Thursday, October 2, 2014

Pembahagian Ghanimah

P

eristiwa kelima  ialah mengagihkan ghanimah hasil dari kemenangan dalam peperangan Hunain. Jumlah rampasan ialah 3,000 (6,000) tentera musuh,  24,000 ekor unta, 46,000 (40,000 biri-biri) dan 4,000 kilogram perak. Hinggakan Nabi saw disebut sebagai tokoh Quraisy yang paling banyak hartanya (Ghadhban 3, hal. 202). Walau bagaimanapun semuanya dibahagikan kepada kaum Muslimin yang berasal dari Makkah, terutamanya kumpulan yang baru menganut Islam. Antaranya Abu Sufyan sebanyak 40 kilogram perak dan 100 ekor (ada riwayat mengatakan 200)  unta, begitu juga anaknya Yazid dan Mu`awiyyah masing-masing mendapat ganjaran yang serupa. Sehingga Abu Sufyan berkata, ‘Demi ayah dan bundaku, Anda benar-benar sangat dermawan, ya Rasulullah. Saya perangi Anda selama 20 tahun dan ternyata Anda seorang musuh yang bijaksana. Lalu saya berdamai, dan saya dapati Anda sebagai seorang manusia paling mulia. Allah akan memberi Anda pahala..’. (Ghadhban, hal. 202).


Kepada Hakim bin Hizam (anak saudara Khadijah) 100 ekor, tetapi masih meminta 100 lagi dan dipenuhi oleh baginda saw.  Bagi Hakim Rasul saw bersabda, ‘Harta adalah sesuatu yang menguntungkan. Siapa yang mengembilnya dengan kemurahan hati akan dirahmati, tetapi siapa yang mengambilnya denga perasaan megah di harinya tidak akan dirahmati, dan dia bagaikan orang yang makan tetapi tidak pernah kenyang. Tangan di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, serta mulakan dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.’  Hakim menjawab, ‘Demi Tuhan yang menghantar engkau dengan kebenaran, aku tidak akan menerima apa-apa daripada sesiapa selepas engkau.’  Jawapan ini merupakan suatu tekad untuk tidak meminta-minta di masa hadapan dan beliau hanya mengambil 100 ekor unta, melepaskan tuntutan yang lain (Martin Ling/ Abu Bakar Sirajuddin, hal. 352/354, lihat juga Syeikh Munir Ghadhban 3, hal. 202).

Safwan bin Umaiyyah juga 100 ekor unta dan ditambah 100 lagi. Al Harith bin Kaladah 100 ekor unta, begitulah kepada pembesar Quraisy yang lain. Hinggakan semuanya habis, sampai ada khabar yang mengatakan, ‘Muhammad tidak takut miskin, meskipun berapa banyak yang diminta, baginda tetap memberikannya.’

Kepada Qais bin Adi, Uyainah bin Hisn al Fazari dan al Aqra’ bin Habis juga masing-masing diberikan 100 ekor unta. Abbas bin Mirdas menerima kurang dari 100 lalu dia mencela Rasul saw dengan syair-syairnya, sehingga beliau berkata ‘tutuplah mulutmya.’ Para sahabat menggenapkan bahagian Abbas menjadi 100 ekor, maka dia pun diamlah.

Melihat situasi tersebut, Saad bin Abi Waqas berkata, ‘Ya Rasulullah, anda berikan Uyyainah bin Hisn dan al Aqra’ bin Habis masing-masing 100 ekor unta, tetapi tidak memberikan apa-apa kepada Juail bin Suraqah ad Dhamari?.’
Nabi SAW menjawab, ‘Demi jiwaku di tangan-Nya, sesungguhnya Juail bin Suraqah lebih baik dari semua yang di atas bumi seperti Uyyainah dan al Aqra’. Tapi aku bermaksud menundukkan hati mereka berdua itu dalam Islam, sedangkan mengenai keislaman Juail bin Suraqah aku sudah percaya. Kata-kataku ini bagi Juali melebihi seluruh harta di atas bumi.’ (Ghadhban 3, hal. 203)

Dalam satu riwayat lain disebut, ‘kerana itu orang-orang Arab berbondong-bondong mengerumuni baginda saw meminta harta, hinggakan baginda terdesak sampai ke pohon dan kain rida’ baginda saw juga turut disentap dengan kasarnya. Akhirnya baginda bersabda, ‘Wahai manusia, kembalikan rida’ aku. Demi yang diriku di dalam tanganNya, andaikan aku memiliki semua tanaman di Tihamah, tentu aku memberikannya kepada anda semua, hinggakan anda semua tidak menyebut aku sebagai seorang yang kikir, penakut dan pendusta.’ Kemudian baginda saw berdiri di samping unta miliknya, sambil memegang sebiji gandum dan mengangkatnya seraya bersabda, ‘Wahai manusia, demi Allah, aku tidak lagi menyisakan harta rampasan anda semua, termasuk pula sebiji gandum ini kecuali ini seperlimanya, dan seperlimanya itupun sudah diserahkan kepada anda semua.’

Setelah memberikan bahagian kepada orang-orang yang baru masuk Islam dan hatinya masih lemah. Baginda saw memanggil Zaid bin Thabit agar mendatangkan sisa harta rampasan dan mengumpulkan semua orang. Masing-masing mendapat bahagian empat ekor unta dan empat puluh ekor biri-biri. Jika ia seorang penunggang kuda, maka ia mendapat bahagian dua belas ekor unta dan seratus dua puluh biri-biri.

Kesemua ini  merupakan cara Rasul SAW bermu`amalah terhadap golongan muallaf, ia amat berlainan sekali bila bermu`amalah dengan orang-orang pilihan yang telah sedia kuat Islamnya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa bentuk tidak puas hati. Maklumlah cabaran dan dugaan akan tetap berada di mana-mana sahaja. Orientasi kebendaan sekali sekala pasti akan mengambil tempat. Lihat peristiwa di bawah:

وعن ابن عباس رضى الله عنه قال: لما كان يوم حنين آثر رسول الله صلى الله عليه وسلم ناسا في القسمة فأعطى الأقرع بن حابس مائة من الإبل وأعطى عيينة مثل ذلك وأعطى أناسا من أشراف العرب وآثرهم يومئذ في القسمة فقال رجل والله إن هذه لقسمة ما عدل فيها وما أريد فيها وجه الله قال فقلت والله لأخبرن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال فأتيته فأخبرته بما قال قال فتغير وجهه حتى كان كالصرف ثم قال فمن يعدل إن لم يعدل الله ورسوله قال ثم قال يرحم الله موسى قد أوذي بأكثر من هذا فصبر.  فقلت: لا جرم لا ارفع اليه بعدها حديثا – متفق عليه.

Daripada Ibnu Abbas RA: ‘Ketika hari peperangan Hunain, Rasulullah SAW telah melebihkan beberapa orang dalam pembahagian rampasan perang, lalu diberi kepada Aqra` bin Habis 100 ekor unta dan kepada Uyyainah bin Hisn seperti itu juga. Juga diberikan kepada pembesar-pembesar Quraisy dan mengutamakan pembahagian kepada mereka. Kemudian ada seorangt lelaki berkata, ‘Demi Allah, pembahagian cara ini tidak adil dan tidak untuk mencari keredhaan Allah.’ Saya berkata (periwayat hadis, Ibn Abbas RA), ‘Demi Allah hal ini akan saya beritahu kepada Rasulullah SAW.’ Kemudian saya terus berjumpa dengan Baginda SAW dan memberitahu kepadanya tentang apa yang dikatakan oleh orang itu. Maka berubahlah wajah Baginda SAW sehingga menjadi semacam kambing merah, merah padam mukanya lalu bersabda, ‘Siapakah yang dikatakan adil kalau Allah dan Rasul-Nya tidak adil.’ Selanjutnya Baginda SAW bersabda, ‘Allah merahmati Musa, ia telah disakiti dengan cara yang lebih dari ini, tetapi ia tetap sabar.’ Saya sendiri (Ibnu Abbas) berkata, ‘Saya tidak akan menceritakan kepada Rasul SAW selepas ini lagi.’

Beberapa Perkara Yang Perlu diperhatikan:

1.    Harta benda bukanlah matlamat dalam perjuangan Islam, namun boleh dijadikan alat atau wasilah bagi mendapatkan sesuatu. Baginda SAW. menggunakan harta rampasan kepada kumpulan yang baru menganut Islam adalah sebagai suatu strategi untuk menjinakkan hati mereka (ta’lif al qulub). Lihat jawapan baginda SAW kepada kaum Ansar yang tidak diberikan apa-apa.

2.    Kepercayaan dan wala’ yang kuat dan jitu kepada pimpinan amat perlu kepada ahli gerakan Islam, apatah lagi dalam menghadapi saat-sata yang genting dan mencabar. 

3.    Pemimpin juga perlu berlapang dada dalam menghadapi karenah para pengikut, namun ada masanya perlu jelas dan zahirkan sumber pegangan dan rujukan yang digunapakai dalam sesuatu tindakan, lihat jawapan baginda SAW kepada aduan Ibnu Abbas:
ثم قال فمن يعدل إن لم يعدل الله ورسوله قال ثم قال يرحم الله موسى قد أوذي بأكثر من هذا فصبر
Jawapan ini menunjukkan jelas sumber rujukan dan pegangan dalam mengendalikan urusan pembahagian ghanimah adalah daripada Allah dan Rasul-Nya.

4.    Kesabaran dalam mematuhi arahan jama`ah amat diperlukan setiap masa. Kalau pun berlaku kekecuhan jangan sampai mengkucar-kacirkan jama`ah, apatah lagi keluar dan menubuhkan suatu jama`ah baru. Ini semua akan merugikan gerakan Islam dan melambatkan kemenangan.
5.    Cabaran untuk menaikkan imej Islam akan sentiasa berlaku setiap masa. Inilah yang dikatakan bahawa syurga itu amat mahal dan sukar untuk mendapatkannya, namun neraka boleh ditempah bila-bila masa sahaja.   Pertanyaan Sa`ad bin Abi Waqas adalah lambang  komunikasi yang baik dan berterusan antara pengikut dan pemimpin dan ini dapat menyelesaikan segala kekusutan. Demikian keindahan dan seninya hubungan antara pengikut dan pemimpin.


 

Artikel Penuh...

Saturday, September 20, 2014

Pentingnya pimpinan dikawal dalam apa suasana sekalipun.

P

erkara keempat berlaku semasa Hunain ialah Syaibah bin Uthman bin Abi Thalhah yang baru menganut Islam. Syeikh Munir Muhammad Ghadhban menyatakan, “ Dalam situasi gawat, semasa tentera Islam diserang pada pagi hari, rupanya ada juga yang sempat berfikir untuk membunuh Rasul SAW, di mana Syaibah mengatakan, ‘Aku melihat Nabi SAW menyerang Mekkah dan menang mudah, kemudian mengumumkan rencananya menyerang Hawazin. Aku bertekad untuk ikut, barangkali ada saja kesempatan bagiku untuk membalas dendam di atas kematian ayahku dan pamanku di madan Perang Uhud. Di Hunain ketika Muslimin berantakan, aku bergegas mendekati baginda. Pertama ku datangi dari kanan, tapi di situ ada Abbas dengan baju perangnya yang kokoh. Dalam hatiku berkata, ‘Ini pamannya. Tak akan ia mengkhianatinya’. Ku cuba dari kiri, ku dapati Abu Sufyan bin al Harits...ini sepupunya tak mungkin dia akan tinggal diam. Kemudian aku ke belakang. Rasulullah SAW tak terlindung di belakangnya dan aku boleh membabatnya dengan mudah. Namun mendadak suatu cahaya api seperti kilat menyambar. Khawatir akan mengenaiku, aku menutup mata sambil mundur ke belakang. Setelah itu Rasul SAW menoleh dan memanggilku, ‘Syaibah kemarilah’. Lalu baginda mengusapkan tangannya ke dadaku sambil berdoa, ‘Ya Allah, jauhkanlah syaitan dari dirinya,’ ketika itu ku angkat wajahku, ku lihat Rasulullah sebagai orang yang paling ku sukai, lebih dari diriku sendiri. Kemudian baginda SAW memerintah, ‘Wahai Syaibah, perangilah orang-orang kafir itu.’ ...
..........


Tanpa berfikir panjang aku maju, ku halau setiap musuh yang mendekati, ku halau apa sahaja yang menjadi penghalang, dan semua ku lakukan dengan ikhlas. Setelah Hawazin hancur, aku datang kepada Rasul SAW. Kata baginda, ‘Segala puji bagi Allah yang membawamu kepada yang lebih baik daripada yang engkau inginkan.’ Lalu ku katakan apa yang ku inginkan” (Syeikh Munir Muhammad : Manhaj Haraki Dalam Sirah Nabawiyyah 3, hal.197).

Syeikh Ghadhban meneruskan catatannya, ‘Kenyataan yang menghalangi Syaibah dari niatnya untuk membunuh Rasul saw adalah perkara biasa. Tetapi dalam kes yang berkaitan dengan suku Hawazin ketika pasukan muslimin dalam kecemasan dan tinggal beberapa puluh orang sahaja, datanglah pertolongan Allah. Para malaikat turun dengan pakaian serba merah, memenuhi ruang angkasa antara bumi dan langit. Lihat firman Allah dalam surah at Taubah (26):
  
kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.

Beberapa perkara yang mungkin perlu diberi perhatian

1.    Walaupun Islam agama Allah, dari segi ikhtiar dan strategi perlu dilakukan sepanjang masa. Kepimpinan amat penting dalam sesebuah gerakan. Hilang pemimpin, mungkin akan menjadi ahli hilang hala tuju. Sebab itulah kepimpinan perlu dikawal rapi agar tidak menjadi sasaran musuh.
2.    Nabi saw mempunyai mukjizat anugerah Allah. Sebab itulah baginda sentiasa dijaga oleh Allah. Dari sudut pandangan, baginda saw menguasai sudut pandang yang sama depan dengan belakang. Ini adalah suatu mu`jizat anugerah Allah.
3.    Dalam gerakan Islam, pemimpin tidak pernah meminta untuk dikawal. Namun sangat penting bagi setiap ahli gerakan Islam untuk membentuk golongan yang sedia berkhidmat bila-bila diperlukan. Lihat apa yang dilakukan oleh Abu Ayyub al Ansari, baginda saw tidak pernah meminta Abu Ayub untuk menjadi pengawal, namun beliau dengan sukarela bertindak sebagai pengawal khemah baginda saw selepas berlakunya peperangan Khaibar. Ini dilakukan semata-mata kerana kasih sayangnya terhadap baginda saw sebagai Rasul dan pemimpin umat Islam.
4.    Sesungguhnya gerakan Islam tidak pernah tandus dari golongan yang setia dan sentiasa menghulurkan khidmat baktinya demi untuk mempastikan kelangsungan gerakan Islam.

Artikel Penuh...