Sunday, February 18, 2018

Al-Ahzab vs Khandak

K

isah Pertama:
Al-Ahzab merupakan ciptaan musuh yang terdiri daripada gabungan  kaum Musyrikin Mekah dengan beberapa puak Yahudi. Huyay bin Akhtab bin Akhtab merupakan tokoh penting dalam menjayakan pembentukan tentera bersekutu (Ahzab). Beliau adalah pemimpin Yahudi Bani Nadhir yang sangat berdendam dengan Nabi Muhammad SAW kerana dihalau keluar daripada Madinah.  Beliau telah melanggar perjanjian dengan Islam dan merancang pembunuhan Nabi Muhammad SAW sebelum itu.
Emosi permusuhan tradisi musyrikin Quraisy terhadap Islam digunakan sepenuhnya oleh Huyayy dan pemimpin Yahudi bagi menjayakan pembentukan Ahzab. “Dua puluh orang orang pimpinan mereka telah keluar melakukan lawatan rahsia ke Mekah, menemui pemimpin musyrikin ke arah merancang satu pukulan maut bagi melenyapkan Islam. Ungkapan “Kami bersamamu” dimulakan ketika bertemu dengan Abu Sufyan: “Supaya kami dapat menghapuskan Muhammad.” “Orang yang paling bernilai bagi kami.” Jawabnya, “adalah orang yang membantu kami menghapuskan Muhammad.”


Enam pimpinan yang terkenal di antara mereka ialah;
1.    Salam bin Misykam (Bani Nadir)
2.    Ibnu Abil Huqaiq (Bani Nadir)
3.    Huyay bin Akhtab, ketua suku Bani Nadir.
4.    Kinanah (Bani Nadir)
5.    Hauzah bin Qais (Bani Wail)
6.    Abu Ammar (Bani Wail).
Syeikh Abdul Fattah Khalifah, pensyarah al-Azhar Universiti menyatakan: “Untuk menguji kebenaran apa yang diperkatakan oleh pemimpin Yahudi, Abu Sufyan  serta beberapa ketua Quraisy membawa Yahudi ke dalam Ka`bah sambil menyebut: “Selamat datang orang yang kami cintai, orang yang akan membantu kami melawan Muhammad. Tetapi kami tidak percaya kepada tuan-tuan sebelum tuan-tuan bersujud menyembah berhala kami.” Maka permintaan itu terus dilaksanakan oleh kesemua pimpinan Yahudi tersebut dengan perbuatannya sekali. Perbuatan tersebut dirakamkan Allah dalam ayat 51-55 surah an-Nisa’  (Zainal Arifin Abbas, Sejarah Perjuangan Nabi Muhammad SAW 5, hal. 342).
Selepas itu mereka bersama-sama bersumpah kepada Tuhan bahawa mereka tidak akan mengecewakan antara satu sama lain sehingga ke akhirnya dan mencapai sasaran mereka. Kesempatan itu juga digunakan oleh pimpinan musyrikin dengan bertanyakan mengenai konflik mereka dengan agama baru yang dibawa oleh Nabi SAW. ‘Wahai orang-orang Yahudi! Kamu semua adalah ahli kitab, sudah tentu kamu mengetahui pertelingkahan kami dengan Muhammad, kami mahu bertanya untuk mendapat penjelasan, adakah agama kami ini betul atau agama Muhammad!’. Pemimpin-pemimpin Yahudi itu menjawab: ‘Agama kamulah yang betul’. Jawapan tersebut memberi semangat kepada Musyrikin Quraisy untuk memerangi Rasulullah SAW. Pengakuan ini disebut oleh para sejarawan bahawa untuk memastikan rancangan mereka berjaya, mereka sanggup mengorbankan semahal-mahalnya yang ada pada mereka. Padahal mereka tahu tentang kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi SAW melalui kitab-kitab yang ada pada mereka (Haji Abdul Hadi Awang, Fiqh al-Harakah II, hal. 189-190, lihat juga Abu Bakar Sirajuddin: Muhammad SAW, hal.250 dan Zainal Arifin Abbas, Sejarah Perjuangan Nabi Muhammad SAW 5, hal. 339).
Berkaitan dengan perlakuan enam pimpinan Yahudi menyembah berhala dan mengakui agama menyembah berhala lebih baik daripada agama Muhammad, seorang sarjana Yahudi, Dr. Israil Welfinson, pensyarah bahasa Yahudi di Darul Ulum al Ulya menyebut, “Adalah sewajibnya bagi sekelian Yahudi jangan melibatkan dirinya ke dalam kesalahan-kesalahan yang sangat keji dan buruk itu. Sepatutnya tidak mengatakan agama menyembah berhala lebih baik daripada tauhid agama Islam, walaupun pengakuan itu akan membawa orang-orang Quraisy tidak akan memenuhi permintaan mereka memerangi Nabi Muhammad...perkataan dan perbuatan keenam pimpinan Yahudi ini telah menyakitkan hati setiap orang yang mempercayai akan Tuhan Yang Maha Esa..... Alangkah besarnya malu kita kerana yang berkata itu terdiri daripada pimpinan Yahudi yang tersebar ke seluruh dunia (Tarikh al-Yahudi fi Biladil Arab , petikan oleh Zainal Arifin Abbas).
Perkara ketiga yang sanggup dilakukan ialah menjadikan Arab Quraisy  (Musyrikin) Mekah sebagai rakan sekutu, padahal telah tercatat dalam sejarah bahawa Yahudi sememangnya merupakan musuh tradisi Arab. Tetapi untuk menghapuskan Islam mereka sanggup melupakan tradisi tersebut.
Demikianlah halnya apabila dendam kesumat telah memenuhi jiwa seseorang, segala yang baik akan berubah dan yang haram akan menjadi halal. Apa yang penting hasrat tercapai.
Setelah berjaya mempengaruhi Musyrikin Mekah mereka memujuk kabilah Arab Banu Ghatafan, Banu Murrah, Banu Fazarah, Banu Asyja`, Banu Sulaim, Banu Saad dan banu Asad. Kesemuanya bersetuju mengikat perjanjian untuk menyerang Madinah. Di antara alasan yang digunakan untuk mempengaruhi ketua-ketua kabilah Arab untuk ikut serta memerangi Muslimin di Madinah ialah:
1.    Suku Arab Quraisy (dari keluarga Nabi Muhammad SAW sendiri) telah bersedia memerangi Muhammad dan mengikut ajakan mereka (Yahudi).
2.    Mereka mengucapkan syair-syair dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang mengandungi erti memperingati orang mereka yang tewas dalam pertempuran dengan kaum Muslimin.
3.    Puji-pujian terhadap kegagahan dan keberanian bangsa Arab dan  janji-janji kemenangan yang akan diperolehnya apabila mereka dengan serentak melakukan serangan ke Kota pusat kamu Muslimin. Dengan demikian, bangsa Arab dengan umumnya akan kembali duduk di atas takhta adat istiadat dan dalam keberhalaan mereka dengan sunguh-sungguh, tidak akan ada orang yang mengganggu gugat lagi.
4.    Khusus untuk Bani Ghatafan, dijanjikan Yahudi, apabila mereka dapat menduduki kota Madinah nanti, satu perdua hasil kebun kurma kaum Muslimin Madinah akan diberikan kepada mereka. (Munawwar Khalil, Sejarah Lengkap Nabi Muhammad SAW 5, hal. 7-8).
Hasil usaha yang gigih puak Yahudi ini, mereka telah berjaya mengumpul di antara sepuluh ribu hingga sebelas ribu tentera dalam Ahzab.

Kisah Kedua:
Angkatan Ahzab tampil ke Madinah dengan penuh angkuh dan sombong. Mereka  berharap dapat memberi pukulan maut kepada Kerajaan Islam di Madinah. Namun sangkaan mereka tidak tepat, kerana dihalang oleh parit (khandak) yang digali oleh pasukan Muslimin Madinah. Mereka tergamam. Semua harapan seakan-akan berkecai.
Dalam keadaan yang terpaksa berkhemah dan terhalang oleh parit besar pertahanan kaum Muslimin, Huyayy masih tidak berputus asa. Beliau mencari jalan  berjumpa dengan ketua suku Yahudi Bani Quraizah yang masih setia dengan perjanjian Madinah.. Malah Bani Quraizah turut memberi bantuan peralatan untuk menggali parit kepada Muslimin Madinah.
Pada peringkat pertama, Ka`ab bin Asad, ketua Bani Quraizah masih keberatan. Namun ternyata Huyayy bin Akhtab sangat pandai bermain politik di antara pujukannya:
“Saya datang kepada engkau dengan membawa kebesaran masa lalu dan kemuliaan yang kekal, saya datang kepada engkau dengan membawa seluruh kekuatan bangsa Quraisy dan Ghatafan berserta para pemimpin dan para ketua mereka. Kaum Quraisy bertempat di Mujtama`il Asiyal (Suyul) dari Dumah, dan kaum Ghatafan bertempat di Zanab Naqma. Mereka telah berjanji dan bersumpah, bahawa mereka tidak akan pulang ke tempatnya masing-masing sebelum Muhammad dan pengikutnya dapat dihancurbinasakan semuanya.”
Ka`ab menolak dengan mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Muhammad, melainkan ia seorang yang baik budi dan menepati janji”. Huyayy terus mengemukakan alasan-alasan yang dan janji-janji sambil menyebut tentang pengusiran terhadap saudara seagamanya Bani Qainuqa` pada masa lampau dan kemampuan tentera Ahzab mengalahkan Muslimin, sehinggalah akhirnya Ka`ab terpedaya dan bersetuju untuk membatalkan perjanjian antara penduduknya dengan Rasulullah SAW.. Huyayy meminta untuk melihat surat perjanjian itu, dan sesudah membacanya beliau mengoyak surat perjanjian tersebut (Munawwar Khalil, Sejarah Lengkap Nabi Muhammad SAW 5, hal. 20-21, lihat juga Muhammad Husein Haekal, Hayat Muhammad).


Khandak
Khandak bermaksud parit yang digali oleh pasukan Muslimin untuk mempertahankan Madinah daripada serangan tentera Ahzab. Pertahanan secara berparit adalah hasil cadangan daripada Salman al-Farisi, Baginda SAW membahagikan tugas di kalangan para sahabat RA secara, iaitu tiap-tiap sepuluh orang menggali empat puluh hasta, dalamnya tujuh hingga sepuluh hasta, lebarnya sembilan hasta ke atas. Panjang semuanya lebih kurang lima ribu hasta. Rasulullah SAW sendiri mengambil bahagian untuk mendapatkan kelebihan menggali parit untuk jihad itu. Mereka semua bekerja keras untuk menyiapkan parit walaupun di musim sejuk dan menahan lapar, kerana kekurangan bekalan, walaupun demikian mereka bergembira dengan mendengar semangat dan perangsang yang diberikan oleh Rasulullah SAW (Haji Abdul Hadi Awang, Fiqh al-Harakah II, hal. 191-192).
Madinah adalah satu kawasan yang diapit oleh banjaran gunung berbatu-batan pejal di sebelah  kiri, kanan dan belakang. Pintu masuknya adalah di sebelah utara bersebelahan dengan gunung Uhud. Kedudukan sebegini barangkali merupakan satu anugerah Allah kepada baginda SAW dan kaum Muslimin. Amat strategik daripada sudut geografinya. Laluan untuk ke Madinah hanya di sebelah utara yang berhubung dengan lembah Uhud.  Parit tersebut digali melintang daripada sebelah utara dan melengkung sedikit ke barat di sebelah kiri kota Madinah sepanjang lebih kurang lima ribu hasta.
Sayyidina Umar adalah sahabat pertama yang mendengar berita Yahudi Bani Quraizah melanggar janji setia dengan baginda SAW. Sebagai pemimpin yang amat matang, baginda SAW tidak bertindak tergesa-gesa. Untuk mempastikan kebenarannya, baginda SAW menghantar empat orang sahabat iaitu Saad bin Ubadah (ketua suku Khazraj), Saad bin Mu`az (ketua suku Aus), Abdullah bin Rawahah dan Khawwat bin Jubair mewakili Muhajrin menemui kaum Yahudi Banu Quraizah. Pesan baginda SAW:
انطلقوا حتى تنظروا، أحق ما بلغنا عن هؤلاء القوم أم لا ؟ فإن كان حقا فالحنوا لي لحنا أعرفه ، ولا تَفُتُّوا في أعضاد الناس وإن كانوا على الوفاء فيما بيننا وبينهم فاجهروا به للناس.
“Pergilah kamu kepada mereka itu, sehingga kamu melihat sendiri, apakah benar berita yang sampa kepada kami tentang mereka itu, atau berita itu hanya sekadar isu sahaja. Jika berita itu benar, maka sampaikan kepadaku dengan sindiran yang aku dapat mengetahuinya, dan jangan kamu melemahkan kekuatan semangat orang yang banyak. Seandainya mereka tetap setia, tidak melanggar perjanjian antara kita dengan mereka, maka siarkanlah olehmu kepada orang ramai.”
Mereka tiba di kota Quraizah dan meminta bersungguh-sungguh di atas nama Allah untuk kembali kepada perjanjian dengan Rasulullah SAW sebelum terlambat, namun mereka hanya menjawab: “Siapakah Rasulullah?, tidak ada sebarang perjanjian antara kami dengan Muhammad!.” Keempat sahabat tetap mengingatkan Bani Quraizah tentang peristiwa yang menimpa Bani Qainuqa` dan Bani Nadir. Namun Ka`ab yang terlalu yakin dengan kemenangan tentera Ahzab itu tetap berkeras, sehinggakan berlaku pertengkaran antara wakil Rasul SAW dengan pimpinan Yahudi tersebut. Akhirnya apabila mereka sedar usaha tersebut sia-sia, mereka kembali menemui Rasulullah SAW dengan menyebut dalam bahasa kiasan, `Adhal wal Qarrah ( عضل والقارة ). Dr. Said Ramadan al Buti menyatakan `Adhal wal Qarrah ialah nama tempat di mana Khubaib RA utusan Rasulullah SAW pernah ditangkap dan dibunuh (al-Buti, Fiqh Sirah). Sementara Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyatakan `Adhal wal Qarrah  ialah qabilah yang mencetuskan peristiwa ar-Raji`. Kiasan ini juga membawa maksud mereka sanggup berkerat rotan berpatah arang. Baginda SAW faham dengan kiasan tersebut, namun tetap menerimanya dengan tenang  dan menyatakan pujian kepada Allah:
الله اكبر، أبشروا يا معشر المسلمين
“Allahu Akbar! Bergembiralah kamu wahai kaum Muslimin.”
Sabda Nabi SAW ini untuk menggembirakan hati kaum Muslimin, walaupun musuh mereka bertambah besar sekalipun, namun mereka perlu ingat bahawa Allah Yang Maha Besar, dan yang selain daripada-Nya kecil belaka.
Melihat situasi kepungan, Madinah telah dikepung daripada tiga penjuru iaitu Quraisy di al-Juruf, Bani Kinanah mengambil tempat di pintu masuk daripada bahagian atas Madinah, sementara Ghatafan pula di hujung banjaran Gunung Naqma dan dekat sekali dengan luar Madinah. Ternyata Muslimin dikepung daripada tiga penjuru, Cuma yang tinggal ialah satu sahaja penjuru yang dikuasai oleh Bani Quraizah yang masih setia kepada perjanjian pada peringkat awalnya. Sekarang ternyata Bani Quraizah telah melanggar perjanjian. Ini bererti tentera Islam telah dikepung daripada keempat-empat penjuru. Sehinggakan Rasulullah SAW terpaksa membentuk satu pasukan baru untuk mengawal kaum muslimat dan orang-orang yang lemah di Madinah. Sangat genting dan hebat cabarannya. Sementara di satu sudut lagi kaum munafiqin juga sentiasa memainkan peranan menabur bibit keraguan dan perpecahan dalam saf Muslimin.
Dalam keadaan yang kritikal begini baginda SAW merasakan perlu dirancang satu strategi melemahkan musuh dengan memujuk Bani Ghatafan supaya berdamai dengan menjanjikan satu pertiga hasil tamar Madinah kepada mereka. Namun sebelum berlaku tindakan tersebut, baginda SAW meminta pandangan Sa`ad bin Mu`az dan Sa`ad bin Ubadah.
Kedua-dua sahabat ini selamanya tidak pernah membantah kepada Nabi SAW itu bertanya kepada baginda SAW dan berlakulah dialog seperti berikut::
يا رسول الله أمرًا تحبه فنصنعه أم شيئًا أمرك الله به لا بد لنا من العمل به، أم شيئًا تصنعه لنا؟
Wahai Rasulullah, apakah ini suatu urusan yang engkau sukai lalu supaya kami melakukannya, apakah sesuatu yang telah diperintahkan oleh Allah, yang tidak boleh tidak kami harus mengerjakannya, atau adakah ini hanya sesuatu urusan yang engkau mencadangkan untuk kami?
 فقال صلى الله عليه وسلم: "بل شيء أصْنَعُه لكم، والله ما أصنَعُ ذلك إلا لأني رأيت العرب رَمَتْكم عن قوسٍ واحدة، وكالَبُوكم من كل جانب، فأردت أن أكسرَ عنكم من شَوكَتِهم إلى أمرٍ مًا"
“Ini urusan yang aku cadangkan untuk kamu, demi Allah, saya tidak akan melakukan yang demikian itu melainkan kerana sesungguhnya  saya telah melihat bangsa Arab telah serentak memanah kamu daripada satu panah dan mereka telah mengepung kamu secara ketat dan setiap penjuru. Oleh sebab itu saya bertujuan hendak memecahkan kekuatan mereka dan pada kamu semua hal itu diserahkan.”
. فقال له سعد بن معاذ: يا رسول الله قد كنا وهؤلاء على الشرك بالله وعبادةِ الأوثانِ لا نعبد الله، ولا نعرفه، وهم لا يَطمَعون أن يأكلوا منها ثمرةً واحدة إلا قِرًى أو بيعًا، أفَحِينَ أكرَمَنا الله بالإسلام، وهدانا له، وأعزنا بك، وبه نُعطيهم أموالنا؟ مالنا بهذا من حاجةٍ واللهِ لا نُعطيهم إلا السَّيفَ حتى يحكم اللهُ بيننا وبينهم!
“Ya Rasulullah, sesungguhnya kami dan mereka itu dahulu satu kaum dalam mensyirikkan Allah dan menyembah berhala-berhala, kami tidak menyembah kepada Allah dan kami tidak pula mengenali-Nya; dan mereka itu tidak mengharapkan akan memakan buah tamar daripada kota Madinah, melainkan dengan cara bertuka atau membeli. Maka tatkala Allah memuliakan kami dengan Islam dan telah memberi hidayah-Nya kepada kami, dan Ia telah meninggikan kami dengan sebab engkau dan dengan-Nya, kami memberi tidak ada rela yang demikian itu; demi Allah, kami tidak akan memberi kepada mereka itu, melainkan pedang sehingga Allah memberi keputusan antara kami dengan mereka.”



Mendengar jawapan tersebut baginda SAW bersabda:
فقال النبي صلى الله عليه وسلم: "أنت وذاك". فتناول سعد بن معاذ الصحيفة فمحا ما فيها من الكتاب ثم قال: ليجهدوا علينا.
“Sungguh hebat kamu.” Kemudian Saad bin Mu`az mengambil surat perjanjian dan terma-terma di dalamnya dihapuskan, sambil berkata, “Biarlah mereka mengusir kami, kami telah bersedia.” Ertinya mereka lebih sanggup bertahan dalam apa suasana sekalipun demi kemuliaan Islam. Iqrar in amat mengkagumkan baginda SAW.
Tiga ribu menghadapi sepuluh ribu musuh daripada dalam dan luar. Apakah jenis senjata yang digunakan? Hasilnya kekalahan tentera Ahzab tanpa pertempuran seperti yang pernah dilalui pada Badar dan Uhud. Allah sudah cukup bagi kaum Muslimin untuk berperang. Demikian dicoret oleh al-Marhum Dr. Said Ramadhan al-Buti di dalam kitabnya Fiqh as- Sirah.
Kesan daripada situasi yang serba kritikal:
Pertama: Semakin ditekan dan dikepung, akan melahirkan ketinggian  iman dan tawakal kaum Muslimin. Ungkapan di atas yang dinyatakan oleh Sa`ad bin Mu`az  menggambarkan hasil daripada tekanan tersebut.
Kedua: Sepanjang berkawal di tepi parit yang digali, kaum Muslimin tidak putus-putus bertakbir membesarkan Allah, sehingga suara-suara membesarkan Allah sentiasa bergema daripada mulut-mulut mereka.
Ketiga: Keberkatan doa yang tidak putus-putus dipanjatkan kepada Allah oleh Nabi SAW berserta kaum Muslimin dengan penuh kerendahan hati dan tawadu`. Lihat di antara doa mereka:
اللهم استر عوراتنا، وآمن روعاتنا.
“Ya Allah Tuhan kami! Peliharalah keselamatan diri kami dan amankanlah hati kami daripada rasa takut”.
Dan Rasulullah SAW berdoa:
"اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ، سَرِيعَ الْحِسَابِ، مُجْرِيَ السَّحَابِ، هَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَزَلْزِلْهُمْ"
“Ya Tuhanku! Yabf menurunkan kitab, lagi segera perhitungannya, Ya Allah! Binasakanlah mereka”.
Apakah hasil daripada tiga perkara di atas?
Pertama: Allah menghantar salah seorang lelaki daripada kalangan Musyrikin bernama Nu`aim bin Mas`ud menemui Rasulullah SAW menyatakan keislamannya yang belum diketahui oleh kaumnya, menawarkan jasa untuk melaksanakan apa sahaja arahan Rasulullah SAW. Baginda SAW menyebut: “Sesungguhnya engkau salah seorang daripada kami, engkau mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan mereka, bantulah kami semampu kamu, kerana peperangan adalah tipu helah”.
جاء نُعيم بن مسعود بن عامر بن أُنيف بن ثعلبة إلى رسول الله فقال: يا رسول الله إني قد أسلمت وإن قومي لم يعلموا بإسلامي فمرني بما شئت، فقال له رسول الله «إنما أنت فينا رجل واحد فخذل عنا إن استطعت فإن الحرب خدعة.
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya ini telah memeluk Islam, tetapi kaum saya belum ada yang mengetahuinya, maka perintahkanlah kepada saya apa yang kehendaki.” Baginda Rasu SAW bersabda: “Engkau adalah termasuk dalam kumpulan kami, untuk itu lemahkanlah kaum-kaum itu untuk melawan kami, semampu kamu. Kerana sesungguhnya peperangan itu adalah tipudaya.”
Kedudukan Nu`aim yang belum diketahui musuh itu, ternyata amat membantu. Nu`aim telah berjaya menggunakan strategi mengadu domba tentera Ahzab dan mengkucar-kacirkan mereka. Kesannya berlakulah salah faham, persengketaan dan permusuhan sesama sendiri dalam pasukan Ahzab. Kepercayaan sesama sendiri mula hilang, setiap puak mencurigai yang lain dan timbul tuduh menuduh merancang pengkhianatan.
Kedua: Peranan Muslimah, Sufiyyah yang memukul Yahudi yang cuba mengintai mereka di Madinah juga membantu menakutkan Yahudi yang mula hendak melakukan kemungkaran semasa Muslimin keluar menghadapi Ahzab.
Ketiga: Pada satu malam yang sejuk dan dingin, Allah menghantar angin kencang bertiup dengan ngerinya membalikkan periuk-periuk mereka, mencabutkan khemah-khemah mereka. Pertolongan Allah ternyata amat benar, dan akhirnya musuh terpaksa berundur dalam keadaan mengalami banyak kerugian, tanpa memerlukan pertempuran yang sengit seperti sebelumnya. Rujuk ucapan Abu Sufian setelah melihat keadaan yang serba mencemaskan.
Beberapa kesimpulan dan renungan:
Isu pertama yang digunakan Nabi Muhammad SAW berada pada jalan yang tidak betul. Kesan daripada hasutan Yahudi yang dirancang oleh Huyay bin Akhtab. Statusnya sebagai ketua  suku Yahudi Bani Nadir digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan dendam kesumatnya terhadap baginda SAW dan umat Islam.Namun di sisi Allah SAW, Huyayy bukan siapa-siapa. Dia tetap manusia dan musuh Allah.
Persoalannya sekarang, gerakan Islam PAS, boleh atau tidak diandaikan sedang berdepan dengan dua jenis Ahzab, satunya sememang Ahzab yang tradisi, sementara satu lagi ialah Ahzab ciptaan baru.
Di antara isu yang digunakan oleh Ahzab ciptaan baru ialah pimpinan Pas adalah tongkat Umno, pimpinan Pas kini adalah pengkhianat kepada perjuangan yang telah dipelopori oleh al-Marhum Tuan Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ungkapan sebegini dikeluarkan setelah mereka gagal untuk menyeret PAS untuk berselera sama dengan mereka mengejar kemenangan tanpa mempedulikan di mana halal dan di mana haramnya.
Lihat ucapan yang ditegaskan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang, “Kami rela kalah kerana melaksanakan Islam, kami rela ditolak rakyat kerana melaksanakan suruhan Allah, apalah ertinya sebuah pemerintahan tanpa reda Allah” 
Perang Ahzab juga disebut oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS Pusat sebagai perang membilang hari, kerana semasa kaum Muslimin membuat persediaan menggali parit, baginda SAW sentiasa memberitahu kepada para sahabat mengenai bilangan hari yang musuh akan datang (contohnya: Sepuluh hari lagi, sembilan hari lagi, begitulah seterusnya).
Sebab itulah apabila musuh benar-benar datang maka para sahabat menyebut, benarlah apa yang dijanjilkan Allah dan Rasul-Nya, lihat firman Allah:
وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الأحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا (٢٢) مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا
Dan ketika orang-orang mukmin melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata, "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya.” Dan yang demikian itu menambah keimanan dan keislaman mereka.
Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya),
Menurut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim bin Tuan Man, “Oleh kerana Ahzab berlainan daripada peperangan yang sebelumnya, maka persiapan pun hendaklah berlainan daripada yang sebelumnya. Bukan sahaja fizikalnya, tetapi perhatikanlah munajatnya yang begitu mantap”.

No comments:

Post a Comment