Saturday, April 22, 2017

Beberapa Mukaddimah Mengenai Kenabian Muhammad SAW.

F

irman Allah yang lebih kurang bermaksud:

128. Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), Yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan Yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang Yang beriman.
129. kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka Katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar." (at Taubah).



164. Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang Yang beriman, setelah ia mengutuskan Dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). dan Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah Dalam kesesatan Yang nyata.(Ali Imran)


1.    Kelahiran baginda SAW melalui pernikahan yang suci sejak daripada Adam AS lagi, lihat hadis:
 عن وائله بن الأسقع قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول " ان الله اصطفى كنانه من ولد اسماعيل واصطفى قريشا من كنانه واصطفى من قرش بنى هاشم واصطفانى من بنى هاشم " وعنه صلى الله عليه وسلم انه قال " انى من نكاح ولست من سفاح "
عن ابن عباس رضي الله عنهما قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " ما ولدني من سفاح اهل الجاهليه شيء ما ولدني الا نكاح كنكاح الاسلام "
عن علي قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " خرجت من نكاح ولم اخرج من سفاح من لدن ادم الى ان ولدني ابي وامي لم يمسني من سفاح الجاهليه شيء 
 "
2.      Dinamakan Muhammad oleh datuknya Abdul Mutalib. Dan apabila ditanya kenapa dinamakan Muhammad, maka pertanyaan itu dijawab oleh Abdul Mutalib: “Aku mengharapkan mudah-mudahan ia menjadi manusia yang terpuji dilangit pada sisi Allah dan terpuji di bumi pada sisi makhluknya (Munawwar Khalil, Sejarah Lengkap Nabi Muhammad SAW 1, hal. 81).

3.      Terdapat tiga nama bayi yang dinamakan Muhammad pada ketika itu, iaitu Muhammad bin Sufyan at Taimi, Muhammad bin Bilal al Ausi dan Muhammad bin Himran al Juhfi, dengan masing-masing mengharapkan agar dipilih menjadi nabi terakhir. Namun Allah SWT telah menetapkan pilihan-Nya ialah Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib al Hasyimi al Quraisyi (Hamid al Husaini, Sirah al Mustafa, hal. 209).

4.      Seorang sahabat penulis menceritakan, “Seorang yang memahami kitab-kitab terdahulu mendapat tahu peristiwa kebangkitan baginda SAW  sudah hampir. Tokoh tersebut telah mencari baginda SAW, kebetulan beliau bertemu Abu Lahab dan bertanyakan hal itu. Abu Lahab membawa beliau berjumpa dengan baginda SAW yang masih kanak-kanak. Apabila dilihat tanda-tanda yang ada pada tubuh badan baginda SAW tokoh tersebut pengsan, kerana yakin dengan kebenaran Allah. Apabila sedar beliau diperlekehkan oleh Abu Lahab. Ternyata tokoh tersebut melihat dengan mata hati dan ilmu yang ada padanya. Sedangkan Abu Lahab hanya melihat dengan mata biasa yang penuh dengan kejahilan (Maklumat dari ustaz Ahmad Jihbaz Mukhlis Mukhtar Razali, seorang tenaga pengajar Madrasah Ehya’ as Syarif Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak).

5.    Semenjak zaman kanak-kanak Allah sentiasa menjaga baginda SAW daripada melakukan perkara-perkara yang mencacatkan kema`sumannya, antaranya, Tidak pernah mendedahkan auratnya sejak dilahirkan dan Tidak pernah terlibat dalam perkara yang sia-sia.

6.    Suatu ketika di alam ruh, malaikat Jibril pernah bertanya kepada Allah tentang makhluk yang bernama Muhammad. Allah menjawab, “Demi seluruh kemegahan-Ku, wahai Jibril, baginda adalah pilihan-Ku daripada seluruh makhluk-Ku.” Jibril lalu berkata, “Jadikanlah aku sebagai pembantu baginya Ya Rab!.” (Haddad Alawi, Uswah Hasanah, hal. 1).

7.    Lihat pula kehebatan risalah yang dibawa oleh baginda SAW, semuanya berkaitan dengan kehidupan manusia antaranya:


  •                Daripada bangun pagi sampai tidur waktu malam, semuanya ada do`a tertentu yang diajarkan.
  • ...Masuk tandas, ada doanya dan baginda menjelaskan tentang keberadaan dua makhluk yang kerjayanya mengotorkan manusia dalam tandas, masuk kaki kiri sementara keluar dengan kaki kanan. Ini bersesuaian dengan fitrah kaki kiri yang menarik dan kaki kanan yang menolak ke depan. Keluar tandas ada pula doanya. Semuanya dalam rangka untuk kebaikan dan keselamatan manusia.
  •  Solat: Kenapa disuruh solat, apa hubungan waktu dengan kehidupan harian  kita sebagai manusia. Kenapa dilarang tidur selepas Subuh hingga naik matahari?  Kenapa dilarang tidur selepas Asar!. Inilah hebatnya baginda SAW.

  •              Ketika hendak makan, ketika hendak belajar, nak turun berjalan kesemuanya ada doa yang diajar supaya dibaca, sehinggalah tatacara nak tidur malam semuanya diatur oleh baginda SAW melalui ajarannya.
  • ...  Bila mengenangkan kesemuanya ini, amatlah penting dan menjadi tanggungjawab kita menjaga pesaka warisan baginda SAW dengan sebaik mungkin.
      Dari satu aspek yang lain, Allah membiarkan baginda SAW membesar, berada di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah selama empat puluh tahun, untuk menjadi bukti kebenaran apa yang bakal disampaikan. Supaya masyarakat boleh membuat penilaian sebaik mungkin risalah yang bakal dibawa oleh baginda SAW. Adalah menjadi suatu kejutan yang amat besar, dari masa kanak-kanak sehingga remaja, kemudian menjangkau umur 40 tahun, memecahkan rekod al Amin, suatu rekod yang belum pernah dipegang oleh sesiapa pun, tetapi baginda SAW mampu menyandangnya. Tujuannya adalah semata-mata untuk menyatakan kebenaran risalah yang dibawa. Demikianlah halnya Nabi kita SAW.



No comments:

Post a Comment