K
hamis 25 September 2008 bersamaan 25 Ramadhan 1429 Hijrah, Bulan Ramadhan.
“Ustaz! Pagi ni, lepas pukul sembilan ana nak keluar kejap, nak hantar Ustaz Sayed ke Hospital Besar, dia nampak lain macamlah!”
Kata Ustaz Mohd. Nor meminta izin sebaik sahaja aku masuk Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM).
“Ok! Sangat cantik, cuma tulis dalam buku kenyataan keluar masuk di Pejabat Am” Jawabku ringkas.
“Bib, ikut Ustaz Mad Nor” Aku seakan-akan memberi perintah kepada Ustaz Sayed Hasan. Ustaz Sayed tidak menunjukkan sebarang reaksi. Memang dua tiga hari lepas Ustaz Sayed bersungut rasa kebas-kebas sebelah kanan badan. Kami sudah menasihati beliau supaya ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Tetapi beliau keberatan. Cuma pagi ni Ustaz Mohd. Nor, atas rasa tanggungjawabnya sebagai rakan sepejabat dan semangat adik beradik yang wujud dalam JAPIM mengambil inisiatif untuk menghantar Ustaz Syed ke hospital.
Masa terus berlalu, masing-masing dengan tugas tersendiri. Aku sendirian dalam bilik menyiapkan borang-borang penilaian pelajar KPLI untuk persiapan Kursus Pendidikan Pencegahan Dadah pada 6 hingga 8 Oktober 2008. Kisah Ustaz Syed berlalu.
Jam 10.00 pagi Kartina, salah seorang pensyarah JAPIM masuk ke pejabat aku bertanyakan tugas yang perlu dilakukan menjelang kursus tersebut. “Peringkat awal kita hanya sediakan borang penilaian, lepas tu fotostat ikut keperluan dan serahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk tindakan seterusnya, tak usah bimbang, saya dah dapat senarai semua pelajar KPLI 2008 dalam laman web IPKT di rumah malam tadi”. Aku menjelaskan secara ringkas. Memang sehari dua talian internet di JAPIM agak bermasalah, hinggakan aku terpaksa menggunakan talian peribadi yang ada di rumah.
“Assalamu`alaikum, ada orang ke”. Tiba-tiba kami terdengar suatu suara memasuki pejabat JAPIM. “Wa `alaikumus salam”. Jawab kami. “Oh, KJ ada, apa ceritanya?, saya nak jumpa Kartina kejap boleh?” Rupanya Puan Yuslaini, pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan. Memang dia agak rapat dengan Kartina. Adalah tu halnya. “Ni kami tengah bincang tentang kursus dadah, tapi adik saya yang sorang ni banyak pulak soalannya”. Aku memberitahu Yuslaini dengan nada ‘sedikit’ menyakat Kartina. Kedua-duanya tergelak. Mereka berlalu ke bilik depan dan aku meneruskan kerja-kerja menyiapkan borang penilaian.
Jam 11.20 Ustaz Suhaimi bertanya kepadaku tentang Syed, dan melahirkan rasa bimbang dengan kesihatan rakan kita yang seorang ni. Aku terus menelefon Syed. “Ana dalam bilik B11, jaga periksa”. Jawab Sayed.
Rupanya dalam kesihatan yang membimbangkan beliau meneruskan tugasnya mengawasi peperiksaan KDP 14 Minggu Bimbingan dan Kaunseling, menggantikan Puan Hajjah Habsah yang kebetulan bertugas di luar. Aku pula terlepas pandang tugasnya pagi ini. Ertinya beliau tak pergi klinik bersama Mohd Nor. Hal peribadi dilupakan, tugas tak pernah tolak. Selagi ‘larat’, jalan. Itulah Sayed.
“Bib, macam mana keadaan sekarang?”.Tanyaku. “Ok, boleh tahan, boleh teruskan, sikit lagi 11.30 habis jaga periksa, ana naik kat jabatan”
Terdetik juga nak minta Suhaimi membantu Ustaz Syed, tapi memandangkan masa cuma 10 minit lagi, tak jadi pula. Kebimbangan tetap ada.
Jam 12.00 lebih aku dikunjungi oleh En. Mohammad Ngah, Timbalan Pengarah dan Haji Azhar Chik, mantan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. Kami bersalaman dan bertanya khabar.
Tiba-tiba Ustaz Syed masuk dan bersalaman.
“Bib, ni tangan dah sejuk sebelah, lain macam saja ni!, sakit ke?”. Tanya Haji Azhar kepada Ustaz Sayed. “Yalah Bib, kalau teruk pergi hospital Bib” Sampuk Timbalan Pengarah. “Tak ape! Hidup lagi”. Jawabnya, kami tergelak dengan jawapan, itulah Sayed, ada saja kelakarnya. “Tu tadi ustaz Mad Nor dah nak bawak ke hospital, tapi dia tak mahu”. Aku memberi penerangan kepada Tuan Haji Azhar dan En. Mohammad Ngah. Melihat perubahan yang berlaku kepada Ustaz Syed, kami bertiga seakan-akan memaksa beliau ke hospital. Tapi Ustaz Syed tetap dengan alasannya. “Tak ape, sikit, nanti ana nak balik rumah,nak hantar anak-anak dulu”. Jawab beliau tanpa mempedulikan kebimbangan kami.
“Bib, jangan Bib, kaki kanan dah kebas sebelah, macam mana nak tekan minyak, nak tekan berek, Mi! Tolong ikut Syed, jangan biarkan dia bawa kereta”. Aku seakan-akan mengarah kepada Ustaz Suhaimi, bimbang terhadap keselamatan Ustaz Sayed. Tapi Syed, selamba sambil mengemaskan mejanya dan terus bersalaman dengan Suhaimi, Haji Azhar dan En. Mohammad Ngah. Dalam gelak seperti biasa, tiba-tiba beliau menangis, seakan-akan menahan kesakitan dan keluar dari bilik JAPIM. Aku terus meminta Ustaz Suhaimi mengekori Sayed.
Sayed terus keluar dengan meminta kami semua bertenang, dan Suhaimi terus mengikuti dari belakang. Tiba-tiba Ustaz Suhaimi memberitahu Ustaz Sayed dah tak mampu berjalan lagi. Kami meluru keluar dan mengusung Ustaz Sayed ke dalam bilik JAPIM dan membaringkan dalam bilik jabatan. Mukanya berkerut menahan sakit, mulut tak putus-putus mengaduh sambil memegang dan menumbuk-menumbuk peha kanan. Kami memberi bantuan sekadar yang mampu, Ustaz Suhaimi mengambil kusyen melapik belakang dan kepala Syed. Tuan Haji Azhar mengurut tempat sakit. Encik Mohammad Ngah menelefon Ruzeki (petugas kenderaan) di Pejabat Am, minta kereta rasmi IPKT.
“Kita hantar ke Pusat Kesihatan Batu Rakit dulu, kat sana ada ambulan untuk ke Hospital Besar”. Cadang Tuan Haji Azhar. Kami tak banyak kerenah, apa yang penting Syed dapat diselamatkan. Menunggu kereta institut sampai dirasakan terlalu lama. Sayed dah tak berdaya lagi. Kerutan di muka bertambah, tangisan kesakitan amat jelas. Kami sudah nampak tanda-tanda awal strok akan berlaku. Memang pagi tadi pun beliau mengadu kaki kanannya berjalan agak terbentes, tidak setabil macam biasa.
Dua tiga orang pensyarah dari jabatan lain sudah mula naik ke JAPIM. Terlalu lama rasanya menanti kereta institut tiba. Memang benar kata orang `Penantian suatu penyeksaan’. Ustaz Sayed semakin menderita. Kami membaca mana-mana ayat yang perlu untuk memberi bantuan, sambil menenangkan beliau. Bayangkan orang yang selama ini `happy’ penyeri JAPIM, tiba-tiba menangis kesakitan. Apa yang dapat dibuat. Hati tetap berserah dan berdoa agar Allah meringankan beban yang ditanggung oleh sahabat.
“Kalau kereta institut lambat, guna kereta sayalah”. Celah Encik Samad, pensyarah Jabatan Matematik. Kami bersetuju dan Sayed terus dipapah ke bawah. Sebaik sahaja sampai ke bawah kereta institut bersama Timbalan Pengarah dan Ruzeki pun sampai. Alhamdulillah.
Kami dudukkan Sayed di belakang tempat duduk kereta. Aku terus berada di sebelahnya sambil mempastikan situasi fizikal stabil, namun Syed terus mengaduh dan menangis kesakitan. Terasa getaran badannya menghadapi saat yang kritikal. Seakan-akan urat saraf disentak dan ditarik-tarik.
“Mi, tolong uruskan anak-anak Sayed, ana bersama Sayed ke Pusat Kesihatan Batu Rakit”. Kataku kepada Ustaz Suhaimi. “Ok, jangan susah ana turut belakang dengan kereta”. Jawab Ustaz Suhaimi.
Melihat situasi kesakitan dan merasai getaran kesakitan Syed, terasa lambat kereta sampai ke Pusat Kesihatan yang tak sampai satu kilometer dari institut. Aduh, pedihnya jiwa ini menanggung saat-saat menjelang sahabat menerima rawatan sebenar. Apatah lagi sayed adalah anak buah JAPIM yang tidak pernah menolak tugas. Apa pun tidak pernah memberi jawapan ‘tidak’ pada tugas.
Di Pusat Kesihatan Batu Rakit, Sayed di masukkan ke bilik kecemasan. HA yang bertugas mengambil butir-butir peribadi yang perlu dan bertanya latar belakang kejadian sambil mencatat pada borang untuk rekod.
“Kes ini kena terus ke hospital besar, nanti saya uruskan ambulan”. Beritahu HA selepas membuat beberapa pemeriksaan.
Situasi Sayed tetap macam biasa, sekejap sakit, sekejap tidak, tapi yang banyaknya mengerang dan mengaduh kesakitan. Bila tempoh sakit datang, bergegar seluruh badan menahan kesakitan. Ustaz Suhaimi tiba lepas tu bersama anak-anak Ustaz Sayed. Aku memaklumkan apa yang diberitahu oleh HA dan Ustaz Suhaimi akan menyusul ke hospital sebaik sahaja selesai menguruskan anak-anak Ustaz Sayed. Kepada Sabawi aku mohon supaya memberitahu anak-anaku Amin dan Munirah supaya berada di JAPIM selepas sekolah nanti, sementara urusan Sayed selesai.
Ambulan sampai dan kami ke hospital besar. Seorang pemandu, seorang jururawat dan aku menemani Ustaz Sayed. Siren kecemasan dibunyikan dan driver menjalankan tugasnya. ‘Lari macam tak cukup jalan’.
Perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terenganu (HSNZKT), lebih kurang 25 kilometer dari IPKT. Memang hebat, pemandu ambulanlah katakan. Sudah biasa dengan tugasan begitu. Bagi penulis ada tiga jenis perkara yang dapat dialami sepanjang 25 kilometer itu.
Pertama sudah tentu penantian untuk sampai ke HSNZKT, memang menyeksakan. Masa tulah kalau boleh nak kecilkan jarak bumi supaya lebih dekat. Kalau boleh biarlah IPKT dengan hospital sebelah menyebelah saja. Kalau boleh!, senang cerita. Kerana saat ini 25 KM dirasakan macam 250 KM.
Keduanya situasi ambulan yang seakan-akan tak cukup jalan nak speed. Masa tu jam dah satu tengahari, waktu orang keluar pejabat. Bayangkanlah, kalau kita biasa tengok ambulan membawa orang sakit dalam suasana siren berbunyi dari luar pun dah nampak ganasnya, apa lagi orang yang duduk di dalamnya. Bagi driver apa yang penting ialah cepat dapat sampai ke tempat rawatan bagi orang sakit. Memang mereka dilatih begitu. Orang sakit dengan kesakitannya terbaring atas strecher, dah kira okeylah kerana ada penyekat kiri kanan, tak kisah sangat. Yang seksanya orang yang tak sakit menemani orang sakit. Kaki dan tangan kena berpaut pada apa sahaja besi pemaut yang ada dalam ambulan. Mujurlah besi strecher banyak membantu aku untuk berpaut. Baru tahu pertama kali naik ambulan kecemasan. Sekali sekala teringat macam Sheikh Muszaphar dekat ISS yang zero graviti tulah, serba tak kena, bergoyang sana-sini. Tapi ni bukan zero graviti, graviti ada, cuma ‘pitching je lari’.
Jururawat muda yang dah berpengalaman pun sama. Terpaksa berpaut pada besi yang ada dalam ambulan. Tapi dia dah biasa, lainlah sikit. Aku tahu dia faham suasana aku yang serba lari pitching, ada kalanya kami senyum sendiri.
Ketiganya ialah melihat empat lima kali Sayed didatangi oleh kesakitannya dan dah mula sesak nafas. Sehingga terpaksa dipakaikan alat bantuan pernafasan. Bayangkan, sahabat sakit, menangis, mengaduh dan mengerang depan mata, terasa rapuh segala daging dan tulang temulang dalam getaran menahan sakitnya. Aku paling pantang melihat sahabat menangis kesakitan. Aduh, kalau dapat mahu rasanya memindahkan kesakitan untuk dikongsi bersama. Namun apakan daya. Apa lagi sahabat seorang ni sama-sama belajar di SMK Tok Jiring, senior setahun dari aku. Ayahnya juga adalah kenalan baik arwah ayahku. Lepas tu kami ke Kolej Islam Kelang (Kini Kolej Islam Sultan Alam Syah), kemudian ke UKM, keluar UKM bertugas, aku ke Sarawak, Sayed di Perak. Awal tahun 1985, bila aku bertukar ke Perak, kami jumpa lagi, bersama dalam usrah, bertukar-tukar fikiran, kadangkala bertelagah dalam bab akademik dan isu semasa. Kemudian berpisah kerana beliau menyambung pelajaran peringkat master ke United Kingdom. Selesai ijazah master Sayed balik bertugas di SMK Tok Jiring Kuala Terengganu kemudian ke IPKT, aku pun seakan-akan menunggu beliau di IPKT. Jumpa semula dalam satu jabatan. Itulah yang menyebabkan aku rapat dengan Syed. Dalam keluarga, beliau menjadi tempat bergantung, perawat kepada ayahnya yang juga sakit, Isterinya tak pandai bawa kereta, anak-anak masih kecil, dan.... aku tak sanggup meneruskan monolog ini.
Apa yang terdaya sekadar menggenggam tangan kanan beliau yang kebas sambil berdoa dalam hati, memberi keyakinan, sambil bertanya ada tak respon. Beliau mengangguk dengan mengatakan masih ada rasa. Berpesan supaya bertenang, releks, hospital sudah dekat, ingatkan Allah banyak-banyak. Alhamdulillah.
Tersirat juga beberapa hikmah Ilahiyyah. Manusia tidak akan dapat lari daripada ujian Allah. Kita pasti sentiasa diuji, maklumlah hidup ni pun atas ihsan Allah. Orang baik macam Sayed mungkin Allah nak uji dan nak tambah lagi darjah keimanan beliau. Memang, bagi aku, beliau baik orangnya, tak pernah marah orang, disenangi pensyarah dan pelajar, bahkan pada Hari Guru peringkat IPKT 2008 baru-baru ini beliau dinobatkan oleh para pelajar sebagai `Pensyarah Paling Penyayang’.
Ada juga orang kata `seandainya kita sakit dan tidak menemui obatnya, maka anggaplah kesakitan itu sebagai obat’. Entahlah aku pun tak tahu yang mana satu. Rabi`atul Adawiyyah pernah ditanya ketika sakitnya, kenapa tidak berubat?. Jawabnya.“Aku mahu menikmati rasa sakit yang Allah berikan”. Allahu Akbar, tingginya maqam tokoh ini. Aku tak mampu ke situ lagi wahai Tuhanku!. Apa yang ada dalam pemikiranku ialah bagaimana nak kurangkan penderitaan yang dialami oleh sahabatku. Kerana yang jelas memang Sayed sedang bergelut dengan kesakitan. Itulah Sayed.
Anehnya, dalam sakit ada juga lucunya. Memang tabiat Sayed, bila dah agak reda, keluarlah cakap-cakap kelakarnya. Itulah sikit hiburan. Aku ingat lagi, sempat juga aku bertanya dengan jururawat yang manis ni.
“Dengar-dengar cara cakapnya bukan orang sini kan?”. Tegurku bila kepada jururawat bila berpeluang, sementara Sayed dah agak tenang. Tak sedap jugak tak cakap apa-apa. Nanti orang kata sombong pula. Apatah lagi jururawat tu sebaya dengan pelatih KPLI di institut. Macam anak murid akulah. Tak seronok suasana terlalu kaku. Kat pejabat pun gitu, kat kelas pun gitu, dalam mesyuarat pun gitu. Pantang suasana kaku, datanglah idea untuk menceriakan suasana. Nak menghilangkan stress.
Aku sekadar tanya asalnya dari mana dan bila diberitahu asalnya dari negeri Sembilan, tiba-tiba Ustaz Sayed menyampuk secara spontan. “Orang nogoghi, hak ni sorang pun nogoghi jugak separuh, nogoghi separuh je, bukan penuh, ha! Ha!, janji nak berkenalan dalam ambulan”. Katanya sambil mengisyaratkan kepada aku, yang memang isteriku orang negeri Sembilan, dalam keadaan mukanya separuh tertutup dengan alat pernafasan.
Bayangkanlah bila Sayed dalam keadaan separuh tertutup dengan alat tu. Dalam keadaan muka ‘ssembong’ (kata orang Terengganu), dengan alat pernafasan, “nak bercakap lagi!”. Kami sama-sama tersenyum. Itulah Sayed, dalam sakit timbul tangisnya, dalam reda timbul lucunya. Tak sangka pulak Sayed boleh dengar perbualan kami. Sayed! Sayed!.
Di HSNZKT, Sayed segera dimasukkan ke bilik rawatan kecemasan. Setelah urusan pendaftaran selesai, aku diminta menunggu diluar. Terpaksalah menyerahkannya kepada kebijaksanaan para doktor di samping bertawakkal pada Allah.
Tuan Haji Azhar Chik, Ustaz Suhaimi dan Tuan Haji Khairudin (Mantan Pengarah IPKT) tiba tak lama selepas itu. Kami sama-sama menunggu diluar dengan sabar. Akhirnya keputusan diterima, Sayed disahkan ada dua jenis penyakit iaitu strok dan jantung. Nak bagi ubat jantung pencair darah, kena scan dulu, takut-takut stroknya ada pendarahan. Setelah discan, alhamdulillah tiada sebarang pendarahan. Senang hati, satu babak yang ditakuti selesai.
Encik Rohaizad, Ketua Kerani IPKT kemudian tiba dengan membawa surat perakuan (guarantee letter) dari IPKT dan mengambil alih urusan aku untuk menyelesaikan penempatan Ustaz Sayed ke ward 3 CCU. Aku terpaksa balik ke IPKT kerana Amin dan Munirah masih ada di sana, sedangkan hari tu hari akhir nak cuti raya. Orang semua dah balik pejabat dah tutup. Bimbang jugak.
“Tak apa ustaz, saya uruskan, kita tukar shiftlah pulak”. Kata Encik Rohaizad.
Setelah meminta diri, aku balik dengan menumpang kereta Ustaz Suhaimi ke IPKT. Alhamdulillah Amin dan Munirah telah dibawa balik oleh Ustazah Rozlina ke rumahnya kerana bimbangkan keselamatan mereka berdua. Suatu keputusan yang sangat tepat. Dalam saat kecemasan masing-masing bijak membuat tindakan yang boleh memberi keselesaan bersama. Encik Mohammad Ngah menguruskan kereta IPKT, Ustaz Suhaimi menguruskan anak-anak Sayed, Ustazah Roslina pula menguruskan Amin dan Munirah, Encik Rohaizad dengan guarantee letternya, Tuan Haji Azhar menghubungi mana-mana rakan yang perlu. HA, pemandu ambulan dan Jururawat manis yang tak jemu-jemu menjalankan dengan tugasnya. Terima kasih untuk semuanya. Mudah-mudahan Allah memberkati kita semua dan mempercepatkan sembuhnya Ustaz Sayed. Allahumma Amin.
Dalam perjalanan balik aku menerima pelbagai panggilan untuk mengetahui keadaan Ustaz Sayed, macam doktor pakar pulak aku menerangkan kepada mana-mana rakan yang memerlukan jawapan. Teringat Sayed, lucu ada, sedih ada, perit pun ada. Itulah Sayed.
26 Ramadhan aku dan keluarga ke Seremban, balik beraya kat sana, rumah mertua. “Den dah lamo tak jumpo, rindu jugak”. Namun sepanjang cuti aku sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai Sayed dari sahabat-sahabat JAPIM dan IPKT.
“Tidak perlu dibimbangkan sangat dan kesihatan Sayed semakin beransur pulih”. Lapor mereka dari masa ke masa.
28 Ramadhan menjelang raya, aku menerima SMS Salma mengatakan Sayed sudah dipindahkan dari wad 3 ke wad 7EF, keadaannya kesihatannya lebih memberangsangkan alhamdulillah.
29 Ramadhan, sekali lagi aku terima SMS dari adik-adikku di JAPIM memberitahu Sayed sudah dibenarkan keluar dan boleh berhari raya di rumah. Sujud syukur terus ku lakukan, dengan rahmat dan nikmatnya sahabat boleh balik ke rumah. Alhamdulillahi bini`matihi tatimmus solihat.
5 Syawwal 1429H.
Hari pertama bekerja setelah cuti sempena `Aidil Fitri, masih panas-panas lagi keseronokan raya, Sayed menggagahkan diri datang ke JAPIM dengan dihantar oleh anak saudaranya. Padahal Sayed diberi cuti sampai 5 November 2008 dan perlu menjalani rawatan dari masa ke masa, termasuk ke IJN Kuala Lumpur. Masuk Bilik JAPIM dengan membawa fail macam biasa, walaupun tidak berpakaian rasmi kerja. Kami bersalaman sambil bertanyakan kesihatannya.
Di hujung sembang, macam lupa dengan sakitnya. Nak siapkan markah praktikum. Nak buat kerja lagi, macam biasa!. Sebagai Ketua Jabatan aku merasa amat bertanggungjawab untuk mempastikan cuti yang diberi oleh doktor kepada Sayed mendapat haknya.
“Enta tutup fail, hilangkan dulu ingatan terhadap kerja-kerja di IPKT. kerja-kerja enta di IPKT akan ada orang yang menguruskannya”. Aku memberi perintah baru kepada Sayyed. Beliau akur, Alhamdulillah adik bungsu kami di JAPIM, Asyraf yang berada di situ, terus mengambil fail untuk menyelesaikan urusan praktikumnya. Terima kasih banyak Asyraf. Jam 9.30 pagi Sayed kami hantar ke rumah dengan kereta Ustaz Sabawi. Menitis juga air matanya untuk JAPIM di pagi itu. Sampai di rumahnya sempat lagi kait buah nyior pandan muda, dengan tangan kiri, semata-mata untuk kami. “Airnya sedap, wangi je, nyior pandan”. Kata Sayed.
Setelah berbasa basi, kami meninggalkan Sayed di rumahnya. Masih berbaki dua tiga titis air mata jernih di pipinya. Itulah Sayed, tugas tak pernah tolak, apa pun tidak pernah kata tidak dalam tugas. Jarang mempamerkan kerisauan di muka. Apa yang ada hanya senyuman yang sentiasa terukir di bibir. Kepentingan orang lain sentiasa didahulukan. Dengan murid sangat rapat, persis anak dengan ayah. Dengan rakan-rakan tak pernah marah. Hem! Itulah Sayed.
Wednesday, October 14, 2009
Itulah Sayed!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sbg pelajar, saya cukup mengagumi ust syed.
ReplyDeleteTerkenang ucapannya pada hari persaraannya. cukup menyentuh hati.
melihat tumpahnya air mata ust syed pada ketika tu, sy turut menangisi persaraan ust syed di IPG KDRI
beliau benar-benar pensyarah yang baik.
daripada kelas pismp pai 2 sem 1
ustaz Syed adalah ustaz yang terbaik.
ReplyDelete