Wednesday, May 24, 2017

Puasa, Puaskan kehendak kita atau Puaskan kehendak Yang Maha Esa

`A

was Kaki Ponteng Puasa’ pernah menjadi tajuk besar  muka depan  sebuah akhbar tabloid tempatan. Seorang anak membaca tajuk tersebut dan mengemukakan beberapa persoalan kepada ayahnya. 

Anak: Kenapa boleh jadi begitu ayah, kenapa mereka ponteng puasa?
Ayah: Mungkin kerana mereka merasakan puasa itu tidak begitu penting?
Anak: Kenapa mereka merasa tidak penting?
Ayah: Mungkin kurang ilmu dan kurang kesedaran!
Anak: Kalau macam tu apa pentingnya puasa itu, dan apa sebenarnya puasa tu ayah?.

Perbualan di atas mungkin lumrah terjadi di masa kini. Kenapa? Mungkin kerana anak banyak terdedah kepada pelbagai jenis pemikiran terkini. Mereka akan mempersoalkan apa sahaja untuk mencari jawapan dan mungkin juga untuk mendapat kepuasan.



Memang fitrah manusia dijadikan begitu, dengan naluri ingin tahu. Kenapa? Kerana kita dilahirkan dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. Kita dikeluarkan dari perut ibu dalam keadaan kosong, tanpa sebarang pengetahuan, kemudian dijadikan pendengaran, penglihatan dan hati (akal pemikiran), supaya kamu bersyukur (Lihat lebih kurang maksud dari ayat surah an Nahl, 16:78).

Dengan adanya tiga alat yang dibekalkan, manusia terus diizinkan untuk membesar, memerhati dan mengkaji apa sahaja yang berlaku setiap hari. Bezanya ada yang kuat dan ada yang lemah pengamatan. Yang kuat akan mencari dan mengkaji sehingga timbul persoalan-persoalan seperti di atas.

Bila disebut puasa, bagi kita yang sudah maklum, akan tergambar ianya merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Rukun ertinya perkara yang wajib bagi orang Islam kerjakan. Tanpanya Islam tidak akan lengkap. Umumnya juga mengatakan puasa ialah menahan diri dari makan dan minum dengan sengaja. Ada yang mengatakan ianya bermaksud berpantang makan dan minum dan mungkin juga ianya merupakan satu ibadat.

Kalau sekadar berpantang dari makan minum, tanpa diketahui atau disedari untuk apa dan siapa? Mungkin inilah yang berlaku curi-curi makan atau ponteng puasa seperti yang sering terpampang di dada akhbar. Sekadar diasuh jangan makan dan jangan minum di siang hari tanpa dilanjutkan untuk siapa dan kerana apa?. Mungkin sudah menjadi adat dan kebiasaan.

Sebab itulah tradisi masyarakat Melayu, biasanya sudah diajar melakukan sesuatu berserta dengan rasionalnya sekali. Contohnya buat sesuatu kerana Allah. Malah ayatnya juga sudah cukup cantik direkacipta sepadan dengan `nawaitunya’, sengaja, senghaja atau sahaja. Bila disebut menyengajakan bermaksud berbuat sesuatu dengan sengaja (Kamus Dewan, hal. 1165-11660). Bererti ada kesedaran, dipertanggungjawabkan dan bukan secara kebetulan, kebiasaan atau keterpaksaan, apatah lagi secara ikut-ikutan, lainlah pada peringkat kanak-kanak. Seterusnya diatur ‘sengaja aku berpuasa .......... kerana Allah Ta`ala. Bukan sahaja dilakukan dengan penuh sedar, tidak terpaksa, tetapi dikeranakan Allah Ta`ala, Tuhan, penguasa yang menjadikan kita dan menjadikan alam maya ini.

 Dari satu segi yang lain, oleh kerana kita makhluknya yang tidak punya apa-apa kecuali yang dianugerahkan, maka `puasa’ juga dapat diwajarkan dengan kepuasan Yang Maha Esa. Yakni meletakkan Allah sebagai matlamat utama, bukan kepuasan kita sebagai makhluknya. Kalau kepuasan kita sudah tentulah pelbagai berdasarkan kepada falsafah dan rasional masing-masing. Namun apabila kita menyebut ianya untuk kepuasan Yang Maha Esa, maka skemanya mestilah berdasarkan kepada skema Allah, bukan skema kita. Contohnya syarat-syarat sah, syarat wajib, rukun dan pembatalnya. 

Apa penting semuanya ini? Nyata kita kena jawab soalan anak di atas tadi. Kerana Puasa adalah arahan Allah, bila begitu, kaedah perlaksanaannya mestilah ditentukan oleh Allah. Tanpa mengikut skema ini, semua aktiviti yang dilakukan berkaitan dengan puasa pasti tidak memenuhi syarat. Apabila tidak memenuhi syarat, mana mungkin puasa kita diterima. Sama seperti kita masuk sekolah, sukatannya mestilah berdasarkan apa yang dibekalkan oleh pihak kementerian kepada sekolah tersebut. Malah siap sahaja pendaftaran, terus diberikan sukatan pelajaran, jenis uniform yang perlu digunakan. Semuanya perlu diikuti oleh guru atau murid. Andainya tidak mahu ikut sukatannya, disiplinnya kita abaikan, sudah tentu awal-awal lagi akan disingkirkan.

Demikianlah rupanya, kalau di sekolah milik manusia kita patuh, apatah lagi dengan ibadat yang diarahkan Allah. Sebahagian ulama` menyebut puasa adalah suatu sesi persekolahan atau ‘tarbiyyah’ yang disediakan oleh Allah untuk membentuk kemanusiaan manusia agar benar-benar mengerti bahawa dirinya hamba yang  tidak punya apa-apa dan belajar mengenali dirinya siapa. Sebulan kita diajak untuk berada di ‘Madrasah Ramadhan’ dengan mematuhi kesemua arahan Allah. 

Datangnya Rejab dengan Sya`ban kita telah diwarwarkan dengan Ramadhan, dua bulan ini kita telah dihantar surat tawaran untuk ke Madrasah Ramadhan. Akhir Sya`ban sudah siap mengisi borang kemasukan berserta borang akurjanji untuk berada dan tinggal dengan sebaik-baiknya di asrama madrasah tersebut. Mana tidaknya! Siang hari, andainya kita ada makanan, walaupun halal, ia tetap menjadi haram. Walaupun sekadar sebiji nasi, secubit ikan, seteguk air atau sebuku roti. Semuanya ini dilakukan kerana Allah.

Amat malang sekiranya semuanya ini dilakukan tanpa disangkutkan atau dipanjatkan kepada Allah. Sebulan berlapar. Siang hari kita tidak menjamah kesemuanya, tetapi tidak dihubungkan dengan  Allah. Jadilah apa yang kita buat itu sekadar nak puaskan diri sendiri semata-mata. Tak puasa takut orang kata... itu ini dan sebagainya. Maka puasalah kita. Kat mana kerana Allahnya.

Dari sudut kesihatan, Prof. Nicko Lev dalam bukunya Hungry for Healthy mengatakan, “Setiap orang harus berpuasa dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya.”

McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika, mengatakan, “Setiap orang perlu berpuasa, karena kalau tidak maka ia akan sakit. Karena racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangi daya kehidupannya. Apabila ia berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun ini terurai dari tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna, lalu keseimbangan tubuhnya akan kembali naik, dan sel-selnya kembali baru dalam waktu tidak lebih dari 20 hari setelah berhenti puasa. Pada saat itu ia merasakan daya kehidupan dan kekuatan yang tidak pernah dirasakannya sebelumnya.”

Alexis Carrel, pemenang hadiah Nobel di bidang kedokteran, dalam bukunya Man the Unknown mengatakan, “Banyaknya jenis makanan dapat melemahkan suatu fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi berdiamnya jenis-jenis kuman dalam tubuh. Fungsi tersebut adalah fungsi adaptasi terhadap jenis makanan yang sedikit…Gula pada jantung bergerak, dan bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit. Semua organ tubuh mengeluarkan zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesehatan jantung. Puasa benar-benar membersihkan dan pengganti jaringan tubuh kita.”

Sihat dan sakit adalah dua situasi yang telah difitrahkan oleh Allah kepada manusia. Ada sihat mesti ada sakit. Andainya berkesempatan, pergilah ke hospital, klinik-klinik samada swasta atau kerajaan. Ziarahilah pesakit, bersembanglah dengan mereka. Tanya apa punca penyakit yang mereka deritai, sebahagian besar dari mereka akan menjawab berpunca dari makan dan permakanan. Setelah diperiksa oleh para doktor atau jururawat, apa nasihat mereka... sudah tentu kebanyakan mereka akan  menjawab, kena berpantang, jangan makan itu dan ini. Jangan lupa makan ubat. Bila disebut berpantang ertinya menahan dirilah tu dari makan makanan tertentu. Maka bila menahan diri itu ertinya sebahagian dari agenda puasalah tu. Cuma puasa menahan diri dari semua jenis makanan dan minuman pada siang hari. Sebab itulah terdapat satu arahan kenabian yang bermakud, “Berpuasalah nescaya kamu sihat”. Walaupun hadis ini disatuskan sebagai lemah, namun melihat dari segi kemenasabahan kesihatan sememangnya amat berkaitan.

Dari segi sejarah, puasa adalah ibadat yang tertua yang pernah difardhukan  kepada umat-umat terdahulu. Kalau kita lihat dari segi ayat perintahnya pun ia merupakan suatu ibadat bersama kita dengan umat terdahulu. Lihat ayatnya:
يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183).

Ertinya kalau kita lapar dahaga, maka orang dahulu juga pernah lapar dan dahaga. Lihat ungkapan ‘kama kutiba `alal lazina min qablikum’. Ungkapan ini semacam suatu pujukan halus, bukan sahaja kamu, tetapi orang dahulu pun difardhukan juga. Setelah itu disambung lagi dengan ‘ayyaman ma`dudat’, hanya pada hari-hari tertentu sahaja. Bukan sepanjang masa. Selain dari manusia, makhluk lain juga ada masa-masa puasanya. Ayam umpamanya, akan berpuasa semasa mengeram telur untuk mempastikan suhu badan yang bersesuaian sehingga ke masa menetas. Begitulah binatang-binatang lain. Ada masa puasanya. Nah! Kalau binatang berpuasa, kita manusia pulak tak puasa, di manakah nilai kita sebagai manusia?. Sebab itu kalau kita sekadar berlapar dan berdahaga semata-mata tanpa mengambilkira kehendak dan arahan  Allah, maka kita tidak akan beroleh apa-apa.

Dari segi bulannya Ramadhan sendiri sudah mempunyai beberapa keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain. SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memetik apa yang disebut oleh  Ibn Hajar al-Haitami, pertamanya:
 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, …) [Surah al-Baqarah: 185]
Uniknya Ramadhan, ia disebut dalam al-Qur’an. Ia tidak datang secara tunggal tetapi digandingkan pula dengan ayat ‘unzila fīhi al-qur’ān’ (padanya diturunkan Al-Quran,). Gabungan inilah yang melengkapkan kemuliaan Ramadhan. Al-Syahr itu antara lain maksudnya adalah masyhur. Jika diteliti, sangat indah susunan bahasa al-Quran dalam ayat ini namun kelemahan kita yang tidak mampu menggapai keindahannya. 

Kedua sabda Nabi SAW:

مَا مَرَّ عَلَى الْمُسْلِمِينَ شَهْرٌ خَيْرٌ لَهُمْ مِنْهُ

Maksudnya: “Tidak ada bulan yang datang kepada kaum Muslimin yang lebih baik daripadanya (Ramadhan)…” [Syu’ab al-Iman, Bab Kelebihan Bulan Ramadhan, no. 3335]
Semua ganjaran dilonggokkan pada bulan Ramadhan. Inilah yang menggembirakan orang Muslim. Sebaliknya bagi orang munafik, Ramadhan adalah bulan yang tidak disukainya. Itulah dua sikap yang ditemui dalam Ramadhan.

Ketiga,  Ramadhan adalah bulan yang melengkapi tuntutan semua Rukun Islam. Nak diterima puasa kena Islam dan bukti Islam adalah pada "Syahadah." "Solat" dalam bulan Ramadhan jauh lebih banyak dan berganda pahalanya berbanding bulan lain. "Puasa" pastinya dilakukan dalam bulan Ramadhan. Kadar pembayaran "zakat" juga meningkat dalam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW pun menyebut Umrah dalam bulan Ramadhan besar ganjarannya seperti menjalankan ibadat "haji".

Selanjutnya SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyebut:

• Cabaran utama dari dulu sehingga sekarang adalah mengikut bagaimana Nabi SAW berbuka. Sangat jauh kita dengan cara Nabi SAW berbuka puasa.

• Hikmah puasa di sisi sufi adalah melaparkan orang kaya. Orang yang berada, bila hidup senang, sifat keinsanannya kurang. Begitu juga sifat ihsannya. Menurut Said Hawwa, manusia zaman kini tidak ada ‘insaniyyatul insan’ (insan/manusia yang ada sifat keinsanan).

• Hidup Nabi SAW tidak menyusahkan. Apa yang ada berbaki, itulah yang Nabi SAW makan. Bagi Nabi SAW, makan itu alat (untuk membolehkan ada tenaga untuk beribadah) sedangkan bagi kita, makan itu matlamat.

Pada penghujung Ramadhan kita juga sering diwarwarkan dengan hari raya. Suatu ketika yang dikira amat baik untuk kita renungkan bersama. Berkaitan dengan ini SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al Bakri menambah antaranya:

Hari Raya adalah fitrah manusia. Setiap orang inginkan kegembiraan. Apabila Nabi SAW sampai di Madinah, Nabi SAW lihat ada dua perayaan di sana yang diceduk daripada budaya Farsi iaitu Hari Raya Nairuz dan Mahrajan. Maka, Allah gantikan kepada umat Islam dengan dua ‘Id (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha) sebagaimana disebutkan dalam hadith.

• Dalam Islam, apabila berjaya disuruh membesarkan Allah (bertakbir). Sebagaimana kata Jabir:
عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما قال كنا إذا صعدنا كبرنا وإذا نزلنا سبحنا
“kunnā iza soʿidnā kabbirnā…” (Apabila kami naik ke atas bukit, kami bertakbir…) [Sunan al-Darimi, no. 2716, Isnadnya sahih]. Ini menunjukkan, apabila kita berada di atas (berjaya) maka jangan dilupa bahawa Allahlah yang teratas dan patut diutamakan daripada segalanya. Buangkan ego, sombong dan masukkan rasa rendah diri dalam hati. Itu falsafah takbir. 

• Firman Allah SWT:
وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “…dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” [Surah al-Baqarah: 185]. Tujuan takbir itu supaya kita sedar bahawa Allah adalah sumber kejayaan kita dan akhirnya kita akan bersyukur kepada-Nya.

• Lafaz takbir raya adalah dalam bentuk fi’l madhi (past tense) kerana hakikatnya semua kejayaan itu adalah dengan kembali kepada Allah. Natijahnya, mereka yang kembali kepada Allah itulah mereka yang faham akan tanggungjawab membela agama-Nya dan meninggikan syariat-Nya.

Akhirnya, bertanyalah kepada diri sendiri! Bagaimana cara yang kita sendiri mahu? Berpuasa mengikut kehendak sendiri atau mengikut kehendak Allah dan RasulNya? 
Sekian untuk renungan.


Artikel Penuh...

Wednesday, April 26, 2017

Apa Pentingnya Agama ( Islam) kepada kita?

S

uatu Kisah: Pernah seorang anak mengemukakan soalan di atas kepada seorang ayah. Dengan penuh sabar ayah ini melayani kerenah anak. Boleh tak hidup kita ini bebas tanpa agama. Di sini aku berhajat untuk sama berkongsi kisah tersebut.
Anak: Ayah! Kenapa kita perlu beragama dan apa pentingnya agama bagi kita? (Soalannya ringkas tetapi memerlukan kesabaran yang tinggi dan kreativiti yang pelbagai untuk menjawabnya).


Ayah: Agama adalah satu keperluan dan satu kemestian, soalannya kenapa?
Kerana dengan adanya agama hidup kita teratur. Di antaranya agama mengajar kita cara makan dan minum, cara kita berpakaian, cara kita bermasyarakat, cara kita menyelesaikan seribu satu macam masalah hidup dari kita bangun pagi sampai kepada tidur pula pada malamnya, ajar kita cara beribadat dan kenal Tuhan pencipta manusia. Kita tahu cara dan prosedur nak sembah Tuhan. Tidak akan sembah mengikut mereka yang tidak berdisiplin. Contohnya sembahyang. Kita sembahyang ada cara dan peraturan yang tersendiri (Sekadar menyebut beberapa contoh).
 Ok, sekarang mari kita lihat satu persatu beberapa contoh di atas.
Pertama agama mengajar kita cara nak makan dan minum. Sebelum kita makan dan minum aspek yang perlu diperhatikan ialah dari segi halal dan haram. Allah, Tuhan Yang Maha Esa melalui Nabi-Nya Muhammad SAW, mengajar kita dengan arahan yang lebih kurang bermaksud:
172. Wahai orang-orang Yang beriman! makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya (al Baqarah).

31. Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu Yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat Ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang Yang melampaui batas (al A`raf).

Selain daripada aspek halal dan haram, cara makan juga diajar oleh Allah melalui Nabi-Nya SAW:
يا غلام إذا أكلت ، فسم الله ، وكل بيمينك ، وكل مما يليك فما زالت تلك طعمتي بعد .
Nak makan kena baca bismillah, baca Allahumma barik lana, guna tangan kanan, makan makanan yang berdekatan kerana keberkatan akan turun dari tengah.
Selesai makan diajar ucapan Alhamdulillah. Sekadar beberapa contoh.

Kedua ialah cara berpakaian, Mungkin kalau agama tidak datang maka kita akan pakai apa saja yang dirasakan sesuai, mungkin kita akan pakai kulit kayu dan tutup bahagian-bahagian tertentu sahaja. Kerana tidak ada agama. Peristiwa 9 Mac 2015 sebahagian warga Australia naik basikal berbogel demi alam sekitar...kenapa? Jawabnya kerana tidak ada pegangan agama. Dulu di sebuah negeri di utara negara kita, terdapat satu kumpulan yang berbogel kerana ...kenapa?
Maka bila agama datang diajar kepada kita perasaan malu, menutup aurat. Kalau tidak tentu beruk akan ketawa. Beruk ekor kat belakang, manusia ekor kat depan. Tak usah itu ayam Jepun dengan ayam kampung...Allah perkenalkan kepada kita pakaian dan kita pakai dengan cara yang sebaik-baiknya. Tak terlalu singkat sampai bercawat dan tak terlalu lebih sampai berbelit-belit. Maka itu pentingnya agama bagi kita. Lihat firman Allah  yang lebih kurang bermaksud :

26. Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian Yang berupa taqwa itulah Yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur): (al A`raf).

Ketiga, agama mengajar kita cara bermasyarakat, cara bergaul yang muda dikasihi yang tua dihormati. Cara bertegur sapa, bila berjumpa beri salam, assalamu`alaikum, dan diajar bagaimana nak jawab dan sebagainya. Senyuman, sehingga senyuman itu disebut sebagai sedekah (ada pula hari Jumaat tabung lalu hanya senyum saja). Dalam satu hadis baginda SAW bersabda:
حق المسلم على المسلم ست : إذا لقيته فسلم عليه ، وإذا دعاك فأجبه ، وإذا استنصحك فانصح له ، وإذا عطَس فحمد الله فشمته ، وإذا مرض فعده ، وإذا مات فاتبعه
"Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya ada enam: (1) Jika engkau bertemu dengannya, maka ucapkan salam, dan (2) jika dia mengundangmu maka datangilah, (3) jika dia minta nasihat kepadamu berilah nasihat, (4) jika dia bersin dan mengucapkan hamdalah maka balaslah (dengan doa: Yarhamukallah), (5) jika dia sakit maka kunjungilah, dan (6) jika dia meninggal maka antarkanlah (jenazahnya ke kuburan).” (HR. Muslim).

Keempat, dengan adanya agama kita dapat menyelesaikan seribu satu macam persoalan. Contohnya ketika kita lahir, kita dalam keadaan tak tahu apa, kemudian dijadikan pendengaran, penglihatan dan hati jantung. Ketiga-tiga ini sangat penting sebagai asas untuk hidup. Anakku suka tak jadi bodoh, tentu tak suka, maka dengan agama, kita disuruh belajar, supaya keluar dari lingkaran kebodohan dan jadi orang yang cerdik. Menuntut ilmu adalah satu kewajipan. Tak belajar berdosa dan tak keluar dari lingkaran jahil. Wajib keluar dari lingkaran jahil. Wajib bebaskan diri dari kejahilan. Maka Islam suruh kita belajar sampai setinggi yang kita mahu. Maka anak-anak yang ada di sini kena balajar setinggi mungkin... cari seorang dua dan tanya cita-cita.

Islam memecahkan persoalan yang misteri yang orang tak nampak. Yang paling mudah ialah buang air besar. Diajar baca doa masuk tandas..kenapa? Tak nampak, tapi Islam beritahu ada dua petugas yang tak pernah lari dari buat kerja dia dalam tandas. Kena baca walaupun tak nampak..kalau nampak susah pula tak jadi buang air pulak. Pernahkah sesiapa yangt nampak sesuatu dalam tandas?.

Seterusnya diajar kepada kita cara untuk hidup dari pagi hari sampai nak tidur malam dengan doa bangun tidurnya sampai ke doa masuk tidur. Kalau terkejut apa nak baca dan sebagainya. Dalam keadaan kecemasan, bagaimana, paling tidak baca apa yang patut. Tidaklah ma Rabbuka.

Dan yang paling penting ialah ajar beribadah. Ajar supaya kenal Tuhan dan Rasul-Nya. Kita tidak akan sembah benda yang mengarut. Dengan agama kita tahu kita akan hidup untuk satu hari nanti dan tidak akan mati lagi. Jadi takkanlah nak bangkit dengan tangan kosong saja, tanpa sebarang persiapan.

Alahai, demikianlah dialog santai antara seorang ayah dengan anak, mudah-mudahan perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama.

Artikel Penuh...