Thursday, January 10, 2013

Demikianlah Satu Amanat!

S ehingga ke hari ini 10 Januari 2013, kita tidak pasti entah akan hari ke berapa dan minggu ke berapa Amanat Hadi (AH) akan terus di perhangatkan semula setelah sejuk selama lebih tiga puluh tahun (rujuk ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang pada 7 April 1981 di Kampung Banggol Peradong). Kalau dikira dari sudut tahun mungkin sudah mencapai usia dua tahun (2012-2013, maaf ya! Gurau sikit), kerana ianya disebut semula oleh dua orang mufti dalam akhbar harian pada 17 Disember 2012.  

Dengan penuh minat penulis cuba ikuti isu yang diperhangatkan ini. Ianya mengundang campur tangan pelbagai lapisan masyarakat dari sebawah-bawahnya hinggalah ke atas. Tak kiralah yang berpengetahuan, berautoriti atau tidak. Termasuk juga ‘penumpang-penumpang kesiangan’ yang ilmunya dalam bidang tersebut entah ada atau tidak. Tidak kurang juga yang bercakap bagi pihak Majlis Fatwa samada peringkat kebangsaan atau negeri. Bagi penulis, secara peribadi merasakan bahawa apa yang dipolemikkan itu sebenarnya atas angin dan tidak mendasar. 

Mungkin tulisan Abdul Jalil Ali dalam ruangan ‘cetusan’ akhbar Sinar Harian pada awal tahun 2013 amat sesuai untuk diambilkira. Alih-alih hanya sekadar untuk dijadikan isu pilihanraya saja. Program kitar semula isu menjadi keutamaan setelah tidak ada isu hangat. Namun diperhangatkan tak juga hangat, kesian pulak rasanya. Susah payah minta mufti perhangat, sekadar mufti saja yang hangat, amanat taklah sehangat yang dijangka. 

Sejujurnya setelah mengikuti polemik yang berlaku, penulis merasakan banyak fakta yang disebut tidak menepati sasaran sebenar. Memanglah apabila amanat itu dikitar semula seakan-akan ianya digantung di satu sudut untuk menjadi bahan perbincangan. Namun apa yang berlaku, isi AH sebenarnya tidak pernah dibincangkan. Masing-masing-masing hanya sekadar syok dalam bidang yang tersendiri. Mari kita lihat kenyataan sebahagian daripada mereka – sekadar mengambil beberapa yang dikira menghampiri aras autoriti, (hampir boleh masuk gelanggang): 

 1. Majlis Fatwa (MF); betullah mengeluarkan fatwa mengenai haramnya kafir mengkafir. Memang keluarkan fatwa tak ada salahnya malah kena keluar, tetapi ianya bersifat terlalu umum, tak sentuh pun amanat tersebut (Sinar Harian, Isnin 7 Januari 2013, hal. 2, Rujuk Majlis Fatwa: Jamil Khir). Untuk pengetahuan semua, satu patah pun ayat tidak menyentuh AH.

 2. JAKIM panggil Hadi (BH, Ahad 30 Disember 2012), Ketua Pengarah JAKIM sebut AH membawa pecah belah. Katanya banyak rekod kami kumpulkan sejak sejak amanat itu diucapkan, elemen kafir jelas. Sampai sekarang tak panggil pun. Penulis boleh sebut SDA (sama seperti di atas). Alahai kesiannya satu institusi yang begitu besar gahnya, tapi seakan-akan takut kena sergah. Tuan punya AH sentiasa bersedia (SH, 30 Disember 2012, SH 1 Januari 2013). 

 3. Mufti sepakat isu Amanat Hadi (BH, Ahad 6 Januari 2013, hal. 6). Kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Mat Jahya Husin, bekas Mufti Perlis. Juga menampakkan sekadar makluman biasa dan terlalu umum. Merujuk kepada Muzakarah Majlis Fatwa 21 November 1984 dan 3 Disember 1984. Tambahan pulak beliau adalah bekas Mufti. Maaf cakap mungkin sekadar tinggal bekas saja. Soalannya: Pernah tak dipanggil individu yang berkenaan untuk berdepan. Kalau tak dipanggil berdepan itu sekadar hukum atas angin, mana boleh. Zalim namanya. Takkanlah AJK MF nak jadi zalim. Tak baik tu, jangan sedap hukum orang saja. Diri sendiri bagaimana!. 

4. Ustaz Fathul Bari, dalam ruangan ‘an Nasihah’ Sinar Harian, saban minggu. Di antaranya menulis, ada yang bertajuk ‘Bahaya kafir mengkafir sesama Muslim’ (SH, Ahad 30 Disember 2012, hal. 15). Duhai ustaz yang penulis kagumi!, tulisan ustaz ni memang tak salah, dengan memetik pendapat ulamak-ulamak terkenal seperti Prof. Dr. Ibrahim Amir ar Ruhaily, Dr. Saleh ibn Fauzan al Fauzan dan juga beberapa peristiwa di zaman Nabi saw serta para sahabat. Apa yang berlaku itu memang betul, pendapat mereka bukannya salah. Cuma teknikal ustaz gunakan dalam kes AH tak kena sasarannya. Fakta dan ungkapan itu baik, tapi tepatkah untuk sasaran AH. Jawabnya tak tepat. Orang yang kurang cerdik boleh cakaplah, ‘Waduh, padan muka, ustaz Fathul Bari dah hentam AH, dengan bawa ayat Qur’an, Hadis, pendapat ulamak dan sebagainya. Tapi orang yang cerdik, apatah lagi yang bijaksana akan meneliti, akan tanya betul ke ni untuk sasarannya. Seakan-akan peluru ada tapi tembak tempat lain. AH tetap tergantung tanpa sebarang sentuhan, malah ianya semakin kental dan kebal.

 Maaf cakap! Ustaz hanya mampu bersilat di gelanggang sendiri dan sekadar memukul di tempat yang salah. Usahkan tubuh AH nak kena, bayang pun tak jejas. Akhirnya ustaz kepenatan sendirian. Kalau diibaratkan kapal terbang, sebenarnya ustaz masih tak ‘landing’, sekadar berpusing-pusing kat terminal, akhirnya balik semula ke pengkalan asal, minyak habis, hasilnya tak ada. Memang isinya cantik dan dapat dijadikan rujukan, bukan tak cantik. Penulis tak nafikan. Tapi dalam situasi kini ustaz akan jadi semacam SS (syok sendiri).

 Landinglah betul-betul, tembaklah betul-betul dan pukulah betul-betul. Biar kena sasaran. Kerana pertelingkahan ulamak berdasarkan disiplin akademik yang tinggi, insya’ Allah akan menjadi santapan yang bermanfaat untuk khalayak awam mengikut kadar kemampuan masing-masing. Silakanlah ustaz!. 

5. Sekali lagi Fathul Bari, nak sebut sekali lagi, kenapa? Kerana beliau mewakili Ulama Muda Umno (SH, Sabtu 5 Januari 2012, hal. 2) bertajuk: Isu tetap relevan, tidak kira masa....walaupun AH disebut 31 tahun lalu, namun isu ini masih relevan sampai bila-bila, apabila ia melibatkan agama Islam, tegas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu, Fathul Bari Mat Jahaya). Sama juga tembaknya, dahlah peluru kapur, sasarannya masih lagi tempat lain. Sepatah ayat AH pun tak dirujuk. Alahai ustaz, ustaz ni orang muda, ada ilmu, ada semangat, ada keberanian. Bertindaklah di tempat yang betul. Masyarakat nak dengar cetusan yang benar-benar berhikmah dan bijaksana (keduniaan dan keakhiratan). Tapi yang ustaz tonjolkan sekadar bijaksini (keduniaan) saja. Ustaz kata, “Sewajarnya..ditarik balik dan mohon maaf kepada Umno....perkara ini (mengkafirkan Umno) tidak boleh dibawa main-main”.

 Aduhai, ustaz asyik suruh tarik dan minta maaf, tapi tak sebut mana satu konteks ayatnya yang nak ditarik balik, (kalau macam ni pada fikir penulis tarik tak usah, ulur, lagi cantik!), nak diminta maafnya, apa ke benda nak mintak maafnya. Bila-bila begini mengundang simpati dan empati pulak penulis kepada yang punya hak AH, dari satu segi lain ‘seakan-akan diikat tangan kaki, diasak-asak di satu penjuru, dikenakan pelbagai tumbukan, ajak semua geng yang nak tumpang tumbuk’, tanpa sebarang ruang pembelaan, disuruh minta maaf, tarik balik. Apa ceritanya ni! Ustaz, dah bengkak bengkil, tak tahu di mana salahnya disuruh tarik balik. 

Tuan Guru Haji Abdul Hadi sebagai yang punya autoriti terhadap AH ada hak dan maruahnya untuk dipertahankan. (cantiknya jika dirujuk seakan hampir kepada peristiwa yang berlaku kepada as Syahid Sayyid Qutb dengan Presiden Jamal Abdul Nasir dalam buku tulisan Ustaz Abu Bakar Chik dan Dr. Hamdan Muhammad: Negara Berkebajikan Menurut Syed Qutb, hal. 11). 

Tak usah dipermudahkan bicara ini. Usah bicarakan AH sekadar kulitnya, lihat isi. Orang kampung saya pun pandai sebut satu ungkapan orang putih, ‘Don’t jugde the book by it’s cover’. Takkanlah ustaz tak boleh faham. Ustaz orang muda, ada ilmu takkanlah nak ikut stail orang yang tak berilmu. Yang tak berilmu tak apalah, ustaz ada otoriti, takkan nak gadaikan otoriti tersebut. Mana dia kesarjanaan ustaz dalam bidang ini. Tengok orang tembak, tembak juga. Tapi bila ditanya mana sasarannya ustaz sendiri tak tahu.

Secara adilnya, dari segi disiplin akademik, sepatutnya kalau nak kata AH salah, penulis mengesyurkan beberapa tindakan:

 • Majlis Fatwa Kebangsaan atau negeri, atau JAKIM atau Sektretariat Ulama Muda Umno (UMU), kena panggil orang yang berkenaan. Nak panggil, bukannya susah, gunakan saluran yang wajar. Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah rakyat Terengganu, orang Malaysia, bukannya jauh pun. Duduknya kat Rusila. Kalau dibimbangi surat tak sampai, pergi saja ke Masjid Rusila hari Jumaat, pasti dapat jumpa. Buat serahan ‘by hand’. Kalau takut pergi seorang, bawaklah kawan, takut lagi, bawalah polis sekali, takut lagi, bawalah pulak askar satu trak. Kalau takut lagi tak usah jadi manusialah. Mungkin ada pula yang kata, siapa kita nak guna polis dan askar. Mengadaplah mana-mana menteri dari perdana sampai ke lantainya atau jabatan yang berkaitan, kerana ini satu keperluan, setahu penulis majoriti menteri telah bercakap mengenai isu ini. Nah! jumpalah mereka. Kalau mereka tak mahu, ingatkan mereka supaya supaya jangan gerakkan khalayak untuk timbulkan isu ini. Kalau tak berani, balik rumah ‘pakai kain batik sajalah’ (maaf cakap, kadangkala kena guna jugak ungkapan sebegini). Asalkan guna prosedur yang betul. Orang yang biasa jadi pegawai kerajaan, takkanlah nak ajar satu persatu.

 • Adakan pertemuan yang jelas dan dapatkan keterangan yang sebenar, apa matlamat dan objektif di sebalik ucapan atau AH tersebut. Ini adalah cara yang paling baik menampakkan MF, UMU, JAKIM sebagai satu pertubuhan yang benar-benar berwibawa atau dalam bahasa biasa disebut ‘anak jantan’. Ini tidak, yang satu pula masa mula-mula keluar 17 Disember 2012, nampaknya garang. Macam anak jantan, tapi bila ajak berforum, kata tak nak pulak, tak mahu campur politik. Apa ceritanya, takkanlah ‘nak tukar jantina’ pulak! (maaf cakap).

 • Ambil dan ulas ayatnya satu persatu, lihat konteks masyarakat, lihat pula penggunaan perkataan betul atau tidak, ayat mana yang bercanggah, perkataan mana yang tak betulnya. Kalau ianya bercanggah dengan mana-mana ayat al Qur’an, Hadis atau Ijmak Ulama`. Sila perturunkan. Jangan hanya sebut ayat tetapi secara umum, langsung tidak menuju sasaran. Itu menyalahi disiplin akademik. Hujah kena lawan hujah, baru sepadan. Jangan hujah dilawan dengan kata engkau salah, tapi tak tunjuk mana salahnya. Apa yang ada, asyik nak guna kuasa (kekerasan) yang kebetulan masih ada sedikit. Akhirnya dalam konteks ini, penulis suka memetik kata-kata peninggalan seorang ulamak tersohor di negara kita yang lebih kurang bermaksud: “Bertukarnya pertelingkahan secara lisan (hujjah) kepada pertelingkahan secara kekuatan yang digunakan oleh satu pihak yang berkuasa untuk menghapuskan hujjah lawannya, adalah merupakan satu bukti yang tepat kepada benarnya kumpulan yang masih mampu menggunakan hujjah” (`uduluhun `anil mu`aradhati bil lisan ila al mu`aradhati bil al suyuf adallu dalilin `ala shidqihi). 

Setakat ini tuan punya AH sendiri masih menunggu untuk dipanggil dan sentiasa menawar diri untuk menjelaskan isu AH sejak 30 tahun dulu, namun satu kali pun pihak yang berkuasa samada MF, JAKIM, UMU dan lain-lain yang berkuasa belum bersedia. Penulis sendiri menjadi penunggu setia kepada pertemuan ini, dari usia muda hingga ke usia emas, namun sekadar menunggu. Pertemuan tidak pernah ujud. 

Akhbar Harakah (28 Safar - 1 Rabi`ul Awwal 1434/11-13 Januari 2013, hal. F19) Sdr. Khalid Samad menyebut 'Beratus jam diserang, minta satu jam pun takut'. Ramai yang terkejut apabila Menteri Penerangan Dato' Rais yatim bersetuju membenarkan Presiden PAS membuat penjelasan "Amanat Hadi" selama satu jam siaran langsung melalui RTM.... Terkejut jugalah saya, maklumlah anggota kabinet 'PM takut debat' tiba-tiba jadi berani. Tengok-tengok keberaniannya hanya bersifat sementara, bagaikan 'mirage di tengah padang pasir' kerana beberapa hari kemudian dikatakan pula tidak boleh!" ujar Khalid Samad AJK PAS Pusat dalam blognya http://www.khalidsamad.com.

 Dan  SH (8 Januari 2013, hal. T8) melaporkan Buku Amanat Haji Hadi diulang cetak. Pelancarannya akan diadakan di perkarangan Masjid Rusila oleh pengarangnya sendiri. Terima kasih, teruskan usaha ini, kerana apabila sebahagian ulama yang berkepentingan sedang rakus mengulas secara tidak tepat, biarlah tuan punya hak AH melancarkan dan mengulasnya, biarlah khalayak belajar sendiri mengenali AH dari sumber yang asalnya. Sudah pasti isi AH akan dinikmati dari orang yang punya autoriti dan authenticity. 

Lagi  Harakah (28 Safar - 1 Rabi`ul Awwal 1434/11-13 Januari 2013, hal. N22) Di tengah-tengah kekalutan AH, Dewan Pemuda PAS Kelantan menerbitkan pula buku terbarunya 'Amanat Haji Hadi vs Amanat Haji Mahathir & Amanat Haji Najib', mudah-mudahan kita sama-sama dapat baca secepat mungkin.

Terima kasih juga kepada semua yang terlibat sehingga popularnya kembali AH, tidak terkecuali MF, UMU dan JAKIM. Demikianlah satu Amanat. Orang punya hak tak pernah sebut pun itu amanat. Fikir-fikirkanlah. Wal Llahu a`lam.

Artikel Penuh...