Wednesday, October 3, 2018

Kehebatan Takwim Hijriy

S

uatu ketika di zaman Khalifah Umar bin Khattab RA (13-23 H/634-644 M), baginda  pernah menerima surat daripada gabernurnya di Basra, Abu Musa al-Asy’ari yang menyebutkan pada awal suratnya berbunyi: “……menjawab surat tuan yang tidak bertarikh…..”. Kenyataan  ini telah menarik perhatian Khalifah Umar RA, tentang perlunya umat Islam mempunyai tarikh tersendiri yang jelas dan khusus. Akhirnya khalifah memanggil satu mesyuarat  khas untuk menentukan bilakah awal tahun baru bagi umat  Islam.


Dalam mesyuarat yang dianggotai oleh tokoh-tokoh terkemuka daripada kalangan sahabat itu, telah dikemukakan beberapa cadangan untuk menentukan bilakah sepatutnya dimulai tahun baru Islam. Di antara cadangan yang dikemukakan ialah dengan:
  • .     Mengambilkira peristiwa penyerangan Abrahah terhadap Ka’bah, yang dikenal dengan sebutan “Amul Fiil” (tahun Gajah), dan ini sudah biasa digunakan.
  • .    Bermula tarikh turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW, di mana waktu itu baginda SAW secara rasmi dilantik oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul untuk seluruh umat.
  •  .    Mengambil tarikh kewafatan Rasulullah SAW, dengan alasan pada waktu itu diturunkan wahyu terakhir yang menegaskan bahwa Islam sebagai agama yang sempurna.
Kesemua cadangan di atas ditolak kerana tidak menggambarkan signifikan terhadap Islam sebagai agama dan negara. Akhirnya Sayyidina Ali K.W.  mencadangkan tarikh Hijrah, kerana ia membawa suatu ma`na yang amat besar bagi Islam. Permulaan detik pembentukan negara dan kekuasaan yang begitu agung. Hijrah juga merupakan peralihan kehidupan baru bagi  Rasulullah SAW dan umatnya daripada dunia serba tertindas, tertekan menuju dunia baru yang penuh peradaban. Dan cadangan ini dipersetujui.

Apa yang menariknya, meskipun awal bulan Muharram merupakan awal tahun bagi tahun Hijriy, tetapi Muharram bukan awal permulaan hijrah Nabi SAW. kerana hijrah Baginda SAW  sebenarnya pada permulaan bulan Rabi`ul Awwal tahun ke-13 kenabian (14 September 622 M), bukan pada awal Muharram. Sedangkan antara permulaan hijrah Nabi SAW dan permulaan kalendar Islam (Muharram) sesungguhnya terdapat jarak sekitar dua bulan lebih (62-64 hari), dan di antara keduanya terdapat bulan Safar.

Mengikut kajian sejarawan Islam, penetapan bulan Muharram sebagai awal tahun baru dalam kalendar Hijriy (hijriyah) adalah berdasarkan kesepakatan (hijrah) yang muncul pada saat itu, adalah pada bulan Muharram, dengan pertimbangan bahwa pada bulan itu telah dimulakan oleh Rasulullah SAW untuk membenarkan para sahabat berhijrah ke Madinah selepas Bai’atul Aqabah yang kedua.

Dengan hijrah, Islam menjadi satu agama yang bebas merdeka dalam bentuk individu, masyarakat dan negara. Di mana setelah itu Nabi SAW mengganti nama “Yathrib”  yang bermaksud mengecam atau mencela, menjadi “Madinah” iaitu Kota Peradaban
Paling penting apabila kita berbicara mengenai takwim hijriy, ianya  mengikut peredaran bulan (qamariyyah), di samping itu juga takwim ini diiktiraf oleh Allah SWT dalam al-Quran, lihat firman Allah:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. (QS. Al Taubah: 36).

Dijelaskan bulannya sebanyak dua belas bulan, yang tidak boleh ditambah atau dikurangi. Ketetapan ini diisytiharkan sejak dahulu di waktu Dia (Allah) pertama kali menciptakan langit dan bumi.  Dalam dua belas bulan itu terdapat empat bulan tertentu yang disebut sebagai bulam haram. Maksudnya ialah: bulan Zulka’edah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab yang diharamkan melakukan perkara-perkara yang tidak baik, terutama penumpahan darah. Apatah lagi bulan-bulan tersebut merupakan bulan-bulan ibadat lagi agung di sisi Allah. Sehingga beribadat  padanya akan mendapat pahala yang amat besar (Tafsir al-Misbah).

Dalam hadis yang diriwayatkan dari sahabat Abu Bakrah r.a, Rasulullah SAW menjelaskan keempat bulan haram yang dimaksud :
إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ  وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى  وَشَعْبَانَ
“Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya semula di waktu Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan di antaranya terdapat empat bulan yang dihormati : 3 bulan berturut-turut; Zulka’edah, Zulhijjah dan Muharram serta satu bulan yang terpisah iaitu Rajab Mudhar, yang terdapat di antara dua  Jumadi  dan Sya’ban.” [ HR. Bukhari (3197) dan Muslim(1679) ]

Al-Marhum Prof. Dr. Hamka (Tafsir al-Azhar 10, hal. 213). menyebut, dua belas bulan dalam setahun, kerana bulan mengelilingi bumi sebanyak dua belas kali dalam masa setahun. Lihat fitrahnya bermula daripada rupanya yang kecil, bulan sabit, membesar sehinggalah purnama dan kembali kepada bulan sabit dan mengecil. Demikianlah perilaku peredaran bulan yang membantu kita mengenali Takwim Hijriy.

Perkara kedua, mengikut kajian al-marhum Ustaz Said Hawwa dalam kitabnya al Islam, perkiraan takwim Hijriy berbeza dengan .takwim Masehi kerana hijriy mengambilkira peredaran bulan (qamariyyah). Sementara Masehi berdasarkan kepada peredaran matahari (syamsiyyah) dan ianya mendahului tahun syamsiyyah sebanyak sepuluh hari setiap tahun, iaitu 355 hari, sedangkan tahun syamsiyyah adalah 365 hari. .Ertinya dalam masa tiga puluh enam tahun mengikut perkiraan qamariyyah, bulan-bulan qamariyyah akan kembali kepada tarikh asalnya. Sesuai dengan ini, maka bagi seorang Islam yang telah berpuasa selama tiga puluh enam tahun, bererti tidak ada hari sepanjang tahun yang tidak dipuasai oleh seorang muslim, sama ada hari pendek, hari panjang, hari panas, hari sejuk dan sebagainya dalam tahun tersebut  (Lihat juga .Tafsir al-Misbah 5).

Perkara ketiga, apabila kita kembali kepada kalendar hijriyyah (qamariyyah), padanya terdapat hari-hari berkaitan dengan peristiwa-peristiwa tertentu dan beribadat padanya dijanjikan  pulangan pahala yang berganda oleh Allah SWT. Di antaranya:
  • Bulan Muharam, Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ikrimah RA berkata: “Hari Asyura ialah hari diterimanya taubatnya Nabi Adam. Dan ia pula hari turunnya Nabi Nuh dari perahunya. Maka ia berpuasa syukur; dan ia pula hari tenggelamnya Fir’aun dan terbelahnya laut bagi Nabi Musa AS dan Bani Israil. Maka mereka berpuasa; kerana itu jika dapat, engkau berpuasalah pada hari Asyura.” 
  • Dalam kenyataan lain, Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Maisarah berkata: “Barangsiapa yang melapangkan pada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah SWT akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu.” Sufyan berkata: “Telah kami cuba, maka rasakan kebenarannya. Dinamakan Asyura kerana ia jatuh pada sepuluh bulan Muharram.”  Disunatkan berpuasa bukan sahaja pada hari `asyura (kesepuluh) malah juga tasu`a (hari kesembilan). 
  • Bulan Rejab, Allah SWT menjadikannya sebagai kemuliaan bagi umat ini dan melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan umat ini ke atas umat yang lain.
  • Bulan Sya’ban, Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas semua Nabi. 
  •  Bulan Ramadan, Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Allah SWT terhadap semua makhluk. Padanya terdapat Lailatul Qadar yang terlebih baik dari seribu bulan yang lain. Pertengahannya terdapat 17 Ramadan, hari Nuzul al-Quran dan juga peristiwa Badar al-Kubra. Pada hujungnya pula terdapat  Aidul Fitri sebagai hari pembalasan (penerimaan upah).
  • Bulan Zulhijah, padanya hari-hari sepuluh (1 hingga 10 Zulhijjah) iaitu hari-hari untuk berzikir kepada Allah SWT. Hari Arafah, yang dapat menebus dosa dua tahun. Hari Aidul Adha iaitu hari berkorban.
  • Setiap Hari Jumaat pada bulan apa pun disebut sayyidul ayyam, yang termulia dari semua hari.
  • Pada setiap bulan terdapat tiga hari iaitu 13, 14 dan 15, yang disebut ayyamul bayyadh (hari-hari putih), disunatkan berpuasa, selain daripada Isnin  dan Khamis.
 Sekadar menyebut sepintas lalu  sahaja, dan masing-masing waktu yang tersebut itu ada kemuliaan dari Allah SWT diberikan kepada umat ini untuk membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka. Akhirnya ingatlah, Takwim Hijriy bukan secara kebetulan, tetapi ia suatu anugerah Allah. Untuk itu bersyukurlah. Gunakanlah dengan sebaik-baiknya.


Artikel Penuh...

Kenapa Tak Belajar!

S

eminggu sebelum balik untuk bercuti sempena Hari Raya Adha 1439 baru-baru ini penulis terlibat dalam satu mesyuarat di Majlis Agama Islam Terengganu (MAIDAM) bagi merangka resolusi wacana pendidikan Rabbani anjuran sebuah Ma`ahad Tahfiz yang yang terkenal di Terengganu.
Anggota mesyuarat hanya empat orang, tiga daripadanya berkelulusan Phd. Hanya penulis sahaja yang tiada ijazah tersebut. Mesyuaratnya santai, namun cukup bermakna. Pada akhir mesyuarat salah seorang anggota mesyuarat menyebut tentang peristiwa tangkapan sepasang lesbian di Dungun, telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman sebat sebanyak enam rotan seorang kepada kedua-dua pesalah tersebut. Hukuman dijangka akan didakan pada tiga atau empat September 2018.


“Hukuman ini kemungkinan akan menjadi satu cetusan, masyarakat Terengganu, malah Malaysia dan mungkin dunia akan bising. Mungkin akan jadi satu isu yang besar” Demikian jelas Dr. muda tersebut.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Dr. tersebut. Selepas hukuman dijalankan masyarakat Malaysia bagai diserang tsunami baru…
 
Sekarang mari kita lihat beberapa komen yang dikemukakan menghebohkan satu Malaysia ini, ada yang positif dan ada yang negatif. 
  • PM sendiri tidak terkecuali turut mengadakan mesyuarat kabinet dan menyatakan, “Umumnya mengetahui ia adalah kesalahan pertama pasangan tersebut dan sepatutnya diberikan nasihat, serta tidak terus dijatuhkan hukuman sebat sehingga diketahui seluruh negara...sebab itu  kami berpendapat kalaupun ada kes sperti ini, pertimbangan hendaklah diberikan dalam keadaan tertentu, dalam Islam kita boleh jatuhkan hukum lebih ringan, sementara kita memberi nasihat dan sebagainya. Amatlah penting kita menunjukkan Islam ini bukanlah agama yang bengis, yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat mengaibkan orang. Ini bukan cara yang digalakkan oleh agama Islam, padahal kita diajar untuk membaca bismillahir rahmanir Rahim, yang menggambarkan kasih sayang Allah. Jadi ini sangat bertentangan dengan sebatan yang dilakukan. (SH, 7/9/18)
  • .Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar kurang bersetuju dengan hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian di khalayak ramai, Banyak lagi cara untuk menangani isu LGBT. Walaupun termaktub dalam undang-undang, tak wajar dilaksanakan sebatan di khalayak ramai. “Islam mengajar kita untuk menjaga maruah setiap manusia. Belas kasihan itu lebih baik daripada hukuman.” (SH, Selasa 4/9/18).
  • .       Datuk Seri Anwar Ibrahim. Presiden PKR menyatakan, “Tindakan menghukum seperti menjatuhkan hukuman sebat dikhalayak ramai tanpa melalui proses dan kefahaman yang betul serta tanpa belas kasihan adalah sesuatu yang tidak diterima rakyat Malaysia. Perkara tersebut perlu ditangani dengan berhati-hati kerana akan timbul tuduhan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap pesalah syariah sebagai anti-Islam. "Jika anda cuai dalam memberi kenyataan dalam perkara ini, anda akan dilabel sebagai anti undang-undang syariah, anda dilabel sebagai sekular dan sebagainya. "Jika perkara ini berlaku akan timbul pergeseran lain dalam kalangan masyarakat Islam," katanya dalam satu sidang media di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Filipina 2018 di Makati City hari ini, petik laporan Astro Awani. Anwar berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan hukuman sebat itu kerana ia merupakan satu bentuk penindasan. "Jika timbul isu berkaitan kesalahan sedemikian perlu ada satu bentuk penjelasan yang mencukupi, pendedahan atau pendidikan kepada masyarakat," katanya.
  • .     Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai seperti di Terengganu awal minggu ini. “Sama ada ia patut dilakukan di khalayak ramai atau tidak, secara peribadinya saya tidak setuju,” Bagaimanapun, katanya, bagi keluarganya sendiri ia diamalkan. “Saya sendiri kalau anak saya buat salah saya rotan dia,” katanya.
  • .        Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menolak sebatan, terutamanya jika dibuat di depan orang ramai atas alasan ia menghina yang merendahkan maruah dan rasa kehormatan diri.
Sepintas lalu melihat kepada hujah yang diberikan agak menarik. Kebanyakannya memberi tumpuan kepada maruah peribadi kedua-dua gadis yang terlibat. Jangan jatuhkan maruah, itu yang lebih penting. PM umpamanya mengharapkan supaya ia diberi nasihat memandangkan ianya merupakan kesalahan pertama, lagipun tidak mahu menampakkan bahawa Islam itu agama yang bengis. Tambahan pula kasih sayang jelas dalam ucapan Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sebelum pergi lebih jauh cantik diketahui bahawa agama Islam sememangnya merupakan agama berkasih sayang, menggalakkan menjaga maruah dan jangan sampai memalukan seseorang. Namun di sebalik kasih sayang dan menjaga maruah individu, jangan sampai maruah agama tergadai. Perlu difahami, bahawa apabila seseorang melakukan perbuatan terkutuk (lesbian, homoseksual atai zina), pelaku tersebut telah terkeluar daripada rahmat Allah.

Maka untuk mengembalikannya kerajaan perlu bertindak manjalankan hukuman. Jadi hukuman merupakan salah satu cara untuk mengembalikan pelaku tersebut ke jalan Allah, mendapat  rahmat dan kasih sayang-Nya andai ia bertaubat. Lihat apa yang berlaku kepada mereka yang dihukum di zaman Rasul SAW kerana berzina:

“Dari Imran bin Husain, bahawa seorang wanita dari Juhainah datang menghadap kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (pemerintah), padahal dia sedang hamil akibat melakukan zina. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah melanggar hukum, oleh kerana itu tegakkanlah hukuman itu (rejam) ke atasku.”
Lalu Nabi Allah memanggil wali perempuan itu dan bersabda kepadanya: “Jagalah wanita ini sebaik-baiknya, apabila dia telah melahirkan, bawalah dia ke hadapanku.” Lalu walinya melakukan pesan tersebut. Setelah itu Nabi SAW memerintahkan untuk merejam wanita tersebut, maka pakaian wanita tersebut dirapikan (agar auratnya tidak terbuka ketika direjam). Kemudian beliau perintahkan agar dia direjam.

Setelah direjam, baginda SAW menyembahyangkan jenazahnya, namun hal itu menjadikan Umar al-Khattab bertanya kepada beliau: “Wahai Nabi Allah, perlukah dia disolatkan? Bukankah dia telah berzina?”. Baginda SAW: “Sungguh, dia telah bertaubat kalau sekiranya taubatnya dibahagi-bahagikan kepada tujuh puluh orang penduduk Madinah, pasti taubatnya akan mencukupi mereka semua. Adakah taubat yang lebih utama (hebat) daripada menyerahkan nyawa kepada Allah Ta’ala secara ikhlas?” (Sahih Muslim, no. 3209, Sunan Abu Daud, no. 3852).

Dalam satu kenyataan dan kes yang lain baginda SAW bersabda:
فوالذى نفسى بيده لقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ تَابَهَا صَاحِبُ مَكْسٍ لَغُفِرَ لَهُ ثُمَّ أَمَرَ بِهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا وَدُفِنَتْ
“ Demi dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya perempuan itu telah benar-benar bertaubat, sekiranya taubat (seperti) itu dilakukan oleh seorang pelaku dosa besar niscaya dosanya akan diampuni." Setelah itu baginda SAW memerintahkan untuk menshalati jenazahnya dan menguburkannya." ( HR Muslim ).

Ini menunjukkan bahawa perempuan tersebut telah berjaya dikembalikan untuk mendapat kasih sayang Allah.

Teringat penulis akan kata-kata Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam pada ketika dipujuk untuk tidak menjatuhkan hukuman terhadap puteranya yang bersalah. “Namun semua usul tersebut ditolak oleh Sultan dan dengan berang Sultan kemudian menyebut satu ungkapan dalam bahasa Aceh: “Gadoh aneuk meupat jrat, gadoh hukom ngon adat pat tamita? “ Ertinya: Hilang anak masih ada kuburan yang bisa kita lihat, tetapi jika hukum dan adat yang hilang hendak kemana kita mencarinya? (an Nerusi 6:39/17, hal. 3).

Perkara kedua, melalui hukuman terselit kepelbagaian kasih sayang yang lebih besar daripada Allah SWT dengan mengamankan dunia ini dan tidak menurunkan bala bencana seperti kaum Nabi Allah Lut. Rotan yang digunakan untuk sebat telah ditetapkan dan ia tidak seperti sebatan sivil. Tidak sampai pun sepuluh minit dan tidak kedengaran pun raungan dan tangisan kesakitan. Itupun enam kali, belum mengikut standard piawaian yang sebenarnya.  Apa yang ada hanyalah lilihan air mata ‘sebak’ semacam keinsafan. Inilah yang diharapkan. Teknik sebat pula secara sederhana, tidak menampakkan ketiak, jadi sakitnya bukan kulit, yang dikehendaki adalah kesedaran hati dan keinsafan.

Penulis suka memetik kata-kata Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). “Dari perspektif Undang-Undang Syariah, hukuman sebat adalah satu bentuk hukuman yang dibenarkan dalam perundangan Islam dan ia dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran dan sunah bagi kesalahan-kesalahan tertentu seperti zina, menuduh zina dan juga minum arak. Sebatan juga boleh dikenakan ke atas pesalah kesalahan takzir...Oleh itu, setakat perbahasan ini, hukuman sebat dilaksanakan dalam sistem pentdbiran keadilan di Mahkamah Syariah adalah tidak bercanggah dengan Syariah dan ia juga tidak bercanggah dengan perundangan negara (Mingguan Malaysia: SERLAHKAN KEBIJAKSANAAN HAKIM, 09 September 2018)

Ini bererti Kerajaan Terengganu sebenarnya berhak 100 peratus untuk melaksanakan hukuman apa pun ke atas pesalah Lesbian dengan syarat pihak kerajaan mengambil kira soal kesesuaian hukuman serta menepati objektif perlaksanaannya iaitu untuk memberi pengajaran kepada pelaku dan orang ramai.

Selain daripada itu hukuman itu diterima sepenuh hati oleh pesalah, kerana tiada rayuan yang dibuat selepas 14 hari dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Selepas dijatuhkan hukuman, mahkamah memberi tempoh sehingga 14 hari untuk pasangan itu merayu atau meminta hukuman yang lebih ringan. Tetapi mereka sendiri tidak mahu berbuat demikian, malah sanggup untuk menjalani hukuman tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak. Jadi kenapa mesti ada pihak yang hendak mempertikaikan undang-undang Islam yang kononnya disifatkan zalim atau kejam sedangkan pesalah sendiri tiada masalah malah sedar akan kesalahan mereka dan sedia dirotan.
Mengulas berkaitan dengan pertikaian sama ada lesbian itu jenayah atau tidak Dr. Shamrahayu menambah, “Bahkan ada segelintir yang menganggap perbuatan seksual songsang atau moral itu tidak perlu dijadikan kesalahan jenayah atas hujah kebebasan diri. Perbuatan itu disifatkan hanya sebagai dosa, bukan satu jenayah.

Ini adalah seumpama clash of civilizations, yang disuarakan Samuel Huntington, pertembungan antara kefahaman tentang falsafah, dalam konteks ini, pertembungan falsafah perundangan– antara Syariah dan bukan Syariah. Oleh itu, sayugia diingat sesuatu sistem itu perlu dilihat atau ditafsir dengan menggunakan kaca mata sistem itu sendiri atau menurut pandang alamnya sendiri. Hukum hakam dan sistem perundangan Syariah tidak boleh dilihat dengan menggunakan kacamata lain.

Piawaian Syariah hendaklah terpakai dalam memahami falsafah perundangan Syariah. Nilai hukum hakam Syariah yang sempurna tidak akan dapat diinsafi sekiranya ia dipandang dengan menggunakan skala penilaian atau piawaian dari luar sistem Syariah.

Piawaian hukuman Syariah hendaklah kembali kepada prinsip-prinsip Syariah itu sendiri yang dirangkum dalam dua lipatan, iaitu amr bil maaruf dan nahy ‘anil munkar – mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam konteks dakwah, prinsipnya mengajak ke arah kebaikan dan perlu pendekatan nasihat berhikmah (MM, 09 September 2018).

.Soalannya ialah, kenapa tak belajar. Belajarlah! Malah wahyu pertama pun menyebut Iqra’ supaya kita membaca. Ini bererti gesaan supaya kita sentiasa belajar dan jangan komen membabi buta.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad ketika ditanya Wartawan HARADIAN SHAH HAMDAN mendapatkan pandangan beliau,  kenapa umat Islam sendiri mempersoalkan hukuman sebat? Beliau menjawab, “Rata-rata hari ini orang Islam tidak mengetahui apa yang ada dalam syariat sehingga menganggap hukuman itu sengaja diada-adakan. Sepatutnya orang Islam sudah tahu hukum sejak mula baligh, kena belajar dan akhirnya tidak akan timbul masalah dan salah faham. .......sepatutnya kerajaan tidak persoalkan keputusan mahkamah, kerana boleh dituduh hina mahkamah. Kalau tidak ada kepakaran tentang hukum Islam, kena tanya dulu orang yang tahu, kalau tidak nanti orang akan lihat kita jahil (MM, 09 September 2018).

Malah Khalifah Umar meninggalkan pesanannya yang sangat hebat:
علموا قبل ان تسودوا
"Belajarlah sebelum menjadi pemimpin".

Untuk itu keluarlah daripada zon selesa, jangan orang saja yang disuruh keluar dari zon selesa, rupanya kitapun zon selesa juga. Hai, kenapa tak belajar!.





Artikel Penuh...