9
Ogos 1978 merupakan tarikh keramat bagi aku dengan rakan-rakan seangkatan, seijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bersama-sama kami juga sekumpulan pelajar lepasan Rabi` Thanawi dari Semenanjung.
Kenapa?, kerana kami mula memasuki alam kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran, bakal gurulah tu!. Sebahagian besarnya dihantar ke Sarawak, termasuk aku bersama dengan Wan Aziz Wan Ngah dan Ustaz Husin Awang. Mula belajar naik kapal terbang. Naik belon kata orang Sarawak.
Tanggal 10 dan 11 Ogos 1978, kami ditempatkan di Asrama Majlis Agama Islam Kuching untuk menerima taklimat mengenai penempatan. Kebetulan juga masa tu bertepatan dengan Ramadhan al Mubarak. Bulan puasalah tu!.
12 haribulan Ogos 1978, merupakan hari ketiga kami berada di Kuching dan masing-masing akan menerima berita di mana akan ditempatkan. Sebelum itu dalam taklimat oleh Encik Abdul Rahman Kasbon, Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak yang telah pun menyatakan tempat yang dekat dan jauh. Antara yang agak jauh ialah Bario, di atas gunung, makannya beras padi huma sepanjang tahun.
Ustaz Ghazali Taib, Pegawai Pendidikan Islam Sarawak merupakan orang yang ditugaskan untuk menentukan penempatan kami. Nama disebut satu persatu untuk mempastikan tidak ada yang tercicir. Anehnya bila namaku disebut, tiba-tiba ustaz Ghazali bertanya:
“Ismail, enta nak kat mana?”.
“Bario”
Jawabku spontan, tanpa memikirkan sebarang risiko mengenainya. Saja buat celupar mulut, mungkin ustaz Ghazali pun bertanya kerana melihat keadaan aku yang agak kelakar. Tapi lepas tu aku berpeluh sendiri, manalah tahu kot-kot tempat jin bertendang, baru padan muka. Ustaz Ghazali hanya tersengih, tanpa memberi sebarang reaksi sambil meneruskan kerja mengatur penempatanya.
Selepas itu masing-masing dipanggil sekali lagi untuk menerima sampul surat yang di dalamnya mengandungi jawapan sebenar mengenai posting. Seperti rakan-rakan aku menerima sampul surat dalam suasana serba mendebarkan. Bila dibuka sampul surat rupa-rupanya aku ditempatkan di Sekolah Menengah Kerajaan Limbang, Bahagian Kelima Sarawak. Sekali lagi berpeluh, tak tahu macam mana rupa Limbang dan bagaimana orangnya.
Dewan Besar Majlis Agama Islam serba riuh dengan suara bakal guru, pelbagai ragam, ada yang bertanya bagaimana tempatnya, ada yang memberi penerangan itu ini dan sebagainya. Para pegawai dan Guru Besar sekolah berdekatan yang turut berada dalam dewan sibuk bertanya dan memberi penerangan apa yang perlu.
Seorang guru besar mendekati aku dan bertanya di mana tempat posting. Aku memberitahu Limbang.
“Oh, Limbang no problem, dekat dengan Brunei, nak balik tak payah ke Kuching, boleh ikut Brunei, Singapore dan terus ke KL”
Katanya memberi penerangan, alhamdulillah, terasa sedikit lega di hati, jalan nak balik ke Semenanjung dah mula nampak. Taklah susah sangat. Maklumlah budak kampung, itu ini serba tak reti. Paling tidak masa cuti penggal (masa tu belum semester lagi) dah nampak cara nak balik, itu saja. Macam mana nak bertugas belum tahu lagi.
Selesai penempatan besoknya kami dibekalkan dengan tiket kapal terbang ke destinasi masing-masing. Mulalah menggelabah dan menguji kewibawaan, nampaklah sudah saat-saat perpisahan dengan kawan-kawan sekapal. Ustaz Husin Awang ke Sebuyau dan Wan Aziz di Miri. Bersama-sama kami juga masing-masing ada seorang guru lepasan Rabi` thanawi dan diharapkan graduate menjadi pemandu.
Aku, Wan Aziz dan dua orang guru sandaran Rabi` thanawi, seorangnya bersma Wan Aziz di Miri dan seorang lagi kena ikut aku ke Limbang. Ini yang jadi masalahnya. Namanya Noriah. Penerbangan dari Kuching ke Miri berjalan lancar, kerana kami masih berempat. Wan Aziz masih ada. Untuk ke Limbang masa tu kena turun di Miri dan tukar kapal terbang di sana.
Kami sampai lebih kurang pukul 12.00 tengahari di Miri. Penerbangan ke Limbang pukul 4.00 petang. Jarak waktu yang agak lama membolehkan kami mengikuti Landcruiser PPD Miri menghantar Wan Aziz dan ustazah sandaran itu ke sana sambil melihat-lihat bandar Miri. Terasa juga sayu hatiku ketika berpisah dengan Wan Aziz semasa beliau sampai di Sekolah Menengah Kerajaan Lotong Miri. Maklumlah sama-sama belajar di UKM, lepas tu sekapal pula ke Sarawak. Sanak saudara tak ada. Kawan-kawanlah ganti saudara. Hampir titik air mataku ketika Landcruiser meninggalkan quaters SMK Lotong tu. Namun di sebelahku ada Noriah, yang akan bersamaku ke Limbang, aku tahanlah, nak tunjuk hebat konon.
Selepas meninjau Bandar Miri, kami dibawa semula ke Lapangan Terbang. Sebenarnya Lapangan Terbang Miri ketika itu terlalu tradisi sifatnya. Sekadar sebuah bangunan, kerusi tempat menunggu pula memang jenis lama. Macam bangku tempat kita duduk nak makan cendor. Boleh duduk empat lima orang, memanjang. Aku dan Noriah sahaja dari Semenanjung, yang lain semua Sarawak.
Aku pula bukan biasa bercakap dengan perempuan, tahulah, jenis tak pandai mengurat. Masa belajar dulu tu belajar sajalah, bukan reti nak kacau perempuan. Perempuan yang pernah aku kenali secara rapat ialah ibu, adik dan kakak aku. Lainnya sekadar kenal biasa saja. Sekarang Noriah dah tak lari jauh dari aku. Kerana di situ aku dan dia saja dari Semenanjung. Orang lain semuanya kami tak kenal. Noriah pun baru aku nak kenal secara terpaksa di situ.
Seperti biasa, bila nak naik kapal terbang, kenalah semak tiket dekat kaunter dulu. Kami ke kaunter. Bila diberi tiket, kerani memberitahu kami satu tiket confirm dan satu lagi request (RQ). Apa binatangnya request ni. Aku ni darat Padang Air, bukan biasa naik kapal terbang. Lantas aku memberanikan diri untuk bertanya.
“Request bererti tempat duduk encik tidak pasti lagi dapat atau tidak. Kalau blocked seat tidak digunakan encik berdua boleh pergi, tetapi kalau blocked seat digunakan salah seorang mesti tinggal kat sini dan tunggu penerbangan seterusnya”
Demikian diterangkan oleh kerani tersebut. blocked seat biasanya disediakan untuk VIP seandainya ada program penting. Untuk maklumat, kapal terbang ke Limbang hanya jenis Focker Friendship, seatnya cuma untuk lapan orang sahaja.Kalau ada rezeki, duduk sebelah pilot. "Rasa macam pilot dah, engkau!".
Apa nak kata, aku bukannya orang situ. Noriah pun bukannya orang situ. Kami sama-sama Semenanjung, baru datang kat sini. Seandainya blocked seat digunakan, salah seorang mesti tinggal. Soalnya siapa nak pergi dan siapa nak tinggal?. Noriah perempuan, aku lelaki. Kalau Noriah tinggal, kat mana dia nak bermalam?, dia perempuan. Kalau aku tinggal pun kat mana aku nak bermalam? Tapi bolehlah sikit kerana aku lelaki. Noriah boleh terus pergi dengan penerbangan ini kerana di airport Limbang pasti ada kakitangan JPN yang akan menunggu di sana. Itu keputusan yang ku perolehi dalam monologku. Mahu tak mahu aku terpaksa berdepan dan mengajak Noriah menghadapi kemungkinan yang akan berlaku.
Perlahan-lahan aku menghampiri Noriah, duduk di atas bangku panjang sebelahnya dan memberitahu:
“Ustazah! Seat dalam kapal terbang cuma ada satu, kalau blocked seat tidak digunakan kita boleh pergi sama-sama. Tapi kalau blocked seat digunakan salah seorang dari kita mesti tinggal di sini. Jadi untuk itu, ustazah pergilah dulu, tak apa kat sana dah ada orang tunggu. Saya tak kisah, saya lelaki boleh lepak kat mana-mana”.
Jelasku lembut dan berhati-hati, maklumlah pertama kali bercakap dengan perempuan secara berseorangan. Mestilah hati-hati takut tersalah cakap. Dalam hati, gementar jugak, nak lepak kat mana. Aku bukan tahu jenis Miri macam mana?. Tapi sekadar memberanikan diri.
Tiba-tiba aku melihat air mata Noriah mengalir dengan derasnya. Membasahi pipi. Sambil mengeleng-ngelengkan kepalanya dia berkata secara berulang:
“Tak mahu!, tak mahu!, saya tak mahu pergi sendirian, hu, huuuuuu”.
Aku terkejut. Tak tahu apa jenis terkejutnya. Noriah terus menangis sambil memalingkan mukanya ke kiri sambil meneruskan tangisnya. Apa nak buat. Secara tiba-tiba timbul kekesalan yang amat sangat dalam hatiku. Apakah aku terkasar atau tersilap cakap. Tapi yang dapat aku rasakan ialah jiwa lembutnya yang sama juga dengan aku, baru berpisah dengan keluarga di kampung. Tiba-tiba adalah seorang yang boleh diharapkan menjadi tempat bergantung, bercakap macam tu pulak, suruh pergi sendiri. Tak reti ke perasaan yang aku ini perempuan, perlukan perlindungan. Itulah hakikat yang aku fikirkan sekarang. Kenyataannya Noriah sudahku sakiti hatinya. Apa sudah jadi aku ni? Kejam ke?.
Macam mana nak buat?. Kalau lelaki tak kisah sangat. Ini perempuan. Aku pulak bukan jenis pandai pujuk perempuan.
Akhirnya, dalam suasana terdesak, aku teringat kisah-kisah percintaan dalam novel-novel yang pernah aku baca. Memang aku suka baca novel. Bagaimana aksi lelaki memujuk perempuan. Sekadar ingat pangalaman baca novellah, bukannya sungguh. Entah bercampur antara naluri kesianku atau rasa bersalah aku tidak pasti. Tapi yang jelas aku sudah bangun dan kekiri menghadap muka Noriah yang menangis. Air matanya masih deras mengalir membasahi pipi.
“Tak apalah ustazah! Jangan susah hati, insya` Allah ada sit kosong tu tak apalah kita dapat pergi sama-sama”.
Pujukku untuk meredakan tangisannya. Tapi Noriah membisu, tangan ditekup kemukanya, sambil memalingkan ke arah kanan. Aku rasa makin bersalah, dan pergi ke sebelah kanan dengan mengulangi ayat yang sama. Itu saja yang mampu ku katakan. Dia menoleh ke kiri. Aku pulak pergi ke kiri, dia menoleh ke kanan aku ke kanan, begitulah kanan dan kiri, tangisan makin menjadi-jadi. Aku tidak tahu berapa kali ke kiri dan ke kanan memujuk Noriah. Tapi seingat aku lebih lima kali. Macam hero hindustan pujuk kekasihnya. Tapi dia tetap nehi!, nehi!. Aku kira kalau ada pengarah filem, sudah tentu cukup adegan itu memenuhi satu babak memujuk wanita. Memang `real punya’. Yang lucunya air mata Noriah kering bukan kerana pujukanku, tetapi akibat berpaling kekiri ke kanan. Bayangkanlah.
Sepuluh minit sebelum penerbangan, penumpang dipanggil ke bilik menunggu. Alhamdulillah, block site tidak digunakan. Kami dapat pergi bersama-sama. Noriah nampak riang, tapi masih lagi tak bercakap dengan aku. Aku buat tak retilah. Aku pun bukan jenis kacau orang. Ustazlah katakan!. Semasa berbaris untuk menaiki kapal terbang, aku lihat dia berdiri di sebelahku. Kesan air mata masih jelas pada kelopak matanya. Tapi mukanya sedikit ceria.
Polis yang mengawal kaunter laluan masuk memeriksa setiap beg yang dibawa. Aku juga tidak terkecuali. Apa yang mengejutkan ialah tiba-tiba dia mengeluarkan sebilah gunting dari begku. Aku ditahan, kerana dianggap membawa senjata yang merbahaya. Penumpang lain disuruh masuk, Noriah pun begitu. Aku melihat riak-riak tangisan di wajahnya seakan-akan menerpa kembali. Tapi dia kena pergi. Jelingan kebimbangannya ketara sekali. "Aduhai, kesiannya!. Tapi apa nak kata".
Memang aku kena tahan. Lebih kurang lima minit aku terpaksa menerangkan kepada polis tersebut kenapa aku membawa gunting yang bukan bertujuan negatif. Aku hairan, masa kat KL, Kuching aku tak pun kena tahan, tiba-tiba kat sini pulak yang kena. Akhirnya setelah berjaya meyakinkan polis aku dibenarkan masuk ke bilik menanti. Benar tekaanku, aku lihat Noriah menunggu dengan tangisan untuk kali keduanya. Berendam lagi air matanya. Tapi sedikit senyum. Senyum dalam tangis. Aku buat hal akulah. Tak pujuk dah untuk kali kedua!. Pedulikan!.
“Menangislah segantang air mata pun lepas ni tak kuasa aku nak mmujuk lagi”.
Getus hatiku. Ego lelakiku mula mengomel sendirian. Bukan apa, fasal dah confirm dapat pergi bersama-sama. Ertinya insya` Allah selamatlah anak dara orang yang sorang ni sampai ke tempatnya. Taklah nanti orang persalahkan aku. Lagi pula pihak JPN Kuching berpesan supaya kami yang graduate menjaga keselamatan Rabi` Thanawi. Rasalah tanggungjawab tu.
Masa penerbangan tiba. Semua penumpang dipersilakan naik ke pesawat. Lapan orang semuanya termasuk seorang pilot. Masih lagi ku ingat salah seorang penumpang suku Kelabit, berseluar pendek, memakai selipar Jepun dan menggalas beg ajat (beg yang dianyam daripada batang bemban), telinganya yang lanjut bergantungan alat perhiasan. Pertama kali melihat orang ini darahku berdarau. Perasangkaku tiba-tiba memuncak tinggi.
“Ini agaknya jenis manusia yang makan orang”.
Aku mula mengesyaki hal yang bukan-bukan. Aku tidak tahu apa yang difikirkan oleh Noriah. Masa setengah jam penerbangan dari Miri ke Limbang penuh dengan kebimbangan. Dalam pesawat dengan orang yang aku bimbang. Di bawah sana hutan yang begitu tebal. Tertanya-tanya aku bagaimana halnya sekolah bakal aku ditempatkan. Hutan mana? Bukit mana?, gunung mana?. Sungguh tak menentu.
Tiba di Lapangan Terbang Limbang, sebuah Landcruiser PPD Limbang sedia menunggu kami. Aku dihantar ke kuaters SMK Limbang, disambut oleh Cikgu Kamal Saidin, (orang negeri Sembilan, pangilan Atuk) dan Cikgu Rosman Bejo (orang Johor). Noriah dibawa tinggal bersama dengan Ustazah Halimah (orang Terengganu) di salah sebuah sekolah rendah di pekan Limbang.
Semasa turun dari Landcruiser, aku lihat orang Kelabit tadi tiba di kuaters yang sama. Sekali lagi darah pengecutku tersirap. Bermonolog lagi diriku.
“Memang sah malam ni aku tinggal tulang dah, ayah dan ibuku bakal menerima berita malang bagi anaknya yang sorang ni!”.
Cikgu Kamal dan Rosman menunjukkan kepadaku bilik untuk aku tinggal. Kami terpaksa berkongsi satu pintu dengan seorang cikgu Pudun Tadam (orang Murut), di pintu sebelah, tetapi makan bersama-sama dengan Kamal dan Rosman. Tak kisahlah. Satu pintu kuaters ada tiga bilik. Aku ditempatkan di bilik paling kecil. Ada sebuah katil. Apa pun bagiku sudah cukup. Tak kisah sangat. Maklumlah mula-mula kerja. Ikut oranglah nak letak kat mana. Asal dapat solat, buat kerja cukuplah.
Petangnya Atuk dan Rosman membawaku ke pekan Limbang berkenalan dengan guru-guru Semenanjung yang bertugas di sekitar Pekan Limbang. Ada lebih kurang sepuluh orang semuanya. Kami berbual mesra dan berjumpa semula dengan Noriah. Riak-riak duka sudah tidak ada lagi pada wajahnya. Alhamdulillah, selesai tugas aku.
Malamnya bermulalah babak pertama untuk kehidupanku di Limbang. Sendirian di dalam bilik. Mulalah menjelma kembali ingatan yang bukan-bukan. Orang makan orang. Anggota kemaluan dipindahkan ke dahi, dinding dan sebagainya. Tidurku untuk malam pertama tidaklah begitu lena. Mungkin tempat baru. Pagi besoknya bila terkejut dari tidur, mataku meliar melihat ke arah dinding yang ada dalam bilikku. Maklumlah sebelum ke Sarawak aku dimomokkan dengan seribu satu macam cerita ilmu hitam (black magic), pindahkan alat jantina ke sana-sini. Jadi mataku meliar melihat dinding. Ok! Confirm tak ada yang tergantung. Aku raba pula kat dahi, tak ada apa. Aku rasa lega, kerana aku masih diriku. Tidak ada sebarang perubahan.
Tiga tahun aku mengajar di Limbang, tahun keempat aku ditukarkan ke Maktab Perguruan Batu Lintang Kuching. 1985 aku bertukar ke Maktab Perguruan Ipoh Perak, Hulu Kinta. Selamat tinggal Sarawak, Bumi Kenyalang. Bumi yang banyak mengajarku mengenali diriku dan kerjayaku. Benarlah kata-kata Sayyidina Ali Karramallahu wajhah:
“Manusia adalah musuh kepada apa yang ia tidak tahu”.
Kejahilkanku mengenai Sarawak menjadikan aras perasangkaku amat tinggi. Padahal tujuh tahun aku di Sarawak, tidak ada apa yang negatif berlaku atas diriku. Mereka adalah orang yang baik-baik, macam Semenanjung juga. Apalah jahilnya diriku hinggakan bila jumpa orang yang agak lain dari diriku, aku mula menyangka yang bukan-bukan. Orang Kelabit yang satu penerbangan denganku sebenarnya nak jumpa dengan anaknya di SMK Limbang, yang aku pula mengada-ngada berfikiran yang bukan-bukan tu apa ceritanya. Itulah diriku.
Noriah dah balik ke Perak. Sekali-sekala bila aku jumpa dia dan suaminya yang aku panggil Abang Mat, aku bertanya:
“Abang Mat, Noriah nangis lagi tak?”.
“Ustaz ni tak dak kerja lain, asyik nak ngusik orang saja!”.
Jawab Noriah spontan, abang Mat hanya tersenyum, manis senyumnya sesuailah dia dengan Noriah tu. Orangnya tak banyak cakap. Warak dan tawadhu’.
Hingga kini bila aku kenangkan semua aku masih mampu menyebut. "Maafkan segala yang tidak baik terhadap diriku, duhai Sarawak". Memang bila kita tidak tahu kita mula membuat persepsi pelbagai. Tunggul kayu pun disangka hantu. Demikianlah dengan lagu Sayang Sarawak Sungainya Sempit, siapa penciptanya?. Pernah tak dia pergi ke Sarawak?.
Saturday, October 24, 2009
Maafkan Daku, Duhai Sarawak!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
boleh buat novel tu ustaz.....
ReplyDeletehehehee
ahsanta ya uztaz..
ReplyDeleteteruskan menulis..he3
MasyaAllah..besarnya cabaran..
ReplyDelete