A
gak lama saya tidak menghubungi abang aji (Tuan Haji Harun). Namun abang aji tidak jemu-jemu menghantar sms kat saya. Seperti biasa sms abang aji dengan kata-kata yang ‘power’ dan boleh memantul HOKA dan HOKI saya. Yang terbaru abang aji menyebut, “Islam terbaik dalam segala hal, tapi sayang umatnya lemah dalam segala hal. Di mana silap? Guane weh?” , demikian bunyinya.
Hebat sekali abang aji, kenyataan tu!. Memang tidak dapat dinafikan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad saw adalah terbaik yang sering disebut sebagai ‘kamil dan mutakamil’, sempurna lagi menyempurnakan. Secara peribadi saya mengakui memang banyak hal yang disebut oleh abang aji tu boleh berlaku dan sentiasa berlaku. Ini ditambah pula bahananya dengan kelakuan di kalangan orang-orang yang belajar dan pengkhususannya dalam bidang Pendidikan Islam pun berkarekter negatif. Jadi mana satu yang boleh dicontohi!. Belajar lain, buat lain.
Bila-bila begitu saya teringat kepada salah satu hadis yang diungkapkan oleh Nabi Muhammad saw. “Keindahan Islam itu terlindung di sebalik tingkahlaku orang Islam”. Memang benar dari segi teorinya Islam, tidak ada yang mempertikaikan keindahan dan kebaikannya. Tetapi bila dilihat perangai sesetengah penganutnya, menyebabkan kita terpaksa angkat tangan dengan mengatakan benar pada kenyataan abang aji tadi. As Syahid Sayyid Qutb pernah mengungkapkan, “Saya tidak pernah melihat Islam wujud di dalam negara Islam, namun saya melihat ianya wujud dalam negara bukan Islam”. Apa ertinya ini?. Sepintas lalu mungkin kita merasakan bahawa kenyataan in agak ekstrem. Namun bila direnung secara mendalam memang terasa benar kenyataannya. Lihatlah sekarang?. Kalau berjanji siapa yang suka memungkirinya?, Kalau bercakap siapa yang selalu bohongnya?. Kalau diberi amanah, siapakah yang suka memecah amanahnya. Siapakah yang kuat makan rasuahnya?. Siapakah di antara yang tercekap dalam mengumpulkan harta secara haram?. Siapakah yang tidak dapat membebaskan diri dari semua jenis skandal seksnya sampai kepada ekonomi? Seakan-akan kita boleh mengatakan adalah diwakili oleh umat Islam. Tidak kira dari individu kecil sampai kepada yang besarnya. Malah kadangkala pada musim-musim tertentu merekalah yang menjadi perasmi majlis-majlis yang berkaitaan dengan keislaman, merekalah jaguh untuk membicarakan peribadi nabi, ajaran nabi yang perlu dicontohi. Namun hariannya kadangkala tidak terlepas dari perangai-perangai mazmumah. Saya ni bukanlah menuduh, tapi dah nampak sangat terlonggok di depan mata, dan ianya bukan menjadi rahsia lagi. Malah sudah jadi macam kelaziman pulak. Takkan nak pejamkan mata pulak. Tak kena gaya boleh jadi syaitan bisu. Namun jauh di sudut hati saya tidak pernah putus asa dengan mengharapkan apa yang diucapkan di depan rakyat jelata itu disedari dan dimuhasabah selalu.
Dari satu segi lagi, kadang kala kita juga terasa sampai bilalah mereka dengan gelagat gila ini terus bermaharajalela. Malah kalau dilihat dari segi indeks integriti, Malaysia bukanlah berada dalam lingkungan negara yang bebas dari rasuah. Kita terus merudum dari no. 25, 40, 47 dan kini ke tangga ke 56. (Siasah 21 - 27 Mac 2010), jangan lupa, semakin besar angka menunjukkan semakin parah rasuahnya.Berbanding dengan Singapura, kita kalah dari segi indeks integriti . Malah negara-negara seperti Bangladesh, Arab Saudi, pakistan adalah di antara negara yang berada dalam senarai negara-negara yang menjuarai indeks rasuah yang tertinggi.
Lihat pula angka anak haram, Berita Minggu 21 Mac 2010 melaporkan, Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang 2009.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.
Sebab itu tidaklah menghairankan, bila penyanyi Yusuf Islam (Cat Steven) pernah menyebut ‘seandainya saya melihat perangai sesetengah penganut Islam, saya tidak akan masuk Islam, tetapi apabila saya melihat Islam itu dari sudut ajarannyalah yang menyebabkan saya menganut Islam’. Alhamdulillah rupa-rupanya Yusuf Islam merupakan salah seorang dari jutaan manusia yang mampu berfikir dan membezakan di antara Islam, sebagai ajaran yang terbaik, berserta dengan tingkat-tingkat penganutnya yang pelbagai, ada yang muqarrabin, ada yang abrar ada yang masih lagi sebagai awam dan ada pula yang kadangkala melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam (kumpulan yang fasiq dan `asi).
Pada awal cuti persekolahan Mac 2010 baru-baru ini, saya sempat beberapa ketika balik Nogoghi, menziarahi mertuo den yang berado di Soromban. Alhamdulillah, Abah sihat dan masih ceria, senyum manis tidak pernah lekang menyambut ketibaan anak menantu beserta dengan cucu-cucu. Selain dari itu, Pantai Port Dickson juga menjadi salah satu tempat tumpuan kami, menemani anak-anak yang merindui suasana lautnya yang tidak segarang musim-musim tertentu di Pantai Timur. Hari itu agak sederhana, pengunjungnya tidaklah begitu ramai. Untuk mempastikan program santai kami lebih ceria dan selesa sambil menemani anak-anak yang bermandi manda, kami menyewa sebuah khemah dengan harga RM 20.00. Alhamdulillah, agak selesa. Cukup untuk keluarga kecil macam saya. Di sebelah depan telah tersedia dua buah khemah yang dihuni oleh satu keluarga yang agak besar. Melayu Islam, macam juga saya sekeluarga. Dari geraklaku dan pertuturannya, saya dapat agak dari negeri mana, tak apalah itu rahsia.
Tidak lama selepas itu berdepan dengan khemah saya dan bersebelahan dengan khemah keluarga tadi datang satu keluarga ‘mat saleh’ (warga Amerika), suami isteri dengan empat orang anak. Tidak menyewa khemah, hanya sekadar membawa sebidang tikar, dan terus menghamparkannya. Barangkali untuk merasai nikmat keperitan cahaya matahari di sekitar Nusantara yang jarang diperolehi di negaranya. Sama seperti saya, suami isterinya tidak mandi, sekadar menemani anak-anak yang galak bermandi-manda. Dalam kesibukan begitu tiba-tiba saya terlelap, dan tidak sedar bilakah keluarga Melayu Islam yang berada di depan kami berangkat balik. Apabila saya tersedar, khemah tersebut telah pun kosong dan yang tinggal hanya sampah-sampah serta sisa makanan yang sememangnya saya pasti jelas, itu adalah milik keluarga tersebut.
Tidak lama selepas itu sekumpulan pelajar UPM yang mengadakan kajian tentang alam sekitar. Untuk memenuhi keperluan salah satu kursusnya di UPM. Keluarga ‘mat saleh’ dan saya tidak terkecuali menjadi sasaran untuk ditemuramah. Di antara soalan yang dikemukakan ialah mengenai kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Saya mempunyai pandangan yang tersendiri tentang persekitaran. Contohnya oleh kerana Port Dickson berada di bawah Majlis Daerah, pihak majlis daerah perlu mempunyai beberapa tanggungjawab tertentu menjaga persekitaran, di samping menyediakan dan mempertingkatkan beberapa kemudahan awam yang tertetntu seperti bilik air, bilik persalinan, surau dan tempat-tempat bersantai yang sesuai dengan persekitaran kita di timur. Tidak ketinggalan pula dengan keperluan papan tanda yang merangsang kepada pengunjung agar sama-sama menjaga kebersihan pantai.
Apa yang menarik ialah selepas sahaja pelajar-pelajar tersebut beredar, warga Amerika tadi bertindak mengutip semua sampah yang ditinggalkan oleh keluarga Melayu Islam tadi dan memasukkannya ke dalam beg plastik, sehingga tempat yang ditinggalkan oleh keluarga Islam tadi kembali ceria seperti biasa. Selepas itu mereka kembali berada di atas tikarnya tadi. 'Terkesima' juga saya memerhatikannya. 'Orang duduk tengah panas tolong bersihkan sampah sarap yang ditinggalkan orang yang berada di tempat teduh'. Suatu bukti hidup dan nyata di depan mata lendir sendiri. Saya memerhatikan. Keluarga Melayu Islam yang sedia diasuh dengan konsep toharah, kebersihan sejak kecil, membiarkan sampahnya begitu sahaja. Keluarga yang agak asing pula dengan keislamannya bertindak membersihkan dan mengamalkan konsep toharah seperti yang diajar oleh Islam.
Kalau tadi saya menyebut kata-kata As Syahid Sayyid Qutb yang beliau tidak pernah melihat Islam wujud di dalam negara Islam, namun beliau melihat ianya wujud dalam negara bukan Islam, sekarang saya melihat dengan mata lendir sendiri bahawa ada beberapa aspek Islam yang wujud dalam diri keluarga bukan Islam. Masakan tidak, mereka yang Islam meninggalkan khemah sewaan tersebut dengan sampah sarap tanpa rasa bersalah, tanpa merasakan bahawa kebersihan itu adalah sebahagian dari Iman. Sementara orang bukan Islam menjadi pembersihnya. Tidaklah saya pasti keluarga 'mat saleh' ini faham atau tidak dosa pahala. Namun mereka melakukan sesuatu yang boleh dikira berpahala, paling tidak berkebajikan.
Demikianlah halnya, bila dihubungkan dengan pertanyaan abang aji, “Islam terbaik dalam segala hal, tapi sayang umatnya lemah dalam segala hal. Di mana silap? Guane weh?” , Benarlah hadis Nabi saw menyebut, “al Islamu mahjubun bilmuslimin... Islam terlindung di sebalik tingkahlaku orang Islam. Wallahu a`lam.
Akhirnya, saya suka kemukakan beberapa persoalan untuk direnung bersama:
01. Bila disebut keindahan Islam terlindung oleh di sebalik umatnya, siapakah di antara kita yang tergolong dalam kumpulan yang menyebabkan Islam begitu cantik terlindung?.
02. Adakah saya dan anda juga terlibat menjadi orang yang menyebabkan keindahan Islam itu tidak dapat dilihat oleh orang lain?.
03. Kalau saya dan anda terlibat, apakah tindakan yang perlu dilakukan sekarang?. Takkan nak seronok dengan cara itu. Kerana menjadi penghalang kepada generasi yang mahu memahami Islam sebenarnya adalah penjenayah. Sanggupkah kita berada dalam kumpulan tersebut.
04. Kalau rasa terlibat, apakah aspek-aspek yang menyebabkan keindahan Islam itu dihalang oleh saya dan anda?. Kena carilah, kalau dah jumpa, buang penghalangnya supaya saya dan anda menjadi salah satu laluan Islam yang selamat dan kita menjadi 'Duta Allah' yang sebenarnya di muka bumi ini sebelum dijemput ke perut bumi.
Demikianlah adanya, wassalam.
Sunday, March 21, 2010
Islam yang terlindung.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment