B
aru-baru ini penulis telah membeli satu nakhah Majalah I. Bil. 90, April 2010, terbitan Syarikat Karangkraf, dan sempat membaca salah satu tajuk yang tertulis “Hasan al Banna, Tokoh Pembaharuan Islam Abad ke 20. Di dalamnya tercatat sebahagian daripada kata-kata peninggalan as Syahid Hasan al Banna yang lebih kurang berbunyi “Sebahagian besar umat Islam menginginkan akidah tanpa syariah, agama tanpa negara, kebenaran tanpa kekuatan dan perdamaian tanpa perjuangan. Apa yang diajar oleh baginda saw ialah akidah dan syariah, agama dan negara, kebenaran dan kekuatan, perdamaian dan perjuangan”.
Sangat menarik kata-kata tersebut bila direnungkan kembali, terutama bila dikatakan agama tanpa negara, kebenaran tanpa kekuatan, perdamaian tanpa perjuangan. Sekaligus menggambarkan kepada kita betapa sebahagian ummat kini telah jauh terpesong dari ajaran yang dibawa oleh baginda saw. Perkara kedua, juga menggambarkan kepada kita bahawa sebahagian umat kini amat menyenangi Islam dalam bentuk yang mudah, tanpa bersusah payah. Dengan lain perkataan kalau boleh biarlah Islam yang dianutinya itu tidak menghadapi sebarang halangan dan cabaran. Biarlah Islam itu dianuti tanpa sebarang titik peluh dan tumpah darah. Untuk itu carilah apa yang ada dalam Islam perkara-perkara yang tidak menyinggung perasaan orang. Kalau tidak susah. Senang cerita, tinggalkan apa-apa yang agak menyusahkan. Sebab itu jalan yang paling selamat, tidak usah bercakap tentang negara, tidak usah bercakap tentang politik, tidak usah bercakap tentang perjuangan.
Semasa bertugas di salah sebuah negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, penulis sendiri pernah diberi amaran sebelum memulakan satu ceramah, “Ustaz, kalau boleh ustaz bercakap tentang syurga saja, jangan cakap tentang neraka, takut orang jadi negatif. Cerita yang baik-baik sudahlah, tak usah cerita yang menakutkan.”
Dalam satu program lain, selepas ceramah, di negeri yang sama pernah juga penulis ditegur, lembut saja nadanya, “Ustaz, apa yang you sampaikan ok, Cuma kalau boleh jangan nampak sangat kePASan tu. Apa yang I lihat selalunya penceramah kita nampak sangat kePASannya tu.”
Ini adalah di antara dua kenyataan yang pernah penulis terima, sebenarnya banyak lagi, Cuma nak sebut dua saja sebagai contoh. Terkedu juga penulis dengan dua jenis kenyataan tersebut. Pertamanya disuruh sebut yang menyenangkan saja, jangan yang menakutkan, nanti jadi negatif. Keduanya di sebut kePASan. Fikir punya fikir terjumpalah penulis dengan ungkapan as Syahid Hasan al Banna tadi. Benarlah manusia kini, sebahagiannya nak cari jalan pintas, nak ambil mudah. Padahal kalaulah ada jalan pintas, sudah tentu Nabi Muhammad saw adalah orang pertama yang mengajar kita jalan pintas tersebut. Namun hingga kini penulis tak pun berjumpa dengan ayat atau hadisnya. Cuma dari segi teknikal penyampaian adalah, disebut supaya permudahkan, jangan dipayah-payahkan. Gembirakan, jangan jadikan mereka liar. Tetapi dari segi kandungan kena sampaikan semuanya tak boleh sembunyikan.
Bila dikatakan kePASan teringat juga kadangkala bila beri ceramah tu penulis sering menyebut kesyumulan Islam, termasuk agama dan negaranya. Inilah agaknya yang dikatakan kePASan. Alahai sensitifnya manusia kini. Kesiannya kat Islam. Serba tak kena. Inilah agaknya maksud apa yang pernah disebut oleh as Syahid Sayyid Qutb bahawa Islam tidak boleh bertenggek di atas pokok jahiliyyah. Selama mana ia bertenggek di atas pokok jahiliyyah, selama itulah ia akan mengancam dan mengacau program jahiliyyah tersebut. Untuk itu Islam mesti dibebaskan, biar ia berdiri sebagai agama dan negara di atas pokok Islam itu sendiri.
Bila-bila begitu penulis juga sentiasa mencari dan mencari jalan terbaik untuk memecahkan persolan ini. Akhirnya keputusan yang terdetik ialah mesti diadakan juga tajuk agama dan negara dalam mana-mana kuliah atau tazkirah di masjid. Supaya umat kini tidak buta hakikat Islam sebenarnya. Kalau tidak selamanya umat ini akan dibuai dengan keenakan agama dan negara tidak boleh bersatu, lanjutan dari fahaman yang serba pincang. Cari punya cari dalam khazanah lama, penulis berjumpa dua jilid kitab yang dikarang oleh Syaikh Abdul Hamid al Khatib yang bertajuk `Asma ar Risalat’, yang bila diterjemahkan bermaksud Ketinggian Risalah Nabi Muhammad saw.
Sangat menarik kandungan yang dimuatkan dalam kitab ini. Jilid pertama menceritakan kronologi kehidupan baginda saw dari kelahiran sampai kepada kewafatan. Sementara jilid kedua menceritakan kandungan risalah yang dibawa oleh baginda saw. Kitab ini sudah pun ada terjemahannya di dalam bahasa Indonesia, namun bahasa Malaysia penulis tak pasti. Naskah yang ada pada tangan penulis ialah cetakan pertama tahun 1976. Penulis pun dah lupa beli kat kedai buku mana. Tak kisahlah tu. Apa yang penting, Islam sebagai agama yang lengkap, sudah pasti Allah tidak akan mewafatkan nabiNya sebelum sempurna tatacara kehidupan di dunia dan akhirat.
Perlu dipaparkan di sini ialah bagaimana Syaikh Abdul Hamid al Khatib menjelaskan satu tajuk `Agama Politik’ dalam jilid kedua, halaman 374 beliau menyebut: “Politik (siyasah) menurut bahasa artinya ialah usaha memperbaiki keadaan (masyarakat) manusia, dengan memberi petunjuk kepada mereka jalan yang membawa kebahagiaan dalam masa yang dekat dan masa yang jauh ke hadapan.
Dari segi istilah ialah penelitian terhadap keadaan umum, agar berakibat baik dan mendatangkan kebahagiaan kepada negara, dan menyusun (mengatur) hubungan antara bangsa dengan bangsa, supaya orang ramai dapat hidup dengan aman dan sejahtera. Bererti secara ringkas maksud Politik Islam adalah pengurusan atas segala urusan seluruh umat Islam. Dan ini merupakan suatu kewajipan yang terbeban di atas bahu umat Islam sampai bila-bila.
Sebab itu mengikut Syaikh Abdul Hamid al Khatib, urusan politik perlu diberikan kepada orang-orang tertentu, tidak semua orang yang dapat. Ini terpulang kepada kewibawaan seseorang sesuai dengan anugerah Allah kepada mereka. Mana-mana yang tidak berwibawa perlu jadi pengikut dan penyokong untuk menjayakan program Ilahi tersebut. Dalam satu maksud hadis, baginda saw pernah menyatakan bahawa Bani Israel itu dipimpin oleh para nabi mereka (tasusuhumul ambiya’). Ini menunjukkan penting orang yang nak memimpin itu ada wibawa. Program ini bukan saja dalam bentuk membina kepimpinan negara,membina negara, malah ianya mesti berterusan dan perlu dijaga agar tidak jatuh ke tangan orang-orang yang bukan ahlinya. Lihat amaran Nabi:
إذا وسد الأمر الى غير اهله فانتظر الساعة
Selanjutnya al Fadhil Syaikh menyebut tujuan-tujuan siyasah:
• Memerdekakan manusia dari semua jenis perhambaan, kecuali kepada Allah. Tuhan yang menguasai alam ini.
• Memerangi kediktatoran iaitu kekuasaan perorangan dan menundukkan manusia mentaati akan undang-undang umum yang sudah ditetapkan Allah untuk mengatur hambanya.
• Mematuhi ulil amri (orang yang memegang tampuk pemerintahan) dengan menjalankan semua perintahnya, menurut akan semua aturan yang ditetapkan, selama perintah-perintah itu tidak bertentangan dengan undang-undang Ilahiy. Kekuasaan pemerintah perlu dibatasi dengan syarat-syarat berikut:
Bermesyuarat dengan Ahlul Hilliy wal Aqdi (Golongan yang berilmu) dalam setiap tindakan atau hukum berkaitan dengan masyarakat, seperti arahan Allah:
وأمرهم شورى بينهم (الشورى: 38)
Meminta pendapat orang-orang yang berpengalaman menurut keahlian atau pengalaman masing-masing berdasarkan firman Allah:
فسئلوا اهل الذكر ان كنتم لاتعلمون - الأنبياء: 7
Menjadikan hak seorang penguasa memilih mana-mana yang dianggap benar di antara banyak pendapat berdasarkan firman Allah:
وشاورهم فى الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله -آل عمران: 159
Untuk mempastikan segala objektif dapat dicapai dengan baik, beberapa strategi perlu diambilkira semasa melaksanakannya, di antaranya ialah:
• Menarik jiwa manusia dengan kebajikan, lunak, akhlak yang mulia berdasarkan sabda Rasul saw;
إنكم لا تَسَعُونَ الناسَ بأموالكم ولكن لِيَسَعُهُمْ منكم بَسَطُ الوجهِ وحَسَنُ الخُلُقِ
Kamu tidak akan dapat menolong semua manusia dengan hartamu, tetapi hendaklah sebahagian dari kamu menolong mereka dengan mukamu yang jernih dan perangai yang baik.
• Berusaha menjinaki musuh dan menyenangkan hati mereka dengan pelbagai cara, lihat contoh yang dilakukan oleh Rasul saw selepas peperangan Hunain, memberi harta dengan begitu besar jumlahnya yang tidak terduga kepada para muallaf Makkah. Sehingga semua orang tahu, bahawa jika Rasulullah saw memberi, baginda tidak khuatir akan jadi miskin.
• Menjaga kehormatan seseorang, sekalipun tidak seagama (menganut agama lain). Lihat sabda baginda saw:
أنزلوا الناس منازلهم, وإذا أتاكم كريمُ قومٍ فاكرِموه, وارْحَموا عزيزَ قومٍ ذَلَّ وغَنِيٍّ اِفْتَقَرَ, ومِنْ اِجْلاَلِ الله اكرامُ ذِى الشَّيْبَةِ المسلمِ
“Tempatkanlah manusia di tempat mereka, dan bila datang kepada kamu seorang yang mulia di kalangan kamumnya, hendaklah kamu muliakan dia, sayangilah bekas penguasa yang telah jatuh, bekas orang kaya yang telah jatuh miskin, dan termasuk memuliakan Allah ialah menghormati orang muslim yang sudah beruban.”
Nabi saw pernah menghamparkan serban baginda untuk dijadikan tempat duduk utusan Najran yang datang berjumpa baginda, sedangkan mereka adalah orang-orang Kristian. Dan ketika `Adiy bin Hatim at Ta`iy yang masih musyrik datang menemui baginda, dengan rela hati baginda menyerahkan bantal tempat duduknya kepada `Adiy sehingga baginda sendiri duduk tanpa bantal. Melihat keadaan itu seorang lelaki meminta izin lalu bertanya, “Apakah seorang manusia yang paling jahat itu perlu diperlakukan sebagai saudara sendiri?. Setelah ia masuk, Rasulullah mengucapkan selamat datang dan menghormatinya. Dalam hal ini Rasulullah saw pernah bersabda:
إنا لنَهُشُّ فى وجوه قومٍ وقلوبنا تلعَنُهم
“Kita sepatutnya berlaku sopan di hadapan satu kaum, sekalipun hati kita mengutuk mereka”
Dalam satu hadis lain baginda saw bersabda;
إن من شرارِ الناسِ مَن تَرَكَ اِتِِّقَاءَ أذاهُ
“Sungguh termasuk manusia yang paling jahat, orang yang meninggalkan kewaspadaan terhadap bahaya dari musuhnya.”
• Berusaha menyelesaikan permasalahan ummah dan membetulkan suasana, agar dapat membantu penyebaran agama ini dengan penuh pengertian dan ketertiban. Bukan dengan cara kekerasan atau kekasaran. Sementara bagi orang yang tidak menerima Islam, di sana Allah telah menjelaskan dengan prinsip tidak ada paksaan dalam beragama.
Dalam satu isyarat lain baginda saw menjelaskan:
أمرت أن أخاطب الناس على قدر عقولهم
“Aku diperintahkan untuk bercakap dengan manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka”
Senangnya ialah, bila akal mereka tidak mampu mempercayai ajaran Islam, untuk apa mereka dipaksa memeluk Islam?.
Pernah suatu ketika baginda saw menjenguk seorang anak Yahudi yang sedang sakit, kerana baginda mengenali anak tersebut. Sangatlah gembira anak tersebut melihat kedatangan baginda. Anak Yahudi itu sangat kagum dengan kebaikan Rasulullah saw dan kerendahan hati baginda. Lalu anak yang sedang sakit itu dengan spontan saja mengakui akan kerasulan baginda saw, serta menyatakan keislamannya.
Demikianlah serba sedikit apa yang dapat dikemukakan beberapa perkara yang berkaitan dengan fakta Siyasah Islamiyyah, yang pada penulis amatlah disayangi andainya keindahan-keindahan begini tidak dipaparkan di masjid dan di surau-surau tanahair kita. Ingatlah fakta-fakta begini sebenarnya sangat suci dan mulia. Sangat bertepatan dengan masyarakat kini yang dahaga untuk memahami Islam yang sebenar.
Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk kita sendiri mendedahkan fakta-fakta begini secara jelas agar tidak selama-lamanya Islam dan politik itu menjadi teka-teki yang tidak pernah terjawab. Cuma dari segi teknikal penyampaiannya perlulah secara yang berhikmah. Maklumlah takut terbatuk pula setengah-setengah pak imam, bilal atau jawatankuasa masjid. Manalah tahu. Kerana kadangkala setengah-setengah mereka lebih suka diajar tentang haidh, nifas dan wiladah saja. Biarpun yang menjadi pendengarnya dah putus haidh, nifas atau dah habis tempoh wiladahnya. Demikianlah halnya.
*Untuk rujukan : Sila dapatkan Buku Teori Politik Islam, oleh Dr. Dhiauddun Rais, Terjemahan:Abdul Hayyie al Kattani, juga boleh dilawati"alkattani"
Sekian, wassalam
Monday, April 19, 2010
Agama dan Negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment