Saturday, September 20, 2014

Pentingnya pimpinan dikawal dalam apa suasana sekalipun.

P

erkara keempat berlaku semasa Hunain ialah Syaibah bin Uthman bin Abi Thalhah yang baru menganut Islam. Syeikh Munir Muhammad Ghadhban menyatakan, “ Dalam situasi gawat, semasa tentera Islam diserang pada pagi hari, rupanya ada juga yang sempat berfikir untuk membunuh Rasul SAW, di mana Syaibah mengatakan, ‘Aku melihat Nabi SAW menyerang Mekkah dan menang mudah, kemudian mengumumkan rencananya menyerang Hawazin. Aku bertekad untuk ikut, barangkali ada saja kesempatan bagiku untuk membalas dendam di atas kematian ayahku dan pamanku di madan Perang Uhud. Di Hunain ketika Muslimin berantakan, aku bergegas mendekati baginda. Pertama ku datangi dari kanan, tapi di situ ada Abbas dengan baju perangnya yang kokoh. Dalam hatiku berkata, ‘Ini pamannya. Tak akan ia mengkhianatinya’. Ku cuba dari kiri, ku dapati Abu Sufyan bin al Harits...ini sepupunya tak mungkin dia akan tinggal diam. Kemudian aku ke belakang. Rasulullah SAW tak terlindung di belakangnya dan aku boleh membabatnya dengan mudah. Namun mendadak suatu cahaya api seperti kilat menyambar. Khawatir akan mengenaiku, aku menutup mata sambil mundur ke belakang. Setelah itu Rasul SAW menoleh dan memanggilku, ‘Syaibah kemarilah’. Lalu baginda mengusapkan tangannya ke dadaku sambil berdoa, ‘Ya Allah, jauhkanlah syaitan dari dirinya,’ ketika itu ku angkat wajahku, ku lihat Rasulullah sebagai orang yang paling ku sukai, lebih dari diriku sendiri. Kemudian baginda SAW memerintah, ‘Wahai Syaibah, perangilah orang-orang kafir itu.’ ...
..........


Tanpa berfikir panjang aku maju, ku halau setiap musuh yang mendekati, ku halau apa sahaja yang menjadi penghalang, dan semua ku lakukan dengan ikhlas. Setelah Hawazin hancur, aku datang kepada Rasul SAW. Kata baginda, ‘Segala puji bagi Allah yang membawamu kepada yang lebih baik daripada yang engkau inginkan.’ Lalu ku katakan apa yang ku inginkan” (Syeikh Munir Muhammad : Manhaj Haraki Dalam Sirah Nabawiyyah 3, hal.197).

Syeikh Ghadhban meneruskan catatannya, ‘Kenyataan yang menghalangi Syaibah dari niatnya untuk membunuh Rasul saw adalah perkara biasa. Tetapi dalam kes yang berkaitan dengan suku Hawazin ketika pasukan muslimin dalam kecemasan dan tinggal beberapa puluh orang sahaja, datanglah pertolongan Allah. Para malaikat turun dengan pakaian serba merah, memenuhi ruang angkasa antara bumi dan langit. Lihat firman Allah dalam surah at Taubah (26):
  
kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.

Beberapa perkara yang mungkin perlu diberi perhatian

1.    Walaupun Islam agama Allah, dari segi ikhtiar dan strategi perlu dilakukan sepanjang masa. Kepimpinan amat penting dalam sesebuah gerakan. Hilang pemimpin, mungkin akan menjadi ahli hilang hala tuju. Sebab itulah kepimpinan perlu dikawal rapi agar tidak menjadi sasaran musuh.
2.    Nabi saw mempunyai mukjizat anugerah Allah. Sebab itulah baginda sentiasa dijaga oleh Allah. Dari sudut pandangan, baginda saw menguasai sudut pandang yang sama depan dengan belakang. Ini adalah suatu mu`jizat anugerah Allah.
3.    Dalam gerakan Islam, pemimpin tidak pernah meminta untuk dikawal. Namun sangat penting bagi setiap ahli gerakan Islam untuk membentuk golongan yang sedia berkhidmat bila-bila diperlukan. Lihat apa yang dilakukan oleh Abu Ayyub al Ansari, baginda saw tidak pernah meminta Abu Ayub untuk menjadi pengawal, namun beliau dengan sukarela bertindak sebagai pengawal khemah baginda saw selepas berlakunya peperangan Khaibar. Ini dilakukan semata-mata kerana kasih sayangnya terhadap baginda saw sebagai Rasul dan pemimpin umat Islam.
4.    Sesungguhnya gerakan Islam tidak pernah tandus dari golongan yang setia dan sentiasa menghulurkan khidmat baktinya demi untuk mempastikan kelangsungan gerakan Islam.

Artikel Penuh...

Wednesday, September 17, 2014

Suara-Suara Sumbang Semasa Tentera Islam Digempur Pagi Hunain


Peristiwa ketiga berkaitan dengan peperangan Hunain ialah semasa tentera Muslimin diserang secara mengejut pada subuh hari di Gunung Tihamah. Keadaan yang tidak disangka oleh kaum Muslimin itu menyebabkan tentera Muslimin menjadi kucar kacir. Ini juga sebagai pengajaran di atas keangkuhan mereka memiliki golongan yang ramai (10 Syawwal 8H)..




H. Zainal Ariffin Abas menyatakan, “Tidak dapat dielakkan lagi, tentera Islam merasai pukulan yang sangat hebat sejak mulanya. Akhirnya pihak mereka pun kalah. Semua perasaan kemenangan yang diperoleh di Mekkah menjadi lenyap sama sekali. Tidak dapat ditolak kalau ada khabar yang mengatakan bahawa di antara kaum Muslimin ada yang lari, kalau sekiranya tidak ada laut, mereka akan lari lebih jauh..... Syaibah bin Usman bin Abi Talhah berkata, ‘Ini hari baru dapat saya mengambil bela daripada Muhammad’....Khalid bin Hanbal pula, ‘Sekarang baru batal sihir itu’....Namun Safwan menyebut, ‘Diam jangan bicara, demi Allah, saya lebih suka dipimpin orang Quraisy daripada dipimpin oleh Hawazin’ (Sejarah dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW 9, hal. 84/85).

Syeikh Abdul Hamid al Khatib menyatakan, termasuk orang yang gembira dengan kekalahan pasukan Muslimin ialah Abu Sufyan bin Harb. Ia berkata, ‘Kekalahan ini tidak akan berakhir hanya sampai di sini, mereka akan terusir sampai ke pinggir laut’. Berkata Syaibah bin Usman bin Abi Talhah, ‘Sekarang saya dapat membalas dendamku terhadap Muhammad atas kematian bapaku di perang Uhud’. Berkata Jiblah bin Hanbal, ‘hari ini hilanglah pengaruh sihir’.... (hal. 360).

حتى قال أبو سفيان رضي الله عنه وهو حديث عهد بإسلام: لا تنتهي هزيمتهم دون البحر الأحمر, وصرخ جبلة بن الجنيد: ألا بطل السحر اليوم.

Baginda Nabi saw, sebagai pemimpin suara-suara tersebut tidaklah menggusarkan, malah menjadi suatu motivasi kepada baginda saw untuk menambah keyakinan dengan Islam, lalu berteriak dengan sekeras-keras suara:

أين يا عباد الله ؟ إلي أنا رسول الله ، ويقول في تلك الحال : أنا النبي لا كذب أنا ابن عبد المطلب وأمر عليه السلام عمه العباس وكان جهير الصوت أن ينادي الصحابة فقال بأعلى صوته: أين أصحاب السمرة, قال العباس: فوالله لكأن عطفتهم حين سمعوا صوتي عطفة البقر على أوادها, فقالوا: لبيك: لبيك, ويذهب الرجل يثني بعيره فلا يقدر عليه, فيأخذ درعه, فيقذفها في عنقه, ويأخذ سيفه وترسه, ويقتحم عن بعيره, ويخلي سبيله فيؤم الصوت حتى إذا اجتمع إليه مائة منهم استقبلوا الناس واقتتلوا ثم نادى الأنصار, يا معشر الأنصار, يا معشر الأنصار فتلاحقت كتائب المسلمين واحدة تلو الأخرى كما كانوا تركوا الموقعة, وتجالد الفريقان مجالدة شديدة, ونظر رسول الله إلى ساحة القتال وقد استحر واحتدم, فقال: ((الآن حمي الوطيس)), ثم أخذ قبضة من تراب الأرض, فرمى بها في وجوه القوم, وقال: ((شاهت الوجوه)) , فما خلق الله إنسانًا إلا ملئ عينيه ترابًا من تلك القبضة فلم يزل حدهم كليلاً وأمرهم مدبرًا, وما هي إلا ساعات قلائل حتى انهزم العدو هزيمة منكرة وقتل من ثقيف وحدهم نحو السبعين وقام المسلمون بمطاردة فلول جيش العدو المتفرقة في نخلة وأوطاس فقتلوا دريد بن الصمة وغيره، ومعظم المشركين تجمعوا في الطائف.
Seruan baginda Rasul SAW memberi peringatan kepada tentera Muslimin sehingga mereka sedar kesilapan dan mara semula dengan menyebut:
لبيك: لبيك

Dengan keyakinan yang tinggi akhirnya mereka kembali bersemangat dan dapat mengalahkan musuh yang lari meninggalkan harta sebanyak 12,000 ekor unta, 40,000 wuqiyyah perak (856,000 gram), 6,000 tentera yang tertawan (al Khatib, hal. 361).

Beberapa perkara yang perlu diperhatikan

1.    Sebagai pemimpin gerakan Islam, strategi, keyakinan dan tawakkal yang amat tinggi kepada Allah perlu ada di setiap masa. Inilah yang telah ditunjukkan oleh baginda saw kepada kita semua.

2.    Sebarang ucapan dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab sepatutnya tidak akan mempengaruhi sikap dan suasana gerakan Islam. Apa yang penting adalah tawakkal baginda yang bulat kepada Allah, yang memasukkan ketakutan ke dalam hati musuh, walaupun dengan hanya menghamburkan segenggam tanah ke arah musuh. 

3.    Tentera musuh yang menggempur hanya seramai empat ribu orang, yang pada awalnya berjaya menakutkan tentera Islam seramai dua belas ribu orang. Namun apabila Nabi saw tetap teguh dan memohon pertolongan Allah, hanya dengan segenggam tanah dapat menakutkan musuh, sehingga mengembalikan semula kekuatan tentera Islam.

4.    Benarlah firman Allah yang bermaksud, ‘Sembahlah Tuhanmu hingga sampai ke saat-saat kematian’.(واعبد ربك حتى يأتيك اليقين)

Artikel Penuh...

Kita tidak akan dapat dikalahkan

P

eristiwa kedua yang mendukacitakan Baginda SAW semasa perjalanan ke Hunain ialah sikap sebahagian sahabat yang merasa bangga dengan ramainya tentera Muslimin yang menyertai mereka iaitu seramai 12,000 orang. Sepuluh ribu tentera yang memang berasal dari Madinah dan dua ribu adalah mereka yang baru masuk Islam dari Kota Mekkah.



Syeikh Munir Muhammad Ghadban menyebut: “Besarnya jumlah pasukan kali ini membuat kaum Muslimin berbangga hati, ‘Tak ada yang boleh mengalahkan kita’. Nabi SAW marah sekali mendengarnya” (Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah 3, hal. 190).

Mubarakfury juga menyebut, “Apabila melihat tentera yang ramai, ada di antara mereka yang berkata, ‘kali ini kita tidak mungkin dapat dikalahkan.’ Padahal keadaan ini mendatangkan kesulitan tersendiri bagi Rasul SAW” (ar Rahiqul Makhtum 2, hal. 402).

Syeikh Abdul Hamid al Khatib dalam kitabnya Ketinggian Risalah Muhammad SAW menyatakan: “Di antara mereka ada yang bersombong diri dengan jumlah merekaq yang banyak itu berkata, ‘kita tidak akan kalah kerana sedikit’. Ertinya pasti menang kerana banyak. Rasulullah SAW tidak senang dengan ucapan yang demikian itu” (hal. 359).

H. Zainal Arifin Abbas menyebut dengan tajuk kecil ‘Perkataan-perkataan yang berbahaya’, “kemudian ada seorang lelaki pula yang tidak disebut namanya berkata pada hari Hunain itu didengar oleh Rasul SAW, katanya, ‘kita tidak akan kalah lagi hari ini kerana kekurangan tenaga’. Maka amatlah dukanya Rasul SAW mendengar perkataan yang sedemikian itu”. 

Dalam nota kakinya pengarang ini telah menambah komentar al Qastalani dengan menyebut, ‘yang menandakan Rasul SAW telah melihat bahaya-bahaya dari adanya perkataan yang sedemikian itu. Sebab telah banyak riwayat Rasul yang kita ikuti, belum pernah baginda berdukacita atau merasakan susah kerana mendengar perkataan atau laporan seseorang sahabat seperti itu. Perkataan itu adalah rahsia hati yang mencerminkan hubungan seseorang dengan Allah SWT. Perkataan seperti ini menandakan telah ada fakta-fakta kerosakan di dalam Iman mereka kepada Allah (Sejarah Dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW 9, hal. 82).

Padahal semasa Malik bin Auf menghantar perisik, mereka telah mendapat gambaran bahawa tentera yang berperang bersama membantu Nabi SAW adalah tentera syurga: “Kami melihat orang yang berkulit putih di atas kuda bertompok hitam putih....dan sekelip mata kami tertawan dengan apa yang kami lihat, kita tidak berperang dengan tentera dari bumi, tetapi dengan tentera dari syurga. Dengarlah nasihat kami dan berundurlah; kerana jika orang kita melihat apa yang telah kami deritai mereka akan menderita juga.,,,kelibat mereka tidak dapat ditanggung” (Martin Lings/Abu Bakar Sirajuddin: Muhammad SAW, hal.347).

Ertinya gerakan tentera Muslimin Mekkah telah mendapat dokongan dari para malaikat. Namun kerana keangkuhan yang sedikit mereka menerima serangan pada pagi subuh dan hampir-hampir melumpuhkan mereka. Inilah penting pergantungan yang jitu terhadap Allah Azza wa Jalla.

Syeikh Abdul Hamid al Khatib menambah, “Allah rupanya memberi hukuman kepada mereka kerana kesombongan mereka yang mengatakan pasti menang dan kerana kurang sucinya tujuan mereka maju ke medan perang. Mereka dikalahkan sejelek-jelek kekalahan, lalu mundur ke belakang. Dan banyak di antara mereka pemuda-pemuda yang belum berpengalaman di medan perang, iaitu pemuda-pemuda Mekkah yang baru masuk Islam. Dan mungkin kerana dosa mereka yang ingin mengambil berkat dari pohon Zatu Anwath dan menunjukkan kesyirikan mereka.... termasuk orang yang gembira dengan kekalahan pasukan Muslimin ini ialah Abu Sufyan bin Harb. Ia berkata,  ’Kekalahan ini tidak akan berakhir hanya di sini, mereka akan terusir sampai ke pinggir laut’. .... Berkata Syaibah bin Uthman bin Abi Thalhah, ‘Sekarang saya dapat membalas dendamku terhadap Muhammad atas kematian bapaku di medan perang Uhud’. Berkata Jiblah bin Hanbal, ‘Hari ini hilanglah pengaruh sihir.” (hal. 360).

Allah berfirman menceritakan kisah ini dalam surah at Taubah ayat 35 – 38 yang lebih kurang bermaksud:
  
25. Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah Dengan sebab bilangan kamu Yang ramai; maka bilangan Yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi Yang Luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.
26. kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.
27. kemudian Allah menerima taubat orang-orang Yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan Dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
28. Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

1.........  Peperangan Hunain berlaku selepas penaklukan kota Mekkah. Kemenangan di Makkah dipermudahkan  Allah kerana kekuatan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah. Sepanjang perjalanan memasuki kota Makkah baginda sentiasa tunduk sehingga dagu hampir mencecah belakang unta tunggangan. Ini menggambarkan tahap ketundukan dan kesyukuran kepada Allah amat tinggi.
2.          .......Di medan perang Hunain, sebahagiannya sudah lupa dan masih seronok dengan kemenangan di Makkah serta ramainya tentera Islam sehingga tahap kebergantungan dan penyerahan kepada Allah agak longgar, sehingga mereka diuji. Suatu soalan yang perlu dijawab, ialah bagaimana untuk mempastikan ketaqwaan sentiasa melekat dalam peribadi setiap insan?. Barangkali persekitaran juga boleh mengubah ‘mood’ dan citarasa seseorang!.

3.   ........ Program tarbiyyah dan muhasabah mesti dilakukan secara  berterusan. Jangan berpada dengan nama dan rupa bentuk muslim luaran, kerana syaitan dan nafsu tidak pernah tidur untuk menyesatkan umat manusia. 

4.   .......... Kesombongan sebahagian manusia di Hunain adalah peristiwa yang telah tercatat dalam sejarah dan berlaku semasa bersama dengan Nabi saw. Suara baginda saw masih dapat didengar, rupa masih dapat dilihat. Namun ianya boleh berlaku. Bagimana pula halnya di zaman kini. Zaman Nabi sudah tidak ada! Secara logiknya akan lebih mudah berlaku.

5.   ........ Dalam apa suasana sekalipun umat Islam jangan mudah celupar dan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan akhlak berjama`ah. Kebenaran untuk bercakap bukan bererti kita boleh mengeluarkan apa sahaja yang kita nak cakap dan nak bicara. Apatah lagi kenyataan tersebut bersifat mendahului, menggusarkan malah menimbulkan kemarahan pimpinan.

Artikel Penuh...