Friday, October 16, 2009

Sejarah Perlantikan Khalifah

A

l-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Sahih Bukhari daripada Umar al-Khattab (r.a.) satu hadis yang panjang antaranya:


“.. Sesungguhnya di antara pengalaman kami ialah ketika Allah mewafatkan Nabi-Nya (s.a.w.), kaum al-Ansor tidak bersama kami sebaliknya mereka berhimpun di Saqifah Bani Saadah. Ali dan az-Zubir dan beberapa orang lain juga tidak bersama-sama dengan kami. Kaum Muhajirin berkumpul di sisi Abu Bakar (r.a.). Aku berkata kepada Abu Bakar: “Marilah bersama kami, kita pergi menemui saudara kita daripada golongan al-Ansor.” Kami pun pergi menemui mereka. Apabila kami hampir kepada mereka, kami bertemu dengan dua orang lelaki soleh. Mereka berdua menceritakan apa yang berlaku dan bertanya: “Ke manakah tujuan kamu wahai sekelian Muhajirin?” Kami menjawab: “Kami ingin bertemu saudara-saudara kami, golongan al-Ansor.” Mereka berdua berkata: “Tak perlulah kamu pergi kepada mereka sebaliknya selesaikanlah tugas kamu.” Aku berkata: “Demi Allah kami akan menemui mereka.”
Lalu kami pergi ke sana. Setibanya kami di Saqifah Bani Sa’edah kami dapati seorang lelaki yang berselimut berada di tengah-tengah orang rama. Aku bertanya: “Siapakah ini?” Mereka menjawab: “Saad bin Ubadah.” Aku bertanya: “Kenapa dengannya?” Mereka menjawab: “Beliau (r.a.) sakit.”
Sejurus selepas kami duduk seketika, khatib mereka bangun lalu bertasyahhud dan memuji Allah. Dia berkata: “Kami adalah katibah Islam dan kamu (Muhajirin) adalah kelompok kecil yang menyusup meninggalkan kaum kamu. Tiba-tiba kamu ingin mengalahkan kami dan menguasai kami.” Apabila dia diam, aku ingin bercakap. Aku lebih mengetahui daripadanya beberapa batasan. Apabila aku ingin bercakap Abu bakar berkata: “Biarkan aku yang bercakap. Aku tidak ingin menimbulkan kemarahannya.” Lalu beliau berucap. Sesungguhnya dia lebih lembut dan lebih tenang daripadaku. Demi Allah, tidak ada satu pun perkataan yang ingin aku katakan melainkan dia mengucapkannya dengan tenang. Ia mengucapkan sama seperti apa yang aku ingin ucapkan atau lebih baik daripada yang inginku katakan. Kemudian dia diam. Kata beliau: “Apa yang kamu ucapkan mengenai kebaikan, maka kamulah ahlinya. Sesungguhnya tidak diketahui seseorang yang lebih berhak untuk jawatan ini (khalifah) melainkan kaum Quraisy. Mereka adalah kabilah Arab yang pertengahan dari segi keturunan dan tempat. Sesungguhnya aku redha untuk kamu salah seorang daripada mereka berdua maka berbai`ahlah kamu kepada mereka sekiranya kamu suka.” Lalu beliau memegang tanganku dan tangan Abu Ubaidah Amir bin al-Jarrah yang duduk bersama kami. Aku tidak membenci apa yang dikatakannya, cuma padaku sekiranya aku dibunuh supaya tidak memikul bebanan ini, ianya lebih aku sukai daripada aku menjadi Amir sedangkan bersamaku Abu Bakar as-Siddiq.
Bangun seorang Ansor dan berkata: “Akulah kayu tangga untuk menunggang unta dan kayu sangga kepada tamar yang merindang. Daripada kami seorang Amir dan daripada kamu seorang Amir wahai sekelian Quraisy.” Lalu berlakulah kekalutan dan kebisingan sehingga membawa perselisihan. Lalu aku berkata bentangkanlah tanganmu wahai Abu Bakar. Lalu beliau menghulurkan tangannya. Aku membai`ahnya dan diikuti oleh sekelian Muhajirin. Kemudian beliau dibai`ah oleh kaum al-Ansor….”[1]
Inilah bai’ah pertama kepada Abu Bakar (r.a.), iaitulah bai’ah golongan pembesar sahabat dari kalangan Quraisy dan golongan al-Ansor. Bai’ah ini kemudiannya diikuti oleh bai’ah umat Islam di masjid.
Bukhari meriwayatkan dalam Sahih Bukhari daripada Anas bin Malik (r.a.) bahawa beliau telah mendengar khutbah Umar (r.a.) apabila beliau naik ke mimbar iaitu selepas sehari kewafatan rasulullah (s.a.w.) lalu beliau mengucap syahadah, ketika itu Abu Bakar (r.a.) diam. Beliau berkata:
“Aku berharap Rasulullah (s.a.w.) masih hidup dan dapat menyusun urusan kita – dia mengharapkan dialah yang terakhir – Walau pun Muhammad (s.a.w.) sudah wafat tetapi bersama kamu ada cahaya yang boleh kamu jadikan pedoman sebagaimana yang ditunjuk oleh Rasulullah (s.a.w.). Sesungguhnya Abu Bakar (r.a.) merupakan sahabat Rasulullah (s.a.w.) yang disebut di dalam al-Quran sebagai `tsani itsnain iz huma fil ghar’. Sesungguhnya dia lebih utama untuk urusan kamu. Maka bangunlah kamu sekelian berbai’ah kepadanya.” Anas bin Malik (r.a.) berkata: “Sesungguhnya sebahagian mereka telah berbai’ah dengannya dan bai’ah umum di atas mimbar.”
Ibnu Kasir berkata: Ibnu Ishak berkata: “Kemudian Abu Bakar berucap. Beliau memuji Allah lalu berkata:
“Wahai Manusia, sesungguhnya aku telah di lantik memimpin kamu dan bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya aku berbuat baik, maka taatilah aku. Sekiranya aku berbuat keburukan, betulkanlah aku. Kebenaran itu amanah dan dusta itu khianat. Orang yang lemah di sisi kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku kembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak daripadanya jika Allah mengkehendaki. Tidak ada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad melainkan Allah akan menjatuhkan mereka dengan kehinaan. Tidak akan berlaku kemungkaran yang berleluasa di dalam sesuatu kaum melainkan Allah akan menurunkan bala’ kepada mereka seluruhnya. Taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan Rasul-Nya. Maka sekiranya aku memaksiati Allah dan Rasul-Nya, maka tidaklah perlu kamu mentaatiku. Bangunlah untuk menunaikan solat., semoga Allah mengasihi kamu.”[2]
Kesimpulan:
Daripada himpunan peristiwa ini dapatlah diambil beberapa pengajaran antaranya:
Menunjukkan bahwa Nabi (s.a.w.) tidak menaskan dengan nyata siapakah khalifah selepas baginda.
1- Bai’ah kepada Abu Bakar (r.a.) berlaku selepas selesai mesyuarat di antara sahabat-sahabat besar di kalangan Muhajirin dan al-Ansor. Ini menunjukkan bahawa yang membuat pemilihan ialah mereka yang dimuliakan di kalangan para ulama’ dan para pemimpin. Inilah yang dinamakan sebgai ‘ahli halli wal aqdi’.
2. Tidak disyaratkan ijma’ keseluruhan umat. Malah tidak mudharat sekiranya berlaku penentangan daripada sebahagian kecil sebagaimana yang berlaku terhadap Saad bin Ubadah (r.a.) yang tidak menyetujuinya.
3. Adalah suatu yang syar’ie berlakunya bai’ah di kalangan ahli halli wal aqdi dahulu sebelum bai’ah umat keduanya, sebagaimana yang berlaku kepada khalifah Abu Bakar (r.a.)
4. Tidak disyaratkan dalam pemilihan kehadiran semua ahli halli wal aqdi sebagaimana Ali bin Abi Thalib (r.a.) dan az-Zubair bin al-Awwam (r.a.) tidak hadir kerana menguruskan jenazah Nabi (s.a.w.) walaupun mereka berdua berbai’ah selepas itu.

1. Sejarah perlantikan Umar al-Khattab (r.a.)
Manakala perlantikan khalifah Umar al-Khattab thabit dengan cara yang berbeza iaitu melalui perlantikan oleh khalifah sebelumnya. Ibnu al-Jauzi berkata:
“Daripada al-Hasan bin Abi al-Hasan (r.a.) katanya: “Apabila Abu Bakar mulai sakit tenat, beliau menghimpunkan sahabatnya dan berkata: “Sesungguhnya telah sampai kepada aku apa yang kamu lihat dan aku menyangka ianya akan sampai (ajal). Allah telah melepaskan sumpah kamu daripada bai’ahku, dan telah terongkai simpulannya. Telah dikembalikan kepada kamu urusan kamu, maka kamu lantiklah sesiapa yang kamu suka. Sekiranya kamu melantiknya pada masa aku hidup, ini lebih baik supaya kamu tidak berselisih selepasku. Lalu mereka pun bangun meninggalkannya tetapi tiada keputusan bagi mereka. Mereka berkata: “Khabarkanlah kepada kami wahai khalifah Rasulullah (s.a.w.).” Katanya: “Kamu akan berselisih?” Mereka menjawab: “Tidak.” Beliau bertanya: “Maka kamu redha dengan pilihan Allah ke atas kamu ?” Mereka menjawab: “Ya.” Beliau berkata: “Berikan kepadaku waktu seketika untuk aku melihat siapa yang terbaik untuk Allah, untuk agama-Nya dan untuk hamba-Nya.” Lalu Abu Bakar (r.a.) bertanya Uthman bin Affan (r.a.): “Berikanlah pendapat kamu mengenai seorang lelaki. Demi Allah kamu pada sisiku adalah berkeahlian dan berkedudukan.” Lalu beliau (Uthman) berkata: “Umar.” Katanya: “Tulislah.” Lalu ditulis sehingga sampai kepada nama beliau, beliau pun pitam. Kemudian dia sedar dan berkata: “Tulislah Umar.”
Disebut juga bahawa: Abu Bakar as-Siddiq apabila hampir ajalnya telah memanggil Abdul Rahman bin Auf (r.a.) dan berkata: “Khabarkan kepadaku mengenai Umar bin Al-Khattab.” Lalu Abdul Rahman berkata: “Apa yang kamu tanyakan kepadaku ini, kamu lebih mengetahuinya daripadaku.” Maka Abu Bakar (r.a.) berkata: “..dan sekiranya…” Kata Abdul Rahman: “Dia demi Allah lebih baik daripada pendapat kamu padanya.” Kemudian Abu Bakar (r.a.) memanggil Uthman bin Affan (r.a.) dan berkata: “Ceritakan kepadaku mengenai Umar”, maka Uthman (r.a.) menjawab: “Kamu lebih berpengalaman daripadaku mengenainya.”
Abu Bakar telah bermesyuarat dengan Said bin Zaid, (r.a.) Abu al-A’war (r.a.), Usaid bin al-Hudhair (r.a.) dan lain-lain lagi daripada al-Muhajirin dan al-Ansor.
Sebahagian sahabat Nabi yang mendengar bahawa Abdul Rahman (r.a.)dan Uthman (r.a.) menemui Abu Bakar (r.a.) di tempatnya dan berkata salah seorang daripada mereka: “Apa yang akan engkau kata kepada Tuhanmu apabila engkau ditanya mengenai perlantikan Umar (r.a) selepas engkau, sedangkan engkau tahu sifat kasarnya?” Lalu Abu Bakar berkata: “Dudukkanlah aku. Apakah kamu takutkan aku dengan Allah? Celakalah sesiapa yang menambah dalam urusan kamu dengan kezaliman. Aku akan berkata kepada-Nya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah tinggalkan urusan mereka kepada sebaik-baik makhluk-Mu.” Kemudian dia baring dan memanggil Uthman bin Affan (r.a.) dan berkata: “Tulislah: Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih. Ini ialah perlantikan yang dilakukan oleh Abu Bakar bin Abi Qahafah pada akhir hayatnya di dunia dan di awal kehidupannya di akhirat; yang diambang memasukinya dimana hari ini dipercayai oleh yang kafir, di yakini oleh yang berdosa, dan dipercayai orang yang dahulunya tidak mempercayainya. Bahawa aku telah melantik ke atas kamu selepasku Umar al-Khattab. Maka dengarkanlah kata-katanya dan taatilah dia. Sesungguhnya aku tidak tinggalkan kepada Allah, Rasul-Nya, agama-Nya, diriku dan kepada kamu melainkan kebaikan, sekiranya diubah maka bagi setiap orang balasan dosa apa yang dilakukannya, aku tidak mengetahui perkara ghaib, dan orang-orang yang zalim akan mengetahui di manakah tempat kembali mereka, dan salam sejahteralah ke atas kamu.
Kemudian diperintahkan agar surat itu dicop.
Kemudian beliau memerintahkan Uthman (r.a.) keluar membawa kertas yang telah dicopkan tersebut bersama Umar bin Al-Khattab dan Usaid bin Said al-Khurdhi. Uthman (r.a.) berkata kepada orang ramai: “Apakah kamu akan berbai’ah kepada sesiapa yang tertera namanya di dalam kertas ini?” Mereka menjawab: “Ya.” Sebahagian daripada mereka berkata: “Kami telah tahu.” Ibnu Saad berkata kepada yang berkata tadi: “Dia ialah Umar.” Mereka mengiktirafnya, meredhainya dan berbai’ah kepadanya.
Kemudian Abu Bakar (r.a.) memanggil Umar (r.a.) secara sendirian lalu mewasiatkan sesuatu kepadanya. Abu Bakar (r.a.) kemudian keluar dan mengangkat tangannya seraya berkata: “Ya Allah, aku tidak kehendaki dengan apa yang aku lakukan ini melainkan kebaikan kepada mereka dan mengurangkan fitnah daripada mereka. Dengan itu aku lakukan terhadap mereka sebagaimana yang Engkau ketahuinya. Aku telah berusaha berfikir untuk mereka. Maka aku lantik ke atas mereka seorang yang terbaik dan yang terkuat di kalangan mereka serta seorang yang lebih memelihara terhadap apa yang aku tunjukkan kepada mereka. Sesungguhnya telah tiba kepadaku urusan engkau (ajalku) lalu aku gantikan kepada mereka (khalifah selepasku) . Mereka adalah hamba-Mu. Nyawa mereka di tangan-Mu. Berikanlah untuk mereka dan kepada mereka kebaikan. Jadikanlah dia di antara khulafa’ Engkau yang mendapat petunjuk yang mengikut petunjuk nabi ar-Rahmah dan petunjuk orang-orang soleh selepasnya dan perelokkanlah baginya rakyatnya.”[3]
Kesimpulan:
Daripada kisah ini bolehlah dibuat kesimpulan bahwa:
1. Harus melantik peribadi tertentu sebagai pengganti khalifah.
2. Bermesyuarat dengan ahli al-halli wal aqd sebelum berazam menentukan khalifah.
3. Menulis surat perlantikan kepada khalifah yang akan mengganti.
4. Perlantikan secara ‘al ahd’ tidak cukup sebagai perlantikan imam tetapi hendaklah mendapat bai’ah umat.

3. Pemilihan Uthman Al-Affan (r.a.)

Al-Bukhari meriwayatkan di dalam Sahih Bukhari daripada Amru bin Maimun yang menceritakan kisah Umar al-Khattab (r.a.) ditikam dan diusung ke rumahnya kemudian para sahabat masuk menemuinya. Mereka berkata: “Wasiatkanlah wahai Amirul Mukminin. Lantiklah pengganti.” Umar (r.a.) berkata: “Aku tidak dapati untuk urusan ini melainkan kumpulan ini yang Rasulullah (s.a.w.) wafat dengan meredai mereka;[4] lalu beliau telah menamakan mereka itu, iaitu; Ali, Uthman, az-Zubair, Talhah, Saad dan Abdul Rahman. Beliau berkata: “.Pemilihan akan disaksikan oleh Abdullah bin Umar dan perkara ini bukanlah haknya sedikit pun. Sekiranya kepimpinan ini diberikan kepada Saad, maka kepadanyalah. Jka tidak, maka sesiapa sahaja yang dilantik menjadi Amir mintalah bantuannya. Sesungguhnya aku tidak akan membuangnya kerana lemah atau khianat…” sehingga berkata rawi:
Apabila selesai pengkebumiannya, kumpulan tersebut mengadakan pertemuan. Lalu Abdul Rahman (r.a.) berkata kepada mereka : “ Serahkan urusan ini( Amir )kepada tiga orang daripada kamu.” Lalu Al-Zubair berkata aku serahkan urusanku kepada Ali[5]. Talhah berkata: “Aku serahkan urusanku kepada Uthman”, dan Saad berkata: “Aku serahkan urusanku kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.”

Abdul Rahman berkata: “Siapakah di kalangan kamu yang ingin berlepas diri daripada urusan ini, supaya kami dapat jadikan urusan ini kepadanya, demi Allah ke atasnya dan Islam yang dilihatnya dirinya lebih utama daripada mereka, Lalu kedua-dua mereka diam.

Abdul Rahman berkata: “Apakah kamu berdua serahkannya kepadaku demi Allah supaya aku tidak meninggalkan yang lebih baik antara kamu? Mereka berdua berkata: ya. Lalu beliau telah memegang tangan salah seorang daripada mereka dan berkata: Kamu mempunyai hubungan kerabat dengan rasulullah (s.a.w.) dan terlebih dahulu memeluk Islam, sekiranya aku melantikmu adakah engkau akan berlaku adil, dan sekiranya aku melantik Uthman adakah kamu akan dengar dan taat.

Kemudian dia bersama seorang lagi dan berkata seumpamanya, maka apabila tiba masa perlantikan, beliau berkata: “Hulurkan tanganmu wahai Uthman. Aku berbai’ah kepadamu.” Lalu beliau berbai’ah kepada Uthman dan Ali berbai’ah kepadanya. Seterusnya semua ahli rumah itu masuk dan berbai’ah kepadanya.[6]
Kesimpulan:
Perkara yang mungkin disimpulkan mengenai perlantikan Uthman bin Affan (r.a.) ialah bahawa:
1. Harus melantik beberapa orang yang tidak ditentukan siapakah peribadi yang dilantik secara khusus. Imam Ibnu Taimiah mengatakan bahawa:
“Sebab tidak ditentukan seseorang secara khusus daripada enam orang itu ialah supaya tidak berlaku perselisihan kerana beliau memandang keenam-enam mereka mempunyai kelebihan yang sama. Begitu juga sekiranya beliau memilih seseorang dan seseorang yang ditentukan itu tidak dapat menunaikan tugas dengan baik, maka Umar akan merasai dia bertanggungjawab maka sebab itu beliau tidak menentukan secara khusus siapakah yang hendak dilantik”
Kata Ibnu Battal sebagaimana yang ditulis oleh Ibnu Jarir di dalam kitabnya: “Cara ini[7] merupakan himpunan cara Rasulullah (s.a.w.) pada meninggalkan memilih peribadi tertentu dan menyerahkannya kepada muslimin dan cara Abu Bakar (r.a.) yang memilih peribadi tertentu lalu Umar telah mengikut amalan nabi dengan tidak mennetukan sesipa yang patut dipilih dan amalan Abu Bakar iaitulah menentukan khalifah kepada salah seorang daripada enam orang, maka ianya merupakan cara yang menghimpunkan antara pemilihan dan perlantikan.[8]

4. Perlantikan Ali (r.a.)
Selepas peristiwa syahidnya Uthman al-Affan (r.a.) berlaku perpecahan dalam saf muslimin dan berlaku perlisihan pertama di dalam masalah perlantikan khalifah. Perlantikan khalifah Ali (r.a.) menghadapi banyak kesukaran. Antaranya; peristiwa pembunuhan Uthman bin Affan, pembunuh menyertai saf Ali, umat Islam menuntut qisas daripada mereka, kengganan penduduk Syam keseluruhannya untuk berbai’ah dan beberapa sahabat besar seperti Tolhah, az-Zubair, Aisyah dan lain-lain keluar menentang Ali (r.a.)
Daripada Muhammad bin Al Hanafiah katanya: “Aku bersama Ali (r.a.) ketika Uthman (r.a.) sedang dikepung. Datang seorang lelaki dan berkata: “Sesungguhnya Amirul Mukminin telah terbunuh.” Kemudian datang seorang lagi dan berkata: “Sesungguhnya Amirul Mukminin telah terbunuh sekarang.” Katanya, lalu Ali pun bangun, lalu aku duduk dihadapannya kerana bimbangkannya, lalu katanya, ketepi, katanya lagi: Lalu Ali tiba dirumah Uthman sedangkan Uthman telah terbunuh lalu dia memasuki rumah dan menutup pintu, Lalu beberapa orang datng dan membuka pintu dan masuk kepadanya dan berkata: Dia telah terbunuh, rakyat memerlukan khalifah dan kami tidak dapati seseorangpun yang lebih layak selain kamu, lalu Ali berkata: Janganlah kamu menghendaki aku, aku sebegai menteri untuk kamu lebih baik daripada aku menjadi amir. Mereka berkata: Tidak demi Allah kami tidak mendapati seorangpun yang lebih berhak daripada kamu, katanya: Sekiranya kamu enggan menolakku juga maka bai’ahku tidak secara sulit tetapi aku akan keluar kemasjid maka siapa suka dia bai’ahkan aku, lalu beliau keluar ke masjid lalu rakyat berbai’ah kepadanya.[9]
(Sumbangan dari seseorang yang tidak mahu disebut namanya, semoga Allah memberkatinya)
________________________________________
[1] Ibn Hajar; Fath al-Bari.
[2] Ibn. Katsir, Al-Bidayah wa al-Nihayah.
[3] Ibn Saad; Tabaqat al-Kubra.
[4] Mereka ialah 6 orang daripada 10 orang yang telah diberikan berrita gembira kepada mereka sebagai ahli syurga selain Abu bakar, Abu Ubadah, Umar al-Khattab, dan Said bin Zaid. Said tidak disebut oleh Umar kerana beliau adalah sepupu Umar … Lihat: Ibn Hajar, Fathu al-Bari.
[5] Yakni aku melantik Ali.
[6] Al-Bukhari: Kitab Fadail al-Sahabah.
[7] Cara Umar melantik khalifah.
[8] Al-Tabari; Tarikh al-Tabari.
[9] Al-Khallal memetik dari Imam Ahmad; Al-Musnad.

No comments:

Post a Comment