Wednesday, September 17, 2014

Kita tidak akan dapat dikalahkan

P

eristiwa kedua yang mendukacitakan Baginda SAW semasa perjalanan ke Hunain ialah sikap sebahagian sahabat yang merasa bangga dengan ramainya tentera Muslimin yang menyertai mereka iaitu seramai 12,000 orang. Sepuluh ribu tentera yang memang berasal dari Madinah dan dua ribu adalah mereka yang baru masuk Islam dari Kota Mekkah.



Syeikh Munir Muhammad Ghadban menyebut: “Besarnya jumlah pasukan kali ini membuat kaum Muslimin berbangga hati, ‘Tak ada yang boleh mengalahkan kita’. Nabi SAW marah sekali mendengarnya” (Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawiyyah 3, hal. 190).

Mubarakfury juga menyebut, “Apabila melihat tentera yang ramai, ada di antara mereka yang berkata, ‘kali ini kita tidak mungkin dapat dikalahkan.’ Padahal keadaan ini mendatangkan kesulitan tersendiri bagi Rasul SAW” (ar Rahiqul Makhtum 2, hal. 402).

Syeikh Abdul Hamid al Khatib dalam kitabnya Ketinggian Risalah Muhammad SAW menyatakan: “Di antara mereka ada yang bersombong diri dengan jumlah merekaq yang banyak itu berkata, ‘kita tidak akan kalah kerana sedikit’. Ertinya pasti menang kerana banyak. Rasulullah SAW tidak senang dengan ucapan yang demikian itu” (hal. 359).

H. Zainal Arifin Abbas menyebut dengan tajuk kecil ‘Perkataan-perkataan yang berbahaya’, “kemudian ada seorang lelaki pula yang tidak disebut namanya berkata pada hari Hunain itu didengar oleh Rasul SAW, katanya, ‘kita tidak akan kalah lagi hari ini kerana kekurangan tenaga’. Maka amatlah dukanya Rasul SAW mendengar perkataan yang sedemikian itu”. 

Dalam nota kakinya pengarang ini telah menambah komentar al Qastalani dengan menyebut, ‘yang menandakan Rasul SAW telah melihat bahaya-bahaya dari adanya perkataan yang sedemikian itu. Sebab telah banyak riwayat Rasul yang kita ikuti, belum pernah baginda berdukacita atau merasakan susah kerana mendengar perkataan atau laporan seseorang sahabat seperti itu. Perkataan itu adalah rahsia hati yang mencerminkan hubungan seseorang dengan Allah SWT. Perkataan seperti ini menandakan telah ada fakta-fakta kerosakan di dalam Iman mereka kepada Allah (Sejarah Dan Perjuangan Nabi Muhammad SAW 9, hal. 82).

Padahal semasa Malik bin Auf menghantar perisik, mereka telah mendapat gambaran bahawa tentera yang berperang bersama membantu Nabi SAW adalah tentera syurga: “Kami melihat orang yang berkulit putih di atas kuda bertompok hitam putih....dan sekelip mata kami tertawan dengan apa yang kami lihat, kita tidak berperang dengan tentera dari bumi, tetapi dengan tentera dari syurga. Dengarlah nasihat kami dan berundurlah; kerana jika orang kita melihat apa yang telah kami deritai mereka akan menderita juga.,,,kelibat mereka tidak dapat ditanggung” (Martin Lings/Abu Bakar Sirajuddin: Muhammad SAW, hal.347).

Ertinya gerakan tentera Muslimin Mekkah telah mendapat dokongan dari para malaikat. Namun kerana keangkuhan yang sedikit mereka menerima serangan pada pagi subuh dan hampir-hampir melumpuhkan mereka. Inilah penting pergantungan yang jitu terhadap Allah Azza wa Jalla.

Syeikh Abdul Hamid al Khatib menambah, “Allah rupanya memberi hukuman kepada mereka kerana kesombongan mereka yang mengatakan pasti menang dan kerana kurang sucinya tujuan mereka maju ke medan perang. Mereka dikalahkan sejelek-jelek kekalahan, lalu mundur ke belakang. Dan banyak di antara mereka pemuda-pemuda yang belum berpengalaman di medan perang, iaitu pemuda-pemuda Mekkah yang baru masuk Islam. Dan mungkin kerana dosa mereka yang ingin mengambil berkat dari pohon Zatu Anwath dan menunjukkan kesyirikan mereka.... termasuk orang yang gembira dengan kekalahan pasukan Muslimin ini ialah Abu Sufyan bin Harb. Ia berkata,  ’Kekalahan ini tidak akan berakhir hanya di sini, mereka akan terusir sampai ke pinggir laut’. .... Berkata Syaibah bin Uthman bin Abi Thalhah, ‘Sekarang saya dapat membalas dendamku terhadap Muhammad atas kematian bapaku di medan perang Uhud’. Berkata Jiblah bin Hanbal, ‘Hari ini hilanglah pengaruh sihir.” (hal. 360).

Allah berfirman menceritakan kisah ini dalam surah at Taubah ayat 35 – 38 yang lebih kurang bermaksud:
  
25. Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan Dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, Iaitu semasa kamu merasa megah Dengan sebab bilangan kamu Yang ramai; maka bilangan Yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi Yang Luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.
26. kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang Yang beriman, dan Allah menurunkan tentera Yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan Yang membawa kehancuran); dan Yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang Yang kafir.
27. kemudian Allah menerima taubat orang-orang Yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan Dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
28. Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

1.........  Peperangan Hunain berlaku selepas penaklukan kota Mekkah. Kemenangan di Makkah dipermudahkan  Allah kerana kekuatan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah. Sepanjang perjalanan memasuki kota Makkah baginda sentiasa tunduk sehingga dagu hampir mencecah belakang unta tunggangan. Ini menggambarkan tahap ketundukan dan kesyukuran kepada Allah amat tinggi.
2.          .......Di medan perang Hunain, sebahagiannya sudah lupa dan masih seronok dengan kemenangan di Makkah serta ramainya tentera Islam sehingga tahap kebergantungan dan penyerahan kepada Allah agak longgar, sehingga mereka diuji. Suatu soalan yang perlu dijawab, ialah bagaimana untuk mempastikan ketaqwaan sentiasa melekat dalam peribadi setiap insan?. Barangkali persekitaran juga boleh mengubah ‘mood’ dan citarasa seseorang!.

3.   ........ Program tarbiyyah dan muhasabah mesti dilakukan secara  berterusan. Jangan berpada dengan nama dan rupa bentuk muslim luaran, kerana syaitan dan nafsu tidak pernah tidur untuk menyesatkan umat manusia. 

4.   .......... Kesombongan sebahagian manusia di Hunain adalah peristiwa yang telah tercatat dalam sejarah dan berlaku semasa bersama dengan Nabi saw. Suara baginda saw masih dapat didengar, rupa masih dapat dilihat. Namun ianya boleh berlaku. Bagimana pula halnya di zaman kini. Zaman Nabi sudah tidak ada! Secara logiknya akan lebih mudah berlaku.

5.   ........ Dalam apa suasana sekalipun umat Islam jangan mudah celupar dan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan akhlak berjama`ah. Kebenaran untuk bercakap bukan bererti kita boleh mengeluarkan apa sahaja yang kita nak cakap dan nak bicara. Apatah lagi kenyataan tersebut bersifat mendahului, menggusarkan malah menimbulkan kemarahan pimpinan.

No comments:

Post a Comment