B
aru-baru ini penulis sempat menyemak kembali satu kitab yang bertajuk “at Tarbiyyatul Islamiyyah” yang diterjemahkan oleh Prof. H. Bustami A. Gani dan Johar Bahry L.I.S. dengan tajuk “Dasar-Dasar Pokok Pendidikan Islam”, hasil karya Profesor Dr. Muhammad Athiyyah al Abrasyi. Dalam catatan singkat pada muka surat awal mengenai pengarang kita boleh mengambil kesimpulan bahawa Prof. al Abrasy adalah satu nama besar dalam bidang Pendidikan Islam. Beliau merupakan seorang sarjana yang telah lama berkecimpung dalam dunia Pendidikan di Mesir, pusat-pusat ilmu pengetahuan Islam
dan terakhir sebagai Dekan di Fakulti Darul Ulum, Cairo Universiti, Cairo.
Membaca hasil karya Prof. al Abrassyi ini secara langsung menggambarkan kepada kita mengenai kehebatan tokoh ini dalam bidang Pendidikan Islam. Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan Prof. al Abrasyi merupakan seorang yang sangat mahir dan menguasai hampir keseluruhan asas, prinsip-prinsip, sejarah dan methodologi Pendidikan Islam.
Secara umumnya Prof. al Abrassyi menulis dan menyusun sebanyak enam belas tajuk mengikut keperluan semasa. Dimulakan dengan tajuk pertama iaitu; Tujuan Pendidikan Islam dan di akhiri dengan Method Umum Dalam Pengajaran.
Menyentuh tentang Tujuan Pendidikan Islam, di dalamnya pengarang membahagikan kepada lima tajuk kecil dan pada permulaannya menyebut, Jiwa Pendidikan Islam adalah budi pekerti, dengan menyatakan bahawa mencapai tahap akhlak yang sempurna adalah tujuan sebenar dari pendidikan, sehinggalah menjurus kepada beberapa bidang yang diperlukan untuk mempastikan kekemasan dan kesesuaian dengan keperluan semasa masyarakat itu sendiri.
Tajuk kedua yang dipilih oleh Prof. al Abrassyi ialah tentang Pendidikan Islam sebagai suatu bidang pendidikan yang ideal dan unggul. Untuk membuktikan idealnya pendidikan Islam, beliau telah mengemukakan sebanyak tiga belas kenyataan berserta dengan bukti yang sangat jelas untuk direnung bersama. Mungkin satu soalan boleh dikemukakan kenapa Pendidikan Islam disebut sebagai pendidikan yang ideal?, di antaranya beliau menyatakan yang pertama ialah kerana wujudnya kebebasan dan demokrasi dalam pendidikan. Soalan kedua mungkin kita boleh bertanya ialah, mana contoh kebebasan dan demokrasinya?. Untuk ini Prof. al Abrassyi menyatakan antaranya ialah Islam dari dulu lagi telah membuka pintu pendidikan kepada semua, tidak kira orang kaya, miskin, tinggi atau rendahnya kedudukan sosial seseorang itu. Lihat kenyataannya, “Bila seseorang memiliki keinginan untuk belajar dan rasa cinta ilmu, keghairahan untuk mengadakan penelitianm dan perbahasan, pintu untuk belajar terbuka luas baginya, bahkan Islam mendorong supaya mereka belajar, apalagi bila seseorang itu berpembawaan cerdas” (hal. 19).
Dalam satu kenyataan lain pula disebut, "Islam ternyata telah menyemaratakan anak-anak si kaya dan si miskin dalam bidang pendidikan dan memberikan kesempatan yang sama kepada semua untuk belajar tanpa diskriminasi. Tidak seorang pun dari kaum muslimin yang mengatakan bahawa orang-orang miskin diciptakan untuk bekerja di kebun, di ladang dan di pukbrik-pubrik, sedang si kaya dijadikan untuk memerintah dan menguasai mereka dengan harta kekayaannya. Tidak seorang pun dari kaum muslimin yang mengatakan kepintaran itu hanya milik si kaya dan orang-orang kaya itu diciptakan untuk memerintah, sedang orang miskin itu adalah bodoh dan dijadikan untuk diperintah. Kepintaran dan kecerdasan adalah hibbah dari Allah yang diberikan kepada anak-anak orang miskin dan anak-anak orang kaya, bukan monopoli dari suatu kelas masyarakat. Islam telah menyamaratakan si kaya dan si miskin dalam hak belajar, memberikan kesempatan yang sesuai kepada mereka ini untuk mendapat ilmu pengetahuan" (hal. 22).
Jawapan kedua, kenapa Pendidikan Islam dikatakan ideal ialah dengan menyatakan bahawa, Pembentukan akhlak yang mulia adalah merupakan tujuan utama pendidikan Islam. Sepintas lalu mungkin kenyataan ini dilihat sebagai mengulangi tajuk besar yang pertama. Tetapi setelah diteliti satu persatu dengan secara bersahaja namun sangat tepat apabila Prof. al Abrassyi menutup bicara tajuk kecil ini dengan menyebut, “Kita dewasa ini telah memiliki perkembangan dalam pelbagai bidang ilmiyyah, kesusasteraan dan kebendaan, tetapi kita belum sampai ke tingkat rohaniyyah dan akhlak yang tinggi seperti yang pernah dicapai oleh kaum Muslimin di zaman keagungannya. Dari itu kita sesungguhnya sangat memerlukan pemikiran dalam bidang pendidikan rohani, pembentukan akhlak yang mulia, sehingga dapat menegakkan kembali keagungan dan kebesaran Islam di masa lalu” (hal. 25).
Hilangnya fokus terhadap pembentukan akhlak dan kerohanian menjadikan sistem pendidikan itu tidak tentu hala, dan manusia akan menjadikan nafsu sebagai pemusatan utama untuk kehidupannya. Dalam beberapa aspek kita seringkali terfikir, manusiakah mereka ini?. Untuk jelas sila perhatikan satu contoh berita sensasi terkini:
“Brand-Perry merancang perkahwinan bogel..Russel Brand.. pelawak Britain merancang kahwin dengan Katy Perry dalam keadaan bogel dan turut mengidam tetamu yang hadir dalam keadaan tidak ada seurat benang pun". (Kosmo 3 Feb. 2010).
Mungkin bagi mereka ini hak asasi, namun kadangkala kita boleh menyebut, lembu pun tahu malu, ekor itu adalah penutupnya. Botol kicap pun ada tudung. Alahai, inikan orang. Sejak bila kita diminta untuk menjadi makhluk yang lain dari orang?.
Jawapan ketiga mengapa dikatakan unggul, ialah menyusulnya suatu peringatan yang sangat jelas, walau setinggi mana sekalipun ilmu yang dimiliki oleh seseorang guru atau mu`allim, namun setiap kali mengajar atau berbicara dengan para murid, berbicaralah sesuai dengan akalnya.... Inilah apa yang diisyaratkan oleh al Ghazali dalam ucapannya, “Seseorang guru hendaklah membatasi dirinya dalam bicara kepada anak-anak sesuai dengan daya pengertiannya, jangan diberikan sesuatu yang tidak dapat ditangkap oleh akalnya, kerana akibatnya ia akan lari dari pelajaran atau akalnya memberontak terhadapnya”. Isyarat ini sangat sesuai dengan arahan Rasulullah s.a.w. yang menyebut:
نحن معاشر الأنبياء أمرنا أن ننزل الناس منازلهم ونكلمهم على قدر عقولهم
“Kami para nabi diperintahkan untuk menempatkan seseorang sesuai dengan posisinya dan kami berbicara dengan seseorang bersesuaian dengan kemampuan akalnya”.
Dalam suatu isyarat lain Rasulullah s.a.w menyebut:
ما أحدٌ يُحَدِّثُ قوما بحديثٍ لا تَبْلُغُهُ عقولهُم إلا كان فتنةً على بعضهم
“Tidak adalah seseorang yang menyampaikan sesuatu topik pembicaraan kepada sesuatu kaum atau golongan,dengan pembicaraan yang tidak mampu dicapai oleh akalnya, melainkan ia akan menimbulkan fitnah di kalangan mereka”. Dengan lain perkataan, bercakaplah dengan seseorang mengikut kadar kemampuan mereka. Janganlah ‘perasan’ mentang-mentang kita ni terpandang sikit, guna bahasa yang bombastik untuk orang awam.
Prinsip ini disebut oleh Prof. al Abrassyi sebagai, “satu prinsip terpenting dalam Pendidikan Islam dan termasuk pula prinsip terbaru dalam pendidikan modern. Sayugia nasihat ini ditulis dengan tulisan cahaya neon pada pintu gerbang setiap sekolah, agar anak-anak jangan diomongi dalam bahasa yang ia tidak mengerti, dan orang-orang dewasa, jangan pula dilawan bicara dengan bahasa anak-anaknya”. (hal. 25).
Keempat, beliau menyebut tentang perlunya melihat perbezaan method yang dipergunakan dalam pengajaran. Dengan memetik pesanan all Ghazali dan Ibnu Khaldun dan lain-lainnya, Prof. al Abrasyi, “bahawa cara pemikiran anak-anak yang berbeza dari cara pemikiran orang dewasa, dalam hal ini harus diperhatikan dalam mengajar...anak-anak memerlukan hal-hal yang dapat dirasa yang ada hubungannya dengan lingkungan hidupnya, bahan-bahan yang mudah dimengerti, sedang sebaliknya orang-orang dewasa dapat mengerti perkara-perkara yang abstrak dan bersesuaian dengan logik dan mantiq” (hal. 27).
Dalam pengajaran dan pembelajaran kini sering disebut tentang perlunya seseorang guru memilih dan merancang kepelbagaian pendekatan, strategi, kaedah, teknik dan aktiviti yang bersesuaian.
Demikianlah serba sedikit sebagai permulaan untuk membuka selera memahami pemikiran Pendidikan al Abrasyi. Do`akan mudah-mudahan penulis berpeluang untuk menyambung lagi tulisan ini di masa akan datang.
Wednesday, February 17, 2010
Al Abrasyi Dengan Pendidikan (I)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment