Wednesday, December 9, 2009

APA ITU STRESS?

S

tress adalah istilah payong yang merangkumi tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh,anxieti, kemurungan dan hilang daya.

Gejala stress ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.
Perasaan berkemampuan dan berkesan adalah mustahak pada seseorang individu. Menyedari yang diri adalah cekap dan efektif (dalam mecapai apa yang dihajati dan melaksanakan segala tanggungjawabnya) adalah prasyarat penting pada kebanyakan individu profesional dalam penerimaan diri, nilai diri yang positif dan kesejahteraan hidupnya.Jika kepentingan ini terlampau kuat dalam diri seseorang itu, maka ia akan lebih cenderung kepada stress yang dicipta dalam dirinya sendiri.
Reaksi stress adalah unik kepada individu itu. Apa yang kita definasikan sebagai stress, bagaimana kita beraksi kepada stress dan bagaimana baiknya kita mengawal stress adalah bergantung kepada bagaimana individu itu menerima dirinya dan orang lain. Seperti juga penerimaan seseorang itu kepada kebahagian dalam kehidupan, ianya adalah begitu subjektif.
Faktor persepsi adalah penting dan bermistri. Kerap kali apa yang dianggap racun kepada seseorang itu adalah madu pada orang lain. Sesuatu rangsangan luaran yang identikal itu boleh menghasilkan pengamatan yang berbeza di antara dua individu yang berlainan dan seterusnya menghasilkan tindakbalas yang berbeza. Sebab itu lah ada orang yang cepat merebut peluang kerana dia dapat melihat itu sebagai pembukaan kepada kejayaan, dan disebaliknya ada orang yang membiarkan peluang yang sama berlalu kerana ia melihatnya sebagai punca kepada kerugian atau kegagalan.
Bagaimana kita mengamati kehidupan adalah ditentukan oleh cara kita menerima diri sendiri. Oleh itu sesuatu realiti itu bukan dijadikan untuk kita, tetapi dibentuk oleh kita sendiri. Bergantung kepada diri seseorang, ada orang yang bangkit dengan cabaran dalam kesukaran kehidupan, ada orang yang menggelak, ada yang terus hidup bergelumang dengan kesukaran dan ada yang terus hilang daya dengan manifestasi gangguan saraf, sistem kardiovaskular ataupun kecelaruan psikiatri.

STRESS YANG MEMBANTU
Stress sebagai reaksi akut, adalah reaksi yang mempertahankan atau melindungi diri. Ianya merangsang diri untuk bertindak. Hormon adrenalin dan rangkaian hormon-hormon lain merangsang tubuh untuk bersedia samada untuk melawan atau lari.
Stress ini juga perlu untuk merangsang diri bertindak dan boleh memotivasikan dan menginspirasikan seseorang itu untuk mengerah segala sumber,dan potensi diri untuk kejayaan di luar keupayaan biasanya. Untuk mendapat kejayaan optima dalam kehidupan memerlukan penekanan pada diri. Rahsia kejayaan adalah membentuk imbangan supaya kita tidak terlampau menekan diri dan tidak terlampau leka. Tampa kesedaran ini tekanan kreatif boleh bertukar menjadi stress yang memudaratkan. Jadi reaksi stress itu tidak boleh dikatakan baik atau tidak, tetapi bergantung kepada cara kita bereaksi kepada stress dan mengendalikannya untuk menentukan samada ia menjadi dorongan yang kreatif atau musuh yang merosakkan diri.
STRESS YANG MEMUDARATKAN
Pendedahan yang berulang dan berterusan kepada stress boleh melemahkan seseorang kepada penyakit fizikal, emosi yang tidak stabil, kecelaruan mental dan kerohanian yang tidak tenteram.
Ini menjadi lebih teruk jika dalam kehidupan tiada aktiviti riadah dan bersantai yang membentuk keseimbangan. Ketiadaan aktiviti ini akan membuat diri hilang kecekapan mengendalikan stress. Ini adalah kerana persepsi diri keatas aspek-aspek kehidupan akan terjejas.
Selain dari itu stress juga memudaratkan jika ia berpunca dari kelakuan yang tidak sesuai atau tidak praktikal. Pernahkah kita mengalami perasaan marah apabila terperangkap ditengah kesesakan jalan raya, atau marah kepada kerani yang pemungut bayaran bill kerana terpaksa menunggu lama.
Ataupun, stress paling memudaratkan jika kita memilih untuk terus bergantung kepadanya tampa merelakan ia berlalu, walaupun punca stress itu telah bertahun-tahun berlalu. Di sini anxieti, kemarahan, perasaan bersalah dan ketakutan adalah menifastasi stress yang terus bermain di minda dan perasaan kita. Contoh stress seperti ini ialah perasaan keciwa dengan peristiwa-peristiwa lama atau perasaan hasad dengki dalam diri kita.
Belajar bertenang, melepaskan dan merelakan adalah penting untuk keharmonian dalam diri, kebahagian dan kesihatan.
CARA KITA BEREAKSI KEPADA PUNCA STRESS BIASANYA ADALAH LEBIH MEMUDARATKAN DARI PUNCA STRESS ITU.
Harmoni dalam diri adalah penting untuk pemikiran yang kreatif, pengamatan yang jelas dan tepat, membuat keputusan yang baik, dan menyelesaikan masalah. Jika tiada harmoni dalam diri pengamatan juga akan gagal, kerana mata kita mematuhi aksi minda. Contohnya jika kita berada dalam keadaan murung maka kita akan mudah merasa hilang daya apabila berhadapan dengan cabaran. Apabila kita hilang daya maka bukit akan kelihatan setinggi gunung, dan kolam seluas dan sedalam lautan; kehilangan daya ini juga akan membuat kita gagal melihat kepada sumber atau potensi yang sebenarnya ada pada diri.
"Kita sebenarnya tidak diganggu oleh sesuatu yang berlaku tetapi oleh pendapat kita tentang apa yang berlaku" Jadi untuk memulihkan harmoni dalam diri kita mestilah belajar mengenali dan membaiki pengamatan, sikap dan kepercayaan pada diri. Hidup dengan baik dalam diri dan kita dan kita akan belajar hidup dengan baik dengan dunia sekeliling kita.
Keadaan kegelisahan yang berpanjangan menghasilkan paras hormon-hormon adrenalin dan cortisol yang lebih tinggi. Terlampau banyak adrenalin membuatkan diri cepat marah, penat dan gelisah. Terlampau banyak cortisol akan menekan fungsi pertahanan badan dan memudahkan diri mendapat penyakit. Tampa rihat, rekreasi dan masa untuk pulih dari ketegangan akan menyebabkan stress bertindih di atas stress yang sebelumnya dan ini akan memudaratkan badan. Pertahan yang paling baik ialah imbangan.

KEKUATAN DALAMAN:-
KEBERANIAN
"Orang bijak yang terperangkap dalam ribut tidak berdoa supaya diselamatkan dari bahaya, tetapi berdoa supaya disisihkan dari ketakutan. Sebenarnya ribut dalam diri yang membahayakan dirinya, dan bukan ribut diluar".
Stress beganding erat dengan ketakutan.Takut kegagalan, takut dalam pengharapan, takut perubahan, takut keseorangan, takut imag diri yang tidak baik, takut kejayaan, takut akan tidak dapat melakukan sesuatu adalah di antara bermacam-macam jenis takut. Takut tidak dapat melakukan sesuatu ada kalanya menghalang seseorang itu memulakan sebarang usaha. Penawar paling baik kepada takut tidak dapat melakukan sesuatu ialah dengan terus melakukannya.
Takut seperti juga stress ada positif dan ada negetifnya. Langkah pertama kepada pengawalan stress ialah keberanian, berani untuk menerima perasaan takut dan mengawal atau menakluki ketakutan itu. Bila berhadapan dengan ketakutan adalah lebih wajar mengambil kira hakikat/realiti dan bukan dogengan atau kebimbangan yang tidak realistik.
PENERIMAAN
Banyak orang telah mengalami stress tetapi terus dengan cara kehidupan yang sama dengan menggunakan penafian. Seseorang itu akan menggunaka mekanisma minda untuk mempertahankan diri dari sedar akan keadaannya yang sebenar.Antaranya ialah menidakkan atau merationalisasi perbuatannya itu mempunyai sebab-sebab yang boleh diterimanya. Contohnya seorang perokok itu menidakkan keadaan paru-parunya yang tidak sihat dan mengatakan merokok itu baginya melegakan stress. Mekanisma mempertahankan diri ini agak sesuai dalam mengendalikan diri semasa berhadapan dengan stress yang besar tetapi bukan cara yang baik untuk megatasi masalah atau stress yang berpanjangan.
Pengawalan stress yang berjaya ialah dengan bersikap "Apa yang boleh dilakukan" dan tidak "Kalaulah………" Dengan penerimaan dan bertindak melegakan stress yang memudaratkan akan membantu diri kita hidup dalam keadaan sihat dan cergas.
PERASAAN
Adakalanya bukanlah sangat sesuatu yang berlaku yang mencetuskan stress tetapi perasaan yang terbangkit oleh peristiwa tersebut yang mendatangkan stress kepada seseorang.
MENDENGAR DAN MEMERHATI KEADAAN BADAN
Dengar dan memerhati diri dan bahasa badan.Kebanyakan masanya kita mengabaikan petanda-petanda awal akan keadaan diri yang tegang. Contohnya seseorang itu akan terus hisap rokok walaupun kerap batuk dan sesak nafas, terus mengambil lebih banyak kerja walaupun badan mengalami keletihan dan perasaan mudah terganggu. Ada kalanya stress lebih meningkat kerana kita megabaikan signal-signal awal yang dikeluarkan oleh tubuh kita.
EXPRESSI
Kawan yang paling bernilai adalah mereka yang boleh mendengar dengan baik. Memendam rasa dan kebimbangan akan menyuburkan lagi stress. Dengan melahirkan kebimbangan atau ketakutan adalah langkah pertama membolehkan diri berhadapan dengan stress, mengawalnya dan seterusnya melepaskan stress tersebut.
Berhadapanlah dengan stress, dengan becakap, menulis, menyayikannya, ketawa, menangis dan lain-lain lagi. Cara ini membantu kerana dengan melahirkannya, akan menjelaskan dan meletakkannya sesuatu konflik kepada perpektif yang lebih objektif. Ekspresi menggalakan penyembuhan.
Menulisnya boleh membuatkan yang subjektif lebih objektif, yang tak sedar di bawa kepada kesedaran dan yang tak terlahir kepada yang dilahirkan. Tulis tampa tapisan, bebas, berterusan dan tampa kritikan. Selepas itu simpan kertas itu ditempat yang selamat, dan analisanya secara objektif tampa terlalu beremosi, 1 jam, sehari atau seminggu selepas itu.
Satu lagi cara ialah dengan menulis diari stress setiap hari. Dengan cara ini kita akan lebih peka akan pertalian pemikiran dan perasaan kita dan seterusnya dapat memperbaiki bentuk-bentuk pemikiran dan perasaan yang negatif.
SAHABAT

Perkongsian masalah dengan sahabat akan menggandakan keseronokkan dan mengurangkan penderitaan. Setiap kita mengalami kesukaran kehidupan yang membolehkan kita berkongsi cara-cara penyelesaian. Hujan tidak menimpa ke atas bumbung rumah kita seorang sahaja. Pengasingan dan kesunyian boleh menukar perpektif keatas masalah menyebabkan masalah itu dirasai lebih berat.
SOKONGAN

"Seseorang itu merasa sunyi kerana ia cenderung membina pagar dari membina jambatan". Sokongan dari keluarga, kawan-kawan, ahli komuniti, profesional dan pertubuhan kebajikan boleh meringankan stress yang terhasil dari krisis kehidupan yang besar.
KUMPULAN PENGURUSAN STRESS
Adakalanya menyertai kumpulan-kumpulan pengurusan stress yang profesional boleh membantu menguruskan diri dan mempelajari cara-cara menggunakan stress untuk kebaikan dan mengawalnya dari menekan diri sehingga kemudaratan.
ADAKAH STRESS ITU SAYA PUNYA?
Sikap dan penyakit orang lain mudah berjangkit. Manusia ada tabiat untuk mengalihkan stressnya kepada orang lain. Pernah anda merasa tertekan dengan kemarahan dan kelakuan negatif dari ketua, ibu-bapa atau pasangan anda?. Agak senang bereaksi kepada mood orang lain dan adakalanya tampa kita sedari kita telah menyerapi stress yang diluahkan oleh orang lain .
Langkah terbaik ialah dengan menerima perasaan orang lain, dengar kepada masalahnya, beri simpati, nasihat atau maklumbalas, tetapi jangan mengizinkan orang lain menanamkan stressnya ke dalam diri kita. Kita perlu sedar tentang identiti diri sendiri.
BERTINDAK
Kita hanya mendapat imbuhan dalam hidup ini dengan bertindak. Pengalaman stress memerlukan reaksi. Dalam banyak hal reaksi ini ialah "lawan atau lari". Dengan lain perkataan kita mengatasi masalah dengan tektik lawan iat itu berkonfrontasi, bersikap asertif dan positif, atau dengan mengunakan taktik lari iaitu mengelak, relak dan tidak mengindahkannya. Selain dari lawan dan lari reaksi ketiga yang mungkin terjadi ialah terus kaku. Reaksi kaku yang biasa dimanifestasikan ialah panik, anxieti, keraguan, melenggahkan kerja, dan bersikap "kalau lah.....".
Jadi bila berdepan dengan stress, dari terus berada dalam keadaan gelisah dan kebimbangan, adalah lebih baik mengarah diri untuk memikirkan "Apakah yang boleh saya lakukan sekarang ini untuk mengurangkan stress?" Dan kita akan sedar bahawa selepas 15 min melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan, kita akan makin hampir dengan penyelesaian. Dengan melenggahkan penyelesaian beban stress akan terkumpul dan adakalanya menjadi kronik.
LANGKAH DEMI LANGKAH
Semasa mengalami stress perkara yang perlu dikerjakan akan dirasai begitu besar dan sukar. Jika kita memikirkan secara keseluruhannya maka kita mungkin sukar untuk memulakan usaha kita. Begitu juga dengan seorang yang bakal menjadi seorang jutawan, dia perlu belajar mengutip wang sen sebelum mengutip wang ringgit. Jadi rancangkan tugas dan tanggungjawab anda kepada bahagian-bahagian yang kecil dan lakukan serta bereskan satu persatu. Ingat, perjalanan yang jauh itu bermula dengan langkah yang pertama.
Buatkan senarai mengikut kepentingan kerja dan buat satu persatu mengikut kadar yang kita mampu. Mungkin untuk setiap senarai kerja yang kita mampu bereskan kita boleh menghadiahkan diri kita dengan sesuatu yang kita idam-idamkan. Langkah ini adalah baik untuk terus menggalakkan usaha kerana ia akan mengukuhkan semangat kita untuk mengulangi kejayaan yang sama atau yang lebih baik.
MENUKAR PERSPEKTIF
Sesuatu masalah ada lebih dari satu penyelesaian. Cari pendapat baru, sudut baru, pemerhatian yang lebih teliti, mejauhkan diri dengan cara melihat masalah kita itu dari kedudukan orang lain adalah di antara permainan minda yang boleh membantu mengawal stress. Ketawa, relaks, senaman, meditasi,sembahyang, komunikasi, hiburan, persahabatan adalah cara-cara praktikal untuk mengurangkan stress.
FILOSOFI KEHIDUPAN
Stress begitu merbahaya apabila ia sampai keperingkat di mana kita hilang keupayaan melihat sesuatu dalam perpektif yang sebenarnya. Peribahasa Parsi, "Saya meratapi ketiadaan kasut, sehinggalah saya menemui seorang yang ketiadaan kaki". Sesungguhnya kita ada contoh dikalangan masyarakat kita sendiri iaitu "Tuah", Tokoh Maal Hijrah yang lalu. Menyelami penderitaan yang dipaparkan oleh orang yang lebih tidak bernasib baik, sepatutnya membolehkan diri kita berdepan dengan masalah peribadi yang kita alami.
Selain dari membandingkan diri dengan orang yang lebih tidak bernasib baik, kita juga boleh membandingkan masalah sekarang dengan masalah-masalah lalu yang telah kita atasi dengan jayanya. Latihan ini membolehkan diri kita mengigati yang kita ada kekuatan dan kebolehan.
PEMIKIRAN POSITIF
Peribahasa Cina mengatakan "Lebih baik menyalakan lilin dari menyumpah akan kegelapan". Semasa mengalami stress ada kalanya minda kita seolah-olah diprogramkan supaya hanya melihat dan memikirkan perkara yang negatif sahaja. Rasa tidak terdaya, rasa di singkir, rasa tidak disayangi, rasa tiada harapan dan lain-lain.
Dikala berfikiran negatif ada kalanya baik kita memikirkan:
1. Apakah kekuatan saya? Kenalpasti kemahiran, kebolehan dan bakat yang ada. Sedarkan diri kepada apa yang kita boleh buat. Jangan hiraukan apabila minda cuba mengatakan "TIADA atau TIDAK".
2. Tanya pada diri "Apakah pengajaran yang tersirat dalam stress ini?" Berhenti dari mencari kesalahan orang lain, dan buat perubahan yang perlu pada diri. Dengan hanya melihat kepada salah orang lain dan mencuba menukar sikap orang lain, kita hanya menambahkan stress kepada diri sendiri.
3. "Apakah peluang yang ada dalam stress ini" Berhenti dari terus memberi fokus kepada jalan mati atau sesuatu yang tidak dapat diubah.
4. "Apakah perkara positif dan perkara yang mesti dilakukan untuk membuat perubahan ke arah yang lebih positif?
REAKSI DALAMAN
Adakalanya kita tidak dapat menghindarkan sesuatu yang tidak baik dari terjadi pada diri, walaubagaimanapun kita boleh memilih cara kita bereaksi kepadanya. Pilih reaksi merelakan dan meredakan jika sesuatu keadaan itu sudah pasti tidak dapat diubah lagi.
KESYUKURAN
Stress yang merbahaya boleh terhasil kerana kepercayaan kita - iaitu kepercayaan yang kehidupan ini penuh dengan beban dan masalah. Jika ini kepercayaan kita maka kita mudah lupa untuk bersyukur ke atas sesuatu yang baik yang ada pada diri kita. Hilang kesyukuran bermakna kekurang kekuatan dalam diri.
Banyak masanya kita lupa erti kebolehan melihat, bernyawa, mendengar, membaca, berdiri, bercakap, merasa, dan lain-lain lagi. Mungkin jika kita sudah kehilangannya barulah kita dapat menghargai bertapa indah dan nikmatnya keupayaan-keupayaan tersebut.
MENGELUARKAN PELUH
Bersenam adalah cara yang sangat penting dalam melegakan stress yang terkumpul. Pernahkah kita fikirkan kenapa stress begitu mengancam di kehidupan zaman moden ini. Pada zaman dahulu kala, aktiviti memcari rezeki setiap hari adalah jauh lebih bahaya daripada kita yang hidup di alam serba moden ini. Walaupun begitu orang dahulu kala tidaklah mengalami kemudaratan yang dipanggil stress. Ini adalah kerana corak hidup orang dahulu banyak menggunakan tenaga fizikal mereka dan ini bukan sahaja mengunakan hormon-hormon yang dikeluarkan semasa dalam keadaan tertekan tetapi juga meningkatkan daya kardiovaskular mereka.
Aktivit fizikal juga dalam kadar yang berat dan sederhana berat akan membuat badan kita mengeluarkan hormon endorfin, yang seakan sama dengan morfin. Oleh kerana ia dikeluarkan dari dalam badan dengan kadar yang terkawal dan bersesuaian maka ia banyak mendatangkan rasa kelegaan dan akan mengukuhkan semangat seseorang untuk meneruskan aktiviti fizikalnya itu.

Setiap orang perlu meluangkan masa untuk melakukan sesuatu atau tampa melakukan sesuatu dengan bersendirian. Masa sebegini adalah teramat penting bagi seseorang itu mengrefleksi keatas pengalaman kehidupannya. Masa berseorangan ini adalah baik dalam mendatangkan kepekaan pada diri sendiri. Mungkin anda seorang ibu atau bapa yang begitu sibuk dengan tugas seharian dan hanya memikirkan masalah-masalah dan kehidupan orang lain. Masa sebegini amat baik jika dilalui dalam keadaan bermeditasi atau berelaksasi.
KHIDMAT
Selain dari bersendirian, khidmat kepada orang lain juga mendatangkan lebih makna dalam kehidupan. Ini amat penting jika seseorang itu begitu banyak masa terluang, kerana berada dalam keadaan bosan juga adalah merupakan satu bentuk stress. Gunakanlah masa sebaik-baiknya dan masa yang terluang paling baik jika dihabiskan ke jalan kebaikan kepada orang lain.
Dalam melakukan kerja resmi juga kita sepatutnya memasukkan semangat dan keinginan untuk memberi khidmat dan bantuan yang sebaik-baiknya. Contoh yang paling senang ialah dengan menampilkan wajah dan senyuman yang mesra bila berhadapan dengan mereka yang memerlukan khidmat anda. Sesungguhnya banyak sumbangan yang boleh kita berikan tampa melibatkan sumber luar dan wang ringgit.Kelakuan yang cergas dan perilaku yang ceria akan dapat menukar perasaan ke arah yang lebih ceria juga.
Dr. Hasanah Che Ismail
Medical Lecturer & Psychiatrist, Department of Psychiatry,
Hospital Universiti Sains, Kubang Kerian, 16150
Kelantan, Malaysia.

No comments:

Post a Comment