Tuesday, November 3, 2009

Manusia dan Sampah

S

emasa berjalan keluar dari Balai Islam pada hari Rabu, 28 Oktober 2009, jam 01 :42 tengahari, setelah selesai solat zohor, telefon bimbit penulis mengeluarkan isyarat menandakan ada mesej masuk. Namun mungkin agak terlalai penulis lambat membukannya. Sesampai di rumah petangnya barulah penulis membuka dan melihat mesej tersebut yang lebih kurang berbunyi:

“ Hari ni banyak sangat dah orang jadi sampah, tapi sampah tak ada yang jadi orang. Salah siapa tu, tuan guru?”.

Mesej yang dihantar oleh Tuan Haji Harun Muhammad, bekas Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPG KDRI, seorang sahabat penulis yang telah bersara. Selalu penulis panggil ‘Abang Aji’. Orangnya sangat baik, berwawasan dan berdaya kreatif. Kali ini membahasakan penulis dengan ‘tuan guru’ pulak. Saja nak guraulah tu, kerana kami dah lama tak jumpa.

Sangat baik orangnya dan banyak pengalaman dalam bidang perguruan. Mempunyai kecaknaan yang sangat tinggi terhadap isu-isu semasa, terutama yang membabitkan pendidikan.

Bayangkanlah, masih teringat lagi suatu pagi pada 13 November 2008, tahun lepas, walaupun telah bersara, beliau tiba-tiba muncul di IPG KDRI.

“Apa urusan sebenarnya ‘Abang Aji’ datang ke sini tadi”. Tanya penulis setelah berbasa basi.

“Saya sebenarnya datang nak tengok keputusan peperiksaan UPSR pelajar Sekolah Dalam Maktab kita hari ni!”.

“Oooi nak tengok keputusan periksa, terlupa saya, ‘Abang Aji’ pernah jadi guru besar kat sini dulu ya!”.

“Alhamdulillah, anak sulung kita, sembilan orang dapat 5A”.

Terkedu juga penulis mendengar penjelasan Haji Harun. Tak sangka setelah setahun bersara masih mempunyai perkiraan tersendiri untuk melihat hasil sulung dari titik peluhnya. Penulis sendiri pun hampir terlupa hari tu keputusan UPSR diumumkan. Maklumlah tidak banyak sangat terlibat dengan sekolah rendah. Malu pun ada. Sekolah dalam Institut menerima keputusan sulungnya.

“Tahniah!, kuat sungguh ingatan ‘Abang Aji’”.

“Yalah kita ni guru, walaupun bersara, pelajar adalah segala-galanya, apatah lagi seawal sekolah rendah, pasti kita akan ingat”.

Demikian hati seorang guru. Penulis masih ingat ketika beliau menjadi guru besar SDM. Pantang ada masa lapang, dikumpulkannya kanak-kanak pada sudut-sudut tertentu sambil bercerita, berkisah itu dan ini. Bila ditanya apa yang ‘Abang Aji’ buat tadi.

“Saja, bercerita dengan anak-anak, nak dekati hati mereka, nak jinak-jinakan hati mereka kita kenalah banyak mulakan. Tarik-tarik dengan cerita, dengan kisah dan teladan”.

Ternyata apa yang dibuat sangat berkesan, bila ada saja masa lapang. Pelajar-pelajar pasti akan mengajak beliau ke sudut-sudut tertentu untuk sambung apa-apa cerita. Pelajar sangat seronok dengannya. Demikian orang lama dalam pendidikan. Punyai hati seorang guru. Demikianlah hati Sang Budiman!.

“Apa yang abang aji buat?”. Tanya penulis lagi.

“Saya panggil ketua, suruh semua berkumpul, ucap tahniah sorang-sorang, lepas tu beri duit raya sikit sorang, kebetulan saki baki raya puasa masih terasa baru”.

Lagi terharu penulis mendengarnya. Tak terfikir untuk buat begitu. Memang raya puasa tahun ni kebetulan jatuh pada 1 Oktober 2008, hari itu,13 November 2008, Cuma beberapa hari sahaja baru terlepas Syawwal, Zulkaedah menjelang. Tetapi masih boleh diperhangatkan suasana raya. Sangat bertepatan jika mantan seorang guru datang untuk memberi duit raya kepada anak-anak buahnya yang dalam masa yang sama, meraikan kejayaan mereka.

Kami berpisah dengan saling berpesan-pesan dan doa agar masing-masing dipanjangkan umur dan dikurniakan nikmat yang berpanjangan.

Demikian lakunya seorang guru. Kelihatan biasa, tapi disebaliknya terdapat sesuatu yang unik dan tersendiri. Fizikalnya sama dengan manusia lain, namun hatinya tersendiri. Kecaknaannya lain dari yang lain. Kadangkala disebut orang:

Guru
Dalam ajarnya ada harapan
Dalam tegurnya ada doa
Dalam marahnya ada sayang
Dalam tawanya ada mesra
Dalam diamnya ada bijaksana
Dalam tangannya kita terbina
Kalau pun tidak seterang mentari,
Ia pelangi tetap mewarnai lelangit dunia. (2x)


Kini 28 Oktober 2009, SMS Abang Aji datang lagi. Memang Abang Aji ni amat rapat dengan penulis. Ada-ada saja SMS yang dihantar. Ada yang biasa dan ada yang agak falsafi (kefalsafahan), kena fikir dan renung dulu baru bagi respon. Minggu lepas `Abang Aji’ SMS kat penulis bila nak bersara?. Penulis diamkan saja. Tak jawab. Bukan apa! Saja nak test ingatan Abang Aji je!.

SMS hari ni pada penulis agak falsafi, Bayangkanlah bila ditanya salah siapa manusia jadi sampah. Namun sampah tidak pernah menjadi manusia. Hai! Kena fikir jugak untuk jawab.

Dalam respons balas, penulis tidak menjawab salah siapa. Cuma penulis menyebut: “Proses penarafan kedua-duanya agak berbeza untuk manusia dengan sampah” Itu sahaja. Namun tetap menjadi bahan untuk penulis terus berfikir.

Ada yang mengatakan sampah adalah sampah yang di buang masyarakat dalam bentuk benda yang kotor. Sampah masyarakat adalah keadaan dimana seseorang melakukan hal yang tidak di perlukan atau hal yang merugikan orang lain.

Sekali imbas, manusia bila jadi sampah akan semakin turun tarafnya. Apatah lagi bila disebut sebagai sampah masyarakat. Namun sampah bila semakin busuk, makin tinggi dan hebat nilai kesampahannya. Proses pereputan akan menjadikannya hancur dan itulah skemanya. Kerana bila disebut sampah, sudah tentu akan dihantar ke tempat pembuangannya dan akan dibakar. Bila dibakar jadi baja. Ada manfaatnya.

Manusia pula bagaimana?. Kalau dah turun jadi sampah. Mungkin agak keras dan kasar bila dikatakan begitu. Namun untuk perbincangan, boleh dikatakan manusia kalau dah jadi sampah, kualitinya sudah tidak ada. Kenapa?. Kerana manusia dijadikan ada tugasnya. Sila rujuk maksud asal kejadian manusia hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah (az Dzariyat: 56).

Banyak ayat yang menunjukkan bahawa manusia mesti bekerja, beramal untuk mendapat keredhaan Allah. Manusia tidak diciptakan untuk menjadi sampah. Kerana manusia sangat jauh bezanya dengan sampah. Sampah tidak ada apa-apa, sekadar busuk, berulat dibakar jadi abu, lepas tu habis cerita.

Manusia berjasad, bertubuh badan, ada akal buat berfikir dan membezakan antara baik dan buruk, antara halal dan haram, antara benar dan tingkat-tingkat kebenaran dalam tindakan harian. Menjadi baik, lebih baik dan paling baik. Malah untuk kebaikan manusia Allah menyediakan pelbagai pintu untuk mendapat hidayah antaranya:

“ Melalui fitrah, pancaindera, akal, agama dan taufik Allah”
(Tafsir al Maraghi, al Munir, lihat juga Majalah Solusi No. 12).

Dalam satu ayat Allah berfirman yang maksudnya:

“ Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih dari akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkang bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesungnya”. (Ibrahim 14: 3)

Ayat ini seakan-akan menyatakan amaran Allah kepada orang yang mengutamakan kehidupan dunia, belum lagi menjadi sampah masyarakat, Cuma kerana mengutamakan kehidupan dunia, masih lagi berguna untuk dunia, Cuma tak fikir akhirat, sudah disebut sesat. Apatah lagi menjadi sampah masyarakat. Langsung tidak mengambil fikir diri dan masyarakat. Sehingga manusia lain pulak terpaksa fikir tentang dirinya.

Pada penulis, manusia tidak sepatutnya menjadi sampah andainya kena cara dan tarbiyyah. Mungkin ada yang terbabas, sama-samalah kita bimbing. Biarlah orang mengatakannya, asalkan jangan kita. Kerana kalau kita kata pun, sama juga. Apa yang penting ialah cari jalan untuk mengubati atau menyelamatkan.

Allah sebenarnya amat baik dengan manusia, dan sentiasa inginkan manusia menjadi baik. Lihatlah seruannya yang lebih kurang bermaksud,

“Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu redha dan Allah meredhai kamu, masuklah kamu ke dalam kumpulan hamba-hambaku, dan masuklah ke dalam syurgaku”. (al Fajr: 27-30).

Amat tingginya tahap kebaikan Allah dengan kita, dan sentiasa mahu hambanya berada dalam keadaan baik seterusnya menjadi terbaik. Sebab itulah amat penting bagi manusia menyertakan taat setianya kepada Allah tanpa berbelah bagi.

Sebab itu bila disebut manusia boleh jadi sampah, apatah lagi sampah masyarakat. Bila ditanya kenapa? Dan mengapa boleh terjadi demikian?. Mungkin saja mereka yang tidak menggunakan akal dengan sebaik-baiknya. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Allah:

“Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka Jahannam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati yang tidak mahu memahami dengannya ayat-ayat Allah, dan mempunyai mata tidak mahu melihat dengannya bukti keesaan Allah, dan mempunyai telinga yang tidak mahu mendengar dengannya ajaran dan nasihat, mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” (al A`raf: 179)

Kenapa anak muda boleh jadi sampah masyarakat?. Kadangkala bila kita tanya kepada orang muda, mereka mengatakan orang tua yang salah. Kalau tanya orang tua, mereka mengatakan orang muda yang tak nak dengar kata. Lalu bagaimana. Sangat baik kalau orang muda boleh berlembut hati sedikit, memberi ruang untuk masuk kata-kata nasihat orang tua. Mereka yang tua pulak boleh berbelas hati melihat suasana muda. Kombinasi tua dan muda pasti akan mengindahkan lagi situasi masyarakat.

Dalam satu hadis, baginda saw menyebut supaya menyuruh anak-anak solat pada ketika berumur tujuh tahun, dan pukullah seandainya tidak solat bila umurnya sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur (antara lelaki dengan perempuan).

Kenapa solat perlu diutamakan terlebih dahulu?, Dalam satu surat yang ditulis oleh Taher Husain kepada anaknya Abdullah yang menjadi Wali di Negeri Riqqah dan Mesir di zaman Khalifah al Makmum, antaranya si ayah menyebut:

“Kerjakanlah solat lima waktu dan hidupkan berjama`ah, supaya rakyatmu mengikutmu dengan patuh. Bukan sembahyang itu saja, malahan segala sunat-sunatnya dan tertibnya, sampai kesempurnaan wudhuk dan bersuci semuanya harus engkau perhatikan.... Solat itulah yang diutamakan terlebih dahulu di dalam memegang pemerintahan. Sebab itulah ayah suruh mengutamakan solat, lantaran Allah telah berfirman bahawasanya solat itu adalah pencegah perbuatan keji dan mungkar, sehingga tertolaklah bala kemungkaran dan pekerjan itu dari dirimu dan rakyatmu. Kemudian itu hendaklah engkau kerjakan sunnah Rasulullah dan ikuti contoh-contoh dari salafus saleh sesudah Rasul”. (Hamka: Lembaga Budi, hal 65).

Nah, apabila anak-anak diajar solat dan mematuhinya dengan baik ketika permulaan tujuh tahun, walaupun masih belum mengerti keadaan sebenarnya hakikat solat, ertinya Allah telah mendaftarkan nama kanak-kanak tersebut dalam buku daftar Allah sebagai orang yang patuh.. Nama yang tercatat sebagai orang yang patuh pasti ada kelebihannya. Kalau yang sudah mampu menjadi pemimpin pun masih diperingatkan tentang solat, apatah lagi bagi anak-anak kecil. Sudah tentu lebih penting lagi. Kerana ini peringkat permulaan. Peringkat yang boleh menentukan ke mana hala tuju dengan persiapan yang baik.
Orang tua-tua kita selalu mengajar:

“Awwaluddin ma`rifatullah, awal ugama mengenal Allah, terang hati kerana Allah. Terang seperti hati Rasulullah”.

Hebatnya orang-orang tua kita dulu. Dari kecil lagi sudah diajar mengenali uswah dan qudwah mereka.

Bagaimana kalau dihidupkan kembali semangat tarbiyyah yang diasaskan oleh orang-orang tua kita. Perhatikan pesanan mereka:

“Kalau dah maghrib ajak anak-anak masuk ke dalam rumah, jangan biarkan mereka bermain, nanti ludah dek hantu”.
(AQHAS: Menyingkap Rahsia Jin, Syaitan dan Malaikat, hal: 78 – 79).

Demikianlah akhirnya SMS Abang Aji, “ Hari ni banyak sangat dah orang jadi sampah, tapi sampah tak ada yang jadi orang. Salah siapa tu?”.

Sama-samalah kita fikirkan.


1 comment:

  1. bukan salah siapa... sampah pun sudah lama bercita2 nk jadi orang....

    ReplyDelete