Sunday, February 18, 2018

Safar Dalam Perjuangan

S

afar sering dikaitkan dengan penyakit dan peristiwa yang tidak menyeronokkan. Ada juga yang menganggap safar sebagai bulan sial. Anggapan sebegini dipegang oleh sebahagian daripada umat Islam sehinggakan mereka menangguhkan beberapa aktiviti ke bulan yang lain. Padahal Allah telah berfirman:
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ 
Artinya: Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”. ( Al- Hadid: 22).



Sementara di dalam sabdanya  Rasulullah SAW menyatakan:
 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رضى الله عنهما قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلاَئِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ.
Artinya: “Abdullah bin ‘Amr bin Ash radhiyallahu ‘anhu berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Allah telah menulis takdir seluruh makhluk sebelum menciptakan langit dan bumi 50 ribu tahun”. HR. Muslim.

Di dalam sirah kita dapati banyak peristiwa yang berlaku dalam bulan Safar, satu daripadanya ialah baginda Nabi SAW memilih Usamah bin Zaid sebagai panglima perang untuk menuntut bela di atas kematian bapanya Zaid bin Harithah di medan perang Mu’tah. Mengikut riwayatnya dikatakan, pada bulan Safar Rasulullah SAW mempersiapkan kaum muslimin untuk berperang. Pasukan kaum muslimin yang berjumlah 3000 ribu dan di dalamnya terdapat banyak sahabat yang lebih bepengalaman. Rasulullah SAW memerintahkan untuk berangkat ke al-Balqa yang berada di Syam, tempat gugur (syahidnya) Zaid bin Haritsah. Keesokan hari, 29 Safar tahun 11 H atau 24 Mei 632 Rasululllah SAW memanggil Usamah bin Zaid supaya menghadap beliau. Setelah Usamah menghadap, Nabi SAW melantiknya menjadi panglima perang untuk memimpin pasukan yang akan diberangkatkan itu.”

Nabi bersabda,
سر إلى موضع مقتل أبيك، فأوطئهم الخيل فقد وليتك هذا الجيش، فأغز صباحًا على أهل أبنى وحرق عليهم وأسرع السير تسبق الأخبار، فإن ظفرك الله فأقلل اللبث فيهم وخذ معك الأدلاء، وقدم العيون والطلائع أمامك
“Pergilah kamu ke tempat terbunuhnya bapamu, injaklah mereka dengan kuda. Sesungguhnya aku menyerahkan pimpinan ini kepadamu, maka perangilah penduduk Ubna pada pagi hari dan bakarlah (hancur binasakanlah) mereka. Cepatlah kamu berangkat, sebelum berita ini terdengar oleh mereka. Jika Allah memberi kemenangan kepadamu atas mereka, janganlah kamu berlama-lama bersama mereka. Bawalah bersamamu petunjuk-petunjuk jalan dan dahulukanlah mata-matamu.”

Dalam menanggapi maksud daripada perintah Nabi SAW di atas K.H. Moenawar Khalil menyatakan yang ianya dapat difahami seperti berikut:
      i.        Supaya Usamah segera berangkat ke tempat bapanya dibunuh dahulu oleh musuh dalam peperangan Mu’tah, iaitu perbatasan Balqā’ dan Dārum (kedua-duanya termasuk dalam daerah Palestin).
    ii.        Supaya Usamah dapat menginjakkan kuda yang dikenderainya di tempat tersebut.
   iii.        Supaya beliau dapat memimpin bala tentera yang dikerahkan ke tempat tersebut.
   iv.        Agar dapat menyerang musuh (penduduk Ubna) pada pagi hari dan menghancurkan mereka.
   v.        Supaya sentiasa cepat dan tepat dalam segala pergerakan agar tidak didahului musuh.
   vi.        Supaya tidak tinggal lama selepas mengalahkan musuh, cukuplah sekadar berperang sahaja kemudian segera kembali lagi ke Madinah jika Allah memberi kemenangan kepadanya.
  vii.        Untuk kembali ke Madinah perlu membawa penunjuk-penunjuk jalan agar jangan terlalu lama di perjalanan . demikian pula perlu membawa mata-mata (al-`uyun) dan penyelidik-penyelidik agar jangan sampai terperangkap dengan musuh (Sirah Nabi Muhammad SAW 7, hal. 165)..

Usamah Bin Zaid adalah sahabat Rasulullah SAW yang masih muda, belum mencapai dua puluh tahun. Perlantikan ini telah menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati, sehingga ada yang mempertikaikannya. Berita ini telah sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, dalam keadaan sakit dan kepalanya terikat, baginda SAW keluar dan berpidato antaranya:
أما بعد، يا أيها الناس، فما مقالة بلغتني عن بعضكم في تأميري أسامة بن زيد؟ والله لئن طعنتم في إمارتي أسامة لقد طعنتم في إمارتي أباه من قبله، وايم الله إن كان للإمارة لخليقًا، وإن ابنه من بعده لخليق للإمارة، وإن كان لمن أحب الناس إليَّ، وإن هذا لمن أحب الناس إليَّ، وإنهما لمخيلان لكل خير، فاستوصوا به خيرًا؛ فإنه من خياركم.
“Ada pun kemudian daripada itu, wahai sekelian manusia, apakah perkataan-perkataan yang telah sampai kepadaku di antara kamu tentang Usamah? Jika kamu mencela tentang perlantikannya menjadi pemimpin tentera, maka sesungguhnya kamu pernah mencela tentang perlantikan bapanya menjadi pemimpin tentera dahulu. Demi Allah, jikalau ia (bapanya) seorang yang layak memimpin angkatan perang, maka sesungguhnya ia (anaknya) lebih layak menjadi pemimpin tentera sepeninggalan bapanya.
Jika ia (bapanya) adalah salah seorang yang paling cinta kepadaku, maka dia (Usamah), juga salah seorang yang paling cinta kepadaku. Dan demi sesungguhnya keduanya tempat yang diidam-idamkan bagi setiap kebaikan, untuk itu hendaklah kamu berpesan yang baik kepadanya, kerana dia adalah seorang pilihan kamu.”

 Mengulas mengenai perlantikan ini, Dr. Muhammad Husein Haikal dalam bukunya ‘Hayat Muhammad’ menyebut ada tiga faktor utama kenapa Nabi SAW memilih Usmah bin Zaid sebagai pemimpin dalam angkatan perang ini iaitu:
1.    Untuk memberi kesempatan kepada Usamah bagi meneruskan perjuangan ayahnya yang telah gugur dalam pertempuran di Mu’tah dahulu. Agar dapat menebus kembali peristiwa kesyahidan ayahnya dengan kemenangan di tangannya sendiri.
2.    Menghidupkan ruh dan membangkitkan semangat jihad di dalam jiwa pemuda-pemuda Islam.
3.    Untuk mendidik dan melatih pemuda-pemuda Islam, membiasakan diri mereka dengan kewajipan dan tanggungjawab yang besar pada masa-masa mendatang (Dr. Muhammad Husein Haekal, hal. 614).

Di tengah-tengah kontroversi para sahabat, baginda Nabi SAW tetap mempertahankan perlantikan Usamah untuk mengetuai angkatan yang membawa misi besar ke sempadan Rome yang nilainya juga sama seperti bapanya Zaid bin Harithah.
Majoriti mereka yang menyertai Fastaqim 2.0 (29-30 September 2017) adalah terdiri daripada golongan pemuda. Sudah sampai masanya golongan ini berada bukan sahaja setakat menyertai, namun tampil bersama saf-saf kepimpinan memacu bersama jentera gerakan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk terus membawa panji jama`ah ke puncak jaya.
Zaid bin Harithah dengan anaknya Usamah adalah contoh dua tokoh pemuda yang telah berjaya menggemilangkan Islam di persada dunia. Kita percaya Fastaqim 2.0 pasti mampu melahirkan ribuan pemuda kalaupun tidak sehebat jiwa Zaid dan Usamah, tetapi pasti sudah bersedia untuk ditarbiyyah sehingga mengiringi Zaid dan Usamah ke gerbang jaya. Insya Allah!.

No comments:

Post a Comment