Monday, April 18, 2011

As Syurutul bathinah min a`mali al Qalbi (Abdul Somad al Palimbani, Siyarus Salikin 1, hal. 66)

Bermula fasal yang ketiga pada menyatakan syarat sembahyang yang batin, iaitu daripada amal di dalam hati/jantung.

Ketahui olehmu bahawasanya sembahyang itu ada baginya zahir, iaitu mengerjakan segala rukun sembahyang dan segala sunatnya yang tersebut itu, dan ada baginya pula bathin yang mengesahkan bagi `amal zahir itu, (Sembahyang batin pula terdiri daripada kerja-kerja hati seperti niat, ikhlas, hadhir hati bersama Allah Ta`ala dengan bermuraqabah dan bermunajat kepadanya, berperasaan kasih serta mengagungkanNya, merasa hebat gerun dan malu terhadapNya, menaruh harap kepada keredhaanNya serta bimbang takut kepada kemurkaanNya dan lagi hati meneliti ‘tadabbur’ dengan penuh faham segala bacaan dan perbuatan yang dikerjakannya itu – Fiqhus Solah, hal. 152-153) yang sayugianya diamalkan oleh orang yang salik ertinya yang menjalani jalan akhirat itu, supaya sempurna amalnya itu, iaitu khusyuk, ya`ni menghinakan diri serta tetap anggota dan hudhur ul qalbi, ya`ni ingat hati akan perbuatan sembahyang dan hadhir hati kepada Allah, sekira-kira kosong hatinya itu pada ketika sembahyang itu daripada yang lain daripada Allah Ta`ala seperti firman Allah yang bermaksud:

14. "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku (Thaha: 14)

Kata Imam al Ghazali, “Maka zahir suruh di dalam ayat ini iaitu suruh wajib, ya`ni wajib atas seorang yang sembahyang itu ingat hatinya di dalam sembahyang itu akan Allah Ta`ala, maka barangsiapa sembahyang, padahal hatinya lupa akan Allah Ta`ala, maka iaitu tiada dinamakan mendirikan sembahyang”.

Dan kerana itulah sayugianya bahawa hadhir hati pada tiap-tiap rukun daripada segala rukun sembahyang itu dan ingat hati kepada Allah Ta`ala itu seolah-olah melihat akan Allah, dan dinamakan dia maqam al Ihsan seperti sabda Nabi saw:

الإحسان أن تعبد ربك (الله) كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

“Bermula Ihsan itu bahawa engkau berbuat ibadat akan Tuhanmu seolah-olah engkau lihat akan Dia, maka jika tiada engkau melihat akan dia maka bahawasanya adalah Dia itu melihat akan dikau”.

Dan Firman Allah Ta`ala:

205. Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu Dalam hatimu, Dengan merendah diri serta Dengan perasaan takut (melanggar perintahNya), dan Dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah Engkau menjadi dari orang-orang Yang lalai (al A`raf:205)


Dan kata Imam al Ghazali rahimahul Llahu Ta`ala dan tegah di dalam ayat ini iaitu tegah haram, ya`nil alai akan Allah Ta`ala itu haram, dan haram itu daripada kejahatan, dari kerana inilah sabda Nabi saw:
من لم ينته صلاته عن الفحشاء والمنكر لم يزدد من الله الا بعدا

“Barangsiapa tiada menegahkan sembahyangnya itu akan dia daripada kejahatan dan daripada mungkar nescaya tiada lebih daripada Allah Ta`ala hampirnya melainkan jauh”.

Ini adalah kisah pertarungan antara ruh dengan nafsu, sebab itu kata Ibnu Athaillah dalam kitabnya al Hikam:
أصل كلِّ معصيةٍ وغفلة وشهوة الرضا عن النفس, وأصل كلِّ طاعةٍ ويَقَظَة وعِفّة عدمُ الرضا منك عنها, ولَأنْ تصحب جاهلا لا يرضى عن نفسه, خير لك أن تصحب عالما يرضى عن نفسه, فأي علم ٍلعالمٍ يرضى عن نفسه؟ وأى جهلٍ لجاهلٍ لا يرضى عن نفسه؟.

“Asal semua ma`siat, kelalaian dan syahwat ialah keredhaan memuaskan hawa nafsu (turut hawa nafsu, kerana redha itu menutup aib, rasa malu dan menegah ia daripada nadzar kepada hak Allah dalam segala ihwalnya, dan menjadi asal kepada sifat mazmumah), sedangkan pokok kepada segala ketaatan, kesedaran dan ketinggian akhlak, budi pekerti ialah pengekangan terhadapnya (lawan hawa nafsu, kena benteras kehendak nafsu, asal kepada sifat mahmudah). Dan engkau berkawan dengan orang jahil yang tidak menurut hawa nafsunya lebih baik daripada berkawan dengan seorang alim yang menurut hawa nafsunya. Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan (kewajaran) kepada seorang alim yang selalu menurutkan hawa nafsunya, dan kebodohan apakah yang dapat disebutkan kepada seorang jahil (kewajaran) yang sudah dapat mengekang (menahan) hawa nafsunya” (Syarah Hikam, Dr. Zul. Hal. 260. Al Buthi, hal.421, Engku Ali 2, hal. 309).

Semua jenayah bermula dari ketaatan kepada nafsu, lihat wajah Malaysia kini
Untuk itu solat mesti jadi asas kekuatan peribadi, masyarakat dan negara.

Sufyan at Thauri menyebut:
إنما العلم ليتقى الله وإنما فضلُ العلم غيرَهُ لأنه يتقى الله به

“Sesungguhnya ilmu itu untuk bertakwa kepada Allah, dan dilebihkan ilmu dengan yang lainnya, kerana ia menjadikan seseorang bertakwa kepada Allah dengan ilmunya” (Dr. Zul. Hal. 264)

Ayat-ayat berkaitan dengan Kelebihan Ilmu
1. Menjadi saksi bersama-sama dengan Allah, malaikat tentang ketuhanan yang Maha Esa. Ayat ini Allah memulakan dengan penyaksian ke atas dirinya.

18. Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


2. Diangkat oleh Allah beberapa darjat di sisinya:

Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan.



3. Allah sendiri bertanya tentang perbezaan di antara orang yang berilmu dengan yang sebaliknya:

"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.

4. Takut kepada Allah dengan sebenar-benarnya:


Sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.


5. Menjadi tempat rujuk:


83. Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang Yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang Yang teguh imannya dan Luas ilmunya di antara kamu).


43. Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, Yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu Bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang Yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

Setengahnya sangat menjaga waktu dengan amal ibadat tidak mensia-siakan waktu yang ada.

إذا كان ليلى ليلَ سفيهٍ ونهارى نهارَ جاهلٍ فما اصنعُ بالعلم الذي أَكتَسَبَهُ
“Apabila malamku seperti malam orang yang bodoh dan siangku seperti siang orang yang jahil, maka apakah yang aku lakukan dengan ilmu yang aku usahakan”

كفى بخشية الله عِلما وكفى بالإغْتِرار بالله جَهلا
“Cukuplah dengan takut kepada Allah menunjukkan berilmu, dan cukuplah dengan membuat penipuan terhadap Allah menunjukkan kejahilan” (Dr. Zul, hal. 264).

Dan kata Imam al Ghazali Rh.

وصلاة الغافل لا تمنع من الفحشاء والمنكر
“Dan sembahyang orang yang lalai akan Allah Ta`ala itu tiada menegahkan ia daripada kejahatan dan mungkar”.

Supaya solat jadi berharga dan diterima Allah, kena ada ilmu. Lihat kisah solat bersama keluarga.

Dan lagi sabda Nabi Saw:

كم من قائم حظه من قيامه التعب والنصب
“Beberapa daripada orang yang mendirikan sembahyang, maka bahagiannya daripada mendirikan sembahyang itu iaitu susah dan lelah jua, ya`ni tiada bahagiannya daripada pahala”.

Dan kata Imam al Ghazali Rh.:

وما أراد به الا الغافل
“Tiada dikehendaki Nabi Saw, dengan perkataan di dalam hadis ini melainkan iaitu orang yang lalai kepada Allah Ta`ala di dalam sembahyangnya itu”.

.....Sama seperti orang yang buat sesuatu kerja, kalau lalai, tak tumpu maka tidak akan menjadi, tangkap ikan (ngiggat ikan) kepala semuanya mesti tumpu, lihat kucing nak tangkap binatang, tumpuannya kemana?

Dan lagi sabda Nabi Saw:

ليس للعبد من صلاته الا ما عقل منها

“Tiada bagi hamba Allah itu daripada pahala sembahyangnya melainkan barang yang ingat akalnya kepad Allah Ta`ala daripada sembahyangnya”.

Dan kata Sufyan at Thauri Rh.
من لم تخشع جوارحه لم يخشع قلبه ومن لم يخشع قلبه فسدت صلاته
“Barangsiapa tiada khusyuk anggotanya nescaya tiada khusyuk hatinya (jantungnya), dan barangsiapa tiada khusyuk hatinya nescaya binasa sembahyangnya”.

Dan kata Hasan al Basri Rh.

كل صلاة لا يحضر فيها القلب فهى الى العقوبة اسرع
“Bermula tiap-tiap sembahyang yang tiada hadir hati di dalamnya maka iaitu terlebih menghampirkan kepada seksa”.

Dan kata Mu`az bin Jabal Rdh.

إن من عرف من على يمينه وشماله متعمدا وهو فى الصلاة فلا صلاة له
“Bahawasanya barangsiapa mengenal ia akan seorang yang di kanannya dan orang yang di kirinya pada dia sahajanya dan iaitu di dalam sembahyang, maka tiada baginya sembahyangnya”.

Apa yang penting pohonlah istiqamah

Dan lagi sabda Nabi Saw:
إن العبد ليصلى الصلاة لا يُكتب له سدسُها ولا عشرُها وانما يُكتب للعبد من صلاته ما عُقِل منها
“Bahawasanya seseorang hamba Allah bersungguh-sungguh ia berbuat sembahyang padahal tiada disuratkan baginya daripada pahalanya itu seperenamnya (1/6) dan tiada sepersepuluhnya (1/10) dan hanya sesungguhnya disuratkan bagi hamba Allah Ta`ala daripada pahala sembahyangnya itu barang yang ada hadir ingat akalnya daripada sembahyangnya”.

Dan kata Abdul Wahid bin Zaid Rh.
أجمعت العلماءُ أنه ليس للعبد من صلاته الا ماعقل منها
“Telah berhimpun ulama’ bahawasanya tiada bagi hamba Allah itu daripada pahala sembahyangnya itu melainkan barang yang hadir ingat akalnya daripada sembahyang itu”.


No comments:

Post a Comment