Saturday, March 7, 2015

Pesanan Fudhail bin Iyadh

S

uatu ketika Fudhail bin Iyadh pernah ditanya: “Bilakah seseorang boleh menjadi baik (soleh)?” Beliau menjawab, “seseorang boleh menjadi soleh setelah mempunyai empat perkara iaitu;
      i.        Kejujuran telah memainkan peranan di dalam kalbunya.
    ii.        Takut sudah mengambil tempat di dalam hatinya.
   iii.        Kebenaran sudah berada pada lidahnya.
   iv.        Amal soleh sudah memenuhi seluruh anggota badannya” (Prof. Dr. Tengku H. Baihaqi A.K. 900 Materi Pokok Untuk Dakwah Dan Khutbah, hal. 45).


Pada penulis, pesanan di atas walaupun ringkas ternyata ianya amat bernilai sekali. Namun sebelum kita pergi lebih jauh, rasanya amat perlu kita mengenali siapa sebenarnya Fudhail ini. Ada riwayat mengatakan beliau merupakan seorang ahli tasawwuf tabi`en yang terkemuka di zaman pemerintahan khalifah Harun Aminur Rasyid.

Nama sebenar beliau ialah Abu 'Ali al-Fudhail bin 'Iyadh bin Mas`ud bin Bisyr at-Tamimi al-Yarbu`iy al-Khurasani. Dilahirkan pada tahun 105 Hijrah di Samarqand dan dibesarkan di suatu tempat di daerah Khurasan. Beliau hidup sezaman dengan Imam Malik, Sufyan bin ‘Uyainah, dan Abdullah bin Al-Mubarak.

Imam adz-Dzahabi pernah menceritakan kisah seorang pencuri yang bertaubat, kemudian dia menjadi seorang ulama. Beliau menceritakan, “Adalah al Fudhail bin ‘Iyadh dulunya seorang penyamun yang menghadang orang-orang di daerah antara Abu Warda dan Sirjis. Suatu ketika beliau pernah terpikat seorang wanita. Malah pernah pada satu malam beliau menyelinap ke rumah wanita tersebut, ketika beliau memanjat tembok, tiba-tiba saja beliau mendengar seseorang  membaca ayat:

“Belum datangkah waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka guna meningat Allah serta tunduk kepada kebenaran yang telah turun kepada mereka dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah turun al Kitab kepadanya, kemudian berlalu masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq (QS Al Hadid 16)

Ada yang mengatakan bahawa ayat ini dibaca oleh bapa gadis tersebut dalam solat tahajjudnya.Tatkala mendengarnya beliau gementar dan berkata, “Tentu saja wahai rabb ku. Sungguh telah tiba saatku (untuk bertaubat).  Beliau pun turun ke reruntuhan bangunan, tempat beliau tinggal. Tiba-tiba saja sekelompok orang yang lalu. Sebagian mereka berkata, “Kita jalan terus!” dan sebagian yang lain berkata,” Kita jalan terus sampai pagi, karena biasanya Fudhail menghadang kita di jalan ini,” Fudhail menceritakan ,”Kemudian aku merenung dan bergumam. “aku menjalani kemaksiatan-kemaksiatan di malam hari dan sebagian dari kaum muslimin ketakutan kepadaku, dan tidaklah Allah menggiringku kepada mereka ini melainkan agar aku bertaubat kepadaMu dan aku jadikan taubat itu dengan  tinggal di Baitul Llah Haram.”

Ayat itulah yang menyedarkan beliau dari kelalaian yang panjang. Hingga akhirnya beliau menjadi ulama yang masyhur di kalangan tabi’in, sekaligus dikenal sebagi ahli ibadah yang zuhud. Beliau telah menghabiskan satu masa di Kufah, lalu mencatat ilmu dari ulama di negeri itu, seperti Manshur, Al-A’masy, ‘Atha’ bin As-Saaib serta Shafwan bin Salim dan juga dari ulama-ulama lainnya. Kemudian beliau menetap di Makkah. Dan adalah beliau memberi makan dirinya dan keluarganya dari hasil mengurus air di Makkah. Waktu itu beliau memiliki seekor unta yang beliau gunakan untuk mengangkut air dan menjual air tersebut untuk memenuhi keperluan makanan dirinya dan keluarganya.

Berbalik tentang empat pertanda untuk menjadi seseorang itu sebagai hamba Allah yang soleh amat perlu kita renungi bersama. 

Pertama, ialah kejujuran telah memainkan peranan di dalam kalbunya. Apa pentingnya kita dengan kejujuran kepada kita semua. Jawapannya mudah saja. Pentingnya jujur supaya orang boleh percaya kepada kita. Dalam bahasa Arab, kata jujur sama maknanya dengan “ash-shidqu” atau “shiddiq” yang berarti nyata, benar, atau berkata benar.
Jujur menjadikan kita seorang yang siddiq. Orang yang benar segala segi dan tindak tanduk harian. Siddiq salah satu daripada sifat yang wajib bagi rasul. Maka sebagai seorang Islam sepatutnya menjaga dan memiliki sifat-sifat sebegini.

Sifat jujur menjadi pembuka jalan kepada amanah. Orang percaya dengan cakap dan tindak tanduk kita. Kemana sahaja kita berada insya’ Allah orang akan mempercayai kita. Sudah tentu kita akan dapat ramai kawan.  Di mana sahaja kita berada insya’ Allah kita akan selamat.

Perkara yang kedua ialah takut sudah mengambil tempat di dalam hatinya.
Al Mandili menyatakan bahawasanya takut itu pedih hati dan sakit ia dengan sebab yang dibenci pada masa yang akan datang. Dan terkadang takut itu kerana dosa. Terkadang ada ia kerana mengenal sifat Allah Ta`ala (al Mandili: Penawar Bagi Hati).

Takut juga selalu dihubungkan dengan taqwa.
Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."

Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."

Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)

Sebaik saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi saja yang akan berkata, "Umatku, umatku."

Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."

Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"

Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.

Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."

Seterusnya disebut kebenaran sudah berada pada lidahnya. Seimbas lalu perkara yang ketiga seakan-akan sama seperti pesanan pertama. Namun apabila diteliti, ternyata ia merupakan manifestasi dari pesanan pertama. Bermula dengan hati dan dimunculkan dengan percakapan dan juga tindakan harian. Dia tidak akan berbohong walaupun itu melibatkan kepentingan dirinya.

Dalam satu kisah, seorang budak kecil yang bercakap benar telah menyedarkan ketua penyamun. Budak ini menumpang satu rombongan dagang untuk ke suatu tempat kerana menuntut ilmu. Di pertengahan jalan rombongan ini telah dihalang oleh sekumpulan penyamun. Ketua penyamun itu bertanya adakah sesiapa yang mempunyai wang untuk dirampasnya. Semua ahli dalam rombongan dagang tersebut mendiamkan diri kerana takut wang mereka dirampas. Namun dengan ikhlas budak kecil yang menumpag rombongan dagang tersebut mengaku ia mempunyai sejumlah wang. Ketua penyamun itu tidak percaya. Tetapi budak tersebut bertegas dengan mengatakan dia mempunyai wang yang dibekalkan oleh ibu kepadanya. Hairan dengan pengakuan yang diterima, maka ketua penyamun itu bertanya kenapa dia memberitahu, sedangkan orang lain seboleh-bolehnya menyembunyikan wang. Budak lelaki tersebut memberitahu bahawa dia dipesan oleh ibunya supaya sentiasa bercakap benar.

Pengakuan ini telah menginsafkan ketua penyamun, lalu membebaskan rombongan dagang tadi dan beliau terus bertaubat serta berhenti daripada ‘kerjayanya’ sebagai ketua penyamun. Ulama` berselisih pendapat tentang kisah di atas, ada yang mengatakan Imam Hanafi dan ada yang mengatakan Syeikh Abdul Kadir al Jailani. Bagi penulis, tak kisahlah sesiapa pun, yang penting ia telah terpahat dalam sejarah sebagi suatu contoh yang baik tentang pentingnya bercakap benar. Memantul hati orang yang jahat dan menyelamatkan kumpulan dagang dari dirampas hartanya. Dengannya kita mendapat i`tibar.

Imam al Ghazali RH menyatakan bahawa benar atau as Shidq dipakai  pada enam makna iaitu:
      i.        Benar pada perkataan,
    ii.        Benar pada niat dan kehendak,
   iii.        Benar pada cita-cita yang telah diputuskan (al `azm),
   iv.        Benar pada menepati al `azm,
    v.        Benar pada amal dan
   vi.        Benar pada ketahkikan tingkat kedudukan agama semuanya (Ihya’ 8, hal: 77).

Lawan kata ini adalah dusta, atau dalam bahasa Arab ”al-kadzibu”. Orang yang benar dan jujur sentiasa mendapat naungan daripada Allah. Sementara orang yang dusta akan dikutuk dan dilaknat oleh Allah dan rasulNya. Mungkin dalam kehidupan harian ada pendusta yang disanjung dan hidupnya senang lenang. Namun jangan lupa, hidup kita di bumi Allah. Tak hari ini esok akan terbongkar segala-galanya. Apabila orang sudah tahu kita suka berdusta, sudah pasti orang akan menjauhkan diri kita. Bayangkan ungkapan, “jaga-jaga sikit dengan dia tu” “Kenapa?” “lidah biawak, lidah bercabang, cakap tak serupa bikin, dengar bolehlah tapi pakai jangan” Ini adalah di antara ungkapan-ungkapa yang digunakan bagi pendusta. Sanggupkah kita menerima ungkapa-ungkapan seperti itu?.

Dari Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang kesempurnaan, maka baginda SAW menjawab:
قَولُ الحقِّ والعملُ بالصِّدقِ
Ertinya: Perkataan kebenaran dan perbuatan yang benar (Ihya’ 8, hal: 77).

Dalam satu kenyataan lain Ibnu Abbas RA menyatakan:
أربع من كن فيه فقد ربح: الصدق والحياء وحسن الخلق والشكر.
“Empat perkara yang menjadikan seseorang beruntung iaitu bersifat benar, malu, baik akhlak dan sentiasa bersyukur”

Suatu ketika pernah khalifah Harun al-Rashid meminta nasihat dari Fudhail, maka beliau telah berkata benar antaranya,  “Jika kamu (Raja) tidak mahu dijadikan bahan bakar Jahannam, maka anggaplah rakyat kamu yang tua selaku ibu dan bapa kamu; yang sebaya sebagai adik beradik kamu, dan dan muda dan yang kecil sebagai anak-anak kamu… Negeri kamu negeri Islam, dan yang memerintah itu Allah SWT, dan kamulah yang di perintah”…

Perkara keempat ialah amal soleh sudah memenuhi seluruh anggota badannya. Hasil dari keimanan yang tinggi, ketakutan kepada Allah akan memunculkan satu lagi natijah iaitu beramal dengan anggota badan. Dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan harian. Amal dan tindakan harian adalah perkara ketiga setelah berlakunya syahadah atau iqrar bil lisan, tasdiq bil qalbi atau membenarkan dengan hati.

Dalam satu isyarat kita jumpai firman Allah yang lebih kurang bermaksud, “Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian melainkan meraka yang beriman, beramal dengan amal yang soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran” (al Asr).

Ini menunjukkan bahawa apa yang dipesan oleh Fudhail bin `Iyadh sebenarnya merupakan sebahagian daripada prinsip penting yang perlu diingati dan diamalkan oleh kita semua. Sekian, wassalam.

Artikel Penuh...

Thursday, October 2, 2014

Pembahagian Ghanimah

P

eristiwa kelima  ialah mengagihkan ghanimah hasil dari kemenangan dalam peperangan Hunain. Jumlah rampasan ialah 3,000 (6,000) tentera musuh,  24,000 ekor unta, 46,000 (40,000 biri-biri) dan 4,000 kilogram perak. Hinggakan Nabi saw disebut sebagai tokoh Quraisy yang paling banyak hartanya (Ghadhban 3, hal. 202). Walau bagaimanapun semuanya dibahagikan kepada kaum Muslimin yang berasal dari Makkah, terutamanya kumpulan yang baru menganut Islam. Antaranya Abu Sufyan sebanyak 40 kilogram perak dan 100 ekor (ada riwayat mengatakan 200)  unta, begitu juga anaknya Yazid dan Mu`awiyyah masing-masing mendapat ganjaran yang serupa. Sehingga Abu Sufyan berkata, ‘Demi ayah dan bundaku, Anda benar-benar sangat dermawan, ya Rasulullah. Saya perangi Anda selama 20 tahun dan ternyata Anda seorang musuh yang bijaksana. Lalu saya berdamai, dan saya dapati Anda sebagai seorang manusia paling mulia. Allah akan memberi Anda pahala..’. (Ghadhban, hal. 202).


Kepada Hakim bin Hizam (anak saudara Khadijah) 100 ekor, tetapi masih meminta 100 lagi dan dipenuhi oleh baginda saw.  Bagi Hakim Rasul saw bersabda, ‘Harta adalah sesuatu yang menguntungkan. Siapa yang mengembilnya dengan kemurahan hati akan dirahmati, tetapi siapa yang mengambilnya denga perasaan megah di harinya tidak akan dirahmati, dan dia bagaikan orang yang makan tetapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, serta mulakan dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.’  Hakim menjawab, ‘Demi Tuhan yang menghantar engkau dengan kebenaran, aku tidak akan menerima apa-apa daripada sesiapa selepas engkau.’  Jawapan ini merupakan suatu tekad untuk tidak meminta-minta di masa hadapan dan beliau hanya mengambil 100 ekor unta, melepaskan tuntutan yang lain (Martin Ling/ Abu Bakar Sirajuddin, hal. 352/354, lihat juga Syeikh Munir Ghadhban 3, hal. 202).

Safwan bin Umaiyyah juga 100 ekor unta dan ditambah 100 lagi. Al Harith bin Kaladah 100 ekor unta, begitulah kepada pembesar Quraisy yang lain. Hinggakan semuanya habis, sampai ada khabar yang mengatakan, ‘Muhammad tidak takut miskin, meskipun berapa banyak yang diminta, baginda tetap memberikannya.’

Kepada Qais bin Adi, Uyainah bin Hisn al Fazari dan al Aqra’ bin Habis juga masing-masing diberikan 100 ekor unta. Abbas bin Mirdas menerima kurang dari 100 lalu dia mencela Rasul saw dengan syair-syairnya, sehingga beliau berkata ‘tutuplah mulutmya.’ Para sahabat menggenapkan bahagian Abbas menjadi 100 ekor, maka dia pun diamlah.

Melihat situasi tersebut, Saad bin Abi Waqas berkata, ‘Ya Rasulullah, anda berikan Uyyainah bin Hisn dan al Aqra’ bin Habis masing-masing 100 ekor unta, tetapi tidak memberikan apa-apa kepada Juail bin Suraqah ad Dhamari?.’
Nabi SAW menjawab, ‘Demi jiwaku di tangan-Nya, sesungguhnya Juail bin Suraqah lebih baik dari semua yang di atas bumi seperti Uyyainah dan al Aqra’. Tapi aku bermaksud menundukkan hati mereka berdua itu dalam Islam, sedangkan mengenai keislaman Juail bin Suraqah aku sudah percaya. Kata-kataku ini bagi Juali melebihi seluruh harta di atas bumi.’ (Ghadhban 3, hal. 203)

Dalam satu riwayat lain disebut, ‘kerana itu orang-orang Arab berbondong-bondong mengerumuni baginda saw meminta harta, hinggakan baginda terdesak sampai ke pohon dan kain rida’ baginda saw juga turut disentap dengan kasarnya. Akhirnya baginda bersabda, ‘Wahai manusia, kembalikan rida’ aku. Demi yang diriku di dalam tanganNya, andaikan aku memiliki semua tanaman di Tihamah, tentu aku memberikannya kepada anda semua, hinggakan anda semua tidak menyebut aku sebagai seorang yang kikir, penakut dan pendusta.’ Kemudian baginda saw berdiri di samping unta miliknya, sambil memegang sebiji gandum dan mengangkatnya seraya bersabda, ‘Wahai manusia, demi Allah, aku tidak lagi menyisakan harta rampasan anda semua, termasuk pula sebiji gandum ini kecuali ini seperlimanya, dan seperlimanya itupun sudah diserahkan kepada anda semua.’

Setelah memberikan bahagian kepada orang-orang yang baru masuk Islam dan hatinya masih lemah. Baginda saw memanggil Zaid bin Thabit agar mendatangkan sisa harta rampasan dan mengumpulkan semua orang. Masing-masing mendapat bahagian empat ekor unta dan empat puluh ekor biri-biri. Jika ia seorang penunggang kuda, maka ia mendapat bahagian dua belas ekor unta dan seratus dua puluh biri-biri.

Kesemua ini  merupakan cara Rasul SAW bermu`amalah terhadap golongan muallaf, ia amat berlainan sekali bila bermu`amalah dengan orang-orang pilihan yang telah sedia kuat Islamnya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa bentuk tidak puas hati. Maklumlah cabaran dan dugaan akan tetap berada di mana-mana sahaja. Orientasi kebendaan sekali sekala pasti akan mengambil tempat. Lihat peristiwa di bawah:

وعن ابن عباس رضى الله عنه قال: لما كان يوم حنين آثر رسول الله صلى الله عليه وسلم ناسا في القسمة فأعطى الأقرع بن حابس مائة من الإبل وأعطى عيينة مثل ذلك وأعطى أناسا من أشراف العرب وآثرهم يومئذ في القسمة فقال رجل والله إن هذه لقسمة ما عدل فيها وما أريد فيها وجه الله قال فقلت والله لأخبرن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال فأتيته فأخبرته بما قال قال فتغير وجهه حتى كان كالصرف ثم قال فمن يعدل إن لم يعدل الله ورسوله قال ثم قال يرحم الله موسى قد أوذي بأكثر من هذا فصبر.  فقلت: لا جرم لا ارفع اليه بعدها حديثا – متفق عليه.

Daripada Ibnu Abbas RA: ‘Ketika hari peperangan Hunain, Rasulullah SAW telah melebihkan beberapa orang dalam pembahagian rampasan perang, lalu diberi kepada Aqra` bin Habis 100 ekor unta dan kepada Uyyainah bin Hisn seperti itu juga. Juga diberikan kepada pembesar-pembesar Quraisy dan mengutamakan pembahagian kepada mereka. Kemudian ada seorangt lelaki berkata, ‘Demi Allah, pembahagian cara ini tidak adil dan tidak untuk mencari keredhaan Allah.’ Saya berkata (periwayat hadis, Ibn Abbas RA), ‘Demi Allah hal ini akan saya beritahu kepada Rasulullah SAW.’ Kemudian saya terus berjumpa dengan Baginda SAW dan memberitahu kepadanya tentang apa yang dikatakan oleh orang itu. Maka berubahlah wajah Baginda SAW sehingga menjadi semacam kambing merah, merah padam mukanya lalu bersabda, ‘Siapakah yang dikatakan adil kalau Allah dan Rasul-Nya tidak adil.’ Selanjutnya Baginda SAW bersabda, ‘Allah merahmati Musa, ia telah disakiti dengan cara yang lebih dari ini, tetapi ia tetap sabar.’ Saya sendiri (Ibnu Abbas) berkata, ‘Saya tidak akan menceritakan kepada Rasul SAW selepas ini lagi.’

Beberapa Perkara Yang Perlu diperhatikan:

1.    Harta benda bukanlah matlamat dalam perjuangan Islam, namun boleh dijadikan alat atau wasilah bagi mendapatkan sesuatu. Baginda SAW. menggunakan harta rampasan kepada kumpulan yang baru menganut Islam adalah sebagai suatu strategi untuk menjinakkan hati mereka (ta’lif al qulub). Lihat jawapan baginda SAW kepada kaum Ansar yang tidak diberikan apa-apa.

2.    Kepercayaan dan wala’ yang kuat dan jitu kepada pimpinan amat perlu kepada ahli gerakan Islam, apatah lagi dalam menghadapi saat-sata yang genting dan mencabar. 

3.    Pemimpin juga perlu berlapang dada dalam menghadapi karenah para pengikut, namun ada masanya perlu jelas dan zahirkan sumber pegangan dan rujukan yang digunapakai dalam sesuatu tindakan, lihat jawapan baginda SAW kepada aduan Ibnu Abbas:
ثم قال فمن يعدل إن لم يعدل الله ورسوله قال ثم قال يرحم الله موسى قد أوذي بأكثر من هذا فصبر
Jawapan ini menunjukkan jelas sumber rujukan dan pegangan dalam mengendalikan urusan pembahagian ghanimah adalah daripada Allah dan Rasul-Nya.

4.    Kesabaran dalam mematuhi arahan jama`ah amat diperlukan setiap masa. Kalau pun berlaku kekecuhan jangan sampai mengkucar-kacirkan jama`ah, apatah lagi keluar dan menubuhkan suatu jama`ah baru. Ini semua akan merugikan gerakan Islam dan melambatkan kemenangan.
5.    Cabaran untuk menaikkan imej Islam akan sentiasa berlaku setiap masa. Inilah yang dikatakan bahawa syurga itu amat mahal dan sukar untuk mendapatkannya, namun neraka boleh ditempah bila-bila masa sahaja.   Pertanyaan Sa`ad bin Abi Waqas adalah lambang  komunikasi yang baik dan berterusan antara pengikut dan pemimpin dan ini dapat menyelesaikan segala kekusutan. Demikian keindahan dan seninya hubungan antara pengikut dan pemimpin.


 

Artikel Penuh...