Saturday, January 14, 2012

Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk

Sabtu: 7 Januari 2012 lepas penulis sekeluarga sempat menghadiri Majlis Sambutan 100 tahun Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk di Kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Untuk makluman, Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk merupakan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang digubal pada tahun 1911 dan diasaskan oleh Sultan Zainal Abidin III dengan dibantu oleh ulama’ dan pembesar negeri Terengganu yang bersumberkan ajaran Islam serta mengandungi 53 fasal.

Pihak penganjur juga mengeluarkan satu naskhah buku ‘Penerbitan Khas Sempena Sambutan 100 Tahun “Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk yang diusahakan oleh Sidang Redaksi yang diketuai oleh al Fadhil Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah. Dalam catatan pendahuluannya dinyatakan “Itqan al Muluk bi Ta`dil as Suluk adalah sebuah Perlembagaan Bertulis Negeri Terengganu. Ia bermaksud ‘Pemerintah Yang Bersungguh-sungguh Dengan Akhlak Yang Adil’ dan dikenali sebagai ‘Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Perlembagaan ini digubal dan dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu pada 11 Zulkaedah 1329H bersamaan 2 November 1911M atas nama Sultan Zainal Abidin III dengan ditandatangani oleh baginda dan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan serta dicop dengan cop Sultan Zainal Abidin III sebagai tanda kelulusan, ketetapan dan persetujuan” (Itqan, hal. 5).

Tiga tokoh dijemput untuk menyampaikan pidato khas bersempena dengan program tersebut mereka terdiri dari YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, Presiden PAS Pusat, YB Salehuddin bin Ayob, Naib Presiden PAS Pusat dan Prof Datuk Mohamad Bakar, Pakar Sejarah dari Universiti Malaya.

Berdasarkan kepada deria telinga anugerah Allah, penulis juga sempat mencatat beberapa isi penting yang telah dinyatakan ketiga-tiga tokoh tersebut di antaranya ialah:

Prof Datuk Mohammad Abu Bakar

1. Itqan adalah merupakan titik mula perkembangan Islam di Terengganu, malah di Asia.
2. Pada tahun 1928 telah berlaku Pemberontakan Kaum Tani di Terengganu yang dirangsang oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong. Ini merupakan salah satu dari manifestasi kebencian rakyat Terengganu terhadap penjajah.
3. Kira-kira 700 tahun lalu, Batu Bersurat merakamkan undang-undang Islam yang asal, ini bererti telah ada usaha kearah penanaman cita-cita Islam. Kuala Berang telah menjadi Bandar besar yang menghubungkan bukan sahaja tempatan malah di peringkat antarabangsa
4. Tulisan jawi pada Batu Bersurat merupakan pertama kali digunakan, sementara di tempat lain menggunakan bahasa lain.
5. Sebab itulah sumbangan Kuala Berang amat besar kepada kebangkitan Islam di Asia.
6. Soalannya sedar atau tidak, atau mampu atau tidak kita di hari ini hendak menyambung semula perjuangan ini?. Apakah ada perjuangan untuk memertabatkan kembali Pendidikan Islam di Kuala Berang?. Mampu atau tidak kita mewujudkan institusi Pendidikan Islam di sini?..(lihat juga Harakah bil. 1710,29 Safar - 2 Rabi`ul Awwal 1433/23-26 Januari 2012, hal. N21 bertajuk: Kuala Berang terpinggir arus pendidikan).
7. Majlis Sambutan Itqan yang diadakan pada hari ini adalah menjadi mercu penghubung dengan 100 tahun yang lalu. Batu Bersurat menjadi landasan penghubung seawal 700 tahun lalu. Untuk itu, agar ianya lebih berkesan maka kita amat memerlukan sokongan Ulama, umara', dan umum (3U).
8. Gabungan Tok Pulau Manis dengan Sultan Zainal Abidin, Islam terbentuk dalam acuan pengislaman untuk zaman sesudah itu. Iaitu menggerakkan ke arah satu tujuan sejak dari Sultan Zainal Abidin I, Sultan Mansur, Sultan Omar hinggalah kepada Sultan Zainal Abidin III.
9. Keretapi ini perlu diterus, perlu bergerak menuju haluan ke arah pemenuhan Islam yang sebenarnya.

Persoalannya

1. Gangguan sentiasa ujud, barat sedang masuk untuk menggangu rakyat Terengganu selepas Sultan Zainal Abidin III. Dengan itu terguballah Itqan untuk mempastikan Terengganu terus kekal di bawah orang yang mahukan Islam. Baginda merupakan raja terawal ke Makkah untuk menunaikan Iabadat Haji. Malah pegawai British pernah menyebut bahawa ‘Sultan ini tidak ada cacat celanya’... dan kini kita dapat menikmati warisan ini sekarang.
2. Seandainya rakyat Terengganu di hari ini mengenepikan tanggungjawab ini (menegakkan Islam di bumi Terengganu) maka kita bimbang azab Allah akan menimpa kepada kepada kita semua, untuk kita tidak ada pilihan. kita perlu terus menggerakkan keretapi ini agar terus berjalan.
3. Halangan pasti banyak, kita kena terus berjalan. Wamakaru wamakaral Llah, wallahu khairul makirin.
4. Kita perlu tambah kelajuan tenaga – pernyataan, sumbangan dan saham amat perlu untuk sampai ke matlamatnya iaitu mencari keredhaan Ilahi.

YB Salehuddin Ayub

Kesan pilihanraya merupakan platfom terbaik untuk menyuarakan isu-isu Islam.
1. Batu Bersurat merupakan mercu tanda kedatangan Islam, kebanyakan tulisan berasaskan bahasa Sanskrit Ramayana dan Mahabarata. Allah masih digunakan Sang Maha Dewa.
2. Dr. Burhanuddin pernah menyatakan dalam berda`wah, “Ulama telah menggunakan strategi muwajahah as Silmiyyah. Pendekatan secara aman, antaranya teknik mengambilalih di samping menawarkan Islam untuk masyarakat. Contohnya dalam aktiviti tertentu secara tradisi, apabila mendapat anak disyairkan, marhaban dan sebagainya. Ini evolusi yang dimasukkan dalam minda masyarakat. Selawat Nabi digunakan sebagai ganti kepada syair Hindu, dan ianya sangat berkesan. Jampi tukar dengan doa, selawat. Cuma yang masih kekal seperti inai dsb. Strategi ini hampir sama yang digunakan oleh Wali Songo. Kerajaan Sriwijaya dapat menerimanya. Hasilnya masyarakat menerima dan menganut Islam, dan kita adalah warisannya.
3. Berdagang adalah tujuan kedua para ulama, yang utamanya ialah da`wah Islam. Inggeris kata mereka nak cari rempah, sama seperti mereka. Sengaja dipadamkan fakta Islamnya.

Halangan dalam Perlembagaan terhadap pelaksanaan Islam

1. Perlembagaan Negara digubal oleh sekumpulan pakar yang dipengerusikan oleh Lord Reid. Namun jangan lupa salah seorang ahlinya ialah Hakim Abd. Hamid Abd Rahman dari Pakistan yang memasukkan Islam sebagai agama Persekutuan, jasanya ini menjadi asas perlembagaan.
2. Ada empat perkara yang perlu diambilkira iaitu: Sistem beraja, Islam, bahasa dan Hak keistimewaan Orang Melayu. Apa pun kita mahu berbicara selepas ini jangan sampai melanggar empat perkara asas ini.
3. Asas ini menjadi menarik, dan perlu diyakini bahawa sifatnya perlembagaan sentiasa anjal, dinamik dan berkembang. Soalannya boleh atau tidak boleh, bila dikatakan Islam sebagai agama persekutuan, maka tidak ada halangan. Ada yang mengatakan boleh dilaksanakan Islam. Namun bagi yang memegang kepada comon law mengatakan tidak boleh.
4. Soalannya siapakah yang berhak, maka kita perlu ujudkan mahkamah perlembagaan, kita ada mahkamah persekutuan seperti India dan Thailand untuk dipinda dan diubahsuai. Indonesia juga berlaku.
5. Negara kita bagaimana? Maka ini terpulang kepada parti yang kuasai 2/3, cukup dengan kata-kata Islam sebagai agama persekutuan.
6. Kita perlukan perlembagaan untuk menyelesaikan beberapa isu seperti Lina Joy, isu hudud Kelantan , Terengganu yang telah dluluskan dalam DUN dan telah diwartakan oleh Sultan Mizan Zainal Abidin.
7. Sekarang terpulang kepada kuasa politik, di Kelantan ada beberapa perkara yang diperlukan seperti anggota keselamatan, penjara dan sebagainya. Ini adalah kuasa pusat dan perlu kerjasama kerajaan pusat. Namun kita percaya ruang-ruang ini tetap ada, untuk menyuarakan pandangan di parlimen dsb. Kerana inilah kita perlu mendapatkan sokongan sepanjang masa.

YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Hj. Awang

1. Memulakan dengan ayat al Qur’an yang menyatakan baginda Nabi saw yang terlalu inginkan supaya semua orang menjadi Islam dan mati dalam Islam (laqad ja ‘akum rasulun min anfusikum), dan jika mereka berpaling, cukuplah Allah sebagai wali, ni`mal wakil, yang menguasai bumi yang saiznya hanya seperti debu sahaja di bawah `arasy Allah.
2. Batu Bersurat dan Itqanul Muluk adalah dua dalil yang jelas bahawa pendakwah telah bawa Islam dengan sempurna di Terengganu, seperti yang dibawa oleh Nabi saw. Bukan Islam separuh seperti yang difahamkan oleh sebahagian masyarakat kini. Ertinya Islam telah diletakkan sebagai asas sebuah kerajaan dan negara di Terengganu..
3. Itqan bermaksud, ‘Ketekunan dan ketelitian raja-raja untuk menghukum rakyat, ini merupakan tanggungjawab yang amat berat yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah.
4. Hukum bernegara adalah wajib berdasarkan nas al Qur’an dan Hadis Nabi saw. Antaranya seperti yang firman Allah dalam surah an Nisa’. Dan Hadis yang lebih kurang bermaksud: Tidak harus bagi tiga orang berjalan, melainkan mesti ada pemimpin. Dalam ungkapan lain baginda saw bersabda yang bermaksud: Adalah Bani Israel dipimpin oleh nabi-nabi mereka. Kanat banu Israel tasusuhumul ambiya’
5. Untuk menjalankan sesuatu hukuman mesti ada kerajaan. Sebab itulah dalam sunnah, Nabi saw menolak tawaran menjadi pemimpin Makkah kerana tawaran tersebut hanya sekadar menjadi pemerintah tetapi tidak boleh melaksanakan Islam. Kerana itulah baginda sanggup berhijrah ke Madinah.
6. Di Madinah baginda telah mengajak, mengajar bagaimana cara untuk mendirikan kerajaan. Baginda mengajak semua kaum yang ada di Madinah untuk mendirikan negara.
7. Kewajipan mendirikan negara juga merupakan ijma` atau sepakat ulama` sahabat (yang belajar dengan Nabi saw), lihat bagaimana tingkahlaku mereka ketika Nabi wafat.. Rujuk kata-kata Imam al Ghazali yang lebih kurang menyebut, ‘addinu ussu was sultanu harisun...
8. Untuk membina sesebuah kerajaan, maka lima rukun ini tidak boleh diabaikan iaitu:
i. Tanah,
ii. Rakyat,
iii. Pemimpin,
iv. Perlembagaan (itqan),
v. Kedaulatan sebagai sebuah negara yang sah, yang diktiraf oleh negara asing. Ini merupakan syakhsiyyah atau kewibawaan sebagai sebuah kerajaan seperti yang ada di Kelantan dan Kedah sekarang.
9. Sultan Zainal Abidin III ada kumpulan yang disebut ahlul halli wal aqdi, mereka adalah ulama`, pemimpin kerajaan, ahli mesyuarat, lihat ayat dalam surah al Hajj: Walaula daf`ul Llahu nnasa ba`dhuhum).
10. Sekarang kita perlu beristiqamah, bila dapat kuasa kena lihat ayat: allazina in makkannahum fil ardh.. perlu orang yang takut kpd. Allah.
11. Zakat: tu’khazu min aghniya’ihim waturaddu ila fuqara’ihim. Inilah perlu tanggungjawab. Agar tidak menjadi Kaila yakuna dulatan baina aghniya’ minkum.
12. Perlu laksanakan nas-nas yang terdapat dalam al Qur’an, kutiba `alaikums siyam, kutiba `alaikumul qisas.
13. Pernah timbul satu soalan dari orang Kristian, kenapa Islam potong tangan pencuri, sedangkan Krstian Tuhan seperti bapa. Kita jawab Tuhan dalam Islam bukan ayah dan Dia sayang kepada hambanya lebih dari ayah sayang kepada anaknya. Kerat tangan, kerana mencuri adalah penyakit dalam masyarakat. Lihat kenapa kencing manis kena kerat kaki, kerana nak selamat tubuh badan, kalau tidak semua tak selamat. Begitu juga pencuri, nak selamat orang lain. Kita juga jangan fikir satu kena kerat orang lain kena jugak, apa yang penting ialah timbul kegerunan. Bila gerun orang akan takut melakukan jenayah. Ini yang penting. Bukan bererti semua yang kena kerat tangan. Lihat di Arab Saudi masa solat mereka hanya tutup barang-barang dengan kain saja. Tidak ada orang yang nak ganggu.
14. Di Kelantan setiap tahun dibuat seminar untuk memberi kefahaman kepada rakyat.
15. Kita kena sedar banyak hikmat yang timbul di sebalik Hudud antaranya:
i. Hudud hanya untuk orang Islam, orang bukan Islam tidak kena hudud, kepada mereka terpulang mengikut kepada cara yang ditentukan di dalam agama mereka.
ii. Bila dilaksanakan hudud orang Islam menjadi perkasa, dan menjadi contoh kepada orang lain.

Catatan: Semua fakta di atas ialah apa yang dapat dicatit oleh penulis semasa menyertai majilis tersebut, hanya sekadar deria telinga samata-mata. Mungkin terdapat fakta yang tidak betul atau kurang menepati kehendak sebenar, untuk itu tambahan dan pembetulan amat diharapkan daripada mereka yang lebih `arif.

Akhirnya penulis juga ingin memetik Fasal Kelima Puluh Satu yang menyebut:

“Sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya kerajaan Terengganu ini kerajaan Islamiyyah Malayuwiyyah ialah dikatakan agama negeri dan kerajaan maka tiadalah boleh sekali-kali sebarang agama lain dijadi dan disebut agama negeri, sekalipun banyak segala bangsa dan agama diamankan dan dibenarkan masuk diam di dalam negeri dan jajahan Terengganu” (Itqan, hal. 24).

Demikianlah halnya negeriku Terengganu Darul Iman. Maka menjadi kewajipan bagi kita semua untuk menyumbang tenaga, berjuang terus bagi menggerakkan semula keretapi yang telah terhenti begitu lama agar dapat menuju ke destinasi 'Baldatun Thoyyibatun war Rabbun Ghafur'. Allahumma Amin!.



1 comment: