P
eristiwa kelima
ialah mengagihkan ghanimah hasil dari kemenangan dalam peperangan
Hunain. Jumlah rampasan ialah 3,000 (6,000) tentera musuh, 24,000 ekor unta, 46,000 (40,000 biri-biri)
dan 4,000 kilogram perak. Hinggakan Nabi saw disebut sebagai tokoh Quraisy yang
paling banyak hartanya (Ghadhban 3, hal. 202). Walau bagaimanapun semuanya
dibahagikan kepada kaum Muslimin yang berasal dari Makkah, terutamanya kumpulan
yang baru menganut Islam. Antaranya Abu Sufyan sebanyak 40 kilogram perak dan
100 ekor (ada riwayat mengatakan 200)
unta, begitu juga anaknya Yazid dan Mu`awiyyah masing-masing mendapat
ganjaran yang serupa. Sehingga Abu Sufyan berkata, ‘Demi ayah dan bundaku, Anda
benar-benar sangat dermawan, ya Rasulullah. Saya perangi Anda selama 20 tahun
dan ternyata Anda seorang musuh yang bijaksana. Lalu saya berdamai, dan saya
dapati Anda sebagai seorang manusia paling mulia. Allah akan memberi Anda
pahala..’. (Ghadhban, hal. 202).
Kepada Hakim bin Hizam (anak saudara Khadijah) 100 ekor,
tetapi masih meminta 100 lagi dan dipenuhi oleh baginda saw. Bagi Hakim Rasul saw bersabda, ‘Harta
adalah sesuatu yang menguntungkan. Siapa yang mengembilnya dengan kemurahan
hati akan dirahmati, tetapi siapa yang mengambilnya denga perasaan megah di
harinya tidak akan dirahmati, dan dia bagaikan orang yang makan tetapi tidak
pernah kenyang. Tangan di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, serta
mulakan dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu.’ Hakim menjawab, ‘Demi Tuhan yang menghantar
engkau dengan kebenaran, aku tidak akan menerima apa-apa daripada sesiapa
selepas engkau.’ Jawapan ini
merupakan suatu tekad untuk tidak meminta-minta di masa hadapan dan beliau
hanya mengambil 100 ekor unta, melepaskan tuntutan yang lain (Martin Ling/ Abu
Bakar Sirajuddin, hal. 352/354, lihat juga Syeikh Munir Ghadhban 3, hal. 202).
Safwan bin Umaiyyah juga 100 ekor unta dan ditambah 100
lagi. Al Harith bin Kaladah 100 ekor unta, begitulah kepada pembesar Quraisy
yang lain. Hinggakan semuanya habis, sampai ada khabar yang mengatakan,
‘Muhammad tidak takut miskin, meskipun berapa banyak yang diminta, baginda
tetap memberikannya.’
Kepada Qais bin Adi, Uyainah bin Hisn al Fazari dan al
Aqra’ bin Habis juga masing-masing diberikan 100 ekor unta. Abbas bin Mirdas
menerima kurang dari 100 lalu dia mencela Rasul saw dengan syair-syairnya,
sehingga beliau berkata ‘tutuplah mulutmya.’ Para sahabat menggenapkan bahagian
Abbas menjadi 100 ekor, maka dia pun diamlah.
Melihat situasi tersebut, Saad bin Abi Waqas berkata, ‘Ya
Rasulullah, anda berikan Uyyainah bin Hisn dan al Aqra’ bin Habis masing-masing
100 ekor unta, tetapi tidak memberikan apa-apa kepada Juail bin Suraqah ad
Dhamari?.’
Nabi SAW menjawab, ‘Demi jiwaku di tangan-Nya,
sesungguhnya Juail bin Suraqah lebih baik dari semua yang di atas bumi seperti
Uyyainah dan al Aqra’. Tapi aku bermaksud menundukkan hati mereka berdua itu
dalam Islam, sedangkan mengenai keislaman Juail bin Suraqah aku sudah percaya.
Kata-kataku ini bagi Juali melebihi seluruh harta di atas bumi.’ (Ghadhban
3, hal. 203)
Dalam satu riwayat lain disebut, ‘kerana itu orang-orang
Arab berbondong-bondong mengerumuni baginda saw meminta harta, hinggakan
baginda terdesak sampai ke pohon dan kain rida’ baginda saw juga turut disentap
dengan kasarnya. Akhirnya baginda bersabda, ‘Wahai manusia, kembalikan rida’
aku. Demi yang diriku di dalam tanganNya, andaikan aku memiliki semua tanaman
di Tihamah, tentu aku memberikannya kepada anda semua, hinggakan anda semua
tidak menyebut aku sebagai seorang yang kikir, penakut dan pendusta.’
Kemudian baginda saw berdiri di samping unta miliknya, sambil memegang sebiji
gandum dan mengangkatnya seraya bersabda, ‘Wahai manusia, demi Allah, aku
tidak lagi menyisakan harta rampasan anda semua, termasuk pula sebiji gandum
ini kecuali ini seperlimanya, dan seperlimanya itupun sudah diserahkan kepada
anda semua.’
Setelah memberikan bahagian kepada orang-orang yang baru
masuk Islam dan hatinya masih lemah. Baginda saw memanggil Zaid bin Thabit agar
mendatangkan sisa harta rampasan dan mengumpulkan semua orang. Masing-masing
mendapat bahagian empat ekor unta dan empat puluh ekor biri-biri. Jika ia
seorang penunggang kuda, maka ia mendapat bahagian dua belas ekor unta dan
seratus dua puluh biri-biri.
Kesemua ini
merupakan cara Rasul SAW bermu`amalah terhadap golongan muallaf, ia amat
berlainan sekali bila bermu`amalah dengan orang-orang pilihan yang telah sedia
kuat Islamnya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa bentuk tidak puas
hati. Maklumlah cabaran dan dugaan akan tetap berada di mana-mana sahaja.
Orientasi kebendaan sekali sekala pasti akan mengambil tempat. Lihat peristiwa
di bawah:
وعن ابن عباس رضى الله عنه قال: لما كان يوم حنين آثر رسول
الله صلى الله عليه وسلم ناسا في القسمة فأعطى الأقرع بن حابس مائة من الإبل وأعطى
عيينة مثل ذلك وأعطى أناسا من أشراف العرب وآثرهم يومئذ في القسمة فقال رجل والله
إن هذه لقسمة ما عدل فيها وما أريد فيها وجه الله قال فقلت والله لأخبرن رسول الله
صلى الله عليه وسلم قال فأتيته فأخبرته بما قال قال فتغير وجهه حتى كان كالصرف ثم
قال فمن يعدل إن لم يعدل الله ورسوله قال ثم قال يرحم الله موسى قد أوذي بأكثر من
هذا فصبر. فقلت: لا جرم لا ارفع اليه بعدها حديثا – متفق
عليه.
Daripada Ibnu Abbas RA: ‘Ketika
hari peperangan Hunain, Rasulullah SAW telah melebihkan beberapa orang dalam
pembahagian rampasan perang, lalu diberi kepada Aqra` bin Habis 100 ekor unta
dan kepada Uyyainah bin Hisn seperti itu juga. Juga diberikan kepada
pembesar-pembesar Quraisy dan mengutamakan pembahagian kepada mereka. Kemudian
ada seorangt lelaki berkata, ‘Demi Allah, pembahagian cara ini tidak adil
dan tidak untuk mencari keredhaan Allah.’ Saya berkata (periwayat hadis,
Ibn Abbas RA), ‘Demi Allah hal ini akan saya beritahu kepada Rasulullah
SAW.’ Kemudian saya terus berjumpa dengan Baginda SAW dan memberitahu
kepadanya tentang apa yang dikatakan oleh orang itu. Maka berubahlah wajah
Baginda SAW sehingga menjadi semacam kambing merah, merah padam mukanya lalu
bersabda, ‘Siapakah yang dikatakan adil kalau Allah dan Rasul-Nya tidak
adil.’ Selanjutnya Baginda SAW bersabda, ‘Allah merahmati Musa, ia telah
disakiti dengan cara yang lebih dari ini, tetapi ia tetap sabar.’ Saya
sendiri (Ibnu Abbas) berkata, ‘Saya tidak akan menceritakan kepada Rasul SAW
selepas ini lagi.’
Beberapa Perkara Yang Perlu diperhatikan:
1. Harta benda bukanlah
matlamat dalam perjuangan Islam, namun boleh dijadikan alat atau wasilah bagi
mendapatkan sesuatu. Baginda SAW. menggunakan harta rampasan kepada kumpulan
yang baru menganut Islam adalah sebagai suatu strategi untuk menjinakkan hati
mereka (ta’lif al qulub). Lihat jawapan baginda SAW kepada kaum Ansar yang
tidak diberikan apa-apa.
2. Kepercayaan dan wala’
yang kuat dan jitu kepada pimpinan amat perlu kepada ahli gerakan Islam, apatah
lagi dalam menghadapi saat-sata yang genting dan mencabar.
3. Pemimpin juga perlu
berlapang dada dalam menghadapi karenah para pengikut, namun ada masanya perlu
jelas dan zahirkan sumber pegangan dan rujukan yang digunapakai dalam sesuatu
tindakan, lihat jawapan baginda SAW kepada aduan Ibnu Abbas:
ثم قال فمن يعدل إن لم يعدل الله
ورسوله قال ثم قال يرحم الله موسى قد أوذي بأكثر من هذا فصبر
Jawapan ini menunjukkan jelas sumber rujukan dan pegangan
dalam mengendalikan urusan pembahagian ghanimah adalah daripada Allah dan Rasul-Nya.
4. Kesabaran dalam mematuhi
arahan jama`ah amat diperlukan setiap masa. Kalau pun berlaku kekecuhan jangan
sampai mengkucar-kacirkan jama`ah, apatah lagi keluar dan menubuhkan suatu
jama`ah baru. Ini semua akan merugikan gerakan Islam dan melambatkan kemenangan.
5. Cabaran untuk menaikkan
imej Islam akan sentiasa berlaku setiap masa. Inilah yang dikatakan bahawa
syurga itu amat mahal dan sukar untuk mendapatkannya, namun neraka boleh
ditempah bila-bila masa sahaja. Pertanyaan Sa`ad bin Abi
Waqas adalah lambang komunikasi yang baik
dan berterusan antara pengikut dan pemimpin dan ini dapat menyelesaikan segala
kekusutan. Demikian keindahan dan seninya hubungan antara pengikut dan pemimpin.
ok
ReplyDelete