, “...ayat pertama di Gua Hira’ kepada Rasulullah saw adalah merupakan pertanda bangkitnya suatu peradaban baru di atas permukaan bumi ini...Iqra’ menyuruh manusia membaca. Di satu pihak ‘membaca’ melibatkan proses mental yang tinggi, melibatkan proses pengenalan (cognition), ingatan (memory), pengamatan (perception), pengucapan (verbalization), pemikiran (reasoning) dayakreasi (creativity) di samping proses psikologi”. (Selanjutnya sila rujuk Pendidikan Islam: Suatu Analisa Sosial Psikologikal, hal:7-8).

Kesan pancaran wahyu ini juga kemudiannya melahirkan Imam-imam yang terkemuka dan peneroka ilmu dalam semua bidang antaranya Imam Ja`far as Sodik, imam-imam dalam empat mazhab, Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Jabir bin Hayyan (Sains), al Khawarizmi (algebra), Ibn Khaldun (sekadar menyebut beberapa nama).

vi. Baginda adalah tokoh paling berani, cerdik, cerdas yang berhati mulia, hadafnya merealisasikan nilai-nilai kemanusiaan dan sangat strategik:

• Mampu menyelesaikan permasalahan dengan cara yang sangat berhemah, perhatikan jawapan baginda semasa mengintip untuk mengetahui kekuatan pasukan musuh dengan seorang badwi sebelum berlakunya Peperangan Badar.. Bila ditanya oleh badwi kamu dari mana?, baginda menjawab, “Ji`na minal ma’ (Kami datang dari air)” . Sila cari maksud sebenarnya di sebalik jawapan Rasulullah saw.

vii. Baginda telah memunculkan umat Islam sebagai umat yang terbaik. Allah swt berfirman:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar.” (Ali Imran: 110).

Artikel Penuh...

Wednesday, February 17, 2010

Al Mandili (II)

S

etelah melihat secara keseluruhan apa yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al Mandili, penulis suka mengutarakan pula beberapa perkara yang berkaitan dengan ikhlas. Mungkin dalam hal ini penulis secara peribadi memohon keampunan daripada Allah dan juga kepada al Mandili kerana tidak membelek naskhah ini mengikut turutan, tetapi mengikut tajuk. Ini ialah kerana kebetulan dalam kuliah-kuliah penulis di masjid dan surau sering membicarakan mengenai ikhlas. Dan semasa mencari bahan rujukannya kitab ini menjadi salah satu sasaran bahan rujukan penulis, maka tajuk ini terpaksa didahulukan.

Secara yang halus, serta berhati-hati al Mandili memulakan pembicaraan mengenai ikhlas dengan menyebut, “Ketahui olehmu bahawasanya
ikhlas itu menunggalkan Allah Ta`ala pada segala taat dan qasad; iaitu bahawa
menghendaki ia dengan taatnya itu akan semata-mata menuntut hampir kepada Allah, tiada akan sesuatu yang lain daripadanya. Contohnya; seperti puji manusia dan harta benda dan dimuliakan dan lainnya daripada segala tujuan dunia”
(hal, 83-84).

Dalam keadaan kemampuan yang serba terbatas dapat penulis fahami, bila disebut ikhlas bererti segala jenis urusan yang dibuat hendaklah bebas dari sebarang kerana yang lain daripada Allah. Mempastikan segala bentuk kerja buat, tumpuan niat dan rasionalnya janganlah terkeluar dari dikeranakan kepada Allah. Ini adalah pesanan utama yang perlu dipatuhi ketika kita hendak melakukan semua kerja, samada berkaiatan dengan urusan keduniaan atau keakhiratan. Kerana apabila perbuatan itu dicampurkan dengan yang lain dari Allah akan menyebabkan rosaknya amalan itu sendiri dan tidak akan mendapat inayah dan hidayah dari Allah.

Sebab itu dalam hal ini penulis amat tertarik dengan apa yang diajar oleh orang tua-tua apabila nak membuat sesuatu perkara didahulukan dengan niat, “sahaja aku sembahyang, sahaja aku puasa atau sebagainya”. Iaitu dengan memasukkan perkataan sahaja. Ertinya perbuatan itu bukan sahaja dilakukan secara bersahaja, tanpa sebarang tekanan, tetapi juga dilakukan secara sengaja, sedar dan bertanggungjawab atas segala perbuatan yang dilakukan.

Imam al Ghazali dalam Ihya’nya telah memaparkan satu kisah seorang abid yang hendak menebang pokok (Ihya` 8: 49-51) yang menjadi sembahan manusia, tetapi dilarang oleh iblis. Lihat kisahnya:

Iblis: Hendak ke mana?
Abid: Aku nak tebang pokok yang menjadi sembahan.
Iblis: Apa kaitannya dengan kamu, sepatutnya engkau tinggalkan dan tumpukan kepada perkara lain.
Abid: Ia termasuk dalam ibadahku. Iblis: Aku tidak akan membiarkan engkau memotong pokok ini. (Mereka bergumpal, abid dapat mengalahkan, namum iblis mencuba untuk menggunakan helahnya)
Iblis: Lepaskan aku supaya aku dapat terangkan sesuatu kepada engkau, (Setelah dilepaskan lalu iblis menerangkan)... Saudara, bahawa Allah Taala telah menggugurkan kewajipannya dari engkau, Ia tidak mewajibkan yang demikiannya atas engkau dan engkau sendiri tidak menyembah pokok kayu itu. Apalah urusan engkau tentang orang lain. Allah mempunyai nabi-nabinya di seluruh daerah dan muka bumi dan disuruhNya mereka memotong.
Abid; Tidak boleh, aku mesti memotongnya (mereka bergumpal dan iblis kalah, namun iblis terus merancang strategi).
Iblis: Adakah bagi engkau sesuatu yang bermanfaat, yang boleh memisahkan aku dan engkau.
Abid: Apa dia?
Iblis: Lepaskan aku supaya aku terangkan kepada engkau. (Setelah dilepaskan iblis menyambung).. engkau orang miskin, tidak mempunyai apa-apa, engkau berpegang atas manusia menanggung engkau,semoga engkau menyukai bahawa engkau dapat berbuat keutamaan kepada saudara-saudara engkau, engkau menolong tetangga engkau, engkau kenyang dan tidak memerlukan manusia lagi.
Abid: Ya.
Iblis: Kembalilah dengan urusan ini! Engkau atasku bahawa aku letakkan di sisi kepala engkau pada setiap malam dua dinar. Apabila pagi ambillah dua dinar itu. Engkau belanjakan kepada diri engkau, keluarga, engkau bersedekah kepada saudara mara engkau. Maka adalah yang demikian itu lebih bermanfaat bagi engkau dan bagi muslimin daripada memotong kayu ini yang akan ditanamkan nanti pada tempatnya. Dan tiadalah mendatangkan manfaat kepada saudara-saudara engkau yang beriman, dengan engkau memotong kayu ini”.
Abid: (berfikir, dan memang kebiasaannya ada pendakwah yang ekonominya kurang stabil, setelah berfikir sejenak ia berkata): Baiklah tuan syeikh!. Tidaklah aku ini nabi, lalu aku harus memotong kayu ini, dan Allah tidak menyuruh aku memotongnya. Dan apa yang disebut oleh syeikh tadi memang banyak manfaatnya. (Iblis bersumpah akan menunaikan janjinya.. memang janji adalah suatu perkara biasa bagi iblis, abid kembali dan malamnya tidur dengan lena sekali, besoknya dilihat ada wang dua dinar, lusa pun begitu, tulat !!!! Tidak ada.).
(Merasakan bekalannya diputuskan pada hari ketiga, dia marah, lantas diambilnya kapak untuk menebang pokok buat kali kedua.Namun ia dihalang oleh Iblis)
Iblis: Mau kemana?.
Abid: Menebang pokok.
Iblis: Engkau tidak akan sanggup berbuat demikian. Tiada jalan lagi bagi engkau berbuat demikian.
(Abid berkeras macam pertama kali tadi, namun dengan mudah dihalang dan dibanting oleh Iblis seperti burung pipit, dia jatuh dan Iblis berdiri di atas dadanya).
Iblis: Engkau mencegah diri engkau dari urusan ini atau aku sembelih engkau. (Abid tidak berdaya dan bertanya bagaimana kamu dulu kalah sekarang menang).... dulu kerana engkau marah kerana Allah (ikhlas), dan niat engkau untuk akhirat. Maka Allah menjadikan aku untuk engkau. Dan kali ini engkau sendiri dan untuk dunia. Maka aku dapat membanting engkau. (Cerita ini membenarkan firman Allah 83 Surah Sad):

قال فبعزتك لأغوينهم اجمعين إلا عبادك منهم المخلصين

Dalam satu ungkapan lain, Yahya bin Mu`az menyebut: “Keikhlasan itu membezakan amal dari kekurangannya seperti membezakan susu dari najis dan darah selama berada di dalam perut binatang” (Ihya’ 8:52). Lihat maksud firman Allah:

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh palajaran yang mendatangkan i`tibar (membuktikan kekuasaan Allah tentang bagaimana benda-benda yang dimakan oleh bnatang ternak bertukar menjadi darahy, dari darah itulah lahir susu yang sedap rasanya dan banyak khasiatnya untu manusia), kami beri minum kepada kamu apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya”.(An Nahl: 66).


Perkara kedua disebut oleh al Mandili, “Ikhlas itu adalah satu kelakuan hati yang dipuji. Dan tiada diterima akan amal ibadat melainkan dengan dia. Firman Allah:

وما أمروا الا ليعبدوا الله مخلصين له الدين

Ertinya tiada disuruhkan akan mereka itu melainkan menyembah mereka itu akan Allah Ta`ala pada ketika membersihkan mereka itu baginya akan agama daripada syirik yang besar dan syirik yang kecil.


Dalam suatu pesanan Sayyidina Ali kw.: “Jangan kamu perihatin kerana amalan yang sedikit, tetapi yang harus perihatin ialah apakah amalan itu dapat diterima oleh Allah swt, sebab Rasulullah saw pernah bersabda kepada Mu`az bin Jabal:

أخلِصِ العمل يُجزيك منه القليل

Ikhlaskanlah amalanmu dan sudah mencukupi untukmu amalan yang sedikit - asalkan dilakukan dengan ikhlas".
(Abu Hasan Din al Hafiz, Mau`izatul Mu`minin, hal. 1339)

Al Ghazali menyebut bahawa Ikhlas (kebersihan, menjadi lawan kepada Isyrak: Penyengutuan) , mendatangkan sesuatu yang boleh mengganggu hati.

Suatu kisah: Diceritakan bahawa ada seorang lelaki berpakaian wanita, suka pergi ke tempat wanita tak kira tempat apa sekalipun, satu ketika dalam satu majlis yang dihadirinya heboh kecurian sebiji permata intan. Pemeriksaan dibuat dan pintu bilik dikunci. Sehingga sampailah giliran lelaki tersebut bersama dengan wanita yang sebelumnya. Lelaki itu berdoa kepada Allah dengan ikhlas, sekiranya terlepas dari kekejian ini, nescaya aku bertaubat dan tidak akan kembali kepada perbuatan ini lagi. Dengan takdir Allah dijumpai intan bersama wanita tersebut (Ihya’ 8:53). Terselamatlah lelaki itu, dan Allah menerima permohonan dengan sebab ikhlas do`anya.

Dalam suatu perbandingan dikatakan: “Ilmu itu benih, amal itu menanam dan air itu keikhlasan” (Ihya’ 8: 53). Maksudnya tanpa ikhlas samalah seperti pokok yang kekeringan tak ada air untuk disiram. Sesungguhnya ikhlas akan menyiram subur segala jenis amalan yang bersandarkan kepada ilmu yang dipelajari sehingga segala amalan akan tumbuh, subur dan merimbun.

Untuk menjelaskan ikhlas itu bukan milik manusia, al Mandili menyebut satu Hadis Qudsi, firman Allah:

الإخلاص سرٌّ من سرى استودعته قلبَ من احببته من عبادى

“Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia aku. Aku simpan akan dia pada hati mereka yang aku kasih akan dia daripada segala hambaku”.

Ini bererti, manusia kena menuntut keikhlasan, kena minta dan kena berusaha supaya memperolehi keikhlasan dari Allah, dan ianya tidak boleh dijamin oleh manusia, tak boleh kata mesti seratus peratus ikhlas, kerana ikhlas adalah hak Allah. Penulis pernah mendengar satu kisah daripada mulut seorang Tok Guru, bahawa Rasulullah saw mempunyai dua helai jubah dan menawarkan satu helai sebagai hadiah kepada sesiapa yang dapat solat secara ikhlas. Tidak ada yang berani menyanggupinya kecuali Sayyidina Ali krw. Setelah selesai solat, baginda bertanya keadaan solat tersebut. Boleh atau tidak. Dengan jujur Ali memberitahu, tidak dapat. Apa yang terfikir dalam solat tadi ialah kalau-kalau dapat dua helai jubah. Demikianlah ikhlas. Namun dalam kes lain Sayyidina Ali menjadikan solat sebagai ubat bius untuk mencabut panah yang terkena pada badannya.

Dalam kitab Ihya` Imam al Ghazali membawa satu hadis nabi saw yang berbunyi:

إنما نَصََرَ اللهُ عزوجل هذه الأمةَ بضعفائها ودعوتهم وإخلاصهم وصلاتهم

"Sesungguhnya Allah menolong ummat ini dengan orang-orang lemahnya, dengan doa mereka, dengan keikhlasan mereka dan solat mereka" (Ihya’ 8, hal. 47).

Baginda Nabi saw pernah ditanya tentang ikhlas, baginda menjawab:

أن تقول ربى الله ثم تستقم كما أمرت

Dalam maksud lain ialah engkau tidak menyembah hawa nafsu dan diri engkau sendiri, dan engkau tidak menyembah selain Allah, engkau berpendirian teguh pada beribadah kepadanya" (Ihya 8:62)

Dalam satu ungkapan lain pula sebahagian ulama` salaf menyimpulkan tentang peranan niat yang boleh menentukan besar atau kecilnya balasan amalan :

رب عمل صغير تعظمه النية ورب عمل كبير تصغره النية

"Kerapkali amal yang kecil boleh menjadi besar kerana niat, dan kerapkali amal yang besar menjadi kecil kerana salah niat" (Hadis Qudsi: 260)

Selanjutnya al Mandili menyebut, “Dan ketahui olehmu bahawasanya ikhlas itu ada tiga pangkat seperti yang menyebut akan dia oleh Syaikhul Islam dalam Syarh al Qusyriyyah:

Bahawa mengerjakan hamba akan amal ibadat kerana semata-mata menjunjung perintah Allah Ta`ala, maka ikhlas ini yang lebih tinggi. Seperti membaca suratul waqi`ah, supaya memurahkan Allah Ta`ala akan rezekinya.

Ikhlas yang pertengahan iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadat kerena menuntut pahala dan kerana lari daripada siksa. Seperti membaca surah an Nas supaya dipelihara akan dia daripada waswas syaitan.

Ikhlas yang lebih rendah iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadat supaya memuliakan Allah Ta`ala akan dia di dalam dunia atau supaya selamat ia daripada kebinasaan dunia... dan barang yang lain daripada tiga pangkat itu maka tiada ikhlas, bahkan adalah riya’”
(al Mandili, hal. 86)

Imam al Ghazali menyebut: “Sebagai ubat untuk memperolehi keikhlasan ialah mematahkan kehendak hawa nafsu yang jahat, menghilangkan ketamakan harta benda, beramal semata-mata mencari bekalan di akhirat, sehingga semuanya itu dapat memperolehi kemenangan dalam jiwanya. Jikalau ini dapat dilaksanakan , keikhlasan akan menjadi mudah untuk dimiliki" (Mau`idzah: Hasan Din, hal:1342).

Al Mandili menyambung lagi dengan memetik kata-kata Imam al Ghazali Rh. dalam kitabnya al Arba`ien menyebut: “Ketahui olehmu bahawa ikhlas ada tiga rukun iaitu asal, hakikat dan kesempurnaan.

• Bermula asalnya niat (ertinya menghendaki wajah Allah), kerana padanya ikhlas.

• Dan bermula hakikatnya menafikan campuran daripada niat.

• Dan bermula kesempurnaannya (bagi ikhlas itu) ialah benar.
Dan Bahawasanya benar itu baginya enam pangkat, barangsiapa sampai ia pada sekeliannya akan pangkat sempurna, nescaya patut ia dinamakan dengan sidiq, ertinya yang banyak benar:

• Pertama - Benar pada perkataan, pada segala kelakuan. Lihat Nabi saw, dalam kes melindungi orang yang minta diselamatkan dari dibunuh.
• Kedua - Benar pada niat, dan iaitu bersih padanya oleh orang yang menyeru kepada kebajikan, ertinya tiada bercampur dengan yang menyeru kepada kejahatan. Maka jika ada padanya campuran maka sesungguhnya telah luput oleh benar pada niat, dan yang kedua ini kembali kepada ikhlas.
• Ketiga - Benar pada cita-cita, seperti mencita-cita oleh seseorang atas bersedekah, jika ada baginya harta, dan cita-cita itu terkadang dha`if lagi taraddud, dan terkadang putus lagi kuat. Maka cita-cita yang kuat yang putus itu dinamakan akan dia yang benar yang kuat.
• Keempat – Benar pada menyempurnakan cita-citanya itu. Dengan bahawa tiada menyalahi ia akan cita-citanya yang benar lagi kuat itu seperti firman Allah:
رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه
Beberapa orang lelaki yang benar oleh mereka itu akan barang yang menjanjikan mereka itu akan Allah Ta`ala atasnya (al Ahzab :23)
• Kelima – Benar pada segala pekerjaan, dengan bahawa adalah ia dengan kelakuan yang tiada menunjuk ia atas sesuatu daripada yang di dalam hatinya melainkan hatinya bersifat dengan dia. Bermula ma`nanya bersamaan di dalam dan di luar. Maka jika tiada bersamaan nescaya tiada ia benar. Bahkan terkadang adalah ia riya seperti menzahirkan khusyuk anggotanya. Dan di dalam hatinya supaya dipuji akan dia. (Mengantuk, malam tadi bertahajjud).
• Keenam – Benar pada segala amal batin. Seperti khauf dan sabar dan tawakkal. Iaitu bahawa mengetahui ia akan ma`na khauf dan raja’ dan sabar dan syukur dan tawakkal dan lain-lainnya. Serta merasai ia akan sekeliannya di dalam hati. Ertinya telah jadi segala kelakuan itu tabi`at baginya, wallahu a`lam"
(al Mandili 85-86).

Demikianlah pembicaraan al Mandili mengenai ikhlas, senang disebut, namun untuk memperolehinya bukan semudah apa yang disebut. Penulis pernah mendengar seseorang menyebut “Kalaulah kita membuat sesuatu dan disebut aku ikhlas, itu sebenarnya belum lagi ikhlas”. Wallahu a`lam.

Artikel Penuh...

Al Abrasyi Dengan Pendidikan (I)

B

aru-baru ini penulis sempat menyemak kembali satu kitab yang bertajuk “at Tarbiyyatul Islamiyyah” yang diterjemahkan oleh Prof. H. Bustami A. Gani dan Johar Bahry L.I.S. dengan tajuk “Dasar-Dasar Pokok Pendidikan Islam”, hasil karya Profesor Dr. Muhammad Athiyyah al Abrasyi. Dalam catatan singkat pada muka surat awal mengenai pengarang kita boleh mengambil kesimpulan bahawa Prof. al Abrasy adalah satu nama besar dalam bidang Pendidikan Islam. Beliau merupakan seorang sarjana yang telah lama berkecimpung dalam dunia Pendidikan di Mesir, pusat-pusat ilmu pengetahuan Islam
dan terakhir sebagai Dekan di Fakulti Darul Ulum, Cairo Universiti, Cairo.


Membaca hasil karya Prof. al Abrassyi ini secara langsung menggambarkan kepada kita mengenai kehebatan tokoh ini dalam bidang Pendidikan Islam. Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan Prof. al Abrasyi merupakan seorang yang sangat mahir dan menguasai hampir keseluruhan asas, prinsip-prinsip, sejarah dan methodologi Pendidikan Islam.

Secara umumnya Prof. al Abrassyi menulis dan menyusun sebanyak enam belas tajuk mengikut keperluan semasa. Dimulakan dengan tajuk pertama iaitu; Tujuan Pendidikan Islam dan di akhiri dengan Method Umum Dalam Pengajaran.

Menyentuh tentang Tujuan Pendidikan Islam, di dalamnya pengarang membahagikan kepada lima tajuk kecil dan pada permulaannya menyebut, Jiwa Pendidikan Islam adalah budi pekerti, dengan menyatakan bahawa mencapai tahap akhlak yang sempurna adalah tujuan sebenar dari pendidikan, sehinggalah menjurus kepada beberapa bidang yang diperlukan untuk mempastikan kekemasan dan kesesuaian dengan keperluan semasa masyarakat itu sendiri.

Tajuk kedua yang dipilih oleh Prof. al Abrassyi ialah tentang Pendidikan Islam sebagai suatu bidang pendidikan yang ideal dan unggul. Untuk membuktikan idealnya pendidikan Islam, beliau telah mengemukakan sebanyak tiga belas kenyataan berserta dengan bukti yang sangat jelas untuk direnung bersama. Mungkin satu soalan boleh dikemukakan kenapa Pendidikan Islam disebut sebagai pendidikan yang ideal?, di antaranya beliau menyatakan yang pertama ialah kerana wujudnya kebebasan dan demokrasi dalam pendidikan. Soalan kedua mungkin kita boleh bertanya ialah, mana contoh kebebasan dan demokrasinya?. Untuk ini Prof. al Abrassyi menyatakan antaranya ialah Islam dari dulu lagi telah membuka pintu pendidikan kepada semua, tidak kira orang kaya, miskin, tinggi atau rendahnya kedudukan sosial seseorang itu. Lihat kenyataannya, “Bila seseorang memiliki keinginan untuk belajar dan rasa cinta ilmu, keghairahan untuk mengadakan penelitianm dan perbahasan, pintu untuk belajar terbuka luas baginya, bahkan Islam mendorong supaya mereka belajar, apalagi bila seseorang itu berpembawaan cerdas” (hal. 19).

Dalam satu kenyataan lain pula disebut, "Islam ternyata telah menyemaratakan anak-anak si kaya dan si miskin dalam bidang pendidikan dan memberikan kesempatan yang sama kepada semua untuk belajar tanpa diskriminasi. Tidak seorang pun dari kaum muslimin yang mengatakan bahawa orang-orang miskin diciptakan untuk bekerja di kebun, di ladang dan di pukbrik-pubrik, sedang si kaya dijadikan untuk memerintah dan menguasai mereka dengan harta kekayaannya. Tidak seorang pun dari kaum muslimin yang mengatakan kepintaran itu hanya milik si kaya dan orang-orang kaya itu diciptakan untuk memerintah, sedang orang miskin itu adalah bodoh dan dijadikan untuk diperintah. Kepintaran dan kecerdasan adalah hibbah dari Allah yang diberikan kepada anak-anak orang miskin dan anak-anak orang kaya, bukan monopoli dari suatu kelas masyarakat. Islam telah menyamaratakan si kaya dan si miskin dalam hak belajar, memberikan kesempatan yang sesuai kepada mereka ini untuk mendapat ilmu pengetahuan" (hal. 22).

Jawapan kedua, kenapa Pendidikan Islam dikatakan ideal ialah dengan menyatakan bahawa, Pembentukan akhlak yang mulia adalah merupakan tujuan utama pendidikan Islam. Sepintas lalu mungkin kenyataan ini dilihat sebagai mengulangi tajuk besar yang pertama. Tetapi setelah diteliti satu persatu dengan secara bersahaja namun sangat tepat apabila Prof. al Abrassyi menutup bicara tajuk kecil ini dengan menyebut, “Kita dewasa ini telah memiliki perkembangan dalam pelbagai bidang ilmiyyah, kesusasteraan dan kebendaan, tetapi kita belum sampai ke tingkat rohaniyyah dan akhlak yang tinggi seperti yang pernah dicapai oleh kaum Muslimin di zaman keagungannya. Dari itu kita sesungguhnya sangat memerlukan pemikiran dalam bidang pendidikan rohani, pembentukan akhlak yang mulia, sehingga dapat menegakkan kembali keagungan dan kebesaran Islam di masa lalu” (hal. 25).

Hilangnya fokus terhadap pembentukan akhlak dan kerohanian menjadikan sistem pendidikan itu tidak tentu hala, dan manusia akan menjadikan nafsu sebagai pemusatan utama untuk kehidupannya. Dalam beberapa aspek kita seringkali terfikir, manusiakah mereka ini?. Untuk jelas sila perhatikan satu contoh berita sensasi terkini:
“Brand-Perry merancang perkahwinan bogel..Russel Brand.. pelawak Britain merancang kahwin dengan Katy Perry dalam keadaan bogel dan turut mengidam tetamu yang hadir dalam keadaan tidak ada seurat benang pun". (Kosmo 3 Feb. 2010).

Mungkin bagi mereka ini hak asasi, namun kadangkala kita boleh menyebut, lembu pun tahu malu, ekor itu adalah penutupnya. Botol kicap pun ada tudung. Alahai, inikan orang. Sejak bila kita diminta untuk menjadi makhluk yang lain dari orang?.

Jawapan ketiga mengapa dikatakan unggul, ialah menyusulnya suatu peringatan yang sangat jelas, walau setinggi mana sekalipun ilmu yang dimiliki oleh seseorang guru atau mu`allim, namun setiap kali mengajar atau berbicara dengan para murid, berbicaralah sesuai dengan akalnya.... Inilah apa yang diisyaratkan oleh al Ghazali dalam ucapannya, “Seseorang guru hendaklah membatasi dirinya dalam bicara kepada anak-anak sesuai dengan daya pengertiannya, jangan diberikan sesuatu yang tidak dapat ditangkap oleh akalnya, kerana akibatnya ia akan lari dari pelajaran atau akalnya memberontak terhadapnya”. Isyarat ini sangat sesuai dengan arahan Rasulullah s.a.w. yang menyebut:

نحن معاشر الأنبياء أمرنا أن ننزل الناس منازلهم ونكلمهم على قدر عقولهم

“Kami para nabi diperintahkan untuk menempatkan seseorang sesuai dengan posisinya dan kami berbicara dengan seseorang bersesuaian dengan kemampuan akalnya”.

Dalam suatu isyarat lain Rasulullah s.a.w menyebut:

ما أحدٌ يُحَدِّثُ قوما بحديثٍ لا تَبْلُغُهُ عقولهُم إلا كان فتنةً على بعضهم

“Tidak adalah seseorang yang menyampaikan sesuatu topik pembicaraan kepada sesuatu kaum atau golongan,dengan pembicaraan yang tidak mampu dicapai oleh akalnya, melainkan ia akan menimbulkan fitnah di kalangan mereka”. Dengan lain perkataan, bercakaplah dengan seseorang mengikut kadar kemampuan mereka. Janganlah ‘perasan’ mentang-mentang kita ni terpandang sikit, guna bahasa yang bombastik untuk orang awam.

Prinsip ini disebut oleh Prof. al Abrassyi sebagai, “satu prinsip terpenting dalam Pendidikan Islam dan termasuk pula prinsip terbaru dalam pendidikan modern. Sayugia nasihat ini ditulis dengan tulisan cahaya neon pada pintu gerbang setiap sekolah, agar anak-anak jangan diomongi dalam bahasa yang ia tidak mengerti, dan orang-orang dewasa, jangan pula dilawan bicara dengan bahasa anak-anaknya”. (hal. 25).

Keempat, beliau menyebut tentang perlunya melihat perbezaan method yang dipergunakan dalam pengajaran. Dengan memetik pesanan all Ghazali dan Ibnu Khaldun dan lain-lainnya, Prof. al Abrasyi, “bahawa cara pemikiran anak-anak yang berbeza dari cara pemikiran orang dewasa, dalam hal ini harus diperhatikan dalam mengajar...anak-anak memerlukan hal-hal yang dapat dirasa yang ada hubungannya dengan lingkungan hidupnya, bahan-bahan yang mudah dimengerti, sedang sebaliknya orang-orang dewasa dapat mengerti perkara-perkara yang abstrak dan bersesuaian dengan logik dan mantiq” (hal. 27).

Dalam pengajaran dan pembelajaran kini sering disebut tentang perlunya seseorang guru memilih dan merancang kepelbagaian pendekatan, strategi, kaedah, teknik dan aktiviti yang bersesuaian.

Demikianlah serba sedikit sebagai permulaan untuk membuka selera memahami pemikiran Pendidikan al Abrasyi. Do`akan mudah-mudahan penulis berpeluang untuk menyambung lagi tulisan ini di masa akan datang.

Artikel Penuh...