P
eluang untuk membelek-belek kembali khazanah lama, setelah bersara amatlah menyeronokkan. Di antara kitab lama yang penulis sempat dibelek dan dibaca ialah Penawar Bagi Hati, yang dicatit pada kulit, menghimpunkan dia oleh as Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutalib al Indunisi al Mandili.
Al Indunisi dinisbahkan kepada Indonesia, negara asalnya, sementara al Mandili adalah menjelaskan beliau berasal dari suku Mendailing, salah satu suku yang terdapat di Pulau Sumatera.
Naskhah jawi sederhana lama ini, setebal 100 muka surat ini yang disebut oleh Syeikh al Mandili sebagai, “Permulaan ilmu Tasawwuf, hamba himpunkan dia kerana peringatan bagi hamba sendiri dan bagi sekelian saudara-saudara yang baru belajar dan hamba namakan akan dia dengan Penawar Bagi Hati, pada menerangkan barang yang wajib dibersihkan daripadanya dan dihiasi dengan dia akan segala hati, dan hamba sebut di dalamnya akan satu pendahuluan dan tiga kitab” (al Mandili hal. 2).
Memang kalau diteliti secara umumnya ia menjelaskan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh seorang hamba Allah yang ingin melangkah ke ambang penyucian jiwa. Topik yang selalu dibincangkan dalam ilmu Tasawwuf. Ditulis dalam tiga kitab yang masing-masing mengandungi beberapa fasal dan bab tertentu. Paling penting ialah untuk mempastikan supaya hati dapat dibersihkan dari sebarang karat, noda dan dosa yang menjadi penghalang untuk bertaqarrub dengan Allah. Lihat apa yang dinuqilkan dengan penuh tertib dan sangat berhikmah, “ Ketahui olehmu bahawasanya ilmu tasawwuf itu pengetahuan yang dikehendaki dengan dia akan segala kelakuan hati, samada kelakuan yang dipuji seperti merendah diri dan sabar atau kelakuan yang dicela seperti dengki dan membesar diri” (hal. 4).
Hebat dan penuh dengan ma`na tersendiri jika dihayati. Kitab yang pertama adalah untuk menyatakan anggota tujuh iaitu mata, telinga, lidah, perut, faraj dan dua tangan serta dua kaki mengandungi tujuh fasal.
Kitab yang kedua pada menyatakan ‘Qalbu’, beberapa maksud dan rasional kenapa perlu dijaga Qalbu rohani. Di antara sebab kenapa hati (jantung!) itu perlu dijaga di antaranya ialah kerana, “Allah Ta`ala Maha mengetahui barang yang ada dalam hati kamu, maka hendaklah kita takut daripada mengetahui oleh Allah pada jantung kita akan kejahatan” (Hal. 21, lihat juga maksud ayat 51 surah al Ahzab).
Kedua kerana hati jantung merupakan pemusatan segala-galanya, tempat di mana Allah akan menilik untuk dikira segala amal yang kita lakukan. Ketiga, disebut oleh as Syeikh al Mandili bahawa jantung (hati!) adalah “Raja bagi segala anggota, dan segala anggota itu mengikut ia akan perintah rajanya” ( Hal. 21) .
Keempat, jantung (hati) itu, “Tempat taruh (menyimpan) bagi segala sifat kepujian seperti iman, ma`rifat, tawakkal, redha dan pengetahuan (ilmu), maka patut sangat bagi petaruhan yang seperti ini bahawa dipelihara akan dia daripada segala kelakuan yang dicela dan dijaga daripada seteru iaitu syaitan” (hal. 22).
Kelima, “Bahawasanya jantung (hati!) itu tempat ilham daripada malaikat dan tempat waswas bagi syaitan, lagi tempat berperang akal dan hawa nafsu, maka akal itu menyeru ia kepada kebajikan dan hawa nafsu menyeru ia kepada kejahatan, maka sayugia bahawa tiada dilalaikan daripadanya tambahan bagi kesalahan jantung itu lebih besar" (hal. 22).
Kitab kedua ini dibahagikan kepada sepuluh bab yang kesemuanya menyatakan tentang sifat-sifat dan perangai hati yang tidak baik (mazmumah), bermula dengan sangat loba terhadap makanan, loba berkata-kata, marah, dengki, kikir, sukakan kemegahan, kasihkan dunia, takabbur, `ujub hinggalah kepada riya`.
Sementara kitab ketiga pula pada menyatakan `Perangai Yang Terpuji’. Juga dibahagikan kepada sepuluh bab yang dinukil oleh al Mandili, “Dan menyebut oleh hamba di sini akan sepuluh perkara, kerana mengikut akan al Imam al Ghazali di dalam Kitab al Arba`ien iaitu taubat daripada segala dosa, takut akan Allah Ta`ala, Zuhud, Sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, kasih akan Allah, redha dengan qadha` Allah dan terakhirnya mengingati mati".
Al Mandili mengakhiri penulisannya dengan penuh tawadhu`: “Dengan kepujian Allah Ta`ala telah selesai hamba daripada menghimpun kita (Penawar Bagi Hati) pada tanggal tujuh daripada bulan Rajab tahun seribu tiga ratus tujuh puluh delapan daripada hijrah penghulu kita Nabi Muhammad sallal Llahu `ala sayyidina Muhammadin wa `ala alihi wasohbihi wasallam”. (hal.100).
Pada penulis kitab ini amat tinggi nilainya dalam rangka mendidik jiwa agar sentiasa menyedari tugas dan tanggungjawab bersesuaian dengan maksud di sebalik perutusan kita manusia sebagai hamba Allah. Semua orang perlu baca, tidak kira muda atau pun tua.
Orang muda perlu baca untuk mentarbiyyah diri agar menjadi apa yang disebut oleh Nabi saw ‘Syabbun nasya`a fi ibadatil Lah wa rajulun qalbuhu mu`allaqun bil masajid’.
Orang tua supaya dapat terus beristiqamah dengan ruku’ dan sujudnya kepada Allah. Demikianlah pesanan yang sangat baik, berhikmah dan tingginya nilai peninggalan al Mandili. Sama-sama kita menikmatinya, insya` Allah.
Tuesday, January 26, 2010
Al Mandili I
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
tQ di atas informasi ustaz.. mungkin saya akan copy untuk disebarkan kepada sahabat2 saya.. mohon kebenaran tuan guru...
ReplyDeletebicara tentang hati dan qalbu sebenarnya amat sulit untuk dimengertikan walaupun amat indah untuk dikaji..
Moga hati kita sentiasa diperlihara oleh Allah SWT.
Ok, teruskan untuk kebaikan bersama, insya` Allah.
ReplyDelete