Thursday, November 5, 2009

Fakta Kering

M

embaca beberapa respons pelajar terhadap blogspot ustaz storm, saya terjumpa dengan satu reaksi terhadap ungkapan yang sering saya sebut: “Fakta anda kering”, mungkin pelajar terfikir sejenak. Kenapa dikatakan fakta kering.


Saya merasa terpanggil untuk memberi penjelasan maksud fakta kering. Lazimnya apabila disebut pelajar, atau calon ke Institusi Pendidikan Guru adalah terdiri daripada mereka yang cemerlang. Paling kurang 5A peringkat SPM dengan lain-lain pencapaian yang membanggakan. Bila begitu keadaannya maka situasi pelajarnya juga mesti power. Harapan pensyarah dan warga IPG memang tinggi.

Secara peribadi saya sangat bangga diberi peluang untuk mengajar, berbincang dan mengujudkan sedikit ruang ‘semacam’ pertelagahan pendapat dalam kuliah atau tutorial. Kerana dengan ujudnya situasi seperti ini sudah tentu akan menghidupkan roh akademik di samping mengasah pemikiran para pelajar supaya lebih kritikal dan berinovasi. Memang suasana begini perlu disuburkan selalu untuk melahirkan pelajar IPG yang baik bersesuaian dengan motto ‘Institut Gemilang Pelajar Cemerlang’.

Setiap mata pelajaran dalam kursus untuk mereka telah disediakan skema-skema tertentu agar hasrat ini tercapai. Kesemuanya ini paling tidak, untuk membolehkan pelajar terlibat dalam beberapa gejala ledakan ilmu berlaku masa kini dan akan datang. Kerana mereka dikira sebagai golongan yang mempunyai potensi besar untuk membantu manusia ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Institusi pengajian diharapkan dapat melahirkan generasi insan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan membuat tindakan di peringkat peribadi, institusi dan negara berdasarkan keilmuan yang mantap serta unggul.

Selain dari perkuliahan, pelajar juga perlu menyiapkan tugasan untuk pembentangan, projek atau KKBI. Untuk itu setiap tugasan yang diberikan perlu disediakan dalam keadaan yang kemas dan ada isti`dadnya. Memang saya amat berminat untuk mendengar dan terlibat sama dalam pembentangan. Melatih mereka supaya pandai bertelagah mengikut disiplin akademik. Paling-paling tidak untuk ‘menumpang’ sama fakta yang diambil dari buku-buku rujukan.

Namun di sana terdapat sedikit kerisauan, di mana kecenderungan pelajar pada peringkat awal ada di antaranya (bukan semua) menjadi sekadar menjadi pengumpul maklumat dan mencurahkan semula maklumat dalam keadaan mentah tanpa dimasak atau diadun terlebih dahulu. Ada juga yang menjadi sekadar tukang fotostat dan membacanya bulat-bulat semasa pembentangan (sekadar menyebut satu dua contoh).

Mungkin kenyataan ini agak falsafi, senang nak faham ialah apabila ditugaskan untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Cantiknya, pelajar perlu menstrukturkan terlebih dahulu bidang yang hendak dibuat kajian. Perincikan dulu dalam bentuk tajuk besar sampai kepada sub-topik yang perlu. Kenalpasti buku-buku yang hendak dibuat rujukan. Perbincangan sesama rakan dalam kumpulan atau unit amat perlu supaya anda nampak asas fakta yang hendak distrukturkan. Secara peribadi saya sangat suka kepada pelajar-pelajar yang mengutamakan perbincangan sebelum memulakan sesuatu tugasan.

Kenapa? Kerana bila kita berbincang sudah tentu kita akan dapat banyak hasil, dengan ini kepelbagaian dimensi akan terbentuk dalam pemikiran kita. Selepas itu buatlah saringan. Bukan nak suruh ikut orang. Semasa membuat saringan anda perlu bina prinsip tersendiri. Peringkat awal mungkin kita tidak nampak, namun nanti akan terbentuk sedikit demi sedikit bersama-sama dengan perkembangan kewibawaan seseorang insan.

Setelah dikenalpasti dan nampak dari segi penstrukturannya mungkin anda perlu mencari bahan. Cari bahan, ertinya anda kena baca buku atau kitab. Kata cerdik pandai bila dapat buku dan nak baca kena guna strategi iqra`. Wahyu pertama yang diturunkan bukan sahaja sekadar suruh baca biasa, lihat perubahan yang berlaku kepada masyarakat selepas turunnya wahyu. Kenapa perubahan itu berlaku?. Jawabnya ialah kerana arahan iqra` bukan sekadar membaca, tetapi meliputi pemahaman, penghayatan dan tindakan.

Contohnya kita lihat apa yang disebut oleh Dr. Hasan Langgulung ayat pertama turun menyuruh kita membaca. “Di satu pihak melibatkan proses mental yang tinggi, melibatkan proses pengenalan (cognition), ingatan (memory), pengamatan (perception), pengucapan (verbalization), pemikiran (reasoning) dayakreasi (creativity) di samping proses psikologi” (Pendidikan Islam – Suatu Analisa sosio-psikologikal. hal: 7-8).

Okey, kita diperingkat IPG bukanlah nak sempurna begitu, saya sekadar nak maklumkan bagaimana rangsangan iqra` boleh merevolusikan masyarakat sehingga lahirnya insan-insan rabbani.

Sebagai pelajar IPG, malah bakal disebut mahasiswa, persediaan semacam ini perlu ada. Kalau tidak ada perlu menyediakan diri ke arah itu. Kenapa? Kerana kita adalah bakal pekerja ilmu. Ertinya kita kena cari buku, setelah dapat fakta kena analisis fakta tersebut, kemudian cari hujjah-hujah sokongan supaya kita dapat buat ulasan samada pro atau kontra.

Bagi membuat ulasan kita perlu berada diaras pemikiran analisis dan sintesis. Analitikal untuk melihat kedalaman fakta, sintesis ialah untuk membuat ulasan terhadap fakta tersebut secara ilmiah dan matang. Dengan cara ini akan mengeluarkan kita dari budaya melonggok fakta tanpa sebarang ulasan. Jadi apa yang kita persembahkan tidak akan nampak kering. Sudah ada kuah dan dimasakkan dengan baik. Kekuatan pemikiran diperingkat analisis, sintesis dan penilaian akan membantu anda mempersembahkan semula fakta tersebut dalam dimensi baru, terkini, matang dan bervariasi.

Bergelut dan terlibat sama dalam lautan ilmu memang amat menyeronokkan. Apatah lagi jika ilmu itu mampu membawa kita untuk dunia dan akhirat. Malah amat malang bagi mereka yang sudah dikurniakan suatu suluhan terhadap kedua-dua bidang ilmu yang benar ini, tetapi dia bertindak meninggalkannya. Jangan takut dengan panggilan 'ustaz', kerana itu adalah suatu anugerah yang sangat mahal hasil daripada titik peluh kita bergelumang dengan kitab-kitab serta bimbingan tok-tok guru yang sangat tinggi semangat pengurbanannya. Mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat yang berganda di atas usaha mereka.

Sebab itu para pelajar PAI, waima apa pun kemahiran dan ilmu anda pelajari dan garapi dalam proses pembelajaran nanti, jangan sampai anda takut untuk dipanggil ustaz. Mungkin juga sebagai anak muda, anda bimbang tentang persiapan ilmu. Tak apa, peringkat umur anda sekarang (akhir belasan dan awal dua puluhan) adalah umur yang sangat manis untuk menuntut ilmu. Pelajarilah sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran samada melalui kuliah, tutorial biasa secara rasmi atau mencari tambahannya di masjid-masjid, surau atau tempat-tempat yang setaraf dengannya. Sekali sekala jangan lupa adakan program ‘mujalasatul ulama’ , ini adalah bonus untuk menambahkan lagi kemantapan dan kedalaman ilmu yang anda miliki.

Anda kena usahakan ini semua untuk kebaikan diri dan kerjaya anda. Bukan apa! Takut juga nanti bila anda berada di medan kerjaya sebenarnya, sekali lagi anda ditegur kerana membentangkan fakta-fakta yang kering. Bukan itu sahaja, dahlah fakta kering, takut-takut nanti disebut ‘ustaz kering’ pulak. Ingatlah kembali kisah dua Musa Bani Israil, iaitu Musa bin Imran dan Musa Samiri. Musa bin Imran dibesarkan di istana Fir`aun akhirnya menjadi nabi. Musa Samiri diasuh oleh Jibril pada peringkat pertamanya namun sejarah menceritakan ia menjadi pencetus masalah kepada Nabi Musa as.

Sebab itu di samping kepelbagaian buku dan kitab yang anda rujuk, jangan lupa tahqiqkan pula dengan 'Tok-Tok Guru' yang berkelayakan atau mu`tabar.

Belajarlah dari kesilapan. Nah! Mulakan sekarang, kerana belajar semasa usia begini disebut seperti mengukir di atas batu. Mungkin peringkat pertama agak sukar, tetapi sudah dapat susah nak hilang. Jangan fikirkan kesempurnaan terus. Kerana kita manusia tidak ada yang sempurna, kecuali nabi dan rasul. Namun jangan dinafikan usaha untuk menuju ke arah kesempurnaan. Ingatlah! Ilmu tidak akan datang kepada kita, kitalah yang mesti mencarinya, walaupun terdapat `sedikit' kesukaran. Mudah-mudahan Allah memberkati kita semua.

2 comments:

  1. manusia dan sampah???
    bagaimana pula teori dan praktikal???
    adakah individu yang gemar membaca itu berjaya mempratikkan teori mereka???
    dan
    adakah individu yang kurang gemar membaca itu zero dlam praktikal mereka?

    ReplyDelete