Wednesday, April 26, 2017

“Tak usah belajarlah hari ni”

"U

staz, susahlah budak-budak saya ni!, tak nak belajar, nak main saja.”  
“Kadangkala bila kita masuk kelas ada saja tingkahlaku yang menyakikan hati. Apa yang jelas nampak sangat mereka ni  tak nak belajar!.”
“Apa yang awak susahkan ni!, kalau mereka tak nak belajar, mengajarlah cara orang tak nak belajar.” Jawab aku secara spontan. “Ustaz ni!, saya cakap yang betul, tapi ustaz masih lagi bergurau.”


Demikianlah tingkah seorang pelajar di satu ketika, mengingati detik-detik pengalaman penyeliaanku semasa bertugas dulu. Pelajar yang tidak mahu belajar merupakan masalah yang sangat lazim dapat didengari setiap kali tiba untuk menyelia.

Secara peribadi aku memang selalu bergurau dengan para pelajar, bukan apa kadangkala boleh membantu untuk mengurangkan tekanan. Tapi tidaklah melampaui batasan. Dalam kuliah pun selalu aku cetuskan sesuatu yang boleh memecahkan kebuntuan dengan cerita-cerita santai.

“Betul saya cakap ni, bukan gurau,  mari kita duduk dan bincang sama-sama, saya pun taklah pandai juga. Tapi apa kata kita rancang sesuatu untuk mengajar pelajar yang tak nak belajar.”  Aku mengajak pelajar tersebut untuk duduk semeja dan berbincang.
“Macam mana ustaz!.” Tanya pelajar tersebut dalam keadaan termangu-mangu.
“Begini, kita tetapkan satu tajuk tertentu, contohnya wudhu’, atau air sembahyang, mula-mula bahagikan kepada beberapa pecahan tajuk kecil (sub-topik), hukumnya, pengertiannya, rukun, sunat, makruh dan pembatalnya.”
“Tapi tu dah biasa saya buat ustaz.” Tingkah pelajar yang tidak sabar.
“Tak apa, apa yang anda dah lakukan itu cukup baik, teruskan. Cuma apa salahnya diubah sedikit dari segi persembahannya.”
“Pernah tak anda masuk kelas dan katakan kita tak payah belajar hari ni.”
“Tak pernah ustaz.”
“Ok, kalau tak pernah, cuba buat sekali dua, tapi perlu ada strategi.”
Contohnya: Sebelum masuk kelas, apa salahnya kalau tulis sepucuk surat, katakan dari seorang bekas pelajar anda atau sapa-sapalah yang isinya meminta anda menerangkan bagaimana cara untuk mengambil wudhu’ yang betul mengikut kaedah yang ditetapkan dalam Islam, lepas tu, masukkan dalam sampul surat, gamkan, tampallah stem yang dah digunakan, tulis alamat anda sendiri di sekolah yang anda mengajar, mintalah salah seorang pembantu pejabat hantarkannya sebaik-baik sahaja anda masuk kelas hendak diajar. Dari segi rancangan untuk adegannya lebih kurang begini.

Situasi:
Kelas ......Darjah: 4 Melur. Bilangan  Murid: 30 orang, lelaki 20, perempuan 10 orang. Minat: Bermain, bersembang, usik kawan dan tak nak belajar.
Guru: Anda, seorang yang bakal masuk kelas. Emosi: Pelbagai, kadang-kadang rungsing kadang-kadang pening. Namun tetap bercita-cita untuk menjadi guru yang berdedikasi.
Muqaddimah/set induksi:
Bacaan doa dan apa-apa ayat yang boleh menjadi rangsangan pembelajaran.
“Tuk, tuk, tuk.”
Tiba-tiba pintu diketuk. Seorang pembantu pejabat masuk,  “Assalamu`alaikum ustaz, ada surat untuk ustaz, urgent! 
Wa`alaikumus salam, oh! Azhar!, silakan masuk, ada surat untuk saya. Terima kasih.”
“Sama-sama” jawab pembantu tersebut dan terus berlalu.
“Maaf ya murid-murid, ustaz nak baca surat ni dulu, mungkin sangat penting”
Guru mengoyak sampul dan membuka surat di dalamnya dalam keadaan sedikit cemas. Isinya ialah lebih kurang begini:
Assalamu`alaikum ustaz!
Pertama saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf kerana mengganggu ustaz dengan surat begini. Saya adalah Siti Muslihah, salah seorang murid ustaz di Sekolah Tualang Tiga. Ingat tak kat saya lagi.
Tujuan saya menulis surat ini ialah untuk mendapatkan sedikit penjelasan dari ustaz bagaimana cara untuk mengambil wudhu’ dengan betul. Bukan apa, semalam saya telah ditanya oleh ibu mengenai cara-cara berwudhu’, saya telah memberi jawapan mengikut kadar kemampuan saya, tetapi ibu masih tidak berpuashati, jadi ibu minta supaya saya cari dan beritahu kepadanya cara-cara berwudhu’ yan betul mengikut rukun dan sunatnya sekali. Untuk mencari jawapannya, saya rasa ustaz adalah orang yang palingt layak saya dapatkan maklumatnya. Tolong ustaz ya! Saya dalam kecemasan ni! Kalau tak dapat jawab tentu saya akan malu dan ibu pasti akan memarahi saya.
Yang benar,
Siti Muslihah.

Apa yang sepatutnya guru lakukan?.
Mungkin sebagai langkah pertama.

Guru:
“Sebenarnya hari ni ustaz ada satu topik yang sepatutnya dipelajari. Tetapi oleh kerana kawan kamu Siti Muslihah ini menghadapi satu masalah yang besar, ustaz rasa kita tak payah belajarlah hari ini. Apa kata kalau kita bersama-sama mencari jalan untuk membantu Siti Muslihah menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Setuju tak.”

Murid-murid:
“Tak belajar hari ni, setuju, setuju.”.
(Setelah mendapat persetujuan, cuba dapatkan cadangan dari murid-murid bagaimana cara untuk membantu Siti menyelesaikan masalah, andai tidak ada cadangan guru berikan cadangan, bagaimana kalau bahagikan kepada beberapa kumpulan).

Kedua, pastikan pembahagian sub-topik mengikut kumpulan, boleh ditetapkan secara arahan atau mengundi (Pengertian, hukum, rukun, sunat, makruh dan pembatal). Lantik pengerusi dan pencatat untuk berbincang bagi mendapatkan fakta. Tetapkan sedikit masa untuk perbincangan di samping pemantauan guru.

Ketiga, pembentangan hasil perbincangan. Dapatkan komen daripada rakan-rakan dalam kumpulan lain.

Keempat: Tahqiq dari guru; betulkan mana yang kurang tepat, tambah mana yang kurang dan susun ikut keutamaan serta keperluan. Tugaskan satu kumpulan untuk menjawab surat Siti Muslihah dan pastikan hasilnya samada surat dan isi perbincangan yang telah ditahqiqkan itu dikongsi bersama. Satu salinan masukkan dalam sampul, kononnya untuk jawapan kepada Siti Muslihah.

Akhirnya guru buat sedikit kesimpulan dari sudut isi, ucapkan terima kasih kerana membantu ustaz menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Siti Muslihah. Ok, terima kasih semua.
Sebenarnya itulah pembelajaran. Dari segi langkah dan aktiviti mungkin sama, tetapi dari segi gaya persembahan sahaja yang sedikit berbeza.

Tajuk tetaplah ambilan dari sukatan, begitu juga dari segi isinya. Tetap apa yang disediakan dalam buku teks atau mana-mana sumber yang perlu dirujuk seperti internet dan sebagainya.
Gaya persembahannya ialah, larikan sedikit dari masalah dan perasaan berat yang dihadapi oleh pelajar. Tak mahu belajar. Ok, gunakan kehendak dan naluri tidak mahu belajar. Juruskan kepada isu lain. Inilah apa yang selalu diistilahkan sebagai ‘double bind’ alih isu. Isunya ialah murid tak minat belajar. Alihkan kepada Siti yang menghadapi masalah (hakikat yang tersirat ialah pelajar itu sendiri yang bermasalah).

Gunakan potensi yang ada pada pelajar anda. Fakta mungkin boleh dicari dari pelbagai sumber, tetapi iradah atau kemahuan serta keseronokan belajar dalam diri pelajar perlu dicari dan disuburkan. Sebab itu kata kunci yang akan anda gunakan perlu menarik, contohnya: “ustaz rasa kita tak payah belajarlah hari ini.” Ini adalah di antara perkataan atau ayat yang ditunggu oleh pelajar anda hari itu. Tetapi perlulah digunakan secara berhemah dan berhati-hati. Ada masanya ungkapan ini sesuai dan ada masanya tidak sesuai.

Bangkitkan rasa simpati yang sedia ada dalam diri pelajar. “Ok! Kesian tak kat Siti!.” “Kesian” “Kalau kesian apa yang perlu kita buat!, boleh tak kita sama-sama bantu dia.”
Pelbagaikan aktiviti dan situasi agar semua murid yang ada terlibat dan tidak berlaku ‘pengangguran’ atau ‘penumpang’ dalam kumpulan yang dibentuk. Hatta kepada pelajar yang tidak tahu apa-apa boleh jadi tukang pegang kertas atau tampal kertas. Akhirnya mereka  tak sedar yang sebenarnya mereka belajar dalam satu situasi yang mereka ‘sangka’ tidak belajar.
Dari segi interaksi, pasti akan berlaku interaksi dua hala atau lebih dari itu, antara guru dengan murid, murid sesama murid. Mereka tidak berada dalam keadaan statik atau penerima maklumat sahaja. Tetapi bergerak menjadi pencari malah pemburu.

Pemerolehan ilmu tidak hanya berlaku curahan dari guru kepada murid, seperti menuang air ke dalam gelas, yang kadangkala boleh melimpah keluar, atau tersasar, tak masuk dalam gelas. Tetapi juga dari murid sendiri yang mencari dan mengisi dalam gelas pemikiran mereka di samping bantuan dan tahqiq dari guru. Mereka aktif dan menjadi pencari maklumat dan ilmu dengan bimbingan dan rangsangan dari guru.

Adegan surat membaca dan membalas surat Siti pula bagaimana!. Tak ke ada unsur-unsur mata pelajaran Bahasa Malaysia. Ingat tak apa yang disebut sebagai penyebatian, perentasan dan beberapa perkara lagi.

Realiti yang berlaku, kadangkala ada sebahagian guru yang merasa tidak mengajar andainya tak bercakap atau tidak berceramah sepanjang masa mengajar. Pelajar pun kadangkala nak bercakap juga, nak ceramah juga. Apa salahnya diberi peluang kepada mereka.

Jibrail sendiri pernah datang kepada Nabi Muhammad SAW  menyerupai seorang pengembara bertanyakan kepada  baginda SAW tentang Islam, Iman, Ihsan dan bilakah as sa`ah. Jawapan diberikan oleh Nabi saw sebagai murid. Setiap kali dijawab, Jibril mengatakan benar, benar. Padahal gurunya adalah Jibrail. Jibril tidak terus menerus memberi, orang yang memberinya adalah baginda SAW sebagai murid. Jibril hanya membentuk situasi ingin tahu dan persoalan. Isi jelas dan tepat mengikut sukatan yang dikehendaki Allah. Cuma dari segi gaya persembahan berlaku interaksi dua hala dan banyaknya membangkitkan potensi murid.
Setiap kali Nabi SAW menjawab, Jibrail mengatakan ‘Sodaqta’, benar. Ini adalah tahqiq dari seorang guru. Selepas Jibrail berlaku Nabi  SAW bertanya kepada Umar dalam maksudnya:
“Wahai Umar! Tahukah kamu siapa orang yang bertanya.”
Umar menjawab: “Allah dan Rasul-Nya jualah yang mengetahui.”.
Pada saat itu Rasul SAW  menenerangkan, “Orang itu adalah Jibril, ia datang untuk mengajar kamu akan agama kamu.” (Muqaddimah Mastika Hadis, hal. 53).
Lihat sedikit dari segi kemunasabahannya pembelajaran. Situasinya santai dan bersahaja. Berlaku dailog antara ‘as Sail’ dan ‘mas’ul’  (Penanya: Jibril dengan yang ditanya: Nabi SAW ). Isinya bukan seratus peratus dari Jibril (guru).  Sebagai murid, Nabi SAW yang banyak mengeluarkan isinya, Jibril hanya membenarkan di samping memberi peneguhan. Pada akhir adegan barulah Nabi SAW  memberitahu topik hari itu adalah mengenai unsur-unsur penting yang ada dalam agama Islam iaitu: Islam, Iman dan Ihsan.

Demikianlah pembelajaran. Hakikatnya dari segi Strategi, pendekatan, kaedah dan teknik telah pun ada dalam Sirah Nabi SAW . Cuma adakah kita mampu untuk mencarigali. Santai namun itu adalah pembelajaran. Ingatlah sebenarnya hari-hari yang kita lalui sebenarnya adalah pembelajaran. Walaupun kita tidak mahu belajar.

Suatu ketika dulu aku pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Masjid di kampung sendiri. Mesyuarat pertama, seperti biasa memulakan dengan al Fatihah, memaklumkan agenda mesyuarat seperti lazimnya yang berlaku di pejabat. Apa jadinya! Bila diminta pendapat majoriti membisu, seorang dua sahaja yang memberi pendapat. Yang lain membisu. Tahulah sebahagian besar jawatankuasanya orang kampung yang sudah berusia. Tidak banyak respon yang diperolehi, aku agak kecewa. Setiausaha releks, tak ada apa yang hendak dicatat. Bila diteliti, rupanya pembukaan al Fatihah dan penutup Tasbih Kifarah serta surah al Asr menjadi pengunci, mereka rasa sangat terikat. Nak bercakap tak berani. Kat situ rupanya..

Mesyuarat kedua, ubah strategi. Dimulakan dengan al Fatihah, setelah dibentang minit mesyuarat, aku sebagai pengerusi cepat-cepat menutupnya dengan Tasbih Kifarah serta surah al Asr. Kemudian dipersilakan minum, sambil tu aku merangsang sikit sebanyak secara tidak langsung ke arah agenda mesyuarat. Rupa-rupanya banyak idea yang diperolehi. Mereka berani mengeluarkan pendapat. Aku cuit kat setiausaha supaya catatkan apa yang diperkatakan. Sebenarnya, di situlah mesyuarat baru bermula. Demikianlah halnya. Secara tidak sedar mereka telah diprojekkan untuk bermesyuarat. Cuma, alih sikit cara pendekatannya.

Aku tidaklah mengatakan apa yang dicadangkan itu seratus peratus menjadi. Apa yang pasti belajar, mengajar dan mendidik adalah suatu tugasan yang amat berat. Namun terpaksa dilaksanakan juga. Untuk itu berusahalah menggunakan dan memanfaatkan segala potensi anugerah Allah, berdoa dan selebihnya bertawakkal.

Begitu jugalah halnya dengan pelajar-pelajar kita di sekolah yang dalam pemikiran mereka di masa yang sama nak bermain dan seribu satu macam lagi kegemaran yang setara dengan usia mereka, bencinya mereka di masa yang sama kena duduk dalam kelas dan belajar. Bayangkanlah.

No comments:

Post a Comment