Wednesday, January 18, 2012

Beberapa Catatan Mengenai Wanita

Allah menjadikan bagi Adam pasangannya Hawwa, kemudian memerintah pasangan ini supaya tinggal di dalam syurga. Mengenai kejadian Hawwa, ada yang menyebut dari tulang rusuk Adam, berdasarkan kepada beberapa hadis Nabi saw:

استوصوا بالنساء خيرا فإنهن خلقن من ضلع وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه فاستوصوا بالنساء خيرا

Peliharalah perempuan itu sebaik-baiknya, kerana sesungguhnya perempuan dijadikan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya yang paling bengkok pada tulang rusuk itu ialah sebelah atasnya. Maka jika engkau cuba meluruskannya, nescaya engkau patahkan dia. Dan jika engkau tinggalkan saja, dia akan tetap bengkok. Sebab itu peliharalah perempuan itu baik-baik (Muttafaq `alaihi).

Berkaitan dengan kejadian wanita Prof. Dr. Hamka menyatakan:

• Apabila kita perhatikan bunyi hadis di atas dengan saksama, tidaklah dapat dijadikan alasan untuk mengatakan bahawa perempuan, atau terutama Siti Hawwa, terjadi dari tulang rusuk Nabi Adam (Azhar 1, hal. 166).

• Tidak tersebut sama sekali dalam hadis ini dari tulang rusuk Adam. Yang terang hadis ini membuat perbandingan dari hal yang bengkok atau bengkoknya jiwa perempuan, sehingga payah dibentuk, sama seperti tulang rusuk yang sama sekali tidak dapat diluruskan, kalau dibiarkan saja tidak dihadapi dengan sabar , bengkoknya akan terus (hal. 166).

• Dalam hadis lain disebut:
‏المرأة كالضلع إن أقمتها كسَرْتها ..وإن استمتعت بها استمتعتَ بها وفيها عوج

“Perempuan itu adalah seperti tulang rusuk; jika engkau cuba meluruskannya dia pun patah. Dan jika engkau bersuka-sukaan dengan dia maka bersuka-suka juga engkau, namun dia tetap bengkok”

• Nampaknya yang ditekankan di sini ialah jiwa dan bawaan segala perempuan di dunia. Pertimbangnnya tidak lurus, kurang objektif dan kadangkala agak sentimen, emosional...suka berbelanja,suka kepada perhiasan, suka membebel dsb.

Sementara as Syeikh Muhammad Abduh pula menyatakan, bahawa hadis mengenai perempuan terjadi dari tulang rusuk bukanlah benar-benar tulang rusuk, melainkan satu kias dan perumpamaan belaka. Sebagai contoh lihat ayat 27 surah al ambiya’:

خلق الإنسان من عجل
“Telah dijadikan manusia itu dari sifat terburu-buru”

• Ada juga yang menyebut kerana tulang rusuk menggambarkan sangat rapat dan dekatnya hubungan lelaki.

• Menjadi tugas bagi lelaki menerima amanah ini dengan bijak dan bertanggungjawab.

• Ada sesuatu yang disediakan oleh Allah pada wanita, namun hendaklah dinikmati berdasarkan kepada batasannya.

إن المرأة خلقت من ضلع لن تَستقيمَ لك على طريقةٍ فإن استمتعتَ بها اِستمتعتَ بها وفيها عوجٌ وإن ذهبْتَ تُقِيمُها كسَرْتهُا وكَسْرُها الطلاق

‘Sesungguhnya perempuan itu dijadikan dari tulang rusuk. Dan tidak akan dapat lurus untuk engkau atas suatu jalan. Jika engkau mengambil kesenangan dengan dia, namun dia tetap bengkok. Dan jika engkau cuba meluruskannya, nescaya engkau mematahkannya. Patahnya itu talaknya.

اِستوصوا بالنساء خيرا أخذتموهن بأمانة الله واستحللتم فروجهن بكلمات الله

“Peliharalah perempuan-perempuan itu sebaik-baiknya, kerana kamu telah mengambilnya dengan amanah Allah dan kamu halalkan kehormatan dengan kalimah-kalimah Allah”.... mahalnya pernikahan dan pentingnya menjaga amanah Allah.

• Menunjukkan wanita adalah makhluk yang istimewa dan unik di sisi Allah dan manusia. Perlu dikendalikan dengan baik.

Sikap Islam terhadap wanita:

Kita lihat beberapa petikan maksud firman Allah mengenainya:

Surah ar Rum ayat 21, firman Allah yang bermaksud,

Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir (ar Rum).

Surah an Nisa' ayat 124,
Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun (an Nisa’ 124)

an Nisa', ayat 34.
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal Yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan Yang soleh itu ialah Yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan Yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua Yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. dan perempuan-perempuan Yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan Yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar (an Nisa`).

al Baqarah 228.
Dan isteri-isteri Yang diceraikan itu hendaklah menunggu Dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak Yang dijadikan oleh Allah Dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu Dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. dan isteri-isteri itu mempunyai hak Yang sama seperti kewajipan Yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) Dengan cara Yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al Baqarah)

al Imran ayat 14.
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) (ali Imran: 14).

• Termasuk dalam apa yang disebut sebagai hubbus syahwat dan merupakan perhiasan.

• Pasangan yang kita berkongsi rahsia hidup dan mati. Wanita adalah saudara kandung lelaki (Hadis riwayat Abu Daud).
إنما النساء شقائق الرجال

• Dia penjaga kepada semua rahsia, anak dan harta kita.

• Sebagai suatu fitnah, sesuatu yang kalau dikendalikan dengan baik akan berpahala. Tak kena cara akan terjerumus sama. Kita kena jaga dan suami kena ada prinsip. Suami sebagai pemimpin.

• Suami wajib mengajar ahli keluarganya dengan pelajaran agama. Hendaklah menasihatkan anak-anak dan isterinya supaya sentiasa menunaikan sembahyang lima waktu tepat pada waktunya. Sebagaimana firman Allah:
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”

• Suami hendaklah bergaul dan memberi teguran dan nasihat yang baik kepada isteri dan ahli keluarga. Selaras dengan firman ALLAH:

“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

• Selain itu juga tanggungjawab suami terhadap keluarga dan isteri itu ialah dengan mengajar ilmu fardu ain, seperti al-Quran, hadis, hukum halal haram, bersuci dan ibadat. Seandainya dia tidak berkesempatan untuk mengajar sendiri, dia wajib mencari guru yang dapat mengajar isteri dan anak-anaknya.

• Isteri yang baik juga adalah penghibur kepada suami dan dia adalah segala-galanya dan juga sebagai penyempurna untuk kebaikan di dunia dan akhirat. Lihat hadis qudsi:

إذا أردت أن أجمع للمسلم خير الدنيا وخير الآخرة جعلت له:
• قلبا خاشعا
• ولسانا ذاكرا
• وجسدا على البلاء صابرا
• وزوجة مؤمنة تُسِرُّه إذا نظر اليها وتحفظه إذا غاب عنها فى نفسها وماله
(الشرازى 190)

Dalam satu isyarat lain Nabi saw bersabda:

"الدنيا متاع وخيرها المرأة الصالحة" الدنيا متاع وخير متاعها الزوجة الصالحة

Lihat beberapa kelebihan wanita:

1. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.

2. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

3. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan direkannya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

4. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.
5. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

Seterusnya lihat pula gambaran di bawah:

ما هي صفات المرأة المسلمة..؟؟
المرأة المسلمة : تقيـة ، نقيـة ، صيـنة ، عابـدة.
المرأة المسلمة :حـرة ، أبيـة ،أصيـلة ، كريـمة
المرأة المسلمة : قويـة ، ذكيـة ، واعيـة ، عاقـلة .
المرأة المسلمة : صادقـة ، صابـرة ، سخيـة ، رحيـمة .
المرأة المسلمة : بيتـها ، نظيـف ، أنيـق ، مبـارك .
المرأة المسلمة : مطيعـة ، ودود ، ولـود .
المرأة المسلمة : بـارة ، رفيقـة ، معينـة .

Semoga dapat dimanfaatkan bersama, sebarang kekurangan dan kekhilafan mohon diperbetulkan.

Artikel Penuh...

Saturday, January 14, 2012

Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk

Sabtu: 7 Januari 2012 lepas penulis sekeluarga sempat menghadiri Majlis Sambutan 100 tahun Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Untuk makluman, Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk merupakan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang digubal pada tahun 1911 dan diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin III dengan dibantu oleh ulama’ dan pembesar negeri Terengganu yang bersumberkan ajaran Islam serta mengandungi 53 fasal.

Pihak penganjur juga mengeluarkan satu naskhah buku ‘Penerbitan Khas Sempena Sambutan 100 Tahun “Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk yang diusahakan oleh Sidang Redaksi yang diketuai oleh al Fadhil Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah. Dalam catatan pendahuluannya dinyatakan “Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk adalah sebuah Perlembagaan Bertulis Negeri Terengganu. Ia bermaksud ‘Pemerintah Yang Bersungguh-sungguh Dengan Akhlak Yang Adil’ dan dikenali sebagai ‘Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Perlembagaan ini digubal dan dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 11 Zulkaedah 1329H bersamaan 2 November 1911M atas nama Sultan Zainal Abidin III dengan ditandatangani oleh baginda dan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan serta dicop dengan cop Sultan Zainal Abidin III sebagai tanda kelulusan, ketetapan dan persetujuan” (Itqan, hal. 5).

Tiga tokoh dijemput untuk menyampaikan pidato khas bersempena dengan program tersebut mereka terdiri dari YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, Presiden PAS Pusat, YB Salehuddin bin Ayob, Naib Presiden PAS Pusat dan Prof Datuk Mohamad Bakar, Pakar Sejarah dari Universiti Malaya.

Berdasarkan kepada deria telinga anugerah Allah, penulis juga sempat mencatat beberapa isi penting yang telah dinyatakan ketiga-tiga tokoh tersebut di antaranya ialah:

Prof Datuk Mohammad Abu Bakar

1. Itqan adalah merupakan titik mula perkembangan Islam di Terengganu, malah di Asia.
2. Pada tahun 1928 telah berlaku Pemberontakan Kaum Tani di Terengganu yang dirangsang oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong. Ini merupakan salah satu dari manifestasi kebencian rakyat Terengganu terhadap penjajah.
3. Kira-kira 700 tahun lalu, Batu Bersurat merakamkan undang-undang Islam yang asal, ini bererti telah ada usaha kearah penanaman cita-cita Islam. Kuala Berang telah menjadi Bandar besar yang menghubungkan bukan sahaja tempatan malah di peringkat antarabangsa
4. Tulisan jawi pada Batu Bersurat merupakan pertama kali digunakan, sementara di tempat lain menggunakan bahasa lain.
5. Sebab itulah sumbangan Kuala Berang amat besar kepada kebangkitan Islam di Asia.
6. Soalannya sedar atau tidak, atau mampu atau tidak kita di hari ini hendak menyambung semula perjuangan ini?. Apakah ada perjuangan untuk memertabatkan kembali Pendidikan Islam di Kuala Berang?. Mampu atau tidak kita mewujudkan institusi Pendidikan Islam di sini?..(lihat juga Harakah bil. 1710,29 Safar - 2 Rabi`ul Awwal 1433/23-26 Januari 2012, hal. N21 bertajuk: Kuala Berang terpinggir arus pendidikan).
7. Majlis Sambutan Itqan yang diadakan pada hari ini adalah menjadi mercu penghubung dengan 100 tahun yang lalu. Batu Bersurat menjadi landasan penghubung seawal 700 tahun lalu. Untuk itu, agar ianya lebih berkesan maka kita amat memerlukan sokongan Ulama, umara', dan umum (3U).
8. Gabungan Tok Pulau Manis dengan Sultan Zainal Abidin, Islam terbentuk dalam acuan pengislaman untuk zaman sesudah itu. Iaitu menggerakkan ke arah satu tujuan sejak dari Sultan Zainal Abidin I, Sultan Mansur, Sultan Omar hinggalah kepada Sultan Zainal Abidin III.
9. Keretapi ini perlu diterus, perlu bergerak menuju haluan ke arah pemenuhan Islam yang sebenarnya.

Persoalannya

1. Gangguan sentiasa ujud, barat sedang masuk untuk menggangu rakyat Terengganu selepas Sultan Zainal Abidin III. Dengan itu terguballah Itqan untuk mempastikan Terengganu terus kekal di bawah orang yang mahukan Islam. Baginda merupakan raja terawal ke Makkah untuk menunaikan Iabadat Haji. Malah pegawai British pernah menyebut bahawa ‘Sultan ini tidak ada cacat celanya’... dan kini kita dapat menikmati warisan ini sekarang.
2. Seandainya rakyat Terengganu di hari ini mengenepikan tanggungjawab ini (menegakkan Islam di bumi Terengganu) maka kita bimbang azab Allah akan menimpa kepada kepada kita semua, untuk kita tidak ada pilihan. kita perlu terus menggerakkan keretapi ini agar terus berjalan.
3. Halangan pasti banyak, kita kena terus berjalan. Wamakaru wamakaral Llah, wallahu khairul makirin.
4. Kita perlu tambah kelajuan tenaga – pernyataan, sumbangan dan saham amat perlu untuk sampai ke matlamatnya iaitu mencari keredhaan Ilahi.

YB Salehuddin Ayub

Kesan pilihanraya merupakan platfom terbaik untuk menyuarakan isu-isu Islam.
1. Batu Bersurat merupakan mercu tanda kedatangan Islam, kebanyakan tulisan berasaskan bahasa Sanskrit Ramayana dan Mahabarata. Allah masih digunakan Sang Maha Dewa.
2. Dr. Burhanuddin pernah menyatakan dalam berda`wah, “Ulama telah menggunakan strategi muwajahah as Silmiyyah. Pendekatan secara aman, antaranya teknik mengambilalih di samping menawarkan Islam untuk masyarakat. Contohnya dalam aktiviti tertentu secara tradisi, apabila mendapat anak disyairkan, marhaban dan sebagainya. Ini evolusi yang dimasukkan dalam minda masyarakat. Selawat Nabi digunakan sebagai ganti kepada syair Hindu, dan ianya sangat berkesan. Jampi tukar dengan doa, selawat. Cuma yang masih kekal seperti inai dsb. Strategi ini hampir sama yang digunakan oleh Wali Songo. Kerajaan Sriwijaya dapat menerimanya. Hasilnya masyarakat menerima dan menganut Islam, dan kita adalah warisannya.
3. Berdagang adalah tujuan kedua para ulama, yang utamanya ialah da`wah Islam. Inggeris kata mereka nak cari rempah, sama seperti mereka. Sengaja dipadamkan fakta Islamnya.

Halangan dalam Perlembagaan terhadap pelaksanaan Islam

1. Perlembagaan Negara digubal oleh sekumpulan pakar yang dipengerusikan oleh Lord Reid. Namun jangan lupa salah seorang ahlinya ialah Hakim Abd. Hamid Abd Rahman dari Pakistan yang memasukkan Islam sebagai agama Persekutuan, jasanya ini menjadi asas perlembagaan.
2. Ada empat perkara yang perlu diambilkira iaitu: Sistem beraja, Islam, bahasa dan Hak keistimewaan Orang Melayu. Apa pun kita mahu berbicara selepas ini jangan sampai melanggar empat perkara asas ini.
3. Asas ini menjadi menarik, dan perlu diyakini bahawa sifatnya perlembagaan sentiasa anjal, dinamik dan berkembang. Soalannya boleh atau tidak boleh, bila dikatakan Islam sebagai agama persekutuan, maka tidak ada halangan. Ada yang mengatakan boleh dilaksanakan Islam. Namun bagi yang memegang kepada comon law mengatakan tidak boleh.
4. Soalannya siapakah yang berhak, maka kita perlu ujudkan mahkamah perlembagaan, kita ada mahkamah persekutuan seperti India dan Thailand untuk dipinda dan diubahsuai. Indonesia juga berlaku.
5. Negara kita bagaimana? Maka ini terpulang kepada parti yang kuasai 2/3, cukup dengan kata-kata Islam sebagai agama persekutuan.
6. Kita perlukan perlembagaan untuk menyelesaikan beberapa isu seperti Lina Joy, isu hudud Kelantan , Terengganu yang telah dluluskan dalam DUN dan telah diwartakan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.
7. Sekarang terpulang kepada kuasa politik, di Kelantan ada beberapa perkara yang diperlukan seperti anggota keselamatan, penjara dan sebagainya. Ini adalah kuasa pusat dan perlu kerjasama kerajaan pusat. Namun kita percaya ruang-ruang ini tetap ada, untuk menyuarakan pandangan di parlimen dsb. Kerana inilah kita perlu mendapatkan sokongan sepanjang masa.

YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Hj. Awang

1. Memulakan dengan ayat al Qur’an yang menyatakan baginda Nabi saw yang terlalu inginkan supaya semua orang menjadi Islam dan mati dalam Islam (laqad ja ‘akum rasulun min anfusikum), dan jika mereka berpaling, cukuplah Allah sebagai wali, ni`mal wakil, yang menguasai bumi yang saiznya hanya seperti debu sahaja di bawah `arasy Allah.
2. Batu Bersurat dan Itqanul Muluk adalah dua dalil yang jelas bahawa pendakwah telah bawa Islam dengan sempurna di Terengganu, seperti yang dibawa oleh Nabi saw. Bukan Islam separuh seperti yang difahamkan oleh sebahagian masyarakat kini. Ertinya Islam telah diletakkan sebagai asas sebuah kerajaan dan negara di Terengganu..
3. Itqan bermaksud, ‘Ketekunan dan ketelitian raja-raja untuk menghukum rakyat, ini merupakan tanggungjawab yang amat berat yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah.
4. Hukum bernegara adalah wajib berdasarkan nas al Qur’an dan Hadis Nabi saw. Antaranya seperti yang firman Allah dalam surah an Nisa’. Dan Hadis yang lebih kurang bermaksud: Tidak harus bagi tiga orang berjalan, melainkan mesti ada pemimpin. Dalam ungkapan lain baginda saw bersabda yang bermaksud: Adalah Bani Israel dipimpin oleh nabi-nabi mereka. Kanat banu Israel tasusuhumul ambiya’
5. Untuk menjalankan sesuatu hukuman mesti ada kerajaan. Sebab itulah dalam sunnah, Nabi saw menolak tawaran menjadi pemimpin Makkah kerana tawaran tersebut hanya sekadar menjadi pemerintah tetapi tidak boleh melaksanakan Islam. Kerana itulah baginda sanggup berhijrah ke Madinah.
6. Di Madinah baginda telah mengajak, mengajar bagaimana cara untuk mendirikan kerajaan. Baginda mengajak semua kaum yang ada di Madinah untuk mendirikan negara.
7. Kewajipan mendirikan negara juga merupakan ijma` atau sepakat ulama` sahabat (yang belajar dengan Nabi saw), lihat bagaimana tingkahlaku mereka ketika Nabi wafat.. Rujuk kata-kata Imam al Ghazali yang lebih kurang menyebut, ‘addinu ussu was sultanu harisun...
8. Untuk membina sesebuah kerajaan, maka lima rukun ini tidak boleh diabaikan iaitu:
i. Tanah,
ii. Rakyat,
iii. Pemimpin,
iv. Perlembagaan (itqan),
v. Kedaulatan sebagai sebuah negara yang sah, yang diktiraf oleh negara asing. Ini merupakan syakhsiyyah atau kewibawaan sebagai sebuah kerajaan seperti yang ada di Kelantan dan Kedah sekarang.
9. Sultan Zainal Abidin III ada kumpulan yang disebut ahlul halli wal aqdi, mereka adalah ulama`, pemimpin kerajaan, ahli mesyuarat, lihat ayat dalam surah al Hajj: Walaula daf`ul Llahu nnasa ba`dhuhum).
10. Sekarang kita perlu beristiqamah, bila dapat kuasa kena lihat ayat: allazina in makkannahum fil ardh.. perlu orang yang takut kpd. Allah.
11. Zakat: tu’khazu min aghniya’ihim waturaddu ila fuqara’ihim. Inilah perlu tanggungjawab. Agar tidak menjadi Kaila yakuna dulatan baina aghniya’ minkum.
12. Perlu laksanakan nas-nas yang terdapat dalam al Qur’an, kutiba `alaikums siyam, kutiba `alaikumul qisas.
13. Pernah timbul satu soalan dari orang Kristian, kenapa Islam potong tangan pencuri, sedangkan Krstian Tuhan seperti bapa. Kita jawab Tuhan dalam Islam bukan ayah dan Dia sayang kepada hambanya lebih dari ayah sayang kepada anaknya. Kerat tangan, kerana mencuri adalah penyakit dalam masyarakat. Lihat kenapa kencing manis kena kerat kaki, kerana nak selamat tubuh badan, kalau tidak semua tak selamat. Begitu juga pencuri, nak selamat orang lain. Kita juga jangan fikir satu kena kerat orang lain kena jugak, apa yang penting ialah timbul kegerunan. Bila gerun orang akan takut melakukan jenayah. Ini yang penting. Bukan bererti semua yang kena kerat tangan. Lihat di Arab Saudi masa solat mereka hanya tutup barang-barang dengan kain saja. Tidak ada orang yang nak ganggu.
14. Di Kelantan setiap tahun dibuat seminar untuk memberi kefahaman kepada rakyat.
15. Kita kena sedar banyak hikmat yang timbul di sebalik Hudud antaranya:
i. Hudud hanya untuk orang Islam, orang bukan Islam tidak kena hudud, kepada mereka terpulang mengikut kepada cara yang ditentukan di dalam agama mereka.
ii. Bila dilaksanakan hudud orang Islam menjadi perkasa, dan menjadi contoh kepada orang lain.

Catatan: Semua fakta di atas ialah apa yang dapat dicatit oleh penulis semasa menyertai majilis tersebut, hanya sekadar deria telinga samata-mata. Mungkin terdapat fakta yang tidak betul atau kurang menepati kehendak sebenar, untuk itu tambahan dan pembetulan amat diharapkan daripada mereka yang lebih `arif.

Akhirnya penulis juga ingin memetik Fasal Kelima Puluh Satu yang menyebut:

“Sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya kerajaan Terengganu ini kerajaan Islamiyyah Malayuwiyyah ialah dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadi dan disebut agama negeri, sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu” (Itqan, hal. 24).

Demikianlah halnya negeriku Terengganu Darul Iman. Maka menjadi kewajipan bagi kita semua untuk menyumbang tenaga, berjuang terus bagi menggerakkan semula keretapi yang telah terhenti begitu lama agar dapat menuju ke destinasi 'Baldatun Thoyyibatun war Rabbun Ghafur'. Allahumma Amin!.



Artikel Penuh...

Beberapa Sifat Khusus Orang-Orang Mu`min

Prof Dr. Ali Abdul Halim Mahmud dalam bukunya bertajuk at Tarbiyyah ar Ruhiyyah - Mencerdaskan Rohani, antaranya menyebut beberapa Khasais al Mu`minin atau beberapa sifat khusus orang-orang mu`min.

Sesungguhnya roh orang mu`min yang dididik dengan didikan Islam memiliki sifat khusus yang sebahagiannya diringkaskan dalam tujuh sifat berikut:

1. Perasaan akan wujudnya Allah swt.
2. Perasaan akan pengawasan Allah terhadapnya. Ini akan melahirkan;

i. Keikhlasan
ii. Menerima tuntunan wahyu, barangsiap yang menggunakan wahyu sebagai sumber hidup maka ia tidak akan sesat selama-lamanya.
iii. Istiqamah.

3. Pengawasannya terhadap Allah, ini bermaksud;

i.Rasa cinta dirinya terhadap Allah, suka melakukan pendekatan kepada-Nya, mengajarinya untuk takut kepada Allah dan takut melakukan kemaksiatan.
ii. Dengan membaiki niat atau mensucikan dari segala hal yang membuatkan kemurkaan Allah.
iii. Puncak pengawasan kita terhadap Allah adalah perasaan takwa dan takut kepada Allah. Lihat al Hasyr: 18-19:

Pentingnya pengawasan manusia terhadap Allah:

i. Perbuatan dan perkataan akan terbimbing agar tidak terperangkap engan kesalahan dan akan berusaha menjaga diri dari segala yang menimbulkan kemurkaan Allah.
ii. Mendidik roh ke arah takwa yang merupakan kunci segala kebaikan dan penutup keburukan (al A`raf: 96, al baqarah: 283, az Zumar: 10& 20, an Nahl: 128).
iii. Melahirkan perasaan dalam diri manusia bahawa iman dan taqwa itu memiliki kelazatan..dan Allah akan memberi perasaan tersebut. Allah akan mengawasi dan memberi perlindungan kepada segala pergerakannya.

إن أحْـبَبْتُم أن يـُحِبَّكمُ الله تعالى ورسولُه فأدُّوا إذا أُئـْتـُـمِنْتُم وأصْدِقوا إذا حدَّثتُم وأحسِنوا جِوارَ من جاوَرَكم

“Apabila kamu suka untuk disukai oleh Allah dan Rasul-Nya maka tunaikan lah jika kamu diamanati (hi), dan jujurlah kalau berkata, serta berbuat baiklah kepada orang sekitar (jiran)”.

iv. Memiliki sifat Ihsan, yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh `Umar al Khattab.

4. Tunduk kepada Allah dengan amalan-amalan yang sunnah. Ini bermaksud:

i. Sesuatu amalan yang wajib, kemudian memberi kesempatan kepada dirinya melakukan amalan yang sunnat. Lihat al Isra’: 79. Tahajjud adalah wajib bagi Nabi saw, namun sunat bagi ummat baginda. Lihat hadis:

إنه سيكونُ أُمراءُ يــُؤخِّرون الصلاةَ عن مواقيتِها, ألاَ فصلِّ الصلاة لوقتها ثمَّ ائْتِهِم فإن كانوا قد صلُّوا فقد أحْرَزَتْ صلاتُكَ وإلاَّ صلَّيْتَ معهم فكانت تلك نافلةً

“Sesungguhnya akan ada pemimpin yang mengakhirkan solat daripada waktunya, ketahuilah, makan solatlah pada waktunya, lalu datangilah mereka, maka apabila mereka telah solat maka solatmu sudah mencukupimu dan jika belum solat maka solatlah bersama mereka, dan itu merupakan solat sunnah”

ii. Merupakan amalan soleh yang dapat menutupi kekurangan kewajipan yang dilewatkan.

Manfaat dari mendekatkan diri dengan amalan sunnah:

i. Memperolehi pahala dari Allah
ii. Memperolehi rahmat dan keampunan Allah serta pertolongan-Nya.
iii. Menghadap Allah dengan mencintai manusia dan mencintai kebaikan manusia (al Hujurat: 10, al Hajj: 77).

5. Cinta kebaikan untuk manusia dan mencintai manusia.
Lihat al Hasyr: 9, al Maidah: 2. Ali Imran: 159. Kesannya:

i. Menjadikan manusia bersiap sedia menerima sistem peraturan Allah dari semua segi.
ii. Akan bersama-sama para da`iey untuk membina peradaban Islam yang bercirikan kemanusiaan, tidak mengenal perbezaan warna kulit.
iii. Bersama memantapkan agama Allah ke arah mendirikan negara Islam yang menjalanakan hukum Allah di atas muka bumi.

6. Penuh percaya terhadap penerimaan Allah atas doa-doanya. Baca mashaf secara mendalam, meneliti. Lihat ali Imaran: 31, 76. Sebab yang boleh menimbulkan keyakinan ialah;

i. Membaca, menghayati, dan mengamalkan ayat-ayat al Qur’an.
ii. Melaksanakan kewajipab dan mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan-amalan sunnah.
iii. Merenungi segala nikmat yang diberikan sehingga dapat melahirkan rasa syukur.
iv. Meneladani Rasul saw dalam ucapan dan perbuatannya.
v. Bergaul dan mengambil manfaat daripada orang-orang yang soleh.
vi. Melepaskan diri daripada segala ucapan, tindakan, diam, atau semua perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah.

7. Rela dengan ketentuan dan taqdir Allah, at Taubah: 62. Dalam satu hadis telah datang satu rombongan kepada Rasul saw dan baginda saw kemudian bertanya:

من انتم؟ قالوا: مؤمنون, فقال: ما علامةُ ايمانِكم؟ قالوا: نصبِرُ على البلاء ونشكُر عند الرَّخاءِ ونرضَى بمواقعِ القضاءِ, فقال: مؤمنون وربِّ الكعبة

“Siapa kamu? Mereka menjawab: Orang-orang yang beriman, Rasulullah bertanya: Apa tanda-tanda imanmu?, mereka mengatakan: Kami bersabar atas cubaan, bersyukur atas kenikmatan, dan reda dengan takdir, maka Rasul saw bersabda: Kamu orang-orang yang beriman demi Tuhan Kab`bah”

Faedahnya ialah:

i. Kuatkan iman dan mengukuhkan penyerahan diri.
ii. Mengajar bertawakkal.
iii. Mengajar tama`ninah (ketenangan dan khusyuk) untuk mencapai ketengangan.
iv. Salah satu puncak kebahagiaan manusia.
v. Menghantar manusia menuju peningkatan taat yang meninggalkan pelanggaran.
vi. Mengajar akhlak yang baik dalam hubungan dengan Allah dan manusia.
vii. Mendapat syafaat dari doa Nabi saw.

Artikel Penuh...