Tuesday, March 9, 2010

Maulidur Rasul: Beberapa Perkara Yang Perlu Diambilkira (I)

B

ila membicarakan tentang 'Maulidur Rasul', beberapa soalan mungkin boleh dikemukakan di antaranya;

1. Siapa sebenarnya Nabi Muhammad itu?


i. Baginda adalah manusia pilihan Allah yang sengaja dibangkitkan, bukan secara kebetulan, tetapi berdasarkan perancangan yang sangat rapi oleh Allah, lihat firman Allah:
"Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap ummatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar) dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufik yang diberinya; dan sebagai lampu yang menerangi" (al Ahzab – 45/46).
*Catatan: Kepada sesiapa yang mampu berbahasa Arab sila lihat penjelasan ayat di atas dalam Tafsir Ibn Kathir, 3:102.

ii. Baginda merupakan manusia yang ma`sum, bukan sahaja sejak dilahirkan sampai kepada kewafatan, tetapi juga insan-insan yang dipilih untuk membawa zuriat ini juga dijaga oleh Allah daripada menyembah selain dari Allah, (termasuk bapa Nabi Ibrahim as. dikatakan khilaf. Ada ulama` mengatakan bahawa bapa Nabi Ibrahim sebenarnya ialah Tarukh, bukan Azar, dan Tarukh wafat semasa Nabi Ibrahim masih kecil, sementara Azar dikatakan bapa tiri Nabi Allah Ibrahim). Mereka semuanya beragama dengan agama ‘Hanif’. Wallahu a`lam.


2. Kenapa nama baginda saw itu menjadi sebutan dan masyhur sepanjang zaman?

i. Kerana nama baginda saw telah diisytiharkan secara rasmi oleh Allah sebelum dijadikan semua makhluk di atas muka bumi, lihat dalam satu Hadis Qudsi, Allah berfirman yang lebih kurang bermaksud: “Kalaulah tidak kerana kamu (wahai Muhammad), kalaulah tidak kerana kamu (wahai Muhammad), nescaya tidak akan aku jadikan semua makhluk di atas muka bumi ini”.

ii. Kerana ucapan ini dimasyhurkan dalam siri kenabian dan kerasulan yang sebelum baginda. Semua nabi dan rasul mengucap dua kalimah syahadah dengan ucapan yang sama seperti yang diucapkan oleh ummat Nabi Muhammad saw.

iii. Baginda sendiri pernah menyebut dalam Hadisnya yang lebih kurang bermaksud: “Aku adalah hasil dari keberkatan do`a Ibrahim dan berita gembira yang dibawa oleh Isa as”. (Sila rujuk al Baqarah:129 dan as Saf :6)

iv. Allah telah pun memperkenalkan nama baginda saw kepada makhluk yang berada di langit. Untuk lebih jelas, sila rujuk kepada peristiwa Isra’ dan Mi`raj. Di mana semuanya memberi ucap selamat dan baginda saw menjadi imam untuk solat di Baitul Maqdis.

v. Kelahiran baginda bukan sahaja dinantikan oleh manusia, malah juga oleh makhluk jin. Di antaranya, sila rujuk pertemuan baginda saw dengan jin yang bernama Hamat bin Him bin Laqis bin Iblis. Anak cucu Iblis boleh tunggu begitu lama untuk beriman dengan Nabi Muhammad saw. Amat malang bagi kita anak cucu Adam as yang menolak keimanan terhadap Nabi Muhammad saw dan nabi-nabi sebelumnya.

vi. Di kalangan tokoh-tokoh tertentu seperti Waraqah bin Naufal, Salman al Farisi dan Buhaira`, sentiasa menanti kedatangan Nabi akhir zaman ini. Untuk lebih jelas sila baca kisah Islamnya Salman al Farisi. Lihat juga tokoh Yahudi seperti Ibnul Haiban yang menjadi sebab kepada Islamnya Tha`labah bin Sa`yah, Usaid bin Sa`yah dan Asad bin Usaid. (sekadar menyebut beberapa nama dan kisah).

vii. Bersamaan dengan hampirnya masa kelahiran baginda saw, terdapat tiga keluarga yang menamakan anak dengan Muhammad antaranya Muhammad bin Sufyan at Taimi, Muhammad bin Bilal al Ausi dan Muhammad bin Himran al Juhfi dengan harapan anak mereka dipilih untuk menjadi nabi terakhir, namun takdirnya Allah memilih Muhammad bin Abdullah al Hasyimi al Quraisyi (al Husaini – Sirah al Mustofa, hal: 209).

iix. Nama baginda sebagai nabi terakhir telah pun di nyatakan dalam kitab-kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi terdahulu:

a. Taurat, Injil dan Zabur.

b. Dalam kita Dasatir dan Zend Avesta (Farsi) Sasan berkata: “Apabila orang-orang Farsi terjerumus ke dalam budi pekertiyang begitu rendah, seorang akan dilahirkan di Tanah Arab yang pengikut-pengikutnya akan membalikkan takhta kerajaan, agama dan segala harta benda mereka” (Dasatir 14).

c. Kitab Veda: “Hai sekelian manusia! Dengarkanlah berita penting ini. Nanti ada bangun seorang lelaki yang terpuji (Muhammad) di antara sekelian manusia”.

d. Bahapesiya Porana: “Pada ketika itu datanglah seorang lelaki dari penduduk tanah Arab namanya Muhammad, yang bergelar Ahmad dan dia akan mendapat penolongnya”.


3. Apakah hubungan dan sumbangan baginda Nabi saw dengan kita semua?....

i. Kelahiran baginda saw merupakan permulaan petunjuk (kebijaksanaan) dan berakhirnya kebodohan (jahiliyyah). Dalam masa dua puluh tiga tahun baginda saw berjaya membasmikan semua jenis penyembahan lain dari Allah di atas muka bumi Arab dan usaha itu diteruskan oleh para khalifah pewaris baginda.

. Untuk lebih jelas lihat pengakuan Sayyidina `Umar al Khattab, ada dua perkara di zaman jahiliyyah, pertama menggelikan hati iaitu menyembah berhala yang diperbuat daripada tamar dan memakannya ketika keputusan bekalan makanan semasa mengembara dan kedua ialah menjadikan beliau menangis, iaitu menanam anak perempuannya hidup-hidup (sekadar menyebut satu dua kisah).

. Ucapan Rub`iey bin `Amir kepada Panglima Rustum Farsi:

الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد الى عبادة الله وحده ومن ضيق الدنيا الى سعتها ومن جورالأديان الى عدل الإسلام

“Allah membangkitkan kami untuk mengeluarkan mereka yang mahu daripada menyembah sesama makhluk kepada menyembah Allah yang satu, daripada sempitnya dunia kepada keluasannya, daripada ketidakseragaman dan serba menyimpangnya agama-agama kepada keadilan Islam”

ii. Memunculkan peradaban baru yang paling baik dari Allah swt di atas muka bumi dan menghapus terus peradaban jahiliyyah sebelumnya

• Tanpa Nabi saw mungkin kita dalam suasana yang primitif tanpa peradaban dalam semua segi liha saja cara berpakaian, pergaulan, makanan mungkin kita akan buat mengikut kehendak kita, ikut apa yang terlintas, tetapi datangnya Islam, diajarnya menutup aurat, jaga batasan pergaulan, makan ikut tata susilanya lihat sabda baginda kepada Abdullah bin Abbas:

يا غلام اذا اكلت فسم الله وكل بيمينك وكل ما يليك فإن البركة تنزل من الوسط

iii. Baginda merupakan contoh manusia terbaik, termulia, terhormat, jujur, yang terpelihara dan memiliki semua sifat kesempurnaannya. Mempunyai kemampuan yang sangat tinggi dan melebihi kemampuan manusia biasa, baik dari segi ketajaman mata hati, akal budi dan daya kesabaran untuk bertindak. Untuk lebih jelas lihat kisah di bawah:

• Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya".
Setiap pagi Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah s.a.w. menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah s.a.w melakukannya hingga menjelang Nabi Muhammad s.a.w. wafat. Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan", Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah itu?", tanya Abubakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah s.a.w. selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "Siapakah kamu ?". Abubakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan!, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu. "Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abubakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah s.a.w." Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia...". Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a.

iv. Sikap baginda saw tidak pernah memaksa seseorang untuk memeluk Islam, namun mengajukan hujjah, penjelasan dan pemikiran bebas, membawa orang berfikir dan akhirnya dengan rela hati menganut Islam.

• Sila rujuk kepada peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah, Suhail bin Amru selaku Ketua delegasi Musyrikin Mekkah, bukan sahaja menolak Islam tetapi tidak mahu perkataan Muhammad Rasulullah digunakan dalam perjanjian, malah anaknya sendiri Abu Jandal yang telah memeluk Islam pun ditamparnya muka Abu Jandal di hadapan baginda saw sambil menyebut: “Hai saudara-saudaraku kaum muslimin, inilah yang pertama yang anda harus kembalikan kepada kami” (Husaini, hal. 668), Namun semasa Haji Perpisahan, Suhail inilah yang dari jauh dengan penuh penyesalan dan keinsafan, memerhati tingkahlaku baginda bertawaf, bersai`iey kemudian bercukur. Setelah baginda beredar Suhail bersendirian, dengan penuh teliti dan berhati-hati mengutip setiap helai rambut baginda saw yang mulia, kemudian sambil mengusapnya keseluruh badan, barangkali untuk menghilang rasa bersalah, keceluparan mulutnya yang menolak apa sahaja kebaikan dari Nabi saw dalam Perjanjian Hudaibiyyah tempohari.

v. Membina peradaban yang keagungannya akan tetap kekal sepanjang masa. Lihatlah contoh yang ada sekarang, semua jenis ilmu yang ada di atas muka bumi adalah hasil pancaran yang bermula dari gua Hira’:

• Kesan daripada wahyu pertama Iqra’, dan ayat-ayat seterusnya, menjadikan baginda saw tidak lagi menoleh ke belakang demi meneruskan program risalah da`wah kenabiannya sehingga kini, tanpa segan silu kita dengan penuh tawadhuk boleh menyebut, bahawa semua institusi ilmu yang ada di atas muka bumi, samada timur, barat, utara atau selatan adalah kesan lanjutan dari pancaran Iqra’ itu sendiri.
Dr. Hasan Langgulung menyebut, “...ayat pertama di Gua Hira’ kepada Rasulullah saw adalah merupakan pertanda bangkitnya suatu peradaban baru di atas permukaan bumi ini...Iqra’ menyuruh manusia membaca. Di satu pihak ‘membaca’ melibatkan proses mental yang tinggi, melibatkan proses pengenalan (cognition), ingatan (memory), pengamatan (perception), pengucapan (verbalization), pemikiran (reasoning) dayakreasi (creativity) di samping proses psikologi”. (Selanjutnya sila rujuk Pendidikan Islam: Suatu Analisa Sosial Psikologikal, hal:7-8).

Kesan pancaran wahyu ini juga kemudiannya melahirkan Imam-imam yang terkemuka dan peneroka ilmu dalam semua bidang antaranya Imam Ja`far as Sodik, imam-imam dalam empat mazhab, Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Jabir bin Hayyan (Sains), al Khawarizmi (algebra), Ibn Khaldun (sekadar menyebut beberapa nama).

vi. Baginda adalah tokoh paling berani, cerdik, cerdas yang berhati mulia, hadafnya merealisasikan nilai-nilai kemanusiaan dan sangat strategik:

• Mampu menyelesaikan permasalahan dengan cara yang sangat berhemah, perhatikan jawapan baginda semasa mengintip untuk mengetahui kekuatan pasukan musuh dengan seorang badwi sebelum berlakunya Peperangan Badar.. Bila ditanya oleh badwi kamu dari mana?, baginda menjawab, “Ji`na minal ma’ (Kami datang dari air)” . Sila cari maksud sebenarnya di sebalik jawapan Rasulullah saw.

vii. Baginda telah memunculkan umat Islam sebagai umat yang terbaik. Allah swt berfirman:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar.” (Ali Imran: 110).

1 comment:

  1. Salam ustaz

    Terima kasih atas entri yang cukup bermanfaat ini. Saya juga tertarik semasa ustaz menyampaikannya pada sambutan maulidur rasul di ipg tempoh hari.

    ReplyDelete