Unsur-Unsur (elemen) yang perlu ada:
At Thusi menyebut lima unsur:
1. al Ilmu yang berpandukan aqidah dan syariat yang terkandung dalam al Qur’an dan Sunnah. (Al Hujwiri menyebut ilmu kemanusiaan dan ketuhanan; suatu kualiti yang menyebabkan orang yang bodoh menjadi bijak.....pengetahuan tentang kebenaran (haqiqat) memiliki tiga tiang iaitu; pengetahuan tentang zat dan keesaan Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan pengetahuan tentang tindakan-tindakan serta kebijaksanaan Tuhan. Pengetahuan tentang syariat pula memiliki tiga tiang iaitu; al Qur’an, as Sunnah dan Ijma` .. Ali ibn Uthman al Hujwiri, hal. 24 – 25).
2. al Amal, melaksanakan ilmu-ilmu tersebut dengan amalan berpandukan sunnah Rasulullah saw tanpa terkeluar sedikitpun dari batas syariat.
3. at Tahqiq, iaitu beramal dengan ilmu yang disuruh oleh Allah Ta`ala dengan melahirkan sifat yang tegas dan mewujudkan perasaan nikmat terhadap amalan yang dilakukan. Lihat Said Hawwa dalam nawaqidhus Syahadataini.
4. al Wajd, wijdan, iaitu melahirkan perasaan cinta dan sukacita terhadap ketegasan diri dan keteguhan jiwa yang tersemat di celah-celah dinding hati dan jiwa murni. Ada perasaan yang berpunca dari kesedaran kendiri, dalaman. Dilakukan dengan sepenuh jiwa, sepenuh perasaan.
5. al Fana’, iaitu tenggelam di dalam lautan musyahadah dan pengabdian diri kepada Allah tanpa timbul sedikitpun perasaan ragu-ragu dan syak wasangka... Jelas sekali bahawa ilmu tasawwuf merupakan suatu ilmu yang menyempurnakan lagi ilmu feqah dalam aspek kebatinan seperti akhlak dan ilmu tarekat.... sekiranya kedua-dua ilmu ini tidak akan disempurnakan secara bersama, maka akan berlakulah beberapa kesalahan dan penyelewengan dalam kehidupan, kerana kedua-dua ilmu tersebut mempunyai kaitan rapat di antara satu sama lain, tidak boleh dipisahkan sama sekali. Ilmu feqah menyetakan tentang hukum hakam, manakala ilmu tasawwuf pula menyatakan tentang jalan yang praktikal untuk beramal dengan hukum-hukum tersebut (Said Hawwa, Tarbiyyatunar Ruhiyyah 56 -57 dlm. al Batnani, 89).
Berkata Junaid lagi:
وطريقتُنا مشيَّدةٌ بالكتاب والسنة
“Dan jalan kami terikat dengan al Qur’an dan as Sunnah”, berdasarkan kata-kata ini, maka Syeikh Abdul Whab as Sya`rani dalam kitabnya Tanbih al Mughtarrin meletakkan dua asas akhlak utama yang terawal tentang akhlak golongan salaf iaitu:
1. Melazimi al Qur’an dan Sunnah sebagaimana lazimnya bayang bagi zat seseorang.
2. Terhentinya generasi salaf daripada setiap perbuatan atau kalam hingga mereka mengetahui neracanya atas al Qur’an dan Sunnah
Imam As Sayuthi (Miftahul Jannah) menambah:
أصولنا ستةُ أشياءَ التمسُّكُ بكتاب الله, والأقتداءُ بسنة رسول الله, وأكلُ الحلالِ, وكفُّ الأذَى, واجتنابُ الآثامِ, وأداءُ الحقوقِ (نظام 16)
“Usul kami ada enam perkara, iaitu;
• berpegang dengan kitab Allah,
• mengikut sunnah Nabi saw,
• makan benda-benda yang halal,
• menahan diri dari menyakiti orang lain,
• menjauhi dosa dan menunaikan kewajipan (Nidzam, hal. 15 -16).
Perkataan Tasawwuf berasal dari tiga huruf (صوف) shad: sofa’ : صفاء iaitu bersih, wau: wafa’ (وفاء) bererti penyempurnaan dan fa’ merujuk kepada fana’ (فناء) iaitu kemusnahan. Lihat Hasyiah al Amir dalam Jauharatut Tauhid:
بل التصوُّفُ أن تصفو بلا كدَرٍ وتَتْبَعَ الحقَّ والقرآنَ والدِّيناَ
وأن ترى خاشعا لله مُكْتَئِباً على ذنوبك طُولَ الدهرِ محزونا
“Bahkan tasawwuf adalah kamu bersih tanpa kekeruhan, dan kamu mengikut kebenaran al Qur’an dan perintah keagamaan, dan kamu mendapati bahawa kamu khusyuk penuh kesayuan, atas dosa-dosa kamu sepanjang zaman dalam kesedihan” (Nidzam, hal. 8).
Kepentingan Tasawwuf
1. Tasawwuf adalah disiplin ilmu bagi menjaga akhlak zahir dan hati.
2. Tasawwuf berusaha menjaga amal soleh daripada rosak.
3. Tasawwuf berusaha memperkenalkan tipu daya syaitan.
4. Tasawwuf melembutkan hati agar kebenaran lebih mudah diterima, lihat
perbandingan antara kebenaran secara kasar. Betul tapi kasar. Paling penting lihat peranan sahabat mengikut kesesuaian masing-masing (Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, Abu Zar dsb).
Barang diingat bahawa ianya bukan:
Pelarian dari masyarakat, tetapi pelarian dari tabiat masyarakat yang tidak baik, bukan mengharamkan apa yang dihalalkan Allah, tetapi menjaga yang haram jangan sampai termakan. Kadangkala daging babi terlalu jaga, tipu dan rasuah biasa. Tak kisah langsung. Sembahyang sampai biru lebam dahi-dahi, tapi buta jama`ah.
Sikap terhadap harta, lihat ayat al Qur’an mengenai harta:
“Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela. Yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya. Dia menyangka bahawa hartanya dapat mengekalkannya”.
Dalam ayat lain Allah berfirman yang lebih kurang bermaksud:
“Dan sesungguhnya dia (manusia) amat suka kepada khair (harta)”.
Dua suasana di atas, satu mencela dan satu memuji, kita lihat dari dua aspek iaitu:
• Bagaimana harta itu diperolehi.
• Bagaimana harta itu digunakan, kerana salah satu soalan di hari akhirat ialah وعن ماله من اين إكتسبه وفيما انفقه؟,
Sebab itu dalam satu ungkapan disebut:
محبة المال للإنفاق لا للإمساك
“Kecintaan kepada harta adalah untuk dibelanjakan, bukan untuk disimpan”, lihat juga hadis Nabi saw:
اليد العليا خير من اليد السفلى
• Jadi tasawwuf bukan membenci harta, sampai tak mahu kerja. Menyumpahi harta. Apa yang jelas ialah tiga akhlak mereka iaitu;
o Kesukaan terhadap harta bagi dibelanjakan, bukan disimpan.
o Banyak bersedekah siang dan malam.
o Kegembiraan terhadap kefaqiran dan kesempitan hidup, sebalinya sedih apabila kekayaan dan harta datang kepada mereka.
• Lihat kata-kata hikmat:
عز الدنيا بالمال, وعز الأخرة بصالح الأعمال
“Kehebatan dunia dengan harta, manakala kehebatan akhirat dengan amal soleh” (Nizam, 34 – 38).
Tidak membelakangi huru hara dunia, tidak sepatutnya karam dalam khalwatnya, dalam zawiyyahnya dengan pakaian sufinya, tidak peduli apa-apa, tidak menangkis serangan kerana merasa lazat dengan kesucian tasauf itu... membenci kerajaan, sehingga kemudiannya bala tentera mongol masuk menyerang ke negeri Islam, tidaklah ada senjata yang tajam buat penangkis. Sebenarnya dunia tidak bersalah, dunia adalah makhluk Allah. Celaan al Qur’an dan hadis terhadap dunia berbalik kepada hakikat amalan manusia. Jika manusia jahat, itulah yang dicela. Namun jika manusia baik itulah yang dipuji. Lihat firman Allah:
Kehidupan dunia mengikut al Qur’an (al Hadid 20):
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan kehidupan dunia itu tidak lain, melainkan (bawan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanam-tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (yang disediakan bagi golongsn ysng mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”.
Dunia adalah alat, macam kereta, dipandu laju membahayakan bukan salah kereta, tapi salah orang yang memandu.Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hambaNya yang taat, hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia. (Nizam, 34 – 38).
Dalam surah an-Nahl:22, dinyatakan bahawa Allah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s hasanah di atas kehidupan dunia. Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah beri kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki.
• Seorang darwisy ditanya mengapa dia mengenakan pakaian warna biru. Dia menjawab, “Rasulullah saw meninggalkan tiga perkara, iaitu kefaqiran, pengetahuan dan pedang. Pedang diambil oleh raja, yang kemudian menyalahgunakannya. Pengetahuan diambil oleh ulama’, yang merasa puas mengajarkannya semata-mata, kefaqiran dipilih oleh darwisy-darwisy yang menjadiknnya sebagai alat untuk memperkayakan diri mereka. Ku pakai warna biru sebagai lambang dukacita bagi penderitaan tiga lapis manusia ini”. (Hujwiri, hal. 60). Ertinya peranan kita mengembalikan semula ketiga-tiganya ke dalam genggaman ummat Islam.
• Junaid al Baghdadi menyebut, ‘Keluar daripada budipekerti yang tercela dan masuk kepada budipekerti yang terpuji’ (Hamka, hal. 5)
Dan dikehendaki dengan segala anggota yang zahir itu tujuh anggota, pertama mata, kedua telinga, dan ketiga lidah, dan keempat perut, dan kelima faraj dan keenam dua tangan, dan ketujuh dua kaki. Dan hendaklah engkau ingat di dalam hati engkau akan bahawasanya Allah Ta`ala telah memberi ni`mat ia akan dikau dengan beberapa ni`mat yang besar-besar, dan iaitu segala anggota engkau, yang wajib atas engkau memeliharanya dan mensyukurkannya. Maka jika tiada memelihara engkau akan dia nescaya selagi jadi saksi semuanya atas engkau pada hari kiamat, seperti firman Allah Ta`ala yang bermaksud:
(Dan pada waktu itu kami metrikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan memberitahu kami (kesalahan masing-masing), dan kami mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan (Ysin 65)
Ertinya: Pada hari kiamat mencap (cop) oleh Allah Ta`ala atas segala mulut mereka itu, ertinya menegah ia akan dia daripada bercakap, berkata-kata akan Allah Ta`ala oleh segala tangan mereka itu, dan menyaksikan oleh segala kaki mereka itu dengan barang yang ada mereka itu mengusaha akan dia di dalam dunia, maka tiap-tiap anggota bertutur ia dengan kejahatan yang keluar daripadanya.
Dan firman Allah (Fussilat 22)yang bermaksud:
(Dan semasa kamu berselindung ketika melakukan dosa di dunia dahulu bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan pengelihatan serta kulit-kulit badanmu saksi terhadap perbuatan-perbuatan dosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah mengetahui kebanyakan dosa yang telah kamu lakukan (secara bersembunyi itu).... setelah kulit-kulit mereka menjadi saksi di atas perbuatan mereka, salah sangka terhadap Tuhan).
Sayyidina Ali bin Abu Talib berkata : Sesungguhnya amalan yang paling susah dilakukan adalah 4 perkara;
• Memberi kemaafan ketika sedang marah.
• Bersifat dermawan ketika susah.
• Meninggalkan perkara haram ketika sendirian.
• Mengatakan kebenaran kepada orang yang ditakuti
“Dan tiada ada kamu dahulu di dalam dunia bersembunyi pada ketika mengerjakan kejahatan daripada menyeksikan atas kamu oleh segala telinga kamu dan segala mata kamu dan segala kulit kamu dan tiada dapat bersembunyi daripada sekelian saksi yang tersebut melainkan dengan meninggalkan segala kejahatan itu sama sekali. Kerana bahasanya tiada bercerai semuanya daripada manusia pada tiap-tiap masa dan tiap-tiap tempat selagi menyebut hamba akan tujuh fasal bagi segala anggota yang tersebut.
Wednesday, November 10, 2010
Penawar Bagi Hati 3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment