Sunday, August 8, 2010

Ramadhan Bulan Yang Hebat

Seringkali disebut Ramadhan adalah bulan yang hebat. Mungkin satu soalan yang boleh kita kemukakan, kenapa ianya dianggap hebat?. Beberapa jawapan kita akan temui bila membicarakan tentang Ramadhan. Antaranya:

1. Merupakan satu-satunya bulan yang disebut di dalam al Qur’an. Di dalam al-Quran tidak menyebut bulan Muharram tetapi kita membuat sambutan meriah sambutan Maal Hijrah. Demikian juga dalam al-Quran tidak menyebut bulan Rabiul Awal tetapi umat Islam menyambut Maulidur Rasul dengan penuh kehebatan. Bagaimanapun Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran tentang kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kepada umat Islam kerana waktu malam dan siang ia menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadhan merupakan satu bulan mulia yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan. Firman Allah swt dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185:

Maksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah).."

2. Bulan yang dipilih oleh Allah untuk menurunkan al Qur’an (Nuzul al Qur’aan), kitab suci yang menjadi panduan umat Islam, pembeza di antara petunjuk dengan kesesatan. Pemisah di antara hak dan batil.

3. Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan yang perlu umat Islam mengejar mengambil kesempatan. Bulan yang diarahkan oleh Allah untuk kita melakukan ibadat puasa. Ketika mengulas kelebihan ini Rasulullah bersabda dalam suatu hadis yang lebih kurang berbunyi:

قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ الله عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ فِيْهِ يُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتَغُلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ، فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ, مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ.

" Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, bererti telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan”.(Hadis Riwayat Ahmad).

Kita lihat pelbagai rangsangan yang disediakan oleh Allah:

• (يُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ) Dibuka pintu syurga,suatu rangsangan yang maha tinggi dari Allah, syurga bersedia untuk menerima orang yang beribadat dan menyempurnakan puasa, termasuk kesediaan bidadarinya. Menyeru siapa yang akan menjadi pasangan aku dalam syurga. Silalah datang.

• (وَيُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ) Ditutup pintu neraka, lambang kejahatan dan laluan ke arah kemungkaran sudah dipersempitkan, nafsu dilemahkan. Kalau hari biasa gagah boleh main bola sampai 6.30 petang baru teringat nak sembahyang, ingat ke Asar, rupanya zohor tak sembahyang lagi.

• (وَتَغُلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ) Dibelenggu, dirantai segala syaitan, tidak boleh bergerak bebas macam biasa, terhad. Namun kena ingat macam anjing yang dirantai, menyalak boleh tapi terkam terhad, kalau dekat akan digigit juga. Kena berhati-hati.

• (فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ) Malamnya ada satu yang melebihi seribu bulan, tidak ada pada bulan-bulan yang lain. Jangan ingat nak pasang perangkap nak tangkap ibu Lailatul Qadar, pasang pelita nak suruh mudah nampak, nak nampak macam mana, surau masjid pun tak pernah pergi.

4. Bulan yang dipilih untuk berlakunya Peperangan Badar al Kubra (17 Ramadhan, bersamaan dengan Nuzul al Qur’an).

5. Juga bulan dipilih untuk menakluki Kota Makkah dan berakhirnya kekufuran, penyembahan berhala di Ka`abah, dipilih Ramadhan untuk menyapu bersih semua kekotoran syirik Kota Suci tersebut.

6. Bulan menghidupkan Madrasah al Qur’an.


Seterusnya untuk lebih mudah berkaitan dengan puasa lihat sabda baginda saw:

(قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ الله عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ)

Berkaitan Hadis di atas mari kita lihat firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (QS al-Baqarah [2]: 183.

Berdasarkan kepada ayat di atas ada baiknya kita cuba perincikan beberapa kehendak Allah:

1. Seruan kepada orang-orang yang beriman, suatu panggilan keramat dari Allah agar didengari apa yang akan diperintahkan.

2. Menjelaskan kewajipan berpuasa kepada ummat ini.

3. Puasa juga difardhukan kepada umat-umat sebelum kamu, ertinya kamu tidak akan bersendirian dalam menunaikan ibadat ini, kerana telah pun dilakukan oleh umat-umat yang terdahulu.

4. Kalau pun nampak berat, barangkali hari-hari kita tidak sepanjang hari-hari umat terdahulu. Ertinya bukan sekadar suruhan biasa, tetapi suruhan yang mempunyai banyak rahsia di sebaliknya.

5. Penekanannya ialah supaya kamu dapat meningkatkan mertabat kamu daripada orang Islam biasa, kepada beriman dan bertaqwa. Kenapa? Kerana kamu mematuhi perintah Allah.

6. Bulan yang dipilih untuk mengerjakan sembahyang terawikh, terpulang nak buat lapan atau 20, jangan berbalah. Sama-sama makmurkan masjid dan surau. Buat secara yang sempurna dan comelkan ibadat kita. Elakkan menggunakan masa tarawikh untuk qadha`. Nak qadha` cari masa lain. Kadangkala ada juga yang penuh awal kurang akhir. Kalau ada kerja tak apa, buat lepas kerja. Boleh buat tengah malam dan berhenti sebelum subuh. Kerana tarawikh masanya luas. Jangan jadikan alasan, yang penting cari daya dan tenaga untuk melakukannya. Kerana kesimpulan kepada semua ibadat dalam bualan puasa adalah supaya kamu menjadi orang bertaqwa.

Hikmah Berpuasa: Kadang-kadang ditanya kenapa diwajibkan berpuasa?

1. Dalam satu hadis baginda menyebut yang lebih kurang bermaksud, berpuasalah mudah-mudahan kamu beroleh kesihatan. Dalam al Qur’an disebut mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertqwa.

2. Meneliti hujung kedua-dua suruhan terdapat kesihatan dari segi fizikal dan jiga spiritual. Terhindar dari penyakit samada penyakit zahir atau batin. Banyak makan dan tidak henti-henti akan mengundang penyakit kepada tubuh badan. Punca penyakit adalah me`dah. Bila sakit susah. Lawan kepada sakit adalah sihat, bila sihat senang hati dan tak perlu menghabiskan wang terlalu banyak untuk beli obat.

3. Dari satu segi yang lain kita berpuasa, ruhani kita akan bersih, maka kita jadi orang yang bertaqwa. Taqwa asal dari perkataan wiqayah. Berjaga-jaga jangan sampai dimurkai oleh Allah dalam segala tindakan harian kita.Dalam ungkapan harian kita seringa mendengar alwiqayah khairun minal `ilaj (prevention is better then cure). Jangan sampai dah tak larat, baru nak cari obat!.

4. Ini menggambarkan kemurahan Allah kepada hambanya. Dibenarkan hidup, beri rezeki, yang teruknya ialah organ-organ dalaman, yang terus menerus berjalan dan buat kerja, tanpa diservis, maka diprogramkan untuk servisnya iaitu Ramadhan. Siang hari rihat dan kena perbaiki di mana rosaknya. Ini juga memberi maklumat kepada kita tentang lengkapnya ajaran Islam. Selari dengan pendapat Dr. Peterfinia Minov dari Universiti Moscow (Milenia).

5. Rukun-rukun puasa pula paling sedikit dan paling mudah diingati iaitu niat dan menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa.

6. Dr. Daniel (Quran Saintifik) menyebut puasa adalah rukun yang datang selepas syahadah dan Sembahyang berdasarkan kepada ayat di atas. Ada beberapa rahsia diwajibkan berpuasa di antaranya ialah:

a. Boleh menyihatkan badan, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman (1984), kajian terhadap 42 lelaki dan 26 wanita.

b. Sekiranya berlaku kematian semasa berpuasa, ianya berpunca dari sebab-sebab lain, bukan sebab berpuasa.

c. Tidak makan dalam jangka pendek (puasa) amat selamat Leon Chaitow, pensyarah kanan di University of Westminster.

d. Kongres bertemakan ‘Kesihatan dan Ramadhan’ di Casablanca 1994, mengesahkan puasa bulan Ramadhan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan, sebaliknya ia mampu mencegah dan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

e. Kalau pun tidak sakit, badan tetap mengandungi bahan-bahan toksin-toksin makanan dan ubat-ubatan berkumpul di dalam badan lalu menjadikannya seperti orang sakit dan membebankan, maka keaktifannya akan berkurangan. Apabila seseorang berpuasa dia akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin tersebut dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak pernah dialami sebelum itu (Dr. Mc Fedan, Pakar perubatan antarabangsa. Dlm. Milenia, Ogos 2010, hal. 23)

f. Lihat kenyataan di Malaysia: “Punca utama kematian rakyat Malaysia sejak tahun 1980an adalah berpunca dari penyakit jantung dan angin ahmar. Ia dijangka kekal sehingga tahun 2020 dan rakyat Malaysia mengidap penyakit kronik ini 10 tahun lebih awal dari orang barat, ini berpunca dari tekanan darah tinggi, kencing manis, kandungan kolestrol yang tinggi, kegemukan dan merokok. Ajaibnya kelima-lima penyakit ini dapat dikurangkan melalui berpuasa (Prof. Dr, Abdul Rashid Abdul Rahman, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Pakar Perubatan di Hospital Pakar Perubatan an Nur merangkap Dekan Pengajian Siswazah dan penyelidikan , Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, dalam Milenia Ogos 2010, hal. 22 – 23).

g. Keutamaan Lain:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أُعطِيت أمتى فى شهر رمضان خمسَ خصالٍ لم يُعْطَهُنَّ قبلى؛
أما واحدة فإنه إذا كان أولُ ليلةٍ فى شهر رمضانَ ينظر اللهُ عزوجل اليهم. ومن ينظر اللهُ اليه لم يُعَذَّبْ أبدا.
وأما الثانية فإن خَلوفَ أفواههم حيث يُمْسُون أطيَبَ عندالله من ريح المسك.
وأما الثالثة فإن الملائكة تستغفرُلهم فى كل يوم وليلة.
وأما الرابعة فإن الله تعالى يأمر جنَّته فيقول لها إستَعِدِّى وتَزَيَّنى لعبادى اولئك كادوا أن يستريحوا من لَّعَبِ الدنيا الى دارى وكرامتى.
وأما الخامسة فإنه إذا كان آخرُ ليلةٍ غَفَرَاللهُ لهم جميعا, وقال رجل من القوم: آهى ليلة القدر يا رسول الله. فقال: لا, الم ترَ العُمَّالَ يعملون فإذا فرَغوا من أعمالهم وُفُّوا أُجورهم.

Lebih kurang bermaksud:
Rasulullah saw bersabda, telah diberikan kepada umatku pada bulan Ramadhan lima perkara, yang belum pernah diberikan kepada seseorang Nabi sebelumku;

1. Pada permulaan Ramadhan Allah melihat kepada para umatku. Barangsiapa yang Allah melihat kepadanya, nescaya tidak diazab selamanya.

2. Bau mulut mereka pada petang hari lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi.

3. Para malaikat memohon keampunan untuk mereka setiap hari dan malam.

4. Allah memerintah syurgaNya dengan berfirman, 'Bersiaplah kamu dan berhiaslah kamu untuk hamba-hambaku. Mereka hampir beristirehat dari kepenatan dan kepayahan dunia, menuju ke negeriKu dan kemuliaanku.

5. Pada akhir malam bulan Ramadhan, Allah mengampuni dosa semua mereka. Seorang lelaki dari sahabat bertanya, 'Apakah itu malam al Qadar, ya Rasulullah?'. Nabi saw menjawab, 'Tidak. Apakah engkau tidak melihat kepada para pekerja yang bekerja. Apabila mereka telah selesai dari pekerjaan mereka, nescaya disempurnakan upah-upah mereka'. (as Siddiqiey: Pedoman Puasa, hal. 30 -31).

Soalannya sekarang, apakah kita benar-benar bersedia untuk melibatkan diri dengan mengambil bahagian yang aktif dengan kehadhiran Ramadhan atau tidak. Jangan lupa sebelum ini terdapat kenyataan baginda saw menyebut:مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ yang lebih kurang bermaksud, "Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, bererti telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan”.

Mudah-mudahan kita sentiasa diringankan Allah untuk mengikuti segala jenis peribadatan yang disediakan Allah dalam bulan Ramadhan.

Artikel Penuh...