D
alam ruangan ini penulis ada dua peristiwa yang boleh dikongsi bersama.
Peristiwa Pertama:
Lokasi : Di Kampung Maras
Waktu : Tengahari, ketika pulang dari menyelia praktikum.
Seekor ibu ayam dengan lima atau enam ekor anak, melintas jalan. Penulis menumpang kereta Dr. Shahbudin Ngah, Mantan Timbalan Pengetua Maktab Perguruan Kuala Terengganu. Melihat gelagat ibu ayam berserta anak-anaknya yang mahu melintas jalan, penulis meminta Dr. Shahbudin perlahankan kereta.
Menariknya:
Ibu ayam melintas dahulu dan berhenti di tengah-tengah jalan, sambil mempastikan anak-anaknya melintas satu persatu sehingga selesai. Setelah semuanya melintas, sang ibu ayam tadi tidak terus berjalan, tetapi terlebih dahulu membuang sesuatu seperti kelazimannya sebagai penanda arasnya di tengah jalan...memang perangai ayam pun!. Pemimpin ayam.
Peristiwa Kedua
Lokasi: Lebuhraya Kuantan Karak, di sekitar Gambang.
Waktu : Lebih kurang jam empat petang.
Sekumpulan monyet yang melebihi dua puluh ekor, juga mahu melintas jalan. Penulis dalam perjalanan balik ke Kuala Terengganu dari Seremban. Isteri penulis yang terlebih dahulu melihat situasi tersebut meminta supaya penulis perlahankan kelajuan. Sambil menyalakan lampu isyarat kecemasan, kami sekeluarga memerhati gelagat monyet tersebut mahu melintas jalan.
Menariknya:
Sama seperti ayam tadi, seekor monyet yang agak berwibawa sebagai pemimpin, komander, mendahului kumpulan, melintas terlebih dahulu sambil berhenti di tengah-tengah lebuhraya dengan mendepakan kedua-dua belah tangan dan membiarkan anak buahnya melintas satu persatu. Pada pengamatan penulis Sang Komander tadi paling lekeh DG48, memandangkan kemampuannya memimpin satu pakej Pendididkan Kerimbaan dengan pro forma terkini. Mereka melintas dengan selamat. Di belakang, penulis dapati banyak kereta berderet berhenti memberi laluan, sambil menikmati situasi yang dihidangkan oleh Yang Maha Esa..
Anihnya!:
Penulis kadang kala terfikir, apalah sangat tenaga yang ada pada seekor ibu ayam jika dibandingkan kehebatan sebuah kenderaan Mercedes Benz. Begitu juga seekor monyet, jika dibandingkan dengan sebuah Storm dan lain-lain kenderaan. Sekali rempuh barangkali akan berkecai. Sedar atau tidak sang ibu ayam dan sang monyet bahawa tenaga kedua-duanya tidak sekuat mana!, tidaklah penulis ketahui. Tetapi soalannya: Inikah pemimpin?.
Demi keselamatan, keduanya sanggup menanggung apa sahaja risiko asalkan anak buahnya selamat. Benarkah kata orang, pemimpin yang baik sentiasa memikirkan keselamatan anak buahnya, walaupun tidak pernah dipingat dan dicemerlangkan. Tetapi ada orang mengatakan itu pemimpin yang bodoh, menyusahkan diri untuk orang lain, apa untungnya.
Inilah yang dikatakan tersurat dan tersirat. Ikut kertas kadangkala wujud, kadangkala tidak. Tetapi kertas tidak tahu peribahasa, umpama, semile, metafora dan kertas tidak tahu makan minum, tidak tahu erti dahaga, lapar, kesian dan merintih sedih. Yang tahu ialah kita manusia. Boleh merasa dan tahu merana. Kertas tidak tahu erti pengorbanan. Yang dia tahu terima untuk ditulis, dicetak dan dikoyakkan. Kertas tidak tahu erti bahasa dan dibahasakan.
Ikut kertas kita boleh letakkan satu garisan lurus dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur. Tetapi hakikatnya tidak begitu. Kalau berjalan pasti ada bengkang bengkoknya. Inilah pertimbangan bersama dengan kenyataan. Bila berada di alam kenyataan kadangkala kertas dan kemanusiaan perlu berada pada satu meja. Ikut kertas tidak mungkin ibu ayam dan monyet boleh berhenti di tengah jalan dan memberi laluan kepada anak buahnya melintas. Tetapi pada dua peristiwa di atas memang begitu. Inikah pemimpin?.
Kadangkala dalam satu-satu kelompok akan wujud percanggahan dan perselisihan. Kepimpinan yang baik mampu menyelesaikan, samada secara langsung atau sebaliknya. Kekecuhan semacam ombak di lautan, tanpa ombak lautan tidak seindah dan sesempurna yang disangka. Para penyair pasti sukar mengungkapkan bagaikan ombak dengan pantai, cuma teknikalnya, kadangkala boleh bertukar menjadi badai, ribut (storm!) dan taufan, tetapi segera akan reda bila selesai suatu tugasan. Susah jugak jadi pemimpin!.
Di satu sudut lain, penulis sangat tertarik dengan kata-kata Almarhum Bapak Mohammad Nasir, mantan Perdana Menteri Indonesia:
'Pemimpin yang hebat tidak lahir dalam suatu suasana yang selesa, tetapi ia akan lahir dalam suatu suasana yang penuh kemelut. Seorang pemimpin untuk berkhidmat bukan dikhidmati'.
Tenang dan lebarnya hati seorang pemimpin amat dirindui oleh semua yang dipimpin. Memanglah! Laut mana yang tidak bergelora dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Kalau pun awak-awak mabuk laut, tidaklah melarat sampai ke darat, kalau melarat sampai ke darat tidaklah berminggu-minggu memendam. Kalaulah terkena hujan tidaklah lama demamnya. Kalaulah lama tidaklah sampai meracau-racau. Melihat muka juragan yang tenang dan hati yang lebar, pasti terubat mabuk laut dan demam. Mudah-mudahan tidak berpanjangan. Inilah pemimpin!.
Bukan nak mengata, sekadar berkongsi bicara dan berbahasa. Ada masanya kita boleh berbicara dan berkongsi cerita. Rasanya tidak salah, apatah lagi dalam memperkemaskan lagi unsur tarbiyyah nafsiyyah. Suatu warisan yang lama ditinggalkan dan menjadi kewajipan kita untuk membangunnya kembali.
Wednesday, October 14, 2009
Inikah Pemimpin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment