Wednesday, October 3, 2018

Benarkah PAS masih terkial-kial

G

elombang perubahan selepas PRU14 masih lagi terasa. Dia antaranya kerajaan baru dan kabinet baru. Ada yang pro dan ada yang kontra. PAS dan pimpinannya tidak terkecuali dalam memberi pendapat dan terkena tempias tentang perubahan terkini. Saya suka merujuk kepada kenyataan Husam, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan,  yang menyebut lebih kurang “Pas dilihat masih terkial-kial dan tidak boleh mengikut rentak suara ramai apabila memainkan isu sentimen kaum termasuk melibatkan lantikan Ketua Hakim Negara yang mempersoalkan agama dan bukan integriti....Isu yang dimainkan Pas hanya retorik memandangkan mereka seperti tidak dapat mengikuti perubahan politik semasa. Sepatutnya Pas lebih matang dan tidak mempersoalkan lantikan Ketua Hakim Negara walaupun bukan beragama Islam namun dilantik berdasarkan integriti dan tidak membangkitkan soal perkauman dan agama....Seharusnya Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan melihat isu ini bukan dari satu sudut sahaja...., Pas masih ketinggalan dan tidak boleh menerima suara ramai yang ditentukan rakyat di negara ini....Lagipun lantikan ini telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja,  jadi Pas sudah ketinggalan jika terus mainkan isu ini yang kononnya boleh jadi perlindungan pada mereka. Mereka bagaikan ketinggalan kapal apabila kita sudah belayar ke hadapan sedangkan mereka baru hendak bermula,” (Sinar Harian, 13 Julai 2018).


Sepintas lalu kenyataan di atas amat baik dan menarik, maklumlah beliau merupakan orang lama dalam politik negara. Semasa dalam PAS dulu pernah menjadi pimpinan tertinggi parti, malah pernah suatu ketika menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan. Satu pengalaman yang amat baik dan  menarik. Sebab itulah kenyataan beliau sering menjadi tumpuan kepada media. Malah penulis sendiri pernah mengagumi kehebatan beliau ketika membahaskan isu-isu semasa dalam Dewan Rakyat beberapa ketika dulu.
Kekaguman ini jugalah yang menjadikan penulis tertarik untuk mengulas kenyataan beliau berkaitan dengan PAS yang kononnya “ketinggalan kapal apabila kita sudah belayar ke hadapan sedangkan mereka baru hendak bermula,” (Sinar Harian, 13 Julai 2018). Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Penerangan PAS, Seharusnya Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan dikatakan “melihat isu ini bukan dari satu sudut sahaja...., Pas masih ketinggalan dan tidak boleh menerima suara ramai yang ditentukan rakyat di negara ini....Lagipun lantikan ini telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja jadi Pas sudah ketinggalan jika terus mainkan isu ini yang kononnya boleh jadi perlindungan pada mereka.”
Untuk mengulas isu ini, saya akan cuba membahagikan kepada beberapa aspek:
Pertama ialah mempertikaikan dari segi perlantikan tiga jawatan utama dalam bidang hundang-undang dan kehakiman negara.
Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Sham Rahayu Ab Aziz berkata, keadaan itu berlaku apabila sebelum ini tidak pernah ada jawatan-jawatan utama dalam bidang perundangan dipegang oleh kaum lain. Menurutnya, ia juga disebabkan fikrah cara berfikir yang ditonjolkan sebelum ini seolah-olah tidak berpihak kepada fikrah atau cara pandang dan berfikiran orang Islam. "Di media sosial pula ramai kata jawatan ketua hakim ini tidak boleh menentukan undang-undang, dia tidak boleh buat undang-undang tetapi saya lihat dari segi perspektif Pas, NGO Islam sebenarnya mereka bimbang dengan fikrah itu. Bagi saya amatlah wajar untuk umat Islam menonjolkan pendapat, menyuarakan kebimbangan dan keresahan kerana bukannya hanya satu jawatan semata-mata," (Sinar Harian, 13 Julai 2018).
Kebimbangan yang sama turut dilahirkan oleh Pemuda Ikatan Muslimin Malayia (Isma) melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia.... Ketua Pemuda Isma, Muhammad Farid Husin berkata, penguasaan orang bukan Islam terhadap perkara membabitkan agama Islam yang pernah menimbulkan keresahan bagi kebanyakan muslim di negara ini, bukan lagi khayalan sebaliknya telah menjadi kenyataan.
Beliau berkata, keadaan yang berlaku dalam konteks perundangan hari ini diumpamakannya seperti konsep ‘holy trinity’ dalam agama Kristian, apabila tiga posisi penting termasuk Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang kini dipegang oleh orang bukan Islam (https://www.ismaweb.net › Berita Utama).
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, berdasarkan pengalaman lalu, hampir semua Ketua Hakim dilantik dalam kalangan orang Melayu dan Islam, kecuali pada awal kemerdekaan apabila British melantik pegawai mereka daripada kalangan orang British dan bukan Melayu/Islam.
Katanya, pada awal kemerdekaan itu, pelantikan Ketua Hakim bukan dalam kalangan orang Melayu dan Islam kerana ketika itu masih dalam proses peralihan dari negara dijajah kepada negara merdeka. "Memang dari sudut Perlembagaan, tiada ketetapan pelantikan Ketua Hakim perlu dalam kalangan orang Melayu dan Islam. Namun, berdasarkan sejarah Ketua Hakim Negara dipilih dalam kalangan orang Melayu dan beragama Islam...."Ada Ketua Hakim ini dipilih dalam kalangan keluarga di Raja seperti Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah," katanya dihubungi mengulas mengenai bantahan sesetengah pihak terhadap pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim yang baharu.
Muhammad Fathi berkata, bantahan dan kebimbangan ramai terhadap pelantikan Richard kerana merasakan menjadi satu keperluan kepada seorang yang memimpin badan kehakiman perlu dilengkapi dengan ilmu asas Islam dan prinsip asas perundangan Islam atau sekurang-kurangnya mampu memahami perbandingan antara undang-undang Sivil dan Syariah.
Katanya, kebimbangan itu juga kerana dalam membuat keputusan di mahkamah, hakim perlu berhadapan dengan beberapa isu berkaitan dengan undang-undang Islam, pandangan alam dan ilmu tasawur dalam sistem perundangan Islam itu sendiri.
"Justeru, rakyat mahu melihat adalah lebih baik Ketua Hakim dipilih dalam kalangan yang beragama Islam. Isu ini jadi perhatian kerana masyarakat mempunyai satu harapan dan kesedaran untuk melihat kedudukan Islam berada tempat sewajarnya kerana Islam sebagai agama Persekutuan dan undang-undang Islam itu sebahagian dalam perundangan negara.”
Sementara itu, Setiuasaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Hasan Mad berkata, MPM tidak menyokong perlantikan Richard Malanjun kerana meragui kemampuan beliau untuk berlaku adil terhadap Islam.
Katanya, bukan soal agama orang yang dilantik ke jawatan Ketua Hakim yang dipertikaikan, tetapi rekod penghakiman yang pernah beliau buat selama ini dilihat tidak memihak kepada Islam. Contohnya dalam kes Lina Joy. Malah sebelum ini, ada calon Melayu yang pernah ditolak kerana kredibilitinya meragukan. Justeru, MPM telah bincang sesama kami dan kami tidak menyokong perlantikan beliau kerana meragui kemampuan beliau. Katanya, bukan agama orang yang dilantik ke jawatan Ketua Hakim yang dipertikaikan tetapi rekod penghakiman yang pernah beliau buat selama ini dilihat tidak memihak kepada Islam.
Sekadar memetik dua tiga sahaja pendapat, agar menjadi bahan renungan bersama, ini bererti kebimbangan PAS ini tidaklah bersendirian, kerana ianya juga dilahirkan oleh tokoh akademik, pakar perundangan malah mahaguru undang-undang UIA,  dan aktivis masyarakat. Ini bererti takwil PAS itu berasas. Jadi keresahan ini adalah keresahan umat Islam. Untuk itu boleh disebut ada kewajaran dan kemenasabahannya,  bukan  apa yang disebut sebagai “retorik memandangkan mereka (PAS) seperti tidak dapat mengikuti perubahan politik semasa” (SH. 13 Julai 2018).
Perkara yang kedua ialah kenyataan itu juga menyebut “PAS yang kononnya ketinggalan kapal apabila kita sudah belayar ke hadapan sedangkan mereka (PAS) baru hendak bermula,” (Sinar Harian, 13 Julai 2018).
Cantik dan menarik kenyataan ini. Suatu kiasan, kerajaan PH diandaikan sebuah bahtera yang sudah berlayar. Cuma sebelum ditentukan benar atau tidak bahawa PH sudah belayar atau tidak, mari kita lihat kenyataan yang ada terlebih dahulu. Betul atau tidak bahtera PH dah belayar!, kalau dah belayar bila bermulanya?. Lihat catatan berikut:
      I.        10 Mei Perdana Menteri mengangkat sumpah.
    II.        21 Mei 2018, TPM mengetuai 13 anggota kabinet mengangkat sumpah.
   III.        02 Julai 2018 13 orang lagi menteri dan timbalan menteri mengangkat sumpah.
  IV.        11 Julai 2018 perlantikan Ketua Hakim Negara, sebelumnya perlantikan Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang).
   V.        16 Julai 2018 upacara mengangkat sumpah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang. Termasuk perlantikan speaker Dewan rakyat, itupun menerima bantahan daripada ahli parlimen pembangkang.
Andaikan  kita ikuti kiasan tersebut, hanyalah 16 Julai 2018 barulah kelengkapan hendaklah dimuatkan ke dalam bahtera, itupun tersangkut, andainya speaker sebagai pemandunya, pilihan pemandunya sudah kontroversi. Namun tak apalah. Kita harap speaker dapat hidupkan enjinnya. Hanya sekadar nak panaskan enjin. Berjalan belum lagi, kerana bahtera dah lama terhenti, sudah tentu perlu dilihat di mana yang perlu diperbetulkan atau dikemaskinikan.
Untuk itu kenyataan yang PAS ketinggalan, bila sebenarnya ditinggalkan!. Bila-bila begini teringat penulis semasa zaman kanak-kanak dulu. Kami main-main naik kenderaan. Tak kiralah, kerusi ke, apa saja yang boleh dibuat mainan, kami mainkan. Cari benda bulat jadikan itu stering. Bila dah siap, startlah enjinnya. Adalah sorang yang jadi tukang bunyi enjin. Kami pun andaikanlah ianya berjalan, padahal tetap duduk setempat, tak jalan pun. Yang jalannya ialah perasaan kami sahaja. Agaknya macam tulah kot apa yang di`perasan’kan yang bahtera PH dah berlayar!.
Perkara ketiga: “Pas dilihat masih terkial-kial dan tidak boleh mengikut rentak suara ramai apabila memainkan isu sentimen kaum termasuk melibatkan lantikan Ketua Hakim Negara yang mempersoalkan agama dan bukan integriti.”
Suka kita rujuk kepada rentak suara. Andaikan ianya suatu seni, maka PH sebuah band untuk mempersembahkan suatu rentak. Sebenarnya peralatan belum lagi diletakkan. Drumnya belum ada, guitarnya entah di mana, pianonya pun belum ada. Jadi usahkan nak dikata tak boleh ikut rentak, 16 Julai 2018 baru nak diletak alatannya. Mainkan dulu barulah boleh PAS dengar rentak apa, zapin ke, asli ke atau rock ke. Masalahnya belum dimainkan lagi dah cakap kita tak boleh nak ikut rentak. Bagaimana ni sih!. Kok kebudak-budakan juga jadinya. Dan semasa perasmian Dewan, apabila YDP Agong bergurau “Sila duduk jangan lari”, mungkin juga baginda terasa bahtera ini tidak berapa nak stabil, barangkali!.Alahai terkialnya!

No comments:

Post a Comment