Tuesday, December 8, 2009

Sembang-Sembang Dalam Perjalanan

P

agi itu, Selasa 29 September 2009, semasa dalam perjalanan ke pejabat di IPG KDRI, penulis dihubungi oleh al Fadhil Ustaz Salleh Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral yang memaklumkan berita sedih mengenai kematian bapa saudara dan neneknya. Solat jenazah akan diadakan pada jam 10.00 pagi nanti katanya. Penulis mengucapkan Innalillahi wa inna ilahi raji`un.

Jam 09.20 penulis bergegas ke bilik rehat pensyarah untuk mencari sahabat-sahabat yang berhajat ke Bukit Depu untuk solat jenazah seperti yang dijanjikan. Namun tak jumpa, maklumlah masing-masing ada tugas yang tersendiri. Akhirnya penulis ke bilik praktikum dan Tuan Haji Ahmad Zahari bersedia untuk ke sana. Alhamdulillah!.

Tepat 09.30 pagi kami mula bertolak ke Bukit Depu melalui jalan Pantai (Lapangan Terbang), Telaga Batin keluar ke Banggol Pauh, ke Jambatan Sultan Mahmud, akhirnya melalui Jalan Pasir Panjang dan terus ke Surau Bukit Depu. Alhamdulillah kami sampai tepat pada waktunya. Ustaz Salleh telah bersedia memberi taklimat mengenai cara untuk solat kedua-dua jenazah (seorang lelaki dan seorang perempuan), dan akhirnya solat jenazah tersebut berjaya disempurnakan.

Dalam perjalanan, walaupun pada pemikiran penulis nak cepat sampai ke destinasi yang dituju, sempat lagi Tuan Haji Ahmad Zahari menceritakan kepada penulis mengenai buku yang baru dibaca. Hasil Karya al Marhum as Syahid Dr. Abdullah Azzam. Buku mengenai Tarbiyah Jihadiyah. Secara yang amat mudah dan suara yang perlahan, beliau menyebut: “Apa yang saya sangat tertarik ialah bagaimana Dr. Abdullah Azzam menyebut tentang kekeliruan ummat kini mengenai pengertian jihad.dan langsung tidak merasa bersalah terhadap penyimpangan tersebut”.

Penulis amat teruja mendengar satu persatu buah bicara beliau, katanya ambil contoh solat, pengertian lughahnya (bahasa) ialah do`a. Namun dari sudut syara`nya, merupakan suatu agenda khusus yang di dalamnya mengandungi perkataan, perbuatan yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam. Untuk itu, andai orang mengambil solat dari sudut bahasa sahaja, maka mungkin mereka merasakan sudah bersolat andainya ia berdo`a. Tidak payah takbir, tak payah baca fatihah, tak payah ruku`, tak payah sujud dan sebagainya. Tetapi walaupun anda berdo`a sepanjang hari pun, kemudian anda tanyalah sesiapa sahaja yang waras akalnya, adakah itu solat, maka jawapannya itu bukan solat, itu adalah do`a, dan tuntutan solat pasti tidak akan terlepas dari diri anda. Kecuali orang yang tidak waras sahaja akan mengatakan anda solat. Jadi untuk solat anda tetap kena buat ikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah. Kena ambil wudhu`, kena bertakbir dan menyempurnakan semua rukun yang ada dalam solat. Barulah terlepas tuntutan solat untuk anda. Barulah anda disebut orang yang mengerjakan solat. Kerana solat mesti dilakukan mengikut kehendak Allah, bukan mengikut kehendak manusia.

Contoh yang kedua ialah siyam (puasa). Dari sudut bahasa ialah menahan diri. Dari segi syara`nya ialah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan minum dan memuaskan nafsu syahwat bermula dari terbit fajar sehingga jatuh matahari. Soalannya adakah kita dikira berpuasa hanya sekadar menahan diri, tapi dalam masa yang sama kita makan kuih, kita mengumpat mengeji dan sebagainya. Dan dalam masa yang sama kita tidak ikut apa yang diprosedurkan dalam disiplin dan syarat-syarat puasa. Tanyalah seratus orang pun, mereka tetap akan mengatakan anda tidak berpuasa. Sebab itu mogok lapar tidak di isytiharkan sebagai puasa. Apatah lagi dengan tatacara sahurnya yang amat diberatkan oleh baginda Nabi s.a.w. Sehingga dalam suatu isyaratnya yang lebih kurang bermaksud: “Bersahurlah walaupun dengan seteguk air, kerana sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan dan dalam isyarat lain ianya boleh membezakan puasa umat Islam dengan puasa Ahlil Kitab”. Ini memberi pengertian kepada kita bahawa segala sesuatu yang diperkenalkan oleh Allah dalam Islam itu perlu diteliti supaya benar-benar berbetulan dengan ruh syari`at itu sendiri.

Begitulah halnya dengan Haji atau umrah, yang disebut berpergian ke Tanah Suci. Dari satu sudut lain bermaksud berpergian ke Tanah Suci dengan mengerjakan segala yang telah disyari`atkan menjadi fardhu, rukun, wajib atau sunatnya semasa berada di sana dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh Islam. Ambil contoh, anda pergi ke Makkah, sekadar melancung, tetapi anda tidak menunaikan segala rukun dan wajibnya. Menetaplah di sana sepuluh tahun pun, boleh berbahasa Arab dengan fasih. Usahlah berbangga anda telah berhaji, kalau macam itu unta boleh dikira hebatlah. Kerana unta ada yang lahir di sana, menerima arahan dalam bahasa Arab. Apa beza dengan anda?. Abu Jahal juga begitu, lahir di Makkah, makan pakai di Makkah, malah mati pun di sana. Begitu juga dengan Abu Lahab. Lagi hebat, hinggakan ada satu surah yang menceritakan tentangnya. Di dalam sirah diceritakan bagaimana ada segelintir masyarakat jahiliyyah yang tawaf bertelanjang (untuk mudah mesra dengan Kab`bah agaknya) sambil bertepuk tangan (Lihat juga al Anfal 8:35). Namun Allah tetap tidak mengiktirafnya sebagai alhaj. Untuk itu sekiranya disiplin haji tidak diambilkira maka kita tetap tidak dinobatkan sebagai penunai ibadat haji. Tuntutan ibadat tersebut masih lagi tertanggung atas diri kita.

Penulis terkedu bila memikirkan semuanya ini. Demikianlah dengan jihad yang sangat disalahertikan oleh ummat kini. Jihad dari sudut bahasa bermaksud bersungguh-sungguh, sementara dari segi syara`nya bermaksud menggunakan seluruh kekuatan dan daya upaya berperang melawan orang-orang kafir sehingga tertegaknya Islam dan mereka tunduk kepada Islam. Sehingga mereka dapat melihat keindahan Islam itu terpamer dalam wajah yang sebenarnya sebagai pemerintah di atas muka bumi.

Tanpa kefahaman sebenar menyebabkan masing-masing menggunakan istilah jihad sesuka hati. Bila ekonomi meleset, timbullah jihad ekonomi, jihad membasmi kemiskinan, jihad itu, jihad ini dan sebagainya. Akhirnya ada yang boleh goyang kaki dengan hanya menyebut perkataan jihad. Walhal setitik peluh pun belum terhasil untuk mempastikan Islam dapat dilaksanakan di atas muka bumi. Menjadikan masing-masing boleh menjadikan semua aktiviti untuk menaikkan imej Islam sebagai acara bermusim. Bila bulan da`wah diperkenalkan, atau sempena hari-hari tertentu, maka galaklah kita bercakap tentang Islam. Untuk apa? Sekadar memenuhi agenda yang dikehendaki dalam mesyuarat tahunan dan sebagainya. Masa itulah semuanya menyibukkan diri, tak sibuk pun buat sibuk, tak bertudung pun bertudunglah. Habis bulan habis cerita. Habis musim berlalulah ia.

Di satu pihak lain pula menjadikan umat Islam terbahagi kepada pelbagai puak, ada yang suka belajar kitab (talaqqi), tak suka dengar ceramah, langsung tak ambil kira persekitaran. Pada mereka belajar kitab, memondok amat penting untuk menjadi bekal dan pengisian peribadi. Satu lagi sekadar suka dengan ceramah, dalam ceramah ada unsur-unsur motivasi, semangat ada dan mampu menggerakkan diri untuk menyertai mereka yang berjuang menegakkan Islam, namun ilmu mungkin kurang, apa yang ada sekadar bekalan dari ceramah-ceramah saja. Pada penulis kombinasi kedua-dua ini amat penting. Untuk berjuang ilmu mesti ada, mengadap tok-tok guru dan mahirkan dengan kepelbagaian ilmu Islam amat penting. Tapi dalam masa yang sama siri ceramah dan kuliah semasa juga perlu diikuti.

Soalannya kenapa?. Talaqqi atau menadah kitab amat penting terutamanya dalam mengekalkan apa yang dipelajari dalam ingatan. Dengan talaqqi menjadikan kita benar-benar faham dengan sebuah kitab, kerana satu demi satu perkataan yang diungkapkan di dalam kitab akan dibahaskan oleh ilmuan yang mengajar. Murid juga akan memperdengarkan hafalan dan pemahaman mereka untuk semakan. Sesuatu yang ditalaqqi amat banyak keberkatannya, hinggakan ada yang akan terus melekat sampai ke mati. Maklumlah peluang berdepan dengan tok-tok guru pondok adalah era keemasan bagi setiap pelajar. Belajar kitab-kitab tua (kuning) atau kitab Arab dalam satu-satu masa bukan banyak. Kadangkala baca hanya sekadar dua tiga baris sahaja, yang panjang adalah syarahnya. Dalam syarahnya itulah kita dapat lihat perbendaharaan ilmu yang ada pada tok-tok guru. Ini akan menjadikan pelajarnya pakar dalam bidang-bidang tertentu. Sangat mantap.

Penulis sendiri pernah bersembang dengan ustaz Rahim, salah seorang pensyarah JAPIM, mengenai sistem ini. Menurut ustaz Rahim, apa yang hebat di pondok-pondok ialah keikhlasan tok-tok guru untuk menyampaikan ilmu sangat tinggi. Tanpa memikirkan gaji dan ganjaran dunia. Apa yang penting ialah ilmu dapat diwariskan kepada pelajar dan membentuk generasi pewaris ambiya`. Namun kadangkala pelajarnya hanya mewakili bidang-bidang yang ditalaqqi sahaja. Tidak ada kemampuan memperoses dan menganalisis isu agak kurang.

Bila di sana kurang, kat mana kita nak perolehinya?. Aspek ini pula perlu diperkemaskan dalam kuliah-kuliah dan cermah-ceramah ilmuan terkini. Dalam kuliah dan ceramah kita dilatih mendengar syarahan para ulama, menyalin nota berdasarkan fakta yang dihamburkan. Tanpa kefahaman mustahil nota dapat disalin. Ruang bersoaljawab dengan pensyarah, kadangkala berlaku cabar mencabar, didesak dengan provokasi yang kita terpaksa berpenat lelah dengannya dalam setiap sesi kuliah yang berlangsung. sangat penting untuk berdepan dengan cabaran ideologi terkini.

Satu jam berlalu mungkin tidak cukup. Perbincangan dalam bilik kuliah akan dilanjutkan dengan pembacaan dan kajian pemahaman di luar kelas. Itu asasnya. Kesemuanya ini adalah penting untuk melahirkan ilmuan Islam yang memiliki pemikiran yang kritis, kreatif dan inovatif. Dalam kuliah dan ceramah fakta-fakta mungkin disebut secara umum, tetapi jangan lupa di sanalah kita dapat mengambil pengalaman mengolah sesuatu item dan dikaitkan dengan isu-isu semasa. Ini menjadikan apa yang diperolehi lebih segar, ceria dan mampu berdepan dengan suasana semasa dan membentuk semangat untuk berjihad.(lihat juga Hasrizal Abdul Jamil, Rindu Bau Pohon Tin hal: 61-65).

Memang begitulah sistem pengajian mutakhir ini. Bentuknya tidaklah sepadu dan sepadat seperti yang diasaskan oleh baginda s.a.w. Mudah-mudahan kombinasi ini paling tidak akan menjadikan kita lebih hampir kepada sistem yang diasaskan oleh Islam pada peringkat pertama. Berilmu, beriman dan beramal.

Tentang buat kerja untuk mempastikan terbinanya negara Islam (jihad), merupakan kewajipan bagi setiap individu. Malah kalau kita membelek-belek lembaran al Qur`an, nescaya kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang menyindir manusia yang bercita-cita untuk masuk syurga dalam keadaan yang belum lagi terbukti sebarang khidmat bakti dan sumbangannya terhadap perjuangan Islam (Ali-Imran: 200, al Baqarah 214, al Ankabut:2).

Meneliti ayat-ayat begini akan menjadikan kita rasa sangat kecil diri ini. Kadangkala terasa amat mengada-ngada terhadap Allah, amal tidak seberapa namun tetap minta nak masuk syurga, malu sungguh, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Layak ke tidak. Mintak tu tak salah, memang Allah suruh mintak, tapi buat kerja lagi Tuhan suruh. Kerana Islam agama Allah. Kalau Allah suruh kena buat. Jangan main-main. Jadi apa yang pentingnya buat kerja dulu. Lepas tu Allah nak letak kat mana terpulanglah. Kerana Allah pasti tidak akan akan memungkiri segala janji terhadap hambanya.

Demikianlah halnya sembang-sembang dalam perjalanan ke Surau Bukit Depu

1 comment:

  1. dalam proses mnuntut ilmu, segale kombinasi kaedah belajar seperti yg ust sebutkan itu amat2lah penting,kita x blh hanye tmpu smate2 pd 1 kaedah sahaje.,syabas ust!perkongsian yg amat mntap.. (^_^)

    ReplyDelete