Wednesday, February 17, 2010

Al Mandili (II)

S

etelah melihat secara keseluruhan apa yang dinukilkan oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al Mandili, penulis suka mengutarakan pula beberapa perkara yang berkaitan dengan ikhlas. Mungkin dalam hal ini penulis secara peribadi memohon keampunan daripada Allah dan juga kepada al Mandili kerana tidak membelek naskhah ini mengikut turutan, tetapi mengikut tajuk. Ini ialah kerana kebetulan dalam kuliah-kuliah penulis di masjid dan surau sering membicarakan mengenai ikhlas. Dan semasa mencari bahan rujukannya kitab ini menjadi salah satu sasaran bahan rujukan penulis, maka tajuk ini terpaksa didahulukan.

Secara yang halus, serta berhati-hati al Mandili memulakan pembicaraan mengenai ikhlas dengan menyebut, “Ketahui olehmu bahawasanya
ikhlas itu menunggalkan Allah Ta`ala pada segala taat dan qasad; iaitu bahawa
menghendaki ia dengan taatnya itu akan semata-mata menuntut hampir kepada Allah, tiada akan sesuatu yang lain daripadanya. Contohnya; seperti puji manusia dan harta benda dan dimuliakan dan lainnya daripada segala tujuan dunia”
(hal, 83-84).

Dalam keadaan kemampuan yang serba terbatas dapat penulis fahami, bila disebut ikhlas bererti segala jenis urusan yang dibuat hendaklah bebas dari sebarang kerana yang lain daripada Allah. Mempastikan segala bentuk kerja buat, tumpuan niat dan rasionalnya janganlah terkeluar dari dikeranakan kepada Allah. Ini adalah pesanan utama yang perlu dipatuhi ketika kita hendak melakukan semua kerja, samada berkaiatan dengan urusan keduniaan atau keakhiratan. Kerana apabila perbuatan itu dicampurkan dengan yang lain dari Allah akan menyebabkan rosaknya amalan itu sendiri dan tidak akan mendapat inayah dan hidayah dari Allah.

Sebab itu dalam hal ini penulis amat tertarik dengan apa yang diajar oleh orang tua-tua apabila nak membuat sesuatu perkara didahulukan dengan niat, “sahaja aku sembahyang, sahaja aku puasa atau sebagainya”. Iaitu dengan memasukkan perkataan sahaja. Ertinya perbuatan itu bukan sahaja dilakukan secara bersahaja, tanpa sebarang tekanan, tetapi juga dilakukan secara sengaja, sedar dan bertanggungjawab atas segala perbuatan yang dilakukan.

Imam al Ghazali dalam Ihya’nya telah memaparkan satu kisah seorang abid yang hendak menebang pokok (Ihya` 8: 49-51) yang menjadi sembahan manusia, tetapi dilarang oleh iblis. Lihat kisahnya:

Iblis: Hendak ke mana?
Abid: Aku nak tebang pokok yang menjadi sembahan.
Iblis: Apa kaitannya dengan kamu, sepatutnya engkau tinggalkan dan tumpukan kepada perkara lain.
Abid: Ia termasuk dalam ibadahku. Iblis: Aku tidak akan membiarkan engkau memotong pokok ini. (Mereka bergumpal, abid dapat mengalahkan, namum iblis mencuba untuk menggunakan helahnya)
Iblis: Lepaskan aku supaya aku dapat terangkan sesuatu kepada engkau, (Setelah dilepaskan lalu iblis menerangkan)... Saudara, bahawa Allah Taala telah menggugurkan kewajipannya dari engkau, Ia tidak mewajibkan yang demikiannya atas engkau dan engkau sendiri tidak menyembah pokok kayu itu. Apalah urusan engkau tentang orang lain. Allah mempunyai nabi-nabinya di seluruh daerah dan muka bumi dan disuruhNya mereka memotong.
Abid; Tidak boleh, aku mesti memotongnya (mereka bergumpal dan iblis kalah, namun iblis terus merancang strategi).
Iblis: Adakah bagi engkau sesuatu yang bermanfaat, yang boleh memisahkan aku dan engkau.
Abid: Apa dia?
Iblis: Lepaskan aku supaya aku terangkan kepada engkau. (Setelah dilepaskan iblis menyambung).. engkau orang miskin, tidak mempunyai apa-apa, engkau berpegang atas manusia menanggung engkau,semoga engkau menyukai bahawa engkau dapat berbuat keutamaan kepada saudara-saudara engkau, engkau menolong tetangga engkau, engkau kenyang dan tidak memerlukan manusia lagi.
Abid: Ya.
Iblis: Kembalilah dengan urusan ini! Engkau atasku bahawa aku letakkan di sisi kepala engkau pada setiap malam dua dinar. Apabila pagi ambillah dua dinar itu. Engkau belanjakan kepada diri engkau, keluarga, engkau bersedekah kepada saudara mara engkau. Maka adalah yang demikian itu lebih bermanfaat bagi engkau dan bagi muslimin daripada memotong kayu ini yang akan ditanamkan nanti pada tempatnya. Dan tiadalah mendatangkan manfaat kepada saudara-saudara engkau yang beriman, dengan engkau memotong kayu ini”.
Abid: (berfikir, dan memang kebiasaannya ada pendakwah yang ekonominya kurang stabil, setelah berfikir sejenak ia berkata): Baiklah tuan syeikh!. Tidaklah aku ini nabi, lalu aku harus memotong kayu ini, dan Allah tidak menyuruh aku memotongnya. Dan apa yang disebut oleh syeikh tadi memang banyak manfaatnya. (Iblis bersumpah akan menunaikan janjinya.. memang janji adalah suatu perkara biasa bagi iblis, abid kembali dan malamnya tidur dengan lena sekali, besoknya dilihat ada wang dua dinar, lusa pun begitu, tulat !!!! Tidak ada.).
(Merasakan bekalannya diputuskan pada hari ketiga, dia marah, lantas diambilnya kapak untuk menebang pokok buat kali kedua.Namun ia dihalang oleh Iblis)
Iblis: Mau kemana?.
Abid: Menebang pokok.
Iblis: Engkau tidak akan sanggup berbuat demikian. Tiada jalan lagi bagi engkau berbuat demikian.
(Abid berkeras macam pertama kali tadi, namun dengan mudah dihalang dan dibanting oleh Iblis seperti burung pipit, dia jatuh dan Iblis berdiri di atas dadanya).
Iblis: Engkau mencegah diri engkau dari urusan ini atau aku sembelih engkau. (Abid tidak berdaya dan bertanya bagaimana kamu dulu kalah sekarang menang).... dulu kerana engkau marah kerana Allah (ikhlas), dan niat engkau untuk akhirat. Maka Allah menjadikan aku untuk engkau. Dan kali ini engkau sendiri dan untuk dunia. Maka aku dapat membanting engkau. (Cerita ini membenarkan firman Allah 83 Surah Sad):

قال فبعزتك لأغوينهم اجمعين إلا عبادك منهم المخلصين

Dalam satu ungkapan lain, Yahya bin Mu`az menyebut: “Keikhlasan itu membezakan amal dari kekurangannya seperti membezakan susu dari najis dan darah selama berada di dalam perut binatang” (Ihya’ 8:52). Lihat maksud firman Allah:

“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh palajaran yang mendatangkan i`tibar (membuktikan kekuasaan Allah tentang bagaimana benda-benda yang dimakan oleh bnatang ternak bertukar menjadi darahy, dari darah itulah lahir susu yang sedap rasanya dan banyak khasiatnya untu manusia), kami beri minum kepada kamu apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya”.(An Nahl: 66).


Perkara kedua disebut oleh al Mandili, “Ikhlas itu adalah satu kelakuan hati yang dipuji. Dan tiada diterima akan amal ibadat melainkan dengan dia. Firman Allah:

وما أمروا الا ليعبدوا الله مخلصين له الدين

Ertinya tiada disuruhkan akan mereka itu melainkan menyembah mereka itu akan Allah Ta`ala pada ketika membersihkan mereka itu baginya akan agama daripada syirik yang besar dan syirik yang kecil.


Dalam suatu pesanan Sayyidina Ali kw.: “Jangan kamu perihatin kerana amalan yang sedikit, tetapi yang harus perihatin ialah apakah amalan itu dapat diterima oleh Allah swt, sebab Rasulullah saw pernah bersabda kepada Mu`az bin Jabal:

أخلِصِ العمل يُجزيك منه القليل

Ikhlaskanlah amalanmu dan sudah mencukupi untukmu amalan yang sedikit - asalkan dilakukan dengan ikhlas".
(Abu Hasan Din al Hafiz, Mau`izatul Mu`minin, hal. 1339)

Al Ghazali menyebut bahawa Ikhlas (kebersihan, menjadi lawan kepada Isyrak: Penyengutuan) , mendatangkan sesuatu yang boleh mengganggu hati.

Suatu kisah: Diceritakan bahawa ada seorang lelaki berpakaian wanita, suka pergi ke tempat wanita tak kira tempat apa sekalipun, satu ketika dalam satu majlis yang dihadirinya heboh kecurian sebiji permata intan. Pemeriksaan dibuat dan pintu bilik dikunci. Sehingga sampailah giliran lelaki tersebut bersama dengan wanita yang sebelumnya. Lelaki itu berdoa kepada Allah dengan ikhlas, sekiranya terlepas dari kekejian ini, nescaya aku bertaubat dan tidak akan kembali kepada perbuatan ini lagi. Dengan takdir Allah dijumpai intan bersama wanita tersebut (Ihya’ 8:53). Terselamatlah lelaki itu, dan Allah menerima permohonan dengan sebab ikhlas do`anya.

Dalam suatu perbandingan dikatakan: “Ilmu itu benih, amal itu menanam dan air itu keikhlasan” (Ihya’ 8: 53). Maksudnya tanpa ikhlas samalah seperti pokok yang kekeringan tak ada air untuk disiram. Sesungguhnya ikhlas akan menyiram subur segala jenis amalan yang bersandarkan kepada ilmu yang dipelajari sehingga segala amalan akan tumbuh, subur dan merimbun.

Untuk menjelaskan ikhlas itu bukan milik manusia, al Mandili menyebut satu Hadis Qudsi, firman Allah:

الإخلاص سرٌّ من سرى استودعته قلبَ من احببته من عبادى

“Bermula ikhlas itu satu rahsia daripada rahsia aku. Aku simpan akan dia pada hati mereka yang aku kasih akan dia daripada segala hambaku”.

Ini bererti, manusia kena menuntut keikhlasan, kena minta dan kena berusaha supaya memperolehi keikhlasan dari Allah, dan ianya tidak boleh dijamin oleh manusia, tak boleh kata mesti seratus peratus ikhlas, kerana ikhlas adalah hak Allah. Penulis pernah mendengar satu kisah daripada mulut seorang Tok Guru, bahawa Rasulullah saw mempunyai dua helai jubah dan menawarkan satu helai sebagai hadiah kepada sesiapa yang dapat solat secara ikhlas. Tidak ada yang berani menyanggupinya kecuali Sayyidina Ali krw. Setelah selesai solat, baginda bertanya keadaan solat tersebut. Boleh atau tidak. Dengan jujur Ali memberitahu, tidak dapat. Apa yang terfikir dalam solat tadi ialah kalau-kalau dapat dua helai jubah. Demikianlah ikhlas. Namun dalam kes lain Sayyidina Ali menjadikan solat sebagai ubat bius untuk mencabut panah yang terkena pada badannya.

Dalam kitab Ihya` Imam al Ghazali membawa satu hadis nabi saw yang berbunyi:

إنما نَصََرَ اللهُ عزوجل هذه الأمةَ بضعفائها ودعوتهم وإخلاصهم وصلاتهم

"Sesungguhnya Allah menolong ummat ini dengan orang-orang lemahnya, dengan doa mereka, dengan keikhlasan mereka dan solat mereka" (Ihya’ 8, hal. 47).

Baginda Nabi saw pernah ditanya tentang ikhlas, baginda menjawab:

أن تقول ربى الله ثم تستقم كما أمرت

Dalam maksud lain ialah engkau tidak menyembah hawa nafsu dan diri engkau sendiri, dan engkau tidak menyembah selain Allah, engkau berpendirian teguh pada beribadah kepadanya" (Ihya 8:62)

Dalam satu ungkapan lain pula sebahagian ulama` salaf menyimpulkan tentang peranan niat yang boleh menentukan besar atau kecilnya balasan amalan :

رب عمل صغير تعظمه النية ورب عمل كبير تصغره النية

"Kerapkali amal yang kecil boleh menjadi besar kerana niat, dan kerapkali amal yang besar menjadi kecil kerana salah niat" (Hadis Qudsi: 260)

Selanjutnya al Mandili menyebut, “Dan ketahui olehmu bahawasanya ikhlas itu ada tiga pangkat seperti yang menyebut akan dia oleh Syaikhul Islam dalam Syarh al Qusyriyyah:

Bahawa mengerjakan hamba akan amal ibadat kerana semata-mata menjunjung perintah Allah Ta`ala, maka ikhlas ini yang lebih tinggi. Seperti membaca suratul waqi`ah, supaya memurahkan Allah Ta`ala akan rezekinya.

Ikhlas yang pertengahan iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadat kerena menuntut pahala dan kerana lari daripada siksa. Seperti membaca surah an Nas supaya dipelihara akan dia daripada waswas syaitan.

Ikhlas yang lebih rendah iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadat supaya memuliakan Allah Ta`ala akan dia di dalam dunia atau supaya selamat ia daripada kebinasaan dunia... dan barang yang lain daripada tiga pangkat itu maka tiada ikhlas, bahkan adalah riya’”
(al Mandili, hal. 86)

Imam al Ghazali menyebut: “Sebagai ubat untuk memperolehi keikhlasan ialah mematahkan kehendak hawa nafsu yang jahat, menghilangkan ketamakan harta benda, beramal semata-mata mencari bekalan di akhirat, sehingga semuanya itu dapat memperolehi kemenangan dalam jiwanya. Jikalau ini dapat dilaksanakan , keikhlasan akan menjadi mudah untuk dimiliki" (Mau`idzah: Hasan Din, hal:1342).

Al Mandili menyambung lagi dengan memetik kata-kata Imam al Ghazali Rh. dalam kitabnya al Arba`ien menyebut: “Ketahui olehmu bahawa ikhlas ada tiga rukun iaitu asal, hakikat dan kesempurnaan.

• Bermula asalnya niat (ertinya menghendaki wajah Allah), kerana padanya ikhlas.

• Dan bermula hakikatnya menafikan campuran daripada niat.

• Dan bermula kesempurnaannya (bagi ikhlas itu) ialah benar.
Dan Bahawasanya benar itu baginya enam pangkat, barangsiapa sampai ia pada sekeliannya akan pangkat sempurna, nescaya patut ia dinamakan dengan sidiq, ertinya yang banyak benar:

• Pertama - Benar pada perkataan, pada segala kelakuan. Lihat Nabi saw, dalam kes melindungi orang yang minta diselamatkan dari dibunuh.
• Kedua - Benar pada niat, dan iaitu bersih padanya oleh orang yang menyeru kepada kebajikan, ertinya tiada bercampur dengan yang menyeru kepada kejahatan. Maka jika ada padanya campuran maka sesungguhnya telah luput oleh benar pada niat, dan yang kedua ini kembali kepada ikhlas.
• Ketiga - Benar pada cita-cita, seperti mencita-cita oleh seseorang atas bersedekah, jika ada baginya harta, dan cita-cita itu terkadang dha`if lagi taraddud, dan terkadang putus lagi kuat. Maka cita-cita yang kuat yang putus itu dinamakan akan dia yang benar yang kuat.
• Keempat – Benar pada menyempurnakan cita-citanya itu. Dengan bahawa tiada menyalahi ia akan cita-citanya yang benar lagi kuat itu seperti firman Allah:
رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه
Beberapa orang lelaki yang benar oleh mereka itu akan barang yang menjanjikan mereka itu akan Allah Ta`ala atasnya (al Ahzab :23)
• Kelima – Benar pada segala pekerjaan, dengan bahawa adalah ia dengan kelakuan yang tiada menunjuk ia atas sesuatu daripada yang di dalam hatinya melainkan hatinya bersifat dengan dia. Bermula ma`nanya bersamaan di dalam dan di luar. Maka jika tiada bersamaan nescaya tiada ia benar. Bahkan terkadang adalah ia riya seperti menzahirkan khusyuk anggotanya. Dan di dalam hatinya supaya dipuji akan dia. (Mengantuk, malam tadi bertahajjud).
• Keenam – Benar pada segala amal batin. Seperti khauf dan sabar dan tawakkal. Iaitu bahawa mengetahui ia akan ma`na khauf dan raja’ dan sabar dan syukur dan tawakkal dan lain-lainnya. Serta merasai ia akan sekeliannya di dalam hati. Ertinya telah jadi segala kelakuan itu tabi`at baginya, wallahu a`lam"
(al Mandili 85-86).

Demikianlah pembicaraan al Mandili mengenai ikhlas, senang disebut, namun untuk memperolehinya bukan semudah apa yang disebut. Penulis pernah mendengar seseorang menyebut “Kalaulah kita membuat sesuatu dan disebut aku ikhlas, itu sebenarnya belum lagi ikhlas”. Wallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment