Tuesday, October 16, 2012

Sepagi bersama Tn. Guru Hj. Abd. Hadi Awang di MTT

D ua belas Oktober 2012, di Masjid Padang Air, selepas menunaikan solat Jumaat, penulis dengan beberapa orang teman dijemput oleh al fadhil Ustaz Haji Abu Bakar Chik untuk bersama-sama menyertai program `Sepagi Bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang’ di Ma`ahad Tahfiz wat Tarbiyyah yang akan diadakan pada keesokan harinya 13 Oktober 2012.  

Esoknya, tepat 10 pagi seperti yang diagendakan, dengan sedikit muqaddimah, pengacara dan terus mempersilakan Tuan Guru untuk menyampaikan tazkirah.

 Al Fadhil Tuan Guru memulakan dengan ayat pemilihan Ibrahim sebagai Nabi dan wasiat kepada anak cucunya yang lebih kurang bermaksud;

 130. Tidak ada orang Yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang Yang membodohkan dirinya sendiri, kerana Sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan Sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang Yang soleh Yang (tertinggi martabatnya). 
131. (ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu Wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
 132. Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat Dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu Dalam keadaan Islam".

  Penekanan diberikan kepada ayat, barangsiapa yang tidak bersetuju dengan agama Ibrahim adalah merupakan orang yang bodoh (man safiha nafsah). Selanjutnya, Allah berfirman supaya Ibrahim Islam (aslim), maka seruan itu disahut oleh Ibrahim dengan mengatakan "Aku serahkan diri (tunduk taat - Islam) kepada Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". 

Di samping itu Nabi Allah Ibrahim berwasiat kepada anak-anaknya, demikian juga Ya`kub dengan katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

 Tidak lupa al Fadhil Tuan Guru mengaitkan peristiwa yang sedang berlaku di Makkah kini, umat Islam berhimpun untuk menunaikan haji, rukun Islam yang kelima, semua perlakuan haji adalah mengambil contoh daripada apa yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim as. Satu soalan mungkin timbul ialah, kenapa kita perlu mengambil contoh daripada nabi ibrahim as, jawapannya ialah kerana pada diri Nabi Allah Ibrahim terdapat sekurang-kurangnya tiga contoh yang sangat baik untuk diambilkira, iaitu: 

• Keikhlasan yang sangat tinggi untuk menerima agama Allah 

• Baginda sanggup menghadapi apa sahaja rintangan hatta dicampak ke dalam api oleh pemerintah yang zalim ketika itu kerana melaksanakan Islam. 

 • Sanggup dihalau oleh kerajaan, meninggalkan kampung halaman, kerana Islam sehingga terpaksa berhijrah ke Palestin 

Kejayaan memiliki tiga perkara di atas, menyebabkan Allah memilih baginda menjadi pembuka kota Makkah, tempat untuk menunaikan ibadat haji, tempat untuk diletakkkan kiblat umat Islam dan tempat bakal dilahirkan Nabi Muhammad saw, nabi akhir zaman untuk menjadi nabi kepada seluruh dunia, seluruh umat manusia, sekaligus menjadi tanda berakhirnya dunia. Allah Maha Mengetahui, dengan mencipta dunia yang sebegini dan menyediakan segala kemudahan yang canggih. Cukup seorang Nabi untuk dunia akhir zaman. Allah memilih Ibrahim untuk jadi pembuka Makkah, yang sanggup berbuat apa saja yang diarahkan. Tidak ada pertanyaan yang keluar, yang mungkin membawa maksud penolakan atau keengganan menjalankan tugas dan tanggungjawab. Apa yang ada hanyalah doa supaya menjadikan Makkah sebagai tempat aman. Lihat maksudnya;


 126. Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri Yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, Iaitu orang-orang Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa Yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali". 

 Nabi Ibrahim memohon supaya Makkah dijadikan tempat yang aman, minta supaya diberikan rezeki kepada penduduknya yang beriman kepada Allah, namun Allah menjawab orang kafir pun akan diberi rezeki. Nabi Ibrahim minta supaya diberi rezeki kepada umat Islam. Ibrahim minta terhad, tetapi Allah berikan keadilannya untuk kafir dan Islam. Makkah dipilih sebagai tempat yang agung untuk melaksanakan semuanya. Ka`bah didirikan setelah selesai Ibrahim menghadapi ujian. Selepas itu Allah menamakan suku Quraisy untuk menjadi penduduk yang memakmurkan bumi Makkah. 

Dalam bahasa Arab Quraisy bermaksud `jerung’, binatang yang besar dan hebat, bebas serta hidup di lautan yang menjadi sumber kehidupannya. Watak sebegini diceritakan Allah dalam surah Quraisy yang bermaksud: 

1. Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah) 
2. (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), 
3. Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Yang Menguasai Rumah (Kaabah) ini,
 4. Tuhan Yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. 

Sifatnya (Quraisy) yang hebat dan bebas sehingga menjadi kebiasaannya “Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah),. (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). Yaman merupakan pengkalan sebelah timur yang menjadi pusat perdagangan bangsa besar di sebelah timur seperti Cina dan India, sementara Syam pula adalah pengkalan untuk anika bangsa di sebelah barat. Mereka (orang Quraisy) membeli barang bawa balik ke Makkah, sehingga jadilah Mekkah menjadi titik pertemuan, mata rantai di antara timur dan barat. 

Allah turunkan kitab kepada Nabi yang ummi, memberi mu`jizat ilmu (al Qur’an), yang menjadi sumber rujukan kepada segala-galanya meliputi kehidupan dunia dan akhirat. Ini dibuktikan dengan terbentuknya generasi awal yang berjuang bersama Nabi saw. Mereka adalah generasi yang bersih jiwa, menerima nabi yang boleh memimpin mereka. Mereka yakin kepada al Qur’an.

 Namun sebelum terbentuk generasi awalan tersebut, pelbagai ragam keraguan dikemukakan. Ada golongan yang terima Islam, tetapi mengatakan susah untuk dilaksanakan. Di antara sungutan mereka ialah, sekiranya kami ikut kamu nescaya Makkah akan disambar musuh, susah nak hidup, kalau ikut kamu kami akan jadi rosak. Padahal Allah mengingatkan dan mengajak mereka supaya menyorot latarbelakang sejarah. Sedarkah mereka, bahawa semuanya yang ada di muka bumi ini kami yang tetapkan. Kami yang berikan kehiduapan, berikan rezeki. Mereka bimbang takut kebuluran dan pelbagai masalah akan timbul. Padahal kota Makkah telah diberi rezeki sejak Nabi Ibrahim lagi. 

Ada seorang orientalis barat melihat negara umat Islam dijajah, namun katanya walaupun dijajah, selagi ada al Qur’an dan Makkah, umat Islam tidak boleh dihapuskan. Inilah hikmat al Qur’an sebagai mu`jizat dan Makkah sebagai pusat kegiatan umat Islam di dunia. Dalam sirah di peringkat awal kebangkitan Islam, kita dapati kegagalan para pemimpin Makkah memujuk Nabi saw secara lembut. Akhirnya mereka menyekat Islam daripada berkembang, sehingga Nabi saw terpaksa mencari tempat lain. 

Menyentuh soal haji, walaupun pelbagai maksiat ada di kota Makkah, namun haji tetap berjalan dari zaman berzaman. Untuk itu baginda saw terus mencari jalan bagi membentuk generasi pendukung Islam. Situasi inilah yang memggerakkan kepada beberapa pertemuan dengan beberapa kabilah Arab untuk bekerjasama demi agama Islam yang suci, antaranya; 

 • Pertama, pertemuan dengan Bani Amir yang mempunyai pengikutnya puluhan ribu, Di antara soaan yang mereka tanya ialah kalau kita menang siapa jadi pemimpin, ‘limanilmulk’. Nabi saw menjawab, ‘al mulkul lil Llah’. Bani Amir menjawab, kalau macam itu kami tak mahu. Jelasnya pertemuan ini menampakkan mereka lebih inginkan jawatan dan pangkat. Akhirnya Nabi saw terpaksa meninggalkan mereka.

 • Kedua: Bani Syaiban, yang juga mempunyai pengikut yang ramai, baginda saw mengajak mereka supaya menerima Islam. Nabi saw menyebut bahawa Allah janjikan kemenangan dan membaca ayat 58, surah an Nisa' kepada pemimpin Bani Syaibah al Muthanna bin Harithah, yang lebih kurang bermaksud;  

58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. 

Maka Muthanna berkata, ‘Ini urusan langit’. Lalu ditanya lagi apa syaratnya. Maka Nabi menyebut, ‘Syarat seterusnya ialah mengucap dua kalimah syahadah’, mereka terkejut sambil berkata,`Haza amrun tukrihuhul muluk, izan tuharibukan nas, ini urusan baik, tetapi kami bermasalah, kami mempunyai urusan peperangan dengan Farsi. Kalau sekadar orang Arab, kami boleh lawan Arab, Tetapi kami tidak sanggup melawan Farsi’. Nabi saw gembira, menandakan bahawa mereka sudah faham, cuma mereka tidak sanggup menghadapi cabaran. Tetapi Nabi tetap menjanjikan, `Apabila kamu mendengar kejayaan kami, datanglah berjumpa dengan kami, kami akan menunggu kamu.’

 • Ketiga: mengadakan perjumpaan dengan puak Aus dan Khazraj. Sebelum ini, mereka (Aus dan Khazraj) sudah mempunyai maklumat latarbelakang Nabi saw. Dalam pertemuan tersebut, jurucakap merekamenyebut, `Inilah yang kami tunggu-tunggu, kami bimbang takut terlambat.’ Hasilnya, berlakulah bai`ah pertama dan kedua. Yang penting ialah bai`ah yang kedua, bai`ah taat setia untuk sehidup semati di Aqabah, tempat yang menjadi sasaran untuk melontar dalam ibadat haji. Antara bai`ahnya ialah: 

o Berbai`ah untuk mendengar dan mentaati, menjalankan amar ma`ruf nahi mungkar, bersama-sama mempertahankan Islam, sanggup memberi sumbangan pada masa senang dan susah, sanggup menghalang musuh yang mengganggu Nabi Muhammad saw dan dengan itu Allah menjanjikan syurga(rujuk bai`ah kedua). Apabila mendengar ucapan ini, mereka bangun untuk berbai`ah; kaum lelaki berjabat tangan, sementara kaum wanita cukup sekadar ikrar kesetiaan, ada yang mengatakan mereka mencelup tangan dalam air pada satu bekas yang disediakan yang telah dicelup oleh Nabi saw sebelumnya. 

Selepas itu berlakulah hijrah...... Allah menjanjikan, Wa`adal Llahuamanu minkum berjihad layastakhlifannahum fil ardhi.... Allah janjikan keamanan, inilah yang disebut sebagai tamkin. Allazin in makannahum fil ardhi aqamus solah, Dirikan solat, bukan dirikan masjid, kerana ada yang dirikan masjid tetapi mereka tak solat.... walillahi `aqibatul umur. Menggambarkan dua bentuk wawasan, wawasan dunia dan akhirat. Sehingga kesannya:

 • Mereka sanggup mencurah arak sehingga Makkah seakan-akan banjir arak. 

• Berlaku perlantikan untuk menjalankan tugas-tugas tertentu mengikut kemampuan masing-masing.

 • Apa pun keputusan hendaklah diterima asalkan ia menguntungkan Islam, bukan menguntungkan diri sendiri. 

Itulah perkara yang penting kita kena lihat sempena dengan tibanya musim ibadat haji. Yang menjadikan manusia sama dari segi tarafnya. Sultan Muhammad al Fatih pernah tersalah pukul seorang ahli zimmah, setelah dibicarakan, baginda menerima hukuman itu dengan sepenuhnya, walaupun baginda seorang raja. Inilah ruh yang berlaku sempena ibadat haji. Persamaan manusia, tidak ada beza kaya miskin, berpangkat atau tidak. Apa yang penting ialah taqwa kepada Allah. Demikianlah yang dapat dicatatkan hasil program Sepagi Bersama Tuan Guru.

 Sekian, wassalam.

Artikel Penuh...