`A
was Kaki Ponteng Puasa’ pernah menjadi
tajuk besar muka depan sebuah akhbar tabloid tempatan. Seorang anak
membaca tajuk tersebut dan mengemukakan beberapa persoalan kepada ayahnya.
Anak: Kenapa boleh jadi begitu ayah,
kenapa mereka ponteng puasa?
Ayah: Mungkin kerana mereka merasakan
puasa itu tidak begitu penting?
Anak: Kenapa mereka merasa tidak penting?
Ayah: Mungkin kurang ilmu dan kurang
kesedaran!
Anak: Kalau macam tu apa pentingnya puasa
itu, dan apa sebenarnya puasa tu ayah?.
Perbualan di atas mungkin lumrah terjadi
di masa kini. Kenapa? Mungkin kerana anak banyak terdedah kepada pelbagai jenis
pemikiran terkini. Mereka akan mempersoalkan apa sahaja untuk mencari jawapan
dan mungkin juga untuk mendapat kepuasan.
Memang fitrah manusia dijadikan begitu,
dengan naluri ingin tahu. Kenapa? Kerana kita dilahirkan dalam keadaan tidak
mengetahui apa-apa. Kita dikeluarkan dari perut ibu dalam keadaan kosong, tanpa
sebarang pengetahuan, kemudian dijadikan pendengaran, penglihatan dan hati (akal
pemikiran), supaya kamu bersyukur (Lihat lebih kurang maksud dari ayat surah an
Nahl, 16:78).
Dengan adanya tiga alat yang dibekalkan,
manusia terus diizinkan untuk membesar, memerhati dan mengkaji apa sahaja yang
berlaku setiap hari. Bezanya ada yang kuat dan ada yang lemah pengamatan. Yang
kuat akan mencari dan mengkaji sehingga timbul persoalan-persoalan seperti di
atas.
Bila disebut puasa, bagi kita yang sudah
maklum, akan tergambar ianya merupakan salah satu daripada rukun Islam yang
lima. Rukun ertinya perkara yang wajib bagi orang Islam kerjakan. Tanpanya
Islam tidak akan lengkap. Umumnya juga mengatakan puasa ialah menahan diri dari
makan dan minum dengan sengaja. Ada yang mengatakan ianya bermaksud berpantang
makan dan minum dan mungkin juga ianya merupakan satu ibadat.
Kalau sekadar berpantang dari makan
minum, tanpa diketahui atau disedari untuk apa dan siapa? Mungkin inilah yang
berlaku curi-curi makan atau ponteng puasa seperti yang sering terpampang di
dada akhbar. Sekadar diasuh jangan makan dan jangan minum di siang hari tanpa
dilanjutkan untuk siapa dan kerana apa?. Mungkin sudah menjadi adat dan
kebiasaan.
Sebab itulah tradisi masyarakat Melayu, biasanya sudah diajar melakukan sesuatu berserta
dengan rasionalnya sekali. Contohnya buat sesuatu kerana Allah. Malah ayatnya
juga sudah cukup cantik direkacipta sepadan dengan `nawaitunya’,
sengaja, senghaja atau sahaja. Bila disebut menyengajakan bermaksud berbuat
sesuatu dengan sengaja (Kamus Dewan, hal. 1165-11660). Bererti ada kesedaran,
dipertanggungjawabkan dan bukan secara kebetulan, kebiasaan atau keterpaksaan,
apatah lagi secara ikut-ikutan, lainlah pada peringkat kanak-kanak. Seterusnya
diatur ‘sengaja aku berpuasa .......... kerana Allah Ta`ala. Bukan sahaja
dilakukan dengan penuh sedar, tidak terpaksa, tetapi dikeranakan Allah Ta`ala,
Tuhan, penguasa yang menjadikan kita dan menjadikan alam maya ini.
Dari satu segi yang lain, oleh kerana kita
makhluknya yang tidak punya apa-apa kecuali yang dianugerahkan, maka `puasa’ juga
dapat diwajarkan dengan kepuasan Yang Maha Esa. Yakni meletakkan Allah sebagai
matlamat utama, bukan kepuasan kita sebagai makhluknya. Kalau kepuasan kita
sudah tentulah pelbagai berdasarkan kepada falsafah dan rasional masing-masing.
Namun apabila kita menyebut ianya untuk kepuasan Yang Maha Esa, maka skemanya
mestilah berdasarkan kepada skema Allah, bukan skema kita. Contohnya
syarat-syarat sah, syarat wajib, rukun dan pembatalnya.
Apa penting semuanya ini? Nyata kita kena
jawab soalan anak di atas tadi. Kerana Puasa adalah arahan Allah, bila begitu, kaedah
perlaksanaannya mestilah ditentukan oleh Allah. Tanpa mengikut skema ini, semua
aktiviti yang dilakukan berkaitan dengan puasa pasti tidak memenuhi syarat.
Apabila tidak memenuhi syarat, mana mungkin puasa kita diterima. Sama seperti
kita masuk sekolah, sukatannya mestilah berdasarkan apa yang dibekalkan oleh
pihak kementerian kepada sekolah tersebut. Malah siap sahaja pendaftaran, terus
diberikan sukatan pelajaran, jenis uniform yang perlu digunakan. Semuanya perlu
diikuti oleh guru atau murid. Andainya tidak mahu ikut sukatannya, disiplinnya
kita abaikan, sudah tentu awal-awal lagi akan disingkirkan.
Demikianlah rupanya, kalau di sekolah
milik manusia kita patuh, apatah lagi dengan ibadat yang diarahkan Allah.
Sebahagian ulama` menyebut puasa adalah suatu sesi persekolahan atau ‘tarbiyyah’
yang disediakan oleh Allah untuk membentuk kemanusiaan manusia agar benar-benar
mengerti bahawa dirinya hamba yang tidak
punya apa-apa dan belajar mengenali dirinya siapa. Sebulan kita diajak untuk
berada di ‘Madrasah Ramadhan’ dengan mematuhi kesemua arahan Allah.
Datangnya Rejab dengan Sya`ban kita telah
diwarwarkan dengan Ramadhan, dua bulan ini kita telah dihantar surat tawaran
untuk ke Madrasah Ramadhan. Akhir Sya`ban sudah siap mengisi borang kemasukan
berserta borang akurjanji untuk berada dan tinggal dengan sebaik-baiknya di
asrama madrasah tersebut. Mana tidaknya! Siang hari, andainya kita ada makanan,
walaupun halal, ia tetap menjadi haram. Walaupun sekadar sebiji nasi, secubit
ikan, seteguk air atau sebuku roti. Semuanya ini dilakukan kerana Allah.
Amat malang sekiranya semuanya ini
dilakukan tanpa disangkutkan atau dipanjatkan kepada Allah. Sebulan berlapar.
Siang hari kita tidak menjamah kesemuanya, tetapi tidak dihubungkan dengan Allah. Jadilah apa yang kita buat itu sekadar
nak puaskan diri sendiri semata-mata. Tak puasa takut orang kata... itu ini dan
sebagainya. Maka puasalah kita. Kat mana kerana Allahnya.
Dari sudut kesihatan, Prof. Nicko Lev
dalam bukunya Hungry for Healthy mengatakan, “Setiap orang harus berpuasa
dengan berpantang makan selama empat minggu setiap tahun, agar ia memperoleh
kesihatan yang sempurna sepanjang hidupnya.”
McFadon, seorang ahli kesihatan Amerika,
mengatakan, “Setiap orang perlu berpuasa, karena kalau tidak maka ia akan
sakit. Karena racun makanan berkumpul dalam tubuh dan membuatnya seperti orang
sakit, memberatkan tubuhnya, dan mengurangi daya kehidupannya. Apabila ia
berpuasa, maka berat badannya menurun, dan racun-racun ini terurai dari
tubuhnya dan keluar, sehingga tubuhnya menjadi bersih secara sempurna, lalu keseimbangan
tubuhnya akan kembali naik, dan sel-selnya kembali baru dalam waktu tidak lebih
dari 20 hari setelah berhenti puasa. Pada saat itu ia merasakan daya kehidupan
dan kekuatan yang tidak pernah dirasakannya sebelumnya.”
Alexis Carrel, pemenang hadiah Nobel di
bidang kedokteran, dalam bukunya Man the Unknown mengatakan, “Banyaknya jenis makanan
dapat melemahkan suatu fungsi organ, dan itu merupakan faktor yang besar bagi
berdiamnya jenis-jenis kuman dalam tubuh. Fungsi tersebut adalah fungsi
adaptasi terhadap jenis makanan yang sedikit…Gula pada jantung bergerak, dan
bergerak pula lemak yang tersimpan dalam kulit. Semua organ tubuh mengeluarkan
zat khususnya untuk mempertahankan keseimbangan dalaman dan kesehatan jantung.
Puasa benar-benar membersihkan dan pengganti jaringan tubuh kita.”
Sihat dan sakit adalah dua situasi yang
telah difitrahkan oleh Allah kepada manusia. Ada sihat mesti ada sakit.
Andainya berkesempatan, pergilah ke hospital, klinik-klinik samada swasta atau
kerajaan. Ziarahilah pesakit, bersembanglah dengan mereka. Tanya apa punca
penyakit yang mereka deritai, sebahagian besar dari mereka akan menjawab
berpunca dari makan dan permakanan. Setelah diperiksa oleh para doktor atau
jururawat, apa nasihat mereka... sudah tentu kebanyakan mereka akan menjawab, kena berpantang, jangan makan itu
dan ini. Jangan lupa makan ubat. Bila disebut berpantang ertinya menahan
dirilah tu dari makan makanan tertentu. Maka bila menahan diri itu ertinya
sebahagian dari agenda puasalah tu. Cuma puasa menahan diri dari semua jenis
makanan dan minuman pada siang hari. Sebab itulah terdapat satu arahan kenabian
yang bermakud, “Berpuasalah nescaya kamu sihat”. Walaupun hadis ini distatuskan
sebagai lemah, namun melihat dari segi kemenasabahan kesihatan sememangnya amat
berkaitan.
Dari segi sejarah, puasa adalah ibadat
yang tertua yang pernah difardhukan
kepada umat-umat terdahulu. Kalau kita lihat dari segi ayat perintahnya
pun ia merupakan suatu ibadat bersama kita dengan umat terdahulu. Lihat
ayatnya:
يا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ
مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al
Baqarah: 183).
Ertinya kalau kita lapar dahaga, maka
orang dahulu juga pernah lapar dan dahaga. Lihat ungkapan ‘kama kutiba `alal
lazina min qablikum’. Ungkapan ini semacam suatu pujukan halus, bukan
sahaja kamu, tetapi orang dahulu pun difardhukan juga. Setelah itu disambung
lagi dengan ‘ayyaman ma`dudat’, hanya pada hari-hari tertentu sahaja. Bukan
sepanjang masa. Selain dari manusia, makhluk lain juga ada masa-masa puasanya.
Ayam umpamanya, akan berpuasa semasa mengeram telur untuk mempastikan suhu
badan yang bersesuaian sehingga ke masa menetas. Begitulah binatang-binatang
lain. Ada masa puasanya. Nah! Kalau binatang berpuasa, kita manusia pulak tak
puasa, di manakah nilai kita sebagai manusia?. Sebab itu kalau kita sekadar
berlapar dan berdahaga semata-mata tanpa mengambilkira kehendak dan arahan Allah, maka kita tidak akan beroleh apa-apa.
Dari segi bulannya Ramadhan sendiri sudah
mempunyai beberapa keistimewaan yang tidak ada pada bulan lain. SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
memetik apa yang disebut oleh Ibn Hajar
al-Haitami, pertamanya:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ
فِيهِ الْقُرْآنُ
Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu
berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, …) [Surah
al-Baqarah: 185]
Uniknya Ramadhan, ia disebut dalam al-Qur’an. Ia tidak datang secara
tunggal tetapi digandingkan pula dengan ayat ‘unzila fīhi al-qur’ān’ (padanya
diturunkan Al-Quran,). Gabungan inilah yang melengkapkan kemuliaan Ramadhan.
Al-Syahr itu antara lain maksudnya adalah masyhur. Jika diteliti, sangat indah
susunan bahasa al-Quran dalam ayat ini namun kelemahan kita yang tidak mampu
menggapai keindahannya.
Kedua sabda Nabi SAW:
مَا مَرَّ عَلَى الْمُسْلِمِينَ شَهْرٌ خَيْرٌ لَهُمْ مِنْهُ
Maksudnya: “Tidak ada bulan yang datang kepada kaum Muslimin yang lebih baik daripadanya (Ramadhan)…” [Syu’ab al-Iman, Bab Kelebihan Bulan Ramadhan, no. 3335]
Semua ganjaran dilonggokkan pada bulan Ramadhan. Inilah yang menggembirakan
orang Muslim. Sebaliknya bagi orang munafik, Ramadhan adalah bulan yang tidak
disukainya. Itulah dua sikap yang ditemui dalam Ramadhan.
Ketiga, Ramadhan adalah bulan yang
melengkapi tuntutan semua Rukun Islam. Nak diterima puasa kena Islam dan bukti
Islam adalah pada "Syahadah." "Solat" dalam bulan Ramadhan
jauh lebih banyak dan berganda pahalanya berbanding bulan lain.
"Puasa" pastinya dilakukan dalam bulan Ramadhan. Kadar pembayaran
"zakat" juga meningkat dalam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW pun menyebut
Umrah dalam bulan Ramadhan besar ganjarannya seperti menjalankan ibadat
"haji".
Selanjutnya SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
menyebut:
• Cabaran utama dari dulu sehingga sekarang adalah mengikut bagaimana Nabi
SAW berbuka. Sangat jauh kita dengan cara Nabi SAW berbuka puasa.
• Hikmah puasa di sisi sufi adalah melaparkan orang kaya. Orang yang
berada, bila hidup senang, sifat keinsanannya kurang. Begitu juga sifat
ihsannya. Menurut Said Hawwa, manusia zaman kini tidak ada ‘insaniyyatul insan’
(insan/manusia yang ada sifat keinsanan).
• Hidup Nabi SAW tidak menyusahkan. Apa yang ada berbaki, itulah yang Nabi
SAW makan. Bagi Nabi SAW, makan itu alat (untuk membolehkan ada tenaga untuk
beribadah) sedangkan bagi kita, makan itu matlamat.
Pada penghujung Ramadhan
kita juga sering diwarwarkan dengan hari raya. Suatu ketika yang dikira amat
baik untuk kita renungkan bersama. Berkaitan dengan ini SS Datuk Dr Zulkifli
Mohamad al Bakri menambah antaranya:
• Hari Raya adalah fitrah manusia. Setiap orang inginkan kegembiraan. Apabila
Nabi SAW sampai di Madinah, Nabi SAW lihat ada dua perayaan di sana yang
diceduk daripada budaya Farsi iaitu Hari Raya Nairuz dan Mahrajan. Maka, Allah
gantikan kepada umat Islam dengan dua ‘Id (‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha)
sebagaimana disebutkan dalam hadith.
• Dalam Islam, apabila berjaya disuruh membesarkan Allah (bertakbir).
Sebagaimana kata Jabir:
عن
جابر بن عبد الله رضي الله عنهما قال كنا إذا صعدنا كبرنا وإذا نزلنا سبحنا
“kunnā iza soʿidnā kabbirnā…” (Apabila kami naik ke atas bukit, kami
bertakbir…) [Sunan al-Darimi, no. 2716, Isnadnya sahih]. Ini menunjukkan,
apabila kita berada di atas (berjaya) maka jangan dilupa bahawa Allahlah yang
teratas dan patut diutamakan daripada segalanya. Buangkan ego, sombong dan
masukkan rasa rendah diri dalam hati. Itu falsafah takbir.
• Firman Allah SWT:
وَلِتُكَبِّرُوا
اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “…dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya,
dan supaya kamu bersyukur.” [Surah al-Baqarah: 185]. Tujuan takbir itu supaya
kita sedar bahawa Allah adalah sumber kejayaan kita dan akhirnya kita akan
bersyukur kepada-Nya.
• Lafaz takbir raya adalah dalam bentuk fi’l madhi (past tense) kerana
hakikatnya semua kejayaan itu adalah dengan kembali kepada Allah. Natijahnya,
mereka yang kembali kepada Allah itulah mereka yang faham akan tanggungjawab
membela agama-Nya dan meninggikan syariat-Nya.
Akhirnya, bertanyalah kepada diri sendiri! Bagaimana
cara yang kita sendiri mahu? Berpuasa mengikut kehendak sendiri atau mengikut
kehendak Allah dan RasulNya?
Sekian untuk renungan.
No comments:
Post a Comment