Khadijah adalah merupakan isteri pertama
kepada baginda Nabi SAW. Sebagai serikandi Islam, beliau banyak memainkan
peranan menjadi tulang belakang kepada kebangkitan Islam di peringkat awal. Di
bawah ini diperturunkan beberapa tindakan yang amat cemerlang sebagai seorang
isteri dan pendamping setia kepada baginda SAW:
Wahyu pertama sangat membebankan kepada baginda Nabi SAW, namun sebagai isteri yang setia Khadijah mempastikan baginda SAW berehat dan mendapat ketenangan dengan menyelimuti Nabi SAW serta membiarkan baginda tidur.
Berjumpa dengan `tokoh’ yang selayaknya bagi menghuraikan kerumitan yang dihadapi, iaitu Waraqah bin Naufal, penganut agama peninggalan Nabi Allah Isa AS, seorang alim dalam kitab Taurat dan Injil sehingga beliau mendapat jawapan sebenarnya;
فقال
ورقة: قدوس قدوس والذي نفس ورقةٍ بيده لئن كنتِ
صدقتني يا خديجة لقد جاءه الناموس الأكبر )يعني
بالناموس جبرئيل عليه السلام( الذي كان يأتي موسى وإنه لنبي هذه الأمة
فقولي له فليثبِت.
“Quddus! Quddus! Demi Tuhan yang jiwa
Waraqah di dalam kekuasaanNya, jikalau engkau membenarkan aku wahai Khadijah,
sesungguhnya telah datang kepadanya (Muhammad) Namus Akbar yang pernah datang
kepada Musa dahulu; dan sesungguhnya dia adalah seorang Nabi bagi ummat ini,
dak katakanlah kepadanya supaya ia tetap (pendirian) bertenang!”Sekembalinya dari rumah Waraqah, Khadijah memberitahu baginda SAW, “Waraqah menegaskan kepadaku bahawa engkau adalah utusan Allah SWT untuk umat ini. Maka bertahanlah, wahai Rasulullah.” Tidak cukup dengan itu, Khadijah sekali lagi berkata, “Ya! Engkau adalah utusan Allah SWT. Aku bersumpah demi ayah dan ibuku, aku mempercayaimu. Aku beriman kepada Allah SWT. Dan kepadamu sebagai rasulNya.” (Abdul Mun`im Muhammad Umar, Saidatina Khadijah, Sebuah Catatan biografi, hal. 80).
*Sedikit catatan: ‘Namus’ sering disebut sebagai malaikat Jibril AS, ada juga yang memaksudkan Namus Akbar sebagai rahsia yang besar. Namun Muhammad Hussein Heikal dalam kitabnya `Hayat Muhammad’, menyatakan, seorang orientalis Montgmery Watt dalam bukunya Muhammad at Mecca (hal. 51) bahawa Namus berasal dari bahawa Yunani, Nomos dan ini bererti undang-undang atau kitab suci yang diwahyukan. Namus bukan istilah al Qur’an kerana al Qur’an menggunakan Taurat. Jadi apabila disebut Namus itu undang-undang Nabi Musa AS(Heikal, hal. 94/). Sementara Al Marbawy, menyebut ‘Namus’ selain daripada Malaikat Jibril, juga memaksudkan sebagai kaedah, undang-undang, yang bijak, berhelah dan wahyu (Qamus al Marbawy hal. 347).
Tindakan seterusnya yang dilakukan oleh Khadijah ialah, menyelidiki perjalanan peristiwa yang berlaku kepada baginda SAW, setelah mendapat kepastian beliau dengan tenang memberi jawapan yang jelas terhadap ketakutan baginda SAW: :
قال النبى صلى الله عليه وسلم: "لقد خشيتُ على نفسي".
خديجه:
"كلا، أبشر، فوالله ما (لا) يـُخزيكَ الله أبدا؛ إنك لتصلُ الرّحِم، وتصدق
الحديث، وتـَحمِلُ الكَلَّ، وتَكْسِبُ
الـمَعْدوم٬َ وتُقْري الضَّيفَ، وتُعينُ على نَوائِبِ الحقِّ."
“Oh tidak begitu! Demi Allah, Allah tidak
akan menghinakan kamu selama-lamanya, kerana engkau orang yang selalu
menghubungkan silatur Rahim (mengekalkan tali kekeluargaan), bercakap benar,
menanggung kesusahan (orang yang susah, bersimpati dengan kumpulan yang susah),
sentiasa mencari pekerjaan bagi penganggur, dan sentiasa memuliakan tetamu, dan
engkau sentiasa sanggup bersusah payah di atas jalan yang benar.”
Seterusnya Khadijah bertanya lagi (menghilangkan kenegatifan; halusinasi, delusi dan ilusi, yang sering dibimbangi), lihat soalan beliau kepada baginda Nabi SAW;
الم
تسئَلهُ من انت؟ ومن جاء بك؟ وماذا تريد منِّى؟
فقال:
سمعتُه يقول أنا جبريل جيئتُ اُبَلِّغُك رسالةَ ربِّك.
“Tidakkah kamu bertanya
kepadanya, siapakah engkau, dan siapakah yang datang bersama engkau dan apakah
maksud kamu kepadaku?” Baginda SAW menjawab, “Aku telah mendengar ia berkata, aku
Jibril, aku datang untuk menyampaikan kepada engkau risalah Tuhan- mu”
Mereka terdiam, namun ternyata Khadijah
paling gembira, kerana jawapan yang diberikan menepati apa yang dikatakan oleh
Waraqah, Cuma di sebelah pihak baginda SAW masih terbayang ketakutan terhadap
peristiwa tersebut, Khadijah tetap meyakininya (Munawwir Khalil I, hal. 168).
Setelah
kesihatan Nabi SAW pulih, Khadijah mengajak baginda SAW berjumpa dengan Waraqah
bin Naufal di rumahnya. Sesampai di rumah Waraqah, Khadijah berkata kepada
Waraqah:
.... يا ابن عم! اسمع من اِبنِ اخيك!
فقال
ورقة: يا ابن اخى ماذا ترى؟ : قدوس
قدوس يا اين اخى! هذا ناموس الأكبر! الذي نزَّل الله على موسى! يا ليتنى فيها جَذَعًا٬
ليتنى حيًا إذْ يـُخرِجُك قومُكَ.
“Maha Suci, Maha Suci, wahai
anak saudaraku! Ini adalah Namus Akbar (rahsia yang paling besar) yang pernah
diturunkan Allah ke atas Musa. Alahai, mudah-mudahan aku dapat kembali menjadi
muda dan kuat! Mudah-mudahan aku masih hidup ketika mana kaum-mu mengusir-mu”
فقال رسول الله صلى
الله عليه وسلم: أو مـُخْرِجِيَّ هُم؟
“Apakah mereka akan mengusir aku?”
فقال
ورقة: نعم٬ لم يأت رجلٌ قَط٬ُّ بمثل ماجئتَ به الاَّ عُودِيَ٬ وإن يُدْرِكْنى يومُكَ
اَنصُرْكَ نَصْرا مُؤَرَّرًا.
“Ya!Tidak akan datang
seorang yang membawa seperti apa yang engkau bawa itu, melainkan ia mesti
dimusuhi. Dan jikalau aku masih dapat mengalami harimu – kelak ketika engkau
dimusuhi, aku akan menolong engkau dengan pertolongan yang sehebat-sehebatnya.”
Keterangan Waraqah bin Naufal, menjadikan
Khadijah semakin teguh dengan dengan keyakinannya, kerana memang inilah yang
diharap-harapkannya sebelum ia bernikah dengan Nabi SAW (Munawwir Khalil 1,
hal. 170).
Ibnu
Hisyam menyebut riwayat dari Ibnu Ishak: Suatu ketika Khadijah pernah berkata
kepada Rasulullah SAW, “Hai saudara sepupuku, bolehkah engkau ceritakan
kepadaku tentang sahabatmu (Jibril) yang datang kepadamu?” Rasulullah SAW
menjawab, “Ya, boleh” Khadijah berkata, “jika Jibril datang datang kepadamu
ceritakan kepadaku!” Tidak lama selepas itu, Jibril datang seperti biasa.
Baginda SAW pun berkata, “Hai Khadijah, inilah Jibril datang kepadaku.”
Khadijah berkata, “Hai saudara sepupuku, berdirilah dan duduklah di atas peha
kiriku,” Rasulullah SAW berdiri lalu duduk di atas paha kiri Khadijah. Khadijah
berkata, “Apakah engkau melihatnya?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya” Khadijah
berkata ubahlah posisimu dan duduklah di atas paha kananku!” Rasulullah SAW
mengubah posisinya dan duduk di atas paha kanan Khadijah. Khadijah berkata,
“Apakah engkau masih melihatnya?” Rasulullah SAW menjawab, “Ya” Khadijah
berkata, “Cubalah engkau duduk di atas pangkuanku!,” Baginda SAW mengubah
posisinya , Khadijah berkata, “Apakah engkau masih melihatnya?” Rasulullah
menjawab, “Ya.” Kemudian Khadijah duduk dengan kepala dan wajah terbuka, serta
melepaskan tudungnya, sedang Rasulullah SAW di atas pangkuannya. Khadijah
berkata, “Apakah engkau masih melihatnya?” Rasulullah SAW menjawab, “tidak.”
Khadijah berkata, “Saudara sepupuku, bergembiralah dan bersabarlah. Demi Allah,
sungguh dia adalah malaikat dan bukan syaitan”.... ada yang mengatakan Khadijah
memasukkan Rasulullah SAW di dalam Dir`un (baju rumah wanita) milik wanita,
kemudian di saat itulah Jibril menghilangkan diri” (Sirah Ibn Hisyam 1, hal.
213 lihat juga H. Zainal Arifin Abas, Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad 2,
hal. 130).
*Catatan:
Kemungkinan Khadijah mempunyai prinsip tersendiri mengenai wahyu, untuk itu
selain mendapat panduan daripada Waraqah bin Naufal, Khadijah juga ingin
melihat apakah benar ianya malaikat dan utusan dari Allah.
Demikianlah
halnya Khadijah, selingkar kisah yang berlaku di awal pertumbuhan Islam, berdasarkan
keyakinan tersebut beliau terus menjadi wanita pertama beriman dengan kerasulan
baginda SAW dan menerus menjadi pendamping setia sehingga ke akhir hayat. Tidak
pernah mundur ke belakang, menghabiskan seluruh harta dan jiwa raganya untuk
mempastikan Islam diterima seperti mana yang dikehendaki Allah dan RasulNya
SAW. Sehinggakan Khadijah menjadi
satu-satunya wanita yang dikirim salam oleh Allah melalui malaikat Jibril AS
(Ibn Hisyam 1, hal. 216).
No comments:
Post a Comment