M erupakan makhluk Allah yang dijadikan daripada cahaya, yang tabiatnya suka beribadat. Ash Shiddieqy menyebut; “Para salaf mengartikan malaikat dengan suatu makhluk yang dibebankan beberapa rupa kebajikan.... Syara` mengatakan malaikat itu diserah mengurus alam, menjaga cakrawala, matahari, bulan dan bintang, manusia binatang, tumbuh-tumbuhan, laut, darat dan sebagainya.” (TM Hasbi Ash Shiddieqy, al Islam Jld. 1, hal. 146/148).
Mereka adalah:
1. Petugas-petugas (tentera) Allah yang sentiasa sedia menjalankan tugasnya, firman Allah:
Dan Allah Menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang Yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al Fath).
2. Mereka tidak pernah menderhaka kepada Allah, malahan sentiasa menurut perintah dan mengikut suruhan-Nya. Buktinya firman Allah dalam surah at Tahrim ayat 6:
Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.
Berbanding dengan makhluk jin dan manusia, malaikat adalah makhluk Allah yang sentiasa patuh dan tidak ada perkataan derhaka dalam kamus kehidupan mereka. Sebab itulah apabila Allah memerintah supaya sujud kepada Adam, semuanya tersungkur sujud kerana mematuhi perintah Allah. Bahkan di dalam surah Saba’ digambarkan oleh Allah tentang perilaku para malaikat:
Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian ia bertanya kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu?"
Malaikat menjawab: "Maha suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganmu). Engkaulah (yang Kami hubungi sebagai pemimpin dan) Pelindung Kami bukan mereka. (tidak ada hubungan dari pihak Kami Dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan Yang dipuja dan dipatuhi)".
3. Malaikat juga bertugas sebagai pesuruh Allah, dan ditempatkan oleh Allah mengikut kesesuaian kerjaya masing-masing. Firman Allah:
Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: "Kami tidak akan beriman sehingga Kami juga diberi (wahyu) sama seperti Yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah". Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah Yang sepatutnya) ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) Yang diberikanNya itu. orang-orang Yang melakukan perbuatan Yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa Yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya Yang mereka lakukan (al An`am).
Sayyid Sabiq menyebut, ‘Tabiat atau pembawaan malaikat itu ialah secara sempurna berbakti kepada Allah, tunduk dan patuh pada kekuasaan dan keagungan-Nya dan mereka itu pun ikut mengatur hal ehwal alam semesta ini dengan mengikut kehendak dan iradah Allah Ta`ala” (Aqidah Islam, hal. 179).
4. Bersih dari sebarang dosa dan noda.
Telah sepakat ulama Islam menetapkan bahawa ‘malak’ yang mengurus urusan wahyu, terpelihara dari salah sebagaimana Allah memelihara Nabi-nabinya dari kesilapan dan kesalahan-kesalahan. Tentang malaikat-malaikat lain, mereka berselisih pendapat....Imam Fakhrur Razy mengatakan: “Kebanyakan ulama’ menetapkan terpeliharanya malaikat dari segala dosa. Sebahagian ulama mengatakan ada juga malaikat yang bersalah, dan tiada mesti semua malaikat itu terpelihara dari salah.
Mereka yang mengatakan tiada semua malaikat itu terpelihara, dengan mengambil dalil dari kederhakaan Iblis... namun yang jelas Iblis bukanlah dari golongan malaikat, tetapi dari golongan jin, lihat ayat Allah:
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib Yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. amatlah buruknya bagi orang-orang Yang zalim: pengganti Yang mereka pilih itu (al Kahfi: 50).
Ada juga yang mengambil dalil dari kisah Harut dan Marut, namun kisah ini masih diperselisihkan, ada yang mengatakan sebagai bohong, dan ada juga yang menganggapnya sebagai riwayat Israiliyyat, wallahu a`lam (Lihat TM Hasbi Ash Shiddieqy, al Islam Jld. 1, hal. 151-153).
Sayyid Sabiq menyebut: “Malaikat itu disucikan dari kesyahwatan-kesyahwatan hayawaniyyah, terhindar sama sekali dari keinginan hawa nafsu, terjauh dari perbuatan dosa dan salah” (Aqidah Islam, hal. 174).
5. Merupakan makhluk rohani, tidak makan dan tidak minum. Berbeza dengan jin, walaupun jin makhluk rohani, tetapi mereka makan, minum dan berkelamin. Semuanya ini tidak ada pada malaikat. Malah malaikat dikurniakan aqal, tetapi tidak dikurniakan nafsu. Sebab itu mereka tidak berkahwin dan tidak berketurunan.
6. Merupakan hamba Allah yang dimuliakan dan tidak mendahului Allah samada dengan perkataan atau perbuatan, firman Allah:
Dan mereka (yang musyrik) berkata: "(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak". Maha Sucilah ia. bahkan (Mereka Yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya Yang dimuliakan.
27. Mereka tidak mendahuluiNya Dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa Yang diperintahkanNya.
28. Allah mengetahui apa Yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa Yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa Yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya.
7. Beriman kepada malaikat merupakan salah satu dari rukun Iman yang enam. Tidak beriman kepada malaikat menjadikan seseorang itu akan rosak Imannya. Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyebut dalam kitabnya (Beriman kepada Malaikat, hal. 2).
“Malaikat itu termasuk di dalam perkara yang ghaib di mana wujud mereka thabit dengan nas yang tidak boleh diragu dan dipertikaikan. Sesiapa yang engkar menjadi kafir dengan ijma` muslimin bahkan dengan nas al Qur’an, kerana firman Allah dalam surah an Nisa’:
136:
Wahai orang-orang Yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran Yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab suci Yang telah diturunkan dahulu daripada itu. dan sesiapa Yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga hari akhirat, maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh.
8. Sayyid Sabiq (hal. 183-184) menyebut, “Karya malaikat di alam ruh selain daripada yang ditetapkan antaranya ialah:
a. Bertasbih (memahasucikan) serta patuh dan tunduk sepenuhnya kepada Allah Ta`ala, firman Allah dalam surah al A`raf:
Sesungguhnya mereka (malaikat) Yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.
b. Memikul `arasy sebagaimana firman Nya:
Malaikat Yang memikul Arasy dan malaikat Yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepadanya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang Yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! rahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang Yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka (al Mu’min).
c. Memberi salam kepada ahli syurga sebagaimana firman Nya:
23. Iaitu syurga Yang kekal Yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang Yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; -
24. (memberi hormat Dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu (ar ra`d).
d. Menyiksa ahli neraka sebagaimana firman Nya:
Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan (at Tahrim).
9. Umumnya malaikat samada dikenali atau tidak dikenali adalah merupakan makhluk Allah yang berkebajikan, dan sentiasa beribadat kepada Allah. Dr. Harun Din menyebut: "Tiada istilah atau ayat di dalam al Qur'an yang menjelaskan malaikat lebih buruk berbanding dengan syaitan...malaikat adalah makhluk yang tidak pernah derhaka kepada Allah dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan (Sinar Harian, Rabu 29 Ogos 2012, hal. 6). Sementara iblis atau syaitan samada dikenali atau tidak mereka adalah makhluk Allah yang derhaka dan tetap membenci kepada kebenaran.
Wednesday, August 29, 2012
Malaikat – Beberapa Catatan Ringkas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment