S
atu Januari 2009 merupakan tahun yang sangat bahagia bagi penulis. Soalannya kenapa?.
Ada beberapa jawapan yang boleh diberikan. Antaranya tahun ini merupakan tahun akhir penulis berkidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam. Ini bererti penulis adalah salah seorang yang bakal berpisah dengan kerjaya yang disandang selama 31 tahun, dan menjadi orang `bebas’.
Keduanya ialah kerana penulis tidak lagi menjadi Ketua Jabatan (KJ) Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM). Perubahan struktur terbaru Bahagian Pendidikan Guru menetapkan Ketua Jabatan mesti bergred DG 48 Hakiki, lain dari itu kena jadi pensyarah dan tidak dibenarkan lagi menjalankan tugas sebagai ketua Jabatan. Termasuk penulis, alhamdulillah. Sangatlah bersyukur.
Penulis sendiri memang jenis otak akademik, bukan otak pengurusan, itulah yang seronoknya. Terlepas memikirkan beban pengurusan, memikirkan tentang manusia dan kerenahnya. Sekarang hanya memikirkan tentang fakta-fakta akademik. Selalu penulis nyatakan kepada kawan-kawan, menguruskan fakta akademik tidak sesulit menguruskan manusia. Dalam akademik contohnya mengajar Rukun Solat, rukun tiga belas, kalau disebut salam dulu tak apa, takbir tak akan marah, niat tak akan marah. Rukun-rukun lain tak akan berkecil hati. Tapi kalau dalam pengurusan tersilap meletakkan seniority adalah yang akan terasa hati. Itulah manusia.
Bukan tak ada pengalaman dalam pengurusan, tapi mungkin juga kerana selama sebelas tahun sebelum bertugas di IPG KDRI, penulis banyak sangat terlibat. Dulu kena jadi Ketua Unit Pendidikan Islam dan Moral, sementara di luar banyak terlibat dalam pelbagai jawatan untuk satu organisasi gerakan Islam, dari jawatan ahli jawatankuasa, ketua itu, ini sampai kepada setiausaha dan ketua penerangan di peringkat negeri. Pengalaman itu mungkin menyebabkan kejemuan terhadap kerenah pengurusan menjadi-jadi.
Masih segar dalam ingatan semasa penulis semasa menjadi Ketua Unit Pendidikan Islam dan Moral (masa tu Pendidikan Islam belum lagi diiktiraf sebagai jabatan, hanya unit di bawah Jabatan Ilmu Pendidikan), terdapat beberapa kes yang perlu diambil tindakan tegas sesuai dengan prinsip Islam. Antaranya:
01. Tidak mahu membaca doa dalam majlis rasmi, yang salah satu agendanya agak bercanggah dengan Islam.
02. Mempertahankan pelajar perempuan yang tidak mahu memakai pakaian batik, tetapi meneruskan dengan memakai jubah.
03. Seorang bekas pelajar yang tidak mahu membuka purdah untuk menerima hadiah Avon.
Tindakan penulis menyebabkan pihak pengurusan pada ketika itu telah membuat laporan polis dengan mengatakan penulis mengajar ajaran sesat. Namun seperti biasa sebelum membuka fail siasatannya, pegawai polis telah memanggil beberapa orang pemimpin pelajar dan bertanyakan mereka benar atau tidak penulis mengajar ajaran sesat. Secara jujur pelajar tersebut menjawab. “Tuan!, Ustaz tu mengajar kami Pendidikan Islam, dia tak mengajar pihak pengurusan, kalau dia tu mengajar ajaran sesat, kami dulu yang membuat laporan, bukan mereka”.
“Itulah yang saya duduk fikir sekarang ni, saya agak dia orang tu gila agaknya”. Sambung pegawai penyiasat tersebut. Jawapan itu keluar dari mulut pelajar tanpa diduga. Tak ada pun penulis ajar suruh jawab begitu. Demikianlah kehendak Tuhan.
Akhirnya kes ditutup begitu sahaja. Perkara itu telah berlalu, namun ia tetap dikenang sebagai salah satu batu tanda dalam perjalanan, bahawa perkara-perkara yang melibatkan manusia amat cerewet dan perlu berhati-hati.
Selain dari itu penulis juga ditugaskan menjadi setiausaha bilik rekod pelajar (Hal Ehwal Pelajar). Selama sebelas tahun berada di sebuah instutusi pendidikan dulu, tidak kurang tujuh tahun kena pegang jawatan tersebut. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan pelajar kitalah yang kena cari failnya. Hampir semua kes pelajar biasanya akan melalui bilik rekod dulu, semuanya kami kena pastikan ikut salurannya. Masa tu bilik rekod pelajar tidak ada PAR atau kerani untuk membantu. Apa yang ada hanya kami (Pengerusi dan Setiausaha) yang sekaligus menjalankan kerja-kerja pengurusan, kesetiausahaan, perkeranian dan percetakan.
Kerenah pelajar pula almaklumlah, dari masalah biasa sampai kepada kes cuba menghilangkan borang perjanjian untuk menukarkan kerakyatan. Alhamdulillah setakat ini semuanya masih terkawal. Masih segar dalam ingatan di mana seorang bekas pelajar yang baru bertugas, (terikat dengan perjanjian) datang dengan muka separuh kesian. “Tuan, boleh tak saya pinjam borang perjanjian saya untuk saya fotostat, dan selepas itu saya akan kembalikan”. Katanya dengan penuh sopan.
Namun Pengerusi Bilik Rekod Pelajar menjawab. “Tak apa saya akan tolong fotostatkan untuk awak, tunggu ya”. Kata Pengerusi Bilik Rekod Pelajar. Walaupun pelajar tersebut beriya-iya benar meminta untuk meminjam dan memfotostatnya sendiri.
Rupa-rupanya dalam lembut begitu, ada muslihat di sebaliknya, kami dapat tahu selepas itu, bekas pelajar tersebut berhasrat untuk menukar kerakyatannya ke sebuah negara asing sebelum tamat perjanjian. Alhamdulillah taktiknya dapat disedari lebih awal. Borang yang ada dalam simpanan kamilah sebagai penyelamatnya.
Di suatu ketika lain pula, dalam satu organisasi, ketika mengendalikan mesyuarat, setiausaha dan ahli jawatankuasa berselisih pendapat sampai peringkat melemparkan fail. Namun sebagai pengerusi penulis berjaya damaikan kedua-duanya. Bukan apa!, seorang suka mengkritik, seorang lagi terasa seakan-akan semua kerjanya ada saja yang dipersalahkan. Yang satu ni pula mengkritik tanpa sebarang seninya, benganglah setiausaha tu. Masih lagi terngiang-ngiang kata-kata setiausaha tu sambil melemparkan fail. “Kalau you rasa bijak sangat!, ambiklah jadi setiausaha, I bukan kebulur sangat nak jadi setiausaha ni!”.
Satu ketika lain pula, entah macam mana guraunya sama-sama ahli, jenis panas baran, tiba-tiba nak bergaduh. “Kalau nak bergaduh! Jom kita bergaduh secara berjama`ah”. Kata seorang ahli.
Keduanya terus bangun dan menuju ke satu sudut untuk memulakan pergaduhan. Namun ada ahli lain yang berjaya mendamaikan mereka. Anehnya selepas berdamai boleh makan dan minum semeja, boleh gelak dan kutuk mengutuk pulak. Bila tiba nak bergaduh, bergaduh secara berjama`ah. Penulis pun pening memikirkan bagaimana bergaduh secara berjama`ah. Nak kata ada imam, tak pun nampak muka imam. Kedua-duanya hanya sekadar layak jadi makmum saja.
Di IPKT, sebelum ini nama penulis pernah dicadangkan untuk memegang jawatan Ketua Unit Bimbingan dan Kaunseling di Jabatan Hal Ehwal Pelajar, setelah En. Shaharuddin Abdul Jalil bertukar ke IPRM. Namun masih terselamat dengan adanya Puan Maimunah Zaharah. Tetapi sekali lagi aku hampir terkena apabila puan Maimunah bersara. Nama naik sekali lagi, penulis jadi cemas semula. Puas mintak tolong sahabat-sahabat solat hajat. Akhirnya Allah mentaqdirkan datang seorang hambaNya, Mohd. Sani, pensyarah baru yang mempunyai kelulusan dalam Sarjana dalam Bimbingan dan Kaunseling. Terselamat untuk kali kedua. Mohd. Sani akhirnya bertukar suka sama suka dengan Encik Idrul Hisham ke Institut Perguruan Sultan Mizan Besut. Hingga kini, Encik Idrul masih lagi memegang jawatan Ketua Unit Bimbingan dan Kaunseling. Penulis terselamat. Terima kasih banyak Encik Mohd. Sani dan Encik Idrul.
Namun setelah Wan Aziz bersara, penulis tak dapat mengelak lagi. Pernah dalam majlis persaraan beliau, penulis bisikkan kepada Pengarah IPKT ketika itu. “Tuan!, Kalau boleh carilah orang lain jadi KJ, saya ni tak minat, saya bukan orang pengurusan, saya orang akademik. Kalau ngajar, sebanyak mana pun saya terima, tapi pengurusan maaflah tuan!”. Pujuk penulis sedaya upaya.
“Heh! Mano ado orang lain lagi, demolah keno jjadinyo” . Jawabnya spontan dengan loghat Kelantannya. Memang dia orang kelantan pun.
Semasa Wan Aziz masih jadi KJ pun penulis pernah membayangkan supaya beliau menjadi KJ secara berterusan sehingga..... “Mu peganglah, tak dok orang lain doh!”. Katanya sambil mempamerkan sengeh biasanya. Memang Wan Aziz terkenal dengan sengehnya. Murah senyum dan tidak pernah menampakkan kerisauan. Itulah Wan Aziz, penulis selalu panggil `Wang Ajis’.
Sebagai KJ, prestasi anak buah adalah tanggungjawab kita, tak kena cara buat dan tak kena cara nilai, tersekat rezeki orang. Bila sekat rezeki orang fahamlah, bukan rezeki dia saja, termasuk rezeki anak isterinya dan..dan, senangke nak jawab depan Tuhan di akhirat besok. Apa saja yang tak kena pada anak buah, beritanya akan naik pada KJ, Pengarah akan tanya kenapa itu dan kenapa ini?, nak jawab pulak satu hal. Kalau perlu tegur dan nasihat anak buah, kenalah panggil dan buat begitu. Ini yang penulis tak berkenan ni, penulis pun bukanlah jenis sempurna. Nak beri nasihat kat orang, itulah yang tak tahannya. Cuma yang boleh masuknya atas tiket tazkirah. Legalah sikit. Penulis pun bukanlah sempurna sangat, dan memang tidak ada manusia yang sempurna atas muka bumi ini, kecuali Nabi Muhammad s.a.w.
Satu lagi bila terlibat dengan pengurusan ni, kena hadir mesyuarat. Mesyuarat dari yang tertinggi M3P sampailah kepada yang serendah-rendahnya. Masanya pula tak menentu, kadangkala suntuk maghrib. Penulis pula kalau asyik mesyuarat, otak mudah nak beku. Tahulah jenis orang kuat otak kanan ni, seni pun ada sikit, jenis tak suka didisiplinkan pun ada. Jenis penulis bukan boleh diletakkan dalam satu frame dan mesti ikut cara tu. “Hai, kalau gaya ni jawab dia dok makan ssikulah jawabnya”. Namun sebagai KJ penulis kena berada dalam situasi itu. Inilah yang membingungkan.
Mahu tak mahu, terpaksalah pikul tanggungjawab KJ. Puan Hajjah Habsah rakan sejabatan yang kebetulan sama-sama layak, siang-siang lagi dah tolak, tak mahu jadi KJ. Malah bila nak berbincang tentang jawatan tersebut, sebelum keluar surat perlantikan, awal-awal lagi dah tak mahu dengar. “Weil! Nak bbincang tajuk lain dak apa, tapi nak suruh jjadi KJ, tak mboh dengar”. Demikian getus Habsah.
Kadangkala geram jugak, jadi mahu tak mahu bila dah keluar surat perlantikan kena pikullah semampu mungkin. Sebab itulah 16 Disember 2008 setelah surat perlantikan KJ baru (Ustaz Saleh), dan Pengarah IPKT meminta supaya menyerahkan tugas, ianya amat melegakan. Suka juga penulis meminjam kata-kata seorang Professor yang terkenal, setelah dilepaskan jawatan pengurusan dan kembali kepada akademik, “Persis keluar dari satu bilik yang sempit ke padang sahara yang amat luas,ah! betapa leganya”.
Alahai KJ, itulah halnya. Kadangkala nampak semacam glamour, tetapi bila kena mesyuarat tak kenal waktu, itulah yang bengangnya. Teringat jugak satu soalan Munirah (anak), dengan manja bertanya di satu pagi hari minggu, “Ayah tak ada mesyuarat ke hari ni?”. Ada juga rasa nak balas balik kat anak, tapi bila fikir semula memang ya pun. Anak merakam setiap plot yang berlaku di depannya. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sampai begitu sekali. KJlah katakan, belum lagi yang lain.
Namun penulis bersyukur, selama setahun lebih menjadi KJ, penulis mendapat kerjasama yang amat baik dan memberangsang dari sahabat-sahabat di JAPIM. "Hinggakan bila out station sekali-sekala, isteri pula kadangkala terlupa nak bekalkan duit belanja kat anak-anak (Amin dan Munirah), sahabat-sahabat di JAPIMlah tolong selesaikan. Bila nak ganti, tak mahu pulak, tak payah kata mereka, sekali-sekala belanja kat Amin dan Munirah. Itulah sahabat-sahabat, terima kasihlah di atas segala-galanya, anda semua banyak menyelesaikan permasalahan”.
Demikianlah halnya pengurusan, kalau jenis otak akademik, akademiklah dia, bukan otak pengurusan. “Demikianlah penulis, KJ. Mungkin setengah orang seronok kerana memang jenis orang pengurusan, tapi bagi penulis memang tak boleh jalan punya, bukan orang pengurusan, Itulah penulis, demikianlah adanya, terima kasih ustaz Leh yang sudi jadi KJ. Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua”.
Monday, December 7, 2009
Demikianlah KJ
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
kagum dan terkesima bila bace post ust kali ni, mmg tak dinafikan menguruskan pengurusan tak kan same dgn uruskan akademik..walau bgaimanapun,syabas saya ucapkan kpd ust krane brjyr mnmpuh prkhdmtn mnjadi KJ slame sthun..semoga lps ni dpermudahkan ust jd PM ke, takpun paling kurang MB..he3..
ReplyDelete