Tarikh 2 Mei 2007, jam 9.15 pagi Encik Yunus, salah seorang pensyarah Jabatan Pendidikan Jasmani IPKT (masa itu, sekarang IPGM KDRI), menelefon penulis untuk memastikan supaya penulis tidak ketinggalan kapal terbang di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Alhamdulillah, kebetulan penulis telah pun berada di perkarangan lapangan terbang. Encik Yunus memang terlalu tinggi kecaknaannya.
Kami terus membuat pendaftaran (check-in) untuk penerbangan terus ke KLIA dan Lapangan Terbang Antara Bangsa Langkawi. Seronok penulis bersama Encik Yunus, banyak perkara yang boleh dibincangkan daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan perkuliahan KPKIP, perkaedahan, penjagaan kesihatan, menghadapi usia tua, hinggalah kepada isu-isu kemanusiaan. Apatah lagi Encik Yunus memang orang yang tidak lokek ilmu dan amat mengambil berat mengenai isu-isu kesihatan. Saiz kami hampir sama, cuma beliau lebih handsome dari diri penulis.
Penulis ditugaskan menyertai satu mesyuarat anjuran BPG di Seaview Hotel Langkawi, sementara Encik Yunus ke Bringin Beach Resort sebagai pemeriksa Pendidikan Luar bagi program Pendidikan Jasmani IPDA.
Untuk ke Langkawi juga penulis membawa bersama sebuah novel karya almarhum Profesor Dr. HAMKA yang berjodol Tuan Direktor, keluaran Pustaka Antara yang tercatat cetakan pertamanya 1961 dan cetakan terakhir 1979. Novel ini sebetulnya dibeli oleh penulis di TTC sempena pameran buku di sana yang kebetulan ada agen yang menjual buku lama pada awal tahun.
Sengaja penulis bawa novel ini untuk dihabiskan menjelang perjalanan ke Langkawi. Novel lama, penulis sudah dikira ketinggalan zaman. Sepatutnya penulis telah menghabiskannya semasa di sekolah menengah lagi. Tapi apa, memetik sepatah kata yang pernah disebut oleh Dr. Shahrom TM Sulaiman,
“Buku tidak salah dibaca walaupun penerbitannya sudah lama, kerana apa yang dinukilkan pasti saja ada gunanya untuk masa-masa yang bakal dilalui. Seseorang pengarang memerah otak dengan kebijaksanaan yang dianugerah Allah bagi menghasilkan satu karya yang baik”.
Tuan Direktur, menceritakan dua suasana kemanusiaan manusia di Surabaya. Satunya yang serba rakus dan penuh penipuan dan sifat mereka sebagai pengejar masa kini yang hanya di depan mata. Melalui watak Jazuli serta penjilatnya Margono dan Haji Salmin. Sementara di satu sudut lagi diwakili oleh Pak Yasin, Haji Nawawi dan Fauzi. Melalui pelukisan watak kumpulan ini seakan-akan pengarang mengajak pembaca supaya meneliti satu sudut yang perlu diketahui di sebalik alam nyata. Alam rohani dan hubungannya dengan keakhiratan. Paling tidak terhadap pencipta dan tahu adab-adab kita dengan Khaliq. Punya jiwa yang bebas, merdeka dan kaya. Merasai sama keperitan golongan yang tidak bernasib baik.
Penulis kira sangat banyak pengajaran yang ingin disampaikan oleh HAMKA dalam novel ini. Dengan memulakan kisah hebatnya Jazuli yang membohongi keadaan sebenar serta sanggup menipu rakan kongsi yang digambarkan melalui menungan Haji Nawawi. Untuk kepuasan ditampilkan dua tokoh yang menjadi pengampu kepada ‘Tuan Direktur’ iaitu Margono dan Haji Salmin. Biar apa pun berlaku, sama ada rugi atau tidak perniagaan, pastinya Tuan Direktur tetap berpuas hati dengan segala pujian oleh mereka berdua.
Ketamakan dan kerakusan sentiasa menjadi pegangan hidup Jazuli sehingga sanggup menghabiskan wang yang begitu banyak untuk mendapatkan tanah Pak Yasin. Tokoh baik tonjolan pengarang. Hidup dalam keadaan sedarhana dan mempunyai pemikiran kebajikan. Digambarkan sebagai: “Seorang tua yang bertabiat anih, terlalu pemurah dan ramah tamah. Mendirikan rumah-rumah petak untuk dipersewakan, tetapi segenap penyewanya yang terdiri dari kalangan rendah itu, tidaklah memandangnya sebagai majikan atau tuan tanah tempat mereka menumpang, bahkan dianggap sebagai bapa. Kadang-kadang setelah wang sewa itu mereka berikan, mereka pinjam kembali untuk modal kerana miskinnya, dan belumlah pula pernah pinjaman mereka yang bertolak. Kerana itulah agaknya maka semakin segan dan patuh pula mereka terhadap Pak Yasin”. (Tuan Direktur: 15).
Pemikiran kebajikan bukan sahaja kepada tokoh Pak Yasin seorang, tetapi juga melalui saranan yang dikemukakan beliau terhadap seorang penjual soto yang masih muda, Taslim: “....dekat lebaran membangga kepada Pak Yasin dengan memperlihatkan pakaian yang baru dibelinya. Pak Yasin tertawa dan memuji. Tetapi setelah diketahui harga baju itu empat lipat dari baju yang biasa dipakainya, mukanya pun menjadi muram.... lebih baik engkau jual baju itu kembali, Taslim, beli empat helai baju lain, bagikan sehelai kepada Pak Dolah, Warsito, Pak Nor, kerana mereka itu sekarang ketiadaan wang untuk membeli meski agak sehelai di hari lebaran ini. Termenung Taslim, mulanya, tetapi kemudian perkataan itu termakan olehnya, sepetang itu juga dijualnnya baju itu kembali, iaitu baju wool yang telah lama diidam-idamkannya dan dibelinya empat helai baju putih biasa, diberikannya kepada ketiga-ketiga temannya itu. (Hal 16).
Pengarang bukan sekadar melepaskan fakta tanpa kesimpulan, tetapi memperlihatkan suatu natijah baru hasil sifat yang pemurah. Lihat: Heran! Jangankan susut kegirangannya sebagai sangkanya bermula, bahkan semakin berbahagia rasa hatinya, demi menengok paras yang berseri-seri dari ketiga orang yang mendapat hadiah sekonyong-konyong itu”. (Hal: 16).
Kenyataan ini memperlihatkan sikap bertanggungjawab pengarang yang bukan melepaskan persoalan begitu sahaja, tetapi menyelesaikannya dengan memperlihatkan kepuasan dari sudut kerohanian. Sesuatu yang jarang dan amat susah untuk dirasakan, tetapi diterapkan melalui kegembiraan yang dirasai oleh orang muda seperti Taslim. Bagi kita orang muda jarang dapat merasai begitu, tambah pula dengan lonjakan nafsu mudanya, namun pengarang telah mula menonjolkannya seakan-akan mahu supaya orang muda merasai sama nikmat keseronokan hasil dari pemikiran kebajikan.
Pada penulis, walaupun nampak semacam menjurus kepada kehidupan mudah, simple, namun itulah yang mahu dipaparkan dan hasrat sebenar pengarang agar masyarakatnya yang serba bobrok dapat menilai semula sesuatu yang selama ini ditinggal dan dilupakan, iaitu dari segi kemanusiaan, maksud sebenarnya manusia dijadikan. Bukan untuk mementingkan diri sendiri, tetapi juga melihat persekitaran dari pelbagai sudut yang sering dilupakan.
Tiba-tiba penulis teringat kepada sebuah kisah orang tua-tua yang pernah diceritakan kepada penulis. Seorang putera raja yang mahu mendidik putera mahkotanya supaya menjadi pemimpin yang bijaksana. Untuk itu raja telah memerintahkan putera mahkotanya berada di dalam hutan selama seminggu. Keseorangan, tanpa ditemani oleh sesiapa. Setelah seminggu puteranya pulang sang raja bertanya kepada putera apa pengalaman yang dirasainya. Putera menjawab: “Tidak ada apa yang anakanda rasai, melainkan bising bunyi unggas, nyamuk dan lain-lain binatang hutan”.
Mendengar jawapan tersebut, raja itu menyedari bahawa puteranya belum lagi mengalami apa-apa transformasi hasil dari `kursus’ yang dihantarnya selama seminggu itu. Lantas baginda memerintahkan puteranya ke hutan sekali lagi. Kali ini tempohnya lebih panjang. Selepas tempoh tersebut berakhir, dan puteranya kembali dari hutan, sang raja bertanya lagi soalan yang sama kepada puteranya:
“Apa yang anakanda perolehi sepanjang berada di sana?”.
Puteranya menjawab:
“Anakanda sudah mula mendengar pelbagai macam yang tidak pernah didengari sebelum ini. Anakanda mula mendengar bisikan air, unggas-unggas yang berada di dalam hutan, seakan-akan membisikkan sesuatu kepada anakanda, nasib mereka yang perlu diambil perhatian, tentang tempat tinggalnya, nasib masa depannya dan generasi akan datang yang sudah mula terancam. Seakan-akan mereka menyerahkan nasibnya kepada anakanda, kedudukan mereka yang bakal pupus akibat kerakusan tangan-tangan manusia angkuh. kerana mereka tidak ada wakil dalam kerajaan kita, mereka merayu minta diselamatkan”.
Sang Raja menjawab:
“Syabas anakanda!, tahniah! Anakanda telah lulus ujian yang ayahanda adakan, dan dengan itu anakanda layak menggantikan takhta kerajaan ini selepas ayahanda tiada. Namun berhati-hatilah kerana jawatan yang anakanda sandang ini adalah idaman ramai orang dan ianya bakal mendatangkan penyesalan”.
Itu kisah orang dahulu, tidak ada tempat untuk dimasukkan anaknya ke Institut kepimpinan seperti masa kini. Itulah yang termampu di zaman itu. Sekarang kita ada INTAN, ada IPGM dan sebagainya. Banyak yang `menjadi’, namun ada juga yang sebaliknya.
Pak Yasin dalam novel ‘Tuan Direktur’ pun bukanlah graduan dari mana-mana institusi, sekadar orang biasa, tetapi jenis yang berfikir dan kehidupan yang sederhana menjadi amalannya, selebihnya serah pada Allah. Benarlah seperti yang diisyaratkan oleh Baginda s.a.w. “Sebaik-baik perkara adalah pertengahan”.
Pertengahan adalah lambang kesederhanaan antara dua yang melampaui, iaitu terlalu bawah dan terlalu atas. Walau bagaimanapun perlu diperhatikan secara lebih teliti maksud pertengahan (ausat/wasatiyyah), supaya dapat difahami dari sudut yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya. Bukan berdasarkan fahaman yang dikehendaki oleh manusia.
Demikianlah selingkar kisah dan sekilas pandang untuk renungan bersama. Sekadar berkongsi apa yang ada dan apa yang dapat dibaca dalam perjalanan sambil mengikuti kursus.
Wednesday, October 14, 2009
Anihnya Tuan Direktur!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment