Thursday, July 22, 2010

Dailog dan Anugerah yang Agung

Meneliti ayat demi ayat dalam kitab tua Kifayatul Muhtaj, nukilan Syeikh Daud bin Abdullah al Fathoni, (pada menyatakan bicara Isra’ dan Mi`raj, hal. 17 – 18) ternyata amat mengagumkan penulis. Mana tidaknya, kerana saban hari, saban tahun bila tiba bulan Rejab, kita selalu dipaparkan dengan kisah mu`jizat anugerah Allah yang agung kepada Nabi kit Muhammad saw. Namun apa yang selalu disebut oleh penceramah ialah anugerah solat sahaja. Sedangkan sebenarnya banyak lagi anugerah Allah kepada Nabi yang terakhir ini.Berikut penulis paparkan kisahnya:

“Maka ia pun lalu sujud kepada hadhratNya dan sembah, maka firmanNya Allah Subhanahu wa Ta`ala, ‘Ya Muhammad’, Maka sembahnya, ‘Labbaika’, maka firmanNya ‘Angkatlah kepalamu dan pohonkan barang yang engkau kehendak, Aku berikan’. Maka angkat Nabi saw kepalanya maka bersembah katanya:

• يا رب قد اتخذت ابراهيم خليلا وأعطيته ملكا عظيما
“Wahai Tuhan, sesungguhnya engkau telah memilih Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau telah menganugerahkannya sebuah kerajaan yang besar”

• وكلمت موسى تكليما
“Dan Engkau telah berkata-kata dengan Musa beberapa perkataan”

• وأعطيت داود ملكا عظيما وألنت له الحديد وسخرت له الجبال
“Dan Engkau telah menganugerahkan Daud sebuah kerajaan yang besar dan Engkau lembutkan baginya besi dan engkau mudahkan baginya segala bukit”

• وأعطيت يارب سليمان ملكا عظيما وسخرت له الجن والإنس والشياطين يعملون له ما يشاء وسخرت له الرياح وأعطيته ملكا لا ينبغى لأحد من بعده
“Dan Engkau beri hai Tuhanku akan Sulaiman kerajaan yang amat besar dan Engkau mudahkan baginya jin, manusia dan syaitan yang bekerja baginya barang yang dikehendakinya dan Engkau mudahkan baginya angin dan Engkau beri akan dia kerajaannya yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun selepasnya”.

• وعلمت يارب عيسى التوراة والإنجيل وجعلته يبرئ الأكمه والأبرص ويحيى الموتى بإذنك وأعذته وأمه من الشيطان الرجيم فلم يكن الشيطان عليهما سبيلا
“Dan Engkau ajarkan hai Tuhanku akan IsaTaurat dan Injil dan Engkau jadikan akan dia menghilangkan buta dan sopak dan menghidupakan yang mati dengan izin Engkau dan Engkau peliharakan dia dan ibunya daripada syaitan, maka tiada bagi syaitan atas keduanya jalan”.

Catatan: Dialog di atas menggambarkan bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang yang amat bijaksana, buktinya ialah apabila Allah swt menyuruhnya meminta sesuatu yang dikehendaki, baginda tidak meminta, melainkan memberitahu apa yang telah Allah swt anugerahkan kepada nabi-nabi sebelumnya. Berlainan dengan orang yang kurang matang, akan memohon apa sahaja yang dikehendaki. Sebab itulah apabila baginda saw tidak meminta sesuatu, akhirnya Allah menganugerahkan apa yang sepatutnya bersesuaian dengan keperluan Nabi saw sebagai Rasul akhir zaman, lihat seterusnya firman Allah:


• قد اتخذتك حبيبا وأرسلتك للناس كافة بشيرا ونذيرا
“Maka sesungguhnya telah Aku jadikan akan dikau kekasihku dan Aku utuskan akan dikau sebagai Rasul bagi semua umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran”.

• وشرحت لك صدرك ووضعت عنك وزرك ورفعت لك ذكرك
“Dan Aku lapangkan bagi kamu dada kamu dan Aku hapuskan daripada kamu dosa-dosa kamu dan Aku angkatkan bagi kamu sebutan kamu”

• وجعلت أمتك خير أمة أخرجت للناس وجعلت أمتك وسطا
“Dan Aku jadikan ummat kamu sebaik-baik ummat yang dikeluarkan bagi segala manusia dan Aku jadikan umat kamu sebagai umat pertengahan”

• وجعلت أمتك الأولون والآخرون وجعلت أمتك لا تجوز لهم خطبة ولا صلاة حتى يشهدوا أنك عبدى ورسلى
“Dan Aku jadikan umat kamu sebagai permulaan dan kesudahan dan Aku jadikan umat kamu itu tiada melalui mereka itu khutbah dan sembahyang hingga naik saksi mereka itu bahawasanya engkau hambaKu dan pesuruhKu”

• وجعلت من أمتك أقواما قلوبهم أناجيلهم فى قلوبهم
“Dan Aku jadikan daripada umat kamu mereka yang kuat hati mereka itu pengajaran di dalam hati mereka itu”

• وجعلتك أول النبيين خلقا وآخرهم بعثا
“Dan Aku jadikan akan dikau awal Nabi kejadian dan akhir Nabi bangkitnya”.

• وجعلتك أول من يقضى له يوم القيامة
“Dan Aku jadikan dikau awal mereka itu yang dihukumkan pada hari qiyamat”.

• وأعطيتك سبعا من المثانى لم أعطها نبيا قبلك
“Dan Aku berikan dikau akan tujuh ayat yang diulang-ulangi akan dia di dalam sembahyang iaitu Fatihah, tiada Ku beri akan dia satu nabi yang dahulu-dahulu daripada kamu”.

• وأعطيتك خواتيم سورة البقرة من كنز تحت العرش لم أعطها نبيا قبلك
“Dan Aku berikan dikau kesudahan surah al Baqarah daripada perbendaharaan di bawah `Arasy tiadaKu beri akan dia satu nabi yang dahulu-dahulu daripada kamu”.

• وأعطيتك ثمانية أسهم الإسلام والهجرة ولصدقة والأمر بالمعروف والنهى عن المنكر وجعلتك فاتحا وخاتما وأعطيتك لواء الحمد فآدم ومن دونه تحت لوائك
“Dan Aku berikan dikau delapan kelebihan iaitu Islam dan berpindah dan sedekah dan menyuruh dengan ma`ruf dan menegah daripada mungkar dan Aku jadikan dikau permulaan dan kesudahan dan Aku berikan dikau panji-panji kepujian, maka Adam dan lain-lainya di bawah panji-panji engkau”.

• وإنى يوم خلقت السموات والأرض قد فرضت عليك وعلى أمتك خمسين صلاة فقم بها أنت وأمتك.
“Dan bahawasanya Aku pada hari Aku jadikan tujuh petala langit dan bumi, sesungguhnya telah Aku fardhukan atas kamu dan atas umat kamu lima puluh sembahyang maka dirikanlah dengan dia kamu dan umat kamu”.

Demikianlah kisah dialog dan anugerah yang sangat agung dan tinggi nilainya bagi nabi yang terakhir dan umat hingga ke akhir zaman.

No comments:

Post a Comment