Monday, January 25, 2010

Gaya Bebas

T

epat jam 03.40 petang Khamis 17 Disember 2009, Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Ustaz Salleh bin Jusoh bangun dan memulakan selawat dan diikuti secara beramai-ramai oleh rakan-rakan yang ada dalam Bilik Rehat Pensyarah IPG KDRI

Mahu tak mahu penulis terpaksa bangun bagi menunaikan tanggungjawab, clock out yang terakhir apabila terpaksa akur dengan usia bakal menjelang 56 tahun pada keesokan harinya 18 Disember 2009. Namun kerana negeri di sebelah Pantai Timur hari minggunya Jumaat dan Sabtu, Khamis 17 haribulan merupakan hujung minggu bagi kami.

Seperti yang dijanjikan. Memang kita manusia hanya merancang, namun Tuhan maha perancang. Rupa-rupanya hari terakhir clock out penulis bersamaan dengan hari terakhir tahun Hijrah 1430. Besoknya Jumaat adalah awal Muharram. Maka penulis boleh menyebut dengan senang hati. Sambutan tahun baru juga adalah meraikan persaraan penulis. Punyalah hebat dan sangat bererti rasanya.

Sebenarnya tarikh tersebut ialah tempoh cuti semester, walaupun begitu KDC (Kursus Dalam Cuti) tetap berjalan. Pada mulanya penulis nak diamkan saja. Namun Encik Muhammad Ngah, Pengarah IPG KDRI mintak juga penulis datang untuk upacara clock out terakhir. Apakan daya, penulis kenalah ikutlah. Untuk simpanan dan didokumentarikan katanya. Beria-ia pengarah menyebut, “Mu kena gi jugok tu, jangan dok gi, penting untuk dijadikan bahan dokumentari”. Penulis hanya mampu menyebut, “Terima kasihlah Tuan Pengarah di atas segala kera`ian ini”.

Di satu sudut lain masih penulis teringat beberapa SMS yang dihantar oleh Tuan Haji Harun Muhammad (Abang Aji) beberapa ketika dulu, bertanyakan penulis, bilakah tarikh persaraan sebenar. Sengaja penulis pendamkan tanpa sebarang jawapan, hinggalah kini. 19 Disember 2009 barulah rasa nak jawab. Kenapa?. Kerana itulah tarikh sebenar persaraan. Minta maaflah Abang Aji, agak lama soalan Abang Aji tak terjawab. Saja nak bagi abang aji suspen. Tapi tak lama. Kini dah sampai masanya. Masuk kelab YB (Yang Bersara), dulunya masa abang aji tanya, penulis masih lagi berstatus YAB (Yang Akan Bersara). Ok! Abang Aji, Puas hati tak.

Sebelumnya, pada hari Sabtu 12 Disember 2009, jam 3.00 petang JAPIM mengadakan majlis perpisahan di Hotel Primula. Dalam ucapan terakhir, penulis menyebut kepada Pengarah IPG KDRI, Timbalan, KJ dan rakan-rakan JAPIM: “Untuk pengetahuan saya tinggalkan di JAPIM seorang kakak dan beberapa orang adik. Di atas bahu anda semua terletak segala harapan yang telah dihadafkan bersama oleh JAPIM, IPG KDRI dan BPG. Mudah-mudahan segala-galanya dapat diteruskan dengan cara yang bijaksana”.

Secara tradisi di IPG KDRI JAPIM sebenarnya menjadi qudwah dan uswah bagi semua warga IPG KDRI. Nak tanya masalah al Qur’an, JAPIMlah tempatnya. Nak tanya masalah Feqah, JAPIMlah tempatnya. Nak tanya masalah sirah JAPIMlah tempatnya. Ertinya apa-apa masalah berkaitan dengan Pendidikan Islam, pastilah JAPIM menjadi sasarannya. Tradisi ini sangat cantik andainya dapat diteruskan. Penulis berdoa mudah-mudahan Allah memberi keberkatan diatas usaha ini.

Dari sudut silatur Rahim, memang dari dulu anggotanya berganding bahu persis satu keluarga dan semangat adik beradik. Untuk itu tidak salah strategi begini diteruskan sampai bila-bila. Sesuatu yang baik eloklah diteruskan. Tradisi ini telah pun diasaskan oleh orang-orang terdahulu. Demikianlah halnya.

Baru-baru baru ini penulis sempat bersembang dengan seorang dua sahabat yang sudah menjadi YB. Antara soalan yang dikemukakan ialah tak teringat ke kat tempat kerja. Tak jenguk semula ke tempat lama?. Katanya Bukan tak ingat. Tempat kita cari rezeki tetap jadi ingatan. Kalau macam tu kenapa tak jenguk-jenguk?.

Sahabat pertama menyebut:
“Memang sepatutnya kita kena jenguk jugak sekali-sekala, tempat kerja, tempat cari rezeki. Cuma bila kita ke sana, kena ingat kita ni siapa?. Kita ni orang yang sudah merdeka, dah jadi YB, tugas tidak sama dengan orang yang masih terikat dengan perjawatan. Kalau nak melepaskan rindu pun jangan sampai mengganggu mereka. Kadangkala adik-adik kita tu memang seronok dengan kunjungan kita sekali-sekala. Namun jangan berlarutan. Jangan sampai mereka serba salah. Dia orang pulak, tak layan nanti bimbang dikatakan sombong. Silap-silap layan, kuliah mereka pula melayang. Pelajar komplain pulak. Jadi kalau nak jenguk pun kenalah berpada-pada. Jangan terlalu lama, jangan sampai terganggu orang nak bekerja. Awak tu dah tak kerja, kena sedarlah diri sikit”.

Penulis: “Betul juga apa yang dikatakan tu!, jangan tak sedar diri dan kita kenalah menyedarkan diri kita siapa!”.

Sahabat kedua pula menyebut:
“Secara mudahnya ambillah apa yang pernah disabdakan oleh Rasul s.a.w. dalam maksudnya Sesungguhnya Allah suka kepada seseorang kamu yang apabila melakukan sesuatu kerja maka dilakukannya dengan bersungguh-sungguh (itqan). Apakah yang dimaksudkan dengan itqan. Maksud ‘itqan’ dalam bahasa Arab adalah melakukan sesuatu dengan penuh komitmen, kemahiran yang tinggi dan iltizam. Oleh itu, memberi tumpuan atau fokus pada setiap perkara bukan sahaja akan menjamin kecemerlangan kerja yang dilakukan, sebaliknya perbuatan itu juga mengundang kesukaan Allah pada kita. Untuk itu, senang cerita, supaya mudah faham, masa belajar, belajarlah bersungguh-sungguh, masa bekerja pula, bekerjalah bersungguh-sungguh, nanti setelah bersara, bersaralah dengan sepenuh hati, anda tidak akan menyesal”.

Ada satu lagi penulis nak tambah, iaitu, “Bila dah mati, matilah dengan bersungguh-sungguh, jangan pula minta nak hidup kembali, untuk lebih lanjut sila rujuk ayat 12 surah as Sajdah”.

Untuk mudah faham, syarahnya lebih kurang begini; semasa ditakdirkan menjadi pelajar, belajarlah dengan cara yang itqan, bersungguh-sungguh, supaya kita dapat menguasai ilmu dan kemahiran dengan sebaik-baiknya. Kerana apa yang dipelajari pasti menjadi bekal untuk bekerja. Dalam satu pesanan Sayyidina Umar al Khattab pernah menyebut yang lebih kurang bermaksud: “Belajarlah sebelum kamu dijadikan pemimpin”. Kerana masa belajar kita dilatih, dipimpin sepenuhnya untuk menjadi pekerja dan pemimpin.

Setelah bekerja, tidak ada lagi ruang untuk belajar, paling tinggi setakat mendengar saja. Maka untuk itu, tempoh kerja, bekerjalah dengan itqan, penuh amanah, dedikasi, minat dan iltizam yang tinggi, dan jangan anda merasa sebagai suatu ‘kebodohan’ seandainya anda kena datang awal, balik lewat, paling tidak mesti amanah dari segi masa, (Kecuali ada halangan dan dengan kebenaran!). Itu adalah hak masa, jangan mulut je pandai baca suratul `Asr, tapi amalannya tidak ada. Walaupun kadangkala dibuli orang, sebagai lurus bendul dan sebagainya. Jangan lupa itu adalah termasuk dalam itqan.

Sahabat tadi menyambung lagi,
“Janganlah anda berbangga sebagai orang yang cerdik, hebat, curi tulang, belum sampai masa lagi dah balik, mungkin ketua Jabatan tak tahu, tapi Allah tetap tahu, atau mintak tolong kawan rakamkan (clock in & out) masuk dan keluar anda. Wah! Bukan main hebat sendiwara anda!. Kerana bila anda bersara ia pasti akan mengganggu situasi persaraan anda. Masa-masa yang anda tipu, yang anda curi bila nak bayarnya? Setelah bersara, nak datang lagi ke pejabat, sorrylah! Nak bayar masa-masa yang telah anda curi dan tipu, sapa nak layan. Seandainya anda dah bersara, hari-hari pergi pejabat itu orang gila namanya!”.

“Sebab itu, jika anda dah tunaikan amanah dengan sebaik-baiknya, berserahlah kepada Allah, dan pohonlah keampunan di atas segala kekhilafan dan ketelanjuran, dan masa bersara, hayatilah persaraan dengan sebaik mungkin. Panjatlah kesyukuran kepada Allah yang masih lagi mengizinkan anda merasai sedikit lagi denyut nadi pemberianNya semasa anda tidak bekerja dengan Kerajaan manusia. Teruskanlah khidmat anda dengan Kerajaan Allah, kerana khidmat kita dengan Kerajaan Allah tidak akan ada tempoh persaraannya”.

Sangat menarik dan berhikmah sekali bicara dua orang sahabat ini. Pada air mukanya pun penulis dapat bayangkan sememangnya mereka berdua adalah orang yang termasuk dalam golongan itqan semasa bekerja dulu. Bayangkanlah, sekali-sekala sempat juga penulis bersembang semasa mereka bertugas dulu, merekalah yang sering memberi peringatan tentang masa, amanah, hidup dan mati. Menyebabkan pesanan keduanya sentiasa terpaku rapat dalam ingatan penulis.

Penulis sendiri merasa sangat teruja dengan persaraan ini. Pertama kerana dapat memperuntukkan masa yang sangat berkualiti terhadap Allah. Bayangkanlah selama ini, lepas solat subuh, nak duduk lama sikit atas sejadah pun sering dirasuk kebimbangan dengan urusan kerja yang menuntut segera bersedia untuk berlepas ke destinasi menjalankan tugas dan mencari rezeki. Bukanlah kata selama ni tak buat. Tapi dari segi masanya sangat terhad. Terasa sayu juga melihat masjid yang ‘terpaksa’ ditinggalkan begitu cepat pada pagi hari, seakan-akan terdengar keluhan masjid, “Cepat sekali engkau berpermisi dari perutku, tak rela ke berlama-lama di sini, agar dapat sedikit lagi keberkatan selama aku ditakdirkan menjadi rumah Allah di atas muka bumi ini!”.

Tidak dinafikan, ada di antara sahabat-sahabat kita yang mampu membahagikan masa dengan begitu baik, walaupun masih berkhidmat dalam kerjaya mereka. Tahniah!. Memang mereka ni jenis hebat orangnya. Teringat juga, kadangkala ada golongan dengan seronoknya solat berjama`ah di masjid atau surau, kita masih lagi terkebil-kebil, terkulat-kulat dengan mesyuarat. Kadangkala terpaksa minta kebenaran supaya ditangguhkan mesyuarat kerana nak solat. Hai punyalah hebat mesyuarat. Pengerusi mesyuarat jugak ada sekali sekala jenis suka mengundi, angkat tangan samada nak tangguh, supaya dapat solat sekarang atau nak teruskan mesyuarat dan lewatkan sikit solat. Bukan kata tak solat. Solat juga, tapi dah penghujung. Kalau ibarat kenduri, pergi lewat mungkin lauknya dah sejuk, atau separuh habis!. Apatah lagi solat berjama`ah sering disebut ‘kenduri ketuhanan’. Hai itulah kerja punya fasal. Malam-malam Ramadhan, ada masanya orang dapat tunaikan solat tarawikh dengan selesa, awak pulak dengan tugas-tugas rasmi yang kena selesaikan hingga ke malam. Bukan selalu. Kadangkala ada. Demikianlah amanah. Itulah halnya.

Kedua, dengan masa yang terluang sedikit sebanyak dapat juga menjeguk mak yang memang sudah berumur dan sering sakit-sakit. Penulis sedar selama ini banyak masa diberikan untuk bekerja. Kadangkala sekali-sekala menjenguk mak. Memang mak dah sedia faham suasana anaknya yang sorang ni. Tapi takkanlah dengan alasan kerja sepanjang masa. Sebab itu tempoh dah dapat bersara, kira okeylah. “Anak mak yang sorang ni akan bersaralah. Mudah-mudahan mak sedia memaafkan kekhilafan anak mak selama ni!. Kesian mak yang selama ini membesarkan anaknya, tiba masa bekerja, jarang pula nak jenguk mak!. Mak pun bukanlah nak suruh anaknya tercegat depan matanya setiap saat, paling tidak dalam satu hari tu ada jenguk kejap pun jadilah. Tenguk, tanya dah makan ke belum, apa khabar?, itu saja. Senang juga hati mak yang dah berumur ni!”.

Ketiga, dapat baca semula kitab-kitab yang diminati, yang selama ini agak terabai dan terbengkalai. Maklumlah masa bekerja dulu, pantang jumpa kitab-kitab dan buku-buku yang menarik perhatian. Beli saja. Tapi nak baca tak ada masa. Bukan apa!, kadangkala buku-buku tersebut hanya diperolehi masa pameran-pameran dan ekspo bercorak akademik sahaja, tak beli takut susah nak jumpa lain kali. Jadi beli dulu, baca kemudian. Kadangkala terpaksa penulis menyebut: “Maafkan daku wahai kitab-kitab dan buku, maafkan daku yang sangat kesuntukan masa. Kini insya` Allah adalah ruang sikit. Dapatlah dimanfaatkan sedikit”.

Begitulah halnya kita dengan suasana ilmu. Sebab itulah terdapat rangsangan dalam Islam supaya belajar dari buaian sampai ke liang lahad. Penulis amat bersetuju.

Keempat, rumah tangga kitalah, selama ni kalau ada yang itu tak kena, paip bocor ke, lampu tak nyala ke, mana-mana yang tak kemas, kira panggil tukang je, upah tukang je, janji balik kerja karang semuanya beres!. Sekarang kenalah belajar ‘repair’ sendiri, kemaskan sendiri, lagi puas hati. Mana-mana yang tak begitu mahir kena dapatlah kemahirannya. Kena belajarlah, bila lagi. Jangan nak goyang kaki saja. Itu pemalas namanya. Allah pun tak suka.

Sekali peristiwa, semasa penulis berada di perkarangan rumah, seperti biasalah, sambil baca kitab dan buku yang ada, penulis didatangi oleh seorang jurujual perabot kayu jati (Berkenderaan jenis vagon), katanya nak jual perabot kayu jati, antaranya ‘kerusi malas’. Jurujual tersebut mintak kebenaran untuk masuk dan tunjukkan produknya. Tapi penulis terpaksa menolak dengan baik, tak mahu beli. Beriya-ia benar mempelawa supaya tengok model ‘kerusi malas’, sangat cantik katanya. Bukan apa, bila disebut ‘kerusi malas’, dalam hati penulis menyebut, “Kalau aku pakai kerusi malas, nanti aku pula jadi pemalas, aku memang dah sedia malas, takut jadi lebih pemalas, buncit lagilah perut aku ni”.

Baru-baru ni, dalam satu majlis tahlil kematian jiran sekampung, penulis berjumpa dengan Tuan Haji Che Mansor Kerma, salah seorang pensyarah IPG KDRI. Lepas tahlil, sambil berbaris nak mengambil juadah yang disediakan, sempat juga beliau menyapa penulis dengan suatu pertanyaan yang biasa kepada golongan pesara: “Macam mana sekarang banyak rehat ke?”. Penulis sekadar menjawab: “Setakat ni tak ada lagi masa untuk menengung (bermenung)”. “Eh ingat nak bagi satu slot ceramah, kalau macam tu tak boleh lagi lah”. Sampuk beliau.

Memang, bagi penulis, sejak jadi YB, setakat ini masih berpada dengan agenda tersendiri. Cuma tidaklah seperti yang dijadualkan di IPG. Keseronokan membaca buku dan kitab-kitab yang ada dalam perpustakaan peribadi datang kembali. Seringkali bila terluang, ke mana-mana berjumpa dengan sahabat-sahabat, masing-masing tanya: “Apa buat sekarang?”. Selamba je penulis jawab. “Rehatlah! Dah orang bagi peluang berehat, kerja pun dah lama dah”. Mungkin juga jenis yang tanya tu memang kaki kerja, sehinggakan pelik kalau orang bersara tak kerja. Baguslah tu. Tak terfikir pulak penulis untuk membuat apa-apa kerja selain daripada empat jenis kerjaya di atas. Mudah-mudahan Allah permudahkan jalan. Allahumma Amin.

Dua minggu lepas, semasa menemani Aini Munirah (anak) untuk berjumpa dengan bekas guru-guru di SK MPKT, sekolah lamanya, penulis sempat bersembang dengan Abang Aji yang secara kebetulan ke IPG KDRI di Kedai Pak Pin (depan IPG KDRI). Alhamdulillah! Banyak kata-kata nasihat yang diberikan oleh Abang Aji untuk panduan penulis. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga penulis Abang Aji menyebut: “Tak usah dok fikir lainlah, duit dah ada, uruskan keluarga dengan baik, lebihnya masuk Tabung Haji, fikir nak pegi Makkah je lah!, inilah peluangnya kita nak beribadat sepenuhnya dengan Allah, bila lagi!”.

Terima kasihlah Abang Aji, tak jemu-jemu memberi pesanan yang sangat berguna untuk penulis. Selain itu SMS Abang Aji selalu penulis dapat, antaranya: 18 Januari 2010,

“Ramai orang bekerja untuk bekal hari tua, tapi lupa untuk bekal hari akhirat”.

Waduh! Waduh! Punyalah menyengat Abang Aji. Bukan main-main tu!. Pesanan yang pastinya diambil dari kata-kata hukama`. Ada lagi, pada 11 Januari 2010, sebelum itu Abang Aji tuliskan,

“Alangkah ruginya dunia apabila pengalaman 56 tahun tidak dirumuskan sebaik mungkin untuk tatapan umum..!”.

Dalam respon balas penulis sebut pulak.
“Hak 56 tahun Abang Aji tu bagaimana? Abang aji lagi hebat!”.
Tapi Abang Aji jawab pulak.
“Dah tulis dah, tapi untuk tatapan anak cucu je. Adik aji tu biarlah tersebar seantero dunia, lantaran kemuliaan tak dituntut dan kekayaan tak diharap cukuplah sekadar berbicara di lingkungan keluarga ... harap tuan tidak seperti hamba”.

Terlalu merendah diri rupanya Abang Aji ni, tabiklah penulis dalam hal ini. Tapi jangan lupa abang aji sebelum tu pada 9 November 2009, tahun lepas! Abang aji pernah SMSkan. “Walaupun pena itu tak berat, tapi jarang-jarang yang tahu bahawa itulah satu jihad dan ibadat, jika kena caranya”. Jadi nampaknya Abang Aji, jangan lupa. Menulis juga satu ibadat. Mudah-mudahan Abang Aji dapat memperkayakan lagi khazanah ilmu dan pengalaman dalam lautan penulisan yang ada di negara kita. Kerana ada orang menyebut: “Jika anda mahu dipanjangkan usia, menulislah. Kerana penulisan akan kekal dan dan tidak akan hancur seperti mana hancurnya pembangunan dan kehidupan. Setiap orang yang membaca hasil karya tersebut akan terus berbicara dengan penulisnya, walaupun penulisnya telah meninggal dunia”.

Tertarik juga dengan apa yang dicatatkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib al Attas: “Tanpa berlengah-lengah lagi saya membuat keputusan bahawa sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku; kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus” (Shahrom TM Sulaiman: Pembacaan dan Peningkatan Budaya Ilmu - hal. ix).

Ayuh Abang Aji, Penulis pasti banyak perkara yang dapat kita sumbangkan bersama, apatah lagi menjelang usia untuk menikmati acara renang dalam lautan luas dan lepas dengan kepelbagaian gaya bebas agar ia menjadi lebih bermakna. Mudah-mudahan Allah memberkati usaha kita semua. Allahumma Amin!.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Ustaz Ismail,
    Chek mintak maaf banyak-banyak kerana chek tak dan nak jumpa ustaz sebelum ustaz bersara. Masa cuti dan chek pun tak ingat pulak. Jamuan dulu oleh KESUMA pun chek tak boleh p. Ada halangan. Bukan tak nak rai ustaz.
    Chek teghingin nak p rumah ustaz. Nak ziarah rumah ustaz yang amat saya hormati. Selamat bersara.

    Nordin Shaari JPM

    ReplyDelete
  2. Tak apa cikgu Din, jangan ghisau, saya tak kisah, kan kita sama-sama sibuk. Kalau Cikgu Din nak datang ke rumah silakan. Saya sedia menanti, boleh kita sembang-sembang, tapi telefon dulu, takut-takut ada program, p p tengok ada ghumah je! oghangnya takdak, nanya. Okey! Selamat bertugas.

    ReplyDelete