Monday, April 18, 2011

Fasal yang pertama pada menyatakan Mata (Penawar Hati)

Al Mandili menyebut, “Ketahui olehmu bahawasanya mata engkau itu menjadikannya oleh Allah bagi engkau kerana beberapa faedah yang bangsa akhirat dan bangsa dunia,”

Dari sudut Sains, mata dibahagikan:
Organ luar
• Bulu mata
• Alis mata
• Kelopak mata

Organ dalam

Bagian-bagian pada organ mata bekerjasama mengantarkan cahaya dari sumbernya menuju ke otak untuk dapat dicerna oleh sistem saraf manusia. Bagian-bagian tersebut adalah:

• Kornea
Merupakan bagian terluar dari bola mata yang menerima cahaya dari sumber cahaya.

• Pupil (anak mata) dan Iris/Selaput Pelangi
Dari kornea, cahaya akan diteruskan ke pupil. Pupil menentukan kuantitas cahaya yang masuk ke bagian mata yang lebih dalam. Pupil mata akan melebar jika kondisi ruangan yang gelap, dan akan menyempit jika kondisi ruangan terang. Lebar pupil dipengaruhi oleh iris di sekelilingnya.Iris berfungsi sebagai diafragma. Iris inilah terlihat sebagai bagian yang berwarna pada mata.

• Lensa mata
Lensa mata menerima cahaya dari pupil dan meneruskannya pada retina. Fungsi lensa mata adalah mengatur fokus cahaya, sehingga cahaya jatuh tepat pada bintik kuning retina. Untuk melihat objek yang jauh (cahaya datang dari jauh), lensa mata akan menipis. Sedangkan untuk melihat objek yang dekat (cahaya datang dari dekat), lensa mata akan menebal.

• Retina/Selaput Jala
Retina adalah bagian mata yang paling peka terhadap cahaya, khususnya bagian retina yang disebut bintik kuning. Setelah retina, cahaya diteruskan ke saraf optik.

• Saraf optik
Saraf yang memasuki sel tali dan kerucut dalam retina, untuk menuju ke otak.[1]
Secara umumnya mata dari sudut kita orang awam, adalah anugerah Allah yang sangat berharga:

• Mengindahkan apa yang ada pada muka (semacam satu taman), mata salah satu item yang menjadikan taman itu indah.

• Padanya ada dibekali dengan cecair, (air mata) yang keluar ketika sedih atau gembira. Menjadi resepi yang sangat enak, pelengkap ketika bersedih atau gembira. Cecair ini juga sebagai pembersih dan juga melegakan ketika merasa sedih atau gembira.

• Pandangan hanyalah sekadar yang bersesuaian, jauh sangat tak nampak, begitu juga dekat sangat. Terang sangat juga begitu atau gelap sangat begitu. Kena ambil i`tibar.

• Mata kadangkala menipu kita dengan pandangan pertama, terutama mengenai cantik dan hodoh, kadangkala bias. Tengok sebatang kayu dalam air.

• Jangan menyesali seandainya mata anda tidak menarik, kurang penglihatan, juling dsb kerana semuanya ada hikmatnya, lihat kisah seorang raja yang memenjarakan menterinya semata-mata kerana menteri memberi peringatan semasa ibu tangannya terpotong semasa memburu. Masih baik tuanku, kerana tak terpotong tangan.
Harun Yahya menyebut, “Setakat ini, tidak ada alat visual atau perakam yang dibuat oleh manusia begitu sensitif dan berjaya merasakan data sensori seperti telinga dan mata.

Milik Siapakah Kesedaran Melihat Dan Mendengar Yang Terdapat Dalam Otak.
Apakah sebenarnya yang melihat segala macam godaan dunia dalam otaknya, mendengar kepada simfoni dan bermain dengan burung, dan menghidu bau sekuntum bunga ros?.............Siapakah pemilik kesedaran ini? Tidak diragui lagi bahawa kesedaran ini bukanlah dimiliki olah saraf-saraf, lapisan lemak atau neuron yang terdapat di dalam otak. Ini adalah sebab mengapa penganut Darwinis-materialis yang percaya bahawa semua kewujudan adalah terdiri pada material, tidak dapat menjawap soalan ini.

Sifat sedar ini ialah roh yang diciptakan oleh Allah. Roh ini tidak memerlukan mata untuk melihat imej, juga tidak telinga untuk mendengar bunyian. Bahkan tidak memerlukan otak untuk berfikir.

Orang yang sedar akan fakta saintifik dan tersirat ini akan menghayati kebesaran Allah, akan takut kepadaNya dan meminta perlindungan dariNya, Dia yang mengeluarkan keseluruhan alam semesta di dalam tempat yang gelap-gelita beberapa kubik sentimeter dalam tiga-dimensi, berwarna, samar-samar, dan bentuk yang berkilau-kilauan.” (Harun Yahya, Keajaiban Saintifik al Qur’an dalam Laman an Invitation to the Truth)


Seterusnya al Mandili menyatakan lagi, “Maka setengah daripada faedahnya yang bangsa akhirat memandang kepada langit dan matahari dan bulan dan bintang dan lainnya, (lihat buah ciku, masa putiknya pahit, setelah masak ranum, mana pergi pahitnya, kelatnya, yang ada manis pula) supaya berdalil engkau dengan dia atas ada Allah Ta`ala dan atas kuasanya, Dan setengah daripadanya melihat akan al Qur’an dan melihat akan jalan kepada masjid dan kepada tempat menuntut ilmu.”



Dan setengah daripada faedahnya yang bangsa dunia melihat perusahaan engkau (Kerjaya kamu) dan melepaskan engkau daripada segala yang menyakiti, seperti jatuh, dan berlaga... barangkali mengajar kita jadi orang yang tenang, tidak jadi menantu hantu.

Dan bermula mensyukurkan mata itu memelihara daripadanya tiap-tiap melihat yang haram, seperti melihat perempuan yang lain daripada isterinya dan sahayanya dan muhramnya dan seperti melihat akan yang muda belia, dan seperti melihat akan aurat laki-laki.


(Dalam satu hadis, Rasulullah saw bertanya kepada Puterinya Fatimah RA, “Apa yang rasa terbaik untuk seorang wanita?”

Fatimah menjawab, “Apabila seorang lelaki tidak memandang perempuan lain selain isterinya dan apabila seorang perempuan tidak memandang lelaki lain selain suaminya.”
Kefahaman:

• Tidak ada suami yang suka isterinya memandang lelaki lain selain dirinya, begitulah sebaliknya, apa lagi pandangan yang boleh mendatangkan syak wasangka dan fitnah.

• Sifat cemburu adalah salah satu tabiat kaum wanita, ada dua jenis cemburu iaitu normal dan tercela.

• Tercela ialah perasaan yang berkobar-kobar dalam dirinya sehingga muncul pelbagai syak, curiga sehingga mengundang porak peranda.

• Normal ialah perasaan cemburu yang tidak terlalu menguasai dirinya, cemburu kepada sesuatu yang haram. Ia mendorong dirinya berusaha membahagiakan suami dan menyediakan iklim yang kondusif bagi merealisasikan cita-citanya (Tn. Guru Nik Abdul Aziz, Bunga Kebahagiaan, hal. 87-88).

Maka lazimkan olehmu akan memelihara mata engkau, kerana firman Allah Ta`ala:

Bersabda olehmu hai Rasulullah bagi sekelian orang yang beriman pejamkan oleh kamu akan mata kamu daripada barang yang tiada harus bagi kamu melihatnya nescaya memejam oleh mereka itu akan segala mata mereka itu, dan suruh olehmu akan mereka itu dengan memelihara faraj mereka itu nescaya memelihara mereka itu akan segala faraj mereka itu daripada barang yang haram dikerjakan dengan dia, dan yang demikian (memelihara) itu lebih baik (lebih suci dan terhormat dari mereka, kerana dengan demikian, mereka telah menutup rapat-rapat salah satu pintu kedurhakaan yang besar ya`ni perzinahan) bagi mereka itu, bahawasanya Allah Ta`ala sangat mengetahui akan batin yang mengerjakan mereka itu akan dia semacam dengan zahir. Maka membalas Ia akan mereka itu atasnya.


Pengajaran:
• Tidak membuka mata lebar-lebar, (jangan liar mata bila melihat wanita cantik – Hamka, 205) untuk melihat segala sesuatu yang terlarang seperti aurat wanita (غض يغض), menundukkan atau mengurangi. Mengalihkan arah pandangan serta tidak memantapkan pandangan dalam waktu yang lama kepada sesuatu yang terlarang dan kurang baik.

• Penggunaan perkataan min ketika berbicara tentang abshar (أبصار) menunjukkan sebahagian, ini agaknya disebabkan memang agama memberi kelonggaran bagi mata dalam pandangannya. “Anda ditoleransikan dalam pandangan pertama, tidak (menuruti dengan pandangan kedua - Hamka) pandangan kedua Lihat arahan Nabi saw terhadap Ali kw (
الأولى لك يا على).

(ويحفظوا فروجهم) Farj bererti celah di antara dua sisi (الشق بين الشيئين). Penggunaan kata yang sangat halus untuk sesuatu yang sangat rahsia bagi manusia ya`ni alat kelamin. Memang kitab suci dan as Sunnah selalu menggunakan kata-kata halus atau kiasan untuk menunjukkan hal-hal yang oleh manusia terhormat, aib untuk diucapkan.

• Dari satu segi lain, ulama sepakat tentang bolehnya melihat wajah dan telapak tangan wanita yang bukan mahram. Thabthaba’I memahami perintah memelihara furuj bukan dalam erti memeliharanya sehingga tidak digunakan bukan pada tempatnya, tetapi memeliharanya sehingga tidak terlihat oleh orang lain. Bukan dalam larangan berzina (Mishbah 8, hal. 524 – 525).

Ada pun ayat ini mengajar kelakuan yang baik dan memberitahu dan menakutkan (targhib dan tarhib), Maka adapun mengajar adab maka firmanNya (Bersabda olehmu hai Rasulullah bagi sekelian orang yang beriman pejamkan oleh kamu akan mata kamu daripada barang yang tiada harus bagi kamu melihatnya, nescaya memejam oleh mereka itu akan segala mata mereka itu), daripada barang yang tiada halal memandang kepadanya, dan dengan ini perkataan menyuruh Allah (perintah) akan hambanya dengan berkelakuan yang baik, iaitu memelihara matanya daripada melihat yang haram dan memelihara kemaluannya daripada yang tiada halal dikerjakan dengan dia.

(Namun janganlah mudah menghukum, jangan terlalu jumud, lurus bendul sehingga langsung tidak diberi peringatan atau jangan terlalu ekstrim, lihat kisah umat Nabi Musa yang berbuat dosa selama 40 tahun)... tawasul)

Maka wajib atas setiap hamba menjunjung perintah Tuhannya dan jika tidak nescaya adalah ia jahat perangai dan patut ia dimurkai dan disiksa (jangan dipandang remeh arahan ini). Dan adapun memberitahu maka firman-Nya (bermula demikian memejamkan mata dan memelihara faraj itu lebih membersihkan dan lebih menambahkan bagi mereka) memberitahu Allah Ta`ala dengan ini perkataan, atas bahawasanya memejamkan mata dan memelihara faraj itu keduanya sebab bagi membersihkan hati daripada segala dosa dan sebab bagi membanyakkan pekerjaan kebajikan (dua pintu yang digemari oleh syaitan, bezakan di antara keinginan dan keperluan, lihat contoh khalifah yang sakit).

Dan adapun menakutkan maka firman-Nya: (ان الله خبير بما يصنعون) bahawasanya Allah sangat mengetahui ia akan batin (barang yang mengerjakan kamu akan dia seperti mengetahui ia akan zahirnya). Maka selagi membalas Ia akan dia, jika ada ia yang baik nescaya membalas ia dengan pahala dan kesenangan dan syurga, dan jika ada ia kejahatan maka membalas Ia dengan siksa dan api neraka.

Dan firman-Nya Allah Ta`ala:

Ertinya: Mengetahui oleh Allah Ta`ala akan khianat segala mata. Iaitu mencuri oleh mata itu akan memandang kepada yang diharamkan, dan mengetahui ia akan barang yang menyembunyi oleh segala hati daripada cita-cita mengerjakan kebajikan (Ghafir 19).


Pandangan mata yang khianat, jelingan yang disembunyikan dalam keadaan senyap, khainat sama dengan khianah, pandangan negatif yang disembunyikan terhadap sesiapa yang dilecehkan (Misbah 11, hal. 593 – 594).

Mata membayangkan sesuatu yang paling halus dari isi hati seseorang. Orang yang halus perasaannya mengetahui seseorang yang dusta dengan memerhatikan kerdipan mata. Urat-urat saraf yang halus pada diri manusia mempertalikan perasaannya dengan kerdipan matanya. Bila seseorang bercakap jujur kerdipan dan pandangan matanya pun memperlihatkan ketenangan. Ada orang yang boleh pakaikan alat untuk mengukur sejauh mana kebenaran (Azhar 24, hal. 151-152).

Dan sabda Nabi saw:
ان النَّظَر الى محاسن المرأةِ سهمٌ مسمومٌ من سِهام ابليسَ فمن تركها أذاقَهُ اللهُ تعالى طَعْمَ عبادةِ تسُرُّهُ

Ertinya: Bahawasanya memandang kepada tempat yang elok daripada tubuh perempuan itu seperti anak panah (bererti sudah boleh membinasakan) yang beracun (lagi hebat bisanya) daripada segala anak panah Iblis (pada sangat segera membinasakan) (Lihat fitnah wanita) maka barangsiapa meninggalkan dia kerana takut akan Allah Ta`ala nescaya memperasakan dia oleh Allah Ta`ala akan kesedapan amal ibadat yang menyukakan ia akan dia, (Allah akan memberi kepadanya kelazatan amal) (menceritakan akan ini hadis oleh al Hakim daripada Huzaifah r.a. dan menghukumkan ia akan sanadnya dengan sahih).

Untuk itu bagaimana sepatutnya wanita, dalam suatu pesanan:

Wanita seperti semalu
Sabda Rasulullah kepada puterinya Saidatina Fatimah Az-Zahra.."Wanita ibarat semalu:
• Semalu akan kuncup melambangkan wanita perlu ada sifat malu.
• Semalu itu berduri melambangkan wanita perlu menjaga diri dan maruah..
• Semalu itu ada akar yang kuat mencengkam tanah melambangkan wanita perlu ada ketarikan yang kuat kpd Allah..
• Semalu itu akan layu pada senja hari melambangkan wanita perlu pulang ke rumah ketika senja menjelang tiba.. Lihat kes yang ada sekarang, sambutan Tahun Baru


Dan Sabda Nabi saw:

قال صلى الله عليه وسلم : لكل ابن آدم حظه من الزنا فالعينان تزنيان وزناهما النظرُ واليدان تزنيان وزناهما البطشُ والرِّجلان تزنيان وزناهما المشيُ والفم يُزني وزناه التقبيل والقلب يَهُمُّ ويُصَدِّقُ ذلك الفرج أو يكذبه

Ertinya: Ada bagi tiap-tiap manusia itu bahagian daripada zina, maka dua mata itu berzina keduanya, dan zina keduanya memandang kepada barang yang tiada harus dipandang dan kedua tangan itu berzina keduanya, dan zina keduanya menampar akan yang dilarang menamparnya, dan kedua kaki itu berzina keduanya, dan berzina keduanya berjalan kepada tempat yang haram berjalan kepadanya, dan bermula mulut itu berzina ia, dan zinanya mengkucup akan yang tiada halal dikucup, dan bermula hati berkehendak ia dan mencita-cita ia dan membenarkan ia akan yang demikian itu oleh faraj (dan bahawa mengerjakan ia akan zina itu), atau mendustakan ia akan dia. (dengan bahawa tertegah ia daripadanya) menceritakan hadis ini oleh Muslim dan al Baihaqi daripada Abu Hurairah ra.

Dan ada pada hadis ini menunjukki bahawasanya asal bagi zina faraj itu dua mata.

Dan hendaklah menilik engkau kepada segala anggota engkau dengan apa pekerjaan yang patut ia (sesuaikan anggota dengan tanggungjawab yang berpadanan), dan akan apa pekerjaan yang dinanti-nanti baginya,


Turut kehendak Allah dulu, dan bersangka baiklah kepada setiap arahan Allah, ia adalah untuk kebaikan bukan kejahatan. lihat kisah Rahib


Ambil contoh orang yang hampir dengan Allah. Pentingnya kita ambil contoh orang-orang yang mulia, lihat syair:

فتشبَّهوا إن لم تكونوا مِثلَهم + إن التَّشبَّه بالكِرام فلاَحٌ

“Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka + Kerana mencontohi orang-orang yang mulia itu membawa kemenangan” (al Hikam I, Dr. Zul, hal. Xxxv &vi).

Satu lagi yang perlu diberi perhatian ialah Hadis Nabi saw.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم (أعمار أمتي ما بين الستين والسبعين، وأقلهم من يجوز ذلك) ورواه الترمذي وابن ماجه، رواه الحاكم وصححه ووافقه الذهبي، وصححه الالباني،فالحديث صحيح

Dalam satu artikel terkini (2 + 2 Mata), Hilal Asyraf menyebut: “ Mata adalah antara nikmat jasadiah yang terbesar, juga merupakan lubang dugaan yang paling hebat bagi insan, Dengan mata manusia mampu melihat, sekaligus menjana akalnya untuk berfikir pelbagai perkara. Namun dengan mata........ perkara yang merosakkan. Di samping dua mata yang Allah swt berikan kepada manusia, saya terfikir akan ‘dua mata’ lagi yang menusia hakikatnya perlu wujudkan dalam diri mereka. Satu mata yang melihat masa belakang dan satu mata lagi melihat masa hadapan.

Mata melihat masa belakang: Muhasabah.
Kelemahan manusia antaranya adalah membuat kesilapan yang sama berulang-ulang. Dengan mengulangi kesilapan yang sama, peningkatan manusia dalam hidupnya terganggu. Manusia yang baik adalah manusia yang tidak mengulangi kesilapannya. Sebab Rasulullah saw bersabda:

“Seorang mukmin itu tidak akan disengat kala pada lubang yang sama sebanyak dua kali.”

.....Dengan mata ini kita bermuhasabah dan merenung salah silap kita. Ramai manusia mengingati kelebihannya, kebaikannya, kegemilangannya. Namun amat sedikit yang mengingat kekurangannya, kejahatannya, kerendahannya.

Saya ada mendengar orang berkata, “Benda-benda tak baik usah diingat.” Atau “Waktu yang telah berlalu usah dilihat kembali.”

Pada saya pandangan ini silap. Benda-benda tak baik yang dilakukan orang, betul tak perlu diingat. Tapi benda-benda tak baik yang kita lakukan, perlu sentiasa kita ingati dan jadikannya sebagai bahan muhasabah, agar ia tidak berulang lagi. Bukan sekadar tidak berulang pada diri kita, tapi juga tidak berulang pada diri anak-anak dan manusia keliling kita.

Mata melihat masa hadapan: Merancang

Satu lagi kelemahan manusia adalah – tidak mempunyai perancangan. Hidupnya tidak dirancang, pengurusan dirinya tidak dirancang, keluarganya tidak dirancang, pekerjaannya tidak dirancang, tarbiyyah anak-anaknya tidak dirancang, studinya tidak dirancang dan begitulah kebanyakan sisi kehidupannya.............Merancang bermakna punya pelan strategi.

Apabila kita telah bersedia, dan tidak mendapat apa yang kita rancang, sekurang-kurang persediaan kita tadi punya makna pada medan lain.... contohnya nak kahwin dengan seorang perempuan, sampai masa tak jadi. Tapi duit masih ada, dan duit itu boleh jadi bermakna pada medan yang lain. Kerana kegagalan bukanlah satu penamat hidup.

Begitulah juga dalam menjadi hamba Allah swt. Apakah perancangan kita? Di mana strategi kita hendak menggapai redha-Nya? Apakah jalan yang kita hendak ambil? Pernahkah anda merancang?, Lihat firman Allah yang bermaksud:


18. Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan.


Muhasabah dan perancangan adalah amat penting. Saya mulakan dengan muhasabah, kerana saya melihat tidak guna merancang sesuatu yang akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa yang lalu.... maka bagi yang tidak bermuhasabah dan asyik mengulangi kesilapannya yang sama akan merugikan masa. Bagi yang tidak merancang dan kehidupannya berterabur, tunggang langgang, dia juga akan kehilangan masa yang berharga (Hilal Asyraf, 2 + 2 Mata, dlm. ANIS, Disember 2010, bil.160, hal. 56 – 57)


Maka memelihara engkau akan segala anggota engkau itu sebagai pelihara yang patut padanya (kena jaga sungguh-sungguh) dengan pekerjaan yang dinanti baginya itu, maka jika pekerjaan itu sangat besar (tanggungjawab yang berat, APA JAWATANMU) nescaya engkau pelihara anggota itu dengan pelihara yang bersangatan, (siapa kita perlu juga ditanya, publik figure ke?, kena jadi contoh) maka bermula kaki itu adalah dinanti-nanti baginya akan berjalan di dalam kebun syurga dan mahligainya, dan adapun tangan itu maka dinanti-nanti baginya mencapai buah-buahan syurga dan minumannya, seperti itulah segala anggota yang lain, maka mata hanyasanya kerana memandang kepada zat Allah di dalam syurga dengan tiada menyerupai kelakuan melihat yang baharu, dan tiada ada di dalam negeri dunia dan tiada ada di negeri akhirat ni`mat yang lebih besar daripada melihat Tuhan itu, maka patut sangat bagi mata yang dinanti baginya akan sebesar-besar ni`mat bahawa dipelihara akan dia dengan sehingga-hingga pelihara (sampai begitu sekali), dan dimuliakan dia sehabis-habis mulia, dan bahawa tiada dikotorkan dia dengan memandang akan yang haram wallahu a`lam.

Apa yang perlu difahami betul-betul, anggota adalah anugerah Allah yang sangat tinggi harganya. Untuk itu kita perlu bersyukur. Mengikut Kitab Syarah al Hikam, dalam satu pesanan disebut:

من لم يشكُرِ النِّعَمَ فقد تعرَّضَ لِزَوَالهِا, ومن شَكَرَها فقد قيَّدها بِعِقَالهِا
“Sesiapa yang tidak mensyukuri nikmat Tuhan, maka bererti ia berusaha untuk hilang nikmat itu. Dan siapa yang mensyukuri nikmat bererti ia telah mengikat nikmat itu dengan ikatan yang kuat dan kukuh”

Dalam satu kenyataan lain Syeikh Zarruq menyebut:

شُكرُ النعمةِ ضامنٌ لثلاثةِ أشياءَ, حِفظُها عن الزوال وتغييرُ الحالِ بالإنتقالِ, وزيادتُها فى الحال, وبركتُها فى المال, واتِّصال العبدِ بِمَولاهُ على وجه العافيةِ بلا إخلالٍ

“Mensyukuri nikmat akan menjamin tiga perkara: Pertama; terpelihara nikmat daripada hilang dan berubah keadaan, iaitu dengan berpindah dan bertambah nikmat. (nikmat otak tapi tak guna dengan baik). Kedua; berkat nikmat pada kesudahan (harta). Ketiga; berhubungnya hamba dengan tuannya secara selamat tanpa sebarang kecacatan”.

Sayyidina Umar al Khattab menyebut:
النِّعَمُ وَحشِيَّةٌ فَقَيِّدوها بالشُّكر
“Nikmat itu seperti binatang liar. Tambatlah ia dengan syukur”

Ibn `Abbad an Nifri berkata:
“Syukur terbahagi kepada tiga; iaitu hati, lisan dan anggota. Syukur dengan hati adalah dengan mengetahui segala nikmat daripada Allah swt. Dan syukur dengan lisan adalah dengan memuji Allah swt., manakala syukur dengan segala anggota adalah dengan melakukan amal soleh”

Jawapan Abu Hazim berkaitan syukur:

“Syukur mata; melihat yang baik (anda melihat kebaikan dengan kedua biji mata anda, maka anda menyatakannya, dan apabila anda melihat kejahatan dengan kedua-dua biji matamu, anda menutupnya – Amdan, Syarah Hikam, hal. 137) dan menutup yang aib. Syukur telinga; mengambil faedah yang baik dan menutup yang tidak baik. Syukur dua tangan; tidak mengambil sesuatu tanpa hak dan tidak menegah hak sesuatu iaitu bagi Allah swt pada keduanya. Syukur perut; menjadikan sabar di bawahnya dan ilmu di atasnya. Syukur Faraj; menjaga kemaluan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

5. Dan mereka Yang menjaga kehormatannya, -
6. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka Sesungguhnya mereka tidak tercela: -


Syukur kedua kaki; berjalan ke tempat yang diredhai Allah swt dan tidak ke tempat maksiat” (Dr. Zul, Syarah al Hikam jld. 1, hal.434-437)


Orang yang bersyukur lisannya, tak bersyukur badan seperti pakai separuh pakaian (Amdan, Syarah Hikam, hal. 138)


No comments:

Post a Comment