Pertandingan Melukis
Sabtu 23 Ogos 2008.
08.50 pagi.
Penulis bersama isteri, Amin Husaini dan Aini Munirah (anak-anak) berada di Dataran Perpustakaan Awam Negeri Terengganu untuk menyertai pertandingan melukis sempena sambutan kemerdekaan ke 51. Tema tahun ini ialah ‘Perpaduan Teras Kejayaan’.
Penulis agak terlewat masuk. Walau bagaimana pun isteri dan anak-anak telah masuk dan mendaftar terlebih dahulu. Sebaik sahaja penulis masuk, masa untuk melukis sudah dimulakan. Taklimat tidaklah penulis dengar. Cuma isteri dan anak-anak sahaja yang memberitahu apa yang perlu dibuat. Katanya suasana kemerdekaan ke 51 dengan anika pembangunan. Demikianlah gambaran awal idea yang diberikan oleh isteri dan anak-anak.
Apabila disebut begitu, tergambar dalam pemikiran penulis apa yang perlu dilukis ialah bangunan pencakar langit, komuter, LRT dan pelbagai pencapaian termasuk penghantaran angkasawan pertama Malaysia Syeikh Muszaffar Shukur ke ISS dengan berlatar belakangkan jalur gemilang. Pada pertengahan pertandingan barulah isteri membisikkan tentang tema yang tidak dimasukkan, ‘Perpaduan Teras Kejayaan’. Apa nak kata, dah setengah jalan, tulis saja di tengah-tengah cogan kata tersebut. Baru penulis sedar rupanya kami sudah tersalah konsep. Tapi dah separuh jalan, teruskanlah apa yang ada.
Sambil itu, penulis cuba juga berjalan dengan memerhati kumpulan peserta lain. Benar tekaan penulis, memang kami sudah tersalah konsep. Memang sah tak masuk perkiraan. Tapi tak apa, paling tidak dapat latih anak-anak menyertai pertandingan. Demikian kami mendamaikan suasana. Isteri mengiakan. Amin nampak bersungguh-sungguh untuk memenangi pertandingan. Penulis tak kisahlah, tak menang pun tak apa, hamper dah dapat. Makan tengahari memang disediakan. Tak perlu fikir lagi tentang itu. Isteri juga bersetuju. Kenapa?. Kerana ini adalah aktiviti gantian semasa cuti sekolah. Maklumlah, cuti baru-baru ni kami tak dapat bawa anak kemana-mana, kerana ada kursus dalam cuti (KDC di Institut tempat penulis bertugas). Sebab tu, bila saja anak nak masuk pertandingan melukis tanpa banyak soal kami bersetuju. Kebetulan tempoh yang sama juga merupakan malam-malam Majlis Tilawah al Qur’an Peringkat Antara Bangsa di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man. Kami juga merupakan pengunjungnya.
Namun, apa yang melucukan, rupanya ramai juga yang sama tersalah konsep macam kami, langsung tak ambil kira tema.
“Wah! Nampaknya bukan anak aku saja yang mati, rupanya anak orang juga ada yang mati”
Demikian sandaran penulis berdasarkan kepada hujah Pak Pandir.
“Memang hebat dan memberangsangkan. Maknanya bukan kita sorang yang silap, adalah juga kawannya. Taklah malu sangat. Lagi pun ini adalah kali pertama, nak beri pengalaman kepada Amin dan Munirah”.
Bisik penulis kepada isteri. Apa pun isteri dan anak-anak tetap bersungguh-sungguh menyudah hasil karya kami bersama. Hebat juga bila dibandingkan dengan orang lain. Semangat bertanding mesti ada, jangan mengalah sebelum ke garis penamat. Perasan juga kami. Apa nak kata itulah yang boleh diluahkan. Tak sangka dalam keadaan buta seni lukis, bila digabungkan idea, jadi juga. Cuma tak kena dengan tema itu memang salah sendirilah.
Tepat seperti yang dijangka, jam 12.30 tengahari pertandingan melukis ditamatkan. Sementara menunggu penghakiman, para peserta dijemput melihat tayangan Harry Porter dalam Dewan Teater. Isteri dan anak-anak ke sana menyaksikan tayangan. Penulis sengaja naik ke tingkat satu perpustakaan untuk melihat buku-buku yang ada di Perpustakaan Awam Negeri. Untung juga, terjumpa dengan sebuah buku yang menceritakan kisah Datuk Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara. Banyak perkara baru yang boleh ditimba daripada hasil karya tersebut. Alhamdulillah.
Jam satu suku isteri menelifon penulis mengajak sama ke Dewan Teater kerana majlis penyampaian hadiah akan dimulakan. Mood membaca sudah melekat di hati, tapi untuk meraikan suasana terpaksalah juga penulis menangguhkan kerja membaca. Turun ke bawah, tiba-tiba bertembung dengan Munirah.
“Ayah! Adik lapar, kereta kunci tak, adik nak makan, ayah temankan adik makan”
Pinta Munirah dengan penuh merayu. Nak tak nak terpaksalah juga temankan Munirah menuju ke Storm untuk mengambil nasi yang dibekalkan oleh pihak penaja. Kami makan di kantin perpustakaan.
Selesai makan barulah penulis dan Munirah menuju ke Dewan Teater. Tempat duduk berdekatan dengan Isteri dan Amin dah penuh. Baris depan ada satu kosong, belakang ada satu, di sebelahnya ada beberapa orang pelajar perempuan. Penulis memujuk Munirah supaya duduk di belakang, alhamdulillah dia bersetuju. Rupanya pelajar perempuan yang bersebelahan dengan tempat kosong lebih perihatin, mengosongkan satu lagi ruang untuk penulis, kerana di hujung sana ada satu kosong. Dapatlah penulis duduk berdekatan, walaupun sebaris di belakang isteri dan Amin.
Walaupun terlewat, penulis sempat mendengar ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Terengganu dan Pengarah Axxon Mobil. Kedua-duanya menyatakan rasa seronok di atas kejayaan mengadakan pertandingan sepanjang bulan kemerdekaan. Ada beberapa pertandingan yang telah berlangsung antaranya pidato, melukis poster peringkat sekolah rendah dan menengah, menulis essei dan diakhiri dengan acara melukis poster secara berkeluarga pada hari ini. Walaupun publisitinya kurang tetapi ternyata acara ini dapat diadakan dengan jayanya.
Penyampaian hadiah merupakan acara kemuncak. Memang seperti yang diduga. Kebanyakan pemenang daripada hadiah saguhati sampai kepada tempat pertama semuanya memasukkan objek perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Memang hebat. Hakimnya pun peringkat negeri, salah seorang daripadanya ialah Tuan Haji Idris Salleh, rakan penulis, Ketua Jabatan Kajian Sosial di Institut Perguruan Kuala Terengganu. Memang hebat orangnya. Penulis amat mengkagumi bakat seni yang anugerah Allah kepada beliau.
Tepat seperti tekaan penulis. Hasil karya kami langsung tidak tersenarai. Tapi bukan kami saja, orang lain pun ramai lagi mengalami nasib yang sama. Sekali sekala kami sekeluarga saling berpandangan. Nak gelak pun ada, buta seni sungguh. Apa nak kata. Itulah hakikatnya. Kena terimalah.
“Huh, malang sungguh hari ni”.
Keluh Amin sebaik sahaja majlis bersurai.
“Tak apa Min, paling tidak kita sudah menyertai, adat bertanding mesti ada kalah dan menang, ini adalah pengalaman yang sangat berguna untuk Amin dan adik”.
Pujuk penulis, Munirah hanya tersengeh, tidak kisah menang atau kalah. Memang itulah gayanya selalu. Demikianlah terujanya hari pertama kami sekeluarga menyertai pertandingan melukis. Orang seni meluahkan sesuatu melalui hasil karyanya. Orang tak seni macam penulis ni bagaimana pula?.
Tuesday, October 13, 2009
Pertandingan Melukis
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment