P
eluang untuk kembali kepada tugas akademik telah memberi sedikit masa bagi penulis untuk menyemak semula kitab-kitab yang ada dalam perpustakan peribadi.
Di antaranya ialah Kitab ‘Kalimatullahi Hiyal `Ulya’, kumpulan Hadis Qudsi yang dihimpunkan oleh Sayyed Hasan as Syirazi. Setelah membelek-belek lembaran demi lembaran, penulis terpandang satu hadis bertajuk:
أتتكم الساعة:
إن الله تعالى يرسل ملكا ينزل فى كل ليلة ينادى:
يا أبناء العشرين! جَدُّوا واجَتهِدوا، ويا ابناء الثلاثين! لا تغرنكم الحياةُ الدنيا، ويا ابناء الأربعين! ما أعدَدتم للقاء ربِّكم، ويا ابناء الخمسين! أتاكم النذير، ويا أبناء الستين! ذَرْعٌ آن حصادُه، ويا ابناء السبعين! نودي لكم فأجيبوا، ويا ابناء الثمانين! أتتكم الساعة وأنتم غافلون
(سيد حسن الشراذى: كلمة الله ه. 350)
Lebih kurang bermaksud;
Saatnya Telah Tiba
“Sesungguhnya Allah Ta`ala menghantar turun setiap malam malaikat untuk menyeru: Wahai anak-anak yang berumur dua puluhan, berusahalah bersungguh-sungguh. Wahai anak-anak tiga puluhan, janganlah kamu terpedaya dengan kehidupan dunia. Wahai anak-anak empat puluhan, apakah yang akan kamu sediakan untuk berjumpa dengan Tuhan kamu. Wahai anak-anak lima puluhan, telah datang kepada kamu amaran. Wahai anak-anak enam puluhan, sekarang telah tiba masanya tanaman dituai. Wahai anak-anak tujuh puluhan, kamu telah diseru, maka sahutlah seruan itu. Wahai anak-anak lapan puluhan, saatnya telah tiba, sedangkan kamu semua masih dalam keadaan lalai”.
Apa yang menariknya ialah, Allah memulakan seruannya kepada anak-anak yang berumur dua puluhan dan mengharapkan anak-anak pada usia ini supaya bersungguh-sungguh.
يا أبناء العشرين! جَدُّوا واجَتهِدوا
Sepintas lalu secara peribadi, penulis dapat menarik beberapa kesimpulan awal. di antaranya ialah:
Pertama, 20an dikehendaki berusaha bersungguh-sungguh, curahkan segala tenaga, kerana usia begini kekuatan, kemahuan dan daya ikhtiar sangat tinggi. Dengan cara ini akan menjamin agar kehidupan ini menjadi benar-benar bermakna, jelas matlamat dan halatuju.
Kedua, 20an adalah tahap pertama untuk memulakan hidup. Ini ialah kerana dalam proses tarbiyyah yang dianjurkan oleh Rasulullah ialah supaya ibubapa mengatur strategi 7 x 3 = 21 (raja, hamba dan menteri) bagi anak-anak mereka.
Maksudnya tujuh tahun pertama dari mula lahir sampai tujuh tahun, anak diibaratkan sebagai raja. Mereka dibenarkan untuk bertabiat secara fitrah sebagai kanak-kanak sehingga pada akhir tujuh tahun pertama diajar asas yang perlu seperti al Qur’an dan solat, kerana umur tujuh tahun mereka perlu disuruh mengerjakan solat.
Lapan hingga empat belas tahun iaitu tujuh tahun kedua, anak diibaratkan sebagai hamba, mereka kena belajar dan mempastikan tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah dapat diselesaikan. Ertinya setelah empat belas tahun, seandainya anak-anak kita mengikut strategi ini, mereka sudah mampu untuk diketengahkan memikul tanggungjawab (taklif) yang dikenakan kepada setiap mukallaf, seperti menjadi imam dan sebagainya. Sudah mampu untuk menjadi pemimpin kecil dalam konteks jama`ah setempat.
Umur lima belas sampai ke dua puluh satu adalah tujuh tahun ketiga, di mana anak-anak diibaratkan sebagai menteri, ertinya pembelajaran mereka sudah mula menjuruskepada pengkhususan, mereka kena mula memikirkan nak jadi apa?, pengajian mereka disalurkan kepada pengkhususan masing-masing, seperti nak jadi pensyarah, doktor atau peguam.
Ketiga, Setelah ujud kejelasan matlamat hidup, mereka seharusnya mula mempastikan kerja boleh diklasifikasikan sebagai ibadat. Untuk mempastikan kerja sebagai ibadat perlu dilihat kepada beberapa aspek antaranya:
- Falsafah bekerja berdasarkan al Qur`an, Hadis, Ijma` dan Qiyas.
- Jenis pekerjaan hendaklah halal dan harus.
- Cara bekerja dilakukan tidak bertentangan dengan syara`.
- Suasana bekerja hendaklah direstui oleh Islam.
- Etika bekerja hendaklah berdasarkan akhlak Islam.
Perkara-perkara sebegini perlu dipaparkan untuk melahirkan seorang pekerja yang benar-benar bertanggungjawab terhadap kerjayanya. Charles Handy seorang tokoh yang dianggap sebagai mahaguru di bidang pengurusan pernah menyatakan dalam bukunya, The Future Work:
"KERJA bukan sekadar pekerjaan,"
(Kuasa Pekerja Ilmu, Blog Tinta Keris)
Bila begitu, peranan perkerja paling kurang ialah mewarnai dunia dengan pelbagai warna yang menarik dan ceria, apatah lagi profesion perguruan yang orangnya disebut pekerja ilmu.
Sebagai guru, apatah lagi dinobatkan sebagai intelek, bermodalkan ilmu, pengetahuan dan maklumat, sudah tentu mampu memberi sumbangan yang sangat besar kepada pembentukan masyarakat dan negara.
Destinasi Ilmu
Namun, sehebat mana sekalipun ilmu dan kemahiran yang ada, sebagai pekerja ilmu kita kena tahu destinasinya. Mengikut Hasan al Basri, “Sebanyak mana kita belajar ilmu pengetahuan, yakinlah ia akan menuju kepada dua destinasi sahaja setelah kita berada di medan kerjaya:
- Pertama samada ianya menjadi amalan yang boleh menyebabkan kita menjadi pendidik, pengamal ilmu dan ianya bertakhta di hati kita, menjadikan kita orang yang baik dan ilmu membentuk peribadi yang unggul.
- Kedua ianya sebagai landasan yang diperkatakan pada lisan sahaja untuk
mendapatkan harta pangkat dan sebagainya, maka jadilah kita orang yang
terkenal, ada harta, pangkat, nama dan sebagainya, namun kosong dari segi
amalannya”.
Sehubungan dengan itu, sebagai pekerja ilmu, pilihlah destinasi mana yang kita mahu tuju, pertama atau kedua.
Peranan Membaca:
Sayugia diingati bahawa wahyu yang pertama diturunkan dengan arahan membaca, `Iqra’, menjelaskan kepada kita Islam adalah agama ilmu, tanpa ilmu Islam tidak akan berkembang. Sebab itu senangnya disebut bahawa Islam agama anti jahil. Ini bertepatan dengan satu ungkapan, “Pentingnya membaca, bukan sekadar for the sake of reading”, tetapi searching of truth (Shahrom TM Sulaiman : Pembacaan dan Peningkatan Budaya Ilmu, hal.17)
Dari satu sudut lain Prof. Dr. Hamka menyebut, “Apabila seseorang itu kuat dan ketagih membaca, akan tiba pada suatu ketika nanti di mana dia terpaksa `memuntahkan’ atau melontarkan apa yang dibacanya dalam bentuk tulisan ”
Dalam ungkapan lain, Sayyidina Ali kw. pernah menyatakan, “Ikatlah ilmu dengan menuliskannya”. Ini bererti bahawa program membaca bukan sekadar membaca sahaja, tetapi sampai kepada memiliki dan menguasai apa yang dibaca. Bila dikatakan ikat, kena pegang betul-betul fakta agar tidak lari.
Dr. Wahidi Muthahhari, salah seorang anak perempuan al Marhum as Syahid Murtadha Muthahhari dalam membicarakan tentang ayahnya, beliau menyebut, “Aku tidak memiliki kelebihan yang dimiliki oleh ayahku. Aku hanya ingin menyampaikan yang kuketahui tentang beliau dari peranannya sebagai seorang ayah dan seorang guru.... salah satu kunci kejayaan beliau yang paling menarik, sejak usia 15 tahun beliau selalu mencatat semua yang telah dibaca (point-point penting dan garis besar pembahasan), sampai-sampai beliau memiliki buku catatan berdasarkan Abjad. Bahkan beliau selalu menyarankan kepada kita ketika ingin membaca sebuah buku maka bacalah sebanyak tiga kali: Pertama, bacalah! Kedua, pahamilah! Dan ketiga, perdalamilah! Sampai beliau menghafal setiap buku yang beliau baca”. (Ucapan sempena memperingati hari kesyahidan Muthahhari).
Ini menunjukkan bahawa kerja membaca bukan sekadar membaca biasa, tetapi untuk mengekalkan ingatan, perlu ada satu gerak kerja lanjutan iaitu menulis. Malah ketiganya ialah menghayati dan mengamalkannya. Saya sangat yakin dan pasti ini mampu dilakukan oleh anak-anak pada usia dua puluhan.
Kembali kita kepada seruan kedua,
ويا ابناء الثلاثين! لا تغرنكم الحياةُ الدنيا
Lebih kurang bermaksud, “Wahai anak-anak yang berusia tiga puluhan, janganlah kamu dilalaikan dengan kehidupan dunia.
30an, Fasa kedua setelah menempuh gerbang kehidupan sebenar. Mungkin ada kerjaya, ada gaji dan angan-angan mula menjadi, tahap sangat tinggi cabarannya.
30an mungkin juga merupakan lanjutan keghairahan nafsu selepas dua puluhan. Dengan gaji yang diperolehi, samada lumayan atau sebaliknya manusia akan bercita-cita untuk memperolehi apa sahaja yang diidam-idamkan tanpa mempedulikan halal atau haram. Ingin rumah besar, kereta besar, pakaian berjenama dan pasangan yang cantik.
Peringkat persaingan untuk hidup, mendapatkan sesuatu yang diidamkan, sebagai bukti dari kerjaya, impak dari segala yang baru diperolehi oleh setiap orang yang ada kerjaya. Biasanya keseronokan mendapat sesuatu yang baru menjadikan seseorang lupa daratan.
Lihat sahaja firman Allah yang lebih kurang bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan, anak pinak (anak lelaki); harta benda yang banyak berpikul-pikul dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternakan serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan ingatkan pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya iaitu syurga” (ali Imran 14).
Dalam menafsirkan ayat di atas, al Marhum Prof. Dr. Hamka menyatakan, tentang keinginan manusia kepada enam perkara yang disebut sebagai perhiasan dunia, nyatalah bagi orang-orang yang beriman kedua-duanya (dunia dan akhirat) tidak berlawanan.
Manusia tidak dihalang mencari perhiasan dunia, malahan perhiasan dunia pun boleh menjadi pendorong agar kita bertambah dekat dengan Allah. Lihatlah para sahabat seperti Abdul Rahman bin Auf, Zubair al Awwam dan lain-lain. Dalam ketaatan kepada Allah mereka tidaklah berubah samada kaya atau miskin. Sebuah syair Arab menyebut:
ما احسنَ الدينَ والدنيا اذا اجتمعا + وأقبح الكُفر والعصيان فى الرّجل
Alangkah indahnya jika agama dengan dunia berkumpul menjadi satu dan alangkah buruknya kekufuran dan kedurhakaan apabila bergabung dalam diri seseorang. (Hamka: Tafsir Azhar, hal: 123).
Apa yang penting ialah keseimbangan mengikut disiplin yang telah ditetapkan oleh Islam, bukan seimbang seperti yang dikehendaki oleh manusia. Ingat! Jangan sampai terpedaya dengan kehidupan dunia yang amat menyilaukan.
Seruan ketiga:
ويا ابناء ألأربعين! ما أعدَدتم للقاء ربِّكم
Pada usia empat puluhan: “Apakah yang akan dibawa sebagai persiapan untuk berjumpa dengan Tuhanmu”.
Empat puluhan adalah tahap kematangan kerjaya bermula.Ada orang menyebut `Life begins at forty’. Kalau dipositifkan kenyataan ini, boleh juga dikatakan bahawa pada usia begini, hati mula melihat dan meninjau kembali tentang pencapaian hadaf (matlamat) yang ditetapkan pada usia dua puluhan. Satu langkah lagi kamu akan ke pintu kubur. Semak dan muhasabahlah.
Kalau sebelumnya jiwa dirasakan muda, empat puluhan perlu ditanya, ada tak bekalannya?, Adakah yang dikumpulkan pada tahap dua puluhan dan tiga puluhan boleh diambilkira sebagai bekal?.
Kalau jawapannya ya, cukup atau tidak?, kalau cukup adakah bekal itu sesuai untuk dibawa ke akhirat. Kerana di hari akhirat bekalan itu mesti bersesuaian untuk satu standard piawaian sahaja.
Piawaian tersebut telah jelas dari segi skemanya. Dan skema itu tetap tidak berubah. Tidak cukup syarat pasti akan ditolak. Peluang hanya sekali sahaja, tidak ada dua tiga..
Suatu perkara yang tidak boleh dielakkan pada usia ini ialah datangnya kepelbagaian penyakit. Penyakit pula sekarang ni datangnya secara pakej. Darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan satu lagi sepupunya ialah gaut. Ertinya di samping bekalan untuk dibawa ke akhirat jangan lupa terdapat beberapa pengganggu secara fizikal.
Seruan keempat:
ويا ابناء الخمسين! أتاكم النذير
“Wahai anak-anak lima puluhan: Telah datang kepada kamu peringatan”,
Lima puluhan diberi amaran oleh Allah, bahawa sisa kehidupan kamu akan segera berakhir. Bila diberi amaran kena fahamlah, kena beringat, ada perkara yang perlu diberi perhatian. Bersiap sedialah untuk menghadapinya.
Perhatikan bekalan yang dikumpulkan perlu diteliti dan diperkemaskan. Supaya semuanya dapat dimasukkan dalam kotak-kotak tertentu untuk diposkan ke alamat kita di akhirat. Kotak-kotak tersebut berisi atau tidak. Kalau berisi adakah isinya tetap ceria untuk akhirat.
Apa kata kalau dalam kotak itu diposkan sesuatu yang mudah basi, solat yang tidak khusyuk, puasa yang tidak setara mana, jihad yang langsung tidak ada, pengabdian yang tidak ketengah-ketepi. Semuanya mungkin cepat basi dan membusuk bila dibuka pada hari akhirat.
Lima puluhan juga menjadi tanda tanya tentang penerusan kesihatan atau sebaliknya? keghairahan hidup sudah mula menurun, mungkin anda hanya bekerja sekadar untuk mencari kepuasan. Bukan untuk pangkat atau yang lainnya, sila rujuk teori keperluan kendiri oleh Abraham Maslow. Bandingkan juga dengan tingkat-tingkat nafsu dalam Islam.
Dari sudut kecantikan, manusia pada usia lima puluhan; akan berlaku Kerusakan akibat sinar UV matahari yang terpapar selama hidup Anda akan makin terlihat jelas pada usia lima puluhan—dalam bentuk kerutan, guratan mirip laba-laba, dan noda-noda pigmentasi. Kulit semakin menebal sehingga pori-pori tampak lebih jelas. Tingkat estrogen yang menurun memperlambat produksi sebum dan membuat kulit lebih kering.
(Sumber: hanyawanita.com, CBN website).
Mungkin pelbagai jenis ubatan dicadangkan untuk penjagaan kulit, namun terfikirkah anda untuk mencari kepelbagaian ubat bagi rmerawat rohani anda yang sedang sakit?.
Kulit, daging dan urat saraf semuanya menjadi makanan ulat dan cacing dalam kubur, kecuali orang-orang yang dijagai Allah. Kedut-kedut kulit muka terlalu ringan jika dibandingkan dengan kedut-kedut hati, perasaan dan jiwa yang amat bimbang menghadapi hari-hari mendatang.
Bagaimana dengan kematian?. Orang beriman bukan sahaja diajar supaya takut pada hari-hari kematian, tapi yang lebihnya ialah takut kepada hari selepas mati. Kerana selepas kematian ini kita tidak akan mati-mati lagi. Tidak ada kematian untuk kali kedua. Sebab itu bila Allah menyatakan telah datang amaran, kita kena saling ingat mengingat.
Seruan kelima ialah:
ويا أبناء الستين! ذَرْعٌ آن حصادُه،
“Wahai anak-anak yang berusia enam puluhan, sekarang masanya tanaman untuk dituai”
Menuai atau memetik adalah tempoh berakhirnya buah yang ada pada pokok. Ertinya samada ditarik, dipotong atau gugur sendiri, itu adalah teknikal. Namun yang pentingnya buah itu akan bercerai dari pohonnya. Tempoh hidup sudah berakhir. Begitulah Allah memberitahu umur manusia enam puluhan.
Dalam satu hadis nabi saw bersabda yang lebih kurang maksudnya:
أعمار أمتى بين السبعين والستين
“Umur bagi umat aku ialah di antara tujuh puluh dan enam puluh”.
Amat malang, andainya pada usia emas begini masih ada yang memikirkan hal-hal keduniaan. Masih tamakkan pangkat, harta, malah rambut yang sudah beruban diwarnakan hitam. Nak kemana? Nak tongkat langit ke?. Terimalah hakikat bahawa rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari!.
Daripada mati dalam keadaan tidak beramal, baiklah mati secara beramal. Umur enam puluhan dikatakan mencapai umur kenabian. Nabi wafat umur enam puluh tiga tahun. Wafat baginda dengan penuh kegemilangan, berjumpa Tuhan Rabbul Jalil, kekasih yang dirindu.
Seruan keenam:
ويا ابناء السبعين! نودي لكم فأجيبوا
“Wahai anak-anak yang berusia tujuh puluhan, sekarang kamu diseru untuk kembali kepada Tuhanmu, maka penuhilah seruan itu”.
Adalah merupakan satu keuntungan bagi sesiapa yang mampu mencapai usia begini. Kadangkala disebut umur bonus, kerana mereka melepasi umur kenabian. Namun bukan bererti boleh lepas bebas dari segala tanggungjawab. Ibadah masih kena berterusan. Jangan `perasan’ dah hidup lama, kita hebat!, kerana segala pahala yang dilakukan selama ini boleh hilang sekelip mata saja akibat angkuh dan sombong. Sila perhatikan maksud syirik khafi (tersembunyi), seperti yang diisyaratkan oleh Rasulullah saw dalam bentuk semut hitam yang berjalan pada malam hari di atas batu yang berwarna hitam. Aduhai sukarnya untuk dikesan dan dihindari.
Telah datang seruan bererti kad jemputan kematian sudah dihantar oleh Allah. Seakan-akan tertulis pada kad tersebut “Selamat Datang Ke Alam Barzakh”. Kena jawablah. Jawapannya hanya satu saja. Kena jawab ya!, tidak ada pilihan untuk kata tidak!. Samada nak jawab atau tidak, masa dijemput pasti tiba. Kena bersedialah.
Dan Seruan diakhiri dengan:
ويا ابناء الثمانين! أتتكم الساعة وأنتم غافلون.
“Wahai anak-anak yang berusia lapan puluhan! Telah datang saatnya, namun kamu masih lagi dalam keadaan lalai”.
Perkataan ‘Ghafilun’ bukan sahaja bermaksud lalai atau lupa biasa, namun yang paling ditakuti ialah lalai terhadap Allah dan segala ajaran yang diturunkan melalui Nabinya saw.
Lapan puluhan adalah masa yang tidak ada pilihan, ianya adalah maghrib bagi hari. Bila maghrib, bererti kegelapan malam akan mendatang. Siang yang datang esoknya adalah siang lain, dan mungkin siang itu bukan untuk kita.
Kesimpulan
Pertama: Bila-bila membaca hadis ini, bukan nak suruh kita lemah, tapi nak ajak bersama bekerja secara kuat dan berjejak di alam nyata. Bekerja dengan menampakkan dua suasana, keduniaan dan keakhiratan, kerajaan manusia dan kerajaan Tuhan. Hiduplah seperti manusia biasa. Namun pemikiran kenabian dan kerasulan sentiasa berada di sekeliling kita. Penulis bukanlah jenis sempurna. Sangat banyak kurangnya. Namun dalam kekurangan ini mari kita bangkit untuk menuju kearah proses penyucian dan penyempurnaan diri.
Kedua: Penulis juga ada membaca satu ulasan Widyo Winarso, tentang buku The Creative Age, hasil karya Dr. Gene D. Cohen. Sangat baik untuk mengujudkan kesegaran minda bagi orang-orang yang berumur. Namun dari satu sudut keakhiratan merupakan suatu yang pasti. Jangan sampai sudah dimatikan baru nak minta hidup semula, atau termasuk dalam golongan orang yang disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhahu:
الناس نيام فإذا موتوا انتبهوا
“Manusia itu tidur, apabila mati barulah ia sedar, (baru nak bangun)”.
Untuk itu janganlah `perasan’ lambat lagi kita ni!, atau terasa muda sepanjang masa. Kalau pun muda, belum tentu lambat mati. Buah kelapa muda pun boleh gugur lebih dulu dari buah kelapa tua. Gugurnya kelapa muda kadangkala lebih teruk, sampai pecah muka. Tak boleh ambil apa pun. Namun gugur kelapa tua yang sudah kering jarang pecah. Apatah lagi, setelah dikopek, diparut, isinya boleh digunakan, samada untuk diambil santan bagi mengenakkan lagi gulai dan kari, atau diproses untuk menjadi minyak. Lagi hebat. Orang berjasa begitulah, sampai mati pun masih lagi memberi sumbangan.
Mudah-mudahan Allah menyelamatkan kita semua, marilah kita berdoa kepada Allah supaya menggolongkan kita dalam kumpulan orang yang sentiasa mematuhi segala tuntutanNya dan berguna untuk ummat manusia. Allahumma amin.
(Diubahsuai dari ucapan penulis, sempena persaraan pada 26 Oktober 2009, di Dewan al Farabi IPG KDRI)
Tuesday, November 3, 2009
Janganlah `Perasan’ Lambat Lagi Kita Ni!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment