Sunday, February 18, 2018

Gadoh Aneuk Meupat Jrat, Gadoh Hukom Ngon Adat Pat Tamita?

U

ngkapan di atas mungkin merupakan sesuatu yang asing bagi kita umat Islam di Malaysia. Namun ianya sangat penting bagi para peminat dan pengkaji sejarah kerajaan Islam di Nusantara, terutama bagi Negara Aceh Darus Salam.
Al-Marhum Prof. Dr. Hamka menyebut, “Dalam hikayat atau sejarah tanah air kita sendiri, bertemu perjuangan antara kemewahan hidup raja dengan kehendak keadilan, iaitu tragedi Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Sultan Aceh Darus Salam.
.....Ketika Sri Sultan  berada pada kemuncak kemegahannya, terjadilah suatu hal yang memalukan dalam Kerajaan Aceh! Seorang laki-laki yang pulang ke rumahnya pada malam hari, didapatinya ‘Anak Raja’ tidur berdua dengan anak perempuan kandungnya!




Terkejut dengan kepulangan si ayah, anak raja tersebut sempat lari menyelamatkan diri, namun tertinggal keris kebesaran diraja. Bagi si ayah, kejadian itu sangat memalukannya. Disentak rencungnya lalu ditikam anak perempuannya. Setelah hari siang, si ayah pergi ke halaman istana raja yang disebut Darud Dunya, dengan membawa sebatang tebu, yang menurut adat Aceh sebagai permohonan yang amat penting bagi mengadap raja. Dan setelah mengadap dilaporkan.`Orang itu menyerahkan rencong yang berlumuran darah, menjelaskan peristiwa yang telah berlaku, dan dia telah membunuh anak perempuannya. Kerana anak perempuannya adalah di bawah kekuasaannya. Adapun si lelaki telah melarikan diri dan ianya bukan di bawah tanggungjawabnya’.
Ketika raja bertanya, adakah dia mengenali lelaki tersebut, dengan tenang orang itu mengeluarkan keris yang tersisip di pinggangnya, seraya berdatang sembah: “Ampun Tuanku! Patik kenal benar orang yang membawa kehinaan ke rumah tangga patik. Patik melihat jelas wajahnya, dan ketika dia melariikan diri, kerisnya telah tertinggal. Dan patik tidak mempunyai kekuasaan buat menghukumnya. Kalau patik biarkan juga dia hidup, bererti patik telah kehilangan harga untuk hidup!”.
Keris yang ketinggalan itu diserahkan kepada raja. Baginda mengenali bahawa keris itu adalah satu daripada keris pakaian kebesaran yang dipakai oleh puteranya.
Inilah satu peperangan dalam jiwa raja yang termasuk sejarah mengharukan dalam khazanah Indonesia. Sultan diuji kewibawaan oleh karenah puteranya sendiri.
Berita ini segera diketahui umum, kerana hari itu juga anak perempuan itu telah dikuburkan. Negeri Aceh menjadi hening sepi, muram dan suram, menunggu apa gerangan titah yang akan keluar.
Maka keluarlah titah. Segera menangkap puteranya yang telah melanggar ‘Kanun Meukuta Alam’ itu. Dan supaya diadakan sidang kerapatan adat dan syara` menentukan hukum dan keadilan atas perbuatan yang hina itu.
......Setelah mahkamah bersidang, tidaklah terdapat banyak kesulitan. Sebab putera Sultan sendiri mengakui kesalahannya. Dan hal itu disampaikan oleh mahkamah kepada Sultan!.
Dengan wajah yang penuh kewibawaan seorang raja, menekan (memendam rasa) kasih seorang ayah, raja menitahkan rapat bersidang langkap. Puteranya sebagai pesakitan turut hadir!
Raja bertitah: “Sekarang puteraku telah mengaku salahnya, berkhalwat dengan perempuan yang bukan isterinya. Memberi malu bagi ayahnya, menghancurleburkan keamanan negerinya, padahal dialah yang wajib mempertahankannya. Maka tidak ada jalan lain yang harus diterimanya ialah, bahawa semuanya harus dibayarnya dengan nyawanya”.
Majlis hening. Setelah baginda berhenti sejenak berbicara dan sidang hadirin menunggu lanjutan ucapan baginda, lalu baginda pun mencabut keris yang tersisip di pinggangnya, dan baginda pun melanjutkan titah:
“Beta beri kesempatan dia menghukum dirinya sendiri dengan keris pesaka kerajaan. Jangan sampai orang lain melakukan hukuman ke atasnya!”
Baginda menyerahkan keris yang sudah dicabut itu kepada seorang pembesar kerajaan yang turut menjadi anggota majlis. Dan oleh pembesar itu diserahkan pula kepada anak raja yang kena hukum itu.
Dan dengan langkah yang tetap, si anak bersiap menunjukkan salam ta`zim dan takrim melepaskan raja berangkat, dan dalam sementara keheningan itu pula anak raja yang bersalah itu dengan sekuat tenaganya menghalakan mata keris tepat mengenai ulu hatinya memenuhi titah ayahnya.
Di sinilah keluar kata pepatah “Biar mati anak jangan mati adat”. Kerana menegakkan keadilan dan kewibawaan jangan binasa, terjadilah peperangan yang hebat dalam jiwa Paduka Iskandar Muda Mahkota Alam sendiri. Anak telah mati, tetapi adat dan syariat tetap hidup. Maka dalam diri baginda sendiri terjadi peperangan hebat di antara membela kedaulatan negara dengan cinta ayah kepada anak.
Dua hari baginda sakit, hari ketiga baginda wafat. Naiklah menantunya Iskandar Thani menantu baginda menjadi Sultan Negeri Aceh.
Itulah riwayat sedih mengharukan. Anak (Putera Mahkota) yang berhak menjadi raja mati kerana hukuman, sehingga si ayah wafat pula, terpaksa menantu menjadi raja. Meneguhi wasiat baginda, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah benar-benar berusaha menegakkan keadilan yang tersebut dalam firman Allah:
*يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنْفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِنْ يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَنْ تَعْدِلُوا ۚ وَإِنْ تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
“Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan, menjadi saksi-saksi bagi Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri, atau terhadap kedua ibu bapa atau kaum kerabat. Jika ada di antara mereka kaya atau miskin, maka Allah lebih utama dengan keduanya. Maka janganlah kamu menuruti dengan hawa nafsumu dalam membela keadilan itu. Dan jika kamu melengah atau menolak, sesungguhnya Allah adalah amat teliti di atas apa sahaja yang kamu kerjakan (an-Nisa’: 135).
Demikian versi yang dinukilkan oleh al-Marhum Prof. Dr. Hamka dalam bukunya Prinsip dan Kebijaksanaan Da`wah Islam.
Sementara menurut versi https://indramakmur.wordpress.com/tag/sultan-iskandar-muda/ dinukilkan bahawa putera raja menodai isteri seorang panglima kanan baginda sultan.  Perwira tersebut langsung membunuh isterinya setelah mengetahui peristiwa tersebut. Namun, untuk Putera Mahkota diserahkan sepenuhnya pada kebijaksanaan Sultan. Ia menuntut keadilan kepada Sultan. Selepas mengadukan hal tersebut kepada Sultan, Perwira tadi langsung mencabut rencongnya dan menikam ke hulu hatinya sendiri tanpa sempat dicegah oleh Sultan dan pengawalnya. Robohlah perwira tersebut dan langsung meninggal pada saat itu juga.
Setelah diadili dan selayaknya putera menerima hukuman, beberapa pembesar kerajaan yang perihatin terhadap kelangsungan kerajaan bersepakat untuk menghadap Sultan Iskandar Muda agar membatalkan hukuman pancung tersebut. Mereka mengajukan berbagai usul seperti pengampunan atau cukup dengan mengasingkan Putra Mahkota ke negeri lain. Termasuk mencari kambing hitam, mencari seorang pemuda lain untuk menjadi pesakitan menggantikan Putra Mahkota.
Namun semua usul tersebut ditolak oleh Sultan dan dengan berang Sultan kemudian menyebut satu ungkapan dalam bahasa Aceh: “Gadoh aneuk meupat jrat, gadoh hukom ngon adat pat tamita? “ Ertinya: Hilang anak masih ada kuburan yang bisa kita lihat, tetapi jika hukum dan adat yang hilang hendak kemana kita mencarinya?
Walaupun dua versi agak berbeza, namun perlakuannya sama iaitu perbuatan yang keji dan mencemarkan negara dan Islam. Pelakunya adalah putera mahkota yang bakal menggantikan kekuasaan sultan. Dan Sultan telah bertindak tegas demi hukum syara` dan keadilan.
Ungkapan  “Gadoh aneuk meupat jrat, gadoh hukom ngon adat pat tamita? “ Ertinya: Hilang anak masih ada kuburan yang bisa kita lihat, tetapi jika hukum dan adat yang hilang hendak kemana kita mencarinya?, amat perlu difikirkan bersama. Inilah yang barangkali kita perlu pertahankan Islam semampu mungkin, yakinlah bahawa setelah hilangnya Islam, perjuangan untuk mewujudkan kembali Islam dan negara adalah sesuatu yang amat sukar.
Percubaan Najmuddin Erbakan suatu ketika dulu di jawab dengan sinis, ideologi Mustafa Kamal sudah begitu jauh ke dalam tulang hitam kami....Kini Edorgan hampir berjaya, namun cabarannya terlalu banyak untuk ditangani.
Sebelum kedatangan penjajah beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu pernah melaksanakan hukum Islam di negeri-negeri seperti Melaka dengan Hukum kanun Melaka, Terengganu dengan Itqan al-Muluk bi Ta’dil al-Suluk, Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang 99 Perak dan Undang-undang Sungai Ujung, Undang-Undang Johor. Namun selepas kedatangan penjajah segalanya telah hilang.
Berjuang untuk melahirkan serta sampai ke peringkat melaksanakannya kembali adalah sesuatu yang sangat sukar. Sejarah sentiasa berbicara, melalui perjuangan jatuh bangunnya Parti islam SeMalaysia (PAS), sehingga kini.  RUU 355 barangkali boleh menjadi bukti, bukannya melaksanakan, tetapi sekadar mahu diperkasakan Mahkamah Syariah pun begitu sukar mendapat ruang pembentangan. Setelah dibentangkan pelbagai isu pro dan kontras yang dibangkitkan. Bukan daripada kalangan perwakilan bukan Islam, malah perwakilan Islam jiga mempertikaikannya.
Tepatlah apa yang disebut oleh Sultan iskandar Muda Mahkota Alam, “Gadoh aneuk meupat jrat, gadoh hukom ngon adat pat tamita? “ Ertinya: Hilang anak masih ada kuburan yang bisa kita lihat, tetapi jika hukum dan adat yang hilang hendak kemana kita mencarinya?.
Kini hukum dan adat Islam sudah hilang, di manakita hendak mencarinya. Kuburan Putra Mahkota Meurah Pupok yang bergelar Poteu Cut atau Sultan Muda, masih dapat dilihat dan menjadi salah satu daripada kesan sejarah. Walaupun ayahandanya menderita, memendam rasa kasih sayang seorang ayah kepada anak, akibat peristiwa tersebut, namun matinya mulia dan tetap dikenang hingga kini. Baginda tetap dikenang sebagai salah satu rangkaian sultan soleh di Nusantara. Di bumi Aceh masih lagi terdapat kesan-kesannya.
Bagaimana di Malaysia? Bersediakah kita untuk menjadi salah satu daripada mata rantai yang memperjuangkan sehingga terlaksananya Syari`at Islam di bumi Malaysia?.

No comments:

Post a Comment