Sunday, February 18, 2018

Ar-Rabi` Datang Lagi

A

r-Rabi` bermaksud musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mula menghijau dan tumbuhan mengeluarkan bunga. Al-Awal bermaksud yang pertama. Jadi ar-Rabi’ul Awal bermaksud musim bunga yang pertama.
Rabi`ul Awal ialah bulan ke-tiga dalam kalendar hijriah setelah bulan Muharram dan bulan Safar. Bulan ini juga dikenal dengan Bulan Maulid, Bulan Selawat dan Bulan Kelahiran Nabi Muhammad SAW.


Seperti juga bulan-bulan yang lain, Rabi`ul Awal merupakan bulan yang banyak merakam peristiwa besar yang berlaku. Namun kesemuanya tidak dapat menandingi tarikh 12 Rabi`ul Awal Tahun Gajah. Sempena dengan tarikh itulah kita semua menjadi manusia. Manusia yang mampu hidup dengan sebaik-baiknya. Mampu kenal baik buruk, mampu kenal dan beza halal haram, mampu kenal dunia akhirat.
Anugerah tokoh terbaik ini menjadikan kita mendapat rahmat dan berkatnya ke arah kehidupan yang bermakna dan tepat mengikut matlamat kejadian manusia itu sendiri. Lahirnya baginda SAW membawa suatu perubahan, yang menyeluruh dan penuh dengan makna yang tersendiri.
Di dalam Hikayat Petani yang dinukilkan oleh Syeikh Faqih Ali, “Di sini, banyak orang-orang membeli ikan, tetapi kata Syeikh Safiyyudin itu, bukan di sini tempat pengkalan besar dan ramai-ramai orang Patani, maka datanglah orang Hindi, dan bawa berhala jual kepada orang negeri Langkasuka, dan orang Hindi itu menyeru agama Buddha, sembahlah berhala-berhala orang-orang Hindi datang, dan menyeru banyak orang-orang Melayu lingkungnya, dan penyeru Hindi ini duduk bersyarah di tengah lingkung, dia sihir dan jampi-jampi jadi hairanlah orang-orang Melayu, dan banyak percaya beriman dengan Buddha. Lama-lama banyaklah, sampai raja pun sembah berhala. Jadi, berhala banyaklah bina di dalam negeri Langkasuka ini. Agama ini serupa dengan agama Nabi Ibrahim benci.............................maka begitulah juga agama Buddha di Langkasuka. Lama-lama beransur-ansur masuk agama Islam. Orang-orang Cina pun banyak datang waktu itu, dan orang-orang Hindi pun sampailah juga ke negeri China, dan serukan agamanya seperti di Langkasuka juga. Akhirnya, agama Buddha pun banyak dalam negeri China. Waktu Buddha masuk itu, kata orang-orang Cina asalnya tarikh lepas Isa zahir empat ratus tahun, tetapi tidak nyata kerana zaman dahulu belum ada hijrah atau sanah.
Lepas masuk agama Buddha itu, banyaklah pula syafaqat Hindi mengajarkan orang-orang Melayu, dan waktu itu, perempuan dan laki-laki tidak berkahwin, dan tidak haram hendak setidur duduk. Adapun perempuan-perempuan sangat hurriyyah, kalau dia hendak duduk dengan sesiapa pun boleh belaka.
Syahadan, maka adalah kahwin nikah tidak ada, dan sebab itu pun bercampurlah Hindi dan Cina dan orang Melayu, dan beranak bercucu jadi orang campuran, dan orang Melayu pun bercampurlah keturunan zuriat, tidak serupa dengan orang Arab. Ada pun orang-orang Arab tidak bercampur, tetapi orang-orang Arab datang kepada Langkasuka pun bercampur juga, dan akhirnya oleh keturunan Arab, dan begitu juga orang-orang Farsi.” (Kitab Tarikh Fathani salinan Sheikh Faqir 'Ali transliterasi oleh Wan Muhammad Saghir Abdullah)
Petikan di atas menggambarkan perilaku kehidupan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Alhamdulillah dengan datangnya Islam, maka kehidupan kita berubah, terarah, bermatlamat dan bermaruah. Maka umat Melayu tidak ketinggalan menjadi salah satu rangkaian umat pilihan Allah SWT di atas muka bumi.
Lihat firman Allah SWT:
 لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ
“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatnya) kepada orang-orang yang beriman setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada i`tiqad yang sesat), serta mengajar  mereka Kitab  Allah (al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syari`at). Dan sesungguhnya mereka (sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah dalam kesesatan yang nyata“ (QS. Ali Imran: 164)

Peristiwa kedua berlaku dalam bulan Rabi`ul Awal ialah pernikahan baginda SAW dengan Khadijah binti Khuwailid pada 10 Rabiul Awal. Kita sedia maklum bahawa baginda SAW dilahirkan dalam keadaan yatim, miskin dan banyak perkara yang diperlukan untuk meneruskan  kehidupan. Apatah lagi  untuk membiayai perjuangan menegakkan Islam. Allah SWT mentakdirkan pernikahan ini menjadi satu wasilah kepada nabi-Nya mempunyai bekal dalam perjuangan Islam yang amat panjang. Lihat firman Allah SWT:
  أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى، وَوَجَدَكَ ضَالا فَهَدَى، وَوَجَدَكَ عَائِلا فَأَغْنَى
“Bukankah ia mendapati engkau yatim piatu, lalu Ia memberikan perlindungan?. Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahi al-Quran). Dan didapati-Nya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?” (ad-Dhuha: 6-8).
Melalui Khadijah baginda SAW memperolehi sumbangan bukan sahaja semangat tetapi juga harta benda. Khadijah menjadi pendamping  pada masa senang  dan susah sehingga  melayakkannya dipilih sebagai salah seorang daripada wanita terbaik di dunia dan akhirat.
Peristiwa ketiga ialah baginda SAW dilantik menjadi  Rasul iaitu pada 1 Rabiul Awal ketika berusia 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda SAW secara rasmi di Makkah al-Mukarramah. Peristiwa yang mengubah wajah masyarakat dunia daripada menyembah makhluk kepada beribadah kepada Allah Yang Esa.
Peristiwa keempat ialah  hijrah Rasulullah SAW. Baginda SAW tiba di Quba pada hari Isnin 8 Rabi`ul Awal. Tindakan pertama dilakukan ialah membina masjid yang dinamakan Masjid Quba. Baginda Rasul SAW kemudian meneruskan perjalanan sampai ke kota Yathrib.  Hijrah ke Madinah menjadi penanda aras bahawa Islam bukan sekadar bersyahadah, bersolat malah yang lebih besarnya, mesti dilaksanakan sampai ke peringkat memerintah .dan berkerajaan.
Peristiwa kelima, bulan ini juga Rasulullah SAW wafat (ada yang mengatakan) bertepatan pada hari lahirnya 12 Rabiulawal tahun 11 hijrah bersamaann 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah Aisyah RA dan dikebumikan di Madinah al Munawwarah.
Kelahiran, pernikahan, kerasulan, hijrah dan kewafatan adalah rangkaian peristiwa yang amat penting. Kelahiran adalah pertanda kemunculan nabi akhir zaman, menerima wahyu empat puluh tahun kemudiannya. Hijrah adalah dalam rangka menyelamatkan akidah di samping mencari tempat yang subur untuk Islam. Kewafatan adalah penamat tempoh kenabian dan kerasulan. Namun barang diingat, ajaran baginda SAW tetap tidak tamat dengan kewafatan baginda SAW.  Siapa penerusnya? Kitalah yang perlu mewajibkan diri untuk menjadi penerusnya. Apatah lagi daripada sudut sejarah perkembangan manusia, umat ini adalah mencapai puncak kematangannya dengan perutusan baginda  SAW.
Mempelajari sirah bukan sekadar mendengar cerita, berselawat bukan sekadar mewarisi seni budaya, bermaulid bukan untuk sekadar mengulit tradisi silam, tetapi kesemuanya adalah untuk menghidupkan semula ruh, semangat, budaya kenabian dan kerasulan sehingga Islam dapat didaulatkan di atas muka bumi ini. Ingatlah Feqah Islam terkini bukan sekadar Fiqhul- Aqidah, Syariat, Akhlak, Mu`amalat, tetapi wajib diteruskan sampai kepada Fiqhus Siyasah dan Fiqhud-Daulah.


No comments:

Post a Comment