Friday, October 16, 2009

Merajuklah Konon!

“P
ergi dari sini!, kalau macam ni perangai tak usah duduk kat sini! Pegi lari! Pergi duduk dalam hutan”

Jerit Nenek dan bapa saudaraku (Pak Su),

sambil memukul seluruh tubuhku dengan ranting kayu. Aku merasa sungguh terhina dengan kata-kata tersebut. Salahnya bukan aku seorang. Ianya berpunca dari adik sepupuku yang merebut daun kelapa untuk aku buat bola. Ketika aku nak buat bola, ditariknya daun kelapa. Aku dah cakap jangan buat macam tu, tetapi dia degil. Lantas panas baranku pun mula naik. Tapak kakiku melayang ke perutnya. Menyebabkan dia menangis. Demi mendengar tangisan cucu kesayangan, nenek dan bapa saudaraku terus meluru. Tanpa sebarang usul periksa membelasahku semahu-mahunya sambil mengeluarkan kata-kata yang sungguh menyedihkan.

“Pergi dari sini!, kalau macam ni perangai tak usah duduk kat sini! Pegi lari! Pergi duduk dalam hutan” Ulangnya lagi.

Paling teruja lagi ialah ketika itu aku sangat terpengaruh dengan bahan bacaan kelas dewasa yang bertajuk `Si Buruk’ yang dihina oleh orang kampung, akhirnya melarikan diri ke dalam hutan dan berkawan dengan binatang hutan. Si Buruk dihormati oleh binatang hutan dan menjadi semacam pemimpin bagi semua binatang hutan termasuk singa, harimau dan gajah. Suatu situasi yang sangat menyeronokkan aku. Memang sejak dulu lagi aku minat membaca. Semua buku ayah dan ibu belajar di kelas dewasa habis aku yang baca.

Lagenda Si Buruk sentiasa bermain-main dalam kepalaku. Seakan-akan mencari peluang saja. Apa lagi hati sudah terusik. Sambil menangis aku ke rumah dua orang temanku untuk menceritakan peristiwa yang menimpa diri. Aku merasa sudah sampai masanya untuk membuat tindakan melarikan diri dari kampung. Buat apa duduk dalam keadaan hati yang sakit. Lebih baik ke hutan hidup bersama binatang, sekurang-kurangnya aku ada kawan.

“Din, Man, aku rasa elok kita lari keluar dari kampung ini!, Nenek dan Pak Su aku dah tak sayangkan aku lagi. Mereka membelasah aku sesuka hati tanpa usul periksa. Padahal yang salahnya bukan aku sorang”

Ujarku kepada Din dan Man dua orang teman baikku ketika itu. Man agak keberatan, memandangkan dia tidak ada sebarang kes dengan keluarga. Din bersetuju, kerana kebetulan dia juga mempunyai kes yang tersendiri dengan emaknya.

Sebelum memulakan perjalanan, aku terlebih dahulu menjengah lembu kesayanganku dan menyatakan pesan perpisahan, agar pandai-pandai membawa diri semasa tuan tidak ada. Memang kerjaku masa itu ialah menjaga lembu. Setiap kali balik dari sekolah lembulah yang menjadi temanku. Cuma masa ini kebetulan cuti penggal persekolahan.

Kami memulakan perjalanan menghala ke baruh (kawasan yang berhampiran dengan hutan), melalui parit nombor satu, parit nombor dua dan hujung parit nombor tiga, terus ke Pusu Tiga dan naik ke dataran Nyior Kiat (Dulu semuanya hutan belaka, sekarang sudah menjadi kawasan perumahan dan Kilang Gong Badak). Akhirnya kami keluar ke hutan di Muka Padang (Kini menjadi kawasan perniagaan di Gong Badak), jalan menghala ke Batu Rakit dan Mengabang Telipot. Hari sudah mula senja.

Hatiku mula tertanya-tanya, mana binatang hutan yang hendak menyambut ketibaan kami. Mana singa, mana harimau dan mana gajah untuk mengalu-alukan ketibaan kami. Duhai semua binatang, sekarang aku dah datang, kenapa kamu semua tak keluar?. Ini Si Buruk dah datang. Tapi usahkan binatang, najis binatang pun tidak ada. Seakan-akan suatu kejutan budaya dalam diriku telah berlaku. Apa yang aku baca dalam kisah Si Buruk rupanya tidak berlaku.
Akhirnya maghrib mula melabuhkan tirai. Kami sudah tidak ada haluan, apa yang ada ialah sebatang pokok pauh sebesar pemeluk di tepi jalan. Din melihat aku dan aku melihat Din. Untuk terus berjalan tidak mungkin. Gelap sudah menampakkan kepekatannya. Mana nak tuju.

“Din! Tak ada jalan lain, kita terpaksa bermalam di atas pokok ni saja”

Aku memberitahu kawanku.

“Okey, kita naik!”

Sahut Din secara spontan.

“Oi! Nak buat apa panjat pokok garib-garib (maghrib) ni?”

Tiba-tiba kami mendengar satu suara menegur dari belakang. Tanpa kami sedari rupanya ada seorang Pak Cik yang sebaya dengan ayahku melalui jalan itu dengan mengheret seekor lembu.

“Kamu lari dari rumah ya?, lepas tu nak tidur atas pokok ni?. Mari pegi rumah aku”.

Kami tergamam. Nak kata apa. Serkap jarang Pak Cik tu tepat sekali. Memang ya lari dari rumah. Nak buat macam mana.

“Mari pegi rumah aku, jangan tidur dalam hutan ni, nak tidur buat apa kat sini?”.

Ujarnya lagi. Mahu tak mahu kami terpaksa mengikutinya dengan melakukan perjalanan yang agak panjang sehingga ke rumahnya di Mengabang Telipot.

Sambil berjalan, Pak Cik kita berceritalah itu dan ini. Sikit-sikit rasa juga tersindir, anaknya ada sepuluh orang. Tapi tak sorang pun yang dihalaunya dari rumah dan tak ada sorang pun yang lari dari rumah. Tertusuk juga rasanya hatiku.

Sampai di rumahnya beliau terus menyuruh isterinya menyediakan makanan, kerana katanya kita ada dua orang tetamu. Tanpa banyak soal si isteri terus ke dapur dan bersiap sedia seada-adanya. Kami menghadapi makan malam dengan begitu berselera. Maklumlah berubah tempat. Selesai makan dan solat Pak Cik sambung lagi cerita yang berkaitan dengan keluarga. Apa-apa yang berlaku jangan turutkan hati, bersabar dan sebagainya. Penceritaannya begitu menarik sehinggakan perasaan bersalah dan menyesal mula menerpa di hati kami berdua. Realiti Si Buruk juga nampaknya tidak berlaku. Aku kehampaan. Wajah ibu dan adik beradikku mula menerpa silih berganti dalam ingatan. Ayah yang sekarang berada di luar kawasan. Bertarung dengan pacat, lintah, nyamuk dan juga kemungkinan binatang buas, semata-mata untuk menyediakan belanja kami seharian. Kenapa cepat sangat ambil tindakan. Salahnya bukan dengan ibu dan adik-adik.

Aku bermalam dalam suasana yang paling malang.

Kerenahnya:
Tanpa berfikir panjang, duit satu sen pun tidak ada!. Nak makan apa?. Pakaian sekadar sehelai sepinggang. Aku dengan baju dan seluar. Din pula baju, seluar pendek dan sehelai kain batik sebagai sarung. Lainnya tinggal gigi dengan lidah saja.

Pagi besok, sebelum subuh aku dah siap bangun. Aku mengejutkan Din. Aku lihat Pak Cik tuan rumah juga telah bangun untuk mengerjakan solat tahajjud (barangkali!). Setelah azan subuh, kami bersama menunaikan solat. Habis sahaja salam aku memberitahu Pak Cik tuan rumah tentang hasratku untuk balik. Pak Cik beriya-ia benar menahan kami dan mengajak tunggu hingga sarapan pagi. Tapi jenis budak separuh masak, tetap berkeras meminta diri untuk balik. Akhirnya kami dibenarkan. Sayu jugak meninggalkan Pak Cik yang baik hati.

Dalam samar-samar, cerah tanah di pagi hari kami memulakan langkah untuk balik. Sampai di persimpangan Gong Badak sebuah land rover polis melintas kami. Seram juga aku bimbang-bimbang takut diketahui keadaan kami. Perjalanan balik dalam keadaan lancar. Menyusuri muka padang dan terus ke hujung parit nombor dua. Sebaik-baik saja sampai ke pintu air parit nombor dua, kami berjumpa dengan rombongan orang kampung yang datang mencari. Rupa-rupanya berita kehilangan kami heboh sekampung. Menyebabkan mereka sama-sama merasa bertanggungjawab keluar mencari.

Sebaik saja melihat kami, masing-masing berteriak dengan pelbagai cara menggambarkan kegembiraan masing-masing. Ada yang mengucap syukur alhamdulillah dan sebagainya. Sepanjang perjalanan dari parit nombor dua ke kampung, kami diiring bagai pengantin. Tiba di kampung kami diajak untuk berhenti di kedai Pak Itam untuk minum pagi. Minum pukul sepuluhlah katakan. Pak Su yang semalamnya menyebatku seenaknya kelihtan mula bersikap lunak padaku sambil berkata:

“Makanlah apa yang kamu nak hari ini. Pak Su belanja”.

Menyesal agaknya. Aku pula bukannya ada selera nak makan. Seingat aku yang aku minta teh o secawan dan kuih baulu sebiji. Itu sahaja yang boleh disumbat. Lain tak ada. Maklumlah, majoriti orang kampung keluar dan singgah di kedai tempat kami bersarapan satu-persatu memandangku dalam keadaan terhairan. Macam tak pernah tengok orang. Semuanya menyebabkan aku menjadi serba salah. Makan salah, minum pun salah, serba tak kena. Ada yang berbisik sama sendiri, ada yang tersengeh dan ada yang hanya memandang tanpa sebarang reaksi.

Di rumah nenek aku, telah sedia menanti sanak saudara. Setelah sampai aku tidak terus dibenarkan untuk ke dalam. Kami kena duduk dulu depan tangga dan di repor (jampi dengan menggunakan daun kelapa) oleh datuk saudara. Masih terngiang-ngiang lagi suara nenek menyuruh Tok Teh Awang menjampi kami berdua:
“Tolong repor sikit Pak Teh, manalah tahu budak-budak ni takut-takut ada benda lain yang bawa”.

Kata nenek kepada datuk saudaraku. Kami diam, menurut perintah. Selesai jampi kami balik ke rumah. Din ke rumahnya. Aku ke rumah aku. Emakku hanya memandang dengan seribu pengertian. Sukar aku nak teka. Percakapannya macam biasa. Semacam tidak berlaku apa-apa. Selamba saja. Senyumnya macam biasa. Aku semakin tidak mengerti. Bingung pun ada.

Esoknya juga begitu, lusa pun begitu... hinggalah seminggu lepas itu. Pagi Jumaat. Aku lewat bangun. Emak mengejutkan aku menyuruh bangun. Aku liat, terkebil-kebil malas. Ibu terus menarik ku untuk ke perigi, tanpa sebarang ampun dengan rotan yang telah tersedia di tangannya. Membedalku semahu-mahunya. Dalam keadaan menderita, pedih dirotan, masih teringat suara ibu menyebut dalam tangisnya:

“Kenapa buat malu kat mak!. Bukan salah dengan mak, salahnya dengan orang lain. Tapi kenapa sampai lari begini, buat malu mak saja. Malu mak kat orang kampung. Macam mak tak pandai jaga anak. Apa-apa pun lain kali mesti balik dulu. Ni dahlah ayah tak ada kat rumah. Anak pulak buat kerenah macam ni”.

Aku hanya menangis semahu-mahunya. Mak juga begitu. Sambil merotan sambil menangis. Aku tidak tahu air mata siapa yang lebih banyak tumpah. Mak atau aku. Kerana seingat aku mak jarang merotanku. Aku tahu mak seorang yang lembut hatinya, penyedih. Kalau kami sakit, maklah yang tak tidur malam. Ayah memang adalah merotan aku, tapi setiap kali ayah merotan, mak akan cuba merasionalkannya semula di meja makan. Kerana menjadi kebiasaanku bila ayah rotan, aku tak berani makan bersama ayah. Nak tengok muka pun tak berani. Tapi jauh-jauh dihujung telinga aku dapat menangkap kata-kata ayah kepada mak sesudah ayah makan”

“Panggil abang (ganti nama aku) ajak dia makan, jangan biarkan rajuknya berpanjangan. Kita rotan pun bukan kerana marah, tapi nak ajar dia”.

Kenyataannya kedua-dua kami sama berjurai air mata. Aku menangis kerana kulitku pedih tidak terkira. Rotan pecah. Ibuku menangis kerana hatinya pedih. Aku kira pedihnya melebihi pedihnya kulitku yang kena rotan. Pedih kerana malu kat orang kampung. Anak orang lain mana ada yang lari dari rumah. Akulah anak pertama yang lari dari rumah. Pecah rekod. Barangkali kalau nak tulis dalam catatan ‘Guiness Book Record’ pun boleh lah tu. Pedih kerana kerenah anak yang tak dengar kata. Kalau pun dihina, dipukul dan dihalau oleh nenek dan Pak Su, baliklah ke rumah. Kita bukannya tinggal di rumah nenek dan Pak Su. Apa nak diambil hati dengan Pak Su dan nenek. Kenapa tak balik rumah. Kan rumah kita masih ada. Mak ada. Mak bukannya jenis yang suka menghalau anak tak tentu fasal. Tambah sekarang ayah kerja luar (out station) menoreh getah di Kuala Ping, Hulu Terengganu. Menjadi tanggungjawab emak untuk jaga anak. Tiba-tiba anak buat hal pulak. Itulah yang aku fikir tersirat di sebalik pecahnya rotan mak kerana membelasahku. Manalah tak menderita. Padanya pantang merotan anak. Tapi dah keterlaluan sehingga mencabar kesabaran nak buat macam mana!.

Aku sedar mak pernah sekali merotanku, itupun masa kecil-kecil dulu. Lebih kurang umurku sepuluh tahun. Salahnya ialah kerana aku memusnahkan pondok kepunyaan adikku, semasa kami main pondok-pondok. Tapi malamnya, semasa tidurku, terasa sejuk tangan mak memeriksa seluruh tubuhku untuk melihat calar-calar kesan pukulan. Masih teringat setitis dua air matanya menitis ke punggungku kerana menyesali perbuatannya. Tapi dah dasar anak yang sorang ni nakal sangat, bila dah mencabar kesabaran terpaksalah. Ada pun aku yang sudah sedia terusik hati buat-buatlah tak sedar. Apa yang aku fikirkan ialah padan muka!. Nak rotan sangat. Itulah aku ketika itu. Tapi hati mak, tetap dengan keibuannya. Lain caranya. Dalam marah ada sayang, dalam tegas ada kesian. Dalam garang ada tangisnya.

Ayah balik dua minggu selepas peristiwa itu. Kami adik beradik menyambut kepulangan ayah dengan penuh riang. Maklumlah ayah balik dari kerja luar. Lama tak jumpa ayah. Setiap orang kami bersalam dan mencium tangan ayah. Satu persatu anak dicium ayah untuk melepaskan rindu. Aku juga tidak terkecuali. Namun terdetik juga di hatiku tentang ‘jenayah’ yang telah kulakukan. Bagaimana kalau ayah tahu. Aku paling tak tahan dengan bedalan rotan yang ayah kenakan. Rotan mak baru-baru ni masih lagi terasa peritnya.

Kami diberi hadiah selayaknya oleh ayah. Bukan apa, sekadar satu bungkusan gula-gula saja. Itupun sudah sangat mengembirakan. Macam terima hadiah sukan olimpik rasanya. Budak kampung, bukannya perlu hadiah besar-besar. Ayah balik pun sudah dikira seribu rahmat dah. Apa tah lagi diiringi dengan hadiah, lagilah hebatnya.

Setiap geraklaku percakapan ayah dan mak menjadi perhatianku. Aku jadi curiga. Bimbang takut-takut mak memberitahu ‘jenayah’ yang aku lakukan. Namun tidak pun aku mendengar mak menceritakannya. Hinggalah solat maghrib. Menjadi kebiasaan kami mengerjakan solat maghrib secara berjamaah bila ayah berada di rumah. Sementara menunggu waktu Isyak kami adik beradik dengan kerja sendiri, mengaji dan membaca komik. Emak dan ayah tetap berada di atas tikar sembahyang menanti masuk waktu Isyak. Itulah kebiasaannya sehingga masuk Isyak, solat berjamaah, makan malam dan menyambung semula kerja-kerja yang terbengkalai sebelum tidur.

Malam pertama berlalu, tidak sebarang reaksi mak dan ayah mengenai ‘ganjaran’ yang bakal diterima. Malam kedua pula tiba, ketika semua adikku membuat kerja masing-masing, aku dipanggil oleh ayah dan mak. Berat rasa hati. Tiba sudah saat menghadapi hukuman. Mahkamah Rumah Tangga pasti akan bersidang.

Tiang seri rumah menjadi tempat mahkamah bermula. Lambat-lambat aku melangkah ke arah mak dan ayah. Penuh dengan debaran dan tanda tanya. Mak menyambut ketibaanku dengan penuh senyum. Entah jenis apa senyuman tak dapat ku teka. Nak kata senyum kambing pun tidak. Senyum itik pun tidak.

“Anak llaki kita ni ayah baru-baru ni buat gempar, habis sekampung tahu, naik namalah anak kita ni, lari dari rumah. Salahnya bukan salah dengan kita, dengan nenek dan Pak Su, tapi dia buat keputusan sendiri, satu malam lari dari rumah, pergi tidur di Mengabang Telipot”.

Demikian mak memulakan pembentangan kes. Aku tunduk mendengar patah demi patah perkataan yang dikeluarkan oleh mak.

“Oh ggitu, comel jugak perangainya!, dah tu macam mana? Apa tindakan yang telah dibuat?”.

Tanya ayah untk mendapatkan kepastian mengenai tindakan yang telah dilakukan oleh mak.

“Dah rotan dah, sampai pecah rotan”.

Sahut mak.

“Kalau dah beri hadiah tak apalah, kalau belum ayah nak beri jugak”.

Lega hatiku mendengar respon ayah. Bermakna sekadar amaran sajalah lepas ni. Tak lagi kena tindakan kedua . Memang itulah sikap ayah. Apa yang penting setiap kesalahan perlu ada ganjaran samada fizikal atau mental. Perlu diberi peringatan supaya jangan kes itu berulang. Tanggungjawab ibu bapa perlu ada, kerana itu adalah amanah.

“Acu abang cerita, fasal apa lari, mana tempat yang tidak kenanya”

Pinta ayah kepadaku. Persis hakim kepada tertuduh. Namun dihujung suaranya ku rasa suatu kemesraan. Ketakutan dan kebimbanganku mula hilang sedikit demi sedikit. Memulakan keterangan dengan memohon kemaafan di atas ketelanjuran, aku mendapat kekuatan untuk menceritakan kronologi peristiwa dari A sampai Z. Namun apa yang jelas aku lebih menampakkan itu kesalahanku kerana mengikut hati yang panas. Ibu dan ayah langsung tak ku libatkan dalam tindakanku. “Abang akan jadi contoh untuk adik-adik. Kenapa buat tindakan tergesa-gesa”.

Tiba-tiba ayahku memberi respon. Terasa suatu sentuhan baru dalam diriku. Kebetulan aku memang anak lelaki tertua. Atasku perempuan, yang lain semuanya adik-adik. Tak sedar rupanya aku perlu menjadi role-model kepada mereka. Mula nampak kewibawaanku di depan mata adik-adik ku. Besarnya harapan ayah dan mak kepada ku. “Abang pernah tak dengar cerita orang dulu-dulu. Macam abang jugak!, lari dari rumah. Masuk dalam hutan. Sorang tidur atas pokok, sorang lagi tidur atas banir kayu. Hak atas pokok kena makan dek hantu, hak atas banir kayu kena tangkap dek harimau. Kedua-duanya mati. Abang ni kira mujurlah jumpa dengan Pak Cik tu, kalau tidak abang cuma tinggal nama sajalah. Ayah tak tahu, duduk dalam hutan cerang mana, anak lari dari rumah”.

Sambung ayah. Entah benar atau tidak cerita itu. Tapi sudah cukup menyeramkan aku. Berpeluh sendirian. Mendadak timbul keinsafanku. Taubat!, aku tidak akan mengulanginya lagi. Budak yang masa tu berumur empat belas tahun, sebut hantu dan harimau sudah cukup untuk menjadikan dia serik. Apa tah lagi disebut bernasib baik jumpa dengan Pak Cik yang baik hati tu!. Allahu Akbar. Bertuahnya aku. Selamat daripada menjadi mangsa hantu dan harimau. Hilang terus kisah Lagenda Si Buruk. Itulah aku. Kecut! Sejuk terus, habis seluruh kewibawanku meluncur turun. Seakan-akan seluar tanpa diikat pinggangnya. Berdesut, meluncur ke bawah. Hilang segala kehebatan. Nak jadi jaguh antara semua binatang pun habis terus.

Demikian rajuk seorang anak.

1 comment:

  1. bukan nak komen...
    sekadar menambah cerita...
    yang pergi dan yang tinggal...
    yang pergi sudah bercerita..
    yang tinggal nak sambung cerita...

    Lokasi & Peristiwa :
    waktu : Suatu petang..
    Lokasi: umah tok lama ( umah ani Sekarang)

    same2 menyaksikan kejadian...
    hubungan kita begitu erat...
    Bagai anyaman daun ketupat...
    saling muafakat...

    Urutan peristiwa...
    Budak kampung yang kreatif...

    anyam daun kelapa nak buat bola...
    gelagat anak manja...
    perangai tak tentu hala...
    buat salah tetap dibela..
    sehingga ada hati terluka...
    membawa diri entah ke mana...

    apabila yang merajuk telah pergi...
    kebenaran telah dipapari...
    yang salah telah dirotani..
    tetapi yang pergi tidak mengetahui...

    yang tinggal tidak menyedari...
    sehinggalah sampai ke senja hari...
    menjadikan seisi keluarga susah hati...
    pada teman dan jiran diselidiki...

    kehilangan anak tetap diratapi...
    seluruh kampung muafakat mencari...
    segenap pelusuk kampung diteroka rapi...
    tikar gulung dibentangi...
    kawah telangkup ditadahi...
    mencari anak yang disayangi...
    sehingga sampai ke dini hari...
    anak yang di cari tidak ditemui...

    duhai anak bertuah...
    membuat hati ibu gundah...
    satu malam berjaga gelisah...
    menunggu siang terasa payah...
    pada tuhan ibu manadah...
    mendoakan anak mendapat inayah...
    sehingga subuh ibu pasrah...

    apabila mentari menampakkan sinaran...
    ekspidisi meneruskan pencarian...
    ke baruh ke bendang menjadi sasaran...
    sehinggalah kelibat yang dicari kelihatan...

    sampai di rumah hukuman terjalan...
    kami semua marasa kasihan...

    kisah ini patut di teladani...
    menjadi pedoaman generasi nanti...
    hati ayah hendaklah dijagai...
    hati ibu jangan disakiti...
    hati anak perlu dibelaiii...

    kini....
    yang salah telah pun pergi...
    kembali menemui ilahi...
    usahlah didendami lagi...
    al fatihah kita susuli...
    semoga roh dicucuri...
    mendapat syurga yang dinanti...

    09 Nov 2009

    ReplyDelete