Wednesday, September 17, 2014

Kita tidak akan dapat dikalahkan

P

eristiwa kedua yang mendukacitakan Baginda SAW semasa perjalanan ke Hunain ialah sikap sebahagian sahabat yang merasa bangga dengan ramainya tentera Muslimin yang menyertai mereka iaitu seramai 12,000 orang. Sepuluh ribu tentera yang memang berasal dari Madinah dan dua ribu adalah mereka yang baru masuk Islam dari Kota Mekkah.



Syeikh Munir Muhammad Ghadban menyebut: “Besarnya jumlah pasukan kali ini membuat kaum Muslimin berbangga hati, ‘Tak ada yang boleh mengalahkan kita’. Nabi SAW marah sekali mendengarnya” (Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah 3, hal. 190).

Mubarakfury juga menyebut, “Apabila melihat tentera yang ramai, ada di antara mereka yang berkata, ‘kali ini kita tidak mungkin dapat dikalahkan.’ Padahal keadaan ini mendatangkan kesulitan tersendiri bagi Rasul SAW” (ar Rahiqul Makhtum 2, hal. 402).

Syeikh Abdul Hamid al Khatib dalam kitabnya Ketinggian Risalah Muhammad SAW menyatakan: “Di antara mereka ada yang bersombong diri dengan jumlah merekaq yang banyak itu berkata, ‘kita tidak akan kalah kerana sedikit’. Ertinya pasti menang kerana banyak. Rasulullah SAW tidak senang dengan ucapan yang demikian itu” (hal. 359).

H. Zainal Arifin Abbas menyebut dengan tajuk kecil ‘Perkataan-perkataan yang berbahaya’, “kemudian ada seorang lelaki pula yang tidak disebut namanya berkata pada hari Hunain itu didengar oleh Rasul SAW, katanya, ‘kita tidak akan kalah lagi hari ini kerana kekurangan tenaga’. Maka amatlah dukanya Rasul SAW mendengar perkataan yang sedemikian itu”. 

Dalam nota kakinya pengarang ini telah menambah komentar al Qastalani dengan menyebut, ‘yang menandakan Rasul SAW telah melihat bahaya-bahaya dari adanya perkataan yang sedemikian itu. Sebab telah banyak riwayat Rasul yang kita ikuti, belum pernah baginda berdukacita atau merasakan susah kerana mendengar perkataan atau laporan seseorang sahabat seperti itu. Perkataan itu adalah rahsia hati yang mencerminkan hubungan seseorang dengan Allah SWT. Perkataan seperti ini menandakan telah ada fakta-fakta kerosakan di dalam Iman mereka kepada Allah (Sejarah Dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW 9, hal. 82).

Padahal semasa Malik bin Auf menghantar perisik, mereka telah mendapat gambaran bahawa tentera yang berperang bersama membantu Nabi SAW adalah tentera syurga: “Kami melihat orang yang berkulit putih di atas kuda bertompok hitam putih....dan sekelip mata kami tertawan dengan apa yang kami lihat, kita tidak berperang dengan tentera dari bumi, tetapi dengan tentera dari syurga. Dengarlah nasihat kami dan berundurlah; kerana jika orang kita melihat apa yang telah kami deritai mereka akan menderita juga.,,,kelibat mereka tidak dapat ditanggung” (Martin Lings/Abu Bakar Sirajuddin: Muhammad SAW, hal.347).

Ertinya gerakan tentera Muslimin Mekkah telah mendapat dokongan dari para malaikat. Namun kerana keangkuhan yang sedikit mereka menerima serangan pada pagi subuh dan hampir-hampir melumpuhkan mereka. Inilah penting pergantungan yang jitu terhadap Allah Azza wa Jalla.

Syeikh Abdul Hamid al Khatib menambah, “Allah rupanya memberi hukuman kepada mereka kerana kesombongan mereka yang mengatakan pasti menang dan kerana kurang sucinya tujuan mereka maju ke medan perang. Mereka dikalahkan sejelek-jelek kekalahan, lalu mundur ke belakang. Dan banyak di antara mereka pemuda-pemuda yang belum berpengalaman di medan perang, iaitu pemuda-pemuda Mekkah yang baru masuk Islam. Dan mungkin kerana dosa mereka yang ingin mengambil berkat dari pohon Zatu Anwath dan menunjukkan kesyirikan mereka.... termasuk orang yang gembira dengan kekalahan pasukan Muslimin ini ialah Abu Sufyan bin Harb. Ia berkata,  ’Kekalahan ini tidak akan berakhir hanya di sini, mereka akan terusir sampai ke pinggir laut’. .... Berkata Syaibah bin Uthman bin Abi Thalhah, ‘Sekarang saya dapat membalas dendamku terhadap Muhammad atas kematian bapaku di medan perang Uhud’. Berkata Jiblah bin Hanbal, ‘Hari ini hilanglah pengaruh sihir.” (hal. 360).

Allah berfirman menceritakan kisah ini dalam surah at Taubah ayat 35 – 38 yang lebih kurang bermaksud:
  
25. Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah Dengan sebab bilangan kamu Yang ramai; maka bilangan Yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi Yang Luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.
26. kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.
27. kemudian Allah menerima taubat orang-orang Yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan Dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
28. Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

1.........  Peperangan Hunain berlaku selepas penaklukan kota Mekkah. Kemenangan di Makkah dipermudahkan  Allah kerana kekuatan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah. Sepanjang perjalanan memasuki kota Makkah baginda sentiasa tunduk sehingga dagu hampir mencecah belakang unta tunggangan. Ini menggambarkan tahap ketundukan dan kesyukuran kepada Allah amat tinggi.
2.          .......Di medan perang Hunain, sebahagiannya sudah lupa dan masih seronok dengan kemenangan di Makkah serta ramainya tentera Islam sehingga tahap kebergantungan dan penyerahan kepada Allah agak longgar, sehingga mereka diuji. Suatu soalan yang perlu dijawab, ialah bagaimana untuk mempastikan ketaqwaan sentiasa melekat dalam peribadi setiap insan?. Barangkali persekitaran juga boleh mengubah ‘mood’ dan citarasa seseorang!.

3.   ........ Program tarbiyyah dan muhasabah mesti dilakukan secara  berterusan. Jangan berpada dengan nama dan rupa bentuk muslim luaran, kerana syaitan dan nafsu tidak pernah tidur untuk menyesatkan umat manusia. 

4.   .......... Kesombongan sebahagian manusia di Hunain adalah peristiwa yang telah tercatat dalam sejarah dan berlaku semasa bersama dengan Nabi saw. Suara baginda saw masih dapat didengar, rupa masih dapat dilihat. Namun ianya boleh berlaku. Bagimana pula halnya di zaman kini. Zaman Nabi sudah tidak ada! Secara logiknya akan lebih mudah berlaku.

5.   ........ Dalam apa suasana sekalipun umat Islam jangan mudah celupar dan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan akhlak berjama`ah. Kebenaran untuk bercakap bukan bererti kita boleh mengeluarkan apa sahaja yang kita nak cakap dan nak bicara. Apatah lagi kenyataan tersebut bersifat mendahului, menggusarkan malah menimbulkan kemarahan pimpinan.

Artikel Penuh...

Monday, August 25, 2014

Permintaan Kamu Sebagaimana kaum Bani Israil Kepada Musa




Kiyai Haji Moenawar Chalil dalam kitabnya Sirah Lengkap Nabi Muhammad SAW menyebut, beberapa ketika selepas pembukaan kota Mekkah, tentera Islam yang berjumlah 12,000 orang telah berangkat dari kota Mekkah menuju ke Hunain. Ketika itu ada sebahagian dari tentera Muslimin yang baru memeluk agama Islam. Di pertengahan jalan mereka melalui suatu pohon bidara yang hijau rupanya, maka tiba-tiba dari tempat yang agak jauh mereka berteriak-teriak dan berkata kepada Nabi SAW: “Ya Rasulullah, jadikanlah oleh engkau pohon bidara ini untuk kami menggantungkan nasib, sebagaimana untuk mereka ada tempat menggantungkan nasib,” kerana ketika itu sebahagian dari kaum musyrikin  sedang menggantungkan pedang-pedang, tombak-tombak dan senjata-senjata mereka  pada pohon bidarabesar berdiam menghening cipta di sekelilingnya.



Nabi SAW mendengar suara perkataan dari sebahagian kaum Muslimin yang sedemikian itu lalu bersabda dengan suara yang keras:
الله أكبر ، قُلتم ، والذي نفسُ محمد بيده ، كما قال قومُ موسى لموسى : اجعل لنا إلها كما لهم آلهة ، قال إنكم قوم تجهلون إنها السَّنَنُ ، لتركبُنَّ سنن من كان قبلكم
“Allah Yang Maha Besar! Kamu berkata begitu? Demi zat yang Diri Muhammad di tangan kekuasaan-Nya, itu sebagaimana kata kaum Nabi Musa kepada nabi Musa: ‘Buatlah untuk kami satu tuhan sebagaiman untuk mereka beberapa tuhan’. Kata Musa: ‘Sesungguhnya kamu itu orang-orang yang bodoh’. Sesungguhnya itulah kelakuan . Sungguh kamu akan mengikuti kelakuan orang yang sebelum kamu dahulu.” (hal. 115-116).
Sabda Nabi Muhammad SAW berkaitan dengan perkataan tersebut difirmankan Allah dalam surah al A`raf ayat 138 yang bermaksud:
 
Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum Yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan Yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk Kami suatu Tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan". Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum Yang jahil.

Sementara Syeikh Shafiyyur Rahman al Mubarakfury menyebut ketika mereka melalui sepohon besar, bernama Dzatu Amwath. Dahulu orang Arab biasa menggantungkan senjata di pohon itu, menyembelih korban berhampirannya dan mengelilinginya. Sebahagian tentera Muslim yang berkata kepada Baginda, “Buatlah bagi kami Dzatu Anwath, sebagaimana dahulu mereka memiliki   (ذات انواط)Dzatu Anwath.”  Lantas dijawab oleh Baginda SAW seperti jawapan di atas (ar Rahiqul Makhtum 2, hal. 401).

Syeikh Abdul Hamid al Khatib juga menyatakan, “Mereka melalui sepohon besar yang hijau. Pohon itu didatangi oleh orang-orang Musyrikin Mekkah saban tahun, di mana mereka menggantungkan pedang-pedang mereka, untuk mengambil berkatnyaagar menang dalam peperangan. Pohon itu bernama Zatu Anwath...setelah melihat pohon tersebut, mereka ingat akan kebiasaan lama mereka, lalu berkata kepada Rasul SAW: ‘Ya Rasulullah, biarkan kami dengan Zati Anwath sebagaimana mereka juga. Lalu dijawab oleh Rasulullah seperti di atas......itu adalah kebiasaan orang-orang jahiliyyah sebelum kamu” (Ketinggian Risalah Nabi Muhammad SAW, hal. 359).

Syeikh Munir Muhammad Ghadhban juga menyebutnya “.......Ini adalah tabiat orang-orang sebelum kamu dan kamu akan meniru tabiat nenek moyang kamu itu?” (Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah 3, hal. 190)
.
Ibn Hisyam menyebut:
قال ابن إسحاق : وحدثني ابن شهاب الزهري ، عن سنان بن أبي سنان الدؤلي ، عن أبي واقد الليثي ، أن الحارث بن مالك ، قال : خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم إلى حنين ونحن حديثو عهد بالجاهلية ، قال : فسرنا معه إلى حنين ، قال : وكانت كفار قريش ومن سواهم من العرب لهم شجرة عظيمة خضراء ، يقال لها ذات أنواط ، يأتونها كل سنة ، فيعلقون أسلحتهم عليها ، ويذبحون عندها ، ويعكفون عليها يوما . قال : فرأينا ونحن نسير مع رسول الله صلى الله عليه وسلم سدرة خضراء عظيمة ، قال : فتنادينا من جنبات الطريق : يا رسول الله ، اجعل لنا ذات أنواط كما لهم ذات أنواط . قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الله أكبر ، قلتم ، والذي نفس محمد بيده، كما قال قوم موسى لموسى : اجعل لنا إلها كما لهم آلهة ، قال إنكم قوم تجهلون إنها السنن ، لتركبن سنن من كان قبلكم
وفي طريقهم إلى حنين رأوا سدرة عظيمة خضراء يقال لها: ذات أنواط, كانت العرب تعلق عليها أسلحتهم, ويذبحون عندها ويعكفون, فقال بعض الجيش لرسول الله : اجعل لنا ذات أنواط, كما لهم ذات أنواط, فقال: ((الله أكبر, قلتم والذي نفس محمد بيده كما قال قوم موسى: اجعل لنا إلهًا كما لهم آلهة, قال: إنكم قوم تجهلون, إنها السنن, لتركبن سنن من كان قبلكم.

Peristiwa di atas amat menarik untuk diambil pengajaran, antaranya ialah:
·         Kebangkitan gejala yang menggugat aqidah boleh berlaku di mana dan bila-bila masa. Tidak kira di zaman nabi-nabi atau selepasnya. Kalau zaman Nabi Musa dan Nabi Muhammad SAW boleh berlaku apatah lagi di zaman tidak ada nabi.·         

     Perlu ketegasan dalam perkara-perkara yang membabitkan soal aqidah. Nabi SAW dan Nabi Musa sangat tegas membasmikan kekufuran. Walaupun golongan yang terbabit masih baru memeluk Islam, persoalan aqidah tidak boleh dipandang mudah. Padahal perisiwa ini berlaku semasa tentera Muslimin bergerak ke Hunain. Namun dalam persoalan aqidah baginda SAW tidak pernah bertolak ansur. Cuma mungkin teknikalnya baginda menyebut kisah Nabi Musa terlebih dahulu supaya mereka segera insaf dan tidak terasa berat sangat!.

·         Sebelum berada di dalam gerakan mungkin sikap kita pelbagai, selepas berada di dalam gerakan, kepimpinan ulama, jangan sampai pula kita berbalik dengan perangai lama yang tidak berwala’ kepada ulama’.

·         Puasa adalah ibadat untuk menyucikan diri, janganlah lepas puasa kita berbalik melakukan semula perkara yang telah disucikan dalam bulan Ramadhan. 

·         Perjalanan membawa panji-panji kemenangan Islam amat jauh dan mencabar. Apa yang penting ialah fokus kepada hadaf dan matlamat yang ditetapkan Allah. Apa pun bentuk gangguan di perjalanan hendaklah diselesaikan dengan cara yang berhemah agar perjalanan untuk masa depan depan Islam tidak terganggu.

Artikel Penuh...